JOM FOLLOW

Monday, 15 September 2014

Terlewatkah Cinta Kita? [BAB 8]




DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.


BAB 8


Pagi itu Tuah membawa Dayang menemaninya ke ladang mangga. Sengaja dia memberi alasan untuk meninjau keadaan semasa di sana. Dayang yang lurus hanya mengikut tanpa banyak kata. Sedangkan Tuah sudah menyiapkan ‘sesuatu’ untuk Dayang.

“Dayang…” Panggil Tuah perlahan.

Dayang yang sedang ralit menilik buah-buah mangga yang masak ranum di pokok segera menyahut panggilan majikannya.

“Ya, tuan.” Dia berdiri di hadapan Tuah.

Tuah menanggalkan topinya. Wajah Dayang ditatap dalam.
Keadaan itu buat Dayang jadi segan. Terus gadis itu menundukkan muka ke bawah.

“Terima kasih untuk semalam. Dapat bersarapan dengan awak, dapat makan tengah hari dengan awak. Kalau boleh hari-hari saya nak macam tu.” Bicara Tuah bermula.

Dayang hanya senyum. Baginya, perkara itu hanya perkara kecil saja. Dia juga berterima kasih kepada lelaki itu kerana sudi membaiki reban ayamnya.

“Saya jugak nak ucap terima kasih pada tuan. Sebab tuan dah baiki reban ayam saya. Dahlah guna duit tuan beli semua kayu tu. Segan saya.”

“Apa pulak nak segan. Saya buat semua tu sebab saya… saya…” Tuah mengumpul kekuatan. Kekuatan untuk meluahkan isi hatinya yang semakin hari semakin menyesak jiwa.

Kerisauan melanda hati. Dia mungkin bakal kecewa andai Dayang tidak sudi membalas cintanya. Namun, andai tidak diluahkan, sampai bila-bila pun gadis itu tidak akan tahu akan isi hatinya, bukan? Biar kecewa sekarang kerana ditolak, jangan kecewa kemudian hari kerana tidak pernah berani untuk meluahkan.

“Saya sayangkan, Dayang.” Ucap Tuah sebaris. Wajah Dayang ditatap lama.

Dayang tercengang. Dia juga angkat muka memandang Tuah. Tersilap dengarkah dia?

“Saya sayangkan awak, Dayang Zulaikha. Sudikah awak menjadi permaisuri di hati saya?” Perlahan-lahan Tuah mengeluarkan sekuntum bunga ros yang terselit di belakang bajunya. Dihulurkan bunga mawar merah itu pada Dayang.

Semakin kaku dan terkesima Dayang detik itu. Hatinya mula berdebar mendengar pengakuan dari Tuah. Lelaki itu menyayanginya? Mencintainya?

“A-apa tuan merepek ni.” Dayang terus melangkah ingin pergi dari situ. Bunga mawar dari Tuah langsung tidak disambutnya.

“Dayang, tunggu!” Tuah mengejar. Entah kenapa hatinya mula takut. Melihat reaksi Dayang hati kecilnya mula dapat menghidu sesuatu. Seakan-akan gadis itu ingin menolak cintanya. Hmm…

“Saya tak pernah merepek, Dayang. Saya betul-betul sukakan awak. Percayalah…” Tuah menghalang langkah Dayang.

Mereka bertentang mata. Lama.

“Dayang, cakaplah sesuatu. Awak… awak tak rasa apa yang saya rasa? Hmm?” Kebisuan Dayang meruntun jiwa Tuah. Benarkah tiada cinta untuknya dalam hati wanita itu?

Dayang tidak mampu bersuara apa. Hatinya sayu mendengar pengakuan dari Tuah. Sungguh dia tidak menyangka majikannya itu bakal meluahkan isi hatinya. Dan yang paling Dayang tak menyangka adalah Tuah Dzulkarnain, si putera raja mencintainya?

“S-saya… saya tak layak untuk tuan.” Jawab Dayang perlahan. Dia kembali meneruskan langkah.

“Perasaan ni hadir dari Allah, Dayang. Siapa awak untuk menilai diri awak tak layak untuk saya? Tuhan pilih awak untuk muncul dalam hati saya. Dia pilih saya untuk mencintai awak. Selagi Dia yang memilih, selagi itu awak layak untuk saya!” Tegas Tuah meyakinkan Dayang.

Saat itu langkah Dayang mati di situ. Terharu dia mendengar kata-kata dari Tuah. Ikhlas lelaki itu menyayanginya. Dan dia pula bagaimana? Benarkah dia tidak menyimpan apa-apa perasaan pada Tuah?

Tidak sama sekali. Perasaan itu ada. Hadir tanpa Dayang dapat mengelak. Ya, dia juga sayangkan Tuah. Ingin memiliki lelaki itu. Ingin dicintai oleh lelaki yang telah mencuri hatinya itu.

Tetapi masa lalunya membuatkan Dayang cuba menangkis rasa itu daripada terus menular dalam hatinya. Kerana kesilapannya yang lalu, Dayang tidak berani menyulam rasa pada ‘si putera raja’ itu.

“Maafkan saya, tuan. Saya takkan mampu balas cinta tuan. Saya… saya memang tak layak untuk lelaki sebaik tuan.” Dayang berlari anak meninggalkan Tuah di situ.

Tuah tidak mampu untuk mengejar lagi. Rasa kecewa menyapa hebat ke tangkai hati. Cintanya sudah ditolak? Inikah jawapan di atas lamarannya pada Dayang?

Kelopak bunga mawar diramas penuh kecewa.


++++++

Sedar waktu kerjanya masih belum berakhir, Dayang tetap masih mahu pulang ke rumahnya. Dia ingin melarikan diri dari Tuah yang baru seketika tadi meluahkan isi hatinya. Hatinya gelisah dan resah dengan pengakuan Tuah. Sungguh dia tidak menjangkakan bahawa lelaki itu ada menyimpan perasaan terhadapnya.

Apa yang harus dilakukan olehnya sekarang. Sampai bila dia boleh melarikan diri dengan tidak bertentang mata dengan lelaki itu. Sampai bila?

Menipulah andai Dayang mengatakan dia tidak gembira atau bahagia apabila Tuah meluahkan isi hatinya itu. Sungguh Dayang bahagia. Keikhlasan pengakuan Tuah dapat Dayang rasakan. Dia yakin lelaki itu tidak mempermainkan hatinya.

Tapi… Kerisauannya mengenai masa lalunya dulu membuatkan Dayang tidak mampu menyimpan rasa bahagia itu lebih lama. Dia tahu, andai Tuah dapat tahu mengenai masa lampaunya itu, pasti lelaki itu akan kecewa. Tapi benarkah?

“Assalamualaikum… Assalamualaikum…” Tiba-tiba cuping telinga Dayang menangkap suara orang memberi salam.

Saat itu juga Ibu Orked bersuara dari dalam biliknya.

“Dayang… siapa yang datang tu. Cuba tengok kejap, nak.” Arah Ibu Orked.

Dayang ketap bibir. Dia cukup yakin suara yang berterusan memberi salam itu milik Tuah!

“Ya, bu. Dayang pergi tengok sekarang.” Laung Dayang. Perlahan-lahan kakinya melangkah ke jendela. Tiada kekuatan untuknya membuka pintu rumah. Tidak sanggup dia bertentang mata dengan ‘si putera’ raja itu. Biarlah ada tembok yang memisahkan mereka.

“Assalamualaikum… Dayang… Dayang…” Suara Tuah kedengaran jelas di muka tangga.

Dayang tetap memegunkan diri di balik dinding.

“Dayang saya tahu awak ada kat dalam. Awak dengar saya kan?” Tuah buat telahan.

Dayang tetap diam.

“Dayang… Awak… awak tolak cinta saya ke? Awak tak cintakan saya? Apa kurangnya saya? Saya ikhlas sayangkan awak. Saya nak awak jadi isteri saya yang sah. Tak bolehkah awak bagi peluang untuk saya bahagiakan awak?”

Sayu hati Dayang mendengarkan suara Tuah yang mula mengendur itu. Kecewa benarkah lelaki itu andai dia menolak cintanya?

Dengan berhati-hati tangan Dayang mula memegang jendela. Separuh hatinya meronta-ronta untuk menatap wajah Tuah. Namun, separuh lagi hatinya menolak sekerasnya dia bertentang mata dengan lelaki itu. Biarlah Tuah dengan harapannya yang sudah musnah. Lambat-laun lelaki itu pasti akan faham dan akan berputus asa mencintainya.

Di luar Tuah duduk lemah ke kaki tangga. Dia mengeluh penuh kehampaan. Nampaknya Dayang benar-benar tidak sudi menemuinya lagi.

Dicari gadis itu di sekitar ladang dan kilang, tetap dia tidak menemuinya. Lantas ditanyakan pada Mak cik Ita mengenai keberadaan Dayang. Kata mak cik Ita, Dayang sudah pulang ke rumah. Sebab itulah Tuah ke sini secepat mungkin.

Tidak sangka pula Dayang tidak sudi menemuinya. Tidak mahu mendengar pengakuannya. Tidak mahu mendengar penjelasannya. Benarkah memang tiada cinta untuknya dalam hati Dayang? Tapi mengapa?

Tidak layakkah dia untuk Dayang? Dayang memilih lelaki seperti mana lagi? Yang lebih kaya dan berkuasa? Tidak sudikah Dayang menyayangi seorang lelaki yang suka hidup bersederhana sepertinya?

Tuah tiada jawapan di atas semua persoalan itu. Hanya Dayang yang mampu menjawab semuanya.

Sampai bila dia perlu memujuk dan meyakinkan gadis itu? Andai Dayang tetap berkeras untuk menolak cintanya adakah itu bermakna dia harus redha dengan ketentuan ini?
Lambat-lambat Tuah bangun. Dia berdiri menghadap pintu rumah. Lama dia memandang ke arah pintu dan jendela-jendela yang masih tertutup rapat. Akhirnya, dengan hela nafas berat Tuah melangkah pergi.

Menyedari Tuah tidak lagi bersuara, dengan penuh hati-hati Dayang membuka tingkap. Ke kiri, ke kanan, wajah Tuah tiada kelihatan lagi. Saat itu Dayang hanya mampu mengeluh. Hatinya menangis kesal.

*bersambung*


Wanita tidak seharusnya menjadi bulan yang boleh ditatap semua, tetapi perlu menjadi matahari yang silaunya akan membuat Adam tertunduk sebelum memandangnya...




No comments:

Post a Comment