JOM FOLLOW

Saturday 27 September 2014

Terlewatkah Cinta Kita? [THE END]




DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.


BAB 15


“Sudikah awak menerima saya sebagai suami awak?” Sebentuk cincin bertahtakan sebutir berlian dihulurkan pada Dayang. Sungguh Tuah tiada sebarang persiapan untuk lamarannya kali ini. Tiada bunga yang ada hanya cincin ini. Cincin yang tidak sempat diberikan pada Dayang pada lamaran pertamanya dulu. Cincin yang sentiasa dibawanya ke hulu ke hilir. Cincin yang menanti tuan yang berhak memilikinya. Siapa lagi kalau bukan Dayang Zulaikha.

Dayang tergamam dengan lamaran mengejut Tuah. Ya, walaupun dia cukup tahu perasaan cinta lelaki itu terhadapnya namun, dia tidak menyangka pula sepantas ini Tuah ingin melamarnya.

“Saya… saya…” Dayang gagap.

“Sudikah awak menerima lelaki yang serba kekurangan ni sebagai suami awak?” Sekali lagi soalan itu ditanya pada Dayang.

Mungkinkah Dayang belum bersedia menerima cintanya? Tuah tidak sanggup kecewa buat kali yang kedua.


++++


“Abang tak penat ikut Dayang? Hmm?” Dayang bertanya sambil usap pipi Tuah lembut.

Tuah gelengkan kepala manja. “Tak. Abang suka.” Jawapannya juga manja.

Dayang tersenyum saja. Dibiarkan Tuah terus berdiri di belakangnya dan dia meneruskan kerja buatnya.

Gulai ayam kampung yang sudah hampir siap dikacau-kacau lagi buat kali yang terakhir. Menu gulai ayam kampung dan sayur campur dipesan oleh suami tercintanya. Sebagai isteri, wajib Dayang menuruti perintah sang suami.

Dua bulan berlalu setelah lamaran itu. Ya, Dayang menerima lamaran Tuah dengan hati yang cukup terbuka.

Sudah tidak mampu lagi untuk dia menafikan perasaannya sendiri. Dalam hati ada dia. Ada lelaki yang bernama Tuah Dzulkarnain.

Kini mereka telah sah bergelar suami isteri. Cinta mereka bersatu dalam ikatan yang diredhai.

Dayang dan Tuah tinggal di rumah Ibu Orked menemani wanita tua itu. Syukurlah bonda Tuah, Datin Sri Jamilah tidak kisah dengan keadaan itu. Dia sangat faham keadaan Ibu Orked yang keuzuran.

Tapi Tuah tidak melupakan bondanya. Setiap hujung minggu, dia dan Dayang akan bermalam di sana menemani Datin Sri Jamilah. Begitulah rutin mereka. Bergilir-gilir mencurahkan kasih sayang sesama mereka.

“Dah siap.” Dapur gas ditutup. Dayang tersenyum penuh puas.

“Bau dah menyelerakan. Rasanya pasti bertambah-tambah menyelerakan.” Pujian Tuah buat Dayang makin tersenyum lebar. Lelaki itu tak habis-habis memuji masakannya.

“Belum rasa dah tahu. Abang memang sengaja nak sedapkan hati Dayang ya.” Dayang bersuara manja. Diceduk dengan berhati-hati gulai ayam kampung ke dalam mangkuk besar.

Tuah yang tidak tahan mendengar suara manja isterinya terus merangkul pinggang Dayang. Dagunya didarat kemas ke bahu Dayang. Dayang yang sudah terbiasa dengan perbuatan Tuah itu langsung tidak menolak.

“Kenapa dulu Dayang tak pernah bersuara manja macam ni bila cakap dengan abang? Kalau abang tahu Dayang ni manja macam ni, abang dah lama minta bonda lamar Dayang.” Dayang terus tergelak kecil mendengarnya. Dia punya jawapan tersendiri bagi soalan Tuah itu.

“Manja Dayang hanya untuk suami Dayang yang sah. Mana boleh tunjuk kat lelaki yang tak berhak. Hmm….” Ada keluhan di hujung kata. Rasa pilu tak semena hadir dalam hati kecilnya.

Tuah yang menyedari perubahan emosi isterinya memaksa Dayang menghadapnya. Tubuh Dayang dipusing ke arahnya.

“Kenapa ni? Hmm?” Dagu Dayang dipegang lembut. Air muka Dayang sudah berubah muram.

“Maafkan Dayang abang. Sebelum abang, Dayang dah pernah… Dayan dah serahkan mahkota Dayang yang paling berharga pada lelaki lain. Dayang menyesal. Dayang betul-betul menyesal, abang.”

Terus saat itu Tuah mendakap tubuh Dayang. Sungguh dia tidak suka setiap kali isterinya membicarakan soal itu. Bukan kerana dia merasa jijik dengan masa lalu Dayang itu. Tidak. Sebaliknya, setiap kali Dayang mengungkit hal itu, Tuah teringat pada kelancangan mulutnya menghina perempuan itu dulu. Kerana merasa dirinya lebih mulia, dia menghina Dayang yang ternyata lebih mulia darinya. Kerana perempuan itu sudi memaafkannya dan kembali ke kampung ini kerana dirinya. Dayang benar-benar seorang wanita yang berhati mulia.

“Shyyy… jangan cakap hal ni lagi. Abang tak suka dengar. Sayang tahukan kenapa abang tak suka? Sebab abang akan teringat pada kebodohan abang menghina Dayang dulu. Abang yang sepatutnya minta maaf.” Pelukan mereka terungkai. Tangan mereka bersulam erat.

“Abang cintakan Dayang?” Tak semena, keluar soalan itu dari bibir Dayang.

Tuah angguk laju. Berkali-kali dia mengangguk.

“Angguk aje?” Dayang cuba bersuara ceria. Kehibaan mereka seketika tadi cuba dihapuskan. Apa yang berlalu, biarkan berlalu. Kini, Allah telah memberi peluang untuk mereka berdua untuk sama-sama menjadi manusia yang lebih baik.

Kemaafan dan keampunan Allah itu pasti. Tapi manusia, kebanyakkan lebih sombong dari Allah untuk memaafkan.

“Abang cintakan isteri abang. Hanya dia yang ada dalam ni….” Tangan Dayang dibawa ke dadanya. Tuah menarik Dayang lebih dekat. Dahi wanita itu dikucup penuh kasih.

“Terima kasih kerana cintakan Dayang. Kalau abang nak tahu….” Ucapan Dayang terhenti. Dia sengaja mencipta mood saspen untuk Tuah.

Tuah angkat kening. “Nak tahu?”

Dayang tersenyum seraya menyambung kata.

“Kalau abang nak tahu, Dayang pun cintakan suami Dayang. Dia berada di tempat ketiga dalam carta hati ni.”

“Apa? Ketiga? Hmmm…” Tuah mencebik kecil. Dipalingkan wajahnya daripada terus menatap muka Dayang.

Dayang pantas memicit bibir muncung Tuah itu. Dia tertawa lagi. Bahagia.

“Pertama, cinta Dayang untuk Allah. Kedua, cinta Dayang untuk Rasulullah. Ketiga….”

“Ketiga cinta sayang untuk Tuah Dzulkarnain. Keempat, cinta sayang untuk….  Tuah Dzulkarnain. Kelima, cinta sayang untuk Tuah Dzulkarnain. Keenam, ketujuh, kelapan…”

“Banyaknya cinta Dayang untuk abang. Mana aci. Cinta Dayang untuk ibu dengan bonda nak letak nombor berapa?” Dayang pula yang tarik muncung.
Tuah tersengih.

“Cinta  sayang untuk ibu dan bonda jatuh nombor empat setengah.”

Mereka sama-sama tergelak bahagia. Empat setengah pun ke…

“Abang bahagia…” Tuah bisik ke telinga Dayang.

Dayang mengukir senyuman indah. Dia juga angguk kepala. 

“Dayang pun.”

“Dan ternyata cinta kita tak terlewat.” Tuah pandang wajah Dayang tak berkelip. Dayang juga sama.

“Andai hati perlukan cinta, aku pula perlukan dirimu untuk aku cintai. Selamanya…” Buat sekian kalinya dahi Dayang dikucup lama.

Setitis air mata Dayang gugur jua.

Kebahagiaan ini datang dari Ilahi. Benar bukan, apabila kita bersabar dengan ujian, Allah SWT pasti akan memberi kita keuntungan. Keuntungan dalam bentuk berita gembira. Berita gembira bagi Dayang dan Tuah adalah kebahagiaan dalam rumah tangga mereka. Moga-moga ia berkekalan hingga ke akhir hayat mereka.

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah, yang bermaksud :

“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan : “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun (sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali).” Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (QS. Al-Baqarah : Ayat 155-157).

TAMAT.

*Akhir bicara, setiap manusia itu tidak pernah mampu lari daripada melakukan kesilapan dan dosa. Namun, sebaik-baik manusia yang berdosa adalah manusia yang segera bertaubat dan kembali ke jalan yang diredhaiNya.

Siapa kita untuk menilai masa lalu orang lain andai keampunan Allah sudah pun menjadi miliknya.


Friday 26 September 2014

Terlewatkah Cinta Kita? [BAB 14]




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


BAB 14


“Kenapa Tuah tak halang dia?” Datin Sri Jamilah bertanya penuh kecewa.

Tuah gelengkan kepala lemah. Hatinya pilu mengenangkan Dayang sudah menjauh darinya.

“Tuah tak layak untuk dia, bonda. Tuah dah hina dia. Dia mesti takkan terima cinta Tuah lagi.” Jawapan Tuah cukup mengecewakan Datin Sri Jamilah. Dia terus terduduk lemah di sebelah anak bujangnya yang sedang putus cinta itu.

“Bonda tak sangka anak lelaki bonda ni lemah orangnya.” Tuah tersentak. Dikalihkan mukanya memandang wajah bondanya bingung.

“Ya, lemah. Tuah ibarat mencangkul tanah mencari emas. Hampir ke penamat, namun Tuah berhenti mencangkul. Padahal andai sedikit lagi Tuah mencangkul, pasti emas itu akan kelihatan. Bonda kecewa dengan Tuah. Kecewa….” Datin Sri Jamilah bangun dari kerusi. Sungguh dirinya sedang kecewa.  Andai begini pengakhiran kisah cinta Tuah dan Dayang, maka tidak tertunailah keinginannya selama ini.

Dayang wanita baik-baik. Datin Sri Jamilah yakin gadis itu sudah benar-benar berubah. Dan dia juga sangat yakin dalam hati Dayang sudah ada benih cinta bercambah untuk Tuah. Tuah memang buta untuk melihatnya. Hati perempuan bukan dinilai dengan mata kasar. Tapi diselami dengan hati nurani.

Mungkin Tuah tak nampak semua itu. Nampak gayanya dia harus masuk campur sekali lagi dalam urusan mereka berdua.

Melihat langkah bondanya makin menjauh darinya, Tuah terus mengeluh berat. Penumbuknya dikepal lalu ditumbuk meja penuh geram.

“Dayang!” Rindu untuk si Dayang Zulaikha mula bertandang ke dalam hati Tuah Dzulkarnain. Rindu yang disusuli dengan penyesalan.


+++++


3 Bulan Kemudian…

Kok kelek kok.

Bunyi kokokan ayam jantan yang sedang duduk bertenggek atas sebatang pohon mati membangunkan Tuah dari lamunannya.

Senyuman lemah terukir di bibir tatkala mengingatkan kenangan manisnya dengan Dayang. Hanya kenangan yang ada untuk Tuah tidak melupakan si pemilik nama Dayang Zulaikha itu. Kenangan indah membuat dia tersenyum. Namun, kenangan duka di saat dia pernah menghina gadis itu membuat Tuah marah dengan dirinya sendiri.

Pejam celik pejam celik, sudah hampir tiga bulan Dayang pergi meninggalkan kampung ini sekaligus meninggalkan dirinya. Rindu pada wanita itu telah menyebabkan Tuah menapak ke sini setiap hari. Sengaja dia berjalan. Dia ingin merasai ‘kewujudan’ gadis itu di sisinya walaupun hakikatnya gadis itu telah jauh darinya.

Setiap hari semenjak dari pergi, Tuah datang ke rumah ini. Dia duduk di pangkin ini sambil memerhati rumah Dayang untuk beberapa jam lamanya. Dan tidak ketinggalan, Tuah juga menawarkan dirinya sendiri untuk membersihkan halaman rumah dan memberi makan kepada ternakan ayam dan itik yang ditinggalkan oleh Dayang. Kata Mak cik Ita, Dayang telah memberi secara percuma ternakannya itu padanya. Mengetahui hal itu, Tuah telah membayar wang kepada Mak cik Ita untuk membeli ayam dan itik itu. Asalkan ia milik Dayang, Tuah sanggup dapatkannya!

Hal kilang dan kolam ternakan, Tuah sudah serahkan pada Ajim, orang kepercayaannya. Mood dan semangatnya hilang untuk menguruskan semua itu. Biar masa yang mengubat lukanya ini.

Tuah memberi tempoh masa untuk dirinya sendiri untuk terus ‘lena’ dibuai kenangannya dengan Dayang. Bulan depan, insyaAllah dia akan memulakan rutin hariannya seperti biasa. Bukan bermakna dia ingin melupakan Dayang tapi hidup harus diteruskan.

“Hmmm…” Tuah mengeluh kecil. Hampir sejam sudah dia berada di sini. Sudah tiba masanya untuk pulang. Pukul 10 nanti ada wakil dari Kuala Lumpur akan menemuinya di kilang bagi membincangkan penjualan buah mangganya untuk pasaran lebih luas.

Kuala Lumpur. Kota Kuala Lumpur bukanlah terlalu jauh dari kampungnya ini. Boleh andai dia ingin menjejak Dayang ke sana. Namun, dia tidak sanggup pula untuk berdepan dengan penolakan gadis itu.

Biarkan bonda sering menasihatinya untuk cari Dayang, Tuah tetap keraskan hati. Dayang bukan suka pun padanya. Gadis itu pasti masih lagi bersedih dan kecewa dengan penghinaannya yang lalu. Hati perempuan, mulut kata maaf. Tapi sesekali tidak mudah bagi mereka untuk melupakan.

Tuah bangun dari pangkin. Selipar jepun disarung kemas ke kaki. Dia melangkah ke hadapan rumah.

Masih berat hati untuk pulang, dia kembali duduk di atas tangga bagi melayan rasa. Beratnya hati ini untuk berpisah dengan ‘Dayang’. Walaupun hanya rumah Dayang.

“Assalamualaikum…”

Tuah yang masih asyik mengelamun, tidak perasan dengan salam itu.

“Assalamualaikum. Tapi jawab dosa.”

Tuah pantas memalingkan kepalanya ke arah jendela kecil di bahagian kanan rumah. Rasanya telinganya tidak silap mendengar ada yang memberi salam tadi. Dari arah dalam rumah?

Saat matanya terpandang satu wajah yang cukup-cukup dirinduinya, Tuah jadi pegun tak mampu percaya dengan apa yang dilihatnya. Benarkah matanya kini sedang memandang ke arah Dayang yang sedang tersenyum manis padanya?

“Assalamualaikum… tuan…” Dayang tersenyum malu. Tuah yang kebingungan ditatap sedikit lama. Melopong mulut bekas majikannya itu.

“Dayang? Awak buat apa kat situ? Awak…. Awak dah balik?”Tuah meluru mendapatkan Dayang. Dia berada di bawah dan Dayang berada di dalam rumah. Gadis itu masih tersenyum padanya. Senyuman yang cukup-cukup dirinduinya.

Dayang diamkan saja tidak menjawab soalan Tuah. Diberi ruang pada ‘seseorang’ untuk turut masuk campur dalam perbualan mereka berdua.

“Hah, Tuah. Masuklah ke dalam. Orang yang ditunggu-tunggu sudah ada di depan mata ni.” Muncul Datin Sri Jamilah mencelah di jendela kecil itu.

Tuah terpinga-pinga melihat bondanya interframe.


++++++


“Saya rindukan awak.” Tak tertahan lagi, akhirnya perkataan rindu itu keluar juga dari bibir Tuah.

Mereka berdua dibiarkan berbual di ruang tamu. Ibu Orked dan Datin Sri Jamilah sibuk menyiapkan juadah di dapur.

Sungguh Tuah terkejut dengan keberadaan Dayang bersama-sama bondanya di dalam rumah ini. Selama tiga bulan ini, adakah Dayang berada di dalam rumah ini? Ah, tak mungkin.

Tanpa penjelasan, bondanya hanya membiarkan dia dan Dayang di ruang tamu untuk bersembang. Kata bonda, tanyakan sendiri semuanya pada Dayang. Masalahnya Tuah jadi berat lidah untuk bertanya. Dia malu.

Tapi kata rindu yang muncul di bibirnya tadi menunjukkan dia sudah tidak segan lagi. Ya, sungguh dia rindukan Dayang. Dan dia ingin sekali Dayang tahu mengenai perasaannya itu!

“Kenapa awak diam? Awak tak rindu saya?” Tiba-tiba saja Tuah bertanya soalan itu. Soalan seperti pasangan kekasih yang sudah berpisah lama.

Dayang tertunduk malu. Diangguk tidak, digeleng pun tidak. Walhal dalam hatinya mengiyakannya dengan kata-kata…. ‘Ya, saya pun rindukan, tuan. Sangat.’

“Macam mana awak boleh ada dalam rumah ni?” Tuah memulakan penyiasatannya.

Lambat-lambat Dayang mula angkat muka. Soalan Tuah dijawab sambil tersenyum.

“Inikan rumah saya.” Selamba jawapannya.

Tuah jadi senyum sama.

“Awak dah pandai bergurau dengan saya ya.” Tuah bersuara ceria. Gembira sungguh hatinya dapat menatap lagi wajah Dayang.

“Mana ada. Saya hanya menjawab soalan tuan.” Dayang tidak mahu kalah.

“Okey-okey. Saya Cuma pelik. Sumpah saya pelik. Tiga bulan saya datang sini. Hari-hari, tanpa miss. Saya tak pernah dengar suara awak. Tak pernah bau ada orang masak ke. Awak sembunyi dalam rumah ni selama ni ke?” Soalan lurus bendul mula keluar dari bibir Tuah.

Dayang jadi tertawa kecil. Tak sangka itu yang Tuah fikirkan.

“Saya dengan ibu dah sampai sini dua hari lepas. Bonda tuan yang datang jemput kami.”

Tuah mengerutkan dahi. Bonda? Oh, jadi mungkin sebab itulah bondanya ingin ke Kuala Lumpur tiga hari yang lalu. Kata bondanya juga dia akan pergi selama seminggu lamanya. Tapi kata bonda, dia ingin bertemu dengan sahabatnya. Tak sangka bonda menipunya. Tuah geleng kepala.

“Bonda bersungguh-sungguh nak pujuk awak. Sedangkan saya, pengecut.” Tuah mengutuk dirinya sendiri.

Tidak suka Dayang mendengar ucapan Tuah itu. Lantas dia cuba menukar topic perbualan mereka. Ingin ditanyakan sesuatu pada Tuah. Tapi… segan melanda diri.

“Erm… tuan… tuan tak nak tahu kenapa…”

“Kenapa Dayang ikut bonda pulang?” Suara Datin Sri Jamilah tiba-tiba muncul.

Tuah dan Dayang saling berpandangan.

Datin Sri Jamilah menapak ke arah dua merpati sejoli itu. Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Bagai pinang dibelah dua. Dan hari ini cinta mereka bakal disatukan. InsyaAllah.

Segala apa yang berlaku selama tiga bulan ini diceritakan oleh Datin sri Jamilah pada Tuah. Yang sebenarnya, Datin Sri Jamilah sudah hampir tiga bulan dapat menjejaki Dayang di Kuala Lumpur sana.

Tahu saja keberadaan gadis itu, terus dia mendatangi Dayang dengan satu tujuan. Gadis itu sudah dipinangnya bagi pihak Tuah. Pada mulanya memang Dayang menolak sekerasnya. Namun, Datin Sri Jamilah tidak berhenti memujuk Dayang. Perasaan sayang dan cinta Tuah pada gadis itu, diceritakan semuanya.

Syukurlah setelah hampir sebulan memujuk, Dayang terbuka hati untuk mengaku bahawa dia juga cintakan Tuah. Tapi dia masih berkeras untuk tidak pulang ke kampung.

Namun, tiga hari lepas Datin Sri Jamilah mula memaksa Dayang untuk kembali. Atas alasan, Tuah sudah tiga bulan menantinya di rumah ini. Pada mulanya Dayang tidak percaya. Namun, selama dua hari dia berada secara sembunyi dalam rumah ini, selama dua hari itu jugalah dia melihat dengan mata kepalanya sendiri Tuah datang pada waktu pagi ke rumah dan akan pulang setelah dua jam duduk termenung di sini. Kalau tak pagi, petang lelaki itu pasti akan datang.

Sungguh Dayang merasa terharu dan dalam masa yang sama dia merasa bersalah. Bersalah kerana membuat lelaki itu menunggunya. Kerana itulah dia kembali ke kampung ini. Semuanya demi Tuah.

Itulah kisah sebenar yang terjadi.


++++++


“Awak masih ingat kolam ni?” soal Tuah sebaris.

Dibawa Dayang ke kolam ternakannya untuk menghabiskan masanya dengan gadis itu. Syukurlah segalanya sudah berakhir. Mendengar cerita dari bondanya, hampir saja buat Tuah menitiskan air mata.

Kesungguhan bondanya untuk menjodohkan dia dengan Dayang tersangat mengharukan Tuah. Bonda memujuk Dayang tanpa jemu. Sedangkan dia hanya mampu menunggu Dayang di kampung ini tanpa sebarang usaha.
Dayang kembali atas pujukan bondanya. Dan Dayang kembali kerana dirinya. Apa lagi yang dia mahukan.

“Baru tiga bulan saya pergi, tuan. Tak mungkin saya lupa pada kolam ni.” Dayang menjawab soalan Tuah penuh sopan. Matanya menatap keadaan sekeliling. Tiada apa yang berubah. Masih sama seperti dulu. Cuma, situasi mereka berdua saja yang berlainan. Kalau dulu mereka ke sini atas dasar kerja, kini mereka ke sini atas dasar persahabatan. Mungkin? Atau atas dasar cinta? Hmm…

“Maksud saya, awak masih ingat tak kat sini saya pernah lamar awak dan luahkan perasaan saya pada awak. Ingat?” Tuah menanti jawapan Dayang.

Hati Dayang tak semena berdebar. Dia mula tersenyum malu. Mana mungkin dia dapat melupakan peristiwa itu. Peristiwa yang membawa dua perasaan untuknya. Pertama, gembira kerana ternyata Tuah mencintai seperti mana dia mencintai lelaki itu. Namun, perasaan kedua telah membunuh perasaan pertama. Sayangnya dia terpaksa menolak cinta Tuah.

“Saya tak nak sia-sia pengorbanan bonda pada saya. Saya tak nak sia-sia restu yang sudah diberikan oleh Ibu Orked pada saya. Dan yang paling penting, saya tak nak sia-sia wanita di hadapan saya ni.” Tuah dan Dayang saling berpandangan antara satu sama lain.

Debaran di hati Dayang kian memuncak apabila melihat Tuah mengeluarkan sesuatu dari poket bajunya.

*bersambung*


Ya Rabb...Sang Pemilik Hati
Jikalau hatiku KAU ciptakan untuk dia ,Penuhi hatinya dengan Kasih-Mu,
Terangi langkahnya dengan Cahaya-Mu ,limpahkan kelapangan dikalbunya dengan kesabaran,temani dia dlm kesepian..

Ya Rabb,
Tiada tempat ku bersandar Selain pada-Mu,
Kutitipkan cintaku pada-Mu untuknya..
Kutitipkan sayangku pada-Mu untuknya..
Kutitipkan rinduku pada-Mu untuknya..
Mekarkan cintaku bersama cintanya..
Satukan hidupku & hidupnya dlm Cinta-Mu..