JOM FOLLOW

Friday 27 February 2015

Aku Anak Akhirat [cerpen]




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.



“Kau yakin nak masuk pertandingan nyanyian tu?”

“Yakin.”

“Ada bakat ke?”

“Mestilah.”

“Dapat apa masuk pertandingan tak berfaedah macam tu.” Kali ini lebih sinis Ishak bertanya. Idlan yang sedang fokus menonton sebuah rancangan hiburan di kaca televisyen terus mengalihkan perhatiannya kepada abang sulungnya itu. Dia berdecit kegeraman.

“Dapat capai cita-cita orang! Dapat tolong keluarga kita! Dapat bagi keluarga kita ni jadi kaya, mewah!”

Jawapan penuh semangat dari Idlan membuatkan Ishak tergelak lepas. Kepala digelengkan berkali-kali.

“Sesuatu perkara yang kita lakukan kalau bukan diniatkan kerana Allah, semuanya hanya sia-sia, Lan.” Kali ini Idlan tersentak.

“Aku bukan nak merendahkan bakat yang ada dalam diri kau, Lan. Sebab bakat tu sememangnya dari Allah juga. Tapi satu aje aku nak pesan dekat kau. Kalau kau nak buat sesuatu dalam hidup kau, pastikan perkara tu Allah redha dan Allah suka. Kalau kau rasa pertandingan nyanyian yang melibatkan perempuan dan lelaki tu adalah satu perkara yang Allah redha, teruskan. Aku takkan menghalang. Tapi aku yakin, kalau kau fikir lebih dalam, kau akan nampak di mana sebenarnya redha Allah dalam perkara yang bakal kau nak lakukan tu.”

Ishak bangun sambil menepuk-nepuk bahu adik bongsunya. Idlan kelihatan terdiam tidak lagi berdecit dan merengus seperti tadi. Ishak harapkan moga anak muda itu mengerti apa yang cuba dia sampaikan. Sebagai abang, Ishak hanya inginkan yang terbaik untuk Idlan. Dan yang lebih penting, kehidupan Idlan biarlah diberkati dan diredhai oleh Ilahi.

+++

 “Weh, Lan. Yang kau tiba-tiba jadi macam ‘aweks’ bisu ni apasal, hah? Esok kau nak pakai baju apa? Bad dengan aku dah sepakat nak pakai baju kemeja kotak-kotak. Kau pulak nak pakai baju apa?” soal Azfar sambil menyiku bahu Idlan.

Idlan yang termenung panjang terus tersentak. Dia termangu lagi bingung.

“Apa kau cakap tadi? Aku tak dengar,” ujarnya dengan wajah blur.

Badli dan Azfar saling berpandangan. Tawa mereka terhambur. “Aduhai kut ya pun kau ‘nebes’ janganlah sampai jadi macam rusa masuk kampung. Kau ada masalah ke, bro? Cuba cerita dekat kita orang ni. Ke kau takut nak pergi audition esok. Atau kau nak… tarik diri?”

Suasana jadi sepi. Idlan langsung tidak bersuara menyangkal telahan dari Azfar itu. Keadaan itu menyebabkan Azfar bangun tertegak. Badli juga sama. Mencerlung mata mereka memandang wajah Idlan.

“Ni mesti Abang Is kau punya kerja, kan? Dia hasut kau, kan?!” Tempelak Azfar panas.

“Kau jangan dengarlah cakap dia, Lan. Dia tu memang selalu halang kau capai cita-cita kau jadi penyanyi. Dari dulu lagi dia memang macam tu. Sekarang kau dah habis SPM, Lan. Kau dah besar. Kau layak buat keputusan sendiri kut!” Badli turut sama naik angin.

Idlan tertunduk. Dia mengeluh berat mendengar kata-kata dari sahabat baiknya itu. ‘Terima kasih kawan-kawan sebab kau orang bagi sokongan dekat aku. Tapi… aku juga nak minta maaf dekat kau orang. Aku rasa aku dah nampak apa yang sebenarnya Abang Is cuba beritahu aku. Maaf, teman. Aku… aku tak mampu teruskan benda ni.’

Semua kata itu hanya mampu terluah dalam hati kecilnya. Idlan lantas bangun tanpa bersuara. Dia bergerak mendapatkan motosikalnya.

“Eh, Lan! Kau nak pergi mana ni? Takkan dah nak balik.” Azfar mencengkam kuat bahu Idlan cuba menghalang lelaki itu dari pergi. Badli pula bertindak merampas anak kunci dari tangan Idlan.

Wajah kedua-dua sahabat baiknya Idlan tatap dalam. Dia cuba ukir senyuman.

“Aku… aku tak sedap badanlah. Aku balik dulu.” Anak kunci motosikalnya diambil lemah dari tangan Badli. Badli kaku melepaskan anak kunci itu.

“Besok kita tetap akan pergi audition tu kan, Lan?” soal Badli mahukan kepastian.

Angguk tidak, geleng pun tidak. Sebaliknya Idlan mula menghidupkan enjin dan menunggang motosikalnya pulang ke rumah. Tanpa pandang kiri dan kanan, selamba saja dia melintas jalan.

Gedeganggg. Bunyi dentuman itu buat Azfar dan Badli saling berpandangan.

“Ya Allah, Lan!!!” Sepantas kilat mereka berdua mendapatkan Idlan yang sudah terdampar di tengah jalan dengan tubuhnya yang sudah berlumuran darah.

+++

Astaghfirullah robbal baroya. Astaghfirullah minal khotoya. Astaghfirullah robbal baroya. Astaghfirullah minal khotoya.
Astaghfirullah
Astaghfirullah
Astaghfirullah
Astaghfirullah
Aku memohon ampun (Ya Allah). Yang menerima taubat (Ya Allah).                                 
Aku memohon ampun (Ya Allah). Dari segala dosa Ya Allah…
Istighfar – Saujana

Tepukan gemuruh berkemundang di seluruh dewan. Persembahan penuh emosi dari kumpulan nasyid yang diberi nama Al-Qassam itu benar-benar memukau setiap jiwa yang mendengar alunan istighfar itu.

Al-Qassam terdiri daripada tiga orang anak muda. Idlan – Badli – Azfar. Ketiga-tiga mereka pernah suatu ketika dahulu bercita-cita mahu jadi penyanyi terkenal.

Namun perancangan Allah SWT untuk mereka lebih baik. Ditakdirkan dalam kemalangan yang menimpa Idlan tiga bulan yang lalu itu telah membawa mereka bertiga ke sini.

Idlan yang cedera teruk di kakinya tidak mampu lagi meneruskan impiannya untuk menjadi seorang penyanyi. Namun sedikit pun dia tidak kecewa dengan keadaan itu. Kerana dari awal dia sememangnya sudah membatalkan hasrat hatinya itu. Inilah hikmah mengapa Allah mentakdirkan dia untuk kemalangan tiga bulan yang lalu. Kata-kata Abang Is benar-benar telah membuka relung hatinya yang selama ini terkunci rapat. Terlalu berkeras untuk mengejar cita-cita yang belum tentu ada redha Allah di dalamnya.

Kerana keadaannya yang sudah lumpuh sementara, Ishak mengajak Idlan untuk menyertai sebuah kem yang diberi nama “Aku Anak Akhirat”. Kem itu dikendalikan oleh Ustaz Syah yang telah banyak membantu Ishak berubah menjadi insan yang lebih baik. Dulu Ishak juga seperti Idlan. Terumbang-ambing mencari dirinya yang telah hilang…

Sungguh Idlan bersyukur kini. Walau kecil keinginannya untuk berubah, Allah SWT telah menghadiahkannya sebuah anugerah yang cukup bernilai untuknya. Sebuah hidayah. Cahaya petunjuk untuk dia mengejar cita-citanya menjadi anak akhirat.

Paling Idlan syukuri adalah apabila Badli dan Azfar juga terbuka hati untuk sama-sama berjuang bersamanya. Kali ini mereka tidak lagi memburu cita-cita mereka menjadi ‘anak dunia’. Namun fokus mereka kini adalah menjadi ‘anak akhirat’.

Apa itu anak akhirat? Anak-anak akhirat adalah insan yang hidup berpandukan al-Quran dan as-sunnah. Insan yang menjadikan Islam sebagai cari hidupnya. Insan yang hidup matinya untuk Allah SWT.

Masih jelas di benak Idlan pesanan yang Ustaz Syah sampaikan kepadanya di awal kemunculannya di kem ini.

“Idlan, kejarlah sesuatu yang mengangkat darjatmu di dunia dan menyelamatkanmu di akhirat. Tanyakan pada dirimu, nak. Adakah kamu kini sedang berjuang untuk menjadi anak-anak akhirat? Remaja akhirat? Pemuda-pemudi akhirat? Generasi akhirat? Tepuk dada, Lan. Tanya iman…”

-TAMAT- 

 *Segala kekurangan harap dimaafkan.


Sunday 22 February 2015

Diari Merah Milik Si Buta [cerpen]



“Siapa lagi nak ajukan soalan? Ada lagi beberapa minit ni sebelum kuliah kita berakhir.” Ustazah Rohana mengajukan pelawaan. Aku tunduk saja. Dalam hati berharap benar tak ada lagi mak cik-mak cik yang tanyakan soalan. Nak balik oi. Dah kematu punggung ni duduk. Dah dekat 2 jam sesi kuliah ini berlangsung. Ini semua gara-gara mak yang paksa ikut.

“Ana ada satu soalan, ustazah.” Kepala kutolehkan ke kiri. Seorang kakak bertubuh agak gempal tiba-tiba mengangkat tangan. Perlahan-lahan dia bangun.

“Oh Ana. Silakan Ana.” Bagaikan sudah mengenali si kakak yang ingin bertanya tadi, Ustazah Rohana menyambut baik pertanyaan itu.

Aku dongakkan sedikit wajah ke atas memandang wajah kakak yang bernama Ana itu. Ya Allah… itu kalimah yang terlafaz di bibir saat aku melihat mata Kak Ana yang terpejam rapat. Dia… dia buta ke?

 “Hidup adalah kegelapan jika tanpa hasrat dan keinginan. Dan semua hasrat serta keinginan adalah buta, jika tidak disertai pengetahuan. Dan pengetahuan adalah hampa jika tidak diikuti pelajaran. Dan setiap pelajaran akan sia-sia jika tidak disertai cinta.”

Wow. Mulutku mula mengangga luas. Dengan senyuman manis, Kak Ana menyambung kata. “Soalan Ana juga ada kaitan dengan cinta, ustazah. Soalan Ana…”

Suara Kak Ana sudah tidak kedengaran lagi di cuping telingaku. Yang aku tahu. Aku sudah jatuh cinta dengan kakak yang seorang ini.

+++

“Assalamualaikum, kak.” Aku menyapa. “Waalaikumussalam. Ya, dik. Boleh akak bantu?” Kak Ana berpaling ke belakang mencari kelibatku.

Aku gamit tangannya dan lalu bersalaman. Kami berdua sama-sama berdiri di birai jalan di luar perkarangan Surau Al-Furqan.

“Saya Dhia. Dhia Faaezah. Akak Kak Ana kan?” Sengaja aku cipta perbualan dengannya.

Kak Ana mengangguk perlahan seraya menguntun senyuman. “Adik ada sekali dalam kuliah tadi ke?” soalnya ramah.

Aku angguk. Namun sedar dia tidak mampu melihat, segera aku bersuara. “Ha’ah. Saya ikut mak. Err bukan ikut tapi lebih kepada dipaksa.”

Kak Ana tergelak kecil. “Hisy, janganlah rasa terpaksa. Tak baik. Adik patut bersyukur tau sebab dapat datang ke majlis ilmu. Malaikat turun dari langit payungkan kita dengan rahmat. Allah pilih adik untuk berada di sini hari ni. You’re special.”

Erk. Kak Ana pun ustazah ke? Sekali dia bertazkirah.

“Err akak minta maaf kalau kata-kata akak menyinggung perasaan adik. Akak tak ada niat nak…”

“Eh takpe-takpe. Saya okey aje, kak. Betul apa yang akak cakap tu. Mak memang dah selalu cakap pasal fadilat hadir dalam majlis ilmu. Cuma itulah saya ni kurang berminat sikit. Huhu…” Aku senyum kelat pada Kak Ana. Sungguh hati ini cukup selesa berbual dengannya. Baru kenal tapi kenapa rasa macam dah kenal lama.

“Err… kak. Akak dah nak balik ke? Boleh tak kalau saya cakap sesuatu dengan akak?”

Kak Ana mengangguk saja. “InsyaAllah boleh. Akak pun tengah tunggu abah akak datang ni. Adik nak cakap pasal apa ya?” Murah sungguh gadis buta ini dengan senyuman.

“Erm… sebenarnya saya… saya dah jatuh cinta dengan… dengan puisi akak tadi. Best gila kut bait-bait dia. Akak buat sendiri ke puisi tu?” Aku bertanya tanpa berselindung.

Soalanku buat Kak Ana tertawa lepas. Dia tunduk sambil anggukkan kepala perlahan. “Akak minat menulis, dik. Maksud akak menulis puisi. Adik pun minat menulis puisi ke?”

“Minat! Minat sangat.”

“Kalau macam tu kita share minat yang samalah ya. Sudi ke bagi akak baca nukilan adik?” Sungguh kakak bernama Ana ini cukup ramah lagi mesra. Tak sombong langsung!

“Boleh bagi tapi boleh tak bagi saya baca puisi-puisi akak dulu? Hehe. Mesti gempak!” Aku teruja. Bab-bab puisi jangan main-main eh dengan aku. Cita-cita aku memang nak jadi seorang pemuisi. Macam A. Samad Said tu.

“Boleh aje, dik. Kejap akak keluarkan diari akak. Dalam diari ni akak tulis puisi-puisi akak.” Dia sibuk mengeluarkan sesuatu dari beg sandangnya.

Menulis? Aku kepelikan. Orang buta macam Kak Ana pun boleh menulis? Bukan ke dia tak nampak. Karang habis comot tulisan dia.

“Nah, dik. Ini nukilan akak. Ilham dari Allah.” Dia senyum.

Aku senyum kelat. Subhanallah saat aku belek diari itu tersusun bait-bait yang cukup tersusun ritma dan aksaranya. Dan tulisannya? Cukup-cukup kemas.

“Wah, bestnya! Wah. Wah…” Hanya itu perkataan yang keluar dari bibir aku. Benar-benar teruja dengan puisi Kak Ana. Cukup puitis dan mendalam.

Sedang aku kusyuk membaca setiap helaian diari itu, tiba-tiba satu perkara yang tidak diduga berlaku di depan mata. Sekelip mata ia berlaku.

“Ya Allah!!! Kak Ana!!!” Aku menjerit sekuat hati saat bebola mataku melihat jasad Kak Ana sudah terheret ke tengah jalan. Semuanya gara-gara dua orang peragut yang membonceng motosikal bergerak laju meragut beg sandang Kak Ana.

“Allah!!!” Gedegangggg. Sekali lagi mataku terpaku melihat batang tubuh Kak Ana yang sudah dipijak oleh sebuah kereta yang bergerak laju ke arahnya.

Bumi seakan berhenti berputar. Lensa mataku kaku menatap jasad Kak Ana sudah terbaring di tengah jalan. Lemah longlai tubuhku saat itu. Diari merah yang berada dalam tangan terjatuh ke bumi. Aku rebah sama menyembah lantai tanah. Sungguh sekejap pertemuanku dengan Kak Ana. Aku masih belum puas mengenali gadis bernama Nurul Farhana ini. Ya Allah benarkah apa yang terjadi ini…

++++

 “Kata orang bila kita bersedia untuk menerima kehadiran seseorang, maka kita juga harus bersiap sedia untuk kehilangannya. Sungguh sekejap pertemuan saya dan arwah Kak Ana. Namun walau begitu, kerana kami berkongsi satu minat dan cinta yang sama, saya berjuang untuk merealisasikan impian arwah. Moga Kak Ana tenang di sana. Akak, Dhia dah tunaikan impian akak… ” Kututup perlahan diari merah hati yang berada di hadapanku. Setitis air mata yang terbit di tubir mata aku seka perlahan.

“Sebelum saya merasmikan karya terbaru saya ini, saya mohon kepada kalian semua sudilah kiranya kalian sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah kakak saya, Nurul Farhana binti Ismadi. Diari Merah Milik Si Buta ini saya nukilkan hanya untuk Kak Ana. Impian dia, Alhamdulillah Allah SWT telah tunaikan. Alhamdulillah…” Para hadirin tunduk dan menadah tangan. Al-Fatihah untuk Nurul Farhana binti Ismadi…

Tamat saja SPM, aku berjaya menempatkan diriku di Universiti Putra Malaysia. Kursus pengajian yang aku ambil adalah Kesusasteraan Melayu. Semata-mata demi minatku pada dunia sastera ini dan semata-mata juga demi merealisasikan impian Kak Ana menjadi satu kenyataan. 20 tahun berlalu. Kini aku merupakan seorang pensyarah dalam bidang yang sama aku ceburi ketika di universiti dahulu. Diari Merah Milik Si Buta ini merupakan karya ke-lima aku. Sebuah karya yang terisi dengan nukilan-nukilan dari arwah. Kerana itulah di hadapan buku ini terukir namaku dan nama arwah Kak Ana. Amanat yang tertulis di helaian muka terakhir diari milik Kak Ana buat aku berjuang untuk berkongsi nukilannya dengan seluruh dunia.

“Semua penulis akan meninggal. Hanya karyanya sajalah yang akan abadi sepanjang masa. Maka tulislah sesuatu yang akan membahagiakan dirimu di akhirat kelak. Andai aku sudah tidak berada di dunia ini lagi, kuizinkan untuk sesiapa sahaja berkongsi nukilanku ini kepada satu dunia. Moga ia bermanfaat pada seseorang yang benar-benar mahukan cinta dari Tuhan Yang Maha Esa. Segalanya hanyalah pinjaman. Mana mungkin aku lokek untuk berkongsi pinjaman dari Allah SWT.” –Yang Ikhlas : Ana Ismadi

TAMAT.

Pendek je cerpen ni kan. Sebenarnya cerpen ni cik penulis nak hantar ke majalah sinergi (join contest). Tapi takde rezeki cerpen tak terpilih. So letak kat blog jelah. Korang dapat baca free of charge. Dapat manfaat walaupun sikit pun jadilah. ^^
#Next cerpen bertajuk 'Aku Anak Akhirat'. InsyaAllah tunggu noh...



Monday 2 February 2015

Hijau [Cerpen]




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


“Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah...! Dan Tuhanmulah yang paling Pemurah, yang mengajarkan manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajar manusia apa yang tidak ia ketahui.” (Surah Al-‘Alaq 96: 1-5)

Di satu sudut kelihatan seorang pemuda sedang sibuk menelaah beberapa buah buku yang berada di sekelilingnya. Ruang itu penuh dengan buku-buku. Al-maklumlah nama pun berada dalam kedai buku.

Kedai Buku HIJAU. Itu nama kedai tersebut. Sebuah kedai peninggalan arwah ayah pemuda itu.

Umar Ali atau lebih mesra dipanggil Ali merupakan pemilik mutlak kedai buku yang sudah usang ini. Kedai ini sudah beroperasi selama hampir 30 tahun. Kedai warisan turun-temurun. Banyak kenangan, banyak buku-buku yang telah terjual dan banyak juga yang masih tinggal di sini pegun tidak diusik oleh pembeli.

Kalau dulu-dulu kedai buku Hijau mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari penduduk di kejiranan ini. Hampir setiap hari ada saja yang singgah untuk membeli buku atau bertanya apa naskhah yang baru tiba di kedai ini. Ada juga sahabat lama arwah ayah dan datuk Ali yang ke sini untuk berziarah.

Semua kenangan itu masih segar tersimpan di kotak hati Ali. Cuma satu sahaja yang dia takutkan. Dia bimbang andai semua itu – segala memori itu akan hilang dibawa arus masa dan kemodenan.

Kini kawasan di kejiranan ini sudah jauh membangun dari dulu. Makin banyak bangunan yang terbina. Makin banyak kedai. Makin banyak  persaingan. Sungguh Ali sangat terasa dengan segala macam pembangunan ini.
Di hadapan kedai usangnya ini terbinanya sebuah pusat membeli belah yang besar lagi moden. Di dalam sana sudah pasti terdapat banyak kedai beraneka macam. Termasuklah kedai menjual buku-buku. Lama dan baru. Dari dalam dan luar Negara. Pasarannya pasti lebih meluas.

Di situlah persaingannya!

Semakin lama, semakin kurang jumlah pengunjung yang berkunjung ke HIJAU. Pelanggan yang datang boleh kira dengan jari. Dalam satu hari, kalau bernasib baik hanya ada seorang dua yang datang. Itu pun kadang-kadang sebab tersalah cari kedai. Hmm!

Sungguh Ali rungsing memikirkan semua ini. Dengan kekangan wang yang makin susut. Hutang lagi. Hanya Tuhan saja yang tahu keadaannya sekarang. Mujurlah dia masih bujang dan hidup sebatang kara. Kalaulah dia ada anak bini dan keluarga yang lain sudah pasti makin bertambah kusut otaknya ini.

Clingg.

Bunyi loceng itu menandakan ada pelanggan yang baru masuk. Ali yang kusyuk membaca hanya buat bodoh sahaja dengan keadaan itu. Sungguh dia sudah hilang mood untuk bersemangat menyambut tetamu. Paling kurang pelanggan yang datang itu mungkin seseorang yang dia kenal.

“Assalamualaikum, tuan kedai!” Bahu Ali ditampar kasar.

“Waalaikumussalam.” Perlahan Ali menjawab. Hah kan dah cakap tadi. Pelanggan yang masuk tadi seseorang yang dia kenal. Budin – kawan baik dia sejak dari sekolah lagi. Jiran dia juga.

“Kau apasal tak ada mood ni hah, Ali. Cubalah senyum sikit. Di bahu kecil kau ni bukannya tergalas beban satu dunia ni pun.” Ada nasihat di sebalik kiasan dari Budin. Si Ali yang banyak membaca dan banyak ilmu masakan tidak mengerti. Budin menunggu reaksi Ali.

Lelaki itu tetap bersahaja. Duduk bersilangkaki di atas kerusi rotan. Buku-buku berselerak tidak kemas.

“Memanglah bukan satu beban dunia ni aku galas. Tapi…” Tajam pandangan Ali menikam wajah Budin. Budin telan liur.

“Tapi dua-dua belah bahu aku ni tanggung beban hutang dan buku-buku yang masih belambak tak laku!” Meninggi suara Ali. Buku di tangan dibelek rakus lalu dihempas ke meja buku itu dengan penuh geram lagi kecewa. Dia mengeluh lemah.

Sekali menggeleng, sekali mengangguk Budin tika itu. Dia faham keadaan Ali. Bukan dia tidak cuba membantu sahabatnya ini. Apa yang dia mampu, dia tolong. Tapi nak buat macam mana. Itu semuakan rezeki dari Allah. Banyakkan bersabar wahai Ali…

“Sabarlah, Li. Allah uji kau sebab Dia nak bagi kau pahala sabar. Kita dah usaha. Allah yang menentukan segala-galanya. Janganlah putus asa.” Bahu Ali diusap lebih lembut kali ini.

Mendengarkan itu Ali segera beristighfar dalam hati. Dia tertunduk sambil memicitkan kepalanya.

“Aku dalam dilemma kau tahu tak, Din. Kalau boleh aku nak jual aje kedai ni. Buat apa tanggung hutang. Buku pun bukan laku. Kedai ni dengan buku-buku ni aku jual. Habis cerita.”

“Tapi?” Budin menyampuk. Dia dan Ali saling berpandangan buat seketika.

“Tapi?” Budin sekali lagi mengulang soalan. Dia tersenyum.

Lama berjeda akhirnya tak semena terbit sama senyuman di bibir Ali. Dia menggeleng. Lemah.

“Tapi aku sayang dengan kedai ni. Bukan semata-mata sebab pusaka dari ayah aku tapi sebab ‘mereka’ yang selama ni aku tak pernah sedar pun kewujudan mereka semua tu. Hmm…” Lirih suara Ali menjawab. Terima kasih Din kerana ingatkan aku tentang perkara tu.

“Jawapan kau tetap sama dari dulu, Li. Menunjukkan betapa kau terlalu sayangkan kedai ni. Jadi kenapa kau nak berputus asa. Aku ada untuk tolong kau. Kita pertingkatkan lagi promosi kita. Ya?” Bahu Ali ditepuk berulangkali.

Ali tegakkan badan. Rambutnya yang kusut masai diraup-raup. Wajahnya yang sudah tidak bermaya juga ditampar-tampar bagi menyedarkan diri sendiri akan hakikat bahawa betapa kedai ini sebenarnya memberi banyak erti untuknya. Maka dia dilarang untuk berputus asa dan patah semangat!

“Kedatangan kau ke sini sebab nak bagi aku idea baru ke, Din?” soal Ali seraya bangun, mengemas buku-buku yang berselerak. Hidup mesti diteruskan. Rasa kecewa yang menyapa hati seketika tadi diusir jauh.

“Aku ada dua berita penting untuk kau hari ni. Pertama pasal promosi tu. Kedua pasal satu pertandingan kat TV ni. Aku nak kau join.” Budin mulakan bicara.

“Hah?” Pantas Ali mengalihkan mukanya memandang Budin. Mulutnya mengangga.

“Pertandingan apa pulak ni. Hisy kau ni.”

“Hisy apa hisy. Betullah. Ada satu pertandingan ni aku tengok dekat TV. Itulah kau TV pun dah tak tengok. Asyik dating dengan buku-buku.” Bebelan Budin buat Ali jungkit bahu, malas. Apa-apa ajelah Budin oi.

“Macam nilah. Sekarang dah masuk waktu Zuhur. Apa kata kita pergi solat dulu. Makan-makan. Sambil tu kita bincang pasal benda ni. Aku tak kira, Li. Aku nak jugak kau masuk show ni. Ini demi diri kau, masa depan kau dan terpenting demi HIJAU!”

Melihat pada keseriusan Budin berkata-kata, Ali tidak lagi mengeluarkan kata. Entah apa agaknya show yang Budin maksudkan. Show itu dapat mengubah nasib diri dan kedai buku kesayangannya ini? Apa agaknya ya…

++++

Malam itu, selesai menunaikan solat Isyak, Ali terus rebahkan badannya ke katil. Lama dia termenung menatap syiling biliknya. Pelbagai perkara menerjah minda. Dan dalam banyak-banyak perkara itu muncul imej ‘mereka’ di benak Ali.

Terus Ali bangun menegak. Pantas tangannya meraba-raba sesuatu yang terletak di bawah bantal tidurnya.

“Hmm…” Senyuman terukir lemah di hujung bibir. Diari yang dipegangnya itu terus dibelek. Foto-foto dan ucapan-ucapan yang terdapat dalam diari itu berjaya membuatkan Ali terlupa akan masalah yang membebani dirinya. Senyuman mereka yang berada dalam foto itu melahirkan sebuah rasa puas hati yang sangat mendalam dalam hati Ali. Dalam masa yang sama dia bersyukur. Dan paling penting dia makin jelas akan satu perkara. Iaitu… pekerjaannya sebagai si penjual buku bukanlah satu perkara yang sia-sia. Kerana dengan masih adanya kedai buku HIJAU ini, ada senyuman yang berjaya dia lahirkan. Senyuman dari mereka-mereka yang jauh lebih susah darinya.

Sebulan yang lalu. Ali menerima sebuah bungkusan pos dari alamat yang baru pertama kali dia lihat. Jauh tempatnya di pedalaman Sabah.

Diselongkar bungkusan itu. Rupa-rupanya terdapat sebuah diari yang dibalut dengan kertas pembalut hadiah. Selain diari itu, terselit sama sebuah lukisan yang digulung kemas dalam kotak bungkusan. Lukisan sebuah gunung yang diselubungi kabus indah. Cukup hidup lukisan itu.

Diari yang diterimanya diselidiki isinya. Semakin banyak helaian yang Ali belek, semakin hiba hatinya terasa.

‘Terima kasih, Abang Ali. Buku-buku yang Abang Ali bagi semuanya best-best.’

‘Terima kasih, abang. Buku yang abang bagi tu saya dah balut. Lain kali abang hantar buku lain pulak eh. Hehehe…’

‘Bang, komik yang abang bagi tu terbaik tau tak! Saya dah ulang banyak kali. Terima kasih, abang. Sayang abang.’

Dan banyak lagi sebenarnya ucapan-ucapan yang berjaya memberi kesan pada hati Ali. Namun kesimpulan yang boleh dibuat adalah… Segala ucapan terima kasih dan penghargaan ini menandakan ‘mereka’ semua gembira dan suka dengan pemberian tak seberapa dari Ali.

“Ali, ayah tak ada apa-apa nak tinggalkan untuk kau. Kedai buku HIJAU nilah satu-satunya harta ayah. Kau jagalah kedai ni baik-baik, Li. Ayah serahkan kedai ni untuk kau. Kau buatlah apa saja untuk kedai ni. Kau berhak buat keputusan untuk masa depan kedai ni. Cuma satu ayah nak pesan, Li. Dalam kau sibuk untuk menggembirakan dan menyenangkan kehidupan kau nanti, kau jangan pernah lupa untuk menggembirakan dan membahagiakan kehidupan orang lain juga…”

Mendalam pesan arwah ayahnya. Kerana itulah Ali memasang niat untuk menghadiahkan buku-bukunya ini sebagai hadiah untuk anak-anak yang berada di pedalaman. Sudah hampir lima tahun dia menjadi penderma rahsia. Namun sejak akhir-akhir inilah Encik Osman, guru besar di sekolah pedalaman yang Ali bekalkan buku-bukunya, telah menyampaikan hasrat anak-anak kecil itu untuk mengenali siapakah lelaki yang selalu mengirimkan mereka buku dan surat.

Demi tidak mengecewakan mereka, Ali sekadar menyatakan namanya dan dengan menitipkan pesanan andai anak-anak itu mahu berbalas surat dengannya boleh saja menghantar surat ke alamat kedainya ini. Namun setelah lima tahun berlalu ini kali pertama dia menerima diari seperti ini.

Sungguh Ali tidak pernah mengharapkan balasan apa-apa dari mereka. Cukup Tuhan saja yang membalasnya.

Kegembiraannya cukup sekadar melihat anak-anak itu gembira.

“Tapi kalau suatu hari nanti aku memang terpaksa jual HIJAU, macam mana dengan nasib anak-anak tu. Mampukah aku menghantar buku-buku kepada mereka lagi?” Ali berbisik kesayuan.

Kali ini diari itu ditutup dan telefon bimbitnya pula yang dicapainya. Pesanan ringkas dari Encik Osman dibaca berkali-kali. Mungkin inilah jawapan mengapa setelah lima tahun baru kini anak-anak itu menghantar surat dan diari ini kepadanya.

-Ali, kerana buku-buku yang Ali berikan pada mereka, sudah ramai anak-anak yang pandai membaca. Ramai juga yang pandai menulis. Mereka mula memasang impian, Li. Impian untuk menjadi orang lebih berjaya. Semua ni jasa Ali. Terima kasih saya ucapkan pada saudara Ali. Hanya Tuhan saja yang mampu membalas budi yang Ali taburkan. Mulia sungguh hatimu, wahai Umar Ali.

Mata Ali pejam rapat. Makin sebak hatinya mengenangkan adik-adiknya itu.

“Perlu ke aku ikut cakap Budin. Betul ke itu saja caranya untuk aku kekalkan HIJAU?” Otak Ali teringat pada perbualannya dengan Budin di restoran tengah hari tadi. Keinginan Budin untuk mengajaknya menyertai sebuah rancangan realiti tersohor Negara buat Ali termenung lama tatkala mendengarnya.

“Kau biar betul, Li. Reality show ni famous kut kat Malaysia. Hisy, inilah padahnya asyik dengan buku.” Mengeluh Budin saat itu. Jus mangga disedut laju.

“Aku lebih suka baca buku dari tengok rancangan di TV yang entah apa-apa  tu. Banyak yang plastic dari real.” Ali mencebik. Selamba wajahnya memandang wajah cemberut  Budin.

“Tak kisahlah kau tahu ke tak pasal show ni, yang aku tahu kau mesti join show ni. Selain hadiahnya lumayan, kau boleh jadikan show ni sebagai pentas untuk kau perkenalkan HIJAU ke satu dunia. Biar semua orang tahu bahawa dekat pekan kita ni ada sebuah kedai buku yang paling klasik, paling lama dan paling mantop buku-bukunya. HIJAU kedai buku turun-temurun kut!” Bersemangat Budin cuba untuk meyakinkan Ali. Namun sakit jugalah hati dia bila Ali sekadar buat muka poyo.

“Weh seriuslah!” Bahu Ali ditumbuk agak kuat. Ali mengadu seraya menggosok bahunya yang terasa pedih.

“Aku nak serius macam mana. Aku tak nak join reality show tu. Malaslah aku.”

Budin berdecit. “Hisy kau nikan. Kalau kau betul-betul fikirkan masa depan HIJAU dan budak-budak tu, aku yakin kau mesti akan join reality show ni. Kau ada kelebihan yang tak ada pada orang lain, Li. Dan rancangan realiti ni mencari orang yang istimewa macam kau. Jomlah, Li. Fikirkan masa depan HIJAU dan adik-adik kau tu!”

Jauh Ali menjatuhkan pandangannya. Dia berdiam lama.

‘Keistimewaan’ yang dia ada ini mampu mengubah nasib HIJAU dan adik-adiknya?

Benarkah keistimewaan ini benar-benar satu perkara istimewa yang dicari oleh rancangan realiti itu? Dengan kelebihan yang dia ada, mungkinkah dia berjaya menjadi juara?

Keistimewaan Ali adalah dia mampu untuk mengingat tajuk, nama penulis dan harga buku-buku yang dijualnya. Dia juga ingat serba sedikit isi kandungan dalam buku yang dibacanya. Termasuk latar belakang penulis buku.

Di HIJAU terdapat lebih tiga ratus ribu naskhah buku. Itu tidak termasuk yang sudah berjaya dijualnya. Setiap maklumat penting pada buku yang keluar masuk di HIJAU ini berada kemas di minda Ali.

Dan kerana kelebihannya ini jugalah Budin mencadangkan satu promosi untuk HIJAU beberapa tahun yang lalu.

Ali telah mengadakan satu cabaran untuk setiap pelanggan yang mengunjungi kedainya. Andai buku yang dibeli oleh pelanggannya tidak Ali ketahuai akan harganya, Ali akan menghadiahkan secara percuma buku itu kepada pelanggannya. Tiada sebarang bayaran.

Namun setakat ini, sudah tiga tahun berlalu, rekodnya masih belum dipecahkan. Ali ingat betul dengan setiap harga yang ada pada buku-bukunya.

Ini semua adalah anugerah dari Tuhan untuknya. Otaknya kuat untuk mengingat semua itu.

Jadi benarkah dia mampu bersaing dengan peserta lain nanti yang kelebihan mereka pasti jauh lebih kuat darinya? Mampukah dia?

++++

“Persilakan peserta kita yang seterusnya. Umar Ali bin Abdullah…”

Bergema satu dewan dengan tepukan gemuruh dari penonton. Itu menyebabkan jantung Ali makin kuat berdegup. Dengan lafaz Basmallah dia memulakan langkah. Senyuman kelat diukirkan.

Sebaik saja dia melepasi pintu gerbang masuk, rasa gemuruh makin jelas terasa. Sungguh ramai penonton yang berada di dewan itu. Semuanya ceria memberi tepukan padanya. Perasaan takut tak semena hadir. Andai dia melakukan kesilapan dalam acaranya itu nanti bagaimana? Ah… tiba-tiba rasa macam nak balik!

“Okey Ali. Sila perkenalkan diri,” ujar pengacara setelah bersalaman dengan Ali.

Ali telan air liur. Senyumannya cuba diukirkan.

“Assalamualaikum. Saya Umar Ali. Boleh panggil Ali.” Ringkas saja dia berkata-kata. Itu pun suara sudah tersekat-sekat.

“Okey Encik Ali. Cuba ceritakan sedikit apa yang kami tengok dalam VT tadi. Tentang diari tu.” Pengacara mengaju soalan.

Ali cuba untuk rileks dan menceritakan kembali kisahnya dengan adik-adiknya.

“Jadi itulah kisahnya. Sungguh menyentuh hati.” Setelah beberapa ketika Ali bercerita, pengacara lelaki itu memberi respon. Ali cuma senyum dan menganggukkan kepala. Ya sangat menyentuh hati. Kerana rasa tersentuh itulah dia sanggup ke pentas mega ini untuk berjuang demi HIJAU dan adik-adiknya.

“Baiklah tanpa kita melengahkan masa lagi ayuh kita mulakan acara kita. Juri nombor satu, berapakah markah yang ingin anda berikan pada Ali?” soal pengacara pada juri nombor satu yang duduk di hadapan pentas.

Camera-man mula memberi fokus pada wajah juri nombor satu. Lelaki itu terdiam buat seketika seakan-akan berfikir.

Ali tunduk diam. Dia tidak kisah berapa saja markah yang bakal dia dapat. Menang atau kalah, tujuannya ke sini adalah demi HIJAU dan adik-adiknya semata-mata.

“Saya bagi Ali…” Juri nombor satu pantas menekan butang di hadapannya. Butang bernombor itu memiliki nombor satu hingga lima. Konsep rancangan ini adalah setiap juri akan memberi markah yang mereka rasa sesuai dengan tahap kesukaran acara yang dipertandingkan. Tiga markah juri akan dikumpulkan dan akan didarabkan dengan markah terakhir dari ketua juri iaitu dari seorang doktor pakar. Markah dari doktor itu akan menentukan sama ada peserta layak atau tidak meneruskan cabaran ini. Penilaian doktor bertauliah itu adalah berdasarkan sains semata-mata.

“Tiga!” Kuat suara pengacara menjerit.

“Kenapa awak bagi tiga markah untuk Ali?” tanya pengacara pada juri nombor satu yang terkenal dengan rancangan Positif di TV10 setiap hari Jumaat itu. Karl Hazim memberi alasan kenapa dia memberi markah sebanyak itu.

“Bidang saya adalah bidang sastera. Saya memang tak mampu untuk komen dari segi sains. Itu saya akan serahkan pada Dr. Azad. Cuma saya melihat acara yang bakal Ali tempuhi nanti tidaklah terlalu sukar kerana dia merupakan seorang tauke kedai buku. Semua buku dia dah pernah tengok dan baca mungkin. Jadi kebarangkalian untuk dia ingat nama penulis dan harga tu sangat tinggi. Itu pendapat saya.” Ulasan dari Karl Hazim membuatkan Ali mengangguk cuma. Dia tidak mahu mengulas panjang.

“Baiklah. Chef Joe pula. Sila berikan markah anda.”

“Erm saya bagi Ali… tiga markah juga.” Butang ditekan.

Ali cuma tersenyum dan mengangguk. Pengacara juga sama.

“Kenapa?” soal pengacara pada Chef Joe yang merupakan chef selebriti terkenal tanah air.

“Saya sependapat dengan Karl. Maklumat keluar masuk buku ada dalam poket Saudara Ali. Itu saja.” Chef Joe menguntum senyum ke arah Ali. Ali membalasnya seadanya. Baiklah nampaknya dua juri ini seakan-akan tidak berapa yakin dengan kebolehan mengingat yang dia ada. Tak mengapa. Dia akan cuba yang terbaik nanti. Ali, jangan putus asa!

“Kita beralih pada Wan Fazira. Apa markah yang awak nak berikan pada Ali?” Pengacara bertanya pula pada selebriti yang sudah beranak dua itu.

“Saya bagi Ali empat mata.” Pap. Butang ditekan dan nombor empat terpapar pada skrin besar.

“Kenapa empat?” soal pengacara.

“Sebab saya rasa agak susah untuk ingat semua harga, tajuk buku dan nama penulis. Bukan ratusan buku yang ada dalam kedai buku Encik Ali tapi ribuan. Kalau orang biasa seperti kami rasanya tak mungkin dapat ingat semua tu. Dengan kecerdasan otak yang Encik Ali miliki saya rasa dia memang layak untuk dapat markah ini. Dan saya yakin Dr.Azad akan bagi lebih lagi.” Wan Fazira tergelak kecil sambil memandang ke arah Dr. Azad.

Dr. Azad hanya senyum. Buat masa ini dia memang tidak boleh memberi apa-apa markah lagi sebelum melihat prestasi Ali secara keseluruhan.

“Baiklah. Kalau semua sudah bersedia. Ayuh kita mulakan. Sebelum tu ingin saya bertanya pada Encik Ali. Sudahkah anda bersedia?” Pengacara bertanya penuh semangat.

“Sudah!” Ali juga menjawab dengan semangat.

“Baik. Kita mulakannya sekarang. Sila ambil tempat anda.”

Ali melangkah tenang menuju ke kerusi yang membelakangkan skrin besar. Kerana pada skrin besar itu nanti akan terpapar imej buku-buku yang bakal pengacara ambil dan tanya padanya.

Dia harus meneka 30 buah buku dengan tepat. Hanya ada satu peluang. Andai dia tersalah, maka semuanya akan berakhir!

“Baiklah. Jika semua sudah bersedia. Kita mulakan dari sekarang!” Pengacara mula mengambil buku yang sudah dipilih oleh para penonton. Pilihan yang pelbagai. Dan ada di antara buku-buku itu terdapat dua edisi. Mampukah Ali memberi jawapan yang tepat pada setiap buku yang bakal ditanyakan padanya nanti? Cuma ada satu klu. Iaitu tajuk buku!

“Buku pertama. Bicara Ini Demi Ilahi.” Suara pengacara berkemundang. Ali tarik nafas panjang. Mata dipejam.

Dan bibirnya mula melontarkan jawapan.

“Pengarangnya adalah Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Harga buku RM30.”

“Betul!” Tepukan gemuruh bergema untuk Ali.

“Syahadah Gadis Ateis.”

“Pengarangnya Imran Haaz. Harga RM25.90.”

“Betul!”

“Lautan Di Hujung Lorong.”

“Neil Gaiman. Harga RM40.”

“Tepat!”

“Men Are From Mars, Woman Are From Venus.”

“Erm… John… John Gray! Harga buku RM33.90.”

“Tepat!”

Beberapa minit kemudian… Pada buku yang ke-26.

“Jangan Mati Sebelum Mati.”

“Jangan Mati Sebelum Mati ada dua edisi. Pertama edisi Bahasa Malaysia. Kedua edisi Bahasa Indonesia. Kalau boleh saya tahu apa warna cover depan buku yang awak pegang?” soal Ali pada pengacara.

“Bagaimana penerbit? Boleh ke saya bagitahu warna cover depan buku ni?” Pengacara bertanya pula pada penerbit rancangan.

Beberapa detik berlalu…

“Baiklah. Penerbit memberi keizinan. Saya cuma boleh beritahu warna kulit depan. Warna kuning mendominasi.”

Ali pejamkan mata. Warna kuning mendominasi? Otaknya mula bekerja.

“Erm… kedua-dua edisi menggunakan gambar cover yang hampir sama namun warnanya berbeza. Warna kuning mendominasi. Seingat saya itu buku Jangan Mati Sebelum Mati edisi Bahasa…”

Keadaan dalam dewan mula mencemaskan. Masing-masing terdiam dan berdebar menanti jawapan Ali. Sudah 25 buku Ali berjaya lepas. Andai Ali tersalah pada buku ke-26 ini maka sampai di sini sajalah perjuangan lelaki itu.

“Jangan Mati Sebelum Mati edisi Indonesia. Harganya RM27!”

“Tepat sekali!”

Bergema satu dewan dengan tepukan gemuruh untuk Ali. Ramai yang buat thumbs-up untuknya. Ali hanya senyum. Debaran di hati masih belum hilang.

Perjuangan Ali diteruskan untuk buku yang seterusnya dan yang terakhir.

“Baiklah sudah tiba di buku yang terakhir. Penentu sama ada Ali berjaya layak ke pusingan seterusnya atau tidak. Ali, anda sudah bersedia?” soal pengacara dengan suara cukup serius.

Ali angguk. “Sedia.”

“Tajuk buku terakhir ini adalah… Kubik Leadership.”

Untuk beberapa saat Ali diam lagi. Otaknya berfikir.

“Buku ni buku Indonesia. Ada gambar pokok pada covernya. Terdapat tiga orang penulis. Farid Poniman. Indrawan Nugroho dan Jamil Azzaini. Harga buku ni… RP65!”

Lancar. Cukup lancar Ali memberikan jawapan!

“Tepat sekali!!!! Tahniah Ali! Tahniah anda telah berjaya menjawab 30 buah buku tanpa sebarang kesalahan!!!”

Semua penonton bersorak untuk Ali. Masing-masing berdiri. Juri-juri juga berdiri dan memberi tepukan untuknya.

Sungguh saat itu Ali merasa seperti mahu menitiskan air mata. Dia sudah berjaya. Berjaya melakukan sesuatu yang paling bermakna dalam hidupnya. Sungguh inilah pencapaian terbesar untuknya!

“Dr. Azad. Sila bagi markah anda.” Setelah keadaan mula tenang, pengacara mula bersuara.
Belum sempat Dr. Azad memberi respon, tiba-tiba Karl meminta izin untuk bercakap.

“Maafkan saya. Saya rasa saya perlu mintak pertolongan dari Dr. Azad. Boleh tak doktor bagi markah lebih untuk Ali. Tampung yang saya punya tadi. Sebab saya rasa 3 mata tidak cukup untuk apa yang dia buat hari ni.”

Semua yang mendengar itu hanya tersenyum dan tergelak.

“Saya pun sama. Dr. Azad tolong bagi lebih markah untuk Ali.” Chef Joe juga mencelah. Sungguh acara yang Ali lakukan tadi sangat susah. Memang tidak mudah untuk mengingat 30 buah buku sahaja daripada 300 ribu buku yang ada. Chef Joe dan Karl khilaf dengan diri mereka yang memberikan markah tidak setimpal pada Ali.

“Sekali lagi tanggungjawab besar saya kena galas. Ini yang susah jadi ketua juri.” Dr. Azad bercanda.

“Saya akan bagi markah sekarang untuk Encik Ali.” Sambungnya kembali serius.

Masing-masing menahan debar. Segala keputusan kini terletak pada tangan Dr. Azad.

“Saya bagi awak….” Lampu-lampu mula suram. Semua mata terarah pada skrin.

Pap! Butang nombor ditekan. Dan akhirnya terpapar markah keseluruhan untuk Ali.

“70 markah untuk  Umar Ali! Itu bermakna Dr. Azad memberikan 7 mata untuk Ali… itu bermaksud Ali juga tidak layak untuk ke peringkat seterusnya…”

Satu dewan mengeluh berat. Dr. Azad mula memberi penjelasan.

“Untuk layak ke peringkat seterusnya markah peserta harus melebihi 80. Dan Ali memerlukan 8 markah dari 
saya untuk berjaya. Tapi saya rasa saya hanya mampu memberikannya 7 markah.”

“Alasannya?” Pengacara memintas.

“Macam ni… memori jangka panjang Ali memang menakjubkan. Dan sememangnya otak manusia berbeza semuanya. Tak semua dapat simpan memori maklumat yang baik dan detail macam Ali. Dengan harga bukunya, penulisnya, tajuk bukunya dan warna buku. Dia juga ingat betul apa yang terjadi pada penulis buku itu dan tahu isi kandungan buku. Itu satu kelebihan dan kemampuan luar biasa. Namun perlu diingatkan. Ali adalah seorang pemilik kedai buku dan hidupnya 24 jam bersama buku-buku. Prinsip memori terdapat sepuluh jenis. Saya bagi 2 jenis sahaja yang bersesuaian dengan Ali iaitu prinsip memori yang Ali alami adalah minat dan pengecilan maklumat. Dia gemar membaca. Dia suka pada buku. Jadi minat untuk mengingat timbul. Pengecilan maklumat pula adalah dia mengingat fakta-fakta pada buku. Itu semua adalah satu kelebihan namun untuk rancangan ini saya rasa Ali belum cukup mampu untuk teruskan perjuangannya.”

Panjang huraian dari Dr. Azad. Semua juri tiada bantahan dan seakan bersetuju dengan pendapat doktor muda itu.

“Apa pendapat awak Ali? Ingin menambah apa-apa atau tidak berpuas hati dengan jawapan dari Dr. Azad?” Pengacara bertanya.

Ali menggelengkan kepala. Dia senyum.

“Saya terima ulasan dari Dr. Azad dengan hati yang terbuka. Walau saya tak layak ke peringkat seterusnya, sekurang-kurangnya impian saya sudah terlaksana. Untuk memperkenalkan HIJAU di mata dunia dan membantu adik-adik saya. Itu sudah mencukupi.”

“Kalau begitu bolehkah awak memberitahu para penonton semua alamat kedai buku awak. Inilah masanya untuk awak promote HIJAU.”

Tersenyum segan Ali saat itu. Lambat-lambat dia memberikan alamat kedai bukunya.

“Baiklah. Sampai masanya untuk kita mengucapkan selamat tinggal pada Ali . Harap awak terus kuat untuk berjuang demi HIJAU dan adik-adik awak. Jangan putus asa. Berbanggalah dengan pekerjaan awak ni. Teruskan apa yang awak lakukan untuk adik-adik awak. Setiap yang berlaku pasti memberi erti. Takkan pernah ia berlaku untuk sia-sia. Ingat tu!” Sempat pengacara memberi kata-kata semangat untuk Ali.

Ali angguk lalu bersalaman dengan pengacara. Baru saja dia nak melangkah pergi, tiba-tiba Wan Fazira bersuara menyampaikan sesuatu.

“Tunggu Ali. Para juri dan penerbit sempat berbincang tadi. Idea ni dari saya sebenarnya. Apa kata awak dicabar sekali lagi untuk meneka buku-buku tu. Tapi kali ni dalam tempoh masa 2 minit. Sebanyak mana buku yang awak mampu teka dengan betul dalam masa 2 minit tu, kami akan menggandakan buku itu untuk dihadiahkan kepada adik-adik awak. Setuju?”

“Setuju! Setuju! Setuju!” Suara penonton memberi galakkan pada Ali buat Ali angguk laju. Demi adik-adiknya dia sanggup mencuba!

“Berapa gandaan buku tu?” soal Ali bersemangat.

“Memandangkan terdapat empat orang juri dan seorang pengacara jadi kita akan ganda lima.” Fazira memberi jawapan.

Ali senyum puas. Baiklah dalam masa 2 minit dia akan melakukan yang terbaik. Meneka sebanyak mana buku yang dia mampu. Jangan sampai tersalah. Dia sangat-sangat ingin menghulurkan lebih banyak buku kepada lebih ramai orang di luar sana. Kerana dengan sebuah buku, tidak mustahil kehidupan seseorang akan berubah buat selama-lamanya. Kerana dalam buku itu ada ilmu. Dan ilmu itu punca kita bertindak. Apabila ilmu dan usaha bergerak seiring, insyaAllah kejayaan bakal menjadi milik kita. Tiada yang mustahil!

Buku adalah sebuah benda mati, tetapi kehidupan terus hidup di dalamnya. Dengan buku, kau punya kemampuan untuk membalikkan waktu.
Karlina Leksono


Beberapa bulan kemudian.

“Ini kedai buku yang masuk TV tu ke eh?” soal seorang pelanggan yang baru masuk ke dalam kedai.

Ali yang berada di kaunter hanya angguk lalu tersenyum.

“Saya Umar Ali. Tauke kedai buku ni.” Ali perkenalkan diri.

Tak semena pelanggan lelaki berusia awal 20-an itu teruja.

“Owh awaklah orangnya. Saya Firdaus. Saya kagumlah dengan kecerdasan otak awak. Saya ada baca dalam surat khabar tentang awak dan kedai ni. Sebab tu saya ke sini. Nak kenal awak dan lebih penting nak challenge awak teka harga buku tu.” Ramah pelanggan itu berkata-kata.

Ali senyum dan angguk. Untuk hari ini sudah 30 orang pelanggan yang masuk ke HIJAU. Semua yang datang mengetahui akan kewujudan kedai ini melalui tv, surat khabar, radio dan internent. Pokoknya, HIJAU sudah menjadi popular dan dikenali.

Dan kerana itulah, Ali mendapat cetusan ilham terbaru.

Setelah 30 tahun HIJAU beroperasi, ini kali pertama HIJAU akan ditutup untuk kerja-kerja penambahbaikan. Kata Budin, Ali perlu menjadikan HIJAU sebagai tempat untuk orang datang dan boleh rileks-rileks. Boleh minum sambil membaca. Boleh lepak sambil membaca. Boleh santai-santai ala-ala cafeteria.

Santai – Mesra- Hijau. Itu konsep terbaru HIJAU.

Kini, Ali mulai sedar akan peripentingnya dia untuk bersaing secara sihat dengan kedai buku yang lebih gah dan moden di luar sana. Dengan adanya modal HIJAU yang sudah dikenali, maka dia seharusnya bijak mengambil peluang ini untuk menjadikan HIJAU makin berada dekat dan melekat di hati pelanggan yang berkunjung ke sini.

Itu berkisar tentang HIJAU. Dan ini pula berkisar tentang adik-adiknya yang berada jauh di pedalaman sana.

-Assalamualaikum, Cikgu Osman. Saya dah bersedia untuk bertemu dengan adik-adik saya. Harap mereka masih sudi untuk berkenalan dengan abang dorang yang pemalu ni. J

Itu SMS yang dikirim oleh Ali kepada Cikgu Osman beberapa hari yang lalu.

Lusa Ali akan berangkat ke Sabah untuk bertemu dengan adik-adiknya setelah hampir lima tahun dia menjadi Umar Ali yang misteri.

Selain membangunkan HIJAU, Ali juga berusaha untuk mengumpul lebih banyak dana bagi membantu lebih ramai anak-anak untuk memiliki sebuah buku. Jika dilihat secara mata kasar ia bagai tidak memberi kesan. Namun Ali berpegang pada kata-kata arwah ayahnya.

“Sekeras-kerasnya batu jika terkena titisan air setiap hari lama-lama akan berlekuk bahkan mampu habis terkikis. Manusia ibarat titisan air, jika tanpa putus asa maka rintangan (batu besar) yang sangat berat pun mampu ditakluki. Dengan keyakinan kuat dan tak kenal putus asa maka kejayaan akan dituai dan harus disertai rasa syukur agar setiap titisan air diberkati.”

Dan yakinlah juga… setiap yang berlaku dalam hidup kita pasti memberi erti. Pada kita, pada orang lain dan pada dunia… Bukankah tiada yang mustahil dalam dunia ini andai Tuhan mengkehendaki?

TAMAT.


#Cerpen ini adalah adaptasi dari kisah benar yang saya tonton dalam sebuah rancangan di ntv7 iaitu rancangan game show THE BRAIN CHINA. (main setiap hari Sabtu pukul 8.30 malam).

Dalam rancangan tu ada seorang peserta lelaki yang datang untuk bertanding semata-mata demi memperkenalkan kedai bukunya dan demi anak-anak kecil yang selama ini dibantunya.

Pemuda itu (lupa nama dia) merupakan tauke kedai buku tu. Satu hari dia menerima diari dari anak-anak yang dibantunya. Anak-anak tu menulis ucapan terima kasih kepadanya dan titipkan gambar-gambar mereka dengan buku-buku yang pemuda tu hadiahkan.

Kerana beban hutang pemuda tu memang nak tutup kedai buku dia. Tapi sebab terima diari tu dia mula fikir lain. Dia mula nampak kedai bukunya juga memberi peranan penting untuk ‘seseorang’. Pekerjaannya sebagai penjual buku juga membawa erti kerana melalui kedai bukunya itu dia mampu menghadiahkan buku-buku kepada anak-anak yang susah.

Pemuda tu memang tak layak ke peringkat seterusnya sebab dia memang dapat markah sedikit. Namun kecerdasan otaknya memang dipuji juri.

Apa yang direka dalam cerita ini adalah nama watak, nama watak pembantu, nama-nama juri, tajuk buku (ada yang direka ada yang betul), harga buku dan nama penulis (ada yang betul, ada yang direka). Part perbualan sesama juri dan doktor itu juga separuh direka dan separuhnya adalah benar.

Saya tertarik untuk membuat cerpen adaptasi kisah pemuda ini adalah kerana ia sangat menarik (bagi saya). Jarang saya membaca kisah seperti ini. Selain itu motif cerpen ini juga adalah untuk memupuk minat kalian untuk banyakkan membaca. Kerana membaca itu sememangnya satu perkara yang sangat memberi faedah untuk diri kita dan ia kadang-kadang dapat menjadi asbab kita mampu membantu orang lain.

Dalam Islam sendiri budaya membaca ini ditekankan.

“Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah...! Dan Tuhanmulah yang paling Pemurah, yang mengajarkan manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajar manusia apa yang tidak ia ketahui.” (Surah Al-‘Alaq 96: 1-5)
Ilmu ialah warisan 'anbia
Ilmu melindungi pemiliknya
Ilmu bertambah apabila digunakan
Ilmu dimiliki oleh orang yang beriman
Ilmu petunjuk ke jalan yang lurus dan benar
Ilmu akan menemani kita hingga ke liang lahad

Konklusinya... “Bacalah...,” tuntutlah ilmu setiap detik dan ketika tapi semestinya... “Dengan nama Tuhanmu yang Menciptakan...!”

Awal suruhan ialah membaca
Menuntut ilmu disuruh budaya
Inilah teladan sepanjang masa
Gayakan hidup dengan membaca

Apalah nama andai tanpa ilmu
Apalah mahkota permatanya palsu
Tanpa membaca cacatlah minda
Tanpa ilmu ke manalah kita

Jika ilmu penuh di dada
Bila bergaya dengan membaca
Dunia sempit menjadi luas
Tempah kejayaan tiada terbatas
Negara yang kecil tinggi martabat
Kerana ilmu negara berdaulat

Mari kawan... Kita membaca
Mari rakan, timba ilmu dengan membaca
Inilah perjuangan, sambutlah seruan
Jadikan membaca gaya wawasan

Everybody take a book and read
To gain knowledge, everyone has to read
Let’s reach out, open up your mind
Let’s make reading, a lifestyle of wawasan

#Yang baik dari Allah SWT, yang buruk dari Cik Penulis :)