JOM FOLLOW

Wednesday, 18 June 2014

Ustaz FB [cerpen]




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


USTAZ F.B

Dengan lafaz Bismillah, aku membuka satu-satunya laptop aku ada dalam dunia ni. Laptop yang dibeli dengan duit biasiswa yang aku dapat atas keputusan cemerlangku dalam Peperiksaan Menengah Rendah aka PMR dua tahun lepas. Tahun ini, aku dah masuk Form 5.  Ada lagi 7 bulan sebelum SPM. Ya Allah, sekejap aje masa berlalu. Pejam celik pejam celik, dah bertambah umur aku sekarang. Tahun ni dah nak SPM tapi aku masih lagi tak buat apa-apa persediaan. Nama aje pelajar cemerlang PMR tapi untuk tahun lepas dan awal tahun ini, markah aku down sangat. Entah apa yang tak kenanya. Mungkinkah kerana si dia? Cewah… tiba-tiba aje.

Apa-apa hal pun, laman social muka buku tidak mampu aku tinggalkan. Hujung minggu seperti ini sajalah masa yang aku ada untuk ‘menelaah’ benda alah ni. Hehehe… Hari-hari biasa, biasanya aku dikerah untuk buat kerja sekolah dan menghadiri tuisyen. Al maklumlah student.

Laman utama segera aku baca. Nak tahu juga apa yang kawan-kawan aku update hari ni. Dan yang paling menjadi tumpuan adalah update status dari Ustaz FB. Siapa Ustaz FB? Meh aku nak cerita. Sebelum tu kita baca dulu status Ustaz FB hari ni.

Ustaz FB
#Selagi sesuatu perkara atau perbuatan itu tidak salah dan tidak berdosa dari sudut hukum, janganlah menghukum seseorang itu menandingi hukum ALLAH.

Ada 122 likes. 23 komen. Dan 4 kongsi. Aku segera menambah bilangan itu menjadi…

123 likes. 24 komen. Dan 5 kongsi.

“Betul, betul, betul. Hanya Allah yang mampu menghukum hambaNya. Betul kan, ustaz?” Komen itu aku taip. Aku tersenyum-senyum melihat gambar profil Ustaz FB yang cukup simple itu. Gambar profil dia hanyalah sebuah gambar yang berlatar belakangkan warna putih dan ada dua perkataan. USTAZ FB.

Ustaz FB. Aku mula mengenali dirinya pada tahun lepas. Pada hari itu,seperti biasa aku mengodek-godek laman FB sambil berbalas-balas komen dengan rakan-rakanku. Tiba-tiba ternampak salah seorang sahabatku di GroupMuslimMuslimatSejati memberi komen pada status Ustaz FB. Terus aku terpikat pada status-statusnya yang penuh manfaat dan memberi ilmu pengajaran itu. Tak tunggu lama, terus aku add dia. Beberapa hari berlalu, dia approve aku dan akhirnya… Heliza Eja menjadi rakan kepada Ustaz FB.

Itulah serba sedikit salasiah aku dan Ustaz FB. Tapi sayangnya, Ustaz FB tak pernah tunjuk muka. Pemalu sangat kut. Namun, tidaklah aku terlalu memikirkan hal itu. Kata-kata dan nasihatnya lebih aku admire. Kata-katanya sungguh berhemah dan bijaksana. Ayat Quran dan Hadis seringkali menjadi status utamanya.

Ustaz FB
#Jangan pernah persoalkan mengapa kita diuji, kerana sudah sememangnya taraf kita yang bergelar hamba ini layak diuji. Siapa kita sampaikan ALLAH tak boleh ‘jentik’ kita langsung. Siapa kita sampaikan ALLAH tak boleh nak tegur kita langsung. Ustaz harap sekecil atau sebesar mana sekalipun ujian yang ALLAH berikan pada kita, bersabarlah. Kerana Dia pernah berfirman dalam mafhumnya.

Dan Allah Ta’ala berfirman:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الأَمْوَالِ وَالأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepada kalian, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah:155)

#Berita gembira untuk orang yang bersabar. Itulah hikmahnya. J

Itulah status Ustaz FB untuk semalam. Dan kata-kata Ustaz itu cuba aku praktikkan hari ini. Pagi tadi, bangun-bangun aje aku terkejut bukan kepalang melihat buku latihan Matematik aku terdampar sepi atas lantai. Bukan setakat terdampar sepi tapi yang buat aku bengang tahap tak ingat, ada contengan tak boleh blah dalam buku latihan aku tu. Ya Allah, bengang gila aku rasa masa tu. Yang pasti, itu kerja adik bongsu aku Muhammad Hadif yang sangat nakal! Dahlah esok ada kelas tambahan. Argh! Bengang!

Marah memang marah tapi bila fikir balik, benda dah jadi. Sabor ajelah. Bukankah taraf kita sebagai hamba memang akan selalu diuji? Kata-kata Ustaz FB aku ingat. Dan yang lebih buat aku terpegun dan seram sejuk, tengah hari tadi tiba-tiba aje aku dapat berita dari bff aku mengatakan bahawa esok cikgu math batalkan kelas tambahan. Berita gembira untuk orang yang bersabar? Ya Allah… Engkau telah mempatrikan janjiMu.

Hampir dua puluh minit aku godek-godek FB, tidak mahu membuang terus masa aku di hadapan lappy, segera aku log out. Malam nanti sambung lagi. Sekarang, aku nak pergi angkat kain dan kemas rumah. Dan malam nanti juga bff aku akan tidur kat sini.Wah, seronoknya! Tak sabar nak tunggu kedatangan minah kepoh aka Siti Hawa aka Princess Gurl-gurl. Huh! Gurl-gurl lah sangat.

******

“Eja… kau dah tidur ke?”

“Belum.”

“Kau tengah fikir apa?” Lama aku membiarkan soalan dari Hawa itu tanpa jawapan. Jam sudah menginjak ke pukul 12 malam. Selesai saja menyiapkan kerja sekolah Matematik Tambahan dan Biologi, aku terus ajak Hawa tidur. Hawa bukan tak biasa pun tidur kat rumah ni. Diakan sepupu yang paling rapat dengan aku. Merangkap bffku.

“Uit! Kau ni tak lain mesti tengah fikir ustaz tu kan?” Agak terpana aku mendengar telahan Hawa. Terus lampu meja aku hidupkan. Suasana menjadi sedikit suram namun aku dapat lihat agak jelas Hawa sedang tersengih memandangku.

“Apasal pulak aku nak ingat kat dia. Kau jangan nak buat gossip malam-malam buta ni Hawa oi.” Sengaja aku buat-buat ceria dengan telahan hampir tepat Hawa itu. Memang.Memang aku tengah fikirkan ustaz tu. Ustaz FB. Aku teringin nak kenal dia. Nak tengok muka dia.

Hawa mengiringkan badannya ke aku. Aku masih static memandang syiling bilik.

“Itu bukan gossip tapi kenyataan. Aku tahu kau dah angau dengan ustaz FB kau tu. Ops sorry. Bukan angau dengan orangnya tapi dengan status-status keagamaannya. Kannnn?” Ada nada sindiran di hujung suara Hawa. Bukan aku tak tahu dia tengah sindir aku. Huh!

“Baguslah kau tahu.  Memang aku suka dengan status dia. Elok untuk kita berubah menjadi lebih baik.” Jawapanku buat Hawa berdecit kecil.

“Nak perli akulah tu.Aku tahulah aku tak cukup baik. Ngee!” Tawaku terhambur mendengar rajuk Hawa.

“Alah kau ni. Itu pun nak terasa.” Aku pandang muka Hawa.Dia masih monyokkan muka.

“Dah. Tak kuasa aku nak terasa.Kau jangan nak alih topic eh. Sekarang kita tengah cakap pasal Ustaz FB tu. Susah-susah sangat kau pm lah dia. Mintak gambar dia. Cakap Adik Eja nak tengok. Mesti dia bagi.Diakan baik.” Langsung tak boleh guna saranan Hawa tu. Gila aku nak minta gambar Ustaz. Malu kut!

“Tak kuasa aku nak ikut plan merapu kau tu.Mungkin sampai bila-bilapun aku takkan dapat tengok muka dia. Hmm… Dahlah.Aku nak tidur.” Tidak mahu mengusutkan fikiran,terus aku tarik selimut dan padamkan semula lampu meja. Mata dipejam rapat.Melihat aku tidak lagi bersuara, Hawa turut diam.Akhirnya malam itu berakhir begitu saja.

Nak minta gambar Ustaz FB? Tak mungkin pernah akan aku buat!

*******

Beberapa hari kemudian, aku menjalani rutin harianku seperti biasa. Pergi ke sekolah dan belajar bersungguh-sungguh seperti pelajar yang lain. Fokus cuba aku beri seratus peratus.Namun,kadang-kadang hatiku teringat juga pada Ustaz FB. Teringat aku pada status beliau semalam.

Ustaz FB
#Dosa umpama pokok yang tumbuh di dalam hati,
Semakin lama dosa itu di biarkan tanpa dicabut keluar,
Maka semakin kuat cengkaman akar dosa itu di dalam jiwa seseorang.
Cabutlah akar dosa itu dengan iman dan taqwa.
Insya-Allah selagi kita masih bernyawa, selagi itulah pintu taubat masih terbuka buat kita.

Insaf aku dengan kata-kata Ustaz FB. Tapi biasalah keinsafan itu hanya datang untuk seketika. Apabila kita dah seronok nanti, kita akan kembali alpa dan lalai dalam mengingatiNya. Hmm…

“Jauh termenung.Dah siap ke salin nota kat depan tu?” Suara Hawa menyapa jelas ke telinga aku.Terus aku tersentak bangun dari lamunanku. Nota PAI yang sudah ditulis oleh Ustaz Zul di papan hitam kembali aku sambung menyalin. Ingatan aku pada Ustaz FB cuba aku hapuskan.

“Eja, entah-entahkan Ustaz Zul tu Ustaz FB yang kau cari-cari selama ni.” Hawa buat gossip lagi.

Kepalaku terteleng memandang Hawa. Ustaz Zul yang  sedang duduk di meja hadapan turut aku pandang buat seketika.

“Ustaz Zul? Kau jangan nak merapulah Hawa. Ustaz Zul tu….” Aku gelengkan kepala. Tak logik langsung Ustaz Zul tu Ustaz FB yang aku cari-cari selama ni. Ustaz Zul asal dari Tapah Perak. Ustaz FB pulak dari Perak juga tapi tak tahu daerah mana. Erk… Tak mungkin!

Melihat aku sudah tidak mampu bersuara,Hawa kembali memanaskan ‘line’.

“Hah, kenapa kau diam? Mesti kau dah nampak sedikit persamaan antara Ustaz Zul dan Ustaz FB kan? Apa-apa? Ceritalah.” Hawa sudah jadi meneruskan kerjanya. Suaranya perlahan menyapa ke telingaku. Takut juga Ustaz Zul nampak mereka sedang berborak-borak.

Aku tetap gelengkan kepala. Tak kuasa aku nak cerita pada Hawa time kelas ni. Tak berkat ilmu yang aku dapat dari Ustaz Zul nanti.

“Nantilah aku cerita. Time rehat nanti. Dahlah sambung kerja kau tu. Mana pembaris kau. Meh sini aku nak pinjam.” Kotak pensel Hawa aku rampas selamba.Demi menghilangkan rasa keliruku, aku buat-buat sibuk mencari pembarisnya. Dalam hati mula memikirkan telahan Hawa. Ustaz Zul dan Ustaz FB adalah orang yang sama? Hmm… Ya ke?

********

“Hah ceritalah cepat. Apa persamaan antara Ustaz Zul dan Ustaz FB tu?” Tak menyempat aku duduk, sudah Hawa sembur dengan soalan cepumas tu. Aku duduk tenang ke kerusi. Sepinggan mee goreng dan segelas air limau aku beli untuk makan pada waktu rehat ini.Suasana kantin yang hingar bingar buat fikiran aku makin stress.

“Eja! Cepatlah!” Hawa terus memaksa. Aku mencebik ke arahnya. Ugh! Sabarlah! Aku baru nak telah mee goreng ni.

“Persamaan dorang setakat ni hanya satu. Itupun tak berapa nak tepat sangat.”

“Apa dia?”

“Asal dorang. Ustaz Zul dari Tapah Perak. Ustaz FB pulak dari Perak. Tapi tak tahulah daerah mana. Dia tak beritahu pun kat fb tu.” Aku cepat-cepat menyudu mee goreng dalam pinggan. Nanti karang sibuk pulak si Hawa nak aku jawab soalan yang lain pulak.

“Aku fikir dari tadi lagi tau benda ni. Ada satu cara aje yang boleh kita tahu sama ada Ustaz Zul dan Ustaz FB tu orang yang sama.” Suara serius Hawa buat seleraku mati. Kutatap wajahnya yang putih melepak itu penuh bingung. Cara apa?

Hawa tersenyum sebelum bersuara.   “Apa susah, kau pm lah Ustaz FB tu dengan tanya satu soalan agama. Lepas dia dah jawab soalan kau tu, kau tanya pulak soalan tu pada Ustaz Zul. Kau bandinglah jawapan mereka. Kalau sama, maknanya mereka adalah orang yang sama. Amacam brilliant tak idea aku?” Hawa mendabik bangga. Aku terlopong mendengar idea itu.

Boleh pakai juga idea Hawa tu. Bila jawapan Ustaz Zul dan Ustaz FB sama, sah-sah mereka adalah orang yang sama. Tapi betul ke cara ni akan berjaya? Dan yang lebih penting aku nak tanya soalan apa kat Ustaz FB tu? Buatnya Ustaz FB tak jawab bagaimana?Ah…


******

Beberapa hari kemudian, sedang aku dan Hawa menghabiskan masa lapang kami dengan melayari internet, tiba-tiba saja muncul satu pesanan di inbox mesej FBku. Terus aku bukak dan berdebar gila bila mesej itu adalah dari Ustaz FB!

“Hawa!!! Hawa tengok ni!” Tiba-tiba aku jadi teruja. Lappy kuhalakan pada Hawa yang sedang kusyuk berbalas twitter dengan rakannya.

“Apahal kau ni? Kena sampuk ke apa?” tanya Hawa sambil buat muka tak berminat. Dia masih tidak menoleh pada skrin lappy.

Aku geram dengan tindakan Hawa. Pantas aku rampas telefon pintar darinya. Hampir meradang Hawa saat itu.

“Tengok ni! Kau nampak tak siapa yang pm aku?” Aku tayang skrin lappy betul-betul depan muka Hawa. Hawa mendengus sambil akur melihat lappy itu. Mulutnya mula melopong. Dia turut berubah teruja.

“Ustaz FB!!” Dia yang sedang berbaring cepat-cepat bangun duduk bersila. Laju tangannya menekan mesej itu.

“Eh, marilah aku baca. Ustaz FB aku yang pm aku tau. Bukan kau. Ugh!” Aku tersengih-sengih mengejek. Lappy kurampas dari Hawa. Hawa berpeluk tubuh sambil mencebik.

“Soalan apa yang kau tanya pada ustaz? Macam panjang aje jawapan ustaz tu.” Aku sengih lagi. Soalan yang aku kemukakan pada Ustaz FB aku baca kuat pada Hawa.

“Assalamualaikum Ustaz FB. Saya Eja. Maaf andai saya mengganggu ustaz. Saya ada soalan yang ingin ditanyakan pada ustaz. Harap ustaz dapat jawab ya. Soalan saya berbunyi seperti ini. Para remaja sekarang terutamanya Muslimah suka benar berpakaian tidak menutup aurat. Ketat, jarang dan terdedah sana sini. Kalau pun menutup aurat pasti tidak sempurna seperti yang disarankan oleh Al-Quran. Soalan pertama saya, mengapakah perkara ini terjadi dalam dunia kita sekarang sedangkan Al-Quran sudah tersebar isi kandungannya di seluruh dunia. Di sekolah, subjek Agama Islam turut diajarkan pada para pelajar. Dan soalan kedua saya, bagaimanakah caranya untuk saya menasihati rakan-rakan saya yang masih culas untuk menutup aurat dengan betul. Saya memang tidak sempurna tapi saya juga tidak sanggup melihat rakan-rakan saya terus dihantui oleh dosa. Harap ustaz dapat menjawab soalan saya. Maaf kalau saya membebel panjang. Hehehe… TQ USTAZ FB.”

Selesai aku membaca soalan itu, Hawa terus menepuk-nepuk dadanya.

“Aduh! Ouch! Kena tepat pada diri aku. Aku tahulah aku ni tak tutup aurat dengan betul. Aku masih mencuba kut.” Ujar Hawa dengan nada suara perlahan. Mungkin dia sudah terasa hati.

Aku pandang muka Hawa. Bahu Hawa aku usap lembut.

“Aku sayangkan kau. Sebab tu aku tanya soalan ni pada ustaz. Sekarang kita sama-sama baca jawapan ustaz. Mana tahu lepas kita baca jawapan ustaz, hati kita makin kuat untuk berubah menjadi Muslimah yang lebih baik. Okey?”

Hawa hanya mengangguk lemah. Memang aku sengaja menanyakan soalan ini pada Ustaz FB. Motif aku yang paling utama adalah untuk membuat Hawa tersedar dan kembali ke pangkal jalan. Hawa dan aku memang bff.  Tapi ideology kami kadang-kadang berbeza. Aku agak kuno dalam berfesyen. Apa lagi dalam hubungan aku dengan lelaki. Lagilah aku tak reti.

Hawa pula seorang gadis yang pandai berfesyen.  Memang dia bertudung. Tapi pakaiannya kebanyakannya menjolok mata. Aku tak suka dengan cara dia. Tapi kerana kami saling sayang menyayangi, persahabatan ini masih lagi bertahan hingga ke saat ini. Kerana aku sayangkan Hawalah aku nak dia buang semua perangai tak eloknya. Aku nak, aku dan dia sama-sama selamat di dunia dan akhirat. Dan kalau boleh, semua orang dalam dunia ni aku nak dorang selamat di dunia dan akhirat. Amin-amin.

#Waalaikumussalam Eja. Bagus soalan Eja tu. Memang ustaz akui itulah keadaan yang melanda masyarakat dunia sekarang. Masyarakat Islam khususnya. Kebanyakan para remaja kini hanyut dengan keseronokan dunia dan jauh dari Islam yang sebenar-benarnya.

Memang Al-Quran sudah tersebar di seluruh dunia. Mukjizatnya meliputi langit dan bumi. Timur dan barat. Tapi sayangnya sesetengah dari kita tidak cuba untuk menyelongkar isi kandungan Al-Quran itu. Segala-galanya ada dalam Quran itu. Fahami dan amalkan suruhan yang Allah perintahkan pada kita. Salah satunya adalah menutup aurat.

Ramai orang cakap TAK BERTUDUNG dan MENUTUP AURAT kerana TIDAK MENDAPAT HIDAYAH. Hakikatnya, HIDAYAH dan datang sejak 1400 lebih tahun dahulu. Jadi TIADA ALASAN untuk  cakap begitu.

Menutup aurat itu HUKUMNYA WAJIB bagi SETIAP PEREMPUAN DAN LELAKI YANG MENGAKU DIRINYA ISLAM.  Bila namanya WAJIB itu bermakna kalau kita tak buat dengan betul dosanya kita akan tanggung!

Terdapat Beberapa Kesilapan Wanita Tentang Aurat :

·         Pertama : Wanita menganggap aurat itu adalah memakai tudung sahaja.
·         Kedua : Bertudung tetapi ber’ T-Shirt’ berlengan pendek.
·         Ketiga : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.
·         Keempat : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda’.
·         Kelima : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.
·         Keenam : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.
·         Ketujuh : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.
·         Kelapan : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.
·         Kesembilan : Kesalahan bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan.
·         Kesepuluh : Memakai baju kurung tetapi dipergelangan tangan tidak dipinkan hingga menampakkan kulit lengan.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan janganlah kamu mendedahkan aurat dan perhiasan kamu kecuali apa yang terzahir.” (Surah an-Nur ayat 31)

Setiap perempuan Islam wajib menutup kepalanya dengan tudung dan bahagian dadanya termasuk juga leher, sehingga semua tempat-tempat yang boleh membawa fitnah tertutup dari perkara yang memungkinkan dilihat oleh orang-orang yang jahat hatinya.

Ustaz harap jawapan Ustaz sudah menjawab soalan Eja. Dan mengenai nasihat untuk rakan-rakan, cuba Eja baca kata-kata ini.

Adab-adab memberi nasihat.

  
1. 
Meluruskan niat sebelum menasihati   seseorang supaya tidak ada yang berasa disakiti. Ikhlas menasihati   saudara semuslim semata-mata karena Allah. Seharusnya seorang yang ingin   memberikan nasihat itu perlulah bersih dari segala bentuk niat yang   terpesong kerana ia akan memberi kesan ke atas nasihat yang ingin   diberikan. Janganlah menasihati seseorang itu kerana ingin menunjukkan   kitalah orang yang benar, tetapi tegurlah kerana ingin mengajak sahabat   ke jalan yang benar.

2. Menjaga ukhuwah semasa menasihati.   Diusahakan supaya menasihati saudaranya dengan tidak diketahui orang   lain. Sebahagian ulama berkata, “Barangsiapa yang menasihati   seseorang dan hanya ada mereka berdua, maka itulah nasihat yang   sebenarnya. Barangsiapa yang menasihati saudaranya di depan banyak   orang, maka yang demikian itu mencela dan mencelakan orang yang   dinasihati.” Islam mengajar umatnya supaya mempunyai   akhlak yang tinggi. Dalam hal menasihati juga terdapat perkara ini. Ini   menunjukkan bahawa Islam amat menjaga hati dan maruah orang yang   dinasihati supaya tidak berlaku perpecahan kerana perkara nasihat.
    
 
3. Bersih hati semasa menasihati.   Menggunakan bahasa yang halus dan menegur hanya untuk perkara-perkara   yang salah. Kadang-kadang kita sering menggunakan perkataan yang sangat   teruk untuk meluahkan nasihat kita. Dalam ceramah-ceramah dan   kuliah-kuliah yang berbentuk menasihati, kita lebih gemar menyatakan   salah orang lain seolah-olah mereka yang melakukan perkara tersebut   sangat jahat dan sudah tiada ruang untuk bertaubat. Seharusnya selaku   seorang pendakwah, nasihat adalah senjata utama yang perlu digunakan   sebaiknya.
  
 
4. Memikirkan cara yang terbaik untuk menasihati   saudara. Seboleh-bolehnya mengenali dulu saudara yang bakal   kita nasihati itu. Nasihatilah mereka dengan kasih sayang dan jadilah   sebahagian dari mereka, kerana dari situ kita akan tahu apa puncanya   mereka begitu.
  
5. Memberi waktu dan kesempatan kepada   saudara yang dinasihati untuk mengubah sifat buruk/ kesalahan yang   dilakukannya. Manusia perlukan masa untuk berubah, jangan memaksa mereka   untuk berubah mendadak, ia bukan dalam lingkungan tugas seorang   pendakwah. Dalam berdakwah perlu akan sifat sabar dan berserah kepada   Allah. Jadilah orang yang sentiasa mengharap pertolongan Allah dan   jangan mudah putus asa di atas nasihat yang diberikan kerana itu mungkin   ujian yang telah ditentukan oleh Allah untuk menguji kesabaran. 

*********

Pagi itu, matapelajaran pertama yang bakal aku pelajari adalah subjek agama. Tak sabar aku  nak tanyakan soalan itu pada Ustaz Zul. Nak tengok sejauh mana persamaan jawapan antara jawapan Ustaz Zul dan Ustaz FB nanti.

Hari ini juga aku merasa sangat gembira. Setelah aku dan Hawa bercakap dari hati ke hati, aku mula nampak perubahan yang cuba Hawa tampilkan. Dia kini cuba untuk memperbaiki diri menjadi seorang Muslimah yang lebih baik. T-shirt atas pinggul, kecik dan sendat serta lengan pendek sudah tidak digayakannya. Tudung juga begitu. Selendang bawal digayakan oleh Hawa dengan cukup cantik dan memenuhi tuntutan syariat. Alhamdulillah. Perubahan sudah aku nampak dalam diri bff aku tu. Walaupun sedikit, aku yakin Allah meredhai perubahan yang dilakukan oleh Siti Hawa binti Adam itu.

“Bangun semua. Assalamualaikum Ustaz…” Suara ketua kelas, Muhammad Nazmi membangunkan aku dari lamunan. Cepat-cepat aku bangun dan mengucap salam pada Ustaz Zul.Ustaz Zul kelihatan segak hari ini dengan mengenakan kemeja biru laut dan dipadankan dengan tali leher warna hitam. Jangan anggap aku dah jatuh hati dengan ustaz ya. Ustaz Zul dah kahwin pun. Ada dua orang anak pun okey.

“Okey kelas. Seperti biasa, sebelum ustaz mulakan kelas, ada sebarang pertanyaan yang korang nak tanya ustaz? Mungkin ada yang kurang faham dengan bab yang kita belajar minggu lepas.” Selesai membaca doa, terus Ustaz Zul menanyakan soalan itu.

Lenganku disiku-siku oleh Hawa. Dia seakan-akan menyogok aku untuk bertanyakan soalan itu pada Ustaz Zul. Aku tarik nafas. Kena tanya sekarang ke? Huhu… Malunya.Tapi mungkin soalan aku nanti boleh dianggap satu cabang dakwah. Biar semua budak perempuan kelas aku dengar jawapan Ustaz Zul. Jihad Eja. Jihad!

“Ustaz… saya ada dua soalan.” Aku angkat tangan lalu berdiri. Seisi kelas terus memandang ke arahku. Aku cuba buat tak tahu dan menahan malu. Wajah Ustaz Zul kutatap sekilas.

“Okey, Eja. Apa soalannya.”

“Erm, soalan saya macam ni. Kenapa remaja perempuan sekarang tak ikut cara menutup aurat yang disarankan oleh Al-Quran? Sedangkan Al-Quran tersebar di seluruh dunia. Semua orang tahu kena tutup aurat. Tapi masih ada lagi yang tak ikut perintah tu. Kalau ada pun, tutup aurat dengan cara yang tak sempurna.Ketatlah, jaranglah. Dan satu lagi soalan saya ustaz, bagaimanakah cara kita untuk menasihati rakan-rakan yang culas untuk tutup aurat. Tegur dorang lebih-lebih karang terasa pula.” Aku terus duduk sambil tundukkan kepala. Hawa di sebelah tidak aku hiraukan lagi.

“Okey. Soalan tu tak masuk dalam bab kita belajar minggu lepas. Tapi tak apalah. Ustaz akan cuba jawab. Terima kasih Eja atas soalan bernas tu.” Ustaz Zul bangun dari kerusi. Dia berdiri di hadapan kelas sambil memeluk tubuhnya. Aku angkat muka memberi fokus kepada Ustaz Zul.

“Memang Al-Quran tu dah tersebar satu dunia. Islam itu sendiri sudah tersebar diseluruh pelosok dunia. Tapi sayangnya kita sebagai orang Islam ni tak nak ambil cakna isi yang tersurat dalam Quran tu. Kita setakat baca dan tak cuba untuk faham apalagi ikut perintah yang ada dalam Quran tu. Bukan semua macam tu, mungkin hanya sesetengah.” Aku tarik nafas. Macam ada sama aje dengan jawapan ustaz FB. Oh my Allah.Adakah Ustaz Zul itu Ustaz FB?

“Bab menutup aurat ni lagilah semakin parah. Remaja sekarang lebih suka berfesyen dari tutup aurat dengan betul. Islam tak pernah melarang kita berfesyen tapi ada caranya. Kenalah patuhi hukum yang Allah tetapkan. Dan pasal nasihat tu, nasihatlah dengan ikhlas kerana Allah. Berhikmah dan berhemah. Jangan sampai orang tu merasa kita nak menghina dia. Okey semua? Kita mulakan kelas hari ni dengan tajuk baru.” Ustaz Zul segera menulis sesuatu pada papan hitam. Aku termangu buat seketika mendengar jawapan Ustaz Zul. Hampir sama dengan jawapan Ustaz FB.

Wajah Hawa aku pandang seketika. Gadis itu menjungkitkan bahu bagai tidak mampu untuk menyelesaikan kekeliruan yang melanda hatiku. Benarkah Ustaz FB itu adalah Ustaz Zulkufli Ariffin?

********

“Kaulah…”

“Kaulah…”

“Kaulah pergi. Aku seganlah…”

“Hisy! Kaulah. Kau yang nak tanyakan. Ugh!”

“Kaulah tolong aku. Nanti aku belanja kau burger. Pergilah. Please Hawa…”

“Kaulah. Aku…” Tidak sempat aku dan Hawa bertegang urat, tiba-tiba saja pintu bilik guru dikuak dari dalam. Aku dan Hawa segera mengundur ke belakang memberi laluan kepada orang yang muncul di sebalik pintu itu.

“Eh, Eja… Hawa. Korang buat apa kat sini? Cari siapa?” soal Ustaz Zul yang muncul di muka pintu. Aku dan Hawa saling berpandangan. Kami hanya mampu tersengih sambil garu kepala.

“Cari ustazlah.” Tiba-tiba Hawa bersuara. Terus aku siku perut Hawa. Tadi bukan main tak nak cakap. Huh!

Ustaz Zul pandang kami berdua. Dia tersenyum mesra.  “Nak jumpa ustaz? Ada apa ya?”

Aku cuak. Hajat di hati memang nak jumpa Ustaz Zul. Aku nekad untuk menanyakan sesuatu pada ustaz. Mengenai sesuatu yang agak penting dalam hidup aku.

Hawa menjegilkan matanya seakan-akan menyuruh aku berterus terang. Aku hanya geleng kepala lemah. Akhirnya…

“Erm, kami nak tanya. Ustaz Zul ada facebook tak? Yalah kalau ada,kami nak add.” Hawa akhirnya bersuara juga. Itulah soalan yang aku ingin pastikan jawapannya dari Ustaz Zul. Andai nama fb Ustaz Zul adalah Ustaz FB, itu bermakna aku sudah menjumpai Ustaz FBku.

Ustaz Zul tersengih sambil geleng kepala. Gelengan ustaz buat aku dan Hawa sama-sama berpandangan.

“Ustaz manalah pandai main benda-benda tu. Takde. Ustaz memang takde facebook. Isteri ustaz adalah.” Aku tersenyum hampa mendengar jawapan Ustaz. Hmm jadi bukan Ustaz Zul yang aku cari-cari selama ni?

“Erm, kalau macam tu takpelah ustaz. Lain kali kalau ustaz dah buat fb ke twitter ke, ustaz cakap kat kami eh. Kami masuk kelas dulu.” Aku cepat-cepat tarik tangan Hawa pergi dari situ. Hilang semangatku untuk memikirkan hal ustaz FB lagi.

“So, apa kau nak buat lepas ni?” tanya Hawa sambil menoleh ke arahku.Kami mula melangkah bergerak ke kelas kami yang terletak di tingkat 3. Anak tangga didaki satu persatu dengan malas. Aku jungkit bahu.

“Berhenti berharap ajelah Eja. Mungkin perkenalan kau dengan Ustaz FB setakat dalam fb aje. Nasihat dia yang berguna kau ambil. Tak perlulah kau simpan impian untuk kenal dia lebih dekat. Mungkin dia juga seorang yang cukup peribadi orangnya.” Panjang lebar Hawa menasihati aku. Aku cuba terima saranan Hawa dengan hati yang cukup berat.

Sememangnya aku teringin benar untuk mengenali Ustaz FB itu. Mungkin benar aku terpaksa melupakan hasratku itu. Ustaz FB hanyalah seorang lelaki di alam maya yang tidak mungkin akan aku kenali sampai bila-bila. Hmm… Andai itu takdirnya. Aku redha.

*******

Tiga minggu kemudian…

Aku menatap lama gambar profil Ustaz FB. Status terakhirnya aku baca.

Ustaz FB

#Di dalam As Shahih diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu’anhu bahwa Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda :

“Apabila seorang anak Adam meninggal, maka akan terputus amalannya kecuali tiga perkara : sedekah jariyah, atau ilmu yang bermanfaat, atau anak shalih yang mendoakan kepadanya”.

Fokus Ustaz adalah ilmu yang bermanfaat.

Hal ini boleh dilakukan dengan cara seseorang mengajarkan ilmu kepada manusia perkara-perkara agama mereka. Ini khusus bagi para ulama yang menyebarkan ilmu dengan cara mengajar, mengarang dan menuliskannya. Orang awam juga mampu melakukannya dengan cara ikut serta di dalamnya berupa mencetak kitab-kitab yang bermanfaat atau membelinya lalu menyebarkannya atau mewakafkannya. Juga membeli mushaf lalu membagikannya kepada orang-orang yang membutuhkan atau meletakkannya di masjid-masjid. Hal ini menganjurkan kita untuk mempelajari ilmu dan mengajarkannya, menyiarkannya dan menyebarluaskan kitab-kitabnya agar mampu mengambil manfaat sebelum dan sesudah kematian dia.

Manfaat ilmu akan tetap ada selama di permukaan bumi ini masih ada seorang muslim yang sampai kepadanya ilmu tersebut. Berapa banyak ulama yang meninggal semenjak ratusan tahun yang lalu tetapi ilmunya masih ada dan dimanfaatkan melalui kitab-kitab yang telah dikarangnya lalu dipakai dari generasi ke generasi sesudahnya dengan perantara para muridnya kemudian para pencari ilmu setelah mereka. Dan setiap kali kaum muslimin menyebutkan nama dia, mereka selalu mendoakan kebaikan dan mendoakan agar Allah merahmati dia. Ini adalah fadhilah dari Allah yang diberikan kepada siapa saja yang dikehendaki. Berapa banyak generasi yang diselamatkan Allah dari kesesatan dengan jasa seorang alim, maka alim itu mendapatkan seperti pahala orang yang mengikutinya sampai hari kiamat.

Sekarang di zaman moden yang serba canggih, kita boleh menggunakan saluran seperti laman-laman social facebook dan twitter untuk menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Jadi, jangan risau. Untuk melakukan kebaikan terdapat banyak caranya. Sampaikanlah ilmu walaupun secebis ayat Al-Quran.

Ilmu bermanfaat itulah menjadi amalan yang tidak akan terputus sekalipun kita sudah tiada di dunia. Selamat malam semua. Ustaz nak tidur dulu. Assalamualaikum.

6 Februari 2013. Itulah status terakhir Ustaz FB. Hatiku sebak bila teringatkan hal itu. Tak sangka status itu merupakan satu petunjuk. Petunjuk bahawa Ustaz FB akan pergi buat selamanya. Ya Allah, tempatkanlah Ustaz Fahmi bin Burhanuddin di samping orang-orang yang soleh dan beriman. Amin.

Tiga minggu sebelumnya…

“Eja… Eja…” Aku yang sedang kusyuk menelaah buku teks Biologi segera memalingkan muka memandang ke arah Hawa yang baru muncul di kamar tidurku.Aku tersenyum padanya. Awal pula Hawa sampai hari ni.

Hawa melangkah penuh lemah ke arahku. Di tangannya ada sehelai akhbar. Akhbar apa pulak yang Cik Siti Hawa baca ni?

“Eja… Kau jangan sedih. Aku… aku ada sesuatu nak tunjukkan pada kau.” Hawa menghulurkan akhbar yang dipegangnya padaku. Terus aku ambil akhbar itu. Aku tilik akhbar itu tanpa mengerti apa-apa. Kenapa pula Hawa minta aku jangan sedih?

“Ada apa? Apasal kau bagi  aku surat khabar ni? Ada apa-apa berita menarik ke?” Tajuk utama akhbar yang aku pegang kubaca. Geng Kapak PJ Berjaya Ditumpaskan Pihak Polis. Okey Geng Kapak. Mesti kes samun ni.

Tak semena-mena tiba-tiba saja Hawa memeluk tubuhku. Aku tercengang dengan tindakannya.

“Uit… apahal ni? Peluk-peluk pulak.” Naik geli aku dengan Hawa ni. Demam ke apa hari ni.

Hawa merungkaikan pelukannya. Akhbar yang aku pegang diambilnya.

“Ustaz FB kau. Aku dah tahu siapa ustaz tu sebenarnya.” Kata-kata Hawa buat aku terkesima. Terus kurampas akhbar itu. Aku baca satu persatu tajuk yang terdapat dalam akhbar itu. Mana Ustaz FB? Takde pun.

Tanpa kata Hawa menghalakan jari telunjuknya pada satu tajuk kecil yang terdapat di bahagian paling bawah akhbar. Tajuknya berbunyi… Ustaz Alam Maya Meninggal Dilanggar Lari.

Aku pandang muka Hawa meminta dia menjelaskan apa yang sebenarnya sudah berlaku. Ustaz Alam Maya? Siapa?!

“Ustaz FB kau dah meninggal Eja. Dia… dia dah takde…” Sebak suara Hawa saat itu. Aku gelengkan kepala. Artikel itu aku baca sambil menahan rasa sedih yang mula bertandang.

Bota, PERAK – Seorang lelaki meninggal dunia dilanggar lari oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda di sini semalam. Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 petang itu membabitkan seorang lelaki yang bertugas sebagai seorang guru tahfiz di Sekolah Agama Bota, Perak. Ustaz Fahmi bin Burhanuddin meninggal di tempat kejadian.

Menurut saksi, arwah memakirkan motosikalnya di pinggir jalan untuk turun membeli kuih di warung berdekatan. Namun, saat ternampak seekor anak kucing tersekat di tengah jalan besar, mangsa dengan baik hati membantu kucing itu. Namun tidak sempat arwah berpatah balik, sebuah Jeep dipandu laju lalu merempuh beliau. Melihat kejadian itu orang ramai meluru ke arah mangsa dan ada saksi yang sempat mencatat nombor plat kereta suspek.

Salah seorang rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ustaz Din, menyatakan bahawa Ustaz Fahmi adalah seorang ustaz yang dikenali di laman social Facebook sebagai Ustaz FB. Kata beliau lagi, buat yang mengenali Ustaz FB, harap dapat sedekahkan al-Fatihah kepada arwah dan teruskan perjuangan arwah untuk berjihad di jalan Allah. Sebarkan ilmu Allah di seluruh pelusuk dunia.

Suspek kini dijejaki oleh pihak berkuasa atas tuduhan langgar lari. Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000 dan penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih 10 tahun.

Air mata menitis jatuh ke pipiku. Ya Allah, Ustaz FB dah pergi meninggalkan dunia ini. Gambar kecil yang terdapat di keratan akhbar itu aku tatap penuh rasa sedih. Akhirnya dapat juga aku melihat wajah Ustaz FB. Wajahnya cukup tenang. Cukup mendamaikan hati yang melihatnya.

“Hawa… ustaz dah takde… dia dah pergi Hawa.” Kudakap kemas tubuh Hawa. Di bahu Hawa aku luahkan segala kesedihanku. Sungguh aku tidak menyangka begini takdir pertemuanku dengan Ustaz FB. Selepas ini, tiada lagi kata-kata penuh bermanfaaat dari Ustaz FB. Tapi aku berjanji. Berjanji dengan diri aku sendiri. Pesanan Ustaz FB akan aku pegang. Berjihad di jalan Allah.Sebarkan ilmu di seluruh pelusuk dunia. Allahuakbar! Al-Fatihah untuk Ustaz FB.

TAMAT.

#Jadikan laman sosial sebagai medan dakwah dan jambatan untuk kita kumpul pahala. 



1 comment:

  1. suka cerpen... dan sy copy part kesalahan menutup aurat.. sgt brmanfaat...

    ReplyDelete