JOM FOLLOW

Friday, 1 May 2015

Mencari Si Pelengkap Hati [BAB 7 & 8]


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


BAB 7


Selepas kejadian itu, kufikirkan Cikgu Ihsan cukup mengerti dengan apa yang aku luahkan padanya. Namun aku silap. Lelaki itu berterusan membekalkan aku dengan makanannya. Tupperware merah jambunya masih lagi mengisi tempat di bawah laci meja. Tapi satu benda sahaja yang tiada. Memo.

Adakah Cikgu Ihsan tertinggal untuk menulis apa-apa memo atau dia memang sengaja untuk tidak memberi aku sebarang memo? Hisy, kenapa aku macam emo pulak dia tak kirim memo. Ini semua mengarutlah, Nuha!

Semalam, Cikgu Ihsan membekalkan aku nasi goreng kampung bersama dengan naget berbentuk hati dan telur goreng. Ya Allah, dia layan aku macam kanak-kanak riang aje.

Dan hari ini pula, dia membekalkan aku empat keping sandwich sardine.

Dua-dua makanan tu aku tak jamah. Sebaliknya aku hantar bekas makanan itu ke mejanya semula sebaik saja dia masuk mengajar ke dalam kelas.

Dan setiap kali aku bertembung dengannya di mana-mana kawasan sekolah ini, cepat-cepat aku sembunyikan diri. Syukurlah dia tidak mencari aku hingga ke kelas. Kalau tidak, aku tak tahu lagi nak lari ke mana.

Kenapa aku harus berdepan dengan situasi ni? Kenapa Cikgu Ihsan mendesak aku seperti ni? Tidak bolehkah dia menganggap aku seperti pelajarnya yang lain saja?

Tok. Tok. Tok.

Tiga kali pintu kelas diketuk. Terjengul kepala seorang pelajar lelaki yang bersongkok di balik pintu. Dia melangkah masuk lalu menuju ke meja guru.

Tidak menghiraukan perbualan mereka, aku meneruskan kerja. Kerja berangan.

“Nuha…” Tiba-tiba Cikgu Ummi memanggil namaku. Aku segera angkat muka. Cepat-cepat aku berdiri.

“Ya cikgu.”

“Cikgu Ihsan nak jumpa awak di bilik guru sekarang.”

Saat itu semua mata mula beralih ke arahku. Ada yang mula berbisik-bisik, ada yang buat muka meluat dan ada juga yang mencebik penuh benci.

Kaki ini mula berat untuk melangkah. Apa yang aku risaukan berlaku juga hari ini. Cikgu Ihsan nak jumpa aku? Untuk apa? Sebab aku dah tolak pemberian dia ke? Atau sebab apa?

“Nuha Huda. Cepat pergi. Kita nak sambung bab lain pulak nanti.” Arahan Cikgu Ummi buat kakiku mula bergerak.

Kawan-kawan sekelas makin hebat menjeling. Dan akhirnya ada juga suara sumbang berkumandang.

“Hai, untungnya ada orang sayang. Lin, kau tahu tak, semenjak dua menjak ni kan aku tengok orang tu selalu aje pergi bilik guru. Jumpa cikgu kesayanganlah tu. Huh, meluat aku!” Perlahan suara Rozana memerli aku. Namun telinga ini masih mampu merakam jelas kata-kata sinisnya itu.

Lebih menambah sakit di hati ini apabila Mazlin pula yang menyambung mengutuk aku depan-depan.

“Tak sangka cikgu kacak tu minat kat dia. Muka tak adalah lawa mana pun. Tak semenggah aje aku tengok.”

Aku kuatkan hati untuk pura-pura tidak mendengar kata-katanya. Tapi aku tidak mampu.

Ya Allah, apa yang aku paling takutkan mula terjadi. Kata-kata fitnah mula berbunyi rancak. Mulut-mulut manusia yang sentiasa ingin mencari kesalahan dan aib orang lain, mula bersuara. Dan akulah yang menjadi mangsanya.

Sekali lagi maruah ini tercalar. Semuanya gara-gara Ihsan Zuhri!

Sakit di hati, aku sembunyikan. Sindiran Rozana, Mazlin dan jelingan rakan sekelas yang lain cuba aku lempar jauh-jauh.

Cepat-cepat kaki ini melangkah keluar dari kelas. Nampak gayanya, aku perlu berterus terang dengan Cikgu Ihsan. Ini soal maruah! Aku takkan izinkan maruah aku yang sememangnya sudah rapuh ini dipijak-pijak sampai lunyai oleh orang! Takkan pernah aku izinkan!


********

Pelbagai rasa sedang bermain di hatiku sekarang. Rasa sedih, rasa geram, rasa marah… semuanya bersatu untuk dilemparkan pada Cikgu Ihsan.

Kenapa lelaki itu harus muncul dalam hidup aku. Sudah lama aku tidak menjadi perhatian di sekolah ini. Aku tak suka berada dalam perhatian orang sekeliling. Ia menyakitkan. Hati dan perasaan!

Belum sempat aku mendekati pintu bilik guru, pelajar-pelajar yang sedang berada di situ, masing-masing mula berbisik sesama mereka. Ada yang tersenyum sinis. Ada yang tunjuk muka meluat.

Hanya Allah saja yang tahu apa perasaan aku saat itu. Semua ini pasti gara-gara Cikgu Ihsan!

Rasa malu menjengah diri namun aku cuba bertahan. Mungkin ini adalah kali terakhir aku menemui Cikgu Ihsan di bilik guru. Aku perlu jelaskan sesuatu padanya. Kerana dialah aku kembali dipandang serong!

Baru saja tangan ini ingin memulas tombol pintu bilik guru, tiba-tiba ada seseorang yang terlebih dahulu menolak daun pintu dari dalam. Segera aku menapak ke belakang memberi orang itu berjalan dulu.

“Nuha.” Rupa-rupanya Cikgu Ihsan yang keluar. Terus aku makin menjarakkan diri dari pintu.

“Nuha, ikut cikgu sekarang.” Muka Cikgu Ihsan tidak aku tatap. Arahannya menimbulkan rasa sakit dalam hati. Aku tak nak dengar sebarang arahan dari dia lagi!

“Nuha Huda dengar tak apa yang cikgu cakap ni?” Cikgu Ihsan yang sudah mula terlajak beberapa langkah ke hadapan kembali berpatah balik mendapatkan aku.  Dia berdiri di hadapan aku sambil bercekak pinggang.

“Dahlah cikgu. Jangan paksa-paksa saya lagi. Saya tak suka.”

“Ikut cikgu sekarang.” Suaranya mula keras.

Aku terus mendongakkan kepala membalas renungan matanya. “Cikgu tak ada hak nak paksa saya. Sekarang saya nak jelaskan sesuatu pada cikgu. Tolong…” Aku sempat pandang ke sekeliling. Beberapa orang pelajar yang masih berada di situ kelihatan sangat kusyuk memasang telinga bagai cuba mendengar perbualan antara aku dan Cikgu Ihsan. Makin pedih hati ini terasa.

“Tolong jangan panggil saya jumpa cikgu lagi. Dan tolong jangan bagi apa-apa pada saya lagi. Saya tak suka. Tolong jangan buat orang lain mengata saya. Tolong cikgu…” Mata ni mula ‘masuk habuk.’ Aku cuba bertahan untuk tidak menitiskan air mata di hadapannya.

Melihat perubahan air muka Cikgu Ihsan, aku yakin dia pasti mengerti maksud yang cuba aku sampaikan. Lama matanya merenungiku. Dan akhirnya dia mengeluh. Panjang.

“Ikut cikgu sekarang, Nuha. Pak su Nuha call pihak sekolah tadi. Dia cakap… ibu Nuha… ibu Nuha kemalangan.”

Bagaikan petir menyambar ke tangkai hati, aku hampir rebah menyembah bumi. Tersilap dengarkah aku saat itu? Sedang bermimpikah aku detik itu? Benarkah perkhabaran daripada Cikgu Ihsan ini? Ya Allah…

“Ibu!!!”


*********

“Nuha tabahkan hati. InsyaAllah ibu Nuha selamat. Banyakkan berdoa.” Kata-kata Cikgu Ihsan tidak hinggap ke dasar hati. Ia berlalu pergi dibawa bayu kesedihan.

Ya Allah, tolong jangan ambil ibu dari aku. Aku hanya ada dia dalam dunia ni untuk menyayangi aku. Tolong ya Allah. Aku sayang ibu…

Berita yang disampaikan oleh Cikgu Ihsan benar-benar buat fikiran aku mati. Aku tak mampu berfikir apa-apa selain hati tak berhenti memohon pada Allah agar ibu baik-baik saja.

Tak banyak yang aku tanya pada Cikgu Ihsan tentang apa yang dia tahu mengenai keadaan ibu. Aku tak sanggup dengar. Sungguh aku tak sanggup. Andai ibu tak apa-apa, akulah manusia yang paling gembira dalam dunia ini. Tapi kalau… kalau ibu cedera parah dan mungkin… mungkin… tak sanggup aku berdepan dengan kematian insan yang paling aku cinta itu. Aku tak kuat! Tolong ya Allah. Tolong jangan ambil ibu…

Sebaik saja kereta Cikgu Ihsan berhenti di hadapan bangunan hospital, segera aku meluru keluar dari perut kereta.

Walaupun di belakang, kedengaran Cikgu Ihsan memanggil-manggil namaku, aku tidak hiraukan dia lagi. Yang aku tahu, aku hanya ingin melihat wajah ibu!

“Ibu! Ibu!” Tidak tentu arah aku menjerit. Ke mana harus aku tuju? Ibu berada di mana sekarang!

“Ikut sini Nuha.” Mujurlah saat itu Cikgu Ihsan menunjukkan arah. Kami bergerak ke lif. Mujurlah pintu lif cepat terbuka. Kalau tak tangga kecemasan sanggup aku daki.

“Ibu… tunggu Nuha, bu.” Aku gelisah berdiri. Tak sabar-sabar lagi hati ni menunggu pintu lif terbuka. Lambat pulak lif ni bergerak. Tingkat tiga pun macam tingkat sepuluh!

Tingg.

Terbuka saja pintu lif, aku sekali lagi meluru keluar. Dan sekali lagi Cikgu Ihsan menunjukkan arah. Saat itu aku sudah seperti orang gila. Menangis, menjerit, terpekik memanggil ibu. Entah kenapa, hati ni rasa tak sedap sangat. Bagaikan ada sesuatu yang bakal terjadi pada ibu.

“Mak su!” Melihat jasad Mak Su Kinah dan Pak Su Azam berdiri di hadapan sebuah bilik, aku berlari mendapatkan mereka.

Buat pertama kalinya, tanpa aku sedar, aku mendakap erat tubuh Mak Su Kinah. Perempuan itu segera menolak tubuhku menjauh darinya. Air mukanya tetap sama. Bengis. Bagai tidak menyukai apa yang aku lakukan.

“Ibu mana? Mana ibu?!” soalku sambil menggongcang tubuh mak su.

Mak Su Kinah dan Pak Su Azam saling berpandangan. Pandangan mereka beralih pula ke arah Cikgu Ihsan yang sedang berdiri di belakangku.

“Ibu mana?!” Aku menjerit lagi.

Mak Su Kinah tetap diam. Dia lantas duduk ke kerusi dan menunduk memandang lantai.

“Pak su, ibu mana? Ibu tak apa-apa kan? Pak su!” Kali ini Pak Su Azam pula yang menjadi mangsa. Sogokan soalanku yang bertalu-talu tetap tidak dijawab oleh pak su. Lelaki itu juga sama, melabuhkan duduk bersebelahan dengan isterinya.

Melihat wajah sugul mak su dan pak su membikin jantung ini terasa mahu gugur. Apa yang sudah terjadi pada ibu? Ya Allah…

Aku palingkan pula muka ke arah Cikgu Ihsan. Wajah lelaki itu juga sama! Ketakutan mulai merajai jiwa. Oh, ibu…

“Ibu Nuha ada dekat dalam. Nuha masuklah tengok wajah ibu buat kali yang terakhir. Nuha kuatkan hati. Nuha kena tabah.” Cikgu Ihsan menolak daun pintu seluas-luasnya.

Aku pantas berpaling ke belakang dan mata ini terpandang pada jasad seorang manusia yang sudah terbujur kaku diselimuti dengan selimut putih.

“Ibu!!!”

Berlari laju aku mendapatkan tubuh ibu yang sudah kedinginan dan kaku. Hati ini benar-benar luluh melihat apa yang sedang terbentang di hadapan mata. Adakah ini bermakna ‘malaikat penyelamatku’ sudah pergi meninggalkan dunia ini? Meninggalkan aku seorang diri?

Selimut putih yang menutupi wajah ibu, aku singkap perlahan.

Saat mata ini menatap wajah ibu yang sudah pucat lesi dan tiada lagi hembusan yang keluar dari lubang hidungnya, yakinlah aku saat itu bahawa ibu yang paling aku sayang sudah pergi meninggalkan aku buat selama-lamanya.

“Ya Allah, ibu! Ibu bangun! Bangun, bu. Jangan tinggalkan Nuha. Ibu, bangun. Ibu!” Kugoncang kuat tubuh ibu.

Hati mula bekerja keras untuk menafikan hakikat yang sedang terbentang jelas. Otak mula bertindak diluar kewarasan akal fikiran. Aku cuba membangunkan ibu. Aku cuba sedaya upaya untuk buat ibu sedar. Sedangkan aku tahu bahawa ibu tak mungkin bangun untuk menyahut panggilanku lagi.

“Nuha… Nuha sabar Nuha. Jangan macam ni.” Suara Cikgu Ihsan kedengaran jelas memujuk.

“Ibu Nuha dah tak ada. Nuha kena redha. Nuha kena redha dengan ketentuan Allah ni.” Cikgu Ihsan terus membujuk. Aku tetap berkeras untuk bangunkan ibu. Ibu… jangan tinggalkan Nuha, bu…

Ibu… kalau ibu pergi, siapa yang nak sayang Nuha lagi…. Ibu….

“Siapa yang paling Nuha sayang dalam hidup Nuha?” Satu hari ibu menanyakan aku soalan itu. Pantas saja aku menjawab.

“Mestilah ibu!” Ibu tersenyum saja saat aku memberikan jawapan itu. Dia bertanya lagi.

“Nuha sayang Allah?”

“Mestilah sayang.”

“Nuha lebih sayangkan ibu atau lebih sayangkan Allah?”

Aku terpana dengan soalan ibu. Kelu lidahku tidak mampu menjawab soalan sesukar itu.

“Erm… dua-dua Nuha sayang. Nuha sayang Allah sebab Allah anugerahkan ibu untuk Nuha. Dan Nuha sayang ibu, sebab ibu sentiasa ada untuk jaga Nuha.”

Saat itu ibu menggeleng lemah. Aku kaget seketika. Salahkah jawapan yang aku berikan?

“Nuha, Nuha kena letakkan cinta kepada Allah di tempat yang paling atas. Cintailah Dia setulus hati Nuha. Allah takkan mati, sayang. Tapi ibu, manusia biasa yang suatu hari nanti pasti akan pergi menghadapNya. Saat itu, andai Nuha terlalu sayangkan ibu, ibu tak boleh buat apa-apa. Ibu tak boleh kembali pada Nuha. Tapi andai Nuha sayangkan Allah, sentiasa letakkan Allah dalam hati Nuha, Dia akan sentiasa ada untuk Nuha. Temankan Nuha waktu Nuha sendiri. Gembirakan Nuha saat Nuha sedih. Lapangkan dada Nuha saat Nuha resah. Sentiasa jaga Nuha walaupun kadang-kadang Nuha lupa akan kehadiranNya.”

Makin laju air mataku menitis tatkala teringatkan nasihat penuh hikmah ibu itu. Ibu tak pernah penat memberi aku kata nasihat. Ibu tak pernah lelah menyedarkan aku bahawa hanya kepada Allahlah selayaknya kita meletakkan cinta kita. Kerana apabila Allah mencintai kita, kita akan mendapat cinta dari sekalian makhluk di langit dan di bumi. Allah…

“Ibu… Nuha sayang ibu. Ibu jangan tinggalkan Nuha. Ibu...” Kutatap wajah ibu dengan linangan air mata yang makin lebat. Walau perit, walau berat… aku sedar aku perlu pasrah dengan takdir dari Ilahi ini. Ibu kesayanganku milik Allah. Dan setiap milikNya pasti akan kembali kepadaNya. Saat ini ibu yang terlebih dahulu dipanggil menghadapNya. Esok lusa mungkin giliran aku pula. 


>>>>>>>>MSPH<<<<<<<<<<



BAB 8
Yasiin. Wal-qur-aanil-hakiim….”


Suara bacaan Yasin berkemundang sayu di ruang tamu. Aku duduk berhampiran ibu yang sudah pun selamat dikafankan.

Semuanya berlaku dalam sekelip mata saja. Tidak pula ibu menunjukkan tanda-tanda dia akan pergi buat selama-lamanya. Ibu seperti biasa. Alhamdulillah dia sihat. Tapi ajal maut sudah tertulis di Loh Mahfuz. Hari ini sudah tertulis… Nur Aminah binti Rasul perlu pergi meninggalkan dunia penuh tipu daya ini.

Kata Pak Su Azam, ada saksi yang melihat kejadian kemalangan itu mengatakan ibu ingin melintas jalan. Namun, muncul sebuah kereta yang dipandu laju dari arah bertentang. Mungkin saat itu ibu panik. Tak sempat nak larikan diri. Dan akhirnya…. ibu pergi meninggalkan aku buat selamanya. Semua itu sekadar satu asbab. Hakikatnya itu semua telah tertulis sejak azali lagi. Kematian yang pasti berlaku. Tidak cepat, tidak lambat walaupun satu saat.

“Nuha…” Suara itu kedengaran lagi. Suara milik Cikgu Ihsan, yang sedari tadi membantu pak su menguruskan jenazah ibu.

Mulianya hati lelaki ini. Tak menjauh dia dari aku. Sejak dari hospital lagi dia sentiasa ada di sisi aku.

Tidak jijikkah dia berada di samping anak haram sepertiku ini? Mungkin dia benar-benar ikhlas menyayangiku sebagai pelajarnya. Andai itulah kebenarannya, maka hanya ada dua insan yang benar-benar menyayangi aku di dunia ini. Pertama ibu. Kedua Cikgu Ihsan. Namun bukankah ibu sudah berada di alam lain kini. Maka yang tinggal sekarang hanyalah lelaki yang bernama Ihsan Zuhri ini.

“Kita kebumikan jenazah sekarang ya, Nuha. Semua dah  tunggu dekat sana,” bisik Cikgu Ihsan perlahan ke telingaku.

Aku hanya mengangguk lemah. Wajah ibu kutatap buat kali yang terakhir. Hati ini terasa amat pedih ya Allah. Kenapa ibu pergi dulu dari aku. Ya Allah… kuatkan aku…

Dahi dan pipi ibu aku kucup lama. Aku tahu aku bakal berpisah dengannya sedikit masa lagi. Kami akan berada dalam dua dunia yang berbeza. Hanya di akhirat nantilah kami akan bertemu lagi. Moga aku mampu bertemu dengan ibu di Syurga.

‘Cepat atau lambat, kita pasti akan dapat bertemu semula, bu. Ibu tunggu Nuha. Nuha pasti akan menyusul ibu nanti. Ibu tunggu Nuha…’ Hati mula berbisik pilu.

Maka terpisahlah aku dengan ibuku yang tercinta.

“Ibu…”


********


“Nuha…” Aku langsung tidak menyahut.

“Nuha jom cikgu hantar Nuha balik. Dah lewat petang ni...” Cikgu Ihsan duduk di sebelahku. Dia masih setia berada di sisiku. Baliklah, cikgu. Saya nak bersendirian dengan ibu saya. Hatiku berbisik lemah.

“Nuha kena kuat. Setiap yang hidup pasti akan mati. Kalau Allah ambil sesuatu dari kita, Dia pasti akan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Nuha kena yakin tu.”

“Takkan ada sesiapa lagi yang mampu menggantikan tempat ibu saya, cikgu. Tak ada.” Dalam lembut, aku berkeras. Berkeras menegakkan hakikat itu.

Mana mungkin akan ada seseorang yang lebih menyayangi aku akan muncul dalam hidup aku selain ibu. Selain Allah, aku hanya ibu. Hanya ibu. Sekarang ibu sudah tiada. Pada siapa aku nak bersandar kasih.

“Perancangan Allah tiada siapa yang tahu, Nuha. Di tanganNya kehidupan kita. Di tanganNya juga pengakhiran hidup kita. Allah takkan uji seseorang melebihi kemampuannya. Nuha kena kuat, Nuha kena tabah. Nuha kena ingat, Nuha masih ada mak su, pak su dan sepupu-sepupu Nuha. Nuha kena tabah. Ya, sayang?”

Salah dengarkah aku? Atau aku sedang bermimpi? Cikgu Ihsan panggil aku sayang?

Wajah tenang Cikgu Ihsan aku tatap kosong. Ah, mungkin aku salah dengar. Tak mungkin lelaki itu sanggup memanggil aku dengan panggilan mesra itu.

“Nuha…”

“Cikgu baliklah. Saya nak duduk sini temankan ibu. Ini kampung saya. Saya tahu jalan balik. Cikgu baliklah.” Rimas hati ini dengan sikap Cikgu Ihsan yang mula nak memaksa. Aku tak suka dia arah-arahkan aku.

Walaupun aku sudah mengeluarkan kata-kata yang agak keras, Cikgu Ihsan tetap berada di situ. Dia tidak bergerak walau seinci.

“Hmm… tak apa. Cikgu teman Nuha ya.”

Aku hanya buat bodoh. Ikut suka dialah nak buat apa pun. Malas dah aku nak fikir. Kenapa mesti Cikgu Ihsan yang berada di samping aku sekarang. Selayaknya, yang berada di sini saat ini adalah Mak Su Kinah.

Melihat tiada air mata yang mengalir di pipi mak su, buat hatiku menjadi sakit dan kecewa. Sebenci manakah Mak Su Kinah pada arwah ibu? Kebencian mak su pada ibu telah menyebabkan perempuan itu langsung tidak menangisi perpisahannya dengan kakak kandungnya. Kerasnya hati mak su. Besar sangatkah dosa dan kesalahan arwah ibu terhadapnya?

Selepas ini aku bakal meneruskan hidupku dengan mak su. Kuatkah aku untuk berdepan dengan dia, ya Allah? Masihkah ada lagi kebenciannya terhadapku walaupun ibu sudah pergi?
Aku takut ya Allah. Aku takut andai Mak Su Kinah terus membenciku. Dan yang paling aku takutkan, mak su akan menghalau aku keluar dari rumah pusaka yang kini telah menjadi milik mutlaknya. Andai itu terjadi, ke manakah harus aku membawa diri ini pergi? Ke mana?


**********

Kedegilan Cikgu Ihsan merimaskan aku. Tak sangka cikgu muda itu keras kepala. Sudah aku paksa dia untuk pulang dulu dan tinggalkan aku sendirian ‘bersama’ ibu, namun dia tetap menunggu.

Kenapa Cikgu Ihsan baik sangat dengan aku? Sepatutnya aku sekarang ditemani oleh Mak Su Kinah. Aku lebih memerlukan perempuan itu daripada seorang cikgu lelaki yang semakin hari semakin merimaskan hidup ini!

Lewat petang, barulah hati ini mula terasa untuk pulang. Dan Cikgu Ihsan sekali lagi berkeras untuk menghantar aku pulang. Tiada upaya untuk menolak, aku terima saja pelawaannya.

“Nuha kita dah sampai.” Suara Cikgu Ihsan menyapa ke telinga.

Aku yang sudah keletihan mental dan fizikal, hanya menonong keluar dari perut kereta. Tanpa mengucap terima kasih atau selamat tinggal, aku terus keluar.

Namun sedar ada kaki yang masih mengikutiku dari belakang, lambat-lambat aku berpaling. Ternyata Cikgu Ihsan berdiri di belakangku. Kenapa dia tak pergi-pergi lagi.

“Biar cikgu hantar Nuha ke pintu.” Aku diam saja. Sudah malas untuk menolak kebaikan yang dihulurkannya. Buatlah apa saja, cikgu. Saya takkan larang cikgu lagi.

Dengan jiwa yang kosong tanpa rasa, aku meneruskan langkah menuju ke halaman rumah.

Senja itu, ruang tamu rumah sudah terang benderang dihiasi dengan cahaya lampu kalimantang. Entah apa yang bakal aku terima sebaik saja melangkah masuk ke dalam rumah nanti. Kata-kata penghinaan? Sepak terajang? Makian? Atau apa?

Ah! Sikit pun aku dah tak kisah. Katalah apa saja mak su. Buatlah apa saja pak su. Aku sudah tidak bermaya untuk menyelamati diriku lagi. Ibu sudah tiada. Tiada siapa lagi yang akan menjadi ‘malaikat penyelamatku.’

“Baru ingat nak balik?” Baru saja kaki kananku melangkah masuk ke ruang tamu, suara Mak Su Kinah bergema ke telinga.

Aku diam saja. Kuteruskan langkah menuju ke tangga.

“Hoi! Aku tanya ni! Kau pekak ke apa?!” Mak Su Kinah yang sedang duduk di atas sofa, aku tatap kosong. Tanpa riak, aku tetap teruskan langkah.

Soalannya yang aku biarkan tanpa jawapan itu menyebabkan Mak Su Kinah terus berdiri menegak dari kerusi lalu meluru ke arahku. Seperti biasa, telinga ini menjadi mangsanya.

“Masa ibu kau masih hidup, kau tak pernah pulak balik lambat. Sekarang ibu kau baru aje mati, kau dah pandai balik lambat ya! Kau nak jadi anak dara jenis apa, hah? Nak jadi bohsia!” Terpekik-pekik mak su menyembur aku dengan kata-katanya yang penuh dengan fitnah. Badan ini mula dipukul-pukul oleh perempuan itu. Dan diri ini, langsung tidak mempertahankan diri sendiri. Kubiarkan saja tangan mak su menyakiti tubuh ini.

“Heh, kau dengar tak apa yang aku cakap hah?! Kau dengar tak?!” Ditonyoh-tonyoh kepalaku kuat. Akhirnya badan yang sudah lemah ini ditolaknya kuat hingga aku tersembam ke bumi.

“Puan!” Suara itu lagi. Tidak pulang lagikah Cikgu Ihsan?

Dalam kabur mataku yang sudah dihiasi dengan air mata, aku melihat jasad Cikgu Ihsan berdiri di ambang pintu. Lelaki itu menanggalkan kasutnya lalu masuk tanpa dipelawa.

“Nuha tak apa-apa ke? Hmm?” Cikgu Ihsan mendekatiku. Tangannya cuba membantu aku berdiri. Dalam kewarasan yang masih ada, aku tolak tangannya yang ingin memegang tanganku. Dia tidak layak untuk menyentuhku.

“Eh, kau siapa hah? Yang kau masuk dalam rumah aku tanpa dipelawa ni apasal?! Eh, Nuha jantan mana pulak kau bawa ni hah?!” Mak Su Kinah memaksa aku berdiri. Sekali lagi dia memukul-mukul tubuhku tanpa belas.

“Dari tadi lagi aku duk perhatikan korang berdua ni. Lelaki ni tak jauh dari kau. Dia siapa? Kekasih kau ke?!” Bergegar satu ruang tamu dengan jerkahan Mak Su Kinah. Saat itulah tangannya mula terangkat untuk menampar mukaku.

“Puan!” Tidak sempat tapak tangan mak su melekat ke pipiku, ada tangan yang menepis tangan itu.

“Puan memang tak layak jadi ibu saudara Nuha. Puan gagal menjadi pelindung dia. Dalam keadaan dia baru kehilangan ibunya, puan sepatutnya ada di samping dia. Bukan marah-marah dia macam ni.”

Kutatap wajah Cikgu Ihsan, lama. Adakah ‘malaikat penyelamatku’ sudah muncul kembali?

“Eh, kau siapa nak ajar aku, hah?! Kau siapa?! Kau jangan masuk campur dalam urusan aku. Kau orang asing dalam rumah ni. Kau boleh berambus sekarang!” Bagaikan sudah menggila Mak Su Kinah mula menolak kuat tubuh Cikgu Ihsan untuk keluar dari rumahnya.

Dalam masa yang sama, tanganku ditarik kuat oleh mak su. Dia menarik aku menjauh dari Cikgu Ihsan.

“Kau berambus sekarang! Aku tak nak tengok muka kau lagi! Pergi!”

Saat itu Cikgu Ihsan tidak berkata apa. Dia hanya merenungiku tanpa suara.

Sebaik saja pintu rumah tertutup rapat, jelingan maha tajam dari Mak Su Kinah hampir membuat jantung ini luruh jatuh.

Sekali lagi tangan Mak Su Kinah terangkat tinggi.

Panggg! Pipi kananku menjadi mangsa kemarahan ibu saudara kandungku sendiri.


BERSAMBUNG....

#komen ler ^^


7 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. kenapa sedih sgt??huwaaaa

    ReplyDelete
  3. Siannya. Bukan salahnya dilahirkan begitu huhu

    ReplyDelete
  4. ishhhh mata masuk habuk la plak... :'(
    yesss bagus cikgu Ihsan.. tp lama mane la cikgu dpt tlg Nuha kn..
    makin menjadi2 la kekejaman mak su nie.. ciannya kat Nuha..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Selama mana Nuha perlukan cikgu ihsan kak :)

      Delete