JOM FOLLOW

Monday, 8 September 2014

Suami Pilihan Dia [bab 10]




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


BAB 10


Demi perasaan sayangku pada Syamil, akhirnya aku terpaksa juga mengikutnya pulang ke rumah agam milik Tuan Adam. Hampir sebulan aku tidak munculkan diri di rumah itu. Perasaan malu makin hebat menyapa ke tangkai hati. Rasa takut dihina makin menghimpit sanubari. Tabahkan hatiku ya Ilahi.

“Assalamualaikum….” Syamil memberi salam sebaik saja kami tiba di depan muka pintu. Syamil memandang ke arahku. Lelaki itu tersenyum mesra. Senyuman itu amat-amat aku rindukan.

“Jom masuk Leen. Mama dan papa pasti akan gembira menerima kehadiran Leen.” Aku cuba menahan perasaan sedih yang melanda jiwa. Gembirakah mereka bertemu dengan aku lagi?

Akhirnya kami berdua sama-sama melangkah ke ruang tamu. Yang mengejutkan aku ruang tamu yang selama ini penuh dengan hiasan perabot kali ini kelihatan kosong tanpa apa-apa. Bukan. Ada sesuatu yang buat hatiku makin berdebar.

Suasana ruang tamu itu masih tidak berubah. Masih sama seperti sebulan yang lalu di saat aku keluar dari rumah ini sehari sebelum majlis akad nikahku dengan Syamil.

Pelamin putih yang dihiasi dengan bunga-bungaan segar masih tersergam indah di tepi dinding. Hantaran kedua-dua belah pihak tersusun kemas di atas lantai. Apakah makna semua ini?

“Leen…”  Aku segera berpaling ke belakang. Di kaki tangga berdirinya Puan Shimah dan Tuan Adam. Puan Shimah lebih dulu meluru ke arahku. Sekelip mata tubuhku berada kemas dalam dakapan kasih sayangnya. Aku terdiam kaku.

“Maafkan aunty Leen. Maafkan aunty. Aunty dah berdosa dengan Leen. Aunty sanggup hina masa lalu Leen. Sedangkan anak aunty sendiri lebih teruk perangainya dari Leen. Maafkan aunty sayang…”

Tersedu sedan Puan Shimah menangis. Aku memandangnya penuh rasa simpati. Tidak perlulah Puan Shimah meminta maaf padaku. Aku sudah lama memaafkan dirinya. Aku sedar siapa aku.

“Leen cakaplah sesuatu. Leen sudikan maafkan aunty?”

Aku pandang Syamil.Lelaki itu hanya diam tapi tersenyum menganggukkan kepala.

“Leen dah lama maafkan aunty.” Ucapku perlahan. Aku turut menitiskan air mata.

“Maafkan uncle jugak Leen. Uncle gagal menggunakan akal yang waras bila berdepan dengan fitnah dari Aina dan Farhan. Uncle dan aunty dah buat Leen pergi dari rumah ni dan larikan diri dari Syamil. Maafkan kami…”

Tuan Adam bersuara penuh rasa bersalah. Sedikit pun aku tidak menyalahkan mereka. Fitnah mampu menggongcangkan keyakinan kita.

“Leen…” Puan Shimah kembali bersuara dengan lebih tenang.

“Aunty nak Leen teruskan perkahwinan Leen dengan Syamil. Aunty dan uncle restu hubungan kalian berdua. Aunty menyesal sebab dah pisahkan Leen dari Syamil. Dan aunty tak sangka, Leenlah perempuan yang selama ni aunty nak jumpa.” Puan Shimah sempat memandang ke arah Syamil untuk seketika. Dielus lembut pipi anak lelakinya itu.

“Syamil dah ceritakan semuanya pada aunty. Leen adalah bekas isteri kepada Farhan. Aunty nak minta maaf kerana Aina dah rampas Farhan dari Leen.  Aina dah musnahkan kebahagiaan rumahtangga Leen dengan Farhan. Aunty malu dengan Leen. Wanita sebaik Leen memang tak layak untuk Farhan. Bila aunty tahu Farhan sanggup ceraikan isterinya semata-mata demi nak kahwin dengan Aina, aunty rasa sangat marah. Aunty tak berapa berkenan Aina bernikah dengan Farhan. Tapi Aina sangat sayangkan Farhan. Aunty dan uncle terpaksa setuju. Aunty selalu berdoa, isteri yang dah Farhan tinggalkan itu sentiasa diberi kebahagiaan untuknya. Aunty rasa bersalah dengan Leen. Aunty malu ada anak perampas macam Aina…”

Luahan rasa Puan Shimah buat aku pantas mendakap tubuhnya. Tidak perlulah wanita tua itu rasa segan dengan aku. Berkat doanya aku dah berjaya mengecapi kebahagiaan. Terima kasih aunty. Terima kasih kerana sudi mendoakan kebahagiaan Leen selama ni.


******

Di saat aku difitnah, berdepan dengan penghinaan dari orang yang aku sayang, aku betul-betul hanya berserah padaNya. Aku cukup yakin, Allah pasti akan membantuku andai aku bergantung harap padaNya.

Kini, Dia telah menunjukkan kebenarannya. Aku terselamat dari segala fitnah Farhan dan penghinaan Syafina. Syamil dan keluarganya kembali menerima aku sebagai salah seorang ahli keluarga mereka. Termasuk menerima Amin, anak lelaki kesayanganku.

Pujukan Syamil, kesetiaan Syamil, penerimaan Syamil, buat aku ingin meneruskan kembali perkahwinan kami. Dua hari setelah aku dan Amin kembali menetap di rumah agam itu, aku dan Syamil akhirnya diijabkabulkan. Hari ini aku bakal disatukan dengan si pemilik tulang rusukku. Adam Syamil. Semoga perkahwinan ini mendapat keredhaan dari Ilahi.

Farhan dan Syafina tidak menghadiri majlis perkahwinan ini. Mereka pulang semula ke London kerana terlalu malu untuk berdepan dengan kenyataan. Kata Syamil, Puan Shimah begitu kecewa dengan mereka berdua. Puan Shimah sendiri yang meminta mereka pulang semula ke London.

Aku tidak tahu bagaimana penerimaan Syafina dan Farhan terhadapku. Dengan perkahwinan aku dan Syamil hari ini, mungkinkah mereka berdua dapat menerima aku sebahagian dari keluarga ini? Mampukah kebencian dan dendam mereka terhadapku dihapuskan? Demi Allah, aku sudah maafkan mereka. Aku redha dengan apa yang berlaku. Setiap berlaku pasti akan ada hikmahnya.

Namun aku sangat-sangat kecewa pada Farhan. Tiada sekelumit sayangkah dalam hatinya untuk anak kami berdua? Amin adalah anak kandungnya. Tidakkah Farhan sayangkan Amin? Ya Allah, bukankanlah hati Farhan untuk menyayangi anak kandungnya, Muhammad Adam Al-Amin.

“Baiklah kita boleh mulakan sekarang.”

Suara tok kadi membangunkan aku dari lamunan panjangku. Terus aku angkat muka memandang ke arah Syamil yang sudah bersiap sedia untuk berjabat tangan dengan Haji Hasan, tok kadi yang akan menikahkan kami berdua hari ini.

“Bismillahirrahmanirrahim. Adam Syamil bin Adam.”

“Saya…”

“Aku nikahkan akan dikau dengan Syazleen Afiqa binti Kamil berwakil walikan hakim dengan mas kahwin sebanyak 3 dinar tunai!”

Tangan Syamil dihenjut kuat oleh Haji Hasan. Terus lelaki itu membalas akad Haji Hasan dengan lafaz kabul yang melancar sempurna di bibirnya.

“Aku terima nikahnya Syazleen Afiqa binti Kamil dengan mas kahwin sebanyak tiga dinar tunai!”

Saksi-saksi mula berkata sah. Akhirnya, termetrailah pernikahan antara aku dan Syamil. Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah. Terima kasih kerana sudi menghadirkan seorang lelaki yang cukup penyayang dalam hidup aku. Satukanlah hati aku dan hati Syamil hingga ke akhir hayat kami. Amin.

“Tahniah sayang.” Ucap Puan Shimah seraya memeluk tubuhku. Dahiku dikucupnya penuh rasa kasih. Kak Som juga turut mendakap tubuhku mesra.Ucapan tahniah aku terima darinya. Aku hanya mampu menitiskan air mata kegembiraan.

Selesai saja bacaan doa dari Haji Hasan, Syamil diminta berdiri dan menghampiriku untuk upacara pembatalan air sembahyang. Hatiku berdebar menanti kehadirannya.

“Assalamualaikum…” Sempat Syamil mengucapkan salam kepadaku. Para tetamu yang terdiri dari ahli keluarga dan sanak-saudara belah Syamil, segera mengambil gambar kami berdua.

Syamil duduk di sebelahku sambil tersenyum manis. Tangannya dihulurkan menanti aku menyambutnya. Dengan perasaan malu-malu, aku menyambut tangannya lalu mengucupnya lama. Rasa sebak melanda ke tangkai hati. Akhirnya kami berdua bersatu juga dalam ikatan yang sah.

“Sarungkan cincin tu Syamil.” Arah Puan Shimah penuh bahagia. Dia tersenyum memandangku dan Syamil.

Syamil hanya menurut. Dia juga pasti tahu apa yang harus dia lakukan. Bukankah kami berdua ini dah pernah 
menjadi pengantin?

Cincin Syamil sarungkan ke jari manisku. Aku juga turut menyarungkan cincin ke jari manisnya. Dan seperti yang sudah Syamil rancangkan, tangan kanannya akhirnya mendarat di atas ubun-ubunku. Kata Syamil, dia teringin untuk menghidupkan sunnah Rasulullah ini. Ketika perkahwinannya dengan arwah isterinya dulu, dia sudah pernah melakukan sunnah ini. Dan aku pula kali pertama mengalami pengalaman ini.

Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan 
segala yang Engkau ciptakan pada dirinya. Dan aku berlindung 
kepada-Mu daripada keburukannya dan segala keburukan yang Engkau ciptakan pada dirinya.”

Doa itu dibaca oleh Syamil sebaik saja tangannya diletakkan ke ubun-ubunku.

Selesai itu, kami berdua diminta mengambil gambar bersama ahli keluarga. Tidak ketingggalan si kecilku Amin. Cukup aku rasa gembira dan bahagia saat ini. Akhirnya kebahagiaan menjadi milik aku dan Syamil. Terima kasih Allah.


********


Enam bulan kemudian…

“Assalamualaikum…” Dengan berani, aku melangkah masuk ke dalam bilik kerja Syamil. Kalau dulu, pertama kali aku masuk ke bilik ini memang aku kecut perut. Kini tidak lagi. Sekarang aku dah jadi isteri Adam Syamil yang sah, bukan?

“Air abang…” Aku menghampiri Syamil yang sedang sibuk menyiapkan kerja di meja studinya. Baru saja aku ingin melangkah mendekatinya, tiba-tiba Syamil bersuara mengarahkan aku melakukan sesuatu.

“Leen berdiri aje kat situ. Stay macam tu.” Arahan Syamil aku terima dengan penuh kebingungan. Namun aku tetap mengikut kata. Aku keras di situ tanpa bergerak. Mug yang terisi dengan Nescafe panas aku pegang penuh cermat.

Syamil masih duduk atas kerusi sambil memandang tepat ke anak mataku. Aku hanya tersenyum bingung. Kenapa dengan Syamil ni?

“Sayang nampak seksi bila mengandung macam ni. Buat abang jatuh cinta hari-hari dengan Leen.” Syamil tertawa kecil.  Aku juga sama.  Malu aku dibuatnya.

Akhirnya Syamil bangun lalu mengambil mug dari tanganku. Diletakkan mug itu atas meja lalu dia kembali menggamit tanganku.

“Leen bahagia hidup dengan abang?” soal Syamil seraya mengelus lembut pipiku. Aku hanya membiarkan perbuatannya lalu aku mengangguk kecil.

“Sangat bahagia.Terima kasih abang. Terima kasih sebab sudi menyayangi dan Amin.” Hatiku sebak namun aku cuba tahan dari menitiskan air mata.

Tanpa kata Syamil menarik aku dalam dakapannya. Ubun-ubunku terasa dikucupnya lama.

Pejam celik pejam celik, kini usia perkahwinan ku dengan Syamil sudah masuk enam bulan. Alhamdulillah. Aku benar-benar bersyukur kerana Allah mengurniakan aku seorang suami yang sangat penyayang dan bertanggungjawab. Benar kata arwah Mak cik Piah, Syamil memang seorang lelaki yang sangat bertanggungjawab dan penyayang. Terima kasih Allah. Terima kasih kerana menghadirkan dia untuk aku.

Sebulan yang lalu aku dan  Syamil menerima berita yang sangat menggembirakan. Aku disahkan hamil dua bulan. Itu bermakna Amin yang baru berusia setahun lebih bakal mendapat adik baru. Syamil amat gembira dengan berita itu. Perhatiannya kepadaku makin bertambah-tambah.

“Wanginya bau rambut isteri abang ni. Guna shampoo apa?” Ujar Syamil sebaik saja merungkaikan pelukan kami. Dia membawa aku duduk ke sofa.

“Leen dah lama nak tanya abang soalan ni. Boleh Leen tanya sekarang?” soalku sambil buat muka serius. Sengaja aku ingin Syamil berdebar-debar menanti soalanku.

Wajah Syamil turut berubah serius. Keningnya diangkat sebelah lalu dia anggukkan kepala.

“Tanya apa Leen? Macam serius aje.”

Aku menyembunyikan senyumanku. Soalan yang ingin aku tanya segera aku tanyakan padanya.

“Kenapa abang berani sangat pecahkan pintu rumah Leen dulu? Dan kenapa abang berani sangat masuk bilik Leen dan ambil Amin? Selain rambut Leen, abang tak nampak apa-apa yang lain kan?” Aku bertanya malu-malu. Manalah tahu saat itu kain aku terselak atau apa.

Mendengar soalanku buat Syamil tertawa kuat. Dia gelengkan kepalanya berulangkali. Mungkin dia merasa terlalu lucu soalan aku itu. Tapi memang dari dulu lagi aku nak tanya dia soalan tu. Jadi sila jawab.

“Sumpah abang cuma nampak rambut Leen. Yang lain-lain abang tak nampak.” Syamil gelak lagi. Pantas aku menampar lembut lengannya. Cebikan manja kuhadiahkan padanya.

“Masa tu abang panik betul bila Leen tak keluar-keluar dari rumah. Abang call Leen tak angkat. Abang bagi salam Leen tak jawab. Abang takut ada sesuatu yang tak elok berlaku pada Leen dan Amin. Especially Leen. Masa tu abang makin yakin yang abang dah mula sayangkan Leen.”

Pengakuan Syamil buat hatiku jadi terharu. Kutatap mukanya lama.

“Sebab tu abang berani minta mama pinangkan Leen untuk abang. Lamaran pertama dari mama memang abang tolak sebab ketika tu abang belum yakin dengan perasaan abang. Tapi bila Leen buat perangai tak nak cakap dengan abang, merajuk dengan abang… abang rasa abang perlukan Leen dalam hidup abang. So, abang paksa mama lamar Leen.” Syamil tersenyum. Tanganku makin digenggamnya kemas.

“Kalau Leen tak terima abang, abang nak buat apa?” Sengaja aku bertanya soalan itu.

“Abang akan pujuk Leen. Tapi kalau Leen tetap tak suka pada abang, abang akan pergi. Buat apa jumpa hari-hari kalau abang tak mampu memiliki hati Leen. Buat sakit hati aje.” Dan mujurlah Allah membukakan hati aku untuk menerima Syamil. Pilihan Allah adalah yang terbaik.

“Leen sayangkan abang.”Ucapku tanpa malu-malu. Kini aku makin berani meluahkan perasaan sayangku pada Syamil. Tidak hanya menunggu dia mengungkapkan kata-kata keramat itu.

“I love you more sayang,” balas Syamil lalu mengucup dahiku sekali.


********

Petang itu, sedang aku dan Syamil sama-sama melayan Amin bermain-main di taman mini rumah, muncul kehadiran seseorang yang tidak disangka-sangka akan muncul kembali. Di saat bahagia meniti kenapa mesti dia kembali?

“Aina?” Syamil mendekati Syafina yang baru saja tiba. Aina bersalaman dengan abangnya. Dan yang buat aku terpana, wanita itu turut bersalam dan memeluk tubuhku erat.

“Maafkan Aina Kak Leen. Maafkan Aina…” ujar Syafina berkali-kali. Aku bingung dengan keadaan itu. Aku sempat pandang Syamil di sebelah. Lelaki itu juga bingung dengan situasi ini.

Syafina menggamit tanganku kemas. Tubir matanya bergenang dengan air mata. Saat itu aku mula sedar bahawa Syafina pulang seorang diri tanpa Farhan di sisi. Tapi mengapa?

“Aina berdosa dengan akak. Aina dah rampas Farhan dari akak dan Aina hampir buat mama dan papa bencikan akak. Aina memang perempuan jahat. Semuanya sebab Aina takut akak akan rampas Farhan semula dari Aina. Sedangkan Aina patut sedar, Aina yang lebih dulu rampas Farhan dari akak. Aina minta maaf….”

Kata maaf yang terluah dari bibir Aina buat hati kecilku disapa pelbagai rasa. Pada mulanya aku terharu. Sesaat kemudian aku berasa keliru dan kurang percaya. Benarkah Syafina sudah benar-benar menyesal dengan perbuatannya? Atau dia punya agenda lain?

 “Betul ke Aina dah menyesal? Aina tahu tak Aina dah fitnah Kak Leen. Abang malu dengan sikap Aina. Dan kenapa Aina balik sorang aje ni. Farhan mana?” tanya Syamil serius. Dia menarik aku mendekatinya tidak mahu aku terus dekat dengan Syafina.

Syafina menyeka air matanya yang mula gugur. Dia akhirnya membuka cerita.


*******

“Aina dah bercerai dengan Farhan.” Sebaris ayat yang keluar dari bibir Syafina buat semua yang berada di ruang tamu berpaling memandangnya.

“Apa?!” Suara mama kedengaran terkejut. Aku juga terkejut dengan berita ini. Ya Allah benarkah Farhan dan Syafina sudah bercerai? Tapi kenapa?

“Kami dah takde keserasian, ma. Lagipun Farhan curang! Dia ada perempuan lain!” Syafina mula menangis kesedihan. Mama segera bangun menenangkan adik bongsunya itu. Pasti simpati dengan nasib Syafina.

“Mungkin ini balasan untuk Aina sebab pernah rampas Farhan dari Leen dulu.” Agak terpana aku mendengar kata-kata Syamil. Terus aku pegang tangannya dan gelengkan kepala tidak mengizinkan dia berkata-kata lagi.

“Tak baik cakap macam tu Syamil. Ini dah takdir.” Papa pula bersuara lemah. Syamil hanya mendengus tidak puas hati. Dia kembali diam.

Aku pandang wajah kecewa Syafina. Kini ini aku yakin Syafina sedang merasa apa yang aku rasa dulu di saat Farhan tingggalkan aku kerana seorang perempuan. Nampaknya sikap Farhan suka bertukar perempuan masih belum berubah. Mengapa lelaki itu tidak setia? Aku tengok Syafina begitu menyayangi Farhan. Ah! Farhan memang bukan lelaki setia! Entah wanita mana pula kali ini yang menjadi mangsanya.

“Di mana Farhan sekarang sayang?” soal mama apabila keadaan Syafina kian tenang.

“Dia dah Malaysia sehari sebelum Aina balik. Dan dia cakap… dia cakap…” Tiba-tiba Syafina mengangkat muka memandang ke arahku.

“Dia cakap dia nak rampas hak penjagaan Amin. Dia nak Amin jadi milik dia.” Aku terkesima lagi. Ya Allah, kenapa Farhan ingin melakukan semua itu?

“Banyak cantik muka dia. Dia ingat dia berhak ke jadi ayah Amin? Abang takkan sesekali izinkan dia rampas hak penjagaan Amin. Amin anak abang dan Leen. Farhan takkan pernah menang dalam kes ni!” Hatiku rasa sebak melihat kesungguhan Syamil mempertahankan Amin. Terbukti lelaki itu benar-benar menyayangi Amin. Syukurlah. Sekurang-kurangnya aku tahu Syamil akan berjuang demi aku. Tapi persoalannya mengapa tiba-tiba Farhan ingin merampas Amin? Bukankah dia tidak pernah menganggap Muhammad Adam Al-Amin itu anak kandungnya?


********


Pipi mulus Amin kuelus perlahan. Anak kecil itu ketiduran setelah penat seharian suntuk bermain. Aku pandang lama muka Amin. Semakin lama wajah Farhan makin menjelma. Amin ada iras-iras ayah kandungnya. Dan keadaan itu kadang-kadang melanda sedikit rasa cemburu dalam hati Syamil. Katanya dia lebih sanggup andai Amin mempunyai iras wajahku.

Andai benar Farhan ingin merampas hak penjagaan Amin, itu bermakna aku dan Syamil harus berjuang berhabis-habisan demi Amin. Tidak mungkin aku sanggup berpisah dengan Amin. Amin seperti nyawaku. Dia bersama aku ketika suka, duka dan bahagia. Aku takkan sesekali lepaskan Amin pada sesiapa terutama Farhan!

“Sayang…” Suara perlahan Syamil memanggilku buat aku segera menyeka air mata yang bergenang. Aku pandang dia yang baru muncul dari balik pintu.

“Kenapa Leen menangis?” soal Syamil seraya duduk berdepan dengan aku di birai katil. Tangan aku dipegangnya kemas.

“Leen risaukan Amin, abang. Kalau Farhan…” Ayat aku terhenti di situ. Aku cukup yakin Syamil mengerti apa yang cuba aku sampaikan.

“Amin anak kita. Farhan bukan siapa-siapa. Ya memang dia ayah kandung Amin tapi dia tak pernah menyayangi Amin dan menjaga Amin. Leen jangan risau. Sekalipun dia bawa kes ke mahkamah, dia akan kalah. Abang akan jadi saksi untuk Leen. Abang adalah saksi yang nampak semua apa yang dah Leen lalui setelah diceraikan oleh Farhan. Jangan risau sayang.”

Syamil segera menarik aku dalam dakapannya. Aku menangis lagi dalam dakapan penuh kasih Syamil. Leen yakin pada abang. Leen yakin… Suara hatiku berkata-kata.

Walaupun yang berlaku, aku yakin Syamil akan sentiasa berada di sisi aku dan Amin.


******

Tengah hari itu aku teringin nak makan nasi ayam buatan sendiri. Yang seronoknya semua orang turun padang. Syamil, papa dan Amin sama-sama pergi ke pasar tani membeli bahan-bahan untuk dibuat nasi ayam.

Aku, Kak Som, mama dan Syafina pula menjadi chef di dapur. Kami berganding bahu menyiapkan nasi ayam resepi rahsia arwah Makcik Piah.  Resepi ini pernah aku belajar dengan arwah dulu. Rindunya aku pada ibu angkatku itu. Mak, Leen hidup bahagia sekarang. Terima kasih kerana mendoakan Leen.

“Kak Leen…. Kak Leen okey ke?” tanya Syafina mengambil berat. Aku segera menyeka setitis air mata yang gugur tadi. Aku pandang wajah adik iparku itu dengan senyuman.

“Akak okey. Cuma akak teringatkan arwah Mak cik Piah.” Kini, hubungan aku dengan Syafina makin bertambah baik. Sungguh aku tidak menyangka aku mampu berbual mesra dan bergurau senda dengan wanita yang pernah merampas bekas suami aku dulu. Mungkin inilah hikmahnya.Perkahwinan aku dengan Syamil, perpisahan Syafina dengan Farhan membuat hubungan aku dan Syafina makin bertambah erat. Syukurlah. Syafina benar-benar mampu menerima aku dalam keluarganya tanpa ada rasa cemburu lagi. Dan aku benar-benar mampu memaafkan apa yang pernah perempuan itu lakukan terhadapku dulu.

“Aina tak sempat nak minta maaf dengan arwah. Mungkin Aina pernah ada buat dia terkecil hati. Akak, akak betul-betul dah maafkan Aina kan?” Syafina bertanya dengan pandangan redupnya memandangku.

Aku angguk kepala cukup yakin.

“Semuanya dah tersurat Aina. Akak redha dengan ketentuan Allah. Ini adalah ujian. Akak terima. Akak dah maafkan Aina.” Syafina terus tersenyum. Tanganku segera digamitnya kemas. Aku turut tersenyum padanya.

Saat itu muncul Syamil sambil mendukung Amin.

“Sayang Amin dahaga. Abang pun dahaga jugak.” Aku terus bangun dan mendapatkan Amin.

“Abang nak air apa? Biar Aina buatkan.” Ujar Syafina tanpa sempat aku menanyakan soalan itu pada Syamil.Pasti Syafina ingin membina kembali hubungan mesranya dengan abang kandungnya, Syamil. Aku gembira dengan keadaan itu. Syukurlah.

#bersambung....

*Akhirnya Leen dan Syamil kahwinnnnn.. Dah nak tamatkah kisah dorang? Aina dah insaf. Farhan apa cerita ek? 


4 comments:

  1. hukum karma. ceh, hehe. org mcm farhan tu, xlyk tuk sesiapa. hiduplah kau sorang2 farhan ooi!! ngee~

    ReplyDelete
  2. hampess nye farhan...ade hti nk rebut amin...

    ReplyDelete