Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
ANDAI DIA JODOHKU.
Seperti kebiasaannya, Razi akan memulakan kerja
tepat jam 7 pagi. Seawal itu dia datang ke bengkel baiki kereta yang terletak
di Jalan Mulia itu. Di situlah Razi mencari rezeki selama hampir 3 tahun. Dari
seorang mekanik motosikal, dia kini mula memperbaiki pekerjaannya lebih baik
dengan menjadi mekanik kereta yang gajinya dua kali lebih banyak.
“Assalamualaikum, Razi. Dah sarapan ke belum? Kalau
belum jomlah pak cik belanja.” Sapaan dari Pak Cik Omar dibalas oleh senyuman
mesra oleh Razi. Dia yang sedang sibuk memunggah barang-barang mekaniknya,
segera meninggalkan itu semua lalu berdepan dengan Pak cik Omar.
“Waalaikumussalam, pak cik. Alhamdulillah saya dah
sarapan kat rumah tadi. Kalau pak cik nak belanja, bolehlah belanja saya makan
tengah hari ni.” Bahu Pak Cik Omar ditepuk-tepuk mesra. Bermulanya Razi bekerja
sebagai mekanik di sini, dia sudah mengenali Pak cik Omar yang merupakan
pelanggan tetap di bengkel milik sahabat baik Razi sendiri iaitu Hanif.
“Kalau tengah hari nanti, pak cik ada kerja sikit.
Tapi kalau…” Tidak sempat Pak cik Omar menghabiskan ayatnya, dengan sopan Razi
bersuara.
“Pak cik ni saya gurau ajelah. Tak payahlah
susah-susah. Lagipun, tengah hari ni saya dah janji dengan Lan nak makan sama.”
Pak cik Omar tersenyum sambil angguk kepala.
“Apa salahnya kalau pak cik nak belanja kamu pun.
Insya-Allah esok lusa pak cik belanja kamu makan tengah hari kat warung Pak Isa
tu. Okeylah pak cik pun dah lambat ni. Nak pergi gunting rambut kejap. Tengah
hari nanti nak pergi kenduri kahwin pulak. Pak cik pergi dulu ya.” Razi
menghadiahkan senyumannya. Tangan Pak cik Omar disalami penuh hormat.
“Okey pak cik. Jalan elok-elok. Assalamualaikum…”
“Waalaikumussalam warahmatullah…” Melihat kelibat
Pak cik Omar makin menjauh dari pandangan matanya, Razi kembali menyambung
kerjanya.Itulah rutin hariannya. Rasa-rasanya tiap pagi dia pasti akan ditegur
oleh Pak cik Omar yang masih sihat walaupun usianya sudah hampir mencecah 70
tahun. Alhamdulillah.
Sebelum menyambung kerjanya, Razi sempat memalingkan
kepalanya menoleh ke belakang. Perhentian bas yang terletak di hadapan
bengkelnya ditatap lama.Bukan perhentian bas itu yang menjadi santapan matanya
namun si penumpang yang sedang berdiri menunggu bas di perhentian bas itu yang menjadi
perhatian Razi.
Seminggu berlalu. Gadis bertudung litup yang selalu
menunggu bas di situ kian menjadi pemerhatian Razi. Dia sendiri tidak tahu apa
yang sebenarnya menarik minatnya untuk melihat gadis itu. Razi tahu berdosa
baginya untuk melihat berkali-kali pada seorang wanita yang bukan muhrim.
Namun, dalam hatinya bagai ada sesuatu yang sedang melanda. Sukakah dia pada
gadis itu? Adakah itu bermakna jodohnya sudah sampai?
Razi tak sanggup untuk berfikir lebih jauh. Mungkin
itu hanyalah perasaannya semata. Mungkin saja perempuan itu isteri orang,
tunangan orang ataupun kekasih orang.
“Assalamualaikum…. Saya Razi… Awak?” Razi tersenyum
seorang diri. Soalan itu ingin sekali ditujukan pada gadis itu.Mungkinkah dia
berpeluang untuk menyatakan itu semua?
*******
“Assalamualaikum Lan…” Sebaik saja tiba di restoran
yang dijanjikan, Razi terus mencari kelibat sahabat baiknya Razlan. Razlan atau
lebih mesra dipanggil Lan merupakan seorang kerani bank. Dan Lan juga banyak
membantu Razi untuk meneruskan kehidupannya di ibu kota metropolitan ini. Lan
dan Razi bagai adik beradik kandung.
“Waalaikumussalam. Lambat hari ni. Kenapa? Ada
apa-apa yang berlaku ke?” soal Lan ambil berat. Biasanya Razi jarang datang
lambat bila berjanji.
Razi duduk ke kerusi.Senyuman dihadiahkan mesra
untuk Lan.
“Banyak kereta tadi. Kesian aku kat seorang aunty
tu. Dia nak aku baiki cepat-cepat kereta dia. Katanya urgent. Aku tolonglah
dulu. Maaf dah buat kau menunggu.” Rasa bersalah pula Razi pada Lan. Kerana
kelambatannya mungkin saja telah membuat waktu rehat Lan jadi terganggu.
“Hisy,kau ni. Tak payahlah nak minta maaf.Dah order
dulu makanan. Aku ada sesuatu nak bincangkan dengan kau.” Wajah Lan yang serius
buat hati Razi dilanda tanda tanya. Kenapa muka Lan serius pulak hari ni? Dia
nak bincang apa ya? Omel Razi dalam hati.
Selesai memesan makanan, Lan mula membuka bicaranya.
Satu soalan ditujukan pada Razi. Dan soalan itu benar-benar buat Razi terkejut.
“Kau dah ready nak kahwin?” tanya Lan sambil pandang
tepat ke muka Razi. Buat seketika Razi terpana dengan soalan itu. Sesaat
kemudian,dia tersengih memandang Lan.
“Apasal kau tanya aku soalan macam tu?” Tidak
menjawab soalan Lan, Razi sebaliknya mengembalikan soalan itu dengan soalan.
Lan juga tersenyum.
“Kau mesti terkejut, kan?Aku lagi terkejut. Ada orang pinang kau.”
Hampir tersedak Razi mendengar ucapan Lan.
“Kau jangan main-main, Lan.” Mahu tergelak Razi saat
itu. Ada ke perempuan nak pinang dia? Biasanya lelaki yang masuk meminang
perempuan.
“Kali ni aku tak main-main. Ija cakap ada seorang
perempuan ni berkenan dengan kau. Dan aku rasa dia cukup berani kerana
meluahkan perasaanya pada Ija. Itu bermakna dia benar-benar berharap dapat kau
jadi suami dia.”
Razi cuba bertenang. Melihat muka Lan,dia yakin Lan
tak main-main. Apa lagi apabila nama Ija disebut-sebut. Ija,isteri kepada Lan
cukup Razi kenal dengan sikap tidak suka cakap bohongnya. Jadi, memang benar
ada seorang perempuan ingin melamarnya? Razi terkedu.
“Tapi kenapa aku?” Soalan itu terpancul keluar dari
bibir Razi.
“Mungkin dah sampai jodoh kau.” Jawab Lan penuh
yakin.
Kepala digaru-garu perlahan. Razi hanya mampu
tersengih sambil gelengkan kepala. Jodoh aku? Benarkah jodoh aku sudah sampai?
Hatinya mula tertanya-tanya.
“Tapi macam mana perempuan tu boleh kenal aku? Apa
aku kenal dia ke? Aku pernah jumpa dengan dia ke selama ni?” Memang itu menjadi
kemusykilan Razi. Andai benar perempuan yang ingin menyuntingnya itu mengenali
Ija, sudah pasti perempuan itu sudah lama memperhatikannya.Tapi siapa?
Tak sempat Lan menjawab soalan Razi, pelayan tiba
membawa hidangan. Lan dan Razi memberi peluang kepada pelayan itu menghidangkan
juadah. Sebaik saja pelayan itu pergi, segera Razi meneguk jus tembikai yang
dipesannya tadi. Rasa panas pulak badan ni.Rasa segan pun ada. Ada ke patutnya
dirinya dilamar oleh seorang perempuan. Melalui sahabat baiknya sendiri pulak
tu.
“Ija cakap perempuan tu jiran kita. Tapi serius aku
tak kenal dengan perempuan tu. Ija pun terkejut bila perempuan tu tiba-tiba
datang dan cakap nak lamar kau.” Hampir tersembur air yang disedut Razi. Berani
betul perempuan ni.
“Kalau dia jiran kita, maknanya kita mesti pernah
jumpa dia.Tapi ini kau tak kenal,Ija tak kenal.Aku lagilah tak kenal. Hisy, tak
berani aku.” Misteri pula perempuan yang diceritakan oleh Lan ini. Kenapa dia
nak melamar aku? Dia dah kenal aku lama ke? Soalan itu bermain di minda Razi.
Selera untuk makan mula menghilang entah ke mana.
“Itu aku tak tahu. Kalau kau nak tahu siapa perempuan
tu, pergilah jumpa dia. Perkara senang tak perlu disusahkan. Tapi bukan senang
nak ada kes macam kau sekarang ni. Perempuan melamar lelaki.Itu bererti lelaki
itu benar-benar seorang yang baik dan soleh. Razi, aku nampak semua tu pada
diri kau. Kau lelaki baik, mungkin ini yang dinamakan jodoh.” Bahu Razi ditepuk-tepuk oleh Lan. Dia cuba meyakinkan
Razi dengan penjodohan ini.
Razi pandang Lan tanpa kata. Jumpa dengan perempuan
tu? Mampukah dia berdepan dengan perempuan yang sudah menyuntingnya itu?
*******
Malam itu pulang saja dari masjid, Razi singgah dulu
ke rumah Lan. Masih ada benda yang ingin ditanyakan pada Lan. Mungkin saja pada
Ija. Kerana Ija lebih dulu berdepan dengan perempuan misteri yang telah
menyuntingnya itu.
“Assalamualaikum… Assalamualaikum…” Salam dilaung
dua kali. Seminit menunggu, muncul Ija sambil mendukung anak bongsunya, Muhsin.
“Waalaikumussalam… Razi? Masuklah. Abang Lan ada kat
dalam. Tengah tengok bola. Masuk-masuk.” Ija tersenyum sambil sempat
mengemaskan tudung yang tersarung di kepalanya. Razi membalas senyuman Ija
seadanya. Muhsin yang berusia satu tahun itu diagah-agah mesra.
Melangkah masuk ke dalam rumah, Razi terpandang Lan
yang sedang berbaring di ruang tamu bersama-sama anak lelaki sulungnya,
Muhammad. Kusyuk benar mereka menonton siaran langsung bola sepak di tv1 itu.
“Lan…” Razi turut duduk ke lantai. Tidak selesa pula
bila tuan rumah duduk di bawah dia duduk di atas.
“Hah, Razi. Baru balik dari masjid ke?” Lan bertanya
sambil bangun. Muhammad yang sudah mula mengantuk itu ditepuk-tepuk perlahan.
7 tahun perkahwinannya dengan Ija,
inilah rezeki yang Allah berikan padanya. Dua-dua lelaki. Seorang berusia 6
tahun. Seorang lagi satu tahun.
“Baru balik, Lan. Aku cari jugak kau kat masjid tadi
tapi tak jumpa.” Sempat Razi memandang
ke arah kaca televisyen. Perlawanan bola sepak antara Terengganu menentang
Perak. Masih lagi seri kosong-kosong. Bukan Razi tak minat bola, tapi setakat
bola yang bukan team kegemarannya, baik tak payah tengokpun tak apa. Pergi masjid
lagi berfaedah.
“Aku layan bola ni, Zi. Sebab tu tak pergi. Eh, kau
datang sini ada apa? Nak bincang pasal hal tadi ke?” Baru saja Razi ingin
lupakan perkara itu, ia kembali muncul apabila mendengar Lan bersuara. Memang
itulah tujuannya.
“Aku nak tanya Ija sesuatu. Boleh ke Lan?” Ija yang
baru muncul sambil mendulang air minuman, hanya tersenyum memandang Razi. Dia
duduk sambil menghidangkan minuman kepada tetamu.
“Ija, tu si bakal pengantin kita nak tanya tu.” Lan bercanda mesra. Sikit pun Razi tak marah
dengan guraun Lan. Bakal pengantinlah sangat. Pengantin perempuanpun belum
tengok lagi.
“Ada apa, Razi? Kalau boleh Ija bantu, InsyaAllah
Ija tolong.” Ija duduk di sebelah Lan. Muhsin dibiarkan dipangku oleh Lan.
Razi leka buat seketika melihat kebahagian Lan dan
Ija. Kalaulah dia juga berkahwin nanti, ingin sekali dia memiliki keluarga yang
bahagia seperti Lan. Mempunyai seorang isteri yang solehah. Pandai menjaga hati
dan menjaga makan pakainya dengan baik. Mungkinkah perempuan misteri itu bakal
menjadi zaujahnya?
“Ija, saya nak tahu betul ke ada seorang perempuan
lamar saya? Saya macam tak percaya aje.” Razi tersenyum malu.Ija pandang
Lan.Lan juga tersenyum.
“Betul.Takkan Ija nak berbohong pulak. Dua hari yang
lalu, dia datang. Dia cakap dia bawa hajat yang besar.Datang nak melamar
seseorang. Terkejut Ija masa tu, Razi. Ingatkan datang nak melamar Abang Lan.” Ija
tertawa kecil. Lan dan Razi ikut tergelak sama.
“Tapi dia cakap dia berkenan untuk menyunting
seorang lelaki yang selalu datang ke rumah ni. Bekerja sebagai mekanik kereta.
Suka tersenyum. Ija mula fikir siapa lelaki yang dia maksudkan. Tapi bila dia
cakap lelaki tu kawan baik Abang Lan, terus Ija teringatkan Razi. Dan dia
mengaku, memang Razi yang dia maksudkan.”
Terasa merah padam muka Razi menahan rasa segannya.
Sungguh dia tidak menyangka ada seorang perempuan memerhatikan dirinya selama
ini. Makin tak sabar untuk mengenali dengan wanita itu.
“Tapi kenapa saya? Apa lagi yang dia tahu pasal
saya?” Mungkinkah perempuan itu mengetahui banyak maklumat mengenai dirinya?
Razi tertanya-tanya lagi.
“Dia jiran kita. Rumah dia beberapa meter aje dari
sini. Dia cakap, dia selalu perhatikan Razi pergi kerja,balik kerja. Razi
selalu lalu depan rumah dia. Hati dia tertarik melihat Razi. Melihat Razi
selalu pergi ke masjid,lagi buat dia jatuh suka pada Razi.”
Allahuakbar. Razi makin teruja pula untuk bertemu
dengan wanita itu. Tiba-tiba dia rasa bahagia apabila ada wanita
memperhatikannya sampai begitu sekali. Pasti wanita itu juga seorang yang
istimewa.
“Apa nama dia,Ija?” Soalan itu muncul di bibir Razi.
Ingin sekali dia mengetahui nama si pemilik gadis yang telah melamarnya itu.
Ija pandang Lan. Lan anggukkan kepala bagai
memberika keizinan untuk Ija teruskan kata.
“Nama dia… Nur Qasif. Tapi Ija tak tahulah muka dia
macam mana. Orangnya berpurdah, Razi. Tapi bila Ija tengok sinar mata dia,
tenang rasa hati ni.” ujar Ija seakan-akan mengenang kembali perwatakan
gadis bernama Nur Qasif itu.
Razi terdiam lama. Nama Nur Qasif mula meniti di
hatinya. Siapakah agaknya Nur Qasif ini? Perlukah dia menemui gadis itu? Tapi
bukankah gadis itu melamarnya. Sepatutnya gadis itu sendiri yang menemuinya.
Dan mampukah dia memberi perasaan sayangnya pada Nur
Qasif sedangkan hatinya sudah mula terpaut pada gadis yang selalu dilihatnya di
perhentian bas itu. Tiba-tiba Razi dalam dilemma. Andai dia menemui gadis
berpurdah itu,itu mungkin membuatkan gadis itu menganggap dia sudah bersetuju
untuk meneruskan hubungan mereka yang belum terjalin. Dan gadis yang selalu
dilihatnya di perhentian bas itu seharusnya ditegur olehnya terlebih dahulu
sebelum terlambat. Pada siapa yang harus Razi tuju terlebih dahulu?
*********
Pagi itu, Razi nekad untuk menegur gadis yang selalu
diperhatikan olehnya di perhentian bas itu. Seminggu dia berfikir mengenai hal
ini. Setelah melakukan solat sunat Istikharah, Razi yakin Allah telah memberi
jawapannya. Dalam mimpinya, dia ternampak seorang gadis bertudung sedang
menunggunya di perhentian bas. Tapi sayangnya wajah gadis itu kabur-kabur.
Mungkin kabur kerana selama ini pun Razi tak pernah melihat gadis yang sudah
disukainya itu dekat-dekat. Hanya tengok dari jauh. Hari ini baru berani untuk
tengok lebih dekat.
Razi sudah rujuk perkara ini dengan imam masjid.
Kata imam, kalau kita dah sukakan seseorang itu, jangan malu untuk
meluahkannya. Kerana Nabi Muhammad pernah menasihati seorang pemuda ketika di
zaman baginda dahulu.
Ada seorang pemuda yang sudah jatuh hati pada
seorang gadis. Lalu, pemuda itu datang menemui Baginda meminta pendapat
baginda. Nabi SAW bertanya, adakah gadis itu tahu isi hatinya. Pemuda menjawab,
tidak,Ya Rasulullah.Rasulullah berkata lagi, kenapa kamu tidak meluahkannya?
Tidak salah meluahkan perasaan. Kalau suka, katakan suka. Lalu pemuda itu
segera mengikut saranan Rasululllah.
Razi juga ingin mengikut nasihat Rasulullah SAW. Meluahkan
perasaan itu tidak salah. Selagi tidak diluahkan,selagi itulah Razi takkan tahu
sama ada sayangnya pada gadis itu berbalas atau tidak.
Andai gadis itu sudi untuk menerima cintanya, Razi
akan segera menikahi gadis itu. Dan pada gadis yang telah menyuntingnya, Razi
akan bertemu dengan gadis itu dan menyatakan bahawa hatinya sudah dimiliki.Akan
ditolak secara sopan lamaran gadis misteri bernama Nur Qasif itu.
Tapi andai gadis impiannya menolak cintanya, adakah
itu bermakna dia harus membuka hatinya untuk Nur Qasif? Mampukah dia menyayangi
Nur Qasif? Ah…. Yang penting sekarang, jumpa dengan gadis tu dulu Razi. Luahkan
perasaan kau. Hatinya berbisik memujuk.
Jam dipergelangan tangan kanannya ditilik perlahan.
Sudah masuk jam 7.15 pagi. Biasanya gadis itu sudah terpacak menunggu bas di
sini. Ke manakah gadis itu? Razi jadi resah. Adakah mereka tiada rezeki untuk
bertemu hari ini?
‘Ya Allah, pertemukanlah aku dengan dia. Aku ingin
mencintainya secara halal. Permudahkan jalanku, ya Allah…’ Doa diaminkan penuh
berharap. Matanya bergerak ke kiri dan kanan mencari kelibat gadis impiannya.
Hampir setengah jam menunggu akhirnya, orang yang
ditunggu-tunggu munculkan diri. Dari kejauhan Razi dapat lihat langkah seorang
gadis bertudung litup sedang berjalan menuju ke perhentian bas. Senyuman mula terlakar
di wajahnya. Hati Razi mula berdebar-debar.
Namun, Razi berasa agak hampa apabila gadis itu
menghentikan langkahnya agak jauh dari perhentian bas. Dia berdiri di situ
bagaikan sedang menunggu seseorang. Adakah gadis itu menunggu suaminya? Atau
tunangnya? Tiba-tiba Razi hilang semangat untuk meluahkan perasaannya.
‘Kau kena mulakan dulu, Razi. Luahkan. Luahkan.
Luahkan perasaan kau.’ Suara hati Razi berbisik lagi. Dalam terpaksa dan rela,
Razi akhirnya akur untuk meluahkan perasaannya. Mungkin ini adalah peluang
terakhirnya.
“Assalamualaikum, saudari…” Akhirnya, berjaya juga
Razi menegur gadis impiannya. Gadis itu kelihatan malu-malu untuk memandang
wajah Razi.Dia hanya memandang sekilas lalu menjawab salam Razi perlahan.
Razi terleka seketika menatap wajah gadis impiannya
dari dekat.Subhanallah. Bidadarikah yang menjelma di depannya sekarang? Tidak
melampau kecantikannya namun wajah itu mampu buat Razi jatuh cinta.
“Maafkan saya kalau buat saudari takut dengan
teguran saya ni. Saya Ahmad Razi. Saya kerja kat depan tu. Sebagai mekanik
kereta.” Razi cuba mengumpul kekuatan untuk meneruskan katanya. Adakah ini saat
paling tepat dia meluahkan isi hatinya?
Gadis itu kelihatan agak cuak. Dia hanya mampu
tersenyum kelat namun dia masih berdiri di situ menanti Razi menyambung
katanya.
“Saya… saya…” Tersekat suara Razi. Malunya dia rasa
saat ini.
“Andai awak masih belum menjadi milik orang, sudikah
awak menerima cinta saya? Saya… saya rasa saya sukakan awak.Saya nak lamar jadi
isteri saya yang sah.” Lega.Itulah yang Razi rasa saat ini. Akhirnya dia
meluahkan juga perasaannya.
Gadis itu kelihatan agak terkejut. Kepalanya
tergeleng perlahan. Sungguh Razi tidak faham maksud gelengan itu. Adakah
gelengan itu menandakan gadis itu benar-benar tidak berpunya? Atau gelengan itu
menandakan dia tidak boleh menerima lamarannya tadi.
“Maafkan saya. Hati saya dah berpunya.” Agak
malu-malu juga gadis itu bersuara.
Saat itu betapa Razi berasa cukup malu. Namun,
apabila memikirkan caranya ini diajar oleh Rasulullah, perasaan itu hilang buat
seketika.Sekurang-kurangnya dia sudah meluahkan perasaan cintanya. Sekarang,
dia harus belajar untuk redha andai gadis itu bukan miliknya.
“Takpe. Sekurang-kurangnya saya dah lakukan apa yang
sepatutnya saya lakukan dari dulu lagi.
Maafkan saya sebab dah kejutkan awak dengan lamaran saya ni. Apa-apa pun
gembira dapat cakap dengan awak hari ni.Saya pergi dulu.Assalamualaikum…”
Dengan langkah agak hampa, Razi akhirnya pergi dari
situ. Melihat tiada kenderaan lalu lalang di tengah jalan, dia segera melintas.
Sikitpun Razi tidak berpaling ke belakang.Cintanya bukan ditolak.Cuma, cintanya
masih belum bertemu dengan si empunya diri yang sebenar-benarnya.
Sekarang… sudah selesai satu babak.Tinggal satu
babak lagi. Pertemuan antara dia dan Nur Qasif. Mungkinkah Nur Qasif masih
setia dengan lamarannya? Andai gadis itu sudah punya calon suami yang lain,
adakah bermakna cintanya masih tidak kesampaian?
*******
Setelah diberi alamat oleh Ija, Razi mula
menjalankan misi keduanya iaitu bertentang empat mata dengan Nur Qasif.
Seminggu sudah berlalu sejak lamaran gadis itu. Masihkah gadis itu setia dengan
lamarannya? Razi rasa agak takut untuk bertemu dengan Nur Qasif. Entah
bagaimana cara untuk dia berkata-kata nanti.
Namun yang pasti, Razi ingin bertemu dengan gadis
itu hanya atas satu tujuan. Lamaran gadis itu ingin ditolaknya secara berhemah.
Buat masa sekarang, dia tidak mampu untuk memberi hatinya pada wanita lain. Dia
hanya manusia biasa yang punya hati perasaan. Rasa kecewa dek kerana cinta
tidak kesampaian bersama gadis impiannya, buat Razi tidak mahu menerima cinta
buat masa ini. Biarlah dia mencari dan terus mencari. Bukan bermakna Razi
menolak kehadiran jodohnya, namun belum tiba masanya lagi. Harap Nur Qasif
tidak kecewa.
“Assalamualaikum….” Salam dihulurkan. Rumah teres
dua tingkat yang terletak dua blok dari rumah teresnya dipandang lama. Hatinya
makin berdebar-debar menanti kehadiran si penghuni rumah.
“Waalaikumussalam.” Razi angkat muka memandang ke
arah suara yang menjawab salamnya. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat
Pakcik Omar berdiri di hadapannya sambil tersenyum senang menyambut
kehadirannya di situ.
“Pak cik? Pak cik buat apa kat sini?” soal Razi
sambil mencium hormat tangan Pak cik Omar.
Pak cik Omar hanya tersengih. “Jom kita masuk dulu. Minum-minum dulu ke.”
Razi kaget dengan pelawaan Pakcik Omar. Seakan-akan rumah ini adalah rumahnya
saja. Jangan-jangan Pak cik Omar ini ayah kepada Nur Qasif. Tapi… tak
mungkinlah. Pak cik Omar kata dia tak pernah berkahwin.
Razi akur mengikut Pakcik Omar masuk ke dalam rumah.
Duduk saja di sofa,Pak cik Omar mula membuka cerita.
“Kamu mesti terkejut tengok pak cik kat sini kan.
Jangan terkejut, Razi. Anggaplah ini jodoh kita.” Pak cik Omar tertawa ceria.
Razi yang cuak terpaksa juga tersenyum kelat. Matanya meliar memandang ke
sekeliling. Dimanakah gadis yang bernama Nur Qasif itu. Mahu sekali dia menemui
gadis itu. Apa hubungan Nur Qasif dan Pak cik Omar?
“Saya… saya tak fahamlah. Ini rumah pak cik ke? Tapi
setahu saya, pak cik bukan tinggal kat sini kan?”
“Memanglah pak cik tak tinggal kat sini. Tapi anak
buah pak cik tinggal kat sini. Kejap-kejap. Biar pakcik panggil dia.”
Hati Razi makin kuat berdegup. Ya Allah, sudah
tibakah masanya pertemuannya dengan gadis berpurdah itu?
“Nur… Oh Nur…Sini kejap.Orang yang kamu
tunggu-tunggu ni dah sampai.” Ya Allah kecil betul dunia ni.Tak sangka Nur
Qasif anak saudara pada Pak cik Omar yang amat dikenalinya. Inilah yang
dinamakan takdir.
Beberapa saat berlalu, muncul seseorang dari ruang
dapur. Dengan berbaju kurung dan berjilbab labuh dan berpurdah warna senada,
gadis itu duduk ke sofa berdepan dengan Razi. Pandangannya tertunduk. Adakah
ini Nur Qasif yang telah melamarnya?
“Inilah anak saudara kesayangan pak cik. Nur Qasif
namanya. Baru pulang dari Mesir. Pulang-pulang aje dah terpikat dengan
kesolehan Razi.” Sekali lagi Pak cik Omar bercanda. Razi naik segan.
Tidak mahu melepaskan peluang yang ada, Razi mencuri
pandang pada Nur Qasif. Agaknya bagaimanakah wajah Nur Qasif yang sebenarnya
ya?
“Nur, cakaplah apa yang kamu nak cakap. Pak cik ada
ni. Jangan risau.” Makin tak sabar pula Razi ingin mendengar suara Nur.
Merdukah suaranya?
Tanpa mengangkat pandangannya, Nur mula bersuara.
Dan Razi terpana mendengar suara itu.
“Saya tahu, awak mesti terkejut dengan lamaran saya
hari tu. Tapi saya rasa tak salah andai seorang perempuan melamar seorang
lelaki. Kerana perkara itu pernah dilakukan oleh Saidatina Khadijah. Beliau
melamar baginda Rasulullah kerana tertarik dengan sifat mulia yang ada dalam
diri Rasulullah. Saya nampak sifat mulia dalam diri awak, Ahmad Razi. Saya
yakin, andai awak adalah jodoh saya, Allah pasti akan permudahkan jalan saya.
Buktinya sekarang awak berada di sini.”
Suasana sepi dan bisu. Razi cuba mengingatkan
kembali suara yang sama pernah didengari olehnya seperti suara milik Nur ini.
Tapi suara siapa?
“Adakah awak sudi menerima lamaran saya?” Pertanyaan
Nur dibiar lama oleh Razi. Dia cuba pandang ke anak mata Nur mencari satu
jawapan.
“Sebelum tu, izinkan saya lihat wajah awak.” Ujar
Razi dengan suara cukup serius. Pak cik Omar dan Nur saling berpandangan.
Mungkin mereka tidak menyangka Razi akan seberani ini.
“Saya rasa saya kenal awak siapa.” Razi makin yakin
dengan perasaannya apabila melihat kegelisahan mula melanda Nur. Pak cik Omar
juga sama.
“Awak gadis yang selalu saya perhatikan kat
perhentian bas tu kan? Gadis yang saya lamar hari tu?” Senyuman Razi makin
lebar. Dia semakin yakin. Ya Allah… adakah ini dinamakan jodoh?
“Nur… nampaknya Razi dan kamu memang ada jodoh.
Cukup dia kenal dengan kamu.” Pak cik Omar gelengkan kepala. Dia tersenyum
memikirkan idea anak buahnya itu. Ini semua idea Nur Qasif.
Seperti sudah tidak mampu melarikan diri lagi,
akhirnya Nur menyingkap purdah yang dipakainya. Ditanggalkan purdah itu dan dia
membenarkan Razi melihat wajah sebenarnya.
Alangkah gembiranya Razi berasa saat itu. Nur Qasif
adalah gadis impiannya. Subhanallah. Adakah itu bermakna mereka selama ini
saling memendam rasa?
“Dua bulan yang lepas saya pulang dari Mesir.
Hari-hari saya nampak awak bawa motor lalu di hadapan rumah saya. Malam-malam
pula saya selalu nampak awak di masjid. Saya bertanya pada Pak Omar siapakah
gerangan lelaki itu. Tak sangka Pak Omar cukup kenal dengan awak. Dan Pak Omar
setuju andai saya pilih awak sebagai calon suami saya. Tidak mahu melepaskan
lelaki sebaik awak,saya beranikan diri untuk melamar awak pada Ija. Dan lamaran
awak di perhentian bas hari tu,buat saya yakin bahawa cinta saya sudah
berbalas.”
Razi terdiam mendengar penjelasan Nur. Jadi Nur
Qasif sudah lama perhatikan dirinya? Kenapa selama ini dia tidak menyedari
kehadiran gadis itu?
“Pertama kali saya lihat awak,hati saya dah sukakan
awak. Walaupun dari jauh, saya akur untuk sukakan awak. Tapi… hari tu awak
cakap hati awak dah berpunya.”
Harap-harap Nur tidak menipu. Razi tidak ingin
memiliki seorang isteri yang kuat menipu.Walaupun terpaksa, jangan sesekali
menipu. Tidak berkat hubungan mereka nanti.
“Hati saya memang dah dimiliki. Dimiliki oleh
awak….” Nur tersenyum manis. Dia akhirnya meminta diri masuk ke ruang dapur.
“Cepat-cepatlah masuk meminang. Perkara yang baik
wajib dipercepatkan.” Pak cik Omar bersuara gembira. Razi lebih lagi gembira.
Hatinya kini merasa cukup bahagia. Hampir-hampir saja dia kecewa dengan takdir
Allah. Hakikatnya, tiada siapa yang tahu takdir seseorang itu bagaimana.
Mungkin hari ini kita berasa kecewa dengan pemberian Allah, sedangkan esok lusa
pemberian Allah itulah yang mampu buat kita tersenyum dan merasa cukup
bersyukur.
Segala yang baik datang dari Allah. Yang buruk
datang dari kelemahan kita sendiri. Berbaik sangkalah pada Allah. Kerana Dia
tidak pernah menganiaya hambaNya.
Bak kata bijakpandai juga, walau digenggam kuat
andai ia bukan milik kita, ia terlepas jua. Kalau ditolak ke tepi andai ia untuk kita, ia mendatang juga.
Itulah yang dinamakan jodoh. Razi benar-benar berharap Nur Qasif menjadi jodoh
yang sudah tercatat untuknya sejak di Loh Mahfuz lagi. Dia tidak akan sesekali
mensia-siakan gadis yang telah berjaya mencuri hatinya itu. Andai dia jodohku,
aku terima ya Allah… Bisik hati kecil Razi cukup bahagia.