JOM FOLLOW

Saturday, 13 September 2014

Terlewatkah Cinta Kita? [BAB 7]




DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.


BAB 7


“Assalamualaikum… Assalamualaikum…” Terjengah-jengah kepala Tuah memandang ke pintu dan jendela kecil rumah Dayang. Dia bersabar menanti salamnya dijawab oleh penghuni rumah.

Dari semalam lagi Tuah sudah merancang perkara ini. Hati Dayang harus dicurinya dengan segera. Kalau terlambat, takut-takut hatinya juga yang bakal kecewa nanti.

Maka dengan semangat dan dorongan dari bondanya sendiri, Tuah beranikan diri untuk menjejakkan kaki ke rumah Dayang pagi ini. Sedikit kuih-muih dan buah tangan dibawanya sekali. Andai gadis itu bertanya mengapa dia ke sini, Tuah sudah punya jawapannya yang tersendiri.

“Tuan?” Muncul suara Dayang di sebalik pintu.

Tuah tersenyum. Dihampiri kaki tangga lebih dekat.

“Assalamualaikum. Maaf ganggu awak pagi-pagi ni.”

Dayang pandang wajah Tuah kepelikan. Buat apa lelaki ini ke sini? Hmm….

“Waalaikumussalam. Tuan buat apa kat sini?” Muncul soalan itu darinya.

Tuah yang sudah bersedia dengan jawapan, terus menjawab tanpa ragu.

“Ni saya ada bawa sedikit kuih dan buah-buahan untuk awak dan ibu awak. Erm, ibu awak ada? Boleh saya jumpa dia?” Terbatuk kecil Dayang saat itu. Mengapa pula lelaki itu ingin bertemu dengan ibunya.

“Ibu ada. Erm, masuklah tuan.” Tiada sebab untuk dia menghalau lelaki itu pergi. Namun yang anehnya kenapa Tuah ingin bertemu dengan Ibu Orked pagi-pagi buta ni.
Pucuk dipinta ulam mendatang. Tuah segera melangkah naik ke rumah Dayang. Mangkuk tingkat dan beg plastic yang terisi dengan buah-buahan segar dari kebun dihulurkan pada Dayang. Dayang menyambutnya dengan ucapan terima kasih.

“Ibu ada kat bilik.” Ujar Dayang sepatah.

Mereka menapak ke bilik Ibu Orked.

“Assalamualaikum, mak cik.” Ucap Tuah sebaik saja memandang Ibu Orked yang sedang duduk bersandar di kepala katil.

Ibu Orked yang kaget dengan kehadiran Tuah di situ hanya mampu tersenyum sumbing. Dipandang Dayang meminta penjelasan. Saat itu Dayang hanya mampu geleng kepala tanda dia juga tidak tahu apa yang sudah berlaku.

“W-waalaikumussalam, tuan. Ada apa tuan datang pagi-pagi ni? Hisy, mak cik belum pun mandi lagi. Tak wangi ni.” Ujar Ibu Orked cuba menyedapkan situasi.

Bibir Tuah mengukir senyuman. Dihampiri Ibu Orked lebih dekat.

“Saya minta maaf sebab dah ganggu mak cik dan Dayang pagi-pagi ni. Saya Cuma nak hantarkan kuih dengan buah-buahan untuk mak cik. Sebagai tanda terima kasih saya sebab mak cik sudi izinkan Dayang keluar dengan saya semalam.”

Dayang yang berdiri di hujung katil diam saja saat itu. Oh jadi itu tujuan utama lelaki itu ke sini pagi-pagi buta ni.

“Hisy, takde apa-apalah. Benda kecil aje tu. Tuan dah sarapan ke?” tanya Ibu Orked pada Tuah.

Tuah pantas menggeleng. Dia tersenyum pula pada Dayang.

“Kalau macam tu kita sarapanlah sama-sama. Mak cik rasa sihat aje pagi ni. Boleh kita sarapan kat dapur bertiga. Tak gitu, Dayang?” Dayang telan liur. Tiada jawapan darinya. Bersarapan sekali dengan Tuan Tuah?

Hati Tuah sudah mula bernyanyi riang detik itu. Sungguh dia tidak menyangka dia bakal dipelawa bersarapan sekali dengan kedua-dua beranak ini. Peluang macam ni tidak boleh disia-siakan!

“Terima kasih, mak cik. Susah-susah aje. Erm… Dayang masak apa pagi ni?” tanya Tuah selamba.

Dayang dan Ibu Orked saling berpandangan. Aneh mereka dengan sikap selamba tuan muda ini.


++++++

“Terima kasih, Dayang. Alhamdulillah makan free saya hari ni.” Tuah bersuara setelah mereka berada di halaman rumah. Sudah tiba masanya untuk dia pulang. Hmm…beratnya hati ni.

“Sama-sama, tuan. Terima kasih jugak pada tuan sebab sudi hantarkan kuih-muih dan buah-buahan tu. Ibu memang suka buah mangga yang tuan tanam tu.” Dayang tersenyum.

“Awak pulak macam mana? Suka?”

“Hah?” Dayang tidak mengerti. Suka apa?

“Suka ke buah mangga saya tu?” Tuah tersengih. Dayang mencebik kecil. Ingatkan suka apalah tadi.

“Suka. Manis buahnya.” Akhirnya perbualan mereka terhenti juga. Masing-masing tiada topic lagi untuk dibualkan.

Lambat saja langkah Tuah melangkah ke keretanya. Berat tangannya untuk membuka pintu kereta.

Saat itulah secara tak sengaja dia terpandang pada bahagian kiri halaman rumah Dayang. Di situ terdapatnya sebuah reban ayam yang sudah tersangatlah uzur. Ayam-ayam pun tak berani tinggal dalam tu.

Tuah mula tersenyum penuh makna. Dia kembali mendapatkan Dayang.

“Reban tu reban ayam ke?” Sengaja dia bertanya.

Dayang berpaling ke belakang. Dan dia kembali pandang Tuah dan mengangguk.

“Saya rasa elok kalau reban tu dibaiki. Sekurang-kurangnya ayam-ayam awak tak perlu tidur kat merata tempat. Kan?” Dayang melopong. Kepalanya digaru perlahan. Dia kurang jelas dengan maksud sebenar lelaki berkumis nipis itu.

Saat itu Tuah hanya tersenyum. Keningnya terangkat nakal.


+++++++

“Rajin betul Tuan Tuah tu kan. Susah-susah aje dia baiki reban tu. Segan ibu dibuatnya, Dayang.” Kata-kata Ibu Orked hanya mampu disambut dengan anggukan oleh Dayang. Dia juga sama. Segan dengan majikannya itu. Tak pasal-pasal dah jadi tukang kayu hari ni.

“Dayang dah larang dia, bu. Tapi dia degil. Tetap nak baiki reban tu.” Ujar Dayang pula.

Mereka berdua sama-sama menumpahkan pandangan pada Tuah yang sedang focus memaku dinding reban ayam yang terletak di sebelah telaga.

Sudah lencung baju lelaki itu dengan peluh. Dalam diam Dayang bersimpati.

“Dayang pergi siapkan minuman untuk dia. Mesti dia dah dahaga tu.” Arahan Ibu Orked Dayang terima patuh. Ditinggalkan ibunya yang duduk di atas kerusi roda itu sendirian.

Dayang melangkah keluar dari bilik ibunya lalu menuju ke ruang dapur. Air minuman berais disediakan olehnya untuk Tuah.

Siap saja menyediakan minuman, Dayang membawanya kepada Tuah. Lelaki itu disapa perlahan.

“Tuan… minumlah dulu.” Ujar Dayang sopan.

Tuah yang menyedari kehadiran Dayang di belakangnya segera berpaling. Dia tersenyum sambil menyeka peluh pada dahinya.

“Terima kasih.” Disambut muk dari tangan Dayang. Mereka saling berbalas senyuman.

Teh O ais yang disediakan oleh Dayang disedut laju oleh Tuah. Dingin tekaknya terasa. Sedap air Dayang buat.

“Banyak lagi ke yang nak dibaiki, tuan? Dah tengah hari ni, tuan tak penat ke?” soal Dayang dengan berhati-hati. Tanpa disuruh-suruh, dia meringankan tulang untuk membantu Tuah mengutip sisa kayu yang bersepah atas tanah. Dan tak semena, perbuatannya itu ditegah oleh Tuah.

“Eh, tak payah awak buat semua ni, Dayang. Nanti saya kemaskan.” Sisa kayu dari tangan Dayang dirampas oleh Tuah. Dayang tercengang.

“Awak duduk aje kat situ. Temankan saya.” Gulp. Dayang telan liur perit. Nak berteman pulak.

Lambat-lambat Dayang melabuhkan duduk ke pangkin yang terletak berhampiran reban yang sudah kelihatan rupanya itu. Diperhatikan gerak-geri Tuah yang sedang sibuk memaku dinding.

“Erm… tuan potong aje gaji saya nanti ya. Bayar semua kayu yang dah tuan belikan ni.” Kata-kata Dayang buat Tuah berhenti menukang.

Serius mukanya memandang Dayang. Dayang jadi kecut perut.

“Awak ingat saya berkira sangat ke? Hmm?” Tuah bertanya agak tegas.

Saat itu Dayang jadi pegun. Tajam mata Tuah merenungnya.

“Tapi itukan duit tuan. Saya….”

“Saya ikhlas dengan apa yang saya buat. Tak payahlah awak nak ganti apa-apa. Cukup awak siapkan saya makan tengah hari. Perut saya dah lapar balik ni.” Dengan selamba Tuah menyuruh.

Dayang gigit bibir. Siapkan lelaki itu makan tengah hari? Itu juga yang terlintas di benaknya tadi.

“Erm… tuan nak makan apa? Biar saya masakan.” Tuah berpaling laju memandang Dayang. Dia bergerak mendekati gadis itu.

“Apa awak tanya tadi?” soal Tuah sekali lagi. Dia ingin mempastikan bahawa dia tidak tersalah dengar tadi.

Dayang berdeham perlahan. Dia tersenyum sambil menyusun kata. “Tuan nak makan apa tengah hari ni? Cakap aje insyaAllah kalau cukup bahan saya masakan.”

Terus otak Tuah berfikir ligat saat itu. Peluang keemasan seperti ini tidak mahu disia-siakannya! Bahagia sungguh hidupnya hari ini. Pagi-pagi dah dapat jumpa Dayang. Dapat bersarapan dengan gadis itu dan ibunya. Dapat minum air yang disediakan oleh Dayang. Dan sekarang Dayang ingin memasakkannya makan tengah hari. Kalau hari-hari macam ni, dialah manusia yang paling bertuah dalam dunia.

“Saya nak makan makanan kegemaran awak. Boleh?” Permintaan Tuah buat Dayang sekali lagi terkedu. Makanan kegemarannya? Kenapa pula.

“Betul tuan nak makan makanan kegemaran saya?” soal Dayang agak kurang yakin.

Tuah angguk laju. “Kenapa? Tak boleh ke?”

Dayang gelengkan kepala. Dia tersenyum lalu berdiri berdepan dengan majikannya itu.

“Boleh tapi lauk kegemaran saya sangat-sangatlah simple. Erm, sambal telur dengan ulam timun batang. Tuan suka ke?” Dayang senyum lagi.

Tuah juga menguntum senyumannya. Andai itu yang Dayang suka, dia juga akan cuba suka sama.

“Apa yang awak suka, itulah yang saya suka. Dah pergi siapkan cepat. Dah lapar ni.” Tuah tepuk perut. Terus Dayang tertawa malu.

Akhirnya dia mengangguk faham. Dia mula melangkah masuk ke dapur. Tuah ditinggalkan meneruskan kerjanya yang masih tertangguh.


+++++

“Tuah tak boleh tunggu lagi, bonda. Tuah betul-betul cintakan Dayang. Tuah nak lamar dia secepat mungkin!” Penuh yakin Tuah memberitahu bondanya.

Puan Sri Jamilah tersenyum bahagia. Dia mengucap syukur berulangkali.

“Alhamdulillah. Bonda setuju, sayang. Bonda setuju. Bonda akan pergi pinangkan Dayang untuk Tuah.”

Tuah pandang muka bondanya. Lambat-lambat kepalanya digelengkan. Puan Sri Jamilah jadi keliru.

“Kenapa sayang?” soalnya.

“Tuah nak luahkan isi hati Tuah pada Dayang, bonda. Tuah nak lamar dia sendiri. Andai dia bersetuju, bonda akan pergi pinangkan dia untuk Tuah. Tapi kalau tak…” Ayat Tuah tergantung di situ. Dia mula mengeluh lemah.

Puan Sri Jamilah juga mengeluh perlahan. Rasanya dia faham maksud sebenar anak bujangnya itu. Kerana hal ini sudah dibincangkan oleh mereka tidak lama dahulu.

“Bonda akan buat solat hajat. Moga-moga Allah membuka hati Dayang untuk terima Tuah. Tuah lelaki yang baik. Bertanggungjawab, penyayang. Dayang takkan menolak Tuah. InsyaAllah, nak.” Kata-kata dari bondanya itu sudah cukup memberi sedikit kelegaan pada hati Tuah. Moga apa yang didoakan oleh bondanya mendapat jawapan dari Ilahi.
‘Ya Allah, aku benar-benar sayangkan wanita bernama Dayang Zulaikha itu. Aku ingin memilikinya di bawah redhaMu. Andai dia tercipta untukku, satukanlah kami berdua, ya Allah. Aku cinta dia…’ Hati kecil Tuah berbisik.

Apa yang akan berlaku selepas ini? Tuah sudah punya rencananya sendiri. Moga Allah mempermudahkan segalanya.

*bersambung*


Ya Rabb,
Tiada tempat ku bersandar Selain pada-Mu,
Kutitipkan cintaku pada-Mu untuknya..
Kutitipkan sayangku pada-Mu untuknya..
Kutitipkan rinduku pada-Mu untuknya..
Mekarkan cintaku bersama cintanya..
Satukan hidupku & hidupnya dlm Cinta-Mu..


No comments:

Post a Comment