JOM FOLLOW

Friday, 27 February 2015

Aku Anak Akhirat [cerpen]




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.



“Kau yakin nak masuk pertandingan nyanyian tu?”

“Yakin.”

“Ada bakat ke?”

“Mestilah.”

“Dapat apa masuk pertandingan tak berfaedah macam tu.” Kali ini lebih sinis Ishak bertanya. Idlan yang sedang fokus menonton sebuah rancangan hiburan di kaca televisyen terus mengalihkan perhatiannya kepada abang sulungnya itu. Dia berdecit kegeraman.

“Dapat capai cita-cita orang! Dapat tolong keluarga kita! Dapat bagi keluarga kita ni jadi kaya, mewah!”

Jawapan penuh semangat dari Idlan membuatkan Ishak tergelak lepas. Kepala digelengkan berkali-kali.

“Sesuatu perkara yang kita lakukan kalau bukan diniatkan kerana Allah, semuanya hanya sia-sia, Lan.” Kali ini Idlan tersentak.

“Aku bukan nak merendahkan bakat yang ada dalam diri kau, Lan. Sebab bakat tu sememangnya dari Allah juga. Tapi satu aje aku nak pesan dekat kau. Kalau kau nak buat sesuatu dalam hidup kau, pastikan perkara tu Allah redha dan Allah suka. Kalau kau rasa pertandingan nyanyian yang melibatkan perempuan dan lelaki tu adalah satu perkara yang Allah redha, teruskan. Aku takkan menghalang. Tapi aku yakin, kalau kau fikir lebih dalam, kau akan nampak di mana sebenarnya redha Allah dalam perkara yang bakal kau nak lakukan tu.”

Ishak bangun sambil menepuk-nepuk bahu adik bongsunya. Idlan kelihatan terdiam tidak lagi berdecit dan merengus seperti tadi. Ishak harapkan moga anak muda itu mengerti apa yang cuba dia sampaikan. Sebagai abang, Ishak hanya inginkan yang terbaik untuk Idlan. Dan yang lebih penting, kehidupan Idlan biarlah diberkati dan diredhai oleh Ilahi.

+++

 “Weh, Lan. Yang kau tiba-tiba jadi macam ‘aweks’ bisu ni apasal, hah? Esok kau nak pakai baju apa? Bad dengan aku dah sepakat nak pakai baju kemeja kotak-kotak. Kau pulak nak pakai baju apa?” soal Azfar sambil menyiku bahu Idlan.

Idlan yang termenung panjang terus tersentak. Dia termangu lagi bingung.

“Apa kau cakap tadi? Aku tak dengar,” ujarnya dengan wajah blur.

Badli dan Azfar saling berpandangan. Tawa mereka terhambur. “Aduhai kut ya pun kau ‘nebes’ janganlah sampai jadi macam rusa masuk kampung. Kau ada masalah ke, bro? Cuba cerita dekat kita orang ni. Ke kau takut nak pergi audition esok. Atau kau nak… tarik diri?”

Suasana jadi sepi. Idlan langsung tidak bersuara menyangkal telahan dari Azfar itu. Keadaan itu menyebabkan Azfar bangun tertegak. Badli juga sama. Mencerlung mata mereka memandang wajah Idlan.

“Ni mesti Abang Is kau punya kerja, kan? Dia hasut kau, kan?!” Tempelak Azfar panas.

“Kau jangan dengarlah cakap dia, Lan. Dia tu memang selalu halang kau capai cita-cita kau jadi penyanyi. Dari dulu lagi dia memang macam tu. Sekarang kau dah habis SPM, Lan. Kau dah besar. Kau layak buat keputusan sendiri kut!” Badli turut sama naik angin.

Idlan tertunduk. Dia mengeluh berat mendengar kata-kata dari sahabat baiknya itu. ‘Terima kasih kawan-kawan sebab kau orang bagi sokongan dekat aku. Tapi… aku juga nak minta maaf dekat kau orang. Aku rasa aku dah nampak apa yang sebenarnya Abang Is cuba beritahu aku. Maaf, teman. Aku… aku tak mampu teruskan benda ni.’

Semua kata itu hanya mampu terluah dalam hati kecilnya. Idlan lantas bangun tanpa bersuara. Dia bergerak mendapatkan motosikalnya.

“Eh, Lan! Kau nak pergi mana ni? Takkan dah nak balik.” Azfar mencengkam kuat bahu Idlan cuba menghalang lelaki itu dari pergi. Badli pula bertindak merampas anak kunci dari tangan Idlan.

Wajah kedua-dua sahabat baiknya Idlan tatap dalam. Dia cuba ukir senyuman.

“Aku… aku tak sedap badanlah. Aku balik dulu.” Anak kunci motosikalnya diambil lemah dari tangan Badli. Badli kaku melepaskan anak kunci itu.

“Besok kita tetap akan pergi audition tu kan, Lan?” soal Badli mahukan kepastian.

Angguk tidak, geleng pun tidak. Sebaliknya Idlan mula menghidupkan enjin dan menunggang motosikalnya pulang ke rumah. Tanpa pandang kiri dan kanan, selamba saja dia melintas jalan.

Gedeganggg. Bunyi dentuman itu buat Azfar dan Badli saling berpandangan.

“Ya Allah, Lan!!!” Sepantas kilat mereka berdua mendapatkan Idlan yang sudah terdampar di tengah jalan dengan tubuhnya yang sudah berlumuran darah.

+++

Astaghfirullah robbal baroya. Astaghfirullah minal khotoya. Astaghfirullah robbal baroya. Astaghfirullah minal khotoya.
Astaghfirullah
Astaghfirullah
Astaghfirullah
Astaghfirullah
Aku memohon ampun (Ya Allah). Yang menerima taubat (Ya Allah).                                 
Aku memohon ampun (Ya Allah). Dari segala dosa Ya Allah…
Istighfar – Saujana

Tepukan gemuruh berkemundang di seluruh dewan. Persembahan penuh emosi dari kumpulan nasyid yang diberi nama Al-Qassam itu benar-benar memukau setiap jiwa yang mendengar alunan istighfar itu.

Al-Qassam terdiri daripada tiga orang anak muda. Idlan – Badli – Azfar. Ketiga-tiga mereka pernah suatu ketika dahulu bercita-cita mahu jadi penyanyi terkenal.

Namun perancangan Allah SWT untuk mereka lebih baik. Ditakdirkan dalam kemalangan yang menimpa Idlan tiga bulan yang lalu itu telah membawa mereka bertiga ke sini.

Idlan yang cedera teruk di kakinya tidak mampu lagi meneruskan impiannya untuk menjadi seorang penyanyi. Namun sedikit pun dia tidak kecewa dengan keadaan itu. Kerana dari awal dia sememangnya sudah membatalkan hasrat hatinya itu. Inilah hikmah mengapa Allah mentakdirkan dia untuk kemalangan tiga bulan yang lalu. Kata-kata Abang Is benar-benar telah membuka relung hatinya yang selama ini terkunci rapat. Terlalu berkeras untuk mengejar cita-cita yang belum tentu ada redha Allah di dalamnya.

Kerana keadaannya yang sudah lumpuh sementara, Ishak mengajak Idlan untuk menyertai sebuah kem yang diberi nama “Aku Anak Akhirat”. Kem itu dikendalikan oleh Ustaz Syah yang telah banyak membantu Ishak berubah menjadi insan yang lebih baik. Dulu Ishak juga seperti Idlan. Terumbang-ambing mencari dirinya yang telah hilang…

Sungguh Idlan bersyukur kini. Walau kecil keinginannya untuk berubah, Allah SWT telah menghadiahkannya sebuah anugerah yang cukup bernilai untuknya. Sebuah hidayah. Cahaya petunjuk untuk dia mengejar cita-citanya menjadi anak akhirat.

Paling Idlan syukuri adalah apabila Badli dan Azfar juga terbuka hati untuk sama-sama berjuang bersamanya. Kali ini mereka tidak lagi memburu cita-cita mereka menjadi ‘anak dunia’. Namun fokus mereka kini adalah menjadi ‘anak akhirat’.

Apa itu anak akhirat? Anak-anak akhirat adalah insan yang hidup berpandukan al-Quran dan as-sunnah. Insan yang menjadikan Islam sebagai cari hidupnya. Insan yang hidup matinya untuk Allah SWT.

Masih jelas di benak Idlan pesanan yang Ustaz Syah sampaikan kepadanya di awal kemunculannya di kem ini.

“Idlan, kejarlah sesuatu yang mengangkat darjatmu di dunia dan menyelamatkanmu di akhirat. Tanyakan pada dirimu, nak. Adakah kamu kini sedang berjuang untuk menjadi anak-anak akhirat? Remaja akhirat? Pemuda-pemudi akhirat? Generasi akhirat? Tepuk dada, Lan. Tanya iman…”

-TAMAT- 

 *Segala kekurangan harap dimaafkan.


1 comment: