JOM FOLLOW

Monday, 20 April 2015

Mencari Si Pelengkap Hati [BAB 1]



Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.


BAB 1

“Oh, dekat sini kau rupanya!”

Aku yang baru ingin menyuakan nasi ke dalam mulut tersentak hebat dengan sergahan itu.

“Amboi-amboi dia ni. Tak tahu malu betul!”

Melihat langkah Mak Su Kinah laju ke arahku buat aku segera bangun daripada terus bersimpuh atas lantai. Namun, tidak sempat aku berdiri, Mak Su Kinah menolak kuat tubuhku. Memaksa aku untuk kembali terduduk. Tudung sekolah yang tersarung kemas di kepalaku direntapnya kasar.

“Sedap-sedap kau makan kat sini, aku dengan anak-anak aku kebulur kat luar tu! Kau ingat nasi dengan lauk-lauk ni untuk kau ke, hah?! Sakit pulak mata aku tengok muka kau ni! Kalau satu hari tak naikkan darah aku memang tak sah!”

Tanpa belas simpati, kepalaku ditunjal-tunjal oleh Mak Su Kinah.

“Sakit, mak su…”

Mutiara jernih mula berat menampung di pelupuk mata. Layanan keras dan kasar Mak Su Kinah buat hati kecilku mula menangis.

“Maafkan Nuha, mak su. Nuha, Nuha ingat lauk ni untuk Nuha. Nuha… Nuha lapar. Dekat sekolah tadi Nuha belum makan.”

Aku cuba menyuarakan kebenaran yang aku yakin tidak begitu penting bagi Mak Su Kinah.

“Ada aku kisah ke?! Kau lapar ke kau nak mati kebulur ke, ada aku kisah ke, hah?!”

Tangan mak su mula menjalar ke seluruh badanku. Dicubit-cubit, dipukul-pukul dan ditampar-tampar tubuhku yang sememangnya sudah lemah.

“Kau ingat aku hadap sangat ke dengan cerita kau tu?! Cerita tak penting kau tu!”

Pranggg.

Amukan Mak su Kinah terhenti. Mataku dan matanya sama-sama terarah pada pinggan kaca yang sudah pecah berderai di atas lantai.

“Anak haram tak guna!!!”

Jeritan Mak Su Kinah menggegar ruang dapur. Matanya mula berubah merah seperti biji saga.

“Mak su sakit mak su. Jangan buat Nuha macam ni. Nuha minta maaf, mak su.”

Aku terus merayu. Tangan Mak Su Kinah makin galak memukul tubuhku. Aku ditolaknya hingga tersembam ke lantai.

“Berani kau pecahkan pinggan aku. Aku beli mahal-mahal pinggan ni. Kau memang sengajakan buat semua ni!”

“Tak, mak su. Nuha tak sengaja.”

Saat itulah, kaki Mak Su Kinah pula yang mengambil peranan. Sepak terajang mula mengambil tempat!

“Mak su sakit….”

Begitu sakit tubuhku disepak sehina itu oleh ibu saudara kandungku sendiri. Saat ini, aku hanya memikirkan seseorang. Seseorang yang sentiasa menjadi ‘malaikat pelindung’ku. Satu-satunya manusia yang menyayangi aku dalam dunia ini. Dan satu-satunya manusia yang boleh menyelamatkan aku dari amukan Mak Su Kinah.

‘Ibu tolong Nuha, bu. Ibu…’ Hati kecilku mula merintih kehibaan.

“Kinah!” Muncul satu pekikan suara di sebalik langsir pintu dapur.

Sepak terajang Mak Su Kinah mula terhenti. Dia berpaling ke belakang dan tersenyum lebar apabila melihat jasad suami tercintanya berdiri di ambang pintu. Dan aku pula, tidak mampu lagi menyembunyikan ketakutan. Makin bertimpa-timpa perasaan gerunku. Ya Allah, lindungilah hambaMu ini…

“Apasal bising-bising ni, Kinah. Malulah jiran dengar.”

Pak Su Azam menapak perlahan ke arah kami berdua. Bahu isterinya diusap lembut. Dia menguntum senyuman lalu menggelengkan kepala beberapa kali.

“Jangan. Tak baik buat dia macam tu, Kinah,” ujar Pak Su Azam dengan suara perlahan. Tajam dia merenungiku.

Dengan tangan menggigil kucapai tudung sekolah yang tersadai atas lantai lalu kusarung tudung itu ke kepala dengan cemas.

“Huh! Kena ajar budak ni, bang. Ada ke patut dia makan nasi dan lauk yang dah Kinah siapkan untuk abang dengan anak-anak. Siap pecahkan pinggan kita. Dia ingat dia mem besar ke kat rumah ni!” Jelingan dan jeritan Mak Su Kinah bersatu dan berpadu ke arahku. Aku segera menundukkan muka ke bawah.

“Dah, dah. Kinah pergi tengokkan anak-anak. Biar abang nasihatkan budak ni.” Pak Su Azam masih lagi dengan suara sopannya.

“Huh tolong nasihatkan budak ni baik-baik, bang. Jangan karang dia pecahkan benda lain pulak. Kalau kau pecahkan lagi barang aku lepas ni, kepala kau yang aku pecahkan! Faham!” Mak su Kinah menjeling. Tangannya mengacu-acu untuk menampar mukaku lagi sekali. Aku segera tunduk penuh ketakutan.

Bila Mak su Kinah dah menapak pergi, tinggallah aku dan Pak Su Azam di ruang itu. Terasa begitu sempit ruangan tersebut apabila lelaki berusia 45 tahun itu mula duduk bercangkung di hadapanku.

“Nuha lapar ya? Hmm?” soalnya sambil memegang daguku. Aku pantas menepis tangannya itu.

“Eh, pak su tanya elok-elok ni jawablah elok-elok sikit. Nuha lapar ke?!” Hampir tercabut jantungku menerima jerkahan maha kuat dari Pak Su Azam.

Terus aku anggukan kepala. Laju.

“Kalau lapar, masaklah sendiri! Yang kau pergi makan nasi dan lauk yang bini aku masak untuk aku tu kenapa?! Hah?!” Pak Su Azam berdiri semula.

Tangannya mula melonggarkan tali pinggang yang tersisip kemas di pinggangnya. Aku mula mengengsotkan badan menghampiri kabinet kayu. Hati ini tak henti-henti menjerit nama ibu. Di mana ibu saat ini. Aku perlukan dia!

Sungguh hatiku sangat gerun melihat renungan mata Pak Su Azam. Senyuman sinisnya juga mula menggertak hebat relung hati ini.

Melihat tali pinggang itu berjaya direntapnya keluar, tubuhku makin menggigil. Ya Allah, adakah nasib malangku bakal berulang lagi?

“Kau memang patut diajar, Nuha. Anak haram macam kau kena ajar cukup-cukup. Takut-takut kau pulak lahirkan anak haram dari perut kau tu nanti!”

Satu libasan mengena tepat ke bahu kiri. Menjerit kuat aku saat itu. Ya Allah sakit…

“Sakit pak su. Sakit…” Air mata tidak terbendung lagi. Penderaan Pak Su Azam terhadap diri ini sudah tidak terkira lagi. Alasan yang lelaki itu gunakan hanya satu. Sebagai pengajaran untuk aku menjadi manusia yang lebih baik. Itu semua agenda jahat pak su semata! Aku tak bodoh untuk menilai kebencian yang ada dalam hati lelaki itu terhadapku! Semuanya gara-gara aku menceritakan kecurangannya pada mak su suatu ketika dulu. Bermula detik itulah aku menjadi mangsa ‘pengajaran’ Pak Su Azam!

“Pak su sakit pak su. Pak su….”

Tanpa belas kasihan, aku terus menjadi mangsa Pak Su Azam. Libasan demi libasan mengena tubuh lemahku. Tiada daya untuk aku menyelamatkan diriku lagi. Yang mampu aku lakukan hanya satu. Menangis.

“Jangan pukul anak aku!!!” Pandanganku dan Pak Su Azam terarah ke arah pintu dapur. Berdiri ‘malaikat penyelamatku’ di situ.

‘Ibu…’ Hanya hati ini yang mampu bersuara.

Ibu menolak kuat tubuh Pak Su Azam ke tepi. Renungan mata ibu juga tajam memandang wajah selamba Pak Su Azam. Aku pasti lelaki itu sedikit pun tidak merasa bersalah dengan perbuatannya ini. Hatinya keras seperti batu! Kejam seperti Zionis!

“Kenapa kau tak habis-habis layan anak aku macam ni, Azam. Apa salah Nuha pada kau. Apa?!” Ibu mendakap tubuhku kemas. Namun, kerana tubuhku sudah menjadi mangsa tali pinggang pak su, aku mengaduh saat ibu cuba memeluk tubuhku lebih erat.

“Anak haram macam dia memang layak dilayan macam ni, kak long. Aku hanya bagi pengajaran supaya dia…”

“Supaya dosa lama tak berulang kembali, kak long.” Tiba-tiba Mak Su Kinah muncul lalu menyampuk. Dia berdiri di sebelah suaminya sambil mencebik sinis.

“Mak bekas pelacur, anak pulak anak haram. Memanglah kena ajar cukup-cukup. Tak gitu, bang?” Pak Su Azam hanya mengangguk. Mereka saling berbalas senyuman.

Hati ini sangat sakit melihat senyuman kejam pasangan suami isteri itu. Andai saja aku mampu… andai saja aku punya sedikit kekuatan… akan aku pastikan mulut yang tidak habis-habis mencaci dan mengeji ibuku itu akan aku ganyang dengan cili padi!

“Kau memang kurang ajar, Kinah. Makin aku diam, makin menjadi-jadi perangai kau. Kau sedar tak kau hanya menumpang kat dalam rumah ni? Kau dengan laki kau dengan anak-anak kau hanya menumpang di rumah aku ni! Bila-bila masa saja aku boleh tendang kau orang dari rumah ni. Bila-bila masa saja, Kinah!” Ibu memberi amaran dalam tangisan. Amaran yang tidak mungkin ibu sanggup laksanakan. Kerana ibu… wanita berhati mulia.

Mendengar saja jawapan dari ibu, Mak Su Kinah terus mendengus keras. Turun naik nafasnya menahan kemarahan yang sudah pasti sedang membuak-buak di dalam dada. Tiada modal untuk membalas kata-kata ibu, wanita itu terus menarik tangan suaminya untuk keluar dari situ.

Aku yakin, mereka pasti sudah terpukul dengan kebenaran kata-kata ibu tadi. Rasakan! Mereka memang tiada hak dalam rumah ni!

“Nuha…. Nuha tak apa-apa ke sayang?” Sebaik saja mak su dan pak su keluar, ibu mula menegurku.

“Ya Allah… tengoklah lengan Nuha ni. Sakit ke, nak?” Ibu bertanya sambil menahan sebak. Dia membantu aku untuk menyandarkan badan ke dinding almari.

“Nuha tak apa-apa, bu. Ibu jangan risau. Nuha okey.” Aku cuba menyedapkan hati ibu. Walaupun seluruh tubuh ini mula merasa bahang kesakitannya, aku cuba bertahan demi ibu!

Ibu tidak lagi bersuara. Sebaliknya hanya tangisan dan air matanya sahaja yang berkata-kata. Melihat tangisan ibu, aku yakin ibu pasti sedang menanggung rasa bersalahnya. Setiap kali ini perkara ini terjadi, ibu pasti akan menyalahkan dirinya sendiri. Bagi aku pula, aku yang harus menyalahkan diri aku sendiri kerana aku tidak habis-habis membuat ibuku menangis. Andai saja aku tidak dilahirkan ke dunia ini. Tidak perlulah wanita mulia ini menangis demi seorang anak haram sepertiku.

“Mari kita ke bilik. Biar ibu sapukan ubat ke luka Nuha ni. Kesian anak ibu selalu kena dera macam ni. Ibu… ibu minta maaf, sayang…” Ubun-ubunku dikucup lama oleh ibu. Rasa sakit tak semena hilang.


*******


“Ouch…” Sedikit terjerit aku saat sapu tangan yang sudah lembap direndam air mengena kulit lenganku yang sudah ‘berbelang-belang’.

“Maaf, sayang…” ucap ibu sambil mengusap lenganku yang sudah tercedera itu dengan lebih berhati-hati.

“Ouchh… sakit, bu.” Sekali lagi aku mengadu kesakitan. Akhirnya, ibu menghentikan perbuatannya. Dia menunduk memandang lantai sambil bahunya mula terenjut-enjut. Aku yakin, saat itu ibu pasti sedang menangis.

“Ibu…” Dari berbaring aku bangun mendekati ibu. Tangan ibu kugamit kemas. Kuusap-usap tapak tangan ibu dengan lembut. Tangan inilah yang menjaga dan melindungi aku selama 19 tahun aku hidup di atas muka bumi ini.

Teringat aku pada sajak yang dinukilkan oleh Ustazah Siti Nor Bahyah dalam sebuah majalah yang pernah aku baca di sekolah. Sajak yang diberi tajuk Ajaibnya Tangan Ibu.

Ketika kita lapar...tangan ibu yang menyuap.
Ketika kita haus...tangan ibu yang memberi minuman.
Ketika kita menangis...tangan ibu yang mengesat air mata.
Ketika kita gembira...tangan ibu yang menadah Syukur,memeluk kita erat dengan deraian air mata bahagia.
Ketika kita mengantuk...tangan ibu yang dodoikan dengan penuh kasih sayang.
Ketika kita mandi...tangan ibu yang meratakan air ke seluruh badan,membersihkan segala kekotoran.
Ketika kita dilanda masalah...tangan ibu yang membelai duka sambil berkata : Sabar nak, Sabar ya sayang.
Namun,
Ketika ibu sudah tua dan kelaparan...tiada tangan dari anak yang menyuap.
Dengan tangan yang menggeletar, ibu suap sendiri makanan ke mulut dengan linangan air mata,
Ketika ibu sakit...di mana tangan anak yang ibu harapkan dapat merawat kesakitan ibu?
Ketika nyawa ibu terpisah dari jasad...
Ketika jenazah ibu nak dimandikan...
di mana tangan anak yang ibu harapkan untuk menyirami jenazah ibu buat kali yang terakhir.
Tangan ibu, tangan ajaib...
Sentuhan ibu, sentuhan kasih...
Boleh membawa ke Syurga Firdausi...
Ciumlah tangan ibu,
Sebelum ibu pergi bertemu Illahi dan takkan kembali lagi...

Dan tangan ini jugalah yang tidak henti-henti menyelamatkan aku daripada terus menjadi mangsa penderaan Pak Su Azam.

Bukan sekali dua Pak Su Azam mendera aku dengan tali pinggang keramatnya itu. Sudah banyak kali. Kadang-kadang aku rasa seperti mahu lari dari rumah. Buat apa tinggal di rumah yang sudah seperti neraka ini. Mengapa kami berdua yang harus menanggung segala penderitaan ini. Hidup menderita di rumah sendiri. Sedangkan sepatutnya mak su dan pak su yang seharusnya ditendang keluar. Kerana mereka tiada apa-apa hak ke atas rumah pusaka ini!

“Ibu tak sanggup halau mak su Nuha keluar dari rumah ni. Dia adik kesayangan ibu, Nuha. Ibu minta maaf pada Nuha. Sebab ibu Nuha jadi macam ni…” Ibu bersuara dengan penuh hiba.

“Ibu… Nuha tak pernah salahkan ibu,” balas aku sambil pandang wajahnya. Beberapa titis air matanya dapat aku lihat mula gugur membasahi bumi.

“Ibu minta maaf sebab ibu dah gagal lindungi anak ibu. Ibu gagal jadi ibu terbaik untuk Nuha…”

“Ya Allah, ibu… jangan cakap macam tu. Nuha tak pernah salahkan ibu.”

Sungguh aku tidak pernah marah apatah lagi menyalahi ibu dengan apa yang berlaku. Ya, memang hati ini sakit setiap kali mak su dan pak su memainkan ‘watak kejam’ mereka. Namun, hati ini masih punya rasa syukur pada Ilahi.

“Nuha bersyukur sangat sebab sekurang-kurangnya Nuha masih ada seorang ibu untuk sentiasa ada bersama Nuha. Kalau ibu tak ada, Nuha tak tahu apa akan jadi pada Nuha, bu…”

“Entah apa salah kita. Kita bagi dia orang tinggal dekat rumah ni. Kita jadi hamba dia orang. Mak su dengan pak su tetap bencikan kita. Apa salah kita, bu!”

“Semua ni salah ibu, nak…”

Wajah tua ibu kutatap dalam. Ah… ibu tetap saja menyalahkan dirinya.

“Kalaulah ibu jadi seorang kakak yang terbaik untuk Kinah dulu, Nuha pasti takkan menderita macam ni.”
Ibu menatap wajahku dengan linangan air mata. Dipegang kedua-dua pipiku.

“Mak su bukan benci Nuha. Mak su benci ibu. Tapi dia lepaskan pada Nuha. Ada kisah di sebalik semua yang berlaku ni, Nuha.” Melihat air mata mata ibu makin menderu laju, aku turut menitiskan air mata.

‘Ceritakan pada Nuha, bu. Nuha perlu tahu. Apa yang sebenarnya terjadi pada ibu dan Mak Su Kinah dulu.’ Hatiku berbisik lagi.

Dan seperti mengerti, ibu mula membuka kisah silamnya.

#bersambung....

>Jangan lupa tinggalkan komen anda. Komen anda pembakar semangat saya ^^



2 comments:

  1. Br nk start komen.. Hihihi
    Geram pulokk kat mak su dn pak su nuha tue..
    Mehhh nk tlg tamporr laju² bg pihak nuha ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe... tq kak ttp sudi tinggalkan komen.. <3
      Dorang memang kijammmm... jom bergabung tampor

      Delete