JOM FOLLOW

Friday, 15 May 2015

Mencari Si Pelengkap Hati [BAB 12]


DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.


BAB 12


Kepalaku terasa sangat sakit seperti sudah dihempap dengan batu besar. Aku cuba untuk mencelikkan kelopak mata. Berbalam-balam imej di hadapanku. Kabur pandangan mata ni.

Aku pandang ke kanan dan ke kiri. Kepala yang masih berdenyut-denyut aku pegang dan picit perlahan.

Sinar mentari yang silau menyapa ke pelupuk mata aku halang dengan tangan. Aku pandang ke sekeliling. Yakin aku berada di dalam sebuah kereta, aku terus bangun. Ini bukan ke kereta Cikgu Ihsan. Tapi tidak pula aku nampak jasad lelaki itu di dalam kereta ini. Ya Allah, apa yang dah berlaku sebenarnya. Aku kat mana ni?

Otak aku paksa untuk bekerja keras mengingati kembali kejadian yang berlaku sebelum ini. Semalam Cikgu Ihsan meyakinkan aku bahawa dia ingin menghantar aku ke rumah Makcik Kalsom. Namun, dia telah mensia-siakan kepercayaan yang aku bagi. Dia tipu aku hidup-hidup. Dia nak bawa aku lari! Dia tekup mulut aku dengan sapu tangan dan selepas itu…. dia…

Sedar dengan apa yang sudah terjadi, terburu-buru aku membuka pintu kereta. Ya Allah, aku takkan percaya dengan lelaki bernama Ihsan Zuhri itu lagi. Mengapa dia sanggup pengsankan aku? Dia… dia culik aku? Dia memang gila!

Sebaik saja kaki ini menjejak bumi, aku terus pandang keadaan sekeliling. Aku kini berada di halaman sebuah rumah banglo tiga tingkat yang gah terbentang depan mata. Di halaman yang sama, terdapat juga beberapa buah kereta yang lain.

Di mana aku sekarang? Rumah orang kaya mana ni?

Surprise!!!”

Pintu utama dikuak dari dalam. Bergema suara ceria itu menyapaku.

Aku kaget di situ. Ingin melarikan diri namun kaki ini pegun bagai dipasak di bumi.

“Selamat datang, Nuha Huda! Home sweet home!” Seorang wanita sebaya arwah ibu keluar dari barisan ramai itu. Dia melangkah menuruni anak tangga lalu mendekati aku. Sambil tersenyum penuh ceria, didakap tubuh aku erat. Aku kelu.

“Selamat datang, sayang. Jom ikut auntie…”

Tanganku ditarik lembut. Dua orang wanita yang lebih muda turut memimpin tanganku masuk ke dalam rumah. Di situ berdiri juga seorang lelaki tua, seorang wanita lebih tua dan dua orang lelaki muda yang kedua-duanya agak berisi tubuhnya. Mereka semua ni siapa?

“Hisy, mana Ihsan ni. Nuha dah bangun pun. Kamal, pergi panggil Ihsan kejap. Cakap Nuha dah bangun,” arah wanita yang membahasakan dirinya auntie kepadaku tadi.

Mendengar nama Ihsan, yakinlah aku bahawa aku kini berada di rumah keluarga Cikgu Ihsan. Jadi, adakah itu bermakna aku kini berada di Kuala Lumpur? Aku makin tak senang berdiri.

“Jom sayang kita duduk dekat sana.” Tanganku sekali lagi diheret mengikutnya. Kedua-dua wanita muda dan perempuan tua tadi bergerak sama mengikuti kami. Mereka saling berbisik mesra sambil tersenyum-senyum padaku. Tidak pasti pula apa yang lucunya tentang aku di mata mereka.

“Hai, Nuha. Akak, Kak Inas. Kakak sulung Ihsan. Panggil aje akak kak long. Nice to meet you, dik.” Wanita berkulit putih kemerah-merahan yang memperkenalkan dirinya Kak Inas itu menghulurkan tangannya. Lambat-lambat aku menyambut salamnya.

“Akak pulak Kak Irine. Kak ngah Ihsan. Selamat datang, Nuha.” Wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Kak Irine itu juga turut menghulurkan tangannya. Aku menyambut salamnya dengan kaku. Aku kini dikelilingi oleh orang-orang yang cukup asing bagiku. Cukup asing.

“Mak cik pulak Nek Som. Orang gaji dekat sini.” Wanita tua itu menghulur tangannya lalu mendakap tubuhku kejap.

Aku yang bingung dengan keadaan ini hanya mampu mendiamkan diri. Sungguh aku sangat keliru dengan apa yang sedang berlaku.

“Izzah, Nek Som pergi dapur dulu ya. Banyak lagi kerja tak siap,” ujar Nek Som seakan ingin meminta diri.

“Ya, mama. Biar kami tolong Nek Som. Lepas ni bolehlah sambung sembang. Kak ngah dah tak sabar nak tahu kisah Nuha dengan Ihsan. Kan kak long?” Kak Irine bersuara sambil pandang Kak Inas. Mereka saling berbalas anggukan dan senyuman.

“Comel orangnya. Patutlah Ihsan suka,” ucap Kak Inas pula seraya mengusap pipiku. Hampir tercekik aku mendengarnya. Entah apa yang mereka semua ni merepek.

Mereka bertiga akhirnya melangkah ke ruang dapur. Tinggallah aku di situ dengan Auntie Izzah dan seorang lelaki tua mungkin saja lelaki itu suami kepada Auntie Izzah.

Dalam kekeliruan itu aku diajak duduk ke sofa oleh Auntie Izzah. Cukup ramah dia melayani aku. Dah macam kenal lama.

“Sebenarnya tadi auntie dah tak sabar nak borak-borak dengan Nuha tau. Tapi Ihsan cakap Nuha tidur sepanjang perjalanan tadi. Jadi, kami semua kena tunggu Nuha bangun dari tidur dulu. Dia tak bagi auntie kejutkan Nuha.” Auntie Izzah menguntum senyuman. Tanganku digamit-gamitnya mesra.

“Semua tak sabar nak kenal siapa Nuha Huda ni. Manis orangnya. Macam mama masa muda-muda dulu.” Kali ini lelaki tua itu pula yang bersuara. Ceria juga suaranya menegurku.

“Masa muda-muda dulu aje ke mama cantik, papa? Sekarang mama dah tak cantik ke?” soal Auntie Izzah dengan cebikan halus.

“Hisy, muda ke tua ke, mama tetap cantik di mata papa. Kalau tak percaya, belahlah dada ni.” Lelaki tua itu ketawa mengekek-ngekek. Auntie Izzah pula hanya mencebik. Namun, dia turut tertawa.

Aku diam saja. Tidak terlintas walau sedikit di hati ini untuk turut serta dalam gurauan mesra kedua-dua pasangan suami isteri ini.

Yang aku fikirkan saat ini adalah mengapa aku diheret masuk ke dalam keluarga Cikgu Ihsan. Aku dibeli, aku ditipu dan sekarang aku diculik olehnya. Begitu menjengkelkan sikap sebenar Ihsan Zuhri. Sungguh aku tidak sangka dia seteruk tu!

Dan yang lebih menambahkan sakit di hati ini apabila Cikgu Ihsan menipu mama dan papanya kononnya aku tidur lena di sepanjang perjalanan? Tidak! Aku tidak tidur. Tapi aku telah dipengsankan oleh lelaki bernama Ihsan Zuhri itu! Itu hakikatnya!

“Mama, papa…”

Muncul satu suara yang cukup aku kenal dari belakang. Aku terus berpaling dan mataku bertembung dengan anak mata milik Cikgu Ihsan. Melihat lelaki itu tersenyum padaku, buat hati ini makin menjerit penuh benci!

Masih mampu dia tersenyum setelah apa yang telah dia lakukan pada aku?! Aku benci dia!

BERSAMBUNG>>>>>>

#komen ler ^^



1 comment: