JOM FOLLOW

Tuesday, 10 June 2014

Menjauh Dari Syurga? [cerpen]




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Menjauh Dari Syurga?


Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
(Surah Luqman ayat 14)

Dayana melepaskan keluhan penuh berat. Buku ilmiah bertajuk Menuju Syurga karya Ustazah Jamilah Bt. Osman diletak malas ke meja sisi.

Badan disandarkan lemah ke kepala katil. Dayana cuba untuk menghayati sedalam-dalamnya firman Allah SWT dalam surah Luqman itu. Ayat bernombor 14 itu dibacanya berkali-kali seketika tadi bagi menghayati bahkan dia cuba untuk menjadikan ayat itu sebagai satu pujukan dan nasihat paling tepat bagi hatinya yang saat ini sedang berbolak-balik.

Dayana seorang gadis kampung berusia 19 tahun. Hampir 2 tahun sudah berlalu semenjak dia tamat sekolah di Tingkatan Lima.

Pada usianya 19 tahun ini adalah saat untuk dia menyambung kembali pelajarannya di menara gading. Hidup sebagai seorang pelajar yang berusaha gigih demi mencapai cita-citanya di masa akan datang. Itu kemahuan hati Dayana sejak dari kecil lagi. Berjaya memegang segulung ijazah sekaligus dapat membantu keluarganya keluar dari kepompong kemiskinan.

Namun, kerana kemiskinan yang dialaminya, Dayana terpaksa mematikan keinginannya untuk sambung belajar seperti kawan-kawannya yang lain.

Dayana membesar bersama-sama seorang kakak dan seorang abang. Dayang, merupakan anak sulung dalam keluarga. Dan Daud merupakan anak kedua. Kedua-dua mereka sudah berumahtangga dan memiliki keluarga masing-masing.

Keadaan itu menyebabkan hanya Dayana sahaja yang tinggal untuk menjaga ibu mereka yang sedang sakit. Makcik Gayah, sudah hampir 10 tahun tidak bekerja. Semuanya gara-gara dia mengalami penyakit Arthritis.

Dayana dan Makcik Gayah meneruskan kelangsungan hidup dengan pemberian wang dari Dayang dan Daud setiap hujung minggu. Mujurlah Daud dan Dayang masih sedar akan tanggungjawab mereka terhadap ibu dan adiknya. Ringan sedikit beban yang Makcik Gayah perlu tanggung.

Namun, tidak bagi Dayana. Apa yang berlaku dalam hidupnya saat ini benar-benar buat dirinya tertekan!

Bukan ini realiti yang dia ingin Tuhan persembahkan padanya. Bukan ini keadaan yang ingin dia lalui di saat impiannya yang sudah terbina sejak kecil sudah tersemat kukuh di sanubari.

Dia mahukan peluang untuk dirinya berlari mengejar cita-citanya. Dia mahu menjadi anak yang dibangga-banggakan oleh keluarga. Dia ingin menjadi seorang pereka fesyen sepertimana impiannya sejak dari kecil itu.

Bukan menjadi impiannya untuk terperap dalam rumah tidak mampu ke mana-mana. Bukan menjadi impiannya untuk hanya berada dalam kawasan halaman rumah untuk menjauhkan pandangannya. Bukan menjadi impiannya untuk terpenjara dalam rumah usang ini bersama-sama dengan ibunya yang sedang terlantar sakit. Bukan! Bukan itu yang dia mahukan!

Namun, walau sudah dijelaskan akan semua impiannya yang sudah terencana dalam benaknya itu pada kakak dan abangnya, Dayana akhirnya terpaksa mengalah sebelum dia mampu lebih agresif untuk berjuang.

Kakak dan abangnya tidak mengizinkan dia untuk sambung belajar. Atas alasan mereka orang susah, hanya sekadar kais pagi makan pagi. Dan alasan yang paling membuat Dayana terpaksa akur adalah alasan ibunya yang sedang sakit.

Ya, seorang anak itu wajib berbakti kepada ibu bapanya. Terutama ibu yang telah melahirkannya.

Ayat itu sering diulang-ulang oleh kakak dan abangnya. Dayana benar-benar tertekan dengan keadaan itu. Bagaikan dirinya sahaja yang perlu mengalah!

Walau pedih dengan penentangan dari kakak dan abangnya, perkara ini tidak pula Dayana sanggup hadapkan pada ibunya, Makcik Gayah. Kerana Dayana juga masih punya rasa simpati dan kasihan pada ibunya itu. Walau hatinya kuat memberontak untuk lari dari rumah ini, namun setiap kali melihat wajah ibu dan mengingati kembali pengorbanan ibu yang tidak pernah meninggalkannya sewaktu dia masih kecil hingga ke saat ini, Dayana tidak sanggup untuk mengecewakan hati ibu.

Tidak mungkin dia sanggup lari dari ‘syurga’. Bukankah syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu?

Dan firman Allah SWT dalam surah Luqman itu bagaikan membujuk hati kecil Dayana untuk terus tinggal di rumah ini. Untuk terus berbakti kepada ibu. Untuk terus menyayangi ibunya tanpa sebarang ragu.

Kerana apa saja jasa yang pernah ditaburkan pada ibu, mana mungkin pernah dapat dibalas hatta sekecil zarah sekalipun.

Dayana redha dengan perjalanan takdirnya bersama-sama ibunya yang tercinta. Biarlah dia tidak mampu menggenggam segulung ijazah, jangan sampai dia tidak mampu mencium bau syurga di akhirat nanti akibat derhakanya dia pada ibunya.

“Yana… Yana…”

Suara Makcik Gayah kedengaran jelas menyapa ke cuping telinga Dayana.

Terus dia bangun dari katil sambil menyeka air mata yang bergenang di tubir mata. Segala khayalan sendunya tadi dibuang jauh-jauh dari ingatan. Fokusnya kini pada ibu!

“Ya, bu. Ada apa?” Dayana sudah terpacak di hadapan bilik Makcik Gayah yang terletak di sebelah biliknya saja. Tapi malam-malam bila sudah sampai waktu tidur, di sebelah ibunya jugalah Dayana akan melentokkan kepala.

“Kaki ibu rasa kebas aje. Boleh Yana picitkan?”

Dayana tersenyum. Dia angguk kepala.

“Mestilah boleh. Kejap Yana ambil minyak,” balasnya sambil melangkah ke meja. Botol minyak Afiat dicapainya. Dilabuhkan duduk di birai katil seraya memulakan proses urut-mengurut.

“Nanti bila Yana dah takde, siapalah nak picit ibu.” Tiba-tiba Makcik Gayah bersuara dengan suara mendatar.

Dayana pantas angkat kepala memandang ibunya. “Apa ibu merepek ni? Yana nak pergi mana? Yana kan selalu ada kat rumah ni.”

Makcik Gayah tersenyum lemah. Wajah anak bongsunya itu ditatap penuh dalam. Ya Allah, Engkau sejahterakanlah hidup anak bongsuku yang paling mulia hatinya ini. Kau anugerahkanlah syurga untuknya. Syurga dunia dan syurga di akhirat nanti, ya Allah. Aku redha terhadapnya… bisik hati kecil Makcik Gayah, sebak. Namun sebak itu ditahan bagi tidak mahu merisaukan Dayana.

“Manalah tahu suatu hari nanti Yana nak sambung belajar atau… Yana kahwin ke. Tinggallah ibu sorang-sorang. Kalau ibu dah meninggal takpelah jugak. Ini…”

“Ibu… ibu cakap apa ni? Hmm?” Dayana pantas memotong. Tak sukalah dia nak perkataan mati tu.

Makcik Gayah tersenyum lagi. Tangan Dayana dicapainya bagai meminta anak daranya itu duduk lebih dekat dengannya. Sebenarnya kakinya tidaklah kebas. Namun, ada sesuatu yang ingin disampaikan untuk anak bongsu kesayangannya itu.

Bukan dia tidak tahu. Bukan dia tidak nampak. Dia cukup tahu, dia cukup nampak keresahan Dayana berada dalam rumah ini menjaga dan menemaninya sehari-hari.

Dia cukup tahu anak bongsunya itu ingin menyambung pelajarannya ke menara gading. Bukan niatnya untuk menghalang. Sungguh, dia tidak berniat seperti itu.

Makcik Gayah sedar dirinya sudah tidak lama lagi untuk terus tinggal di dunia ini. Kerana itu ingin sekali dia menghabiskan masanya yang tersisa dengan dijaga oleh Dayana. Bukan dia tidak boleh menyuruh anak sulungnya, Dayang yang menjaganya. Apatah lagi Daud. Dayang dan Daud juga merupakan anak-anak yang baik.

Tapi layanan Dayana lain. Sangat lain. Dayana seorang anak yang baik. Sabar menjaganya walau terkadang anak itu tidak berjaya mengawal emosinya.

Makcik Gayah tidak terasa hati dengan itu semua. Kerana apabila setiap kali Dayana melakukan kesalahan, gadis itu cepat-cepat meminta maaf padanya. Keadaan itu membuatkan Makcik Gayah berasa senang dan bahagia memiliki anak seperti Dayana. Kalau boleh, biarlah dia hidup lebih lama dengan Dayana.

Tetapi… pada suatu hari, Makcik Gayah terfikir akan satu perkara.

Sampai bila? Sampai bila dia harus menahan Dayana semata-mata demi dirinya. Seakan-akan dia sudah seperti orang yang pentingkan diri sendiri.

Impian Dayana sejak dari kecil adalah untuk menjadi seorang pereka fesyen. Kerana itu sebelum Makcik Gayah terlantar sakit seperti sekarang, sempat dia mengeluarkan wang tabungannya untuk membeli sebuah mesin jahit untuk Dayana.

Walau tidak ramai yang mengambil upah menjahit baju dengan Dayana, Makcik Gayah berasa cukup gembira apabila Dayana menggunakan mesin jahit itu untuk mengasah bakatnya.

Walau gembira, Makcik Gayah tahu Dayana masih tetap mahukan lebih dari itu. Gadis itu mahu belajar dengan guru yang bertauliah agar dapat menjadi pereka fesyen yang berjaya kelak.

Maka dengan itu, dengan penuh berat, Makcik Gayah nekad untuk ‘melepaskan’ Dayana pergi dari rumah ini. Pergi untuk mencapai dan mengejar cita-citanya. Biarkan gadis itu lebih bahagia dengan pilihannya sendiri. Kerana Makcik Gayah dapat rasakan, separuh jiwa Dayana tidak berada di sini. Separuh jiwa gadis itu sudah terbang di luar tercari-cari sesuatu yang ingin dicapainya.

Dayana memang tidak pernah mahu mengaku setiap kali Makcik Gayah bertanya tentang cita-citanya. Tapi sebagai ibu, Makcik Gayah faham dan akan mengizinkan anak daranya itu pergi.

“Yana sambunglah belajar. Ambil jurusan yang Yana minat. Nanti Yana dapat jadi pereka fesyen macam impian Yana dari kecil tu.” Itu kata-kata yang terluah dari bibir ibunya setelah berdiam lama. Dayana terkedu lagi tergamam.

Senyuman mahu terbit dari bibirnya namun ia bagaikan membeku. Kenapa ibu tiba-tiba menyuruhnya pergi mengejar cita-cita? Adakah ibu sudah tahu akan kemahuannya yang satu itu?

“A-apa ibu merepek ni? Hisy, ibu ni. Tu impian Yana masa keciklah. Sekarang…” Tidak sempat Dayana meneruskan kata, Makcik Gayah lebih dulu bersuara.

“Pergilah, sayang. Pergi kejar cita-cita Yana. Ibu tak sanggup jadi penghalang bagi Yana. Ibu tahu ibu dah banyak menyusahkan Yana. Ibu dah kongkong hidup Yana. Yana kena jaga ibu. Yana tak boleh jalan-jalan dengan kawan-kawan. Yana kena selalu ada kat rumah. Yana banyak mengalah dengan kakak dan abang. Ibu tahu semua tu, nak. Sekarang sudah sampai masanya Yana kejar cita-cita Yana sendiri. Pergilah, sayang. Ibu izinkan…”

Dayana terdiam terpaku mendengar suara lirih ibunya. Kelopak matanya terasa berat menangkung air mata. Wajah tua ibu tidak mampu ditatap olehnya lagi. Sungguh… sungguh hatinya sakit mendengar kata-kata ibunya itu. Bagaikan ibu terlalu kecewa dengan dirinya. Sehinggakan menyuruhnya pergi. Pergi dari sisi ibu? Tak… tak… bukan ini yang Dayana mahukan.

“Yana, cukuplah Yana fikirkan pasal ibu. InsyaAllah ibu akan baik-baik saja dalam jagaan kakak dan abang. Yana tak perlu risau. Yana focus pada perjalanan takdir Yana sebagai seorang pelajar. Yana masih muda. Masih banyak yang Yana perlu kecapi. Tapi satu aje yang ibu mintak.” Makcik Gayah tidak mampu menahan air matanya lagi. Bergetar suaranya. Sungguh hatinya sebak. Keputusan ini terasa amat berat. Tapi lagi berat andai dia terus memenjarakan Dayana di rumah ini sedangkan ada Dayang dan Daud yang mampu menjaganya.

“Ibu mintak…” Suara Makcik Gayah sudah tersekat-sekat.

Dayana yang masih tertunduk terus tertunduk. Air matanya juga makin deras membasahi pipi.

“Jangan lupa solat. Jangan lupa ibu. Kalau ada masa, telefon ibu. Baliklah jenguk ibu. Ya, nak?”

Dayana tak sanggup lagi nak mendengar semua itu. Pantas tubuh Makcik Gayah didakapnya erat.

“Ibu… Yana takkan pergi mana-mana. Yana akan jaga ibu sampai bila-bila. Yana sayang ibu. Yana sanggup lepaskan impian Yana demi mendapatkan syurga yang dah Allah sediakan untuk anak-anak yang berbakti kepada ibubapanya. Tolonglah, bu. Jangan cakap pasal benda ni lagi…” Dayana tetap erat mendakap tubuh kurus Makcik Gayah.

Makcik Gayah gelengkan kepala lemah. Tak. Kali ini Yana kena ikut katanya.

“Tak, nak. Ibu takkan menghalang lagi. Pergilah… ibu ikhlas izinkan. Tolong kejar cita-citanya Yana demi ibu. Ibu nak tengok anak bongsu ibu ni berjaya. Berjaya menjadi pereka fesyen yang berjaya. Pergilah sayang. Ibu ikhlas lepaskan Yana. Doa ibu sentiasa bersama-sama Yana.”

Pelukan mereka terungkai. Dayana pandang dalam ke anak mata ibunya.  Benarkah itu yang ibu mahukan? Sesungguhnya masih hangat impiannya yang satu itu menapak di dasar hati. Ya, dia memang nak kejar cita-citanya. Tapi kenapa berat benar untuk dia tersenyum dengan keizinan yang telah ibunya berikan ini. Terbit rasa kasihan pada wanita yang telah melahirkannya itu.

Bagaimana andai kakak dan abangnya tidak mampu menjaga ibu seperti mana dia menjaga ibu? Bagaimana andai ibu kesepian di saat kakak dan abangnya pergi mencari rezeki? Siapa yang mahu berborak dengan ibu? Siapa yang mahu menemani ibu? Siapa yang mahu memicit kaki ibu bila ibu kebas? Bila ibu demam, siapa yang nak lapkan badan ibu? Bila ibu tak larat nak bangun, siapa yang nak pimpin ibu ke tandas? Siapa?

“Betul itu yang ibu nak Yana buat? Hmm?”

Soalan itu tiba-tiba terpancul keluar dari bibir Dayana. Makcik Gayah mengangguk penuh yakin. Walau hatinya sakit. Dia tahu dia harus kuat melepaskan anaknya pergi. Semuanya demi hidup Dayana di masa hadapan. Bila dah takde nanti, sekurang-kurangnya Dayana sudah berjaya dengan hidupnya. InsyaAllah…

“Itu yang ibu nak. Dan ibu yakin… itu juga yang Yana mahukan.”

Dayana terus berada dalam dilemma. Antara ibu dan cita-cita… Yang mana satu harus dikorbankan?


*****

“Ni makcik. Semuanya 45 ringgit. Yana bagi 40 ringgit aje.” Dayana tersenyum pada Makcik Jamilah.
Makcik Jamilah melemparkan riak wajah ceria. “Hah, yang macam nilah makcik nak. Terima kasih ya, Yana. Moga-moga makin murahlah rezeki Yana. Dan dapat jodoh yang baik-baik. Amin-amin…”

Dayana mengaminkan doa tulus dari Makcik Jamilah dalam hati kecilnya. Dia tersenyum lapang. Plastik baju dihulurkan pada pelanggan tetapnya, Makcik Jamilah. Duit sebanyak 40 ringgit yang dihulurkan pula oleh Makcik Jamilah disambutnya dengan ucapan terima kasih.

“Makcik balik dulu ya, Yana. Kirim salam kat ibu Yana.” Makcik Jamilah melangkah keluar dari rumah. Dayana menghantar langkah makcik tua sebaya ibunya itu dengan senyuman lebar.

“Alhamdulillah…” ucapnya perlahan.

Alhamdulillah bukan sekadar atas rezeki berupa wang yang dianugerahkan oleh Allah padanya hari ini. Namun, Alhamdulillah kerana pilihan yang telah dibuat olehnya. Pilihan untuk tidak ‘menjauh dari syurganya’.

“Yana….” Suara Makcik Gayah kedengaran dari dalam bilik.

Pantas Dayana menyahut dan bergerak mendapatkan ibunya.

“Ya, bu. Ibu nak ke mana tu?” soal Dayana apabila melihat Makcik Gayah bangun dari katil.

“Ibu  nak ambil angin kat luar. Letihlah asyik duduk dalam bilik aje. Boleh Yana temankan ibu? Ke Yana ada baju lagi nak dijahit?”

Dayana tersenyum sambil gelengkan kepala. “Takde, bu. Jom Yana temankan ibu. Kita ambil angin kat luar. Bolehlah sambut cucu ibu sekali. Kakak telefon tadi dia cakap nak datang sini. Jom, bu…” Dayana memaut lengan ibunya perlahan.

Walau keadaan Makcik Gayah masih belum ada banyak perkembangan positif, namun orang tua itu masih mampu lagi berjalan. Itu sudah cukup melegakan hati Dayana. Sekurang-kurangnya ibu dapat ambil angin kat luar dan dia dapat menemani ibunya berjalan sekeliling kampung andai orang tua itu larat berjalan. Tapi kebiasaannya mereka hanya ambil angin keliling rumah.

Dayana memimpin penuh berhati-hati langkah ibunya. Mereka berjalan menuju ke pangkin yang terdapat di bawah pohon mempelam. Di situ Dayana membantu ibunya duduk menamatkan lelah.

“Yana bahagia dengan pilihan Yana ni?” soal Makcik Gayah dengan tiba-tiba.

Agak terkejut juga Dayana dengan soalan itu. Adakah ibu ingin berbicara tentang ‘hal itu’?

“Bahagia, bu. Selagi ada ibu, selagi tu Yana bahagia.”

“Jangan nak…”

Dayana tergamam seketika. Salahkah apa yang dijawabnya? Atau ibunya masih ragu-ragu dengan keputusan yang telah diambilnya ini?

Setahun sudah berlalu semenjak dari peristiwa malam itu. Sekejap saja masa berlalu. Alhamdulillah Allah masih memanjang usia mereka anak beranak untuk terus berkasih-sayang.

Bermula dari malam yang bersejarah itu, Dayana tidak putus-putus memohon pada Allah agar dia diberi jalan dan petunjuk bagi dilemma yang dihadapinya. Solat sunat isthikarah menjadi penguatnya.

Sedang dia berusaha mencari jawapan yang pasti, ibunya tidak penat untuk memujuknya menyambung pengajian. Dayana benar-benar berada dalam dilemma. Entah apa keputusan yang harus dilakukan olehnya. Desakan ibu membuatkan dia ingin menurut. Namun memikirkan keadaan ibu, dia menjadi tidak sanggup.

Namun, Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Diberi jalan dan petunjuk bagi hambaNya yang benar-benar berserah diri padaNya.

Akhirnya Dayana mendapat jawapan yang pasti di atas dilemma yang melanda hatinya.

Keputusan adalah untuk terus berada di sisi ibunya yang tercinta. Bukan ingin mematikan impiannya menjadi pereka fesyen namun Dayana mula nampak ‘jalan’ yang Allah berikan padanya.

Semakin hari, semakin ramai yang menjadi pelanggannya. Makin banyak upah baju yang diambilnya. Itu semua rezeki dari Allah. Alhamdulillah.

Rezeki itu merupakan satu petunjuk dari Allah. Walau tidak belajar di menara gading, Dayana masih tetap mampu menjadi pereka fesyen bagi penduduk kampungnya. Bukan sekadar baju kurung yang dijahitnya. Dengan izin dari ibunya, Dayana membuat kaji selidiknya sendiri. Dia ke pekan setiap hujung minggu untuk melihat trend terkini dan fesyen terkini yang tengah in. Jenis kain, cara potongan, harga, warna yang tengah in… semuanya Dayana ambil kira. Dia juga mencari pelanggan baru melalui Facebook dan mempromosikan hasil kerjanya di sana.

Alhamdulillah. Hasilnya kini Dayana sudah mempunyai pelanggan tetap baik dalam kampung mahukan dari kampung lain dan dari kawan-kawannya dalam FB.

Dia bukan sahaja dapat menjadi ‘pereka fesyen’, malah dia juga dapat menjaga dan menemani ibu kesayangannya. Itu yang terpenting dalam hidupnya. Hidup mereka juga sudah mula berubah. Dari tidak mempunyai apa-apa, kini Dayana sudah mampu membeli motosikal sendiri. Untuk kemudahannya juga. Juga untuk membawa ibunya ronda-ronda kampung. InsyaAllah andai ada rezeki lebih, Dayana merancang mahu membeli sebuah kereta pula.

Tiada lagi dilemma. Allah membantunya. Alhamdulillah.

“Ibu masih nak Yana sambung belajar?” Dayana bertanya pada Makcik Gayah setelah masing-masing hanyut dalam lamunan panjang.

Makcik Gayah geleng.

“Bukan, nak. Ibu bersyukur sebab Yana masih tinggal di sini menjaga ibu. Tapi ibu nak pesan satu perkara.”

“Apa, bu?”

“Tanpa ibu, Yana masih mampu lagi untuk hidup bahagia.” Dayana terkelu. Kenapa ibu cakap macam ni?
Makcik Gayah tersenyum sambil menyambung kata.

“Tapi tanpa Allah…. hidup Yana akan sia-sia. Sebab tu Yana kena letakkan Allah dalam hati Yana pada tempat yang paling atas. Itu aje yang ibu nak cakap. Yana ni serius sangat sejak dah bertunang ni.” Makcik Gayah tergelak kecil, sengaja mahu menyakat anak daranya.

Dayana sudah tarik muka masam. Bahu ibunya dipaut kemas. Dilentokkan kepalanya pada bahu itu.

“Yalah ingatkan apalah yang ibu nak cakap tadi. Takut juga Yana tengok muka ibu serius macam tu.”

Makcik Gayah usap kepala Dayana yang ditutupi dengan tudung bawal penuh kelembutan.

“Selalu ingat Allah ya, sayang. Jangan lupakan Dia. Takut-takut nanti Dia yang lupakan kita.”

Dayana angkat muka memandang ibunya. Dia mengangguk berkali-kali. Nasihat itu akan sentiasa bersemadi dalam lubuk hatinya.

“Ya, bu. Yana akan ingat pesan ibu tu sampai bila-bila. InsyaAllah…” Mereka sama-sama tersenyum.

Pin. Pin.

Tiba-tiba kedengaran hon kereta dibunyikan dari hadapan laman. Makcik Gayah dan Dayana sama-sama menjatuhkan pandangan mereka ke arah Aliff yang sudah pun keluar dari perut keretanya. Dayana tersenyum malu memandang Aliff.

“Assalamualaikum, makcik…” Aliff menyapa.

“Waalaikumussalam…” Salam itu dijawab perlahan oleh Makcik Gayah dan Dayana.

Aliff yang sederhana mengenakan t-shirat berkolar bulat dan berseluar slack hitam kelihatan cukup segak dimata Dayana. Hatinya tenang setiap kali melihat wajah bersih Aliff, si tunangannya itu.

“Aliff dari mana ni?” soal Makcik Gayah ramah.

“Dari kedai, makcik. Mak suruh beli ikan bilis tadi.” Jawab Aliff sambil duduk di sebelah Makcik Gayah. Matanya berat untuk terus merayap memandang wajah Dayana. Dayana belum halal untuknya.

“Dah tu kamu ke sini nanti karang mak kamu lama menunggu kat rumah.” Aliff tersengih saja pada Makcik Gayah.
Dayana pula sudah meminta diri untuk membuat minuman. Namun Aliff menghalang.
“Tak payahlah buat air, awak. Saya kejap aje ni. Kat kedai tadi ada jual kuih kosui. Terus teringat makcik. Itu yang saya singgah sini kejap. Kejap saya pergi ambil kuih tu. Aduh terlupa pulak letak kuih tu dalam kereta.” Aliff membebel seorang diri. Dia meminta diri ke keretanya.
Saat itu Makcik Gayah dan Dayana hanya mampu tersenyum melihat telatah kalut Aliff.

“Tengok tu tunang kamu tu. Bila tengok aje muka kamu terus kalut semacam. Mujurlah lagi tiga bulan nak langsungkan majlis. Tak sabar ibu nak tengok korang bernikah.” Makcik Gayah bersuara penuh bahagia.

Dayana apatah lagi. Enam bulan yang lalu, ada rombongan merisik dari keluarga Aliff datang ke rumahnya. Terkejut juga dia dengan pinangan itu. Pada mulanya dia menolak lamaran Aliff. Tolak dengan baik. Kerana sememangnya dia tidak mengenali Aliff dengan baik. Sekadar tahu Aliff itu anak salah seorang pelanggan tetapnya.

Maka Dayana meminta dirinya diberi peluang untuk lebih mengenali Aliff. Mungkin untuk saling berbalas SMS terlebih dahulu. Hampir tiga bulan mereka berkenalan, terbuka hati Dayana untuk menerima lamaran Aliff. Maka mereka bertunang. Lagi tiga bulan mereka akan disatukan. InsyaAllah…moga semuanya dipermudahkan.

“Terima kasih, bu…” ucap Dayana tiba-tiba.

Makcik Gayah pandang wajah anak bongsunya pelik.

“Terima kasih? Untuk apa pulak, nak?”

Dayana tersenyum pada ibu dan pada Aliff yang sedang melangkah ke arah mereka.

“Terima kasih kerana sentiasa mendoakan Yana. Terima kasih kerana ibu redha terhadap Yana. Besar semua tu bagi Yana, bu. Tanpa redha ibu, Yana tak mampu dapat redha dari Allah.”

Makcik Gayah rasa sayu dengan tiba-tiba. Selayaknya Dayana mendapat semua itu. Dayana anak yang baik. Moga-moga hidup Dayana akan lebih bahagia apabila disatukan dengan Aliff nanti.

Tanpa kata Makcik Gayah hanya memegang tangan Dayana kemas. Mereka saling berbalas senyuman.

“Ni makcik kuihnya.” Aliff tiba dengan plastic hijau di tangannya. Penuh sopan dihulurkan plastic itu kepada bakal ibu mertuanya.

“Terima kasih, nak. Susah-susah aje.” Makcik Gayah dan Aliff mula rancak berborak.

Dayana perhatikan saja wajah ceria ibu dan tunangnya itu. Dalam hati sudah memanjat rasa kesyukuran yang tidak terhingga.

Terima kasih, ya Allah.

Mintalah apa pun kepada Allah, jika kita tiada meminta sekalipun, Allah Maha Mengetahui  untuk memberi apa yang terbaik untuk kita. Paling penting kita redha dengan apa yang Allah kurnia.

Dan sesungguhnya…

"Boleh jadi apa yang tidak kamu sukai, 
justeru itulah yang baik bagi kamu dan boleh 
jadi pula apa yang kamu sukai, justeru itulah 
yang tidak baik bagi kamu. Allah mengetahui 
sedangkan kamu tidak mengetahui. " 
(Surah Al-Baqarah: 216)"

TAMAT.

#Moga bermanfaat. Moga Allah redha.

SOALAN : Perlukah FI sambung kisah Dayana dengan Aliff pulak? Mungkin kisah lepas dorang kahwin? Mungkin akan keluar watak lain antara mereka? Apa pulak jadi dengan impian Dayana untuk menjadi pereka fesyen yang berjaya? LIKE jika setuju sambung ^^

10 comments:

  1. Best...boleh sambung kisah depa lepas nikah...hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mekasih Alhamdulillah (:
      Hehe..insyaAllah akan disambung. Tengah cuba siapkan. Ala2 sekuel gitu..

      Delete
  2. kalau dh tnye msti kne smbung kak , hehe ... kisah depe pnjgkan skit pon xpe :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tapi kalau akak tanya takde orang nak jawab, takde makna jugak kan?hehe..
      InsyaAllah akan dipanjangkan sikit lagi... (:

      Delete
  3. Allah... teringt pula akan seorng kakak ni. snggup dia tak smbung pengajian ke oversea semata2 nk jga mak ayahnya yg sakit. lebih kurang mcm ni jugak ceritanya tp kakak tu org seng. huhu

    klau smbung ni mesti best kak. ;)

    (AinaaAzlan)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Akak pun ada kenal seseorang yg macam ni. Dia pun sanggup jaga dan temankan mak dia. Tapi dia takdelah senang sangat. Biasa2 je.
      #insyaAllah akan disambung (: hehe

      Delete
  4. Kak smbung kak..best certa nya..ada unsur nashat dn kesedaran..alhmdulilah

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah ari.. akak mmg ingat nak sambung. Sekarang sedang menyiapkan sekuel cite ni. Alhamdulillah moga2 ape yg cuba disampaikan tu 'sampai'..

      Delete
  5. Assalamu'alaikum. Thumbs up. Saya setuju & harap akan ada sekuel kisah diorang. =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam.. Mekasih cik dhia :)
      InsyaAllah..akan dipertimbangkan.huhu...harap2 ade mood nk smbung dan siapkan sekuel tu

      Delete