Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
“Sampai bila
kita nak macam ni, Syifa? Jangan seksa saya macam ni. Kesabaran saya juga ada
batasnya. Do you really love me, Nurul Syifa Aulia? Do you?”
Kata-kata Zafran terngiang-ngiang di cuping
telingaku. Dek kerana kata-kata itulah akhirnya aku dan dia bertengkar.
Semenjak dua menjak ini makin kerap pula kami bertegang urat. Apa puncanya?
Berpunca daripada satu sebab yang sama.
Zafran. Lelaki yang aku cinta. Telah menjadi
tunanganku selama hampir enam tahun. Lama bukan. Mungkin kerana terlalu lama
menyebabkan kesabaran Zafran makin menipis kini.
Cintaku padanya terlalu dalam. Sungguh aku cintakan
dia sepenuh jiwa ragaku. Aku ingin menjadi miliknya yang sah. Namun ada sesuatu
yang menghalang aku daripada menerima lamarannya. Ada sesuatu yang menyebabkan
aku nekad untuk menangguhkan pernikahan kami. Kini, sudah masuk tahun ke enam
aku dan Zafran bertunang. Status kami masih tetap sama. Sekadar bertunang.
Bukan aku tak berasa bersalah melakukan perkara ini
terhadap lelaki sebaik Zafran. Kadang-kadang kerana terlalu rasa bersalah, aku
pernah memintanya agar mencari wanita lain dan tinggalkan aku. Aku redha dia
mencari wanita lain untuk menumpang kasih. Kerana bagi aku, selagi kasihku
tidak bersatu dengan abang kandungku, aku rasa aku tak mampu nak teruskan hubungan
aku dengan Zafran dengan lebih jauh.
Abang kandungku,Ramadan. Satu-satunya abang yang aku
ada dalam dunia ini. Sayangnya kami terpisah kerana perbuatan kejam seseorang!
Seseorang yang sangat aku benci! Dan aku tak mampu nak maafkan perbuatan lelaki
itu!
Kerana lelaki kejam itulah menyebabkan aku dan Abang
Ramadan terpisah. Sudah berbelas-belas tahun berlalu. Sehingga kini aku masih
gagal untuk menemuinya.
Acap kali terlintas di benakku. Adakah Abang Ramadan
masih hidup dalam dunia ini? Atau adakah abang kandungku itu sudah pun pergi
meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya? Jika ya, tunjukkan aku pusaranya.
Aku perlukan bukti! Aku perlukan bukti yang kukuh yang menyatakan bahawa
Muhammad Ramadan bin Faizal memang sudah meninggal dunia.
Tapi sampai sekarang, aku tak jumpa dengan bukti tu.
Jadi aku hidup dalam pengharapan. Harapanku agar aku bersatu kembali dengan
abang kandungku.
Kerana lelaki kejam yang bernama ayah tiri, Abang
Ramadan dijual tanpa sedikit rasa simpati.
Ayah tiriku, lelaki yang dinikahi oleh ibuku setelah arwah papa
meninggal.
Kerana wang, ayah tiriku sanggup menjual abang
kepada ketua samseng. Dapat saja apa yang diinginkan olehnya, dia terus
menceraikan ibu. Dari mula lagi, aku memang tidak suka dengan ayah tiriku itu.
Walaupun ketika itu aku baru berusia lima tahun, aku faham bahawa aku memang
tak sukakannya. Begitu juga dengan Abang Ramadan.
Pelbagai cara ibu lakukan untuk mencari Abang
Ramadan. Sayangnya Abang Ramadan tidak pernah kami berjaya temukan lagi. Setiap
kali aku teringatkan Abang Ramadan, muncul perasaan benciku pada ayah tiriku
dan muncul juga perasaan marahku pada ibu. Andai ibu tidak mengahwini lelaki
kejam itu, sudah pasti Abang Ramadan takkan berpisah dengan aku! Ibu memang
salah dalam soal ni!
“Syifa…”
Satu suara menyapa jelas ke cuping telingaku. Suara
yang cukup aku kenal. Aku hanya membiarkan sapaan itu berlalu tanpa jawapan.
Air mata yang menitis ke pipi kuseka dengan jari.
“Saya minta maaf, sayang.” Bisikan suara Zafran
menyapa sepi ke tangkai hati.Aku masih tetap diamkan diri sambil berpeluk tubuh
memandang tasik di hadapanku.Setiap kali aku ada masalah, aku pasti akan ke
sini. Dan Zafran pasti akan mencari aku di sini andai kami berdua bertengkar.
“Syifa… Saya tahu saya dah lukakan hati awak. Saya
sepatutnya faham keadaan awak. Maafkan saya. Saya hilang sabar tadi. Maafkan
saya okey?” Zafran berdiri di sebelahku.
Matanya tidak berganjak dari terus menatap wajahku.Segera aku alihkan pandangan
ke lain.
“Dah berulang kali saya cakap dengan awak, Zaf.
Kalau awak tak mampu nak bersabar dengan penantian saya, saya rela untuk
lepaskan awak dari hidup saya. Walaupun saya terlalu cintakan awak, tapi saya
juga tahu awak ingin hidup berkeluarga dan hidup bahagia. Tapi saya tak boleh
berikan semua tu pada awak buat masa sekarang. Saya perlu cari…” Tidak sempat
aku meluahkan isi hatiku, Zafran memotong percakapanku.
“Saya hanya cintakan awak Syifa. Saya hanya nak
kahwin dengan awak. Bukan dengan perempuan lain. Saya sanggup tunggu awak.Dan
saya janji, saya akan tolong awak cari abang awak sampai jumpa. Maafkan saya
pasal tadi. Maafkan saya okey?”
Hela nafasku berlalu berat. Wajah Zafran kutatap
sekilas.
Bagaimana untuk aku tidak mencintai lelaki sebaik
Zafran. Zafran banyak bersabar dengan kerenah aku selama ini. Dia memang
penyabar orangnya. Tapi mungkin hari ini kesabarannya agak tipis. Akhirnya
pertengkaran telah tercetus.
Zafran cukup tahu bahawa aku memang hidup dalam
pengharapan menanti abang kandungku yang sudah terpisah selama berbelas-belas
tahun lamanya. 18 tahun sudah berlalu. Aku masih setia menanti Abang Ramadan.
Dan sesungguhnya penantian itu satu penyeksaan.
Sudah pelbagai usaha yang aku dan Zafran cuba
lakukan. Lelaki itu memang banyak membantuku. Dia juga banyak mengalah dengan
aku. Tekad ku bulat. Selagi aku belum bertemu dengan Abang Ramadan, aku takkan
berkahwin dengan mana-mana lelaki. Kerana aku nak Abang Ramadan yang jadi
waliku.
“Jauh di sudut hati saya, saya yakin abang saya
masih hidup, Zaf. Saya yakin. Saya dapat rasakan. Sempena bulan Ramadan yang
mulia ni, saya tak pernah lupa untuk mendoakan pertemuan kami berdua. Allah
dengarkan doa saya, Zaf? Dia akan makbulkan doa sayakan?”
Suaraku mula bergetar. Tangisan cuba aku tahan
sedaya mungkin. Namun tatkala wajah Abang Ramadan terbayang di mindaku, aku tak
kuat untuk bertahan lagi. Air mata satu persatu menitis ke bumi.
“Jangan macam ni, sayang. Allah pasti akan temukan
awak dengan abang awak. Jangan putus asa. Ingat, awak ada saya untuk selalu
dengan awak. Kita akan sama-sama cari Abang Ramadan. Cepat atau lambat, kita
pasti akan jumpa dengan dia.Yakinlah dengan bantuan Allah, Syifa. Allah tidak akan membebani seseorang
melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
Kata-kata semangat yang dihadiahkan oleh Zafran
sedikit sebanyak buat hati kecilku berasa tenang. Ya, Allah takkan membebani
hambaNya melebihi kesanggupan hambaNya. Aku yakin Dia pasti akan pertemukan aku
dengan abang kandungku. Aku takkan berputus asa. Aku takkan!
*******
“Syifa, baru balik ke nak?” Sebaik saja aku
melangkah masuk ke ruang tamu, aku disapa oleh suara ibu.
Ibu menghampiriku lalu mendakap tubuhku perlahan.
Pipiku dikucup kiri dan kanan. Namun, sayangnya aku langsung tidak memberi
tindak balas apa-apa. Aku masih berjauh hati dengan ibu.
“Sampai bila Syifa nak macam ni, sayang. Ibu dapat
rasakan semenjak dua menjak ni hubungan kita berdua makin renggang. Syifa masih
marahkan ibu ke? Hmm?”
Kutatap muka ibu lama. Mata ibu mula berkaca mungkin
sedang menahan perasaan hibanya.Aku tahu aku dah berdosa kerana melayan ibu
seperti ini. Tapi aku tak mampu nak menidakkan perasaan kecewaku terhadap ibu.
“Syifa tak nak cakap pasal hal ni lagi. Syifa naik
dulu.” Aku mula melangkah. Namun tidak sempat kakiku menapak ke kaki tangga,
suara ibu kedengaran sayu memujukku.
“Maafkan ibu sayang. Ibu mengaku, ibu memang salah.
Salah ibu sebab terlalu percayakan arwah. Ibu kesal dan menyesal dengan apa
yang dah terjadi. Tapi arwah dah tiada sayang. Dia mungkin dah terima hukuman
dia yang setimpalnya. Terimalah kemaafan ibu. Ibu juga terlalu sayangkan, rindukan
Ramadan. Ibu tak pernah berhenti berdoa, Syifa. Ibu berharap sebelum ibu
menutup mata, ibu dapat bertemu semula dengan Ramadan dan minta maaf dengan dia
atas segala-galanya. Ibu rindukan anak
ibu….”
Aku palingkan kepala ke belakang memandang ibu. Ibu
sudah pun terjelepuk jatuh ke lantai sambil menangis teresak-esak. Sepantas
kilat aku mendapatkan ibu lalu kudakap tubuh ibu erat. Ya Allah, aku sudah
menjadi anak derhaka kerana telah membuat ibuku menangis.
“Maafkan Syifa, bu. Maafkan Syifa.” Hanya itu yang
terluah di bibirku. Aku tahu, aku juga bersalah kerana terlalu kejam melayan
ibu seperti ini. Sedangkan hakikat yang sebenar-benarnya, semua yang berlalu
adalah atas kehendak Allah. Jika aku mempertikaikannya, maka tak ubah seperti
aku mempersoalkan takdir Allah! Ya Allah, ampunkan aku.
*******
Wajah ibu sedang ketiduran kutatap lama. Kuusap
perlahan ubun-ubun ibu. Lantas, dahinya kukucup hangat.
Hatiku kini mula rasa tenang. Aku dan ibu sudah
meluahkan isi hati kami masing-masing. Segala apa yang aku pendamkan selama
ini, aku luahkan pada ibu. Sebelum ini, aku cuba untuk hindarkan diri dari ibu.
Kerana perasaan marahku padanya, buat hubungan kami dingin dan sepi.
Semuanya kerana aku kecewa atas kehilangan Abang
Ramadan.
Abang, Syifa rindukan abang. Pulanglah abang. Syifa
dan ibu tak pernah lupakan awak. Hatiku berbisik kesayuan. Memoriku dengan
Abang Ramadan satu persatu bermain di benakku.
Aku masih ingat, ketika aku berusia lima tahun dan
Abang Ramadan berusia sepuluh tahun, ibu dan papa membawa kami sekeluarga
bersolat hari raya di sebuah surau kecil yang terdapat di kampung lama papa.
Kata papa, di kampung itulah dia dilahirkan dan dibesarkan. Setiap lebaran,
kami pasti akan ke sana. Selain solat, papa juga membawa kami ke pusara arwah
ibu bapanya.
“Tak mungkin abang ada…” Tiba-tiba satu kemungkinan
menerjah di fikiranku.
Mungkinkah Abang Ramadan dapat kutemui di kampung
lama papa? Tapi abang kenal ke jalan nak ke sana? Dan mungkin saja arwah ayah
tiriku sudah menjual abang jauh di negeri lain. Mungkin Abang Ramadan sudah
lupa surau lama itu. Tapi kalau aku tak cuba cari dia di sana, aku mungkin akan
menyesal untuk seumur hidupku. Tak! Aku tak nak menyesal di kemudian hari. Aku
akan cari Abang Ramadan di sana. Ibu pasti masih ingat alamat sebenar kampung
papa. Esok aku akan memulakan pencarianku! Ini adalah bantuan dari Allah.
Pertolongan Allah sudah tiba!
******
Keesokan harinya,tepat jam tujuh pagi aku sudah
keluar dari rumah menuju ke kampung lama papa.Ya Allah, kenapa selama ni aku
tak pernah fikir tentang perkara ni. Bodohnya aku!
Ibu cakap, dia juga tidak terfikir tentang kampung
lama papa.Kerana sudah terlalu lama papa tinggalkan kampung itu. Entah wujud atau tidak lagi kampung lama papa itu.
Tapi sinar harapan kembali hidup dalam hati aku. Aku
gembira kerana keberangkalian untuk bertemu semula dengan abang kandungku
kembali bernyawa. Setiap petunjuk yang ada, tidak mungkin akan aku sia-siakan!
Aku ada menelefon Zafran memberitahunya mengenai
berita gembira ini. Sayangnya Zafran tak boleh temani aku untuk sama-sama
mencari Abang Ramadan di kampung lama papa. Dia harus ke Bangkok selama
seminggu atas desakan kerja. Tapi dia janji, dia akan cepat-cepat selesaikan
kerjanya dan tolong aku cari Abang Ramadan di sana. Terima kasih Zafran. Awak
selalu ada untuk saya.
Kereta yang aku pandu mula bergerak perlahan. Alamat
yang ibu bagi, aku baca dengan teliti. Kalau ikutkan signboard di tepi jalan,
aku sudah masuk ke kawasan Kampung Jati, kampung lama arwah papa. Langkah
seterusnya adalah untuk mencari surau lama yang pernah kami sekeluarga singgah
dulu. Masihkan ada surau tu?
Sejujurnya, memori aku tentang kampung ini kosong.
Yang aku ingat hanya kami pernah solat raya di sini dan ke makam datuk nenekku.
Itu saja.
“Ya Allah, permudahkan jalanku. Bantu aku, ya Allah…”
Terpandang saja sebuah warung kecil terletak di
seberang jalan, segera aku berhentikan kereta. Aku keluar dan berjalan ke arah
warung usang itu. Ada orang kampung di situ yang sedang lepak. Sedang main dam.
Aku harap mereka dapat bantu aku.
“Assalamualaikum, pak cik.” Sapaku agak ramah.
Dua orang pak cik tua yang sedang kusyuk bermain
dam, segera menjawab salamku. Mereka memandangku penuh kebingungan. Cepat-cepat
aku kenalkan diri.
“Maaf mengganggunya ya, pak cik. Saya sebenarnya
tengah cari arah surau lama kat kampung ni. Saya perlu ke sana. Macam mana saya
nak ke sana ya?” Soalanku buat kedua-dua pak cik tua itu saling berpandangan
sesama mereka. Salah seorang daripada mereka bangun.
“Surau lama kampung ni? Oh, surau tu dah dirobohkan.
Dah bina masjid dah sekarang.” Lega. Sekurang-kurangnya aku dapat jawapan yang
aku inginkan. Ternyata tapak surau tu bakal aku temui.
“Boleh tunjukkan saya di mana masjid tu, pak cik?” Aku
bertanya sambil tersenyum. Hati mula tak sabar nak bertemu dengan Abang
Ramadanku di sana. Harap abang ada di sana menantiku.
Pakcik berkopiah putih itu garu kepala perlahan. Dia
menoleh ke belakang bermain mata dengan sahabatnya.
“Erm, ikut pak cik. Mari pak cik tunjukkan. Anak ni
nak cari siapa? Pak cik tak pernah tengok anak kat kampung ni sebelum ni.” Pak
cik yang baik hati itu mengajak aku mengikutnya mendapatkan motosikalnya. Pak
cik yang sorang lagi ditinggalkan di situ seorang diri.
“Saya cari abang saya,pak cik. Abang kandung saya.”
Aku cuba menahan getar suaraku. Sungguh aku sebak saat ini. Aku dapat rasakan
penantianku selama ini bakal terbalas.
“Oo… nama apa?” tanya pak cik itu sambil
menyarungkan topi keledar. Baru saja aku nak jawab, pak cik itu terus
menghidupkan enjin motosikalnya. Mungkin menyebabkan dia tidak dengar nama yang
aku sebutkan tadi.
“Dah jom. Mari pak cik tunjukkan masjid tu. Kat sana
nanti pak cik kenalkan kamu dengan Imam Hasan. Dia mungkin dapat tolong kamu.”
Aku angguk laju dengan arahan pak cik tanpa nama itu. Cepat-cepat aku melintas jalan yang lengang
tanpa kenderaan lalu lalang. Aku segera masuk ke dalam kereta lalu mengikut
motosikal pak cik baik hati itu dari belakang.
Beberapa minit memandu, keretaku dipandu masuk ke
perkarangan masjid. Masjid yang suram tanpa pengunjung, aku tatap lama. Sempat
aku kerling ke sekeliling kawasan. Di sinikah tapak lama surau yang pernah aku
kunjungi dulu?Ah… sungguh aku tak ingat.
“Rumah Imam Hasan kat belakang masjid ni. Pak cik
boleh tolong kamu sampai sini aje. Kamu pergi jumpa dengan imam sendiri ya.”
Aku agak pelik dengan sikap pak cik baik hati itu. Seakan-akan kurang mesra
apabila bercakap tentang Imam Hasan. Kenapa pula?
“Terima kasih pak cik. Takpe saya akan jumpa dengan
Imam Hasan sendiri. Terima kasih sekali lagi pak cik.” Ucapku seraya menguntum
senyuman. Pak cik itu membalas senyumanku seadanya. Sempat kepalanya
terjenguk-jenguk memandang ke sekeliling. Serentak itu enjin motornya
dihidupkan dan dia mula meninggalkan aku di situ sendirian.
Aku keluar dari kereta. Aku berdiri memandang ke
arah masjid warna biru yang tersergam indah di hadapan mata. Bulan puasa macam
ni takkan penduduk kampung tak mengimarahkan masjid pula. Tiada aktivitikah
yang dianjurkan oleh pihak masjid? Erm, aku tak nak buat sebarang kesimpulan.
Ini bukan kampung aku.
Kaki mula kuatur menuju ke belakang masjid. Hati tak
semena berdegup-degup menahan debar.Ya Allah, adakah sudah sampai ketikanya aku
bertemu dengan Abang Ramadan? Andai Abang Ramadan benar-benar berada di sini,
aku akan pastikan aku akan ajak dia ikut aku balik dan jumpa dengan ibu. Kami
takkan terpisah lagi!
Tertinjau-tinjau aku melihat sebuah rumah usang yang
terdapat di belakang masjid.Sebuah rumah yang cukup usang dan hampir nak roboh.
Ya Allah, takkan seorang imam tinggal di rumah usang seperti ini. Mungkin Imam
Hasan seorang imam yang zuhud.
Hatiku makin tak sabar untuk menemui Imam Hasan.
Namun suasana sepi kawasan rumahnya buat aku naik seram pula. Mujurlah kawasan
rumah itu bersih dan kemas tanpa ditumbuhi belukar. Kalau tak, makin seram aku
dibuatnya.
“Assalamualaikum…” Salam kulaungkan kuat.
“Assalamualaikum….” Beberapa minit berlalu, salamku
masih tidak bersambut. Dengan langkah berani, aku melangkah masuk ke halaman
rumah Imam Hasan. Aku berdiri di kaki tangga dan memberi salam yang ketiga.
“Assalamualaikum….”
Macam tiada orang saja di rumah usang ini. Ke
manakah Imam Hasan pergi? Kutilik jam di pergelangan tangan. Sudah jam 1
petang. Bukankah sepatutnya waktu dekat-dekat nak Zuhur seperti ini imam masjid
harus berada di masjid. Penduduk kampung juga sepatutnya sudah berpusu-pusu ke
masjid untuk solat jemaah. Ini tidak,suram sekali keadaan masjid ini.
“Assalamualaikum…” Aku bagi salam lagi. Dan
akhirnya, salamku terjawab.
“Waalaikumusalam…” Segera aku palingkan badan ke
belakang. Berdiri di hadapanku seorang pak cik tua yang berserban dan berjubah
putih. Matanya merah seperti saga memandangku.
“Maaf menganggu, pak cik. Saya Syifa. Saya cari Imam
Hasan. Dia ada ke?” Aku cuba tersenyum. Namun senyumanku tidak disambut mesra
oleh pak cik berjubah putih itu.
“Aku Imam Hasan. Kenapa kau cari aku?” Aku agak
terpana mendengar suara Imam Hasan. Kenapa agak kurang mesra suara pak cik di
hadapanku ini.
Jadi dialah Imam Hasan yang aku cari. Ya Allah, aku
berharpa sangat Imam Hasan dapat tolong aku menemui Abang Ramadanku.
“Saya perlukan bantuan dari pak cik. Saya harap
sangat pak cik dapat tolong saya.” Imam Hasan bergerak ke arahku. Cepat-cepat
aku bergerak ke tepi memberi lelaki tua itu ruang berjalan melintasiku.
Dia duduk di kaki tangga. Wajahku sedikit pun tidak
dipandangnya.
“Kau nak aku tolong apa?” tanya Imam Hasan agak
keras.
Aku telan liur. Kuatkan semangat aku ya Allah.
“Err… saya… saya nak cari abang saya. Nama dia… nama
dia Ramadan. Boleh pak cik tolong saya cari dia.” Sebaik saja aku habis
bersuara, Imam Hasan angkat muka memandang tepat ke anak mataku. Sungguh aku tak mampu nak balas renungan
matanya. Tajam. Seram aku dibuatnya.
“Siapa yang kau cari tadi?” Imam Hasan bangun.
Suaraku makin serius dan lantang.
“Ramadan, pak cik. Muhammad Ramadan.” Walaupun aku
sudah kecut perut namun melihat Imam Hasan seakan-akan berminat dengan si
pemilik nama Ramadan itu sudah cukup buat aku gembira. Peluang untuk aku
bertemu dengan Abang Ramadan makin cerah!
“Buat apa kau cari dia? Hah?” Pertanyaan dari Imam
Hasan buat aku pandang mukanya tanpa berkelip.Ya Allah, adakah Imam Hasan kenal
dengan Abang Ramadan? Jadi benar Abang Ramadan tinggal di kampung ini?
“Di mana dia sekarang, pak cik? Tolong bawa saya
jumpa dengan dia. Saya merayu,pak cik. Temukan saya dengan dia.” Tak semena air
mata ku menitis ke pipi. Alhamdulillah Tuhan akhirnya mengabulkan doaku dan doa
ibuku. Ternyata Abang Ramadan masih hidup.
“Betul kau nak jumpa dengan dia?” Imam Hasan bangun
lalu berdiri membelakangi ku. Air mukanya mula berubah.Sayu.
“Betul, pak cik.Lapan belas tahun saya cari dia. Dia
abang kandung saya. Saya terlalu rindukan dia. Tolong pertemukan saya dengan
dia,pak cik.” Ya Allah, dapat aku rasakan aku makin hampir dapat bertemu dengan
abang kandungku.Abang, tunggu adik…
“Aku baru balik jumpa dia tadi. Sebelum aku bawa kau
jumpa dia, baik kita solat Zuhur dulu. Minta pada Allah agar hati kau dapat
terima apa saja keadaan yang bakal kau hadapi nanti. Mari. Lepas solat nanti,
aku bawa kau jumpa dengan dia. Aku janji.” Imam Hasan melangkah menuju ke
masjid. Aku terpinga-pinga di situ cuba memahami maksud sebenar Imam Hasan.
*********
Selesai saja kami solat Zuhur berjemaah, Imam Hasan
mengotakan janjinya. Namun, terdetik juga di hatiku, kenapa hanya beberapa
orang penduduk kampung yang hadir ke masjid tadi. Jemaah perempuan hanya aku
seorang saja. Ada masalah apa sebenarnya ni?
“Kau dah bersedia nak jumpa dengan Ramadan?” soal
Iman Hasan sebaik saja kami berhenti di persimpangan jalan.
“Dah lama saya bersedia, pak cik.” Aku jawab dengan
sejujurnya. Imam Hasan angguk kepala sekali. Dia bersuara lagi.
“Mari ikut aku.” Imam Hasan meneruskan lagi
langkahnya. Aku ikut tanpa kata. Kenapa aku makin berdebar. Adakah Abang
Ramadanku baik-baik saja? Entah macam mana muka abang sekarang. Kami terpisah
ketika kami masih kecil. Adakah makin meningkat dewasa, Abang Ramadan makin
kacak? Ya Allah, aku tak dapat nak gambarkan perasaan aku saat ini. Sungguh aku
terlalu gembira.
Beberapa minit berjalan, Imam Hasan menghentikan
langkahnya di hadapan sebuah kawasan perkuburan. Jantungku saat itu bagaikan
terhenti berdenyut.
Badanku mula menggigil. Apa tujuan Imam Hasan bawa
aku ke sini? Di sinikah aku bakal menemui Abang Ramadanku? Ya Allah… tak
mungkin abang aku dah…
“Ramadan satu-satunya anak yang aku ada dalam dunia.
Di saat aku kehilangan isteri dan anak kandungku buat selama-lamanya, Allah
menghadirkan seorang budak lelaki untuk aku. Aku yakin Allah menginginkan aku
untuk melindungi anak kecil tu. Bila dia dah besar, dia pula yang menjaga aku.
Tapi sekarang, dia dah takde. Aku sudah kehilangan seorang anak yang cukup baik.”
Imam Hasan melangkah masuk ke kawasan perkuburan. Di
satu pusara yang masih tanahnya merah kebasahan, dia berdiri di situ sambil
menadah tangan.Dan aku yakin di situlah bersemandinya abang yang selama ni aku
cari.
Kakiku lemah untuk berdiri. Akhirnya aku terjelepuk
jatuh di situ. Air mata makin lebat menitis.Jiwaku terasa sesak. Bagai ditikam
seribu kali. Ya Allah, apa semua ni.Bukan ini yang aku harapkan. Tak mungkin.
Tak mungkin Abang Ramadan dah takde!
Penuh lemah, aku cuba berdiri. Beberapa kali
mencuba, barulah aku dapat stabilkan diri untuk berdiri. Kuatur langkah satu
persatu penuh lemah mendapatkan Imam Hasan. Mungkin bukan jasad Abang Ramadan
yang bersemadi di situ. Tak… Aku tak percaya….
Melihat pusara yang makin jelas terpampang di depan
mata, buat aku sekali lagi terduduk di situ. Yang mampu aku lakukan hanya satu.
Aku hanya mampu menangis. Takdir apa yang cuba Allah berikan pada aku. Bukan
ini yang aku harapkan!
“Muhammad Ramadan tak pernah lupakan adik dan ibu
tercintanya. Aku cuba bantu Ramadan cari keluarga kandungnya. Dia masih hidup
dalam harapan hingga ke hujung nyawanya. Dia berharap agar keluarga kandungnya dapat
mencarinya di sini. Setiap hari dia akan menunggu keluarga kandungnya datang mengambilnya
di sini.”
Penjelasan dari Imam Hasan cuba aku hadapi dengan
tabah. Tak mungkin. Masih sukar untuk aku percaya dengan hakikat ini. Mungkin
yang bersemadi sekarang bukan Abang Ramadan aku. Pasti Ramadan lain. Bukan
Muhammad Ramadan yang aku cari!
“Nurul Syifa Aulia. Itu nama adik kesayangannya.
Segala memori indah yang pernah tercipta antara dia dan adiknya, Ramadan
ceritakan semuanya pada aku. Bila dia sebut nama kau, dia akan sangat gembira.”
“Abang… abang…” Kugengganm erat batu nisan yang
tertera nama abangku di situ. Muhammad Ramadan bin Faizal. 12 Ogos 1985 – 12
Julai 2013.
12 Julai? Itu bermakna….
“Arwah meninggal dua hari yang lalu. Meninggal
kerana kemalangan jalan raya. Allah lebih sayangkan dia. Kehilangan dia dirasai
oleh seluruh penduduk kampung ni. Biasanya dialah yang jadi imam di masjid tu.
Tapi sekarang bila dia dah takde, masjid mula jadi suram. Dan aku… hari-hari
aku datang sini ‘temankan’ dia. Aku tahu dia takde siapa-siapa selain aku. Tapi
sekarang dia dah ada kau. Kau temankanlah dia. Aku nak balik dulu. Aku… aku
kena bagi kambing aku makan. Biasanya Ramadan yang buat semua kerja tu. Aku… Aku…”
Imam Hasan terus berlalu pergi dengan suara
sebaknya. Aku yakin, lelaki tua itu cukup terasa kehilangan Abang Ramadan.
Pasti hubungan mereka terlalu akrab.
Dan aku… aku tahu aku harus menerima hakikat bahawa
pusara yang berada di hadapan aku sekarang memang milik abang kandungku. Cerita
yang Imam Hasan sampaikan cukup meyakinkan aku.
Ya Allah, kenapa Engkau tidak memberi peluang pada
aku untuk bertemu dengan abang kandungku? Aku terlalu rindukan dia. Aku tak
pernah berhenti mencari dia. Ya Allah, kenapa Kau buat aku macam ni.
“Abang… abang… adik… adik dah jumpa abang. Akhirnya
adik jumpa abang.” Aku cuba untuk berkata-kata. Namun, kerongkong terasa
tersekat.
‘Abang, ni adik. Adik datang nak jemput abang balik. Tapi adik
terlambat. Adik minta maaf sebab terlalu lambat datang ‘ambil’ abang. Maafkan
adik sebab buat abang menunggu terlalu lama. Maafkan adik, abang. Maafkan ibu
juga. Kami berdosa dengan abang. Abang… adik nak jumpa abang. Abang kembalilah.
Bagilah adik peluang nak tatap wajah abang. Sekejap pun jadilah. Adik nak
dengar suara abang. Adik nak peluk abang. Adik rindukan abang. Abang Ramadan….
Adik… adik…’
Kurebahkan diri ke pusara arwah. Jadi ini takdir
kami berdua. Akhirnya kami bertemu juga. Tapi sayangnya kami takkan pernah
dapat bersama-sama lagi.
*******
Foto gambar arwah Abang Ramadan aku pegang kemas.
Tidak kualihkan pandanganku walau seinci dari menatap wajah Abang Ramadan.
Kacak. Sedang mata memandang. Tenang hati yang
melihatnya. Jadi ini wajah Abang Ramadan bila dah dewasa.
Pulang saja aku dari tanah perkuburan, aku segera
kembali ke rumah Imam Hasan. Aku meminta keizinannya untuk masuk ke dalam bilik
arwah. Dan aku ingin sekali melihat wajah Abang Ramadanku.
Imam Hasan yang memahami keadaanku hanya
mengizinkan. Diberikan aku olehnya sekeping foto lama. Gambar yang diambil pada
raya tahun lepas. Mengingatkan hakikatnya bahawa kami tidak akan pernah dapat
menyambut hari raya bersama-sama lagi, buat aku menangis lagi.
Kini, aku berada dalam bilik arwah abangku. Perasaan
sedih menyapa hebat ke tangkai hati. Masih sukar untuk aku menerima kenyataan
ni. Orang yang selama ini aku nanti-nantikan akhirnya telah aku temui namun
sayangnya dia telah pergi meninggalkan aku buat selamanya. Tanpa dapat aku
kucup tangan, dakap tubuhnya dan nyatakan… aku sayang padanya… dia kini sudah
tiada lagi di dunia ini.
‘Abang… maafkan adik…’ Suara hatiku hanya mampu
berbisik hiba.
Sebuah diari kecil yang terdampar sepi di atas meja
aku ambil perlahan. Mungkinkah ini diari milik arwah Abang Ramadan? Adakah di
dalam diari ini aku dapat mengenali dan merasa kehadiran Abang Ramadan?
Perlahan-lahan kubelek helaian diari yang pertama.
Kosong tanpa tulisan. Masuk helaian kedua, tertulis tiga baris nama di helaian
itu.
Hayati binti
Hamdan (Ibu)
Nurul Syifa
Aulia (Adik)
Muhammad Ramadan
(Aku)
Tangisanku makin tidak terbendung. Ternyata Abang
Ramadan tak pernah melupakan aku dan ibu. Satu persatu isi hati arwah aku baca
dengan hati yang cukup berat.
Hari ni genap
usiaku 15 tahun. Ayah belikan aku sebuah buku diari. Kata ayah, aku boleh
meluahkan isi hatiku di dalam diari ini. Tulislah apa saja yang aku nak tulis.
Luahlah apa saja yang aku nak luah. Di sini aku bebas.
Aku hanya nak
tulis doaku. Doa yang selalu aku panjatkan pada Ilahi. Aku tak pernah lupa nak
baca doa ni selepas aku selesai solat.
“Ya Allah,
hanya kepadaMu tempat aku meminta. Kau pertemukanlah aku dengan adik dan ibu ku
semula. Aku terlalu rindukan mereka, ya Allah. Izinkanlah kami bertiga bersatu
kembali. Aku sayang mereka.”
Bacaanku terhenti di situ. Aku cuba bertenang
setelah membaca doa tulus dari arwah. Abang Ramadan tak pernah lupakan kami
seperti mana kami tidak pernah lupakan dirinya.
Aku masih
ingat, ketika aku dibawa keluar oleh ayah tiriku dari rumah kami. Ayah cakap
dia nak ajak aku ke kedai mainan. Tapi setibanya kami di sana,ayah menyerahkan
aku kepada dua orang lelaki yang sangat bengis wajahnya. Aku cuba melepaskan
diri tapi aku dipaksa keras untuk masuk ke kereta.Aku di bawa ke sebuah rumah
teres usang.
Di sana
terdapat ramai anak-anak seusia ku. Kami diberikan sebuah mangkuk kosong dan
dipaksa untuk mengemis. Aku dihantar oleh dua lelaki jahat itu ke restoran dan
pasar malam. Aku perlu mengemis untuk
terus hidup.
Satu tahun
berlalu, aku tidak mampu nak bertahan lagi. Akhirnya aku nekad untuk larikan
diri. Alamat rumah lamaku masih segar diingatan. Aku ke sana dengan hati yang
cukup gembira. Aku pasti ibu dan adik pasti sedang menantiku.Namun, bila aku ke
sana rumah kami sudah kosong tanpa penghuni. Aku tidak tahu ke mana perginya
ibu dan adikku.
Bacaan ku terhenti lagi.
Jadi, Abang Ramadan ada kembali ke rumah lama kami? Ya
Allah…
Ya memang aku dan ibu sudah tidak tinggal di situ
lagi. Setelah bercerai dengan ayah tiriku, ibu membawa aku ke Sabah. Kami
tinggal di sana hinggalah aku dewasa. Dua,tiga tahun sejak kebelakangan ini
barulah aku dan ibu pulang ke Semenanjung.
Kecewa dengan
ibu dan adik, aku bawa diri ke sebuah kampung. Kampung lama papa yang pernah
aku kunjungi setiap hari raya tiba. Di
sana ada sebuah surau yang dapat aku berteduh. Di sanalah aku bertemu dengan
Ayah Hasan. Seorang Imam yang sangat baik hati.
Aku akhirnya
dibesarkan oleh Imam Hasan.
Meningkat
dewasa, perasaan rinduku pada ibu dan adik makin membuak-buak. Pernah terlintas
di fikiranku, mungkinkah ibu dan adik masih mencari aku? Atau adakah mereka sudah
melupakan aku?
Aku ingin
kembali ke rumah lama kami, tapi aku sudah lupa akan alamatnya. Akhirnya, aku
hanya mampu melupakan niatku. Aku hanya mampu menunggu ada seseorang yang akan
datang ke kampung ini mencariku. Mungkinkah aku bakal bersatu semula dengan
adik dan ibuku?
Aku tidak mampu lagi meneruskan bacaanku. Perasaan
bersalah bertimpa-timpa ke dasar hati. Abang Ramadan memang menanti
kedatanganku. Ya Allah, kenapa aku terlalu lambat memikirkan kampung ini. Andai
aku ingat kampung ni dari awal sudah pasti aku dapat bersatu dengan Abang
Ramadan dari dulu lagi.
Hari ni dah
masuk 16 Ramadan. Aku bersyukur kerana aku masih dipanjangkan usia oleh Allah
untuk melalui bulan Ramadan pada tahun ini bersama-sama Ayah Hasan.
Tapi semenjak
dua menjak ni hati aku rasa lain macam. Aku dah lama tak rasa gelisah macam ni.
Hati aku berdebar-debar bagai menanti seseorang. Adakah itu satu petunjuk dari
Dia? Siapa agaknya yang bakal aku jumpa selepas ini? Adakah ibu atau adik
kesayanganku, Syifa? Aku harap di bulan yang mulia ini, Allah mengabulkan doa aku.
Aku nak sangat jumpa dengan ibu dan adik sebelum aku pergi. Aku rindu mereka
berdua.
Ya Allah,
pertemukanlah aku dengan ibu dan adikku. Aku terlalu rindukan mereka, ya Allah…
Ibu, Ramadan
tak pernah salahkah ibu dengan apa yang dah berlaku. Semua ni takdir Ramadan.
Kita terpisah kerana Allah yang menginginkan perkara ini terjadi. Ramadan
redha.
Adik, Abang
Ramadan sayang sangat kat adik. Entah macam manalah muka adik sekarang ya. Abang harap adik dapat jaga
ibu baik-baik. Sayang ibu dan jangan lukakan hati dia. Kerana ibu, kita ada di
dunia ni, dik.
Ibu, adik….
Ramadan tunggu kalian jemput Ramadan di sini. Ramadan akan setia menanti kalian
di sini. Andai Allah memang tidak mengizinkan kita bertemu di dunia, Ramadan
yakin Allah pasti akan menemukan kita di Syurga nanti. Ramadan tunggu ibu dan
adik di sana…
Hati aku makin hancur luluh. Kata-kata terakhir yang
tertulis pada diari Abang Ramadan seakan-akan arwah sudah tahu waktunya sudah
makin dekat.
Apa lagi yang mampu aku katakan. Biarlah hanya
kesedihan yang berkata-kata.
Ya Allah, Kau pertemukanlah aku dan ibu dengan Abang
Ramadan di SyurgaMu kelak. Aku benar-benar ingin menemuinya, ya Allah…
*********
Tiga tahun kemudian…
“Assalamualaikum abang… Adik dah datang…” Aku duduk
ke kerusi sambil menadah tangan membaca surah Al-Fatihah untuk arwah.
“Abang, hari ni adik datang dengan suami adik.
Zafran…” Kudongakkan muka memandang wajah Zafran yang tersenyum padaku. Aku
turut tersenyum pada lelaki yang sudah sah menjadi suamiku.
1 Syawal tiba lagi. Akhirnya dapat juga aku
menyambut hari lebaran bersama dengan abang kandungku. Walaupun kami terpisah
oleh dua alam yang berbeza, tapi Abang Ramadan tak pernah hilang dari
ingatanku.
Tiga tahun sudah berlalu semenjak aku dapat tahu di
kampung ini bersemadinya jasad arwah abangku. Tiga tahun aku ambil masa untuk
benar-benar kuat menerima hakikat yang sudah terbentang jelas di depan mata.
Abang Ramadan memang takkan kembali lagi ke dunia
ini. Itu hakikat yang nyata.
Diari kecil peninggalan arwah aku berikan pada ibu.
Ibu juga seperti aku. Menyimpan perasaan bersalah yang menggunung pada arwah.
Tapi kata-kata terakhir abang, buat aku tidak mahu lagi menyalahkan sesiapa
saja dalam hal ini.
Semua ini adalah takdir dari Ilahi. Kami terpisah
kerana Dia yang menginginkannya berlaku. Dan sikapku yang selama ini marah
dengan ibu atas yang berlaku amat-amat aku kesali. Seharusnya aku mengerti
bahawa ibu juga tidak pernah menginginkan perkara ini terjadi pada anak
kandungnya itu.
Aku akan pegang wasiat arwah Abang Ramadan selagi
nyawa dikandung badan. Aku akan jaga ibu baik-baik. Aku takkan kecewakan hati
ibu lagi. Dan aku redha dengan apa yang sudah terjadi.
Maka sebab itu aku tidak mahu menangguhkan
perkahwinanku dengan Zafran lagi. Aku terima lelaki itu menjadi suamiku yang
sah. Aku cintakan dia. Hanya dia satu-satunya lelaki yang aku ada kini.
“Abang… abang perlu sesuatu. Adik tak pernah lupakan
abang walau sedetik. Abang selalu ada dalam ingatan adik. Adik terlalu
sayangkan abang. Walaupun kita tak membesar bersama, abang adalah abang adik
dunia dan akhirat. Abang tunggu adik kat sana ya… Adik dan ibu pasti akan
menyusul nanti…” Air mata cuba aku tahan. Aku tidak ingin lagi menangis atas
apa yang sudah terjadi.
Saat itulah dapat aku rasakan bahuku dipegang
seseorang. Zafran duduk di sebelahku sambil mendakap tubuhku seketika. Aku
akhirnya menangis juga dalam pelukannya. Tak mampu lagi nak bertahan walau
sedetik cuma.
“Saya janji Abang Ramadan. Saya janji saya akan jaga
adik abang dan ibu abang dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab. Saya
takkan sia-siakan mereka. Itu janji saya…” Janji yang dilafazkan oleh Zafran
buat aku makin erat memeluknya. Aku yakin Zafran pasti akan mengotakan
janjinya.
Beberapa minit berada di situ, akhirnya kami mula
melangkah meninggalkan pusara arwah. Sebelum aku menapak keluar dari kawasan
perkuburan itu, sempat aku menoleh ke belakang ‘menatap’ Abang Ramadan untuk
kali yang terakhir.
Di tepi pusara arwah, terlihat jelas di mataku
seorang lelaki berpakaian serba putih berdiri di situ sambil tersenyum mesra
kepadaku. Dia adalah Abang Ramadanku. Walaupun itu hanyalah khayalanku, itu
sudah cukup buat hati kecilku dilanda rasa bahagia.
‘Selamat hari raya Abang Ramadan. Ramadan yang aku
cari, kini telah aku temui… Sayangnya, kita takkan pernah dapat bersatu lagi…’
TAMAT.
*MARHABAN YA RAMADHAN KAREEM. AYUH PERTINGKATKAN AMAL DI BULAN RAMADAN YANG MULIA INI. RAMADAN IS THE BEST TIME TO MAKE OR BREAK A HABIT!
teringat kat empt2 org abg saya. aduhai,xsnggup kehilangan mereka :(
ReplyDelete:) Moga abang2 aina dipanjangkan usia dan dimurahkan rezeki..
Delete