Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
BAB 2
Keesokan harinya aku memulakan hari seperti
biasa. Tanpa semangat. Tanpa wajah ceria. Juga tanpa senyuman. Yang ada hanya
rasa sedih dan rasa sakit yang masih berbekas di hati dan pada kulit lenganku.
Masuk saja waktu rehat, aku terus
bergerak ke satu tempat. Sebuah tempat rahsia yang menjadi tempat untuk aku meluahkan
perasaan sedih yang terbuku di hati. Sebuah tempat rahsia yang hanya aku saja
yang tahu. Tiada pelajar lain yang sanggup melepak di sana. Tempat yang
tersembunyi yang di sekelilingnya hanya ada lalang dan rerumput panjang.
Sesampai saja aku di bangunan tangki air
lama yang terletak di belakang sekolah, aku terus duduk di port kegemaranku. Sebuah bangku kecil menjadi tempat aku duduk.
Nafas kuhela panjang. Cerita ibu tentang
Mak Su Kinah menjengah ke fikiran. Jadi itu penyebab mak su membenci ibu. Segalanya
kini sudah terbongkar. Aku mulai mengerti…
“Nuha tahukan ibu ni bekas pelacur.”
Sukar untuk aku mengiyakan pertanyaan itu. Lantas, aku hanya mendiamkan diri
sambil memandang lantai.
“Masa kecil dulu, ibu diberi ilmu agama
yang terbaik oleh arwah mak dan ayah. Ibu dan Kinah tak pernah tinggal solat,
tak tinggal ngaji, selalu ikut mak
ayah pergi surau. Tapi semenjak arwah atuk Nuha meninggal, perangai ibu mula
berubah. Ibu makin berani melawan cakap mak.”
Satu keluhan berat dilepaskan olehnya.
Air mata yang mengalir ke pipi diseka dengan jarinya. Pasti hatinya sakit
membuka kembali kenangan berdarah itu.
“Ibu berdosa dengan arwah mak. Ibu gagal
menjadi anak yang baik. Ibu gagal jadi kakak yang baik untuk Kinah. Setiap kali
Kinah nak dekat dengan ibu, ibu langsung tak layan dia. Ibu lebih pentingkan
kawan-kawan. Mungkin sejak itulah Kinah menyimpan dendam pada ibu.”
“Tamat saja sekolah, ibu nekad untuk
ikut kawan ibu ke Kuala Lumpur. Atas alasan nak cari kerja dan timba
pengalaman. Arwah mak tak izin ibu pergi tapi ibu degil. Ibu tetap pergi.”
Ibu diam lama setelah itu. Wajahnya
jelas menggambarkan penyesalan.
“Ibu tinggalkan arwah mak dan Kinah dekat
kampung. Hidup di Kuala Lumpur tidak seindah yang disangka, sayang. Ibu hidup
susah dekat sana. Berbulan-bulan ibu cari kerja tapi ibu tak dapat satu kerja
pun. Mungkin semuanya berlaku sebab ibu dah derhaka dengan arwah mak. Timbul
keinsafan untuk balik ke kampung tapi ibu dihalang. Ibu dihalang oleh kawan
ibu. Dia menawarkan ibu satu pekerjaan. Melihat hidupnya serba-serbi mewah ibu
nekad untuk jadi seperti dia. Ibu jadi pelacur, Nuha. Pelacur…”
Air mata makin melebat. Ya Allah, tabahkan
hati ini untuk mendengar hakikat yang satu ini.
Hidup sebagai seorang anak kepada seorang
bekas pelacur bukanlah satu perkara yang mudah.
Mak Su Kinah menjaja cerita di seluruh
kampung mengenai status aku sebagai anak haram. Tak sangka wanita itu berbangga
sekali menceritakan aib anak saudaranya sendiri. Bermula dari detik itulah, aku
dihina dan dipandang serong oleh orang kampung. Berita ini juga sampai ke
telinga kawan-kawan aku di sekolah. Sekali lagi aku dihina. Lagi dan lagi.
Hanya Allah saja yang tahu perasaan aku
menanggung semua penghinaan itu. Kawan-kawan mula menjauhkan diri dari aku. Tak
habis-habis mereka mengejek. Panggil aku dengan panggilan yang sungguh
menghinakan. Bukan aku saja yang mereka hina, ibu turut terkena tempiasnya.
Apa daya aku untuk melawan. Walaupun aku
melawan, aku tetap dianggap dan digelar anak haram. Aku benci dengan semua ini.
Aku benci!
“Beberapa bulan hidup mewah dengan hasil
duit haram, ibu disahkan mengandung. Ibu mengandungkan Nuha.” Suara ibu
membangunkan aku dari lamunan. Kemas aku mengepal penumbuk. Sudah tidak sanggup
lagi untuk aku dengar semua ni, ya Allah. Cukup!
“Kehadiran Nuha benar-benar satu rahmat
bagi ibu. Hanya Allah saja yang tahu betapa ibu bersyukur dengan kehadiran Nuha
dalam hidup ibu.” Pandanganku terus beralih pada ibu. Bagaimana pula anak haram
seperti aku mampu menjadi rahmat dalam hidup ibu.
Ibu pandang aku dengan senyuman nipis. Dia
tersenyum dalam rendaman air mata.
“Nuha mengajar ibu erti kembali. Kembali
kepada mak, kembali kepada Kinah dan lebih penting kembali kepada Sang
Pencipta. Kerana mengandungkan Nuha buat ibu tidak sanggup lagi untuk
meneruskan maksiat yang ibu lakukan. Ibu nekad untuk berhenti menjadi pelacur
buat selama-lamanya. Hidayah milik Allah, Nuha. Kerana Dia masih menyayangi
ibu, Dia ingin melihat ibu kembali kepadaNya. Ya Allah, ibu banyak dosa, Nuha…
banyak sangat…” Makin kuat tangisan ibu berlagu. Sebak di hatinya terlakar
jelas di wajahnya.
Aku segera mendekati ibu. Tubuh ibu
terus aku peluk.
“Dah. Ibu jangan cerita apa-apa lagi. Nuha
tak nak ibu sedih.” Pelukanku itu cuba ibu rungkaikan. Sedikit bingung aku dengan
tindakannya itu.
Sambil menggenggam tangan kuerat, ibu
menggelengkan kepalanya. Dia masih tetap ingin terus bercerita tentang kisah
silamnya.
“Tak, sayang. Nuha perlu tahu tentang
masa lalu ibu. Ibu tak nak Nuha dengar dari orang lain. Walaupun perit, biarlah
ibu yang beritahu Nuha hakikat ni. Dan hakikat kenapa mak su selalu sakitkan
hati Nuha.”
Aku diam saja. Tidak bersuara apa-apa.
Biarkan saja ibu meneruskan kata.
“Ibu beranikan diri balik ke kampung
semata-mata demi meraih keampunan dari arwah nenek Nuha. Ibu juga kembali untuk
menggalas semula tugas ibu sebagai seorang kakak kepada Kinah. Ibu sudah
bersedia dengan apa saja penerimaan mereka berdua. Andai mereka menendang ibu
sekalipun, ibu takkan berputus asa.”
Ibu menarik nafas buat seketika.
Kisahnya disambung lagi. Semakin lagi semakin sayu suaranya.
“Tapi… sangkaan ibu meleset. Arwah mak
begitu gembira dengan kepulangan ibu. Dia menerima ibu dengan seikhlas hatinya,
sayang. Mulianya hati mak…”
“Ibu pernah tanya dia. Kenapa dia sudi
mengampunkan ibu dan menerima ibu yang sudah mengandungkan anak luar nikah ni.
Ibu dah malukan dia, Nuha. Tapi dia tetap terima ibu semula. Nuha nak tahu apa
jawapan dia?” Aku angguk sekali. Dalam sebak aku menanti penuh sabar jawapan
ibu.
“Kata arwah mak…”
“Nur Aminah,
siapa mak untuk membenci kamu. Siapa mak untuk tidak ampunkan kamu. Sedangkan
Allah pemilik alam ini telah mengampunkan dosa kamu. Andai Dia tidak
mengampunkan kamu, mana mungkin kamu akan kembali ke sisi mak sekarang. Kerana
kasih sayang dariNya, mak tak sanggup untuk membiarkan kamu dan cucu mak hidup
dalam terbuang.”
“Saat tu hanya Allah saja yang tahu
betapa menyesalnya ibu dengan apa yang dah ibu lakukan. Kalau ibu boleh
putarkan waktu, ibu takkan lakukan perkara terkutuk tu, sayang. Ibu kalah
dengan hawa nafsu. Ibu kalah dengan godaan syaitan. Ibu berdosa besar, Nuha.”
Aku peluk lagi tubuh ibu. Lebih erat.
Biarkan dia merasa dia ada aku saat ini.
“Kita sentiasa muda untuk melakukan dosa.
Tapi kita tak pernah tua untuk bertaubat. Itu yang ibu selalu pesan pada Nuha,
kan? Nuha bersyukur sangat sebab ibu tak gugurkan Nuha dulu. Kalau tak, Nuha
tak mungkin dapat jumpa dengan seorang ibu seperti ibu…” Aku senyum padanya
setelah pelukan kami terpisah.
Ibu membalas senyumanku dengan lemah.
Kekesalan masih tetap terluah dari bibir.
“Tapi sebab penerimaan arwah mak itulah
menyebabkan Kinah membenci ibu, sayang. Ibu tak sangka Kinah begitu bencikan
ibu. Apatah lagi bila arwah mak wasiatkan rumah ni pada ibu. Kinah pasti marah
dengan ibu sebab perkara tu. Makin benci dengan ibu sebab perkara tu. Kemarahan
dia pada ibu buat dia turut membenci Nuha. Maafkan ibu, sayang. Ibu tak mampu
nak halau mak su dari rumah ni. Ibu sayangkan dia. Dia satu-satunya saudara
yang ibu ada dalam dunia ni. Nuha terpaksa berdepan dengan cacian dia,
penderaan dia dan pak su. Ibu rasa bersalah sangat dengan Nuha.”
Buat sekian kalinya aku mendakap tubuh
ibu kejap. Sempat aku menyeka air mata dengan jari. Kali ini aku menangis bukan
kerana kesakitan yang aku alami namun kerana rasa kesyukuran yang tidak
terhingga kerana aku masih mempunyai ibu.
“Bu… Mak su Kinah boleh hina Nuha semahu
dia. Pak Su Azam boleh dera Nuha dengan kekerasan dia. Tapi Nuha takkan
sesekali mengalah dengan tekanan mereka berdua. Kerana Nuha masih ada ibu yang
akan sentiasa di samping Nuha. Itu saja yang Nuha nak, bu. Nuha cuma nak ibu…”
“Nuha…” Kedengaran suara lelaki
menjengah ke telingaku. Namun, kufikirkan itu hanyalah satu khayalan
semata-mata.
“Nuha…” Lagi sekali suara itu memanggil.
“Nuha Huda…” Aku terus berpaling ke
belakang.
Ingatanku pada ibu, mak su dan pak su
terus terbang ditiup angin tatkala bebola mata ini melihat jasad Cikgu Ihsan
berdiri tegak di hadapanku. Ada segaris senyuman terlakar indah di wajahnya.
Terkaku aku di situ tidak mampu membalas senyuman manisnya.
******
“Apa cikgu buat dekat sini?” soalku pada
Cikgu Ihsan setelah sekian lama lelaki itu hanya mendiamkan diri.
Ada jarak yang memisahkan kami. Dia
berdiri membelakangi aku yang sedang duduk diam di atas bangku.
“Apa pula Nuha buat dekat sini?” tanya Cikgu
Ihsan balik. Dia berpaling. Mata kami bertembung buat sesaat.
Aku garu kepala sambil tunduk. Hisy
peliknya dapat jumpa Cikgu Ihsan dekat sini. Ini tempat rahsia akulah. Mana pernah
aku terserempak dengan orang lain dekat sini. Aku yang patut tanya dia apa dia
buat dekat sini.
“Erm… saja.” Itu jawapan aku.
“Macam tak percaya aje. Jauh termenung
tadi. Cikgu tegur pun tak dengar.” Jawapan cikgu muda itu buat aku tidak senang
duduk. Adakah itu bermakna sudah lama dia perhatikan aku?
Masih tercari-cari jawapan yang sesuai
untuk membalas kata-kata Cikgu Ihsan, tiba-tiba lelaki itu kembali menyambung
kata. Buat aku diam saja.
“Nuha ada masalah ke? Nak share dengan cikgu?” Gulp. Air liur yang
aku telan terasa berpasir. Tidak disangka-sangka soalan itu bakal keluar dari
bibir Cikgu Ihsan, guru ganti yang baru saja masuk ke sekolah ini awal tahun
ini. Mengajar subjek Matematik bagi pelajar Tingkatan Lima. Dan dia juga
sememangnya tidak ada kena-mengena dengan aku, pelajar Tingkatan Enam Rendah.
“Nuha kalau ada masalah, boleh share dengan cikgu. Cikgu perhatikan Nuha
banyak termenung sekarang. Kenapa?”
Makin gugup hati ini mendengar
kata-katanya. Dia perhatikan aku? Sungguh aku tidak menyangka cikgu muda ini
sering perhatikan aku selama ini. Apa motifnya?
Tidak mahu memikirkan yang bukan-bukan,
aku segera bangun. Nampak gayanya tempat rahsiaku sudah dicemari oleh orang
asing!
“Nuha nak pergi mana tu?” soal Cikgu
Ihsan bagai menghalang.
“Saya nak balik ke kelas. Waktu rehat
dah nak habis, cikgu,” jawabku masih dalam mood bersopan. Apa yang Cikgu Ihsan
tanyakan tadi cuba aku buang dari ingatan. Tidak perlulah lelaki itu menyibuk
tentang masalahku. Dia bukan cikgu kelas aku pun.
Tidak menunggu Cikgu Ihsan bersuara,
cepat-cepat aku mengatur langkah. Sebelum aku pergi lebih jauh darinya, sempat
aku berpaling ke belakang. Dan ternyata dia masih memandangku. Tajam.
Sikap cikgu muda yang berasal dari Kuala
Lumpur ini benar-benar mendebarkan. Selama ini manalah pernah dia menegur aku.
Tup-tup hari ni dia boleh datang sini dan minta aku share masalah dengan dia? Pelik memang pelik. Dia tu cikgu kelas
tingkatan lima. Tak ada kena-mengena langsung dengan aku. Nak kata cikgu rumah
sukan, tidak. Cikgu pusat sumber, aku bukan pengawas perpustakaan. Tapi kenapa
dia cuba mendekati aku? Kenapa?
#bersambung.
>Kalau sudi tinggalkan komen anda k ^^
>Apa pendapat korang mengenai cite ni. Baru Bab 2. Ada tanda2 'kebestan' tak? Hahaha
Bru nk m0od sdh,tp ada ckgu muda..Cikgu ihsan! I lioke cikgu!! haha, bab3 plezz
ReplyDeletemood sedih dihalau angin.haha...
DeleteNantikan smbungannye ^^
TQ dila
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete2 bab permulaan....dah ada bunga2 best...cant wait tuk n3 strusnya...hehhe...
ReplyDeleteTQ TQ TQ TQ ^^
DeleteBunga2 best.hehe...nanti smbung lgi
Wow dah ada org perati
ReplyDeletehehe..ha'ah..lme dh duk perati..perati dlm diam ^^
Deletewaahhh cikgu Ihsan dok intai ank dara org..
ReplyDeletealahaiiii ciannye kat Nuha.. perjlnan hidup nie x selalunya indah dan x selalu suram.. ermmmm
Haha intai anak dara orang eh? Mungkin sbb dia suka Nuha..
DeleteNuha dari awal kisah dia mmg dah sadis.. Gadis sendu...