DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI
BAB 39
“Airin Qistina!” Suara yang cukup aku
kenal itu tiba-tiba menyapa ke hujung telinga. Aku berpaling memandang ke arah Cikgu
Ihsan yang baru muncul dari pintu masuk. Wajahnya kelihatan cukup ceria setelah
melihat sepupunya itu berada di depan mata.
“Iya, saya. Ada masalah ke?” balas Airin
sambil jeling.
“Memang ada masalah. Bila kau sampai ni,
Rin. Cakap bulan depan nak balik. Tup-tup dah ada depan mata. Kau mesti rindu
aku, kan?” Cikgu Ihsan tergelak besar. Kerusi di sebelah aku yang masih kosong
ditariknya. Aku, Cikgu Ihsan dan Airin duduk dalam satu barisan. Di hadapan
kami ada Aunty Izzah, Uncle Is dan Kak Inas sekeluarga.
“Gila tak rindu kat… auntie! Aku rindu
auntielah bukan rindu kau!” Airin gelak. Semua yang berada di situ juga gelak.
Aku aje yang kaku nak join kemeriahan
keluarga ni. Muncul saja Airin, kemeriahan makin terserlah.
Semua jemaah yang baru keluar dari
musolla mula memenuhi dewan makan. Dan kebanyakan dari mereka mengangkat tangan
dan menegur Airin Qistina dengan cukup mesra. Popular betul si Airin ni…
“Nasib baik auntie ni tak ada sakit
jantung. Beria-ia auntie ingat Rin nak balik bulan depan. Oh jadi sebab nilah
Rin sibuk tanya pasal familyday ni
ya. Rupa-rupanya nak buat surprise.”
Aunty Izzah juga gembira berborak dengan anak saudaranya itu. Senyum panjang
ibu angkat aku.
“Dah dah. Sekarang kita makan dulu. Rin
pun mesti dah lapar. Jom makan. Ihsan, pergi ambil nasi. Kita makan sekali.” Uncle
Is bersuara.
Cikgu Ihsan hanya mengangguk patuh pada
arahan papanya. Dia sempat tersenyum pada aku. Aku hanya senyum nipis padanya.
Nasi dalam pinggang aku tatap kosong.
Saat ini terasa diriku amat terasing. Baik Aunty Izzah atau Uncle Is langsung
tidak menyapa aku lagi. Mereka lagi sibuk berborak dengan Airin. Mungkin ini
kerana sudah lama gadis itu tidak pulang ke Malaysia.
Aku cuba untuk berbaik sangka dan tidak
terlalu kecewa. Siapalah aku untuk merasa kecewa apabila di awal-awal lagi aku
hanya menumpang kasih di bawah teduhan keluarga ini.
+++++++++
“Biar abang tolong.” Aku berpaling ke
belakang. Cikgu Ihsan berdiri di belakangku sambil tersenyum dengan senyuman
manisnya. Ah… senyuman itu tidak mungkin
dapat aku benci.
“Tak apa. Sikit aje lagi ni,” ucapku
seraya menyambung membilas pinggan mangkuk.
“Kenapa Nuha tak join sekali event dekat
depan tu. Dari tadi abang tunggu. Lamanya Nuha cuci pinggan. Sengaja ke?”
Aku kerut dahi. “Sengaja apa?”
Cikgu Ihsan berdiri di sebelahku sambil
mencapai pinggan yang masih berbuih. Dibilas pinggan itu dengan air paip lalu
dihulurkan pada aku untuk diletakkan ke atas rak. Aku hanya mengikut rentaknya.
Kami sama-sama cuci pinggan di singki.
“Sengaja tak nak keluar kat depan. Dari
tadi abang perasan Nuha diam aje. Nuha ada masalah ke? Masalah sebilik dengan
Misha atau Amira. Hmm?”
Penuh prihatin, Cikgu Ihsan bertanya.
Aku geleng saja. Masih cuba bertindak seperti biasa. Gadis tanpa perasaan. Ya,
itulah aku…
“Okey kalau macam tu jom kita keluar
depan.”
Aku pandang Cikgu Ihsan sekilas. “Buat
apa? Saya penatlah. Rasa macam nak rehat dalam bilik aje. Cikgu ajelah yang…”
Baru aku nak menyambung kata, muncul Airin di antara kami. Dengan sempoi,
tangan Airin sudah mendarat di bahu aku. Cikgu Ihsan ditegurnya mesra.
“Jom, Ihsan.”
“Jom apa?” Cikgu Ihsan tanya Airin.
Airin senyum senget. Dapat aku lihat
senyumannya itu terlalu manis untuk dihadiahkan hanya untuk Cikgu Ihsan.
“Jomlah ke depan. Dah lama aku tak
dengar kau main gitar. Rindu kut. Jomlah.” Bahu Cikgu Ihsan dicuit-cuit oleh
Airin.
Mungkin tidak selesa berterusan dicuit, akhirnya Cikgu
Ihsan bersuara bersetuju. Aku diam saja di situ melayan rasa aneh yang
tiba-tiba muncul. Rasa… rasa sakit…
“Okey-okey. Tapi bukan sekarang. Lepas
Isyak. Dah dekat nak masuk waktulah, Cik Airin oi.” Cikgu Ihsan mencuci
tangannya.
Saat itu dapat aku dengar Airin
merengus. Tanpa bersuara apa-apa dia melangkah pergi lebih dulu dari Cikgu
Ihsan.
“Kau dah janji tau. Lepas Isyak!” Di
muka pintu Airin melaung agak kuat. Cikgu Ihsan hanya angguk-angguk. Dia
tergelak.
Aku yang juga sudah selesai membasuh
pinggan mula pasang langkah. Namun, Cikgu Ihsan pantas menegurku buat aku kaku
menghentikan langkah.
“Nuha tak nak tengok abang main gitar?
Lepas Isyak nanti.”
Pertanyaan Cikgu Ihsan buat aku
tersenyum. Sinis. Tak tahu kenapa aku perlu senyum kejam seperti itu padanya.
Yang aku tahu aku nak luahkan rasa sakit dalam hati aku ni padanya.
“Malaslah. Penat nak tidur,” balasku
agak keras. Terus aku menapak pergi tanpa berpaling memandangnya lagi.
Rasa sakit yang aku rasakan tadi kufikirkan
akan hilang setelah membidas Cikgu Ihsan yang tidak bersalah tu dengan
kata-kata keras. Namun, rasa sakit ini bertimpa-timpa pula jadinya mengenangkan
kekasaranku pada Cikgu Ihsan. Bergabung pula memikirkan kemesraan Cikgu Ihsan
dan Airin Qistina. Makin meluap-luap rasanya.
Ya Allah, kenapa dengan aku ni!
++++++++++++
Tok. Tok. Tok.
Aku yang baru mahu lelapkan mata segera
pandang ke pintu bilik. Siapa pulak tu? Hmm…. Cikgu Ihsan ke? Dia datang nak
pujuk aku dengar dia main gitar ke? Ah malas!
Tok. Tok. Tok. Masih lagi pintu itu
diketuk.
“Nuha… Nuha…” Orang di luar mula
memanggil. Aku pasang telinga. Itu bukan ke suara…
Pantas aku meloncat dari katil dan
membuka pintu bilik.
“Laa auntie ke… Nuha ingatkan siapalah
tadi,” ujarku setelah melihat Aunty Izzah berdiri di hadapanku. Wanita tua itu
tersenyum padaku. Dia meraih tanganku dan mengajak aku masuk.
Kami berdua sama-sama duduk di birai
katil. Tangan aku digamit kemas oleh Aunty Izzah.
“Ihsan cakap Nuha penat, nak tidur. Tapi
perasaan auntie ni macam tak sedap aje. Itu yang auntie datang sini jenguk Nuha.
Nuha okey? Hmm, sayang?” Kepalaku yang tidak ditutupi dengan tudung diusap-usap
penuh kasih oleh Aunty Izzah. Terus saja rasa sakit itu terasa hilang…
“Nuha okey, auntie,” jawabku masih cuba
menafikan.
“Lemah aje bunyinya. Kenapa ni, sayang.
Erm…. mama… eh… auntie…” Seperti biasa Aunty Izzah selalu tersasul membahasakan
dirinya mama. Buat aku rasa bersalah sangat sebab mulut ni terlalu berat untuk
memanggilnya dengan panggilan yang sama.
“Hmm… auntie sebenarnya rasa bersalah
pada Nuha… Auntie terlepas pandang…”
Aku angkat muka pandang wajah Aunty
Izzah. Rasa bersalah? Kenapa?
Aunty Izzah senyum lemah padaku. Dia
bersuara meluahkan ucapannya maaf padaku. Aku terdiam.
“Auntie nak mintak maaf pada Nuha.
Auntie akui, auntie terlepas pandang pada Nuha dekat dewan makan tadi. Langsung
tak sapa Nuha. Allah, kesalnya auntie. Sibuk dengan Airin, lupa dekat anak
auntie ni. Auntie mintak maaf ya, sayang.” Aku diam. Dalam hati mula sebak.
Iya, aku sedikit terasa hati dengan layanan dingin dari Aunty Izzah padaku di
dewan makan tadi. Tapi merasakan aku ini bukan siapa-siapa, tidak aku mahu
menyimpan rasa itu lama-lama.
“Tak ada apalah, auntie. Nuha faham. Tak
payahlah auntie mintak maaf. Auntie tak salah pun,” ucapku cuba menyenangkan hati Aunty Izzah.
Aunty Izzah gelengkan kepala. Kali ini
pipiku menjadi mangsa sentuhannya.
“Airin tu dah lama tak balik Malaysia.
Rindu benar auntie pada dia. Dia tu dah kehilangan mak ayah. Sebatang kara.
Sebab tu suka merantau.” Aku sekadar pasang
telinga mendengar cerita Aunty Izzah.
“Nuha mesti penat kan. Tidurlah, nak.
Auntie pun nak masuk bilik. Mama sayang Nuha.” Dahiku dikucup hangat. Lagi
sekali panggilan itu tersasul di bibirnya...
“Mama…” Panggilanku itu buat langkah
Aunty Izzah terhenti. Lambat-lambat dia berpaling ke arahku dengan matanya yang
mula berkaca.
“Mama…” Aku panggil dia lagi sekali.
“Ya Allah, Nuha…. Akhirnya Nuha panggil
mama dengan panggilan tu. Terima kasih, nak…” Tubuhku sekelip mata berada dalam
pelukan Aunty Izzah. Saat ini sungguh aku merasa tidak mahu kehilangannya lagi.
Aku seperti memeluk arwah ibu.
“Terima kasih, mama. Terima kasih atas
segala kasih sayang yang mama hulurkan pada Nuha selama ni. Nuha… Nuha… Nuha
sayang mama,” luahku sepenuh hati.
“Iya, sayang. Mama pun sayang Nuha. Ya
Allah, kalau papa tahu ni mesti dia happy.
Ihsan pun sama...” Pelukan kami terungkai.
Tak lekang senyuman di wajah Aunty Izzah
memandangku. Aku bahagia melihat senyuman itu. Sekurang-kurangnya aku tahu kini
bahawa akulah yang menjadi pencetus kepada senyuman indah itu.
Sungguh aku amat menyayanginya…
++++++++
“Akak nak cakap sikit. Jom ikut akak
duduk dekat sana.” Ajakan dari Kak Airin buat aku termangu-mangu. Belon-belon yang
terisi dengan air yang aku pegang untuk dibuat acara sukaneka aku letak kembali
ke dalam bakul. Tanpa bantahan, aku menapak membuntuti Kak Airin dari belakang.
“Duduklah,” pelawa Kak Airin sambil dia
duduk dulu ke kerusi batu di tepi sungai.
Perlahan-lahan aku duduk di sebelahnya.
Kaku untuk aku berbicara dengannya. Aku bukan kenal sangat dengan dia. Setakat
satu bilik, tidak cukup untuk aku kenal
dengan dia. Yang aku tahu cuma umur Kak Airin tu sama dengan umur Cikgu Ihsan.
Sebab tu aku panggil dia dengan panggilan kakak. Nampaklah sopan dan mesra
sikit. Mesra ke?
“Akak ni jenis yang suka terus terang,”
ucap Kak Airin dengan nada serius.
Aku hanya pasang telinga. Wajahnya aku
pandang sekilas saja. Aku senyum hambar.
Tapi Kak Airin langsung tak senyum. Aku
naik cuak.
“Kak long dah ceritakan semuanya pada
akak. Pasal perasaan Ihsan pada Nuha.” Tersentak aku saat itu. Jadi Kak Airin
ingin membicarakan soal perasaan? Ah, aku tak suka! Dan kenapa Kak Inas
beritahu semuanya pada Kak Airin. Dia cakap hal tu hanya aku dan dia saja yang
tahu.
“Akak sayang Ihsan.” Aku terkesima lagi
terdiam. Sayang? Cinta?
“Akak dah anggap dia macam abang akak.”
Dalam diam aku tarik nafas lega.
“Akak tahu Ihsan sayang dan cintakan Nuha.
Dan akak tahu, Nuha tak balas cinta dia. Kan?”
Angguk tidak iyakan pun tidak.
Kak Airin mengeluh. Pandangannya jatuh memandang
ke depan.
“Ihsan tu tak pernah bercinta sebelum
ni. Ini first time dia jatuh cinta.
Pada budak sekolah pulak tu. Tapi tak kisahlah budak sekoah ke tak. Yang
penting, Ihsan cintakan Nuha. Betul-betul cintakan Nuha.”
Tangan Kak Airin bergerak menggamit
tanganku. Dia mencari anak mataku. Aku yang keseganan tidak mampu membalas
renungannya itu. Lantas aku tunduk memandang rumput di bawah.
“Nuha memang tak ada sekelumit rasa
untuk Ihsan? Sikit pun tak ada? Hmm? Terus terang dengan akak. Akak akan
rahsiakan perkara ni dari semua. Akak cuma nak tahu, Nuha suka Cikgu Ihsan atau
tak?”
Aku terpaku. Adakah aku dipaksa untuk
menjawab YA di atas soalannya ini. Ah, tak mungkin aku mengaku apa yang tidak
benar.
“Tak. Nuha memang tak ada apa-apa
perasaan pada cikgu.” Aku jawab sambil tunduk.
“Kenapa tak? Nuha dah ada calon lain?” Calon
lain? Siapa?
“Manalah tahu Nuha dah jatuh cinta
dengan kawan sekolej ke.” Nampaknya memang Kak Inas dah ceritakan semuanya pada
Kak Airin. Hal kolej aku pun dia tahu.
Aku geleng saja. Hati aku memang tak ada
cintakan siapa-siapa. Kenapa macam susah sangat orang nak terima. Adakah semua
gadis itu perlu menyimpan cinta dalam hati di usia remajanya?
“Dalam hati Nuha sekarang ni memang
belum ada siapa-siapa lagi, kak. Itulah hakikatnya. Nuha tak bohong.” Aku jawab
sejujur yang aku mampu. Harap Kak Airin terima.
“Betul ni? Kalau Kak Rin kahwin dengan Cikgu
Ihsan, awak cemburu tak?” Aku melopong. Kak Airin nak kahwin dengan Cikgu Ihsan?
Kata tadi sayang macam abang.
“See!
Tengok dari muka terkejut Nuha tu pun akak dah tahu Nuha ada perasan dekat Cikgu
Ihsan awak tu.” Makin melopong aku mendengar kesimpulan yang dibuat oleh Kak
Airin. Dia cuba memerangkap akukah?
“Akak tipu ajelah. Tak ada maknanya akak
nak kahwin dengan Ihsan. Dia tu dah macam abang akak.”
Aku tak faham apa yang sebenarnya Kak
Airin cuba sampaikan pada aku.
“Nuha…” Suara Kak Airin mengendur.
“Ya, cinta tu memang tak boleh dipaksa.
Tapi bukankah cinta itu boleh dipupuk. Dalam hati Nuha sekarang belum ada
siapa-siapa. Why not Nuha cuba buka
hati Nuha tu untuk Ihsan. He is a nice
guy. Sangat baik, sangat penyayang… Akak ni balik Malaysia semata-mata nak pujuk
Nuha tau. Akak nak tengok Ihsan bahagia dengan pilihan dia.”
Kehilangan sudah kataku saat itu. Aku
dipaksa lagi. Dipaksa untuk menerima Ihsan Zuhri dalam hidupku. Jiwaku tidaklah
terlalu kental untuk berkorban. Aku… aku belum cukup ikhlas untuk terkorban
dalam hubungan tanpa cinta!
“Maafkan Nuha kak. Nuha memang tak
boleh. Cikgu Ihsan sendiri dah tau pasal benda ni. Dia dah lupakan Nuha. Itu
janji kami.”
Kak Airin senyum. Sinis. Aku kelu.
“Tak mudah untuk seseorang yang setia
seperti Ihsan hendak melupakan perasaannya. Nuha jangan percaya cakap dia tu.
Dia masih cintakan Nuha. Tengok aje renungan mata dia, layanan dia pada Nuha…
semua tu tanda dia masih sayang Nuha... cintakan Nuha… Nuha tak perasan ke
semua ni?”
Kali ini wajah putih Kak Airin aku
pandang dalam.
Benarkah Cikgu Ihsan masih cintakan aku?
Tapi bukankah lelaki itu sudah berjanji untuk lupakan perasaannya terhadapku.
Adakah aku terlalu naif untuk melihat nilai cintanya yang masih mendalam
padaku?
“Buka mata hati Nuha tu. Tengok dengan
mata hati. Ihsan tak pernah lupakan cinta dia pada Nuha. Apatah lagi nak buang Nuha
dari hidup dia. Dia pura-pura lupakan Nuha semata-mata sebab tak nak Nuha makin
jauh dari dia. Hakikatnya, sekarang ni dia sedang berlawan dengan perasaan dia
sendiri. Ihsan bukan pemaksa orangnya. Dia terlalu menurut. Akak tak minta Nuha
pura-pura balas cinta dia. Cukup Nuha bagi peluang untuk dia sayang Nuha tanpa
sembunyi-sembunyi lagi. Dan Nuha tolong bagi peluang pada hati Nuha sendiri
untuk merasa erti jatuh cinta… please bagi
peluang tu pada abang kesayangan akak tu…” Kak Airin bangun sambil menepuk
bahuku.
Aku termangu di situ menerima satu lagi
permintaan yang cukup berat untuk aku laksanakan. Aku benar-benar berharap
hanya Kak Inas dan Kak Airin yang memaksa aku membuat keputusan yang sukar ini.
Jangan pula Aunty Izzah dan Uncle Is
turut sama membuat permintaan seperti ini. Aku takut… aku takut andai perkara
itu terjadi dengan rela aku terpaksa menurut kata mereka itu nanti.
BAB 40
“Sedar tak sedar hari ni dah hari last kita dekat sini. Semoga ukhuwah
yang terbina berpanjangan sampai bila-bila. Hari ni sebenarnya isteri saya
Izzah ada satu kejutan untuk seseorang. Izzah, sini…” Papa Is memberi mikrofon
pada isterinya. Aku senyum melihat keakraban kedua-dua ibu bapa angkatku itu.
“Assalamu’alaikum semua.”
“Wa’alaikumussalam warahmatullah…” Salam
Mama Izzah dijawab sepakat oleh semua.
“Hari ni 22 Mei 2015. Satu tarikh yang
saya rasa patut diraikan oleh kita semua. Sebelum tu, saya nak panggil seseorang
yang amat penting dalam majlis ni. Beri tepukan pada Nuha Huda, anak angkat
saya...” Tangan mama sudah terarah padaku.
Aku tercengang di kerusi. Semua mata
mula pandang pada aku. Aku orang penting dalam majlis ni? Apa maksud mama?
“Nuha sini, sayang.” Mama terus memanggil.
Cikgu Ihsan di sebelahku berdiri dan mempersilakan aku naik ke pentas.
Penuh bingung aku bangun dan melangkah
mendapatkan mama dan papa. Sebaik saja aku berdiri di tengah-tengah mereka
berdua, tiba-tiba mama ucap sesuatu dekat telinga aku.
“Happy
birthday sayang.”
Sekelip mata aku berada erat dalam
dakapan mama. Dahiku dikucupnya bertalu-talu.
Papa pula hanya senyum sambil angguk kepala.
Aku pula… kaku lagi
terkesima. Ya Allah apa semua ni…
Melihat saja aku ke arah Cikgu Ihsan,
lelaki itu mengatur tapak mendapatkan Kak Airin dan mengambil kek dari tangan
perempuan itu. Kak Airin senyum padaku dari jauh. Dia menjeling pula pada Cikgu
Ihsan. Aku pandang Cikgu Ihsan. Lelaki itu kelihatan cukup ceria sambil
melangkah berhati-hati membawa kek ke pentas.
“Selamat hari lahir, Nuha.” Kek disuakan
padaku. Aku makin sebak. Air mata mula bergenang. Aku pandang semua yang berada
di situ.
Dan pemberitahuan dari mama buat aku
makin sayu. Pandanganku tepat memandang ke arah Cikgu Ihsan yang sedari tadi senyum
padaku. Tak pernah terlintas di hati ini semua ini akan aku lalui. Ini
benar-benar satu kejutan! Kejutan dari si dia yang kata Kak Airin masih ada
menyimpan cintanya pada aku.
“Ini semua idea Ihsan. Dia yang beritahu
mama birthday Nuha hari ni.
Alhamdulillah dapat jugak kita semua sambut birthday
Nuha sama-sama.”
Aku kehilangan kata. Pandanganku tidak
lepas memandang Cikgu Ihsan. Akhirnya aku tewas tertunduk. Sekali lagi lelaki
itu buat aku ‘berhutang’ dengannya. Hutang kebahagiaan yang entah bagaimana
cara untuk aku bayar.
Kata-kata Kak Airin beberapa hari yang
lalu menjengah otak. Kini baru aku nampak layanan dan keprihatinan Cikgu Ihsan
terhadapku memang sedikit lain macam. Bukan sedikit tapi banyak. Dia ambil
berat bukan seperti seorang abang kepada adiknya tapi lebih kepada… kekasih?
Dia masih cintakan aku. Oh Tuhan bagaimana aku harus membalas cintanya itu…
+++++
“Terima kasih, cikgu…” ucapku pada Cikgu
Ihsan yang duduk di sebelah. Ada kotak hadiah yang besar memisahkan kami.
Hadiah dari Cikgu Ihsan. Entah apa yang ada dalam tu. Tak sabar pula aku nak
tahu.
“Sama-sama. Nuha happy?” soalnya seperti biasa. Suka sangat tanya aku happy atau tak.
Aku angguk lalu senyum. Dia juga senyum
tanpa pandang mukaku.
“Alhamdulillah. Abang pun happy kalau Nuha happy,” ucapnya perlahan.
Suasana mula jadi sunyi. Deruan air sungai
yang mengalir tenang mengisi ruang antara kami.
“Entah Nuha suka ke tak hadiah yang
abang bagi ni. Semalam abang pergi pekan dengan Rin. Dia cakap remaja macam Nuha
suka hadiah ni. Itu yang abang beli.” Aku hanya diamkan diri. Oh, jadi Cikgu
Ihsan luangkan masa dengan Kak Rin semalam untuk belikan aku hadiah. Patutlah
mereka berdua tak ada dekat dewan makan semalam.
“Esok kita dah nak balik KL, kan. Kejap
aje lima hari berlalu. Tak puas lagi abang duduk sini. Abang suka tinggal dekat
kampung. Tenang, damai… Abang selalu berangan. Kalau abang kahwin nanti, abang
nak honeymoon dekat sini aje. Entah
isteri abang tu suka kampung ke tidak.” Cikgu Ihsan tergelak pendek.
Aku hanya diam tidak menyampuk. Apabila
soal perasaan dan perkahwinan dibangkitkan, diri ini tidak berani nak berkata
apa-apa. Takut menjadi isu…
“Kak
long harap Nuha sudi bagi peluang pada Ihsan. Percayalah, dik. Ihsan akan
bahagiakan Nuha… sayang Nuha… cintakan Nuha… jaga Nuha selagi nafasnya
dikandung badan. Kak long kenal adik kak long macam mana. Sekali dia sayang
orang tu, dia akan sayang sampai bila-bila. Sekali dia cinta, dia akan setia.
Tolong buka pintu hati Nuha untuk belajar cintakan Ihsan. Boleh, dik?”
“Ya,
cinta tu memang tak boleh dipaksa. Tapi bukankah cinta itu boleh dipupuk. Dalam
hati Nuha sekarang belum ada siapa-siapa. Why not Nuha cuba buka hati Nuha tu
untuk Ihsan. He is a nice guy. Sangat baik, sangat penyayang… Akak ni balik
Malaysia semata-mata nak pujuk Nuha tau. Akak nak tengok Ihsan bahagia dengan
pilihan dia.”
Bertalu-talu pujukan dari Kak Inas dan
Kak Airin menerjah ke minda. Aku pandang Cikgu Ihsan di sebelah sekilas. Ya Allah,
di sebelah ku sekarang adalah lelaki yang telah Engkau titipkan untuk memberi
peluang kepadaku merasai semua kasih sayang dan kebahagiaan ini. Lelaki yang
pura-pura melupakan cintanya padaku kerana tidak mahu aku menjauh darinya.
Lelaki yang telah banyak menabur jasa bagi diri ini.
Walaupun begitu, cinta dari lelaki ini
tetap tidak mampu aku balas. Aku tidak mampu memaksa hati ini. Aku tak mampu.
Sungguh aku tak mampu.
Cikgu, maafkan saya…
Muncul mendadak rasa bersalah lagi kesal
dalam hati. Lantas aku segera bangun.
“Erm… saya nak masuk bilik dulu, cikgu.”
Cikgu Ihsan dongakkan muka memandangku.
Lambat-lambat dia mengangguk.
“Okey. Abang pun nak masuk bilik kemas
apa yang patut. Jom kita jalan sama-sama.” Ajakan Cikgu Ihsan buat aku ketap
bibir. Nak menolak sudah tidak terdaya. Mungkin dalam perjalanan nanti lebih
baik aku diam saja.
Aku dan dia mula berpaling ke belakang.
Saat aku berpaling itu, mataku bertembung dengan anak mata milik Syamir. Lelaki
berkopiah putih itu segera tunduk tidak memandangku.
“Ihsan, boleh aku cakap sikit?” Syamir
bersuara seraya kembali memberi renungannya pada Cikgu Ihsan.
Cikgu Ihsan berkerut dahi. Wajahku
ditatapnya sekilas. Terus saja aku ambil kesempatan untuk larikan diri darinya.
“Saya gerak dulu, cikgu. Assalamu’alaikum…”
Aku segera mengundur diri tanpa sempat Cikgu Ihsan menjawab salam.
Semakin aku jauh dari Cikgu Ihsan dan
Syamir, aku sengaja berpaling ke belakang. Pandang-pandang saja ke belakang,
kedua-dua lelaki itu sedang berdiri menghadap sungai sambil berbual-bual.
Serius wajah mereka. Entah perkara apa yang mereka bincangkan.
BAB 41
“Apa???” Dadaku mula berdegup laju.
Wajah-wajah yang berada di situ aku pandang satu persatu.
“Dia dah berkenan. Dia nak lamar Nuha.
Kalau Nuha setuju, Syamir akan hantar rombongan merisik minggu depan.”
Aku hilang kata. Syamir? Ustaz Syamir sepupu
Cikgu Ihsan berkenan dengan aku dan ingin menjadikan aku isterinya? Ya Allah…
“Tapi….”
“Kalau Nuha tak setuju, tak apa. Tak ada
siapa nak paksa,” ujar Mama Izzah bagai cuba menyedapkan hati.
Malam itu kami sekeluarga duduk di ruang
tamu. Kata mama ada benda penting nak dibincangkan. Rupa-rupanya pasal ni.
Sungguh… sungguh aku tak sangka Syamir ingin melamarku? Tapi kenapa?
“Memang Nuha tak setuju, ma. Nuha belum bersedia.
Nuha… Nuha belum bersedia nak pikul
tanggungjawab jadi seorang isteri.” Aku berterus-terang. Andai aku sudah diberi
hak untuk menolak, ya aku akan menolak sekeras-kerasnya.
Cikgu Ihsan yang turut berada di situ
hanya berdiam diri. Sedari tadi dia langsung tidak memandangku.
“Baiklah. Kalau itu keputusan Nuha, mama
akan beritahu Mak cik Ita esok. Dah Nuha jangan risau. Syamir sekadar nak merisik.
Kalau Nuha tak suka tak apa. Nuha jangan risau ya.”
Mama Izzah senyum padaku. Aku sekadar
senyum hambar padanya. Papa Is yang turut berada di situ hanya diam.
“Baiklah. Mama dan papa nak masuk bilik
dulu. Ihsan, kamu tidur sini ke malam ni?” tanya mama pada anak bongsunya.
Cikgu Ihsan angguk sekali.
“Kalau macam tu mama naik dulu. Jom, bang.”
Perbincangan penting ini akhirnya tamat di sini sahaja. Aku yang masih lagi
terkejut dengan lamaran Syamir masih berada di situ sambil termenung panjang.
Tak sangka Syamir melamar aku. Kenapa
dia lamar aku? Dia sukakan aku? Bukankah sebelum ini dia asyik jeling tajam
pada aku. Senyum? Pun tak pernah.
Dia tu pun lelaki soleh. Takkan nak
kahwin dengan perempuan biasa-biasa macam aku ni. Kalau Syamir tahu aku ni anak
tak sah taraf, entah dia boleh terima ke tak aku ni. Hmm… Sememangnya lamaran
ini satu kesilapan. Tak mungkin aku terima!
“Abang nak masuk bilik dulu,” ujar Cikgu
Ihsan tiba-tiba. Dia bangun.
“Cikgu tahu pasal ni?” tanyaku pantas
tidak mahu dia pergi.
“Tahu,” jawabnya pendek lagi tak bermaya.
Aku termangu.
“Apa yang Syamir cakap pada cikgu? Dia…
dia suka saya?” Aku tanya lagi.
Cikgu Ihsan kembali duduk. Dia senyum
tanpa pandang aku.
“Siapa yang tak suka pada gadis sebaik Nuha,”
ujarnya dengan nada agak suram. Dia kecewa? Dia sedih? Atau apa?
“Tapi dia tak tahu saya ni siapa. Asal
usul saya. Kalau dia tahu mesti dia takkan sudi pandang saya pun.” Aku cuba
menegakkan kenyataan itu.
Cikgu Ihsan geleng. Kali ini barulah dia
pandang muka aku. Dan aku seperti biasa tidak mampu membalas renungan matanya.
“Syamir tak macam tu. Abang kenal dia. Dia
lelaki soleh. Lelaki baik. Mampu terima semuanya dengan hati yang terbuka. Baik
buruk Nuha, mesti dia dapat terima.”
Aku terpana lagi. Mengapa Cikgu Ihsan
seakan-akan sedang memujukku dan meyakinkan aku bahawa Syamir itu pilihan
terbaik untuk aku pilih? Adakah hal ini yang dibincangkan oleh mereka berdua di
hari terakhir kami berada di Janda Baik hari tu?
“Jadi perkara ni ke yang Syamir cakap
dengan cikgu dekat Janda Baik hari tu. Hari last kita dekat sana? Hmm?”
Cikgu Ihsan angguk. Perlahan.
“Dia tanya sama ada Nuha dah berpunya ke
belum.”
“Dia tanya sama ada Nuha ada apa-apa ke
dengan abang.”
“Sebab dia tengok abang dengan Nuha
rapat semacam.”
Syamir cakap semua tu pada Cikgu Ihsan?
Jadi maknanya dia risik-risik aku terlebih dahulu melalui Ihsan Zuhri.
“Erm… habis tu apa yang cikgu beritahu
dia?”
Cikgu Ihsan pandang aku. Aku terus
tunduk.
“Cikgu cakap perkara yang betul.
Hakikat… hakikat yang Nuha memang tak ada apa-apa dengan abang.” Berat suara
Cikgu Ihsan meluahkan semua itu.
“Nuha…” panggil Cikgu Ihsan perlahan.
Aku tetap tak angkat muka pandang dia.
“Kenapa Nuha tak nak terima dia? Dia
lelaki baik. Mampu jaga Nuha. Mampu membahagiakan Nuha. Nuha… Nuha bukan terikat dengan siapa-siapa
pun, kan?”
Aku hilang punca. Nada kendur Cikgu
Ihsan buat aku resah.
“Saya… saya…” Aku mula gagap.
Cikgu Ihsan akhirnya bangun lemah. Dia
menghela nafas panjang.
“Demi melihat Nuha bahagia, abang
sanggup buat apa saja. Dan andai Syamir mampu membahagiakan Nuha, abang rela
lepaskan Nuha untuk dia. Nuha layak untuk lelaki sebaik dia.”
Aku bingung. Apa maksud Cikgu Ihsan ni!
Macamlah aku cakap aku sayang Syamir. Apa semua ni!
Cikgu Ihsan terus melangkah naik ke
biliknya. Aku ditingggalkan di situ seorang diri dengan fikiran yang masih
bingung.
Apa yang sedang melanda hati Cikgu Ihsan
saat ini. Cemburukah dia atas lamaran Syamir? Tapi aku tak terima bukan? Apa
lagi yang Cikgu Ihsan tak puas hati? Dia nak paksa aku kahwin dengan Syamir
pulak ke?
++++++++
“Demi
melihat Nuha bahagia, abang sanggup buat apa saja. Dan andai Syamir mampu
membahagiakan Nuha, abang rela lepaskan Nuha untuk dia. Nuha layak untuk lelaki
sebaik dia.”
Kata-kata Cikgu Ihsan terngiang-ngiang
jelas di benak. Apa maksud dia bila dia sanggup lepaskan aku untuk Syamir?
Adakah itu tandanya dia masih cintakan aku seperti apa yang Kak Airin cakapkan?
Tapi bukankah Cikgu Ihsan sudah berjanji
untuk melupakan aku dan menganggap aku seperti adiknya. Dia tipu aku? Sekali
lagi dia mempersia-siakan kepercayaan yang aku bagi padanya?
Hmm… akhirnya keluhan berat itu sajalah
yang boleh aku luahkan. Hadiah pemberian dari Cikgu Ihsan aku tatap lama.
Sebuah komputer riba jenama Apple. Laptop yang sangat-sangat aku perlukan untuk
memudahkan aku membuat tugasan. Aku nak beli sendiri laptop ni tapi sekarang
aku tengah kumpul-kumpul duit. Tapi tak sangka Cikgu Ihsan hadiahkan aku benda
ni. Sekali lagi dia buat aku terhutang budi dengan dia.
Lelaki itu sentiasa menghadiahkan aku
banyak benda. Dia sentiasa ingin membahagiakan aku dengan pemberiannya. Dan aku
pula tidak pernah membalasnya. Tiada apa yang mampu aku balas melainkan ucapan
terima kasih. Kejamkah aku?
Apabila aku renung kembali setiap
layanan dan perhatian dari Cikgu Ihsan, maka kebenaran kata-kata Kak Airin ada
benarnya. Dia layan aku memang terlebih. Sampaikan aku jadi rimas.
Untuk aku betul-betul pastikan benda ni,
perlukah aku bertanya terus pada Cikgu Ihsan? Ah! Tak mungkin aku sanggup!
Biarkan saja dia dengan perasaannya. Aku tidak pernah minta perasaan itu hadir
dalam hatinya. Aku tidak sepatutnya memikirkan hal ni sangat. Aku tak bersalah.
Andai cikgu masih ada hati pada aku, aku tidak akan menerima layanannya darinya
lagi. Akan aku jauhkan diri darinya.
Ya, itu yang terbaik. Biar lelaki itu
sedar takkan pernah ada cinta dalam hatiku untuknya. Dengan cara itu saja Ihsan
Zuhri akan berhenti berharap bahawa Nuha Huda akan membalas cintanya.
++++++++
Malam itu, tekakku terasa kehausan.
Lantas aku bangun juga untuk turun ke dapur. Saat meniti anak tangga, aku terdengar
petikan gitar sayup-sayup kedengaran dari bawah. Aku cuba cari dari arah mana
bunyi gitar tu. Siapa pulak yang petik gitar malam-malam buta macam ni. Dah jam
satu pagi kot.
Entah-entah Cikgu Ihsan yang main gitar?
Kaki diatur perlahan ke ruang tamu. Saat
aku berpaling ke kanan, terdapat satu jasad manusia sedang duduk di atas kerusi
di tengah-tengah padang rumput yang sekelilingnya diterangi oleh lilin-lilin
kecil. Cikgu Ihsan duduk di situ sambil memetik gitarnya. Ini kali pertama aku
melihat dan mendengar lelaki itu memetik gitar.
Dan… sungguh aku tidak menyangka bahawa lelaki
itu juga pandai menyanyi. Aku leka berdiri di situ menghayati suara merdunya
mendendangkan sebuah lagu cinta yang biasa aku dengar di radio.
Aku
menyedari telah jatuh cinta
Tapi
aku tak bisa mengungkapkan
Terasa
bahagiaku mencintaimu
Walaupun
kau belum mencintaiku
Aku
di sini kan selalu menunggu
Yang
selalu ada di setiap waktumu
Selalu
menanti jawapanmu
Untuk
cinta yang terakhir
Entah kenapa saat itu, rasa sayu menyapa
ke tangkai hati. Lirik lagu Tetap Menantimu dari Nomad itu buat aku jadi sebak.
Benar orang kata. Bila kita gembira, kita menikmati sesebuah lagu tu. Tapi bila
kita bersedih, kita akan menghayati lirik lagu tu.
Adakah Cikgu Ihsan menyanyikan lagu tu
bagi meluahkan isi hatinya kepadaku?
Rasa bersalah menyelinap masuk ke ruang
jiwa. Adakah aku sudah menggantungkan perasaan Ihsan Zuhri tak bertali? Andai
masih tiada cinta dalam hatiku untuk dia, adakah dia akan terus menantiku
sampai bila-bila? Dan… menjadikan aku cinta terakhirnya?
Semakin
kubisa untuk menyayangi
Semakin
kubisa untuk mengerti
Dari
semua hidup mu yang penuh duka
Kan
aku hapus menjadi indah
Tak
akan pernah hilang rasaku
Cinta
yang membawa dalam hatiku
Bagai
mata yang tak terpejam
Aku
tetap menantimu
BAB 42
Sejak dari peristiwa lamaran Syamir itu,
satu perubahan drastik telah berlaku dalam diri Cikgu Ihsan. Dia makin menjauhi
aku. Dia sudah tidak mahu bercakap dengan aku. Entah apa yang ada dalam fikirannya.
Bukankah aku tidak bersetuju dengan lamaran Syamir. Apa lagi yang cikgu tak
puas hati? Perlukah aku yang memulakan bicara dengannya?
Tapi…
Bukankah keadaan itu lebih baik. Biarkan
saja perkara itu berlanjutan seperti itu. Biarkan saja kami berdua begini. Lambat-laun
rasa cinta Cikgu Ihsan pada aku akan terkubur juga. Dan aku tak perlu berkorban
untuk menerimanya.
Tapi kenapa setelah apa yang terjadi ini,
aku rasa seperti kehilangan. Aku rindu pada usikan dan layanan serta perhatiannya.
Ada sesuatu yang berlaku pada hati ni. Sesuatu yang aku sendiri tidak pasti
apa.
Petang itu, lepas kuliah bukan Cikgu
Ihsan yang datang ambil aku. Tapi Kak Airin. Terkejut juga aku dengan kehadirannya.
Dia datang dan ajak aku ke shopping mall.
Teman dia beli barang untuk pulang ke Amsterdam minggu depan. Aku ikutkan saja.
Lagipun Mama Izzah dah bagi green light.
“Nuha dengan Ihsan macam mana? Okey?”
soal Kak Airin sambil belek-belek baju di hadapannya. Kami singgah di butik Ladies.
Aku yang tercengang hanya diam lalu
angguk lemah. Okey ke aku dengan Cikgu Ihsan? Makin KO adalah.
“Iya ke okey. Kenapa yang dekat sana
masam yang dekat sini masin,” bidas Kak Airin bagaikan cuba untuk memujuk aku
membongkar rahsia.
“Nuha rasa okey aje,” jawabku masih cuba
berdalih.
Kak Airin mengeluh lemah. Dia ajak aku
keluar dari butik dan kami cari tempat untuk duduk.
“Akak kasihan dekat kau orang berdua ni.
Sorang tu tengah frust sebab tengah
makan hati tak boleh nak buat apa-apa dengan cinta dia. Dan sorang lagi ni,
pura-pura macam tak ada apa-apa tapi sebenarnya tengah bimbang fikir yang sorang
lagi tu.”
Adakah Kak Airin maksudkan aku dan Cikgu
Ihsan?
Cikgu Ihsan tengah frust? Dah kenapa dia frust?
Makan hati bagai.
Tiba-tiba Kak Airin paut tangan aku. Sekali
lagi dia cuba memujuk aku untuk menerima Ihsan Zuhri dalam hidup ini.
“Ihsan merana Nuha buat macam ni.” Aku
terpempan. Pantas kutatap wajah Kak Airin. Muka dia serius sangat.
“Ihsan cintakan Nuha. Ihsan nak sangat
jadikan Nuha suri di hati dia. Tapi dia tak pandai memaksa. Akhirnya dia pendam
saja. Andai Nuha masih ada rasa simpati pada dia, tolong… akak merayu…tolong
bagi Ihsan satu aje peluang. Bukan… bukan untuk dia aje tapi peluang untuk kau
orang berdua. Izinkan hati Nuha untuk jatuh cinta.”
Tidak terkata aku. Permintaan Kak Airin
amat berat untuk aku turuti. Sekali lagi dia memaksa aku menerima cinta Cikgu
Ihsan. Dan aku takkan sesekali bersetuju! Berapa kali nak cakap!
“Kak Rin nak Nuha pura-pura cintakan dia? Hmm? Nuha tak boleh. Kenapa Kak Rin
susah nak terima hakikat ni. Nuha tak cintakan dia!” Tangan kutarik kasar.
Kenapa aku rasa Kak Airin agak busybody dalam
urusan aku dan Cikgu Ihsan. Buat nampak semua ni macam salah aku sorang saja!
Kak Airin memicit-micit dahinya. Dia juga
seakan-akan sukar untuk berkata-kata.
‘Dia terasa ke aku tinggikan suara pada
dia tadi? Ah biarkan. Biar dia tahu aku tak main-main. Aku bukan tipikal gadis
kampung yang sanggup berkorban dalam soal cinta!’ Hati ini bermonolog tekad.
“Akak tahu Nuha tak cintakan Ihsan.
Tapi… tak boleh ke Nuha bagi peluang untuk diri Nuha dan dia. Peluang untuk bina
cinta tu. Peluang untuk buka hati Nuha untuk terima Ihsan. Susah ke?”
Aku mendengus.
“Cinta tak boleh dipaksa, kak. Kalau lepas
Nuha bagi peluang untuk hati Nuha belajar cintakan dia, andai perasaan cinta tu
tetap tak hadir… siapa yang akan kecewa kak? Cikgu Ihsanlah yang akan paling kecewa.
Biarlah dia kecewa sekarang. Dia dah cukup tahu Nuha tak mampu cintakan dia.
Kenapa nak perbesarkan hal ni lagi…”Aku bangun. Tangan Kak Airin aku sahut dan
kukucup penuh hormat.
“Nuha nak balik. Nuha balik sendiri. Nuha
minta maaf andai kata-kata Nuha dah mengguris hati akak. Tapi keputusan Nuha
tetap sama. Nuha takkan pura-pura cintakan siapa-siapa. Nuha percaya cinta itu
hanya akan lahir dari hati yang ikhlas. Bukan paksaan…”
Aku terus menapak pergi. Hati ini terasa
sakit terhimpit dalam keadaan ini. Makin rumit jadinya keadaan aku.
Kalau macam inilah keadaannya, baik aku
balik kampung dan relakan diri ini didera oleh Mak Su Kinah saja!
Patutkah aku lari saja dari keluarga
angkatku ini? Kembali ke keadaan dulu. Aku memang tak mampu bagi apa-apa
peluang pada Cikgu Ihsan. Kenapa semua orang nak paksa aku. Paksa aku jatuh
cinta. Semua ni mengarut!
“Nuha Huda!”
Aku segera berpaling. Kak Airin berdiri
sambil merenungi dengan pandangan cukup tajam.
“Kalau susah sangat Nuha nak terima
Ihsan, akak akan paksa Auntie Izzah lamar Nuha depan semua! Masa tu, Nuha
takkan mampu tolak lagi cinta Ihsan!”
Mulutku melopong. Apa semua ni, Kak
Rin?!
+++++++
Jam lapan malam, baru aku tiba ke rumah.
Melihat banyak kereta berada di luar rumah sudah membikin hati aku resah. Apa
yang dah jadi? Ya Allah… adakah sesuatu sudah berlaku?
Melangkah masuk ke ruang tamu, aku tercengang
melihat susunan dulang hantaran yang tersusun rapi. Ruang tamu rumah menerima
kehadiran tetamu yang agak ramai. Dan kebanyakkan mereka adalah dari keluarga
mama dan papa. Ada juga muka-muka yang tidak aku kenali.
Dulang hantaran? Ramai tetamu? Majlis
apa ni?
Perlahan-lahan aku menapak mendekati mereka.
Saat aku melihat Cikgu Ihsan duduk di situ sambil tersenyum padaku, aku hilang
punca.
Fikiran ku terus teringat pada kata-kata
Kak Airin.
“Kalau
susah sangat Nuha nak terima Ihsan, akak akan paksa Auntie Izzah lamar Nuha depan
semua! Masa tu, Nuha takkan mampu tolak lagi cinta Ihsan!”
Ya Allah, adakah majlis ini ada kaitan
dengan Kak Airin? Dia cukup nekad untuk satukan aku dengan Cikgu Ihsan secara
paksa? Siapa yang memaksa sekarang. Cikgu Ihsan atau Kak Airin!
Melihat Cikgu Ihsan bangun, aku turut
menapak ke arahnya. Merasa kusut dan semak dengan segala macam masalah dalam
kepala otak, tak semena-mena terhambur amarahku padanya di hadapan semua
tetamu. Suasana jadi sunyi sepi. Cikgu Ihsan tak berkelip memandangku.
“Berapa kali Nuha nak cakap, hah? Jangan
paksa Nuha terima cinta cikgu! Nuha tak cintakan cikgu. Nuha tak mampu nak
paksa hati Nuha terima cikgu. Cikgu tolonglah jangan buat Nuha rasa bersalah.
Ya, Nuha terhutang budi dengan cikgu sekeluarga. Cikgu dah bagi Nuha kehidupan
baru. Tapi…. tapi itu tak bermakna Nuha akan sudi terima cikgu dalam hidup Nuha.
Itu satu simpati namanya! Hubungan yang berlandaskan simpati entah di mana
kejujurannya, cikgu. Cikgu akan merana. Nuha akan merana. Kita berdua akan merana!”
Suasana jadi sepi. Lama.
Turun naik nafasku menahan marah. Sudah
melayang rasa maluku. Aku hanya nak Cikgu Ihsan faham dan yakin aku takkan
balas cinta dia. Apa nak jadi, jadilah!
Saat mataku dan matanya bertemu, ada
setitis mutiara jernih yang terbit dari tubir mata Cikgu Ihsan.
Aku terkesima.
“Nuha! Ya Allah…” Mama meluru
mendapatkan aku. Suasana mula jadi gamat.
“Nuha dah salah faham. Majlis
pertunangan ni bukan untuk Nuha dan Ihsan. Majlis ni untuk Airin. Airin dan
Ferhad. Semua ni berlaku tanpa dirancang. Pihak lelaki datang mengejut. Mama
cuba call Nuha tapi Nuha tak angkat. Nuha,
Nuha jangan salah faham, sayang…”
Dengar tidak dengar saja kata-kata mama
itu ke corong telingaku. Tubuhku terasa menggigil dan lemah.
Bulat mataku memandang wajah tenang Cikgu
Ihsan. Lelaki itu hanya senyum. Senyum sedangkan matanya makin berkaca. Tanpa
sebarang kata, dia terus melangkah pergi dari situ.
Aku kaku. Ya Allah, apa yang dah aku
buat ni…
BAB 43
“Apa yang Nuha dah buat, ma. Nuha… Nuha
dah malukan kau orang semua. Nuha… Nuha memang bodoh!” Kutampar-tampar badanku
sendiri. Sungguh, aku sangat-sangat merasa kesal dan menyesal dengan apa yang
aku katakan. Aku memang bodoh!
Mama pantas memelukku. Dia memujuk. Papa
juga berada di situ cuba menenangkan aku.
“Tak apa, sayang. Nuha salah faham aje tadi.
Semuanya pun dah selesai. Rin pun dah selamat ditunangkan dengan Ferhad. Dah Nuha
jangan sedih lagi...”
Aku geleng. Makin bertambah pedih hati
aku tatkala melihat wajah tenang mama. Dia tenang tapi suaranya lemah dan sayu.
Aku tahu dia juga pasti sangat sedih dengan apa yang sudah aku luahkan pada
anak bongsunya tadi.
“Nuha bersalah, ma. Nuha dah lukakan
hati Cikgu Ihsan. Nuha dah malukan dia. Nuha dah malukan keluarga mama depan
keluarga Ferhad. Nuha tolak cinta dia depan semua orang. Nuha dah malukan dia
ma. Nuha…”
“Sedar pun kau dah malukan dia!
Perempuan tak sedar diri!”
Aku pantas memalingkan muka ke pintu. Di
situ berdiri Kak Airin dengan wajah bengisnya. Dia cuba meluru ke arahku.
Pantas Papa Is menarik tangan Kak Airin namun Kak Airin tepis lembut tangan tu.
“Lepaskan Rin, uncle. Banyak benda Rin
nak sedarkan pada budak tak kenang budi ni!”
“Istighfar, Rin. Istighfar. Jangan
ikutkan hati Rin yang tengah marah tu.” Papa Is memujuk. Kak Airin tetap
geleng. Dia melangkah berdepan dengan aku. Ketajaman renungan matanya buat aku
peluk Mama Izzah lebih erat.
“Kau manusia yang tak reti bersyukur, Nuha!
Dah banyak Ihsan berkorban untuk kau. Dah banyak dia tolong kau. Dia korbankan
kerjaya dia jadi cikgu untuk jaga kau dekat sini. Dia korbankan perasaan dia
semata-mata sebab dia tak nak kau pergi dari rumah ni. Dia jaga keselamatan
kau. Kau memang…”
“Dahlah, Rin. Ya Allah… jangan gaduh
macam ni. Sudah…” Mama cuba menenangkan keadaan.
“Tak, auntie. Rin nak sedarkan budak tak
sedar diri ni. Biar dia sedar diri tu sikit. Menumpang dalam rumah ni, dapat kasih
sayang tak berbelah bagi dari auntie, uncle dan Ihsan… tapi tak reti langsung
nak balas. Tak besar pun pertolongan yang aku mintak dari kau tu Nuha. Aku cuma
mintak kau bagi peluang pada Ihsan. Tapi kau degil. Kau ego. Kau rasa hati kau
tu milik kau sorang. Kalau kau nak tahu, semua orang dalam rumah ni nak sangat
tengok kau dengan Ihsan bersatu. Tapi takde
sorang pun yang berani nak paksa kau. Sebab apa? Sebab dia orang takut kau lari
dari rumah ni. Takut kau hidup seorang diri dekat luar sana. Takut kau balik
kampung kena dera lagi dengan mak su kau!”
Air mataku makin galak mengalir.
Teresak-esak aku menangis di bahu Mama Izzah. Benarkah mama dan papa serta
semua dalam rumah ni mahu aku dan Cikgu Ihsan bersatu? Kenapa hal itu tidak
pernah sampai ke telinga ini?
“Kalau kau rasa kau tak boleh terima Ihsan,
kau tak boleh balas cinta dia, kenapa kau tak pergi aje dari rumah ni.
Pergilah. Pergi jauh-jauh dari keluarga ni. Pergi bina hidup kau sendiri!”
Lantang suara Kak Airin menjerit padaku.
Namun anehnya baik Papa Is atau Mama Izzah mahupun Nek Som, mereka bertiga
langsung tidak cuba menenangkan aku lagi. Hati ini mula terasa terasing dan
sendiri…
“Sekarang kau kemas baju-baju kau dan
kau boleh berambus dari rumah ni. Kau tak cintakan Ihsan kan. Kau tak sanggup
nak bagi peluang pada dia kan. So kau
boleh pergi dari sini. Kau tak rela berkorban sedangkan semua orang dalam rumah
ni sanggup berkorban apa saja untuk kau!”
“Dahlah Rin. Cukuplah tu. Mari kita
keluar.” Papa Is menarik lengan Kak Airin. Diajak gadis bermuka bengis itu
keluar.
Sebelum pergi, sempat Kak Airin
menjeling tajam padaku bagai dendam kesumat sudah terisytihar antara kami
berdua. Papa Is berjaya membawa Kak Airin keluar. Suasana jadi sunyi setelah
itu.
“Mama…” Aku halang Mama Izzah yang turut
mahu pergi dari situ.
“Mama, Nuha minta maaf. Nuha memang tak
tahu kenang budi. Nuha… Nuha tak sangka mama dan semua… nak… Nuha dan cikgu…”
Mama Izzah lurut perlahan tanganku
daripada terus memegang tangannya. Aku terkesima buat sesaat. Entah kenapa saat
itu hatiku mula bimbang dan takut. Takut andai kasih sayang mama akan pudar
buat selama-lamanya untuk aku…
“Mama betul ke apa yang Kak Rin cakap? Mama
dan papa nak Nuha bersatu dengan Cikgu Ihsan?” Aku tanya lagi. Untuk satu
kepastian.
Mama tak menjawab soalan aku. Dia diam
dan ingin melangkah. Aku pantas bangun dari katil dan memeluk tubuhnya erat.
“Kenapa mama tak pernah cakap hal ni
dengan Nuha. Kalau Nuha tahu… Nuha… Nuha…”
“Kalau Nuha tahu sekalipun, Nuha tetap
takkan bersetuju untuk tunaikan permintaan mama tu kan?”
Aku kehilangan kata. Pelukanku terlerai.
Saat itu mama usap kedua-dua pipiku. Dia
senyum dalam tangisan.
“Mama sentiasa berharap agar suatu hari
nanti hati Nuha akan terbuka untuk terima Ihsan. Mama simpan harapan tu
sendirian. Mama harap sangat impian tu akan jadi kenyataan. Tapi…” Mama Izzah
berjeda.
“Tapi lepas apa yang Nuha cakap dekat Ihsan
tadi… mama mulai yakin sekarang. Yakin seyakin-yakinnya… walau sekalipun mama
merayu pada Nuha untuk terima Ihsan, Nuha takkan terima anak lelaki mama tu
dalam hidup Nuha. Tak mengapalah Nuha. Soal hati dan perasaan takkan pernah
mampu kita paksa-paksa. Nuha ada hak untuk terima siapa yang bakal menghuni
hati Nuha. Dan lelaki tu sudah mestinya bukan Ihsan Zuhri, anak mama.”
Mama terus melangkah pergi tanpa
berpaling lagi. Nek Som juga pergi macam tu aje tanpa langsung memujuk aku.
Aku rebah di situ menyesali kata-kata
yang telah aku luahkan pada Cikgu Ihsan. Betapa kejamnya diriku ini sudah melukakan
banyak hati. Kufikirkan aku hanya melukakan hati Cikgu Ihsan namun di sebalik
itu semua, ramai hati yang turut tercedera dengan perbuatanku.
+++++++
Beberapa hari telah berlalu sejak dari
peristiwa mendukakan itu. Sudah beberapa hari juga aku tidak ke kolej. Aku tak
sanggup nak buat macam tak ada apa-apa yang berlaku. Hakikatnya hati aku sekarang sedang cedera.
Parah.
Gee dah bertanya macam-macam soalan. Risau
dia dengan kehilangan mengejut aku. Aku berbohong padanya mengatakan aku demam.
Dia nak datang melawat tapi aku tak bagi. Aku perlukan masa. Masa untuk merawat
hati aku yang sudah mula merasa sakit dan perit yang amat sangat.
Sejak dari kejadian malam tu, aku tak
nampak lagi bayang Cikgu Ihsan. Dia langsung tak ke sini menjenguk ibu bapanya.
Jauh sekali nak jenguk aku yang dah lukakan hati dia.
Ke mana dia menghilang. Merajuk benarkah
dia dengan aku? Mungkin bukan setakat merajuk tetapi hati Ihsan Zuhri pasti
sudah hancur!
Hubungan aku dengan mama dan papa juga
sudah hilang serinya. Mama Izzah ada menegurku seperti biasa. Tapi dapat aku
rasa kasih sayangnya tidak seperti biasa. Papa Is juga sama. Pagi-pagi lagi
sudah keluar ke bengkel. Bagaikan dia tak sudi bertembung muka dengan aku. Hmm…
aku rasa sunyi. Sangat sunyi. Setelah lama aku dibuai dengan segala kenikmatan,
aku tahu ini semua adalah ujian dari Tuhan. Allah sedang menguji aku. Moga aku
kuat, ya Allah…
Dan Kak Airin pula sudah pulang ke
Amsterdam semalam. Hujung tahun ni dia bakal berkahwin dengan pilihan hatinya.
Tak sangka Kak Airin ada teman tapi mesra. Salah aku juga kerana tidak ramah
untuk bertanya. Kini, aku terima akibatnya. Terjadilah salah faham yang sangat
besar sekaligus membuat banyak hati sedang terluka.
Ya Allah… aku buntu. Sangat buntu. Apa
yang perlu aku buat sekarang. Perlukah aku mengikut saja permintaan Kak Airin.
Sedar diri sendiri tu menumpang dan tak mampu berkorban maka aku patut pergi
saja dari keluarga ini? Itukah yang terbaik?
Semalam, Kak Inas dan Kak Irine ada balik.
Semuanya jeling aku macam nak telan. Mungkin dah tahu apa yang terjadi. Sungguh
aku merasa sangat kerdil. Bagaikan aku kembali hidup terasing. Hidup dipandang
serong.
Hanya Nek Som yang sudi berbual dan memberi
aku kata-kata semangat. Dia pujuk aku untuk bersabar. Banyakkan bersabar dan
bertenang. Jangan keruhkan keadaan. Diam lebih baik saat ini. Itu pesan Nek
Som.
Diam? Sampai bila aku perlu diamkan diri?
Aku perlu selesaikan semua ini dengan segera. Walau aku terpaksa pergi dari
sini sekalipun, aku perlu selesaikan apa yang sudah aku mulakan.
Aku perlu minta maaf pada seseorang yang
hatinya saat ini sedang terluka dengan perbuatanku - Cikgu Ihsan.
Miss Pupu aku capai laju. Teragak-agak
untuk aku dial nombor lelaki itu. Tapi apabila memikirkan aku yang mulakan semua
ini, aku paksa jari mendail nombornya.
“Nombor yang anda dail
tiada dalam perkhidmatan kami. Sila…”
Butang merah segera aku tekan. Ah! Di
mana harus aku cari jejak Cikgu Ihsan?
Perlukah aku bertanya pada mama?
++++++++
“Mama…” Aku mendekati mama yang sedang
duduk termenung di sofa. TV dibuka tapi dapat aku rasakan fikiran mama pasti
tengah melencong ke lain. Mungkin sedang memikirkan hal aku dan Cikgu Ihsan.
Betapa kesalnya rasa hati ini. Aku telah membebani fikiran mama dan papa dengan
masalah yang tiba di luar kawalan aku sendiri.
“Mama…” Aku duduk di sebelahnya. Untuk
menggamit tangan mama, aku masih lagi rasa segan. Terasa ada jurang yang terbit
antara kami.
“Eh, Nuha. Kenapa, nak?” Mama senyum
hambar padaku. Tangannya ringan diletakkan ke atas ribaku.
Aku serba salah. Andai aku bertanya akan
soalan itu mungkinkah mama ingin menjawab. Atau mungkin mama tidak ingin aku
mendekati anaknya lagi. Cukup-cukuplah aku menyakiti hati Cikgu Ihsan.
“Nuha… Nuha sebenarnya…” Aku kehilangan
kata. Wajah hanya mampu kutundukkan memandang ke permaidani.
“Kenapa, sayang? Nuha ada masalah ke?” Mama
bertanya penuh prihatin. Tetap dengan sikapnya yang penuh kasih sayang.
Memikirkan aku perlu segera
menyelesaikan masalah antara aku dan Cikgu Ihsan, aku akhirnya nekad bertanya.
Muka aku tebalkan.
“Nuha… Nuha nak tahu dekat mana Cikgu
Ihsan sekarang. Nuha… Nuha nak jumpa dia. Nuha nak mintak maaf dengan dia, ma.”
Mataku dan mata mama saling berbalas
renungan. Berubah saat itu wajah mama. Dia berpaling ke lain buat seketika.
Lantas dia mengeluh pula.
“Andai saja bukan maaf yang Nuha nak
minta dari dia. Tapi… cinta yang Nuha nak hulurkan padanya.” Aku kaget. Mama
masih berharap? Ya Allah, jangan buat aku terus dihimpit rasa bersalah!
“Ma, Nuha mintak maaf. Nuha tak boleh. Nuha
tak boleh lakukan semua tu dalam keadaan terpaksa.” Aku genggam kemas tangan
mama. Cuba membuat dia faham.
Mama senyum padaku. Tawar senyumannya.
Hmm… Kejamkah aku? Tidak mengenang
budikah aku? Sudah diberi kasih sayang dan tempat tinggal, perkara sekecil ini
pun aku tak sanggup berkorban.
Kecil? Tak. Bagi aku ia satu perkara yang
besar. Setiap yang melibatkan perasan, ia sangat besar padaku.
“Maafkan mama jugak tetap saja mahu
berharap pada Nuha. Hmm… tak apalah sayang. Semua ni perlukan masa, bukan? Erm…
Nuha nak jumpa Ihsan? Ihsan sekarang ada dekat rumah anak yatim. Nuha carilah dia dekat sana. InsyaAllah dia
ada dekat sana. Tak pergi mana-mana pun.”
Apa yang mampu aku balas hanyalah sebuah
anggukan. Sudah tiada kata yang mampu aku luahkan. Kerana semakin aku banyak
meluahkan kata, aku tahu makin sakit hati-hati yang mendengarnya. Kerana
jawapan aku tetap sama. Aku takkan terima Cikgu Ihsan atau bagi dia peluang.
Ya, aku degil. Dalam keadaan aku terhutang budi dengannya, dan aku masih lagi
jauh perjalananku untuk mengejar cita-citaku, banyak perkara yang perlu aku
fikirkan. Bukan soal cinta menjadi fokus utamaku.
Banyak yang perlu aku buktikan. Buktikan
pada maksu dan paksu dan orang kampung. Buktikan pada mereka semua bahawa aku
sudah berjaya menjadi orang yang berguna! Andai masalah cinta membelenggu diri,
apa akan jadi pada masa depanku. Menerima Cikgu Ihsan ibarat aku sudi dikahwin
paksa dengannya. Kahwin paksa bermakna kahwin tanpa cinta. Itu sudah cukup
membuat hidup merana.
#Selamat menyambut bulan Ramadan saya ucapkan kepada semuaaaaaa pengunjung blog serba kekurangan ni. Terima kasih atas kesudian korang yg follow cerita biasa-biasa ni dan follow cerpen-cerpen cikpenulis yg kontot-kontot je tu. hehe...
#Malam ni insyaAllah lepas Maghrib kita dah masuk 1 Ramadan. Boleh tak cikpenulis nak buat pesanan penuh kasih sayang sikit? :)
1. Jom malam ni lepas Maghrib kita tunaikan solat sunat taubat 2 rakaat. Jom kita masuk bulan Ramadan yg penuh keberkatan ni dengan penuh sifat hamba. Sudah menjadi tugas seorang hamba itu bertaubat/kembali kepada Allah setelah berbuat dosa tak kira kecil atau besar, sikit atau banyak. Allah sangat sayang pada hamba-hambaNya yang menyucikan diri (yakni bertaubat kepadaNya)
2. Ibadah puasa kita akan jadi sangat penat kalau time puasa pun kita tetap tak mampu jaga mulut, jaga pandangan mata dan lain-lain maksiat. Penatnya puasa kalau ;
c) masih cakap kasar dengan mak ayah
e) dan lain-lain dosa yg boleh buat pahala puasa kita berkurang
Kita memang bukan nak jadi hamba Ramadan tapi bulan Ramadan nilah waktu/kesempatan paling paling paling baik untuk kita BERUBAH. Berubah menjadi seorang hamba Allah yg benar-benar mahu memburu SYURGA Allah.
Oh lupa nak pesan satu lagi. Jangan lupa baca QURAN yer guys ^^ Kalau tak pandai ngaji atau uzur, boleh sibukkan diri dengan zikir, tolong sediakan juadah berbuka, bersedekah, tolong orang. Banyakkkkk yg boleh kita buat. Semuanya dapat pahala berganda-ganda.
Ahlan wa sahlan ya Ramadhan. ^_^
Salam Ramadhan dan selamat berpuasa untuk cik penulis... =)
ReplyDelete:) Selamat berpuasaaa.
Deleteberpisah la dgn Ihsan dn Nuha utk sebln lbh nie..
ReplyDeletekeciannye kat Ihsan.. Uwaaa...
Slmt berpuasa utk cik Zu juga..
Berpisah seketika cuma.hehe..
Deleteselamat rindukan ihsan ye kak..
ye kak slmt berpuasa jugak.. ramadhan kareem ^^