JOM FOLLOW

Wednesday 28 May 2014

Andai Dia Jodohku




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


ANDAI DIA JODOHKU.


Seperti kebiasaannya, Razi akan memulakan kerja tepat jam 7 pagi. Seawal itu dia datang ke bengkel baiki kereta yang terletak di Jalan Mulia itu. Di situlah Razi mencari rezeki selama hampir 3 tahun. Dari seorang mekanik motosikal, dia kini mula memperbaiki pekerjaannya lebih baik dengan menjadi mekanik kereta yang gajinya dua kali lebih banyak.

“Assalamualaikum, Razi. Dah sarapan ke belum? Kalau belum jomlah pak cik belanja.” Sapaan dari Pak Cik Omar dibalas oleh senyuman mesra oleh Razi. Dia yang sedang sibuk memunggah barang-barang mekaniknya, segera meninggalkan itu semua lalu berdepan dengan Pak cik Omar.

“Waalaikumussalam, pak cik. Alhamdulillah saya dah sarapan kat rumah tadi. Kalau pak cik nak belanja, bolehlah belanja saya makan tengah hari ni.” Bahu Pak Cik Omar ditepuk-tepuk mesra. Bermulanya Razi bekerja sebagai mekanik di sini, dia sudah mengenali Pak cik Omar yang merupakan pelanggan tetap di bengkel milik sahabat baik Razi sendiri iaitu Hanif.

“Kalau tengah hari nanti, pak cik ada kerja sikit. Tapi kalau…” Tidak sempat Pak cik Omar menghabiskan ayatnya, dengan sopan Razi bersuara.

“Pak cik ni saya gurau ajelah. Tak payahlah susah-susah. Lagipun, tengah hari ni saya dah janji dengan Lan nak makan sama.” Pak cik Omar tersenyum sambil angguk kepala.

“Apa salahnya kalau pak cik nak belanja kamu pun. Insya-Allah esok lusa pak cik belanja kamu makan tengah hari kat warung Pak Isa tu. Okeylah pak cik pun dah lambat ni. Nak pergi gunting rambut kejap. Tengah hari nanti nak pergi kenduri kahwin pulak. Pak cik pergi dulu ya.” Razi menghadiahkan senyumannya. Tangan Pak cik Omar disalami penuh hormat.

“Okey pak cik. Jalan elok-elok. Assalamualaikum…”

“Waalaikumussalam warahmatullah…” Melihat kelibat Pak cik Omar makin menjauh dari pandangan matanya, Razi kembali menyambung kerjanya.Itulah rutin hariannya. Rasa-rasanya tiap pagi dia pasti akan ditegur oleh Pak cik Omar yang masih sihat walaupun usianya sudah hampir mencecah 70 tahun. Alhamdulillah.

Sebelum menyambung kerjanya, Razi sempat memalingkan kepalanya menoleh ke belakang. Perhentian bas yang terletak di hadapan bengkelnya ditatap lama.Bukan perhentian bas itu yang menjadi santapan matanya namun si penumpang yang sedang berdiri menunggu bas di perhentian bas itu yang menjadi perhatian Razi.

Seminggu berlalu. Gadis bertudung litup yang selalu menunggu bas di situ kian menjadi pemerhatian Razi. Dia sendiri tidak tahu apa yang sebenarnya menarik minatnya untuk melihat gadis itu. Razi tahu berdosa baginya untuk melihat berkali-kali pada seorang wanita yang bukan muhrim. Namun, dalam hatinya bagai ada sesuatu yang sedang melanda. Sukakah dia pada gadis itu? Adakah itu bermakna jodohnya sudah sampai?

Razi tak sanggup untuk berfikir lebih jauh. Mungkin itu hanyalah perasaannya semata. Mungkin saja perempuan itu isteri orang, tunangan orang ataupun kekasih orang.

“Assalamualaikum…. Saya Razi… Awak?” Razi tersenyum seorang diri. Soalan itu ingin sekali ditujukan pada gadis itu.Mungkinkah dia berpeluang untuk menyatakan itu semua?

*******

“Assalamualaikum Lan…” Sebaik saja tiba di restoran yang dijanjikan, Razi terus mencari kelibat sahabat baiknya Razlan. Razlan atau lebih mesra dipanggil Lan merupakan seorang kerani bank. Dan Lan juga banyak membantu Razi untuk meneruskan kehidupannya di ibu kota metropolitan ini. Lan dan Razi bagai adik beradik kandung.

“Waalaikumussalam. Lambat hari ni. Kenapa? Ada apa-apa yang berlaku ke?” soal Lan ambil berat. Biasanya Razi jarang datang lambat bila berjanji.

Razi duduk ke kerusi.Senyuman dihadiahkan mesra untuk Lan.

“Banyak kereta tadi. Kesian aku kat seorang aunty tu. Dia nak aku baiki cepat-cepat kereta dia. Katanya urgent. Aku tolonglah dulu. Maaf dah buat kau menunggu.” Rasa bersalah pula Razi pada Lan. Kerana kelambatannya mungkin saja telah membuat waktu rehat Lan jadi terganggu.

“Hisy,kau ni. Tak payahlah nak minta maaf.Dah order dulu makanan. Aku ada sesuatu nak bincangkan dengan kau.” Wajah Lan yang serius buat hati Razi dilanda tanda tanya. Kenapa muka Lan serius pulak hari ni? Dia nak bincang apa ya? Omel Razi dalam hati.

Selesai memesan makanan, Lan mula membuka bicaranya. Satu soalan ditujukan pada Razi. Dan soalan itu benar-benar buat Razi terkejut.

“Kau dah ready nak kahwin?” tanya Lan sambil pandang tepat ke muka Razi. Buat seketika Razi terpana dengan soalan itu. Sesaat kemudian,dia tersengih memandang Lan.

“Apasal kau tanya aku soalan macam tu?” Tidak menjawab soalan Lan, Razi sebaliknya mengembalikan soalan itu dengan soalan.

Lan juga tersenyum.   “Kau mesti terkejut, kan?Aku lagi terkejut. Ada orang pinang kau.” Hampir tersedak Razi mendengar ucapan Lan.

“Kau jangan main-main, Lan.” Mahu tergelak Razi saat itu. Ada ke perempuan nak pinang dia? Biasanya lelaki yang masuk meminang perempuan.

“Kali ni aku tak main-main. Ija cakap ada seorang perempuan ni berkenan dengan kau. Dan aku rasa dia cukup berani kerana meluahkan perasaanya pada Ija. Itu bermakna dia benar-benar berharap dapat kau jadi suami dia.”

Razi cuba bertenang. Melihat muka Lan,dia yakin Lan tak main-main. Apa lagi apabila nama Ija disebut-sebut. Ija,isteri kepada Lan cukup Razi kenal dengan sikap tidak suka cakap bohongnya. Jadi, memang benar ada seorang perempuan ingin melamarnya? Razi terkedu.

“Tapi kenapa aku?” Soalan itu terpancul keluar dari bibir Razi.

“Mungkin dah sampai jodoh kau.” Jawab Lan penuh yakin.

Kepala digaru-garu perlahan. Razi hanya mampu tersengih sambil gelengkan kepala. Jodoh aku? Benarkah jodoh aku sudah sampai? Hatinya mula tertanya-tanya.

“Tapi macam mana perempuan tu boleh kenal aku? Apa aku kenal dia ke? Aku pernah jumpa dengan dia ke selama ni?” Memang itu menjadi kemusykilan Razi. Andai benar perempuan yang ingin menyuntingnya itu mengenali Ija, sudah pasti perempuan itu sudah lama memperhatikannya.Tapi siapa?

Tak sempat Lan menjawab soalan Razi, pelayan tiba membawa hidangan. Lan dan Razi memberi peluang kepada pelayan itu menghidangkan juadah. Sebaik saja pelayan itu pergi, segera Razi meneguk jus tembikai yang dipesannya tadi. Rasa panas pulak badan ni.Rasa segan pun ada. Ada ke patutnya dirinya dilamar oleh seorang perempuan. Melalui sahabat baiknya sendiri pulak tu.

“Ija cakap perempuan tu jiran kita. Tapi serius aku tak kenal dengan perempuan tu. Ija pun terkejut bila perempuan tu tiba-tiba datang dan cakap nak lamar kau.” Hampir tersembur air yang disedut Razi. Berani betul perempuan ni.

“Kalau dia jiran kita, maknanya kita mesti pernah jumpa dia.Tapi ini kau tak kenal,Ija tak kenal.Aku lagilah tak kenal. Hisy, tak berani aku.” Misteri pula perempuan yang diceritakan oleh Lan ini. Kenapa dia nak melamar aku? Dia dah kenal aku lama ke? Soalan itu bermain di minda Razi. Selera untuk makan mula menghilang entah ke mana.

“Itu aku tak tahu. Kalau kau nak tahu siapa perempuan tu, pergilah jumpa dia. Perkara senang tak perlu disusahkan. Tapi bukan senang nak ada kes macam kau sekarang ni. Perempuan melamar lelaki.Itu bererti lelaki itu benar-benar seorang yang baik dan soleh. Razi, aku nampak semua tu pada diri kau. Kau lelaki baik, mungkin ini yang dinamakan jodoh.” Bahu Razi  ditepuk-tepuk oleh Lan. Dia cuba meyakinkan Razi dengan penjodohan ini.

Razi pandang Lan tanpa kata. Jumpa dengan perempuan tu? Mampukah dia berdepan dengan perempuan yang sudah menyuntingnya itu?

*******

Malam itu pulang saja dari masjid, Razi singgah dulu ke rumah Lan. Masih ada benda yang ingin ditanyakan pada Lan. Mungkin saja pada Ija. Kerana Ija lebih dulu berdepan dengan perempuan misteri yang telah menyuntingnya itu.

“Assalamualaikum… Assalamualaikum…” Salam dilaung dua kali. Seminit menunggu, muncul Ija sambil mendukung anak bongsunya, Muhsin.

“Waalaikumussalam… Razi? Masuklah. Abang Lan ada kat dalam. Tengah tengok bola. Masuk-masuk.” Ija tersenyum sambil sempat mengemaskan tudung yang tersarung di kepalanya. Razi membalas senyuman Ija seadanya. Muhsin yang berusia satu tahun itu diagah-agah mesra.

Melangkah masuk ke dalam rumah, Razi terpandang Lan yang sedang berbaring di ruang tamu bersama-sama anak lelaki sulungnya, Muhammad. Kusyuk benar mereka menonton siaran langsung bola sepak di tv1 itu.

“Lan…” Razi turut duduk ke lantai. Tidak selesa pula bila tuan rumah duduk di bawah dia duduk di atas.

“Hah, Razi. Baru balik dari masjid ke?” Lan bertanya sambil bangun. Muhammad yang sudah mula mengantuk itu ditepuk-tepuk perlahan. 7  tahun perkahwinannya dengan Ija, inilah rezeki yang Allah berikan padanya. Dua-dua lelaki. Seorang berusia 6 tahun. Seorang lagi satu tahun.

“Baru balik, Lan. Aku cari jugak kau kat masjid tadi tapi  tak jumpa.” Sempat Razi memandang ke arah kaca televisyen. Perlawanan bola sepak antara Terengganu menentang Perak. Masih lagi seri kosong-kosong. Bukan Razi tak minat bola, tapi setakat bola yang bukan team kegemarannya, baik tak payah tengokpun tak apa. Pergi masjid lagi berfaedah.

“Aku layan bola ni, Zi. Sebab tu tak pergi. Eh, kau datang sini ada apa? Nak bincang pasal hal tadi ke?” Baru saja Razi ingin lupakan perkara itu, ia kembali muncul apabila mendengar Lan bersuara. Memang itulah tujuannya.

“Aku nak tanya Ija sesuatu. Boleh ke Lan?” Ija yang baru muncul sambil mendulang air minuman, hanya tersenyum memandang Razi. Dia duduk sambil menghidangkan minuman kepada tetamu.

“Ija, tu si bakal pengantin kita nak tanya tu.”  Lan bercanda mesra. Sikit pun Razi tak marah dengan guraun Lan. Bakal pengantinlah sangat. Pengantin perempuanpun belum tengok lagi.

“Ada apa, Razi? Kalau boleh Ija bantu, InsyaAllah Ija tolong.” Ija duduk di sebelah Lan. Muhsin dibiarkan dipangku oleh Lan.

Razi leka buat seketika melihat kebahagian Lan dan Ija. Kalaulah dia juga berkahwin nanti, ingin sekali dia memiliki keluarga yang bahagia seperti Lan. Mempunyai seorang isteri yang solehah. Pandai menjaga hati dan menjaga makan pakainya dengan baik. Mungkinkah perempuan misteri itu bakal menjadi zaujahnya?

“Ija, saya nak tahu betul ke ada seorang perempuan lamar saya? Saya macam tak percaya aje.” Razi tersenyum malu.Ija pandang Lan.Lan juga tersenyum.

“Betul.Takkan Ija nak berbohong pulak. Dua hari yang lalu, dia datang. Dia cakap dia bawa hajat yang besar.Datang nak melamar seseorang. Terkejut Ija masa tu, Razi. Ingatkan datang nak melamar Abang Lan.” Ija tertawa kecil. Lan dan Razi ikut tergelak sama.

“Tapi dia cakap dia berkenan untuk menyunting seorang lelaki yang selalu datang ke rumah ni. Bekerja sebagai mekanik kereta. Suka tersenyum. Ija mula fikir siapa lelaki yang dia maksudkan. Tapi bila dia cakap lelaki tu kawan baik Abang Lan, terus Ija teringatkan Razi. Dan dia mengaku, memang Razi yang dia maksudkan.”

Terasa merah padam muka Razi menahan rasa segannya. Sungguh dia tidak menyangka ada seorang perempuan memerhatikan dirinya selama ini. Makin tak sabar untuk mengenali dengan wanita itu.

“Tapi kenapa saya? Apa lagi yang dia tahu pasal saya?” Mungkinkah perempuan itu mengetahui banyak maklumat mengenai dirinya? Razi tertanya-tanya lagi.

“Dia jiran kita. Rumah dia beberapa meter aje dari sini. Dia cakap, dia selalu perhatikan Razi pergi kerja,balik kerja. Razi selalu lalu depan rumah dia. Hati dia tertarik melihat Razi. Melihat Razi selalu pergi ke masjid,lagi buat dia jatuh suka pada Razi.”

Allahuakbar. Razi makin teruja pula untuk bertemu dengan wanita itu. Tiba-tiba dia rasa bahagia apabila ada wanita memperhatikannya sampai begitu sekali. Pasti wanita itu juga seorang yang istimewa.

“Apa nama dia,Ija?” Soalan itu muncul di bibir Razi. Ingin sekali dia mengetahui nama si pemilik gadis yang telah melamarnya itu.

Ija pandang Lan. Lan anggukkan kepala bagai memberika keizinan untuk Ija teruskan kata.

“Nama dia… Nur Qasif. Tapi Ija tak tahulah muka dia macam mana. Orangnya berpurdah, Razi. Tapi bila Ija tengok sinar mata dia, tenang rasa hati ni.” ujar Ija seakan-akan mengenang kembali perwatakan gadis  bernama Nur Qasif itu.

Razi terdiam lama. Nama Nur Qasif mula meniti di hatinya. Siapakah agaknya Nur Qasif ini? Perlukah dia menemui gadis itu? Tapi bukankah gadis itu melamarnya. Sepatutnya gadis itu sendiri yang menemuinya.

Dan mampukah dia memberi perasaan sayangnya pada Nur Qasif sedangkan hatinya sudah mula terpaut pada gadis yang selalu dilihatnya di perhentian bas itu. Tiba-tiba Razi dalam dilemma. Andai dia menemui gadis berpurdah itu,itu mungkin membuatkan gadis itu menganggap dia sudah bersetuju untuk meneruskan hubungan mereka yang belum terjalin. Dan gadis yang selalu dilihatnya di perhentian bas itu seharusnya ditegur olehnya terlebih dahulu sebelum terlambat. Pada siapa yang harus Razi tuju terlebih dahulu?

*********

Pagi itu, Razi nekad untuk menegur gadis yang selalu diperhatikan olehnya di perhentian bas itu. Seminggu dia berfikir mengenai hal ini. Setelah melakukan solat sunat Istikharah, Razi yakin Allah telah memberi jawapannya. Dalam mimpinya, dia ternampak seorang gadis bertudung sedang menunggunya di perhentian bas. Tapi sayangnya wajah gadis itu kabur-kabur. Mungkin kabur kerana selama ini pun Razi tak pernah melihat gadis yang sudah disukainya itu dekat-dekat. Hanya tengok dari jauh. Hari ini baru berani untuk tengok lebih dekat.

Razi sudah rujuk perkara ini dengan imam masjid. Kata imam, kalau kita dah sukakan seseorang itu, jangan malu untuk meluahkannya. Kerana Nabi Muhammad pernah menasihati seorang pemuda ketika di zaman baginda dahulu.

Ada seorang pemuda yang sudah jatuh hati pada seorang gadis. Lalu, pemuda itu datang menemui Baginda meminta pendapat baginda. Nabi SAW bertanya, adakah gadis itu tahu isi hatinya. Pemuda menjawab, tidak,Ya Rasulullah.Rasulullah berkata lagi, kenapa kamu tidak meluahkannya? Tidak salah meluahkan perasaan. Kalau suka, katakan suka. Lalu pemuda itu segera mengikut saranan Rasululllah.

Razi juga ingin mengikut nasihat Rasulullah SAW. Meluahkan perasaan itu tidak salah. Selagi tidak diluahkan,selagi itulah Razi takkan tahu sama ada sayangnya pada gadis itu berbalas atau tidak.

Andai gadis itu sudi untuk menerima cintanya, Razi akan segera menikahi gadis itu. Dan pada gadis yang telah menyuntingnya, Razi akan bertemu dengan gadis itu dan menyatakan bahawa hatinya sudah dimiliki.Akan ditolak secara sopan lamaran gadis misteri bernama Nur Qasif itu.

Tapi andai gadis impiannya menolak cintanya, adakah itu bermakna dia harus membuka hatinya untuk Nur Qasif? Mampukah dia menyayangi Nur Qasif? Ah…. Yang penting sekarang, jumpa dengan gadis tu dulu Razi. Luahkan perasaan kau. Hatinya berbisik memujuk.

Jam dipergelangan tangan kanannya ditilik perlahan. Sudah masuk jam 7.15 pagi. Biasanya gadis itu sudah terpacak menunggu bas di sini. Ke manakah gadis itu? Razi jadi resah. Adakah mereka tiada rezeki untuk bertemu hari ini?

‘Ya Allah, pertemukanlah aku dengan dia. Aku ingin mencintainya secara halal. Permudahkan jalanku, ya Allah…’ Doa diaminkan penuh berharap. Matanya bergerak ke kiri dan kanan mencari kelibat gadis impiannya.

Hampir setengah jam menunggu akhirnya, orang yang ditunggu-tunggu munculkan diri. Dari kejauhan Razi dapat lihat langkah seorang gadis bertudung litup sedang berjalan menuju ke perhentian bas. Senyuman mula terlakar di wajahnya. Hati Razi mula berdebar-debar.

Namun, Razi berasa agak hampa apabila gadis itu menghentikan langkahnya agak jauh dari perhentian bas. Dia berdiri di situ bagaikan sedang menunggu seseorang. Adakah gadis itu menunggu suaminya? Atau tunangnya? Tiba-tiba Razi hilang semangat untuk meluahkan perasaannya.

‘Kau kena mulakan dulu, Razi. Luahkan. Luahkan. Luahkan perasaan kau.’ Suara hati Razi berbisik lagi. Dalam terpaksa dan rela, Razi akhirnya akur untuk meluahkan perasaannya. Mungkin ini adalah peluang terakhirnya.

“Assalamualaikum, saudari…” Akhirnya, berjaya juga Razi menegur gadis impiannya. Gadis itu kelihatan malu-malu untuk memandang wajah Razi.Dia hanya memandang sekilas lalu menjawab salam Razi perlahan.

Razi terleka seketika menatap wajah gadis impiannya dari dekat.Subhanallah. Bidadarikah yang menjelma di depannya sekarang? Tidak melampau kecantikannya namun wajah itu mampu buat Razi jatuh cinta.

“Maafkan saya kalau buat saudari takut dengan teguran saya ni. Saya Ahmad Razi. Saya kerja kat depan tu. Sebagai mekanik kereta.” Razi cuba mengumpul kekuatan untuk meneruskan katanya. Adakah ini saat paling tepat dia meluahkan isi hatinya?

Gadis itu kelihatan agak cuak. Dia hanya mampu tersenyum kelat namun dia masih berdiri di situ menanti Razi menyambung katanya.

“Saya… saya…” Tersekat suara Razi. Malunya dia rasa saat ini.

“Andai awak masih belum menjadi milik orang, sudikah awak menerima cinta saya? Saya… saya rasa saya sukakan awak.Saya nak lamar jadi isteri saya yang sah.” Lega.Itulah yang Razi rasa saat ini. Akhirnya dia meluahkan juga perasaannya.

Gadis itu kelihatan agak terkejut. Kepalanya tergeleng perlahan. Sungguh Razi tidak faham maksud gelengan itu. Adakah gelengan itu menandakan gadis itu benar-benar tidak berpunya? Atau gelengan itu menandakan dia tidak boleh menerima lamarannya tadi.

“Maafkan saya. Hati saya dah berpunya.” Agak malu-malu juga gadis itu bersuara.

Saat itu betapa Razi berasa cukup malu. Namun, apabila memikirkan caranya ini diajar oleh Rasulullah, perasaan itu hilang buat seketika.Sekurang-kurangnya dia sudah meluahkan perasaan cintanya. Sekarang, dia harus belajar untuk redha andai gadis itu bukan miliknya.

“Takpe. Sekurang-kurangnya saya dah lakukan apa yang sepatutnya saya lakukan dari dulu lagi.  Maafkan saya sebab dah kejutkan awak dengan lamaran saya ni. Apa-apa pun gembira dapat cakap dengan awak hari ni.Saya pergi dulu.Assalamualaikum…”

Dengan langkah agak hampa, Razi akhirnya pergi dari situ. Melihat tiada kenderaan lalu lalang di tengah jalan, dia segera melintas. Sikitpun Razi tidak berpaling ke belakang.Cintanya bukan ditolak.Cuma, cintanya masih belum bertemu dengan si empunya diri yang sebenar-benarnya.

Sekarang… sudah selesai satu babak.Tinggal satu babak lagi. Pertemuan antara dia dan Nur Qasif. Mungkinkah Nur Qasif masih setia dengan lamarannya? Andai gadis itu sudah punya calon suami yang lain, adakah bermakna cintanya masih tidak kesampaian?

*******

Setelah diberi alamat oleh Ija, Razi mula menjalankan misi keduanya iaitu bertentang empat mata dengan Nur Qasif. Seminggu sudah berlalu sejak lamaran gadis itu. Masihkah gadis itu setia dengan lamarannya? Razi rasa agak takut untuk bertemu dengan Nur Qasif. Entah bagaimana cara untuk dia berkata-kata nanti.

Namun yang pasti, Razi ingin bertemu dengan gadis itu hanya atas satu tujuan. Lamaran gadis itu ingin ditolaknya secara berhemah. Buat masa sekarang, dia tidak mampu untuk memberi hatinya pada wanita lain. Dia hanya manusia biasa yang punya hati perasaan. Rasa kecewa dek kerana cinta tidak kesampaian bersama gadis impiannya, buat Razi tidak mahu menerima cinta buat masa ini. Biarlah dia mencari dan terus mencari. Bukan bermakna Razi menolak kehadiran jodohnya, namun belum tiba masanya lagi. Harap Nur Qasif tidak kecewa.

“Assalamualaikum….” Salam dihulurkan. Rumah teres dua tingkat yang terletak dua blok dari rumah teresnya dipandang lama. Hatinya makin berdebar-debar menanti kehadiran si penghuni rumah.

“Waalaikumussalam.” Razi angkat muka memandang ke arah suara yang menjawab salamnya. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat Pakcik Omar berdiri di hadapannya sambil tersenyum senang menyambut kehadirannya di situ.

“Pak cik? Pak cik buat apa kat sini?” soal Razi sambil mencium hormat tangan Pak cik Omar.

Pak cik Omar hanya tersengih.  “Jom kita masuk dulu. Minum-minum dulu ke.” Razi kaget dengan pelawaan Pakcik Omar. Seakan-akan rumah ini adalah rumahnya saja. Jangan-jangan Pak cik Omar ini ayah kepada Nur Qasif. Tapi… tak mungkinlah. Pak cik Omar kata dia tak pernah berkahwin.

Razi akur mengikut Pakcik Omar masuk ke dalam rumah. Duduk saja di sofa,Pak cik Omar mula membuka cerita.

“Kamu mesti terkejut tengok pak cik kat sini kan. Jangan terkejut, Razi. Anggaplah ini jodoh kita.” Pak cik Omar tertawa ceria. Razi yang cuak terpaksa juga tersenyum kelat. Matanya meliar memandang ke sekeliling. Dimanakah gadis yang bernama Nur Qasif itu. Mahu sekali dia menemui gadis itu. Apa hubungan Nur Qasif dan Pak cik Omar?

“Saya… saya tak fahamlah. Ini rumah pak cik ke? Tapi setahu saya, pak cik bukan tinggal kat sini kan?”
“Memanglah pak cik tak tinggal kat sini. Tapi anak buah pak cik tinggal kat sini. Kejap-kejap. Biar pakcik panggil dia.”

Hati Razi makin kuat berdegup. Ya Allah, sudah tibakah masanya pertemuannya dengan gadis berpurdah itu?

“Nur… Oh Nur…Sini kejap.Orang yang kamu tunggu-tunggu ni dah sampai.” Ya Allah kecil betul dunia ni.Tak sangka Nur Qasif anak saudara pada Pak cik Omar yang amat dikenalinya. Inilah yang dinamakan takdir.

Beberapa saat berlalu, muncul seseorang dari ruang dapur. Dengan berbaju kurung dan berjilbab labuh dan berpurdah warna senada, gadis itu duduk ke sofa berdepan dengan Razi. Pandangannya tertunduk. Adakah ini Nur Qasif yang telah melamarnya?

“Inilah anak saudara kesayangan pak cik. Nur Qasif namanya. Baru pulang dari Mesir. Pulang-pulang aje dah terpikat dengan kesolehan Razi.” Sekali lagi Pak cik Omar bercanda. Razi naik segan.

Tidak mahu melepaskan peluang yang ada, Razi mencuri pandang pada Nur Qasif. Agaknya bagaimanakah wajah Nur Qasif yang sebenarnya ya?

“Nur, cakaplah apa yang kamu nak cakap. Pak cik ada ni. Jangan risau.” Makin tak sabar pula Razi ingin mendengar suara Nur. Merdukah suaranya?

Tanpa mengangkat pandangannya, Nur mula bersuara. Dan Razi terpana mendengar suara itu.

“Saya tahu, awak mesti terkejut dengan lamaran saya hari tu. Tapi saya rasa tak salah andai seorang perempuan melamar seorang lelaki. Kerana perkara itu pernah dilakukan oleh Saidatina Khadijah. Beliau melamar baginda Rasulullah kerana tertarik dengan sifat mulia yang ada dalam diri Rasulullah. Saya nampak sifat mulia dalam diri awak, Ahmad Razi. Saya yakin, andai awak adalah jodoh saya, Allah pasti akan permudahkan jalan saya. Buktinya sekarang awak berada di sini.”

Suasana sepi dan bisu. Razi cuba mengingatkan kembali suara yang sama pernah didengari olehnya seperti suara milik Nur ini. Tapi suara siapa?

“Adakah awak sudi menerima lamaran saya?” Pertanyaan Nur dibiar lama oleh Razi. Dia cuba pandang ke anak mata Nur mencari satu jawapan.

“Sebelum tu, izinkan saya lihat wajah awak.” Ujar Razi dengan suara cukup serius. Pak cik Omar dan Nur saling berpandangan. Mungkin mereka tidak menyangka Razi akan seberani ini.

“Saya rasa saya kenal awak siapa.” Razi makin yakin dengan perasaannya apabila melihat kegelisahan mula melanda Nur. Pak cik Omar juga sama.

“Awak gadis yang selalu saya perhatikan kat perhentian bas tu kan? Gadis yang saya lamar hari tu?” Senyuman Razi makin lebar. Dia semakin yakin. Ya Allah… adakah ini dinamakan jodoh?

“Nur… nampaknya Razi dan kamu memang ada jodoh. Cukup dia kenal dengan kamu.” Pak cik Omar gelengkan kepala. Dia tersenyum memikirkan idea anak buahnya itu. Ini semua idea Nur Qasif.

Seperti sudah tidak mampu melarikan diri lagi, akhirnya Nur menyingkap purdah yang dipakainya. Ditanggalkan purdah itu dan dia membenarkan Razi melihat wajah sebenarnya.

Alangkah gembiranya Razi berasa saat itu. Nur Qasif adalah gadis impiannya. Subhanallah. Adakah itu bermakna mereka selama ini saling memendam rasa?

“Dua bulan yang lepas saya pulang dari Mesir. Hari-hari saya nampak awak bawa motor lalu di hadapan rumah saya. Malam-malam pula saya selalu nampak awak di masjid. Saya bertanya pada Pak Omar siapakah gerangan lelaki itu. Tak sangka Pak Omar cukup kenal dengan awak. Dan Pak Omar setuju andai saya pilih awak sebagai calon suami saya. Tidak mahu melepaskan lelaki sebaik awak,saya beranikan diri untuk melamar awak pada Ija. Dan lamaran awak di perhentian bas hari tu,buat saya yakin bahawa cinta saya sudah berbalas.”

Razi terdiam mendengar penjelasan Nur. Jadi Nur Qasif sudah lama perhatikan dirinya? Kenapa selama ini dia tidak menyedari kehadiran gadis itu?

“Pertama kali saya lihat awak,hati saya dah sukakan awak. Walaupun dari jauh, saya akur untuk sukakan awak. Tapi… hari tu awak cakap hati awak dah berpunya.”

Harap-harap Nur tidak menipu. Razi tidak ingin memiliki seorang isteri yang kuat menipu.Walaupun terpaksa, jangan sesekali menipu. Tidak berkat hubungan mereka nanti.

“Hati saya memang dah dimiliki. Dimiliki oleh awak….” Nur tersenyum manis. Dia akhirnya meminta diri masuk ke ruang dapur.

“Cepat-cepatlah masuk meminang. Perkara yang baik wajib dipercepatkan.” Pak cik Omar bersuara gembira. Razi lebih lagi gembira. Hatinya kini merasa cukup bahagia. Hampir-hampir saja dia kecewa dengan takdir Allah. Hakikatnya, tiada siapa yang tahu takdir seseorang itu bagaimana. Mungkin hari ini kita berasa kecewa dengan pemberian Allah, sedangkan esok lusa pemberian Allah itulah yang mampu buat kita tersenyum dan merasa cukup bersyukur.

Segala yang baik datang dari Allah. Yang buruk datang dari kelemahan kita sendiri. Berbaik sangkalah pada Allah. Kerana Dia tidak pernah menganiaya hambaNya.

Bak kata bijakpandai juga, walau digenggam kuat andai ia bukan milik kita, ia terlepas jua. Kalau ditolak ke tepi  andai ia untuk kita, ia mendatang juga. Itulah yang dinamakan jodoh. Razi benar-benar berharap Nur Qasif menjadi jodoh yang sudah tercatat untuknya sejak di Loh Mahfuz lagi. Dia tidak akan sesekali mensia-siakan gadis yang telah berjaya mencuri hatinya itu. Andai dia jodohku, aku terima ya Allah… Bisik hati kecil Razi cukup bahagia.

-TAMAT-

#Jodoh itu bukan untuk yang cantik. Jodoh itu bukan untuk yang kaya. Jodoh itu bukan untuk yang berilmu dan bekerjaya. Tapi jodoh itu untuk semua. Hadiah dari Allah untuk hamba-hambaNya. 


Monday 26 May 2014

Berlari Pulang




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


Berlari Pulang.


“Bib, solat jom. Hari ni aku nak solat kat rumah aje. Sekalilah kita…” Ajakan dari Razif tidak diendahkan oleh Habib. Dia tetap leka dengan telefon pintarnya. Layan Candy Crush lagi seronok.

“Bib…” Razif panggil lagi.

“Hisy, kau pergilah dulu. Nanti aku solatlah.” Itu jawapan yang Razif terima dari Habib.
Razif senyum kelat. Wajah masam Habib dipandangnya lama. Astaghfirullahaladzhim… Sabar Razif, sabar…

“Okeylah. Aku masuk bilik dulu. Aku ada masak sardine sikit tadi. Kau makanlah. Ajak Firdaus sekali bila dia balik nanti.”

Pemberitahuan dari Razif itu Habib balas dengan sekali angguk. Dia tetap focus menekan-nekan skrin telefonnya.

Dengan langkah berat, Razif membawa diri masuk ke dalam bilik. Di kaki tangga dia masih sempat menoleh ke belakang. Matanya bergerak pula ke jam berbentuk bulat yang tergantung pada dinding. Dah hampir dua jam Habib dalam keadaan seperti itu. Tanpa berbuat apa-apa, hanya leka bermain game dalam telefon bimbitnya.

“Allahuakbar Allahuakbar…” Tepat jam 7.28 malam, berkumandang azan dari masjid terdekat.

Razif berkira-kira. Nak solat kat rumah ke kat masjid ya.

Seperti hari-hari yang lain, hatinya tidak pernah berhenti berdoa supaya Allah membukakan hati Habib, sahabatnya itu untuk berjemaah sekali dengannya. Tidak kisahlah di rumah mahupun di masjid atau surau, yang penting dia nak merasa dapat solat dengan Habib.

Tapi Allah masih belum berkehendak keadaan itu berlaku. Habib tak pernah nak solat berjemaah. Solat pun kadang buat kadang tak. Lebih suka buang masa, tidak tahu apa sebenarnya yang Habib inginkan dalam hidupnya.

Sebagai kawan dan rakan serumah, Razif ingin menarik Habib kembali ke pangkal jalan. Biarlah tak solat berjemaah sekalipun, cukup solat lima waktu sehari semalam lelaki itu tunaikan. Solat itu tiang agama. Siapa yang tidak menunaikan solat, azab keras menantinya di akhirat. Itu janji Allah.

Kerana sayangkan Habib, Razif tebalkan muka untuk sentiasa mengajak lelaki itu melakukan ibadat wajib itu. Walau kebanyakan nasihatnya dijawab dengan herdikan mahukan tidak diendahkan langsung, Razif takkan berdiam diri.

Satu keluhan terluah berat di bibirnya. Tidak meneruskan langkahnya menuju ke tingkat atas, dia menapak ke pintu. Tanpa Habib bertanya, dia terlebih dulu memberitahu sahabatnya itu.

“Aku nak ke masjid ni, Bib. Kau jangan lupa makan eh. Assalamualaikum…” Kunci motosikal yang tergantung pada dinding dicapai. Razif melangkah keluar mendapatkan motosikalnya. Lebih baik rasanya kalau dia ke masjid saja. Selain menginginkan 27 ganjaran pahala solat berjemaah, ada sesuatu yang perlu ditanyakan pada Ustaz Hasan, ustaz yang selama ini banyak membantunya mendalami ilmu agama.

Mendengar deruman enjin motosikal Razif makin sayup-sayup kedengaran, Habib bangun dari sofa. Telefon bimbit diletak perlahan ke atas meja. Sambil menggeliatkan badannya, dia berdiri lalu menapak ke ruang dapur.

Tudung saji diangkat tinggi. Terhidang di atas meja semangkuk lauk sardine, sepinggan hirisan timun dan tiga ekor ikan goreng. Perutnya yang sememangnya sudah kelaparan segera diisi tanpa menunggu lama.

Nasi dalam rice cooker diceduk sebanyak tiga cedukan. Penuh satu pinggan nasi yang diambilnya.

Punggung dilabuhkan duduk ke kerusi. Tanpa teringat membaca Bismillah, terus dibelasah nasi lauk sardine masakan air tangan Razif itu dengan lahapnya. Sesekali dia meneguk air masak yang turut terhidang atas meja.

“Hmm… sedap,” ujarnya dengan mulut penuh. Si Razif tu memang pandai masak. Untunglah budak tu ada dalam rumah ni.

Sedang dia enak menjamu selera, tiba-tiba ada seseorang yang memberi salam di muka pintu utama. Dari suara macam suara Firdaus aje.

“Wah makan tak ajak aku eh.” Habib disapa oleh Firdaus.

Habib tersengih saja. “Sila-sila. Razif yang masak.”

“Wah lauk sardine lah. Best-best.” Firdaus tersengih sama

Barangan dapur yang dijinjit oleh Firdaus dijeling sekilas oleh Habib. Suapannya makin perlahan.

“Banyak kau shopping. Tak takut habis duit ke?” Ada nada berbaur sindiran di situ.

Firdaus tergelak kecil. Diletakkan barangan yang dibelinya di sudut meja. Biar si Raziflah yang uruskan barangan ni nanti. Bisik hati kecilnya.

“Takut apanya… bukan duit aku pun,” ujar Firdaus tanpa riak. Dia masih berdiri sambil berfikir-fikir. Nak makan dulu ke nak pergi mandi dulu. Haisy…

Habib terdiam seketika. Bukan duit Firdaus? Dah tu duit siapa?

“Duit siapa? Kau mencuri?” Tebaknya agak keras.

“Hoi! Tak ada maknanya aku nak mencuri. Kau ingat aku jahat sangat ke. Tolong sikit eh.”

“Dah tu. Duit siapa?”

“Duit kawan baik kaulah. Si Razif tu. Dia ada bagi aku duit tadi. Sekali dengan list barang dapur. Dia mintak aku belikan.”

Mulut Habib membulat bentuk O.

“Sejak Razif tinggal dengan kita, hari-hari kita dapat makan sedap. Kenapalah dari dulu kau tak ajak mamat tu tinggal dengan kita kat rumah ni.” Kata-kata Firdaus buat Razif tergelak.

“Ah kau ni. Tak habis-habis memuji si Razif tu. Baik sangat ke dia. Aku ni jadi kawan kau sejak dari kolej sampai sekarang, kau tak pernah puji-puji pun. Poyolah kau Daus…”

“Aku bercakap benda yang benar. Dah memang Razif baik. Lebih baik dari aku, lebih baik dari kau. Ah, dahlah. Malas aku nak layan kau. Aku nak naik mandi kejap. Nanti aku turun tengok lauk ni dah habis kau bantai, siap kau!” Sempat Firdaus beri amaran. Penumbuknya sengaja diacah-acah ke muka Habib.

Habib tepis tangan Firdaus sambil gelak malas. Sedikit sebanyak hatinya tercabar dengan kenyataan yang baru saja Firdaus sampaikan tadi.

Ya, Razif memang lebih baik dari mereka berdua yang nakal ni. Razif tu Pak Ustaz dalam rumah ni. Sikap Razif memang dari dulu sebegitu. Persahabatan yang terbina antara Razif dan Habib sudah terbina lama. Mereka satu kampung. Satu sekolah. Namun berbeza kolej.

Baru setahun yang lepas, persahabatan antara mereka kembali bertaut apabila Razif mendapat pekerjaan di Kuala Lumpur. Memandangkan lelaki itu tiada rumah untuk menyewa, Habib mengajak Razif untuk sama-sama menyewa di rumahnya sekarang. Maka tinggalkan tiga lelaki bujang menyewa di rumah teres dua tingkat ini.

“Hoi kau dah solat ke belum?” Sempat Firdaus bertanya sebelum dia melangkah pergi.

Habib yang baru tersedar dari lamunan hanya mendengus keras.

“Kau ni sama aje dengan Pak Ustaz tu. Tak habis-habis tanya aku dah solat ke belum. Aku bukan budak-budaklah. Pergilah mandi! Menyibuk aje.” Amarah Habib buat Firdaus berkerut dahi. Aik, sentap? Ni mesti dah kena tazkirah dengan Razif tadi. Hehe…

Tidak mahu ambil pusing amarah Habib itu, Firdaus masuk ke biliknya yang berada di sebelah dapur.
Tinggallah Habib di ruang dapur itu sambil meneruskan santapannya dan sentapannya.


+++++++

“Ustaz…” Dengan suara lembut Razif mendekati Ustaz Hasan yang berdiri di hadapan rak al-Quran.

“Eh, Razif. Ya, ada apa?” Ustaz Hasan tersenyum. Tak jadi tangannya nak mencapai sebuah kitab dari atas rak.

Razif terlebih dahulu menyalami tangan Ustaz Hasan. Dia juga tersenyum sama.

“Malam ni pendek aje ya tazkirah kita, ustaz.” Ucap Razif terlebih dahulu berbasa-basi.

Ustaz Hasan angguk. “Ya, ustaz kurang sihat sikit ni. Sebab tu nanti Ustaz Rahman yang akan imamkan solat Isyak kita. Lepas Isyak baru ada ceramah sikit. Dua jam, harap kamu sudi dengar ceramah tu nanti. Sama-sama kita ambil ibrah dari ceramah tu nanti.”

Razif mengangguk bersetuju. Dia mengajak Ustaz Hasan untuk duduk. Kesian lelaki awal 60-an ini. Memang suara Ustaz Hasan dah lain. Serak aje suaranya. Mungkin nak demam.

“Bismillahirrahmaanirrahim…” bisik Ustaz Hasan perlahan apabila dia mula melabuhkan duduk ke lantai.
Razif ikut sama mengucap perkataan. Apa yang baik, dia senang untuk ikut.

“Macam ada sesuatu aje yang kamu nak beritahu, ustaz. Apa dia, Zif? Boleh ustaz tahu?” Ustaz Hasan bersuara sambil batuk-batuk kecil mengiringi ucapannya.

Tidak mahu mengganggu Ustaz Hasan lebih lama, cepat-cepat Razif meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Mengenai Habib.

“Erm… saya dah tak tahu nak pujuk kawan saya tu macam mana lagi, ustaz. Ya, dia rajin bekerja orangnya. Tak malas, Alhamdulillah dia rajin cari rezeki. Tapi ustaz saya bimbang dia dah sering-sering tak tunaikan solat. Suka habiskan masa dengan game dia. Bila hari cuti itulah kerja dia. Apa saya nak buat ustaz?”

Penjelasan dari Razif membuat Ustaz Hasan berjeda seketika. Seketika kemudian ada senyuman terlakar di bibirnya. Sambil mengusap janggut lebatnya, dia bersuara. Penuh hikmah.

“Alhamdulillah kalau kawan kamu tu rajin bekerja. Itu tandanya dia masih sedar akan tanggungjawab dia pada keluarganya. Pasal dia tak solat tu, kamu terus ajak dia. Jangan putus asa. Selalu ingatkan dia untuk solat, moga-moga satu hari mana tahu hati dia terbuka nak solat. Kita tak tahu apa jadi akan datang, kan?” Ustaz Hasan senyum.

Saat itu Razif hanya mengangguk. Jadi maknanya dia tidak boleh berputus asa. Dakwah tetap dakwah!

“InsyaAllah, ustaz. Saya akan cuba yang terbaik. Saya jugak nak mohon doa ustaz, mintak-mintak dia lembut hati, cahaya hidayah muncul dalam diri dia, ustaz.”

“InsyaAllah, kita cuba yang terbaik. Kamu jangan lupa untuk berusaha dan sentiasa doakan dia. Buat dia nampak yang kamu bersungguh nak dia berubah. Moga dia sedar, andai dia mahu berubah, ada kamu untuk menyokong dia. Yang penting, sabar, Razif. Sabar…”

Bahu Razif ditepuk-tepuk beberapa kali.

Razif mengulum senyum. Kesabaran itu harus ada dalam diri seorang yang mahu berjuang demi agama Allah. Kita berusaha, Allah jualah yang menentukannya.

“Terima kasih, ustaz. InsyaAllah saya akan jadikan kata-kata dan nasihat ustaz ni satu semangat pada saya. Kalau ustaz tak keberatan, boleh ustaz sediakan air bacaan Yasin untuk kawan saya tu? Moga terang hati dia, ustaz. Untuk dia, untuk saya jugak…”

Ustaz Hasan mengangguk kecil. Sungguh hatinya berasa tenang menatap wajah anak muda di hadapannya ini. Cukup sayang Razif pada sahabatnya itu. Tanpa mengetahui nama sebenar sahabat yang sangat diambilberat oleh Razif itu, Ustaz Hasan hanya mampu berbangga atas sikap Razif yang ingin berjuang menyelamatkan kawannya itu. Moga-moga usaha Razif ini Allah pandang.

“InsyaAllah… nanti ustaz buatkan. Kamu pun boleh aje buat sendiri. Letak air depan kamu, bacalah Yasin. Kan lagi senang…” Ada tawa di hujung ucapan Ustaz Hasan. Dia bercanda.

Razif turut gelak kecil.

“Bacaan ustaz lagi mantap. Lagi berkesan bila minum nanti.” Akhirnya mereka sama-sama tergelak.

Tidak mahu membuang waktu, Ustaz Hasan mengajak Razif untuk mengaji al-Quran. Razif tidak pula menolak. Mana mungkin dia menolak pelawaan seperti itu. Mengaji depan guru, itu lebih afdhal.

Berkaitan dengan hal Habib itu, Razif benar-benar berharap agar Allah membuka hati lelaki itu untuk berubah. Sebelum semuanya terlambat. Habib, aku sayang kau. Kau sahabat aku. Aku takkan biarkan kau. Selagi aku mampu, aku akan cuba berusaha untuk tarik kau kembali. InsyaAllah… Bisikan hati Razif bernada tekad.


++++++


Beberapa hari berlalu. Hari-hari yang berlalu itu seperti biasa dihiasi oleh pujukan dan nasihat ikhlas dari Razif untuk Habib. Namun, penerimaannya tetap sama, Habib tak layan semua tu. Dia tetap dengan dunia dia sendiri.

Petang di hujung minggu itu, Razif dan Firdaus bekerjasama untuk membersihkan kawasan sekitar rumah. Habib ada di rumah bersama mereka namun tidak pula lelaki itu mahu join sekali.

“Daus, kau rasa apa yang patut kita buat untuk tarik minat Habib untuk solat? Kau ada idea?” Soalan cepumas itu berjaya membuat Firdaus yang sedang enak meneguk air terus tersembur ke hadapan.

Razif yang melihat keadaan kawan serumahnya yang hampir tercekik itu segera tepuk-tepuk belakang Firdaus. Barulah Firdaus lega sikit.

“Kau tanya aku soalan macam tu, Zif? Manalah aku tahu. Aku ni pun dua kali lima dengan Habib tu, Zif. Iman belum cukup mantap nak nasihatkan orang,” ujar Firdaus sambil mengelap bibirnya dengan belakang tangan. Tak sangka Razif tanya soalan payah macam tu kat dia.

Razif senyum nipis. Jawapan Firdaus agak mendukacitakan dirinya. Kenapa semua orang fikir hanya orang beriman atau lebih tepat lagi ustaz ustazah sahaja yang boleh mengajak ke arah kebaikan? Diri kita sendiri juga boleh. Walau iman tidak kental. Selagi bergelar Muslim, amal makruf nahi mungkar itu menjadi tanggungjawab kita semua.

“Kita kena sampaikan sesuatu yang baik, walaupun kita takdelah baik sangat, Daus. Itu nama dakwah. Ah, takpelah. Yang penting macam mana kita nak buat Habib solat. Aku tengok dia makin jarang solat, Daus. Aku tak nak dia terus hanyut macam tu.”

Ucapan Razif yang berbunyi cukup prihatin itu buat Firdaus diam lama. Kepalanya ditolehkan ke belakang memandang ke arah Habib yang sedang leka bermain playstation. Dari Zuhur sampai ke Asar dan sekarang dekat nak Maghrib itulah pekerjaan budak tu. Bukan budak pun dah 26 tahun. Hmm… kadang-kadang Firdaus juga risau dengan keadaan sahabatnya itu. Main teruk perangai mamat tu sekarang. Seronok sangat ke bercinta dengan Nora, kekasih barunya tu? Sampai lupa tanggungjawab pada agama? Mustahil. Tapi itulah hakikatnya.

“Aku pun perasaan benda tu, Zif. Dan aku mengaku, aku tak pernah nasihatkan dia seperti mana kau nasihatkan dia. Aku rasa tak layak, Zif. Tapi aku akan sokong kau, dan akan cuba bantu kau untuk ‘pulihkan’ Habib.” Bahu Razif tertepuk perlahan oleh Firdaus. Dia tersenyum. Semua yang dia ucapkan itu lahir dari hatinya yang paling dalam.

Memang dia bukan seorang pemuda yang baik dan soleh. Tapi satu dia pegang. Solat tak pernah dia tinggal. Itu amanat yang ditinggalkan oleh arwah ibunya. Antara amanat dan perintah Allah, Firdaus sedar solat itu perlu ditunaikan andai kita mengaku kita ini beriman pada lima rukun Islam. Hukumnya wajib.

“Alhamdulillah… Terima kasih, Daus. InsyaAllah kita sama-sama usahakan. Kalau kau nak tahu, beberapa hari ni aku ada masak lauk dengan guna air bacaan Yasin dari Ustaz Hasan. Buatkan minuman untuk Habib dan kau pun aku guna air tu. Aku pun minum sama. Biar kita semua Allah bukak hati untuk berubah ke arah kebaikan, ya, Daus. Kau tak kisah kan aku buat semua tu?” Agak keberatan sebenarnya untuk Razif menceritakan rahsia ini. Tapi dia sudah terlajak kata. Harap-harap Firdaus faham niat baiknya.

“MasyaAllah… sampai macam tu sekali kau prihatin dengan iman kami, Zif. Aku bersyukur sangat ada kawan macam kau, Zif. Ya Allah, aku malu dengan kau. Kau pulak yang beria-ia nak kami berdua berubah. Sedangkan diri kami sendiri…hmm….”

Razif senyum kelat. Wajah mendung Firdaus ditatap dengan tenang.

“Selagi matahari tidak terbit dari arah barat dan selagi nyawa tidak berada di hujung kerongkong, selagi itulah kita ada peluang untuk bertaubat dan jadi lebih baik, Daus. Aku bukanlah baik sangat. Tapi untuk masuk Syurga, biarlah kita semua masuk sama-sama. InsyaAllah…”

Firdaus tertunduk. Sayu jiwa lelakinya mendengarkan luahan keinginan dari Razif itu.

Benarlah kata orang… kawan untuk berseronok itu ramai. Tapi kawan yang benar-benar mahu mengajak kita melangkah ke dalam Syurga jumlah jauh lebih sedikit. Tapi masih lagi sahabat seperti itu wujud. Buktinya, berdirinya seorang sahabat sejati di hadapannya kini.

“Malam ni aku nak ikut kau pergi masjid ya, Zif. Lama dah rasanya aku tak berjemaah kat masjid. Hmmm… boleh ke?”

Mendengarkan itu cangkul yang berada di tangan Razif hampir saja terlepas dari pegangan.

Allahuakbar… Sudah lama dia menantikan saat ini.

“Subhanallah, Alhamdulillah, Daus… mestilah boleh. InsyaAllah kita pergi sama-sama. Ajak Habib sekali. Kita cuba. Lagipun malam ni memang ada ceramah. Dari ustaz yang selalu keluar dari tv tu. Seronok dengar ceramah dia, Daus.” Teruja suara Razif saat itu. Hatinya berbunga-bunga. Senyuman tak lekang di bibir.

Firdaus ikut tersenyum. Alhamdulillah Allah menggerakkan hatinya untuk ke arah itu. Moga-moga gerakkan hati ini merupakan suluhan hidayah dari Allah untuknya. Mungkin ini adalah titiktolak perubahannya menjadi lebih baik. InsyaAllah…

Buat seketika, dibiarkan Razif meneruskan kerja buatnya sambil masih tersenyum girang. Firdaus toleh ke belakang memandang Habib. Lelaki itu masih leka dengan dunianya. Terleka dengan dunia. Sedangkan dunia itu cukup singkat tempohnya.

Astaghfirullahaladzhim… aku insaf, ya Allah. Firdaus berbisik sayu di dalam hati.


++++++

“Lawak jugak eh ustaz tu. Seronok aku dengar ceramah dia. Santai aje.” Firdaus bersuara ceria sambil kakinya sibuk menyarung selipar. Hampir dua jam dia berada dalam masjid mendengar ceramah dari Ustaz Hariyanto Rizal Rokman. Sudah lama rasanya dia tidak mendengar ceramah secara live seperti ini. Alhamdulillah banyak ilmu yang dia dapat.

“Memang santai. Ustaz tu memang lawak sikit. Ini first time dia datang ke masjid kita. Beruntung kita dapat dengar ceramah dia kan. Kalau Habib ada mesti lagi seronok.” Suara Razif sedikit mengendur. Firdaus cuma mampu tersenyum kelat.

“Nak buat macam mana dah dia tak nak ikut. Kita dah ajak kan. Takpelah, Zif. Kita cuba lagi pujuk dia. Dahlah jom balik. Esok aku kerja. Kena bangun awal.” Ditilik jam di pergelangan tangan. Sedar tak sedar sudah masuk jam 10.15.

Razif menghela nafas panjang. Dia angguk kepala seraya melangkah beriringan ke tempat parkir motosikal.
Sebelum ke masjid tadi, seperti biasa dia ada mengajak Habib untuk ikut sekali. Sudah diberitahunya ada ustaz yang selalu muncul dalam kaca tv akan berceramah di masjid malam ini. Namun, apa yang Razif dapat hanyalah jelingan dan kata-kata kurang enak didengar. Habib menolak ajakannya. Semenjak dua menjak ini Habib agak perengus. Entah apa masalah sahabatnya itu.

“Zif, jomlah. Menung apa lagi tu.” Suara Firdaus membangunkan Razif dari lamunan. Huluran topi keledar dari Firdaus disambut perlahan. Dia menguntum senyuman nipis.

“Dah jom.” Mereka sama-sama pulang ke rumah dengan menaiki motosikal Firdaus.


+++++++

“Bie, tolonglah jangan buat saya macam ni. Saya betul-betul sayangkan awak. Awak sorang aje saya sayang. Please bie jangan buat saya macam ni. Saya tak boleh hidup tanpa awak!” Rayuan dan pujuk rayu dilafazkan dengan penuh perasaan oleh Habib kepada kekasih belum halalnya, Nora.

Terkejut Habib dengan SMS yang diterimanya dari Nora seketika tadi. Baru saja dia nak melelapkan mata, tiba-tiba ada SMS baru masuk. Tengok-tengok jam dah pukul 12 tengah malam. Kalau mesej dari Nora, pukul 3 pagi pun Habib sanggup baca.

Apa yang mengejutkannya, Nora mengatakan bahawa dia ingin memutuskan hubungan mereka berdua. Dengan alasan, Nora sudah tiada cinta untuk Habib lagi. Sememangnya hubungan mereka semenjak dua menjak ini agak pincang. Masing-masing asyik mahu mencari gaduh. Kerana itu mood Habib sangat down dua tiga hari ni. Semuanya gara-gara Nora kesayangannya!

“Saya memang tak boleh teruskan hubungan ni lagi, Habib. Saya minta maaf. Tolonglah terima hakikat ni. Awak dengan saya macam langit dengan bumi. Sikap perengus awak betul-betul mengjengkelkan saya!”
Habib terkedu lagi. Sakit hatinya mendengarkan pengakuan Nora itu.

“Saya boleh ubah. Saya akan cuba berubah. Bie, jangan tinggalkan saya ya.”

“Ah! Saya dah banyak mengalah. Saya dah banyak kali tertipu dengan awak. Awak cakap nak berubah tapi langsung tak berubah!”

Habib mengeluh. Digenggam kemas penumbuknya.

“Nora… saya…”

Sedang perbincangan penting itu berlangsung, ada sesuatu yang lain pula mengganggu Habib. Konsentrasinya untuk memujuk Nora benar-benar terganggu dek suara kuat Razif mengaji al-Quran di bilik sebelah. Dengan dengusan keras, Habib mula menuju ke pintu.

Nora di talian tidak dihiraukan olehnya lagi. Yang penting dia mahu Razif diam!

“Hoii! Kau boleh diam tak hah?! Aku tengah pujuk awek aku, yang kau bising sangat mengaji tengah malam buta apahal?!” Jerkahan kuat dari Habib menyentak hati kecil Razif. Segera dia menyudahkan bacaannya dengan lafaz 'shadaqallahul adzim'.

“Maafkan aku, Bib. Aku ingat kau dah tidur,” ucap Razif dengan perlahan.

“Ah! Dengan suara kuat kau tu aku yang dah tidur ni pun boleh terjaga baliklah!” Dan tidak disangka-sangka jerkahan Habib itu didengari dengan jelas oleh Nora di talian. Perempuan itu sekali lagi bersuara.

“Habib! Ini yang saya paling benci pasal awak! Awak memang perengus! Kalau orang tengah mengaji pun awak boleh tengking, entah apa yang awak akan buat pada saya bila kita dah kahwin nanti! Awak memang bukan pilihan hati saya! Kita putus!”

Talian terputus.

Habib tergamam di situ.

Razif yang tidak mengerti apa yang terjadi hanya mampu mendiamkan diri masih duduk bersila di atas lantai. Al-Quran dibukanya kembali.

Baru satu ayat Razif sempat baca, tiba-tiba Habib meluru ke arahnya. Tidak sempat berbuat apa-apa, satu tumbukan singgah ke pipi Razif. Razif tersembam mencium lantai.

“Sebab kaulah Nora dengar semua tu tadi! Kau memang tak habis-habis nak sakitkan hati aku, Razif!!!” Satu lagi tumbukan mengena ke perut Razif. Habib benar-benar dah menggila. Dirinya bagaikan sudah dirasuk syaitan.

“Bib, Bib… kenapa dengan kau ni…” Razif bersuara penuh kesakitan. Entah dosa apa yang telah dia buat hingga dia perlukan seperti ini. Siapa pula Nora? Kekasih Habib kah? Apa kena-mengena dengan dirinya?

“Ahhhh! Aku dah lama tak suka dengan kau! Sikap kau yang bajet alim tu buat aku naik muak kau tahu tak! Kau ceramah aku 24 jam sehari! Kau ingat aku suka sangat ke dengar semua tu, hah!” Kali ini tubuh Razif yang sudah lembik dipaksa oleh Habib untuk berdiri. Dipaut kolar baju Razif kemas.

“Kalau kau nak jadi baik, ikut suka kaulah! Aku boleh jadi baik bila-bila aku naklah! Kau jangan menyibuk dalam urusan aku!” Sungguh pedih hati Razif mendengar kata-kata Habib itu. Habib bercakap seperti orang yang sudah mati hatinya. Ya Allah, pegang hati Habib, ya Allah… jangan biarkan dia terus lemas dalam dunia penuh kekeliruan ini. Sempat hati kecil Razif merintih.

“Lepas ni kau jangan campur tangan dalam urusan aku lagi! Aku nak solat ke, aku tak nak ke! Kau jangan sibuk! Kalau takkkk….”

“Habib, Razif! Apahal dengan korang ni hah?!” Muncul Firdaus di muka pintu. Pantas dia meluru ke arah Habib dan Razif. Pegangan kemas Habib yang memegang kolar baju Razif cuba dirungkainya. Namun Habib tetap berkeras. Tubuhnya pula yang ditolak oleh lelaki perengus itu.

“Kau jangan masuk campur, Daus! Karang dengan kau-kau aku tumbuk!”

Firdaus tetap berkeras juga. Dia cuba menjauhkan Habib yang makin menggila. Kali ini ditolak kuat tubuh Razif hingga ke dinding batu.

Kokkk. Satu hentakan kuat mengena kepala Razif. Sungguh kepalanya terasa seperti mahu pecah saat itu. Dia mula berasa pening.

“Kau dengar sini baik-baik, Razif! Mulai dari malam ni, aku halau kau dari rumah ni! Kau boleh menyewa rumah lain! Kau berambus dari rumah ni jangan munculkan muka kau depan aku lagi! Aku benci kau, aku benci kauuuu!” Dengan fikiran yang sudah hilang kewarasannya, buat kali yang terakhir perut Razif tertumbuk sekuat hatinya. Habib terus melangkah pergi tanpa menyedari bahawa Razif sudah nyawa-nyawa ikan saat itu.

“Ya Allah, Razifffff! Razif bangun! Razif!!!”

Saat kaki Habib berada di muka pintu, tiba-tiba suara Firdaus menjerit kuat memanggil Razif. Pantas kepalanya ditolehkan ke belakang mahu melihat apa yang terjadi.

Saat dia memandang ke belakang, terlihat olehnya Razif sudah pun terjelepuk jatuh ke lantai. Dan pada dinding batu bercat putih itu, terdapat kesan darah merah.

Melihat semua itu, Habib hanya mampu menggigil penuh ketakutan. Ya Allah, apa yang dah aku buat… Dia kaku di situ melihat Firdaus berusaha membangunkan Razif yang sudah tidak sedarkan diri.


+++++++

“Ya Allah ustaz apa yang dah saya buat ni. Saya… saya hampir bunuh kawan saya sendiri. Saya berdosa, ustaz…” Rintihan dari Habib tak berhenti sedari tadi. Dia merengek, bercakap seorang diri dan bertindak menyakiti dirinya dek merasa bersalah di atas apa yang sudah menimpa Razif.

“InsyaAllah Razif tak apa-apa. Kita terus doakan dia. Ya?” Bahu Habib ditepuk –tepuk oleh Ustaz Hasan. Mereka masih berada di luar ICU menanti keputusan dari doktor.

Razif yang tidak sedarkan diri dikejarkan ke hospital. Dalam perjalanan itu, makin banyak darah yang keluar dari kepala Razif. Di dalam kereta Razif yang sudah pengsan dipangku oleh Habib sendiri. Firdaus pula memandu kereta dan tidak habis-habis menyalahkan Habib atas yang dah berlaku.

Untuk marahkan Firdaus, Habib tahu sememangnya dia yang salah. Kerana terlalu ikutkan nafsu amarah, sanggup dipukul dan dibelasahnya Razif sampai tidak sedarkan diri seperti ini.

Yang lebih membuat Habib merasa takut, Razif terus dikejarkan di bilik ICU apabila doktor mengesahkan tengkorak kepala Razif sudah rentak dek hentakan yang terlalu kuat. Habib cuba mengingati kembali apa yang sudah terjadi. Tanpa sedar, pasti dia sudah menghentak kepala Razif ke dinding tanpa memikirkan apa kesan terhadap lelaki itu. Yang penting saat itu nafsu amarahnya terlunas. Kerana kecewa dengan perpisahannya dengan Nora, Razif yang tidak bersalah menjadi mangsa. Apatah lagi saat itu, sahabat baiknya itu sedang mengaji al-Quran.

Aku memang tak guna! Habib makin bertambah sesal!

“Ni semua salah kau, Bib. Apa kita nak jawab pada mak ayah Razif nanti! Apasal perangai kau makin teruk, hah?! Kau memang bukan kawan yang baik!” Amarah Firdaus tiba-tiba meletus. Dia berdiri di hadapan Habib sambil menunjal-nunjal bahu Habib yang sudah keras seperti patung.

“Ya Allah, sudah Firdaus. Tak baik salahkan Habib dalam keadaan Razif tengah berjuang kat dalam sana tu. Sabar, banyakkan istighfar. Kita kena teruskan berdoa. Jangan cakap yang bukan-bukan. Istighfar…” Kali ini Ustaz Hasan sudah berdiri cuba menenangkan Firdaus. Diajak Firdaus duduk sedikit jauh dari Habib.

Firdaus mendengus keras. Sakit hatinya saat ini. Sampainya hati Habib lakukan perkara seperti itu pada lelaki sebaik Razif. Apa salah Razif? Baca al-Quran pun sampai nak kena pukul sampai macam tu sekali ke? Atau ada sebab lain?

Dia yang sedang nyenyak tidur tiba-tiba terus terbangun dari tidur apabila terdengar ada suara bising-bising di tingkat atas. Firdaus cuba untuk tidak ambil kisah namun apabila dia mendengar suara Habib jelas menengking-nengking, tak sedap hati dia saat tu. Terus dia mendaki ke tingkat atas. Tengok-tengok saja tangan Habib dah terangkat nak tumbuk muka Razif. Muka Razif pula sudah ‘pecah’ dikerjakan oleh Habib.

“Razif! Razif anak mak….” Sedang suasana tegang melanda Habib dan Firdaus, tiba-tiba saja muncul suara rintihan seorang perempuan dari hujung penjuru. Semua mata terarah pada Makcik Saleha dan Pakcik Yaakob. Langkah mereka laju mendapatkan Ustaz Hasan.

“Ustaz… ustaz anak saya kenapa. Kenapa dengan Razif? Apa dah jadi pada dia sebenarnya?” Suara Pakcik Yaakob kedengaran menyapa payah ke telinga Habib. Tidak dapat dia nak mengangkat muka memandang ke arah kedua-dua ibu bapa Razif itu lagi. Kalau boleh dia mahu larikan diri!

“Banyakkan bersabar, Pak Kob. Razif ada kat dalam sekarang. Dia… dia…” Ustaz Hasan sendiri tidak mampu berkata-kata. Dia juga keliru untuk menceritakan hal yang sebenar atau apa. Dia sebenarnya kesiankan Habib. Andai ibu ayah Razif tahu apa yang dah Habib lakukan pada anak mereka, entah apa tindakan orang tua itu.

“Dia kemalangan ke, ustaz? Ke dia jatuh…”  Makcik Saleha tidak berdaya lagi. Dia terduduk ke kerusi sambil menangis mengenangkan nasib anak tunggalnya itu.

Dia dikhabarkan oleh Ustaz Hasan ada sesuatu telah menimpa Razif. Mereka suami isteri diminta dengan kadar segera untuk ke hospital. Ustaz Hasan cakap Razif dimasukkan ke ICU.  Tidak sempat bertanya lanjut terus mereka sewa kereta dan datang ke sini.

“Makcik… pakcik…”

Makcik Saleha terpana dengan kedatangan Habib yang sememangnya dikenalinya, tiba-tiba melutut di hadapannya. Makcik Saleha dan Pakcik Yaakob berpandangan sesama sendiri. Kemudian mereka pandang pula ke arah Ustaz Hasan dan Firdaus.

“Habib… kenapa ni, nak?” soal Makcik Saleha.

Habib masih tertunduk. Air mata tak semena terbit di tubir mata. Ia gugur satu persatu membasahi pipi.

“Maafkan saya, makcik. Maafkan saya, pakcik. Saya… saya yang salah. Saya dah… saya dah pukul Razif. Maafkan saya. Ampunkan saya, makcik…pakcik…”

Mendengarkan itu Makcik Saleha tergamam buat seketika. Pakcik Yaakob pula terduduk tidak mampu menampung badannya lagi.

“A-apa maksud kamu ni Habib. Pukul? Pukul Razif? Kenapa? Kenapa?!”

Terus ditolak Habib menjauh darinya. Makcik Saleha mula menjerit penuh kesedihan.

Habib tidak terkata lagi. Dipandang wajah Ustaz Hasan dan Firdaus dengan pandangan redup. Pandangan itu cukup untuk memberitahu kedua-dua mereka bahawa saat ini dirinya sangat memerlukan sokongan dan bantuan.

Pengakuan yang dia lafazkan tadi lahir dari hatinya yang paling dalam. Dia tahu, dia perlu bertanggungjawab dengan apa yang sudah dilakukannya. Andai ibu bapa Razif mahu menahannya sekali pun dan menghantarnya ke lokap, dia sanggup. Sungguh Habib sudah tidak mampu menanggung penyesalan yang makin hebat menghimpit hati. Andai dengan masuk lokap dan dihukum oleh undang-udang mampu membuang semua rasa kesalnya, dia sanggup lakukan itu! Dan yang paling penting juga, kedua-dua mak ayah Razif sudi memaafkan kesilapannya. Dan yang lebih utama, Razif sendiri sudi memaafkan perbuatan kejam yang telah dia lakukan ini.

Ya Allah, aku mohon padaMu. Sembuhkan sahabat aku, Razif. Sedarkanlah dia, ya Allah. Jangan ambil nyawa dia. Aku banyak buat salah dengan dia. Ampunkan aku, ya Allah. Aku takut dengan pembalasan dariMu. Sembuhkan Razif, ya Allah…

Habib hanya mampu berdoa dan merintih di dalam hati. Sedar-sedar saja ada seorang doktor baru keluar dari ICU dan menyampaikan satu berita yang membuatkan semua yang berada di situ tergamam sayu.

“Encik Razif sekarang berada dalam keadaan koma. Dia mungkin tidak akan sedarkan diri dalam jangka masa yang panjang. Maafkan kami. Kami dah cuba lakukan yang terbaik. Banyaklah berdoa. Moga-moga ada keajaiban berlaku…” Doktor terus berlalu pergi.

Tangisan Makcik Saleha makin berlagu nyaring. Pakcik Yaakob pula hanya mampu tertunduk bagai cuba menahan kesedihan yang makin menghimpit sanubari. Ustaz Hasan dan Firdaus sudah tidak mampu berkata apa.  Dan Habib pula… dia tersandar lemah ke dinding menangisi apa yang sudah dilakukannya pada lelaki sebaik Razif.


+++++++

Enam bulan berlalu….

“Assalamualaikum, Razif. Kau apa khabar hari ni? Sihat? Ni aku ada bawakan buku favourite kau. Bawa Hatiku Menuju Tuhan. Dari dulu kau mintak aku baca buku ni kan? Hmm… sekarang baru nak baca buku ni, Zif. Dan aku dah habis pun baca. Memang menginsafkan…” Habib terdiam buat seketika. Buku yang dipegangnya diletakkan di sisi Razif.

Wajah Razif yang tenang ditatap dalam oleh Habib. Mata lelaki itu celik bagaikan sedang memandang ke arahnya. Namun, hakikatnya Razif berada dalam keadaan koma. Keadaan ini sudah berlanjutan enam bulan. Masih tiada sebarang perubahan. Entah bilalah Razif akan sedar dan pulih seperti sedia kala. Habib tak pernah berhenti berdoa untuk sahabatnya ini.

“Aku dah mengaji surah Ali Imran sekarang, Zif. Baru masuk ayat ke sepuluh. Ustaz Hasan cakap aku ada suara. Kalau nak masuk pertandingan tilawah tu, kena praktis lagi. Ustaz, ustaz… sengaja nak buat aku bangga kan…”

Habib bercakap seorang diri. Walaupun tiada respon dari Razif namun dia yakin Razif dapat mendengar kata-katanya.

Sepanjang enam bulan ini… banyak yang sudah berubah dalam hidup lelaki bernama Habib. Dia sudah berjaya menemui kembali sesuatu yang selama ini hampir hilang dari hidupnya. Apa yang selalu Razif nasihatkan padanya sebelum ini, semua dilakukan olehnya dengan rela hati. Nasihat Razif diikutinya.

Walaupun dirinya sudah berdosa dan bersalah kerana telah membelasah Razif sehingga lelaki itu berada dalam keadaan sekarang, ibu bapa Razif sudi memaafkan kesilapannya. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa Habib bersyukur dengan kemaafan yang diterimanya itu.

Terasa bagaikan dirinya diberi peluang yang kedua untuk hidup.

Hati kedua-dua ibu bapa Razif tersangat mulia. Mereka redha dengan keadaan yang menimpa anak mereka itu. Semua ini sudah ketentuan dari Ilahi. Sebagai hamba, kita perlu redha dan ikhlas dengan ujian.

Keadaan itu telah membuka lembaran baru dalam hidup Habib. Mungkin inilah hikmah di atas kejadian yang menimpa Razif.

Dia kini sudah berubah. Berlari pulang menuju Tuhan. Takkan dia berpaling lagi ke belakang. Mengemis cinta dari Tuhan akan menjadi matlamat hidupnya.

Kalau dulu dia suka lewatkan solat dan kebanyakannya dia suka tinggalkan solat, kini tidak lagi. Habib berusaha untuk tunaikan solat yang wajib dan belajar untuk melakukan ibadah yang sunat. Perubahan ini disokong kuat oleh Firdaus dan Ustaz Hasan.

Ustaz Hasanlah yang banyak mengajar dan membantunya untuk kembali mengenal Tuhan.

Berkawan dengan kawan yang benar, mampu mendekatkan lagi diri kita dengan Allah SWT.

Firdaus juga banyak membantunya. Mereka sama-sama menjadi anak murid pada Ustaz Hasan. Mereka belajar solat bersama-sama, belajar mengaji bersama-sama dan ke masjid bersama-sama jika ada kelapangan. Dan andai di rumah, mereka juga akan solat berjemaah bersama-sama. Andai saja Razif ada bersama mereka, pasti keadaan akan jadi lebih menggembirakan.

Tapi Allah telah menetapkan Razif untuk tidak berada dalam perjalanan perubahan kisah hidup Habib. Cumanya, lelaki itu telah menjadi pencetus untuk Habib berubah.

“Aku mintak maaf dengan kau, Zif. Aku banyak buat salah dengan kau. Kau cepat-cepat sembuh ya. Firdaus cakap kau teringin nak solat berjemaah dengan aku dan dia kat masjid. Jadi kau kena cepat-cepat bangun, Zif. Kita ke masjid sama-sama. InsyaAllah…” Habib jadi sebak.

Matanya berkaca mengenangkan perbuatan bodohnya pada Razif dulu. Lelaki itu terlalu baik untuk dijadikan musuh. Namun kerana kekerasan hatinya, dia melayan Razif bagaikan Razif itu seorang musuh yang harus dijauhi.

“Aku dah lain sekarang, Zif. Kau bangunlah… kau bangun dan tengok perubahan aku ni. Kau bangun, Zif… aku tunggu kau….” Bahu Razif ditepuk perlahan. Habib tersenyum dalam tangisan.

“Aku nak pergi ambil wuduk kejap. Aku bacakan kau surah Yasin ya.” Habib tinggalkan Razif di situ. Dia menuju ke bilik air.

Sepanjang enam bulan Razif terlantar koma di sini, dia dan ibu bapa Razif bergilir-gilir menjaga Razif siang dan malam. Dan inilah rutinnya setiap kali dia ke sini. Membaca ayat-ayat suci untuk Razif, membacakan buku-buku untuk Razif, berborak-borak dengan Razif… semua itu menjadi terapi untuk menyedarkan Razif dari koma. Dengan izin Allah, Razif akan bangun suatu hari nanti. InsyaAllah… Tidak bulan ini, mungkin bulan depan. Tidak tahun ini mungkin tahun depan. Biarlah selama mana sekalipun Razif dalam keadaan koma, Habib akan setia dengan sahabat dunia akhiratnya ini. Selagi nyawa dikandung badan.
Di saat Habib berada dalam tandas, saat itulah ada sesuatu yang sudah berlaku pada Razif. Saat itu tak semena-mena menitis setitik air mata ke pipi Razif. Air mata berharga yang menandakan dia dengar dengan jelas apa yang telah Habib luahkan seketika tadi.

‘Syukur Alhamdulillah, Bib. Aku gembira sangat dengan perubahan kau ni. Kau teruskan, jangan pernah berpaling lagi. Berlarilah kau menuju jalan pulang. Allah sentiasa menanti hamba-hambaNya untuk kembali kepada sisiNya. Tahniah, Bib. Tahniah kerana sudah menjadi Habib yang baru. Alhamdulillah…’

 #Apabila kita hampir atau telah kehilangan seseorang atau sesuatu dalam hidup kita, barulah kita akan tersedar akan kepentingan seseorang atau sesuatu itu dalam hati kita.

#Ujian itu merupakan satu nikmat dari Allah SWT. Kerana melalui ujian kita tahu bahawa Allah masih menyayangi kita.

-TAMAT-