Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Aku Ali. Ali Imran. Seorang jejaka
Malaya yang masih belum berpunya. Tiada kekasih. Tiada buah hati. Sudah
semestinya tiada isteri. Aku bukan terlalu memilih dalam mencari pasangan. Aku
yakin, Allah telah mempersiapkan seorang jodoh yang terbaik untukku. Ya,
walaupun aku tahu aku bukanlah lelaki yang soleh, namun aku sedang berusaha
untuk ke arah itu. Kerana aku tahu, seorang bernama lelaki wajib menjadi
pemimpin terbaik bagi seorang wanita.
Dalam dunia ini rasanya semua orang
hendak merasai alam perkahwinan. Memiliki isteri, anak dan keluarga yang penuh
sakinah, mawaddah dan warahmah. Termasuk juga aku. Aku tak lari dari menyimpan
impian itu.
Aku bukan seorang lelaki yang
bergaji mahal. Bekerja setakat seorang mekanik sahaja. Tapi aku bersyukur
sekurang-kurangnya Allah memberi aku rezeki untuk mendapat pekerjaan yang halal
itu.
Aku bukan seorang lelaki yang kacak
seperti artis Malaya atau artis k-pop. Badanku penuh dengan parut kerana aku
pernah kemalangan dulu. Parut yang paling nyata adalah di mukaku. Tapi aku
bersyukur sekurang-kurangnya aku masih mampu menghirup udara Allah dan Dia
masih memberi nikmat kesihatan untukku.
Aku juga bukan seorang lelaki yang
terlalu berani memikat anak gadis. Aku pemalu. Aku tidak pandai untuk memulakan
perbualanku dengan seorang perempuan. Tapi aku bersyukur kerana aku masih
diberi oleh Allah rasa untuk mencintai.
Ya, mencintai. Mencintai seorang
wanita yang masih belum menjadi milikku.
Dia seorang wanita yang sangat
sempurna di pandangan mataku. Dia wanita pertama yang buat hati kecilku
berdegup-degup. Terserlah kesolehannya apabila aku sentiasa melihat dia
mengerjakan solat berjemaah di surau berdekatan. Dan sikapnya yang lemah lembut
melayan pelajar yang mengaji al-Quran di situ buat aku makin jatuh hati
padanya.
Tapi sayangnya aku hanya berani
mencintai dia dalam diam. Untuk berterus terang dengannya tentang perasaanku
sungguh aku tiada keberanian. Pertama kerana, aku merasa aku tidak layak
untuknya. Aku bukan lelaki soleh. Aku takut aku tak mampu membimbingnya.
Kedua kerana aku tahu, sahabat
baikku, Amar turut menyimpan hasratnya pada gadis bernama Fatima itu. Nur Fatima Az Zahra. Secantik namanya,
seindah rupanya dan semulia akhlaknya. Gadis seperti dia hanya layak untuk
lelaki terbaik seperti Amar.
Ya, Amar memang terbaik. Seorang
ustaz berkelulusan universiti di Mesir. Nak bandingkan ilmu aku dengan dia.
Memang macam langit dan bumi.
“Petang ni aku nak pergi rumah Fatima.
Jumpa dengan ayah dia sendiri. Lebih baik aku berterus terang ajekan dengan
ayah dia.” Ujar Amar sambil menyedut jus oren yang baru dipesannya tadi.
Aku angguk lemah menyetujui
rancangan Amar itu. Aku tahu aku tak layak untuk berkecil hati dengan Amar.
Mungkin Amar memang telah dijodohkan oleh Allah untuk Fatima sejak di Loh Mahfuz lagi.
“Baguslah tu. Lelaki kena berani
meluahkan perasaan dia. Semoga Fatima memang
ditakdirkan untuk kau, sahabat.” Aku tepuk beberapa kali bahu Amar. Amar senyum
lebar seakan-akan sedang terfikirkan sesuatu yang indah.
“InsyaAllah, sahabat. Terima kasih
atas doa kau. Aku sayang dia kerana Allah. Sebab tu aku nak memperisterikan
dia. Aku harap dia sudi terima aku. Tiada paksaan. Sebab aku tahu, Fatima juga mempunyai hati dan perasaan. Tapi aku
memang berharap dia adalah jodoh aku, Ali.” Amar menghela nafas lemah.
Aku tidak mampu bersuara apa-apa
lagi. Mulut ini terasa berat untuk
bersuara. Hati aku tiba-tiba dipagut rasa pilu. Andai Amar dan Fatima memang telah berjodoh, adakah aku akan menemui
‘Fatima’ yang lain dalam hidupku? Atau
mungkin hanya ada seorang ‘Fatima’ sahaja yang mampu aku temui dalam hayatku ini?
********
Beberapa hari kemudian, aku tetap
meneruskan kehidupanku seperti biasa. Alhamdulillah minggu ini rezekiku makin
bertambah. Mungkin ini adalah berkat dari solat sunat Dhuha yang aku lakukan.
Walaupun tidak kerap, tapi aku cuba sedaya upaya untuk melakukan solat sunat
itu jika aku ada kelapangan.
Minggu ini saja hampir 20 buah
kereta yang berjaya aku baiki. Kata bos, bonus akan diberikannya kepadaku cukup
bulan nanti. Alhamdulillah.Bolehlah aku belanja ibu makan di restoran besar
nanti.
“Assalamualaikum.” Aku segera
berpaling ke belakang seraya menjawab salam itu.
“Waalaikumussalam. Eh, Amar. Kau
buat apa kat sini?” Tangan segera aku lap pada baju mekanikku. Jabat tanganku
dihulurkan pada Amar. Amar menyambutnya sambil tersenyum.
“Sorrylah ganggu kau. Aku ke sini
sebab tak sabar nak beritahu kau satu berita gembira. Sebagai sahabat baik aku,
aku nak kau tahu berita ni dulu.” Aku mula berdebar. Berita apa yang
dimaksudkan oleh Amar? Mungkin berita mengenai perjodohannya dengan Fatima.
Mungkinkah?
“Apa kata kita pergi makan.
Sekarang memang waktu makan tengah hari aku.” Ajakanku disambut baik oleh Amar.
Cukup bahagia aku lihat wajah Amar detik itu. Pasti Fatima telah menerima lamarannya. Alhamdulillah.
Akhirnya Amar menemui jodohnya. Dan aku. Aku tahu aku juga harus bergembira
dengan berita ini. Fatima memang bukan
jodoh aku.
“So apa cerita. Berita baik apa
yang kau nak ceritakan pada aku. Kau dah nak kahwin ke?” Pertanyaanku buat Amar
tertawa kecil. Namun, dia tetap menganggukkan kepalanya penuh yakin. Jadi
memang betul Amar nak kahwin dengan Fatima.
Amar sempat membetulkan kopiah di
kepalanya sebelum bersuara. Aku pula cuba mengumpul sepenuh kekuatan untuk
mendengar perkhabaran gembira ini dari mulut Amar sendiri.Tahniah Amar. Tahniah
kerana berjaya memiliki seorang wanita solehah seperti Fatima .
“Aku dah jumpa sendiri dengan ibu
bapa Fatima. Fatima ada keluar hidangkan
air untuk aku hari tu. Aku curi-curi tengok dia. Subhanallah dia memang cantik,
Ali. Cantik wajahnya, cantik lagi hatinya.” Aku mengemaskan kepalan tanganku.
Bertabahlah wahai hati.
“Tapi selepas aku buat solat sunat
Isthikarah, bukan Fatima yang muncul
dalam bayangan aku. Tapi….” Badanku segera tertegak. Bukan Fatima ? Maksud Amar
apa?
Amar menarik nafas panjang sebelum
bersuara. “Tapi adik dia yang muncul dalam bayangan aku, Ali. Nur Aisyah
Humairah. Masa aku ke rumah mereka tu, aku bertembung dengan Aisyah di halaman
rumah. Dia on the way nak ke kuliahnya. Aku tak ambil kisah pasal dia. Aku
senyum pada, dia senyum pada aku. Setakat tu aje sebab motif aku adalah untuk
melamar Fatima . Ini semua rahsia Allah Ali. Aku yakin,Aisyah adalah jodoh aku.
Dan kalau kau nak tahu, Aisyah sudi terima aku sebagai calon suaminya.”
Ali Imran |
Aku terpana mendengar cerita Amar.
Benarkah begitu pengakhiran kisah Amar dan Fatima? Jadi Amar memilih Aisyah?
Tidak pula aku tahu Fatima ada adik perempuan. Dan tak sangka orang lain yang
dilamar,orang lain pula yang menerima lamaran itu.
Rasa kesyukuran kupanjatkan pada
Ilahi. Hati aku rasa cukup lapang setelah mendengar berita ini. Fatima masih belum dimiliki. Itu bermakna aku masih
ada peluang. Terima kasih ya Allah. Terima kasih kerana masih memberi aku
peluang untuk menjadikan Nur Fatima Az
Zahra sebagai calon zaujahku.
“Tahniah, Amar. Tahniah! Bila kau
rancang nak kahwin?” soalku mula bersemangat. Aku nekad. Selepas ini, aku akan
berusaha mempersiapkan diriku untuk menjadi lelaki terbaik untuk Fatima .
Semoga Allah meredhai usaha baikku nanti.
“InsyaAllah kalau tak ada aral,
kami akan nikah dua bulan dari sekarang. Buat persiapan apa yang patut dulu.
Eh, kau kena tolong aku tau. Kau tahukan aku ni anak yatim piatu.” Laju saja
aku menganggukkan kepala. Sesungguhnya berita yang disampaikan oleh Amar ini
benar-benar satu berita yang menggembirakan. Pertama aku gembira kerana Amar
nak bernikah dalam tahun ini juga. Kerana itu memang niat Amar sejak dari habis
belajar lagi. Dia memang nak kahwin muda.
Sebab yang kedua, mestilah aku
gembira kerana aku masih berpeluang untuk mencintai dan menyayangi Fatima walaupun dalam diam. Semoga Allah memberi aku
cukup keberanian untuk berterus terang mengenai perasaanku kepada Fatima . Tapi
andai Fatima tidak mampu menerima aku
insan yang kerdil ini,bagaimana? Tiba-tiba rasa takut membelenggu jiwa.
******
Sebulan berlalu, aku menyibukkan
diri dengan pekerjaanku di bengkel dan kelas agamaku di surau. Aku mula ambil
kelas mengaji al-Quran. Mengaji dengan Ustaz Amar, iaitu sahabat baikku
sendiri. Aku bukanlah tak pandai mengaji. Tapi aku ingin melancarkan bacaanku.
Selain menjadi ustaz di sekolah
rendah, Amar juga seorang guru mengaji bagi pelajar lelaki di surau di kampung
kami. Ustazah yang mengajar mengaji bagi kaum Hawa sudah semestinya wanita
solehah bernama Nur Fatima Az Zahra itu.
Tak sangka, aku dan Fatima makin ‘dekat’ pula sekarang. Pada zahirnya
kami berdua memang dekat kerana hari-hari kami akan bertembung di surau ini.
Tapi hakikat yang nyata, aku dan dia tak pernah bertegur sapa walau sekali.Hanya
senyuman yang dihadiahkan sesama kami.
“Ali…” Petang itu selesai kelas
mengaji, Amar mengajak aku meluangkan masa membersihkan kolah surau. Aku
bersetuju saja. Siapa yang tak nak pahala bukan?
“Aisyah cakap kat aku ada lelaki
datang merisik Fatima semalam.” Sebaris
ayat itu buat aku terpana lama. Terjatuh habis gayung dari tanganku.
“Astaghfirullahal’azim.” Cepat-cepat
aku mengambil gayung itu lalu meneruskan cucianku. Aku cuba bertindak seperti
biasa. Namun hati mula kembali resah. Siapa pula yang datang merisik Fatima ?
Ya Allah, mungkin Engkau memang ingin menguji sejauh mana aku berani untuk
meluahkan perasaanku kepada gadis yang aku cintai itu?
“Siapa lelaki tu, Amar?” soalku
pada Amar perlahan.
“Aisyah cakap lelaki tu seorang
ustaz. Ustaz tahfiz dari sekolah pondok. Yang datang merisik tu pun mak ayah
lelaki tu. Lelaki tu serahkan kepada mak ayah dia nak carikan calon isteri.”
Aku tidak mampu nak meneruskan pekerjaanku lagi. Akhirnya aku berhenti
menyental kolah yang sudah berlumut itu lalu kutatap wajah Amar dalam.
“Seorang wanita solehah selayaknya
untuk lelaki soleh kan, Amar? Fatima setuju ke dengan lamaran tu?” Masakan aku
mampu nak bertanding dengan seorang ustaz. Andai aku melamar Fatima , mungkin Fatima
tidak mampu menerima lelaki serba
kekurangan sepertiku. Aku bukan ustaz. Aku hanya seorang anak murid ustaz.
“Fatima minta masa. Dia nak buat solat sunat
Isthikarah dulu. Aku tak tahulah, Ali. Tapi aku rasakan macam ada seorang
lelaki yang Fatima tunggu-tunggu.
Mungkin dia dah jatuh hati pada seorang lelaki tapi tak mampu nak luahkan.
Wallahua’lam. Aku harap yang terbaik untuk dia.” Kata-kata Amar aku jawab
dengan kebisuan. Andai benar telahan Amar, sudah pasti lelaki yang
ditunggu-tunggu oleh Fatima itu
merupakan seorang lelaki yang baik akhlaknya, beriman orangnya dan memiliki
ilmu agama yang luas.
Andai aku mampu menyimpan harapan.
Aku berharap akulah lelaki itu. Hmm… Tapi mana mungkin. Aku bukan seperti
Saidina Ali yang penuh ilmu di dada. Aku hanya Ali Imran yang sedang mencuba
untuk belajar menjadi lelaki yang lebih baik.
*********
Sejak dari hari aku tahu ada lelaki
lain datang merisik Fatima , aku tidak lagi berminat untuk mengetahui apa-apa
berita mengenai gadis itu. Semoga dia berbahagia dengan pilihannya.
Tidak berjaya memiliki Fatima bukan bermakna aku mematikan segala impianku
untuk menjadi seorang lelaki yang lebih baik. Kelas mengaji masih aku teruskan
tapi secara peribadi dengan Amar. Setiap malam Isnin, aku akan ke rumah Amar
belajar mengaji dengan sahabat baikku itu. Tidak belajar mengaji di surau
tidak bermakna aku menjauhkan diri dari
menjejakkan kaki ke sana. Tapi aku sudah jarang menunaikan solat berjemaah di
surau itu. Aku beralih angin ke masjjid pula.
Aku manusia biasa. Yang punya hati
dan perasaan. Setiap kali melihat Fatima , hati aku dilanda rasa kecewa. Kecewa
kerana aku tidak lagi mampu untuk mencintai dan menyayangi Fatima dalam diam. Mungkin gadis itu telah menerima
lamaran ustaz tahfiz itu. Amar sendiri cakap ustaz tahfiz itu mula menunjukkan
bakatnya memujuk hati kedua orang tua Fatima.
Mungkin lelaki itu juga sudah
berjaya memikat hati Fatima dalam diam.
Hmm…
“Ali kau nak tahu tak satu berita?”
soal Amar setelah kami selesai kelas mengaji. Kini, aku sudah mengaji surah
Al-Taha. Alhamdulillah. Kata Amar, bacaanku makin lancar dan bagus.
“Berita apa pulak? Eh, kau lagi
seminggu nak nikah kan?” Amar angguk kepala. Minuman dalam jag dituangkannya
kepadaku.
“Minumlah.” Ujar Amar pendek. Aku
menurut. Sedang aku meneguk itulah Amar memberitahu aku satu berita
menggemparkan seluruh jiwa ragaku. Hampir saja aku tersembur air minuman ke
muka Amar.
“Fatima tolak lamaran ustaz tahfiz tu.” Aku pandang
muka Amar terkejut. Tolak? Kenapa?
“Tolak? Kenapa? Fatima yang tolak atau ayah dan ibu dia yang tolak?”
soalku berminat ingin tahu. Tak mungkin ayah dan ibu Fatima menolak. Siapa yang tak nak anak gadisnya dinikahi oleh lelaki soleh
dan baik pekertinya.
“Fatima lah yang tolak. Aisyah
cakap, kakak dia tolak sebab dalam bayangan dia, dia gagal mencari wajah ustaz
tahfiz tu. Langsung tak ada. Ada wajah lelaki lain yang muncul. Kau nak tahu
berapa kali lelaki tu muncul dalam mimpi Fatima ?” Aku diam saja. Tapi hati aku
memang membuak-buak nak tahu.
“Sebanyak solat sunat Isthikarah
yang dia lakukan.” Kali ini aku memang tidak mampu bersuara. Aku tercengang.
Aku terkejut. Lelaki lain muncul dalam mimpi Fatima? Fatima sudah menemui lelaki lain? Siapa?
“Macam nilah, Ali. Kita kawan bukan
sehari dua. Aku nak kau terus terang dengan aku. Kau ada simpan perasaan sayang
tak pada Fatima ?” Soalan Amar buat hati aku makin berdegup laju. Meliar jadi
mataku tidak mampu membalas renungan matanya.
Aku diam lama. Kebisuanku buat Amar
tersenyum sebelah. Kepalanya digelengkan beberapa kali.
“Aku tahu kau suka Fatima . Mungkin
dari aku lamar Fatima lagi kau dah makan
hati kan?” Mataku membulat. Tak semena, kepala aku gelengkan tanda tidak setuju
dengan telahan Amar.
Perbuatanku itu buat Amar makin
kuat menyakat.
“Alah janganlah malu nak mengaku
dengan aku, Ali. Kau sayang dia, kau cintakan dia. Kau memang pasang impian nak
lamar dia jadi isteri kau kan?” Dalam kelembutan, Amar bagaikan cuba untuk
menjerat aku untuk mengaku tentang perasaanku.
Lama aku diamkan diri. Untuk menipu
aku tidak sanggup. Untuk mengaku aku memang malu. Tapi bagaimana Amar boleh
sebegitu yakin bahawa aku cintakan Fatima ?
“Aku nak kau lamar Fatima . Cintai
dia secara halal, Ali. Kau mampu. Kau lelaki yang baik. Aku yakin kau mampu
bahagiakan Fatima.” Amar bersungguh meyakinkan aku. Bagaikan aku sudah mengaku
saja yang aku ini betul-betul sayangkan Fatima .
“Tapi aku tak berharta, Amar. Ilmu
aku tak cukup.Aku bukan ustaz. Dia tu ustazah. Aku ni mekanik. Siapalah aku…”
Sedar tak sedar, akhirnya aku terjerat juga dengan jerat Amar. Amar tersenyum
lalu menepuk bahuku.
“Kau adalah Ali. Seorang lelaki
yang baik, yang soleh, yang bertanggungjawab dan lelaki yang aku yakin, sangat
sayangkan Nur Fatima Az Zahra.”
Aku tertunduk lemah. Lantas aku
gelengkan kepala.
“Tapi aku tak cukup berani nak
berdepan dengan Fatima , Amar. Kalau dia tolak aku, macam mana?”
“Ya Allah Ali. Kalau kau yakin Qada
Qadar Allah. Kalau kau yakin Allah yang beri rezeki,jodoh dan semuanya, kau
takkan bimbang andai lamaran kau ditolak. Allah yang tentukan jodoh kau.
Sebagai hamba, kita diberi peluang untuk berusaha memiliki jodoh yang baik.Tapi
kalau memang Fatima bukan jodoh kau, kau
kena yakin ada seorang wanita lain yang diciptakan oleh Allah untuk kau. Kau
kena yakin dengan Allah, Ali!”
Aku angkat muka pandang Amar. Benar
kata-kata Amar itu. Pokok pangkalnya aku kena yakin bahawa Allah sudah
mempersiapkan seorang jodoh untuk aku. Cepat atau lambat, siapa pun dia, aku
tahu aku akan tetap menemuinya. Tidak di dunia, pasti di akhirat nanti aku
menemuinya.
“Kau temankan aku jumpa Fatima ,
Amar. Aku tak berani nak berdepan dengan dia seorang diri.”Amar anggukan kepala
bersetuju. Dan aku tahu. Aku harus menggunakan cara Amar untuk meluahkan isi
hatiku pada Fatima . Bukan berterus terang di hadapan Fatima. Tapi sebaliknya berterus
terang di hadapan orang tua Fatima sendiri.
*******
Hati
aku makin kuat berdebar. Ya Allah, tabahkan hati aku untuk berdepan dengan dia.
Terutamanya ibu bapanya. Dan aku berdoa kepadaMu, ya Allah. Restui hubungan aku
dan dia. Aku betul-betul sayangkan dia. Izinkan aku untuk mencintai dia dan
menjaga dia dalam redhaMu.
“Assalamualaikum…”
Suara Amar memberi salam buat aku terbangun dari lamunan. Lima minit menaiki
kereta, kami berdua tiba juga ke rumah Fatima. Amar cakap, dia tidak
memberitahu Aisyah apa-apa mengenai kedatangan aku dan dia ke sini hari ini.
Amar tidak ingin buat aku makin tertekan. Terima kasih Amar kerana memahami
sahabatmu ini.
“Waalaikumussalam.
Eh, Amar. Masuk-masuk. Eh, Ali pun ada.” Aku terus pandang muka Haji Ismail.
Tak sangka lelaki itu mengenali namaku.
“Ini
Ali kawan Amar yang sama-sama mengaji kat surau tu kan?” soal Haji Ismail
seakan tahu saja persoalan yang bermain di benakku seketika tadi.
Aku
angguk perlahan. Senyuman aku hulurkan pada Haji Ismail. Tangannya aku salami.
Aku dan Amar dijemput masuk ke ruang tamu rumah. Di ruang tamu itu, aku ditegur
pula oleh ibu Fatima dan Aisyah, Hajjah Aminah. Senang perempuan tua itu
menyambut kedatangan aku dan Amar.
“Duduk,
nak. Jadi inilah sahabat baik Amar ya. Akhirnya bertemu juga kita.” Ucap Hajjah
Aminah seraya tersenyum manis.
Kami
berempat duduk di tempat duduk masing-masing. Aku tidak mampu membuang rasa
gemuruhku. Rasa segan melanda diri. Terasa kerdilnya diri ini apabila melihat
wajah Haji Ismail dan Hajjah Aminah yang bercahaya penuh keimanan itu. Tenang
saja wajah mereka.
“Ayah
dan umi apa khabar? Aisyah mana? Belum balik kuliah ke?” soal Amar kepada bakal
mertuanya.
“Alhamdulillah
sihat Amar. Aisyah belum balik lagi Amar. Ni Amar nak datang sini Aisyah tak
tahu ke?” tanya pula umi mesra. Aku hanya mampu diamkan diri. Nak cakap apa pun
tak tahu. Untuk berterus terang mengenai niatku juga aku sudah hilang
keberanian.
“Amar
ke sini bukan nak jumpa Aisyah, umi, ayah. Tapi kawan baik Amar ni. Dia ada
hajat.” Amar pandang aku. Aku pandang dia. Terus aku paling muka tersenyum pada
orang tua Fatima.
“Hajat?
Hajat apa pulak?” soal Haji Ismail sambil mengulum senyuman. Hajjah Aminah
turut menjatuhkan pandangannya kepadaku. Aku bertambah-tambah gelisah jadinya.
Nak bersuara aku jadi kelu. Nak berterus terang tentang hajatku, aku lagi tak
mampu.
Kebisuan
ku buat Amar menepuk pehaku bagai memberi isyarat untuk aku bersuara. Sebagai
seorang lelaki, aku tahu aku harus berani! Ah…
“Erm,
sebenarnya Haji, Hajjah. Saya…” Tak sempat aku teruskan pengakuanku, Haji
Ismail memintas laju.
“Tak
payahlah berhaji-berhajjah. Panggil aje ayah ‘ayah’, umi pulak ‘umi’. Korang
berdua ni dah macam anak-anak kami sendiri. Yakan, umi?” Umi angguk kepala
menyetujui kata-kata suaminya.
Keterbukaan
dan kemesraan yang ditunjukkan oleh ayah dan umi buat hatiku dilanda rasa
berani dengan tiba-tiba. Lantas, aku segera meluahkan isi hatiku. Aku harus
berani demi cintaku kepada Fatima!
“Saya
bawa hajat besar, ayah,umi. Saya….” Aku pandang Amar seketika. Amar angguk
kepala bagai meminta aku meneruskan kata. Aku tarik nafas. Kekuatan cuba aku
kumpulkan. Peluang dah depan mata. Aku harus berani!
“Saya…
saya datang nak melamar anak ayah dan umi.” Akhirnya, aku berjaya juga
meluahkan apa yang sepatutnya aku luahkan dari dulu lagi. Dua tahun aku
memendam perasaan ini. Kali ini, aku tidak kuat lagi untuk pendam. Dan
akhirnya, aku luahkan juga ia di hadapan ibu bapa Fatima sendiri.
Hajat
yang baru aku sampaikan berjaya membuat ayah dan umi terdiam. Lantas, ayah
segera menanyakan aku satu soalan.
“Ali
tahukan Aisyah dah berpunya. Yang tinggal hanya Fatima. Adakah Fatima yang Ali
maksudkan?” Aku mengangguk laju. Berpeluh-peluh tanganku saat itu. Adakah dalam
diam sudah ada lelaki yang datang merisik Fatima sebelum aku? Tapi Amar tak
cakap apa-apa pun.
Lama
ayah dan umi berdiam diri tanpa sebarang kata. Buat aku jadi tak keruan. Aku
pandang Amar meminta bantuannya. Mengerti akan keadaanku, segera Amar bersuara.
“Ali
dah lama menyimpan hasrat untuk memperisterikan Fatima, ayah, umi. Cuma dia
tiada keberanian untuk berterus terang. Amar kenal Ali ni macam mana orangnya,
ayah, umi. Dia mampu membahagiakan Fatima.” Terima kasih Amar kerana membantu
aku. Namun sedikit menghampakan apabila ayah dan umi tetap mendiamkan diri.
Seakan-akan mereka sedang memikirkan sesuatu saja.
“Ayah
dan umi tak pernah memaksa anak-anak kami dalam soal jodoh. Ayah serahkan
semuanya pada Fatima. Andai dia setuju, ayah dan umi sokong dan memberikan
keizinan kami dengan setulus hati. Ayah akan beritahu lamaran Ali ni kepada
Fatima nanti. Keputusannya kita sama-sama tunggu. Ya?” Ucap ayah dengan tenang
dan bersahaja.
Mendengarkan
hal itu, membikin hatiku dipagut pelbagai rasa. Rasa yang paling ketara adalah
rasa takut. Aku takut andai lamaranku ditolak mentah-mentah oleh Fatima nanti.
Ya Allah, izinkan hatiku dan hatinya bersatu di dalam redhaMu.
********
Tiga
hari kemudian….
Aku
pandang lama skrin telefon. Hampir tiga
hari berlalu, Fatima masih belum memberikan jawapannya. Amar ada memberi aku
nombor telefon Fatima. Namun, hatiku berat untuk menelefonnya dan bercakap
dengannya. Aku takut. Aku takut cintaku bakal ditolak. Dan aku tidak ingin
menampakkan aku terlalu mendambakan dia untuk menjadi permaisuri di hatiku.
Walaupun hakikatnya ya, aku memang perlukan dia. Tapi aku tahu aku harus ada
batas dalam mencintainya. Dia masih belum halal untuk aku cintai.
Kata
Amar, lamaranku pada kali ini mengambil masa yang paling panjang untuk Fatima
memberikan kata putusnya. Adakah Fatima memang bersedia untuk menolak
lamaranku. Haruskah aku pergi menemui ibu bapanya sendiri dan menanyakan
keputusan Fatima? Ah! Tidakkah itu menunjukkan aku terlalu terdesak.
Sedang
aku asyik mengelamun itu, muncul satu panggilan dari nombor yang tidak
dikenali. Aku pantas menjawabnya sambil memberikan salam terlebih dahulu.
“Assalamualaikum.
Siapa ni? Nak cakap dengan siapa?” soalku ramah.
“Waalaikumussalam
Ali. Ini ayah ni.” jawab orang di hujung talian itu. Aku terpaku seketika.
Ayah? Ayah aku dah lama meninggal dunia. Ayah siapa pula ni? Atau mungkin
ayah….
“Oh,
ayah. Ayah apa khabar? Sihat ke?” Aku yakin, Haji Ismail yang sedang berbual
dengan ku sekarang. Tapi dari mana orang tua ni dapat nombor telefon aku?
Mungkinkah Amar yang memberikannya.
“Alhamdulillah
ayah sihat. Ali sihat? Bila nak datang rumah ayah lagi?” Aku garu kepala
mendengar soalan ayah. Layakkah aku untuk ke rumahnya lagi. Siapalah aku.
“Alhamdulillah
ayah. Saya sihat. Ayah ada buat majlis doa selamat ke? Ni call sebab nak jemput
saya ke?” tanyaku dalam nada bergurau. Sedangkan dalam hati mula memikirkan
pelbagai andaian. Adakah ayah menelefonku untuk memberitahu aku mengenai
jawapan di atas lamaran ku tempoh hari?
“InsyaAllah
memang hajat ayah nak buat kenduri doa selamat sikit. Sempena Amar dan Aisyah
menikah lusa dan sempena Fatima setuju dengan lamaran kamu.” Tanpa berlapik,
ayah terus mengucapkan hal yang sebenarnya. Takut aku tersilap dengar dengan
kata-kata ayah itu, dengan gugup aku bersuara.
“Aa…apa
ayah cakap tadi? Fatima setuju dengan lamaran saya? Betul ke ni ayah? Ya Allah…”
Rasa syukur ku panjatkan ke hadrat Ilahi. Tak mampu untuk aku bendung rasa
gembiraku saat ini. Mahu saja aku menjerit kerana terlalu gembira. Gadis
impianku sudi menerima aku sebagai calon suaminya? Alhamdulillah. Adakah ini
tandanya Allah meredhai hubungan aku dan Fatima?
“Ya,
ayah cakap benda betul. Alhamdulillah, Ali. Fatima setuju terima lamaran kamu.
Kamu datanglah ke rumah ayah sekejap. Ada benda yang Fatima nak cakap.”
Mendengar saja Fatima nak jumpa aku, terus aku bersetuju.
“Baik
ayah. Sekarang juga saya pergi rumah ayah. Terima kasih ayah. Terima kasih
sebab bersetuju dengan keputusan Fatima untuk terima saya sebagai sebahagian
dari keluarga kalian.” Suaraku mula sebak. Hati lelakiku mula ingin menangis
kerana terlalu gembira dengan berita ini.
“Ini
semua kerja Allah Ali. Allah dah bagi izin Dia untuk menyatukan kamu dengan
Fatima. Hati-hati bawa motor tu. Jangan kalut sangat ya. Fatima tak lari ke
mana-mana.” Ada tawa kecil dihujung suara ayah. Aku turut tergelak. Akhirnya,
aku memutuskan panggilan dan bersiap-siap untuk bertemu dengan bakal zaujahku.
Terima kasih ya Allah. Terima kasih kerana menjadikan aku lelaki yang berjaya
memiliki hati wanita solehah seperti Fatima.
********
Dengan
penuh debaran di hati, aku melangkah masuk ke dalam rumah Haji Ismail.
Ketibaanku disambut baik oleh bakal ibu bapa mertuaku. Wah! Belum apa-apa lagi
aku sudah berani berkata seperti itu. Tak salah bersikap optimis bukan?
“Ni
saya ada bawa buah tangan sikit untuk ayah dengan umi.” Kuhulurkan buah-buahan
yang aku beli di tepi jalan tadi kepada umi. Umi menyambutnya lambat-lambat.
Dia tersenyum seraya ucap terima. Tidak berborak panjang, umi meminta diri
masuk ke ruang dapur. Tidak dapat tidak, mataku mula meliar memandang ke
sekeliling mencari kelibat seseorang.
“Nanti
Fatima keluar. Sabar ya, Ali Imran.” Dengan selamba ayah menyakatku. Aku
tersengih sambil garu kepala. Adoi kantoilah pulak.
Aku
duduk ke sofa sambil berbual-bual dengan ayah. Saat itulah muncul orang yang
aku nanti-nantikan. Jantung makin kuat berdegup. Anak mataku tidak mampu aku
pandang tepat ke muka Fatima yang sedang datang ke ruang tamu sambil mendulang
air minuman.
Dengan
penuh sopan, Fatima menuangkan air kopi untuk aku dan ayahnya. Aku curi-curi
pandang mukanya. Subhanallah. Fatima memang memiliki wajah yang cantik dan
menenangkan hati.
“Ehem-ehem.
Tak boleh pandang lama-lama, Ali. Jaga pandangan mata.” Ayah bersuara sambil
mensisip air kopi dari cawan. Aku tertunduk penuh segan. Alahai Ali. Kau memang
dah kemaruk.
Fatima Az-Zahra |
Tanpa kata, Fatima masuk semula ke ruang dapur. Aku
pandang langkahnya dengan pandangan kosong. Kata nak cakap sesuatu.
“Fatima
dah lantik ayah untuk jadi juru cakap dia.” Bagaikan mengerti apa yang bermain
di hatiku, ayah bersuara. Aku hanya diamkan diri menanti ayah menyambung kata.
“Fatima
memang bersetuju dengan lamaran kamu. Jadi, sekarang kami semua tunggu tindakan
kamu yang selanjutnya. Bila nak buat majlis akad nikah? Atau kamu bercadang nak
bertunang dulu?” Aku agak termangu menerima soalan dari ayah. Plan pun tak ada
lagi. Yalah mengejut kot aku dapat tahu Fatima sudi terima lamaran aku hari
ini. Tapi aku memang teringin benar bernikah cepat-cepat dengannya. Aku dah tak
sanggup menunggu. Nak bertunang? Ah… tak mungkin.
“Erm,
kalau ayah tak keberatan. Boleh bagi saya sedikit masa untuk bincang dengan
family saya dulu? Tapi saya memang tak berniat nak bertunang ayah. Saya nak
cepat-cepat menjadikan Fatima isteri saya yang sah.” Tanpa berselindung, aku
mula berani berterus terang.
Ayah
hanya tersenyum. “Baguslah tu. Ada tiga
perkara yang Nabi suruh umat dia lakukan cepat-cepat tanpa bertangguh-tangguh. Yang pertama, solat apabila telah masuk waktunya,
yang kedua jenazah apabila telah hadir dan yang ketiga anak
dara apabila telah ada orang sekufu dengannya.” Ayah meneruskan
senyumannya.
Aku juga ikut mengulum senyuman. Namun mendengar ayat
terakhir dari hadis baginda Nabi membuat hati kecilku dilanda rasa takut pula.
Aku tidak sekufu dengan Fatima. Aku hanya mekanik biasa dan dia seorang
ustazah. Di manakah sekufu kami?
“Tapi Ali ini tak sekufu dengan Fatima, anak ayah. Ilmu agama
saya cetek. Saya takut saya gagal membimbing Fatima menjadi isteri yang solehah
ayah.” Aku tertunduk memandang lantai. Tiba-tiba level keyakinan aku menurun
secara mendadak. Kegembiraan aku ikut sama merundum. Perasaan takut kembali
menyapa jiwa.
Mungkinkah aku berjaya mendidik Fatima sedangkan diri aku
sendiri tidak terdidik dengan sempurna. Namun syukurlah Fatima seorang wanita
yang solehah. Dia mampu menjaga dirinya sendiri. Tapi sebagai seorang suami,
aku wajib mendidiknya dan bertanggungjawab ke atasnya dalam segala segi. Pernah
aku mendengar ceramah dari ustaz yang
terkenal dari pantai timur itu. Ustaz cakap, pemuda
soleh digalakkan kahwin dengan wanita tak solehah untuk tujuan dakwah. Wanita solehah
tidak digalakkan kahwin dengan pemuda tak soleh kerana ditakuti hilang
kesolehannnya.
Adakah apabila Fatima berkahwin denganku nanti, kesolehannya
akan hilang di sebabkan oleh kegagalan aku mendidiknya untuk menjadi seorang
isteri yang mithali? Allah…. Layakkah aku untuk Nur Fatima Az Zahra?
“Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Pilihlah
bagi permata-permata kamu (anak-anak perempuan kamu) dan kahwinkanlah dengan
yang sekufu dan kahwinkanlah mereka kepadanya.” Menurut mazhab Imam Syafie,
aspek sekufu ada enam iaitu, Islam, meredeka,
agama, keturunan, kerjaya dan sejahtera dari sebarang kecacatan. Mencari yang sekufu
adalah suatu keredhaan kepada calon isteri dan walinya. Ayah sangat redha andai
Ali dijodohkan dengan Fatima. Ayah bukan buta, ayah bukan tuli. Ayah nampak,
ayah tahu Ali ni macam mana orangnya. Ali seorang budak yang baik akhlaknya.
Ilmu agama boleh dicari, nak. Yang penting kita berusaha untuk terus mencari
keredhaan dari Dia. Ali jangan pernah rasa rendah diri. Perkahwinan yang tidak
sekufu tetap sah hukumnya. Yang penting Ali sayang anak ayah dan anak ayah
sayang Ali.”
Aku
pandang muka ayah lama. Hatiku rasa sebak dan terharu mendengar jawapan yang
diberikan oleh ayah. Ya Allah, beruntungnya aku dapat bertemu dengan seorang
ayah seperti ayah. Semoga aku dapat mengikut jejak langkahnya dalam menjadi
seorang Muslim yang berjaya.
“Terima
kasih ayah. Terima kasih kerana sudi menerima saya sebagai calon menantu ayah.
Saya tak berani nak berjanji. Tapi saya akan cuba sedaya upaya saya untuk
membahagiakan anak ayah. Bagi saya, Fatima adalah anugerah dalam hidup saya.”
Aku bangun lalu duduk di sebelah ayah. Tangan ayah aku kucup lama. Saat itulah,
tanpa aku memulakan dulu, ayah lebih dulu mendakap tubuhku. Saat itu juga dari
ekor mataku dapat aku lihat Fatima sedang bersembunyi di balik dinding
tersenyum ke arahku. Senyuman menawan Fatima buat hatiku makin yakin bahawa aku
akan bahagia dengan gadis itu.
**********
Malam mula melabuhkan tirainya. Pertemuanku
dengan keluarga Fatima pagi tadi benar-benar berjaya menjadi detik paling
membahagiakan bagi diriku. Tak sangka ayah turut mempelawa aku untuk makan
tengah hari di rumahnya. Alhamdulillah dapat juga aku merasa masakan dari air
tangan Fatima. Sedap. Walaupun kami tidak berbual, namun aku yakin perasaan
cinta tetap menggebu dalam hati kami berdua.
Berita gembira ini telah aku
sampaikan kepada ibu dan keluargaku di kampung. Ibu terutamanya, sangat gembira
dan bersyukur mendengar berita ini. Kata ibu, baik dipercepatkan majlis nikah
aku dan Fatima. Keinginanku untuk tidak bertunang dengan Fatima turut
dipersetujui oleh ibu. Yalahkan. Aku pun bukan muda lagi. Umur dah 30 tahun.
Kata ibu, dia akan ke sini esok.
Dia sendiri akan pergi ke rumah Fatima membincangkan majlis pernikahan kami.
Nampak gayanya, aku berpeluang menemui Fatima lagi esok. Alhamdulillah. Aku
harap, esok dapatlah kami berbual. Aku teringin nak mendengar suaranya.
Sebelum aku melelapkan mata, sempat
aku kirimkan satu pesanan ringkas pada Fatima. Aku harap aku tidak menganggunya
malam-malam seperti ini. Ini adalah sms pertamaku kepadanya.
+Assalamualaikum,
Nur Fatima Az Zahra. Saya Ali Imran, bakal suami awak. J
Terima kasih kerana sudi menerima lamaran saya. Kerana Allah saya
sayangkan awak. Kerana Allah saya ingin memperisterikan awak. Semoga cinta kita
terus diredhai oleh Ilahi. Amin.
Hati kecilku berharap benar gadis
itu membalas smsku. Namun, beberapa minit berlalu, masih tiada bunyi sms masuk.
Akhirnya, aku pasrah. Mungkin Fatima sudah tidur. Tengok jam di dinding aku
makin yakin Fatima sudah tidur. Sudah pukul 12 malam pun.
Akhirnya, aku turut menarik kain
gebar. Doa tidur, ayat Qursi dan tiga Kul aku baca sebelum melelapkan mata.
Itulah amalan yang cuba aku kekalkan. Sunnah Nabi siapa yang ikut takkan pernah
menemui kerugian.
Baru saja aku ingin memenjamkan
mata, tiba-tiba saja ada bunyi sms baru masuk ke telefon bimbitku. Terus saja
aku menilik telefon itu. Pesanan ringkas dari Fatima Az Zahra?
=Waalaikumussalam, Ali Imran. Saya sepatutnya berterima kasih kepada awak
kerana sudi melamar saya. Saya juga sayangkan awak kerana Allah. Semoga cinta
kita berada dalam redhaNya. Dan awak jangan risau. Walaupun pada pandangan
kasar kita tidak sekufu dari segi pekerjaan kita. Tapi yakinlah, saya yakin
awak mampu membahagiakan saya. Seperti kata ayah, saya juga tidak buta untuk
melihat diri awak yang sebenarnya. J
Aku termangu lama sambil mengulang
kembali sms yang datang dari Fatima itu. Berkali-kali aku baca dan akhirnya aku
mula membuat satu kesimpulan. Adakah Fatima mencuri dengar perbualanku dengan
ayahnya tadi? Dan apa maksud sebenar Fatima dia tidak buta melihat diri aku
yang sebenarnya? Adakah dia memperhatikan juga selama ini?
Aku tersenyum sendirian. Makin tak
sabar untuk aku menjadikan Nur Fatima Az Zahra halal bagiku.
*****
Hari yang ditunggu-tunggu, akhirnya
tiba juga dengan izin Allah. Hari ini aku bakal dinikahkan dengan Fatima, gadis
pilihan hatiku.
Agak menggigil tanganku menyambut
jabat tangan dari ayah. Ayah sendiri yang akan menikahkan aku dengan anak
sulungnya, Fatima.
Sempat juga aku mencuri pandang ke
arah Fatima yang duduk tidak jauh dari aku. Aku pandang lalu tersenyum. Cukup
ayu perempuan itu mengenakan jubah berwarna putih.
Hajatku untuk menikah di hari Amar
menikah, dipersetujui oleh semua pihak. Amar paling kuat menyokong. Dia sendiri
yang memberi aku tawaran itu. Katanya, tidak salah kami berdua menikah pada
hari yang sama. Aku bersyukur kerana Allah mempermudahkan jalanku.
“Bismillahirrahmaanirrahim. Ali
Imran bin Abdullah.” Ayah makin mengenggam kemas tanganku.
“Ya saya.”
“Aku nikahkan akan dikau dengan
puteriku, Nur Fatima Az Zahra binti Ismail dengan mas kahwin sebanyak 3 dinar
tunai!” Tanganku dihenjut kuat. Dengan tenang aku menerima lafaz ijab ayah
dengan lafaz kabulku.
“Aku terima nikahnya Nur Fatima Az
Zahra binti Ismail dengan mas kahwin sebanyak 3 dinar tunai…”
Jelas di cuping telingaku
saksi-saksi mula melafazkan kata ‘sah’ mereka. Itu bermakna, aku dan Fatima
sudah sah menjadi suami isteri. Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah. Terima
kasih kerana menjadikan Fatima seorang isteri yang halal untuk aku cintai.
Kekalkanlah perkahwinan kami berdua hingga ke akhir hayat kami. Amin.
Beberapa minit berselang, giliran
Amar dan Aisyah pula yang dinikahkan oleh ayah. Dengan sekali lafaz, Aisyah dan
Amar sah menjadi suami isteri. Bacaan doa mula berkemundang tenang.
Usai doa dibaca, aku dan Amar
diminta untuk melakukan upacara pembatalan air sembahyang. Amar yang segak
mengenakan baju Melayu warna putih, aku pandang dengan senyuman. Impian kami
berdua akhirnya dimakbulkan oleh Allah. Kalau dulu aku pernah kecewa kerana
Amar turut menyayangi Fatima dan ingin menyunting Fatima menjadi isterinya.
Kerana rasa cintaku pada sahabat baikku iaitu Amar, aku cuba sedaya upaya untuk
melupakan perasaan cintaku pada Fatima. Demi kebahagiaan Amar, aku sanggup
berkorban.
Kini, pengorbananku akhirnya
berbalas. Takdir Allah menentukan Amar dan Fatima tidak bersatu. Cinta tidak
pernah meminta untuk menanti. Ia mempersilakan. Atau mengambil kesempatan. Yang
pertama adalah pengorbanan. Yang kedua adalah keberanian.
“Assalamualaikum…” Kuucapkan salam
pertamaku sebagai suami kepada Fatima. Gadis itu menyambut salamku perlahan.
Dia tertunduk sambil tersenyum malu.
Tangan kuhulurkan padanya. Fatima
menyambut tanganku lambat-lambat. Saat tangan kami saling bersentuhan, hatiku
makin kuat berdebar. Pertama kali aku menyentuh tangannya.
Semuanya berlaku sekelip mata.
Tidak bercinta, tidak berkasih. Aku dan Fatima kini sah menjadi suami isteri.
Takdir Allah tiada siapa yang tahu.
Kukucup perlahan dahi Fatima. Usai
itu kami saling menyarungkan cincin. Aku pandang wajah ibu. Ibu benar-benar
kelihatan gembira. Doa ibu pasti akan mengiringi kebahagiaan rumahtanggaku
bersama Fatima.
Amar, Aisyah, Fatima dan aku
diminta untuk mengambil gambar untuk dibuat kenangan. Tiada majlis
persandingan. Hanya majlis nikah. Itu pun keluarga terdekat saja yang dijemput.Cukup
simple. Apa yang wajib dibuat dengan sebaik mungkin.
Sedar tidak sedar, sepanjang acara
ambil gambar tadi, tanganku tidak lepas menggamit tangan Fatima. Dan gadis itu
tidak pula malu-malu untuk mengemaskan pegangan kami.
******
Selesai berborak dengan ayah di
ruang tamu, aku terus masuk ke dalam bilik. Hati berdebar melalui malam pertamaku
dengan Fatima. Kali pertama aku dan dia tinggal dalam satu bilik. Tak pernah
berbual lama, tak pernah bercinta. Mampukah aku hilangkan rasa kekokku nanti?
Ah! Aku lelaki. Kena berani. Bak kata Amar, Fatima sudah sah menjadi isteriku.
Aku harus membahagiakan dirinya setiap detik. Jangan sia-sia walau satu saat
ketika bersamanya.
“Assalamualaikum…” Kuhulurkan salam
sebaik saja kakiku melangkah ke ruang bilik.
Aku pandang Fatima yang sedang
duduk di birai katil tanpa mengenakan lagi tudung labuhnya. Pertama kali aku
melihat rambutnya. Subhanallah. Cantiknya. Macam bidadari. Bidadari di hati Ali
Imran.
“Waalaikumussalam…” Suara Fatima
dengar tidak dengar di cuping telingaku. Aku melangkah ke arahnya.
Kulabuhkan duduk ke birai katil.
Mata tidak dapat aku larikan dari memandangnya. Kami saling berbalas
senyuman.Tiada kata yang terluah. Keadaan itu berlanjutan agak lama. Akhirnya,
tak disangka-sangka, Fatima lebih dulu bersuara sambil mengucup tanganku lama.
Aku kaget.
“Terima kasih kerana memilih saya
untuk menjadi isteri awak.” Ucap Fatima dengan sopan.
Aku memaksa lembut dia mengangkat
mukanya. Tanganku agak menggigil menyentuh pipinya. Kuusap pipinya penuh
kelembutan.
“Boleh saya minta sesuatu dari
awak?” Aku bertanya.
Lambat-lambat Fatima mengangguk setuju.
Aku tersenyum lalu menyambung kata.
“Boleh saya panggil awak ‘sayang’
dan awak panggil saya ‘abang’?” Fatima kelihatan agak terkejut. Namun, ada
senyuman manis terpamer di bibirnya. Cukup aku suka dengan senyumannya itu.
Jarak kami sekarang memang dekat. Kalau aku cukup berani, sudah pasti aku dakap
dia kemas-kemas.
“Boleh.” Ucapnya malu.
Aku tersenyum juga. Apa lagi nak
cakap eh. Kebisuan sekali lagi melanda kami.
“Erm… kalau boleh saya…eh maksud
abang… kalau boleh abang tahu, kenapa sayang sudi terima lamaran abang? Kita
tak pernah bercakap, nak bercinta jauh sekali. Cepat sayang terima lamaran
abang. Kenapa?” tanyaku dengan penyusunan ayat yang aku rasa cukup teratur itu.
Harap-harap Fatima tidak salah faham pula. Aku betul-betul nak tahu apa penyebab
utama dia menerima aku. Ya, memang kami bersatu kerana Allah dah tetapkan jodoh
kami. Tapi sebagai manusia biasa. Aku ingin tahu apa pandangan Fatima terhadap
aku sebelum ini. Adakah benar dia selama ini memperhatikan aku?
Fatima memberikan sepenuh tumpuannya
ke arahku. Buat aku malu pula apabila dia memandang aku seakan-akan nak makan
aje. Atau dia nak menggoda aku?
“Terlebih dulu, Fatima nak minta
maaf dengan abang.” Dia menghentikan ayatnya di situ. Aku kerut dahi. Minta
maaf kenapa pulak?
“Kenapa?” soalku tak sabar.
Agak payah juga Fatima nak bersuara
dan akhirnya sambil menundukkan muka dia menyambung kata.
“Maafkan Fatima kerana sebelum
menikah dengan abang Fatima pernah sayangkan seorang lelaki.” Pengakuan Fatima
benar-benar buat aku terpana. Tak semena-mena aku melepaskan pegangan
tangannya.
Fatima, si wanita solehah pernah
menyayangi seorang lelaki? Siapa? Habis tu kenapa dia berkahwin dengan aku!
“Kalau macam tu kenapa sayang masih
nak kahwin dengan abang? Dan siapa lelaki tu?” Rasa cemburu merajai jiwa.
Lain nada aku tika itu. Ada marah,ada
kecewa, ada sedih dan yang paling jelas aku cemburu! Adakah Fatima cuba
mempermainkan aku. Wanita solehah seperti Fatima tidak mungkin sanggup
mencintai lelaki lain selain suaminya. Melainkan lelaki itu… suaminya sendiri.
“Mestilah Fatima nak kahwin dengan
abang. Sebab abang adalah lelaki itu.” Jawapan Fatima buat aku bertindak dengan
drastic dengan mendakap tubuhnya.
Aku tersenyum sendirian. Ya Allah,
kuat juga sifat cemburu dalam diriku. Nasib baik aku tidak menuduh perempuan
sebaik Fatima dengan perkataan yang bukan-bukan. Jadi itu bermakna… Aku segera
merungkaikan pelukan kami. Tangan Fatima aku gamit kejap.
“Jadi sayang cintakan abang dari
dulu lagi? Sejak bila, hmm?” Makin tak sabar untuk aku mengetahui kebenarannya.
Ya Allah, Fatima turut sama menyimpan perasaan terhadapku seperti mana aku
menyimpan perasaanku terhadapnya?
Fatima mengulum senyumannya seraya
menjawab soalanku.
“Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud. “Jika datang kepada kamu pinangan daripada seorang
lelaki yang kamu redha terhadapnya, agama dan akhlaknya, hendaklah kamu terima,
kalau kamu menolaknya padahnya adalah fitnah dan kerosakan di muka bumi.”
Melihat abang selalu berjemaah di surau, dan selalu buat kerja kebajikan,
benar-benar buat Fatima jatuh suka pada abang. Akhlak abang meruntun jiwa Fatima
yang lemah ni.” Suara Fatima kedengaran sebak dan bergetar.
Hatiku
terharu lagi mendengar pengakuan Fatima. Melihat matanya mula berkaca, segera
aku memujuknya. Pujukan pertamaku sebagai suaminya.
“Kejernihan
wajahmu sempurna pada pandanganku. Keturunan terpilih disanjung serta
dihormati. Kesederhanaan mu mengecap kekayaan dunia. Ketaqwaan dirimu itu yang
merantai jiwaku…” Aku membawa tangan Fatima ke dadaku. Lalu kukucup tangannya
lama. Hanya itu yang mampu aku luahkan. Lagu Bisikan Nurani dari kumpulan
Inteam benar-benar kena dengan apa yang aku rasakan pada Fatima. Bukan aku
memuji, apa lagi memuja. Tapi salahkah ku kagumi perhiasan dunia? Seindah perhiasan
adalah wanita solehah, bukan?
“Abang
bersyukur kerana Allah menganugerahkan cinta dalam hati kita berdua. Walaupun
cinta kita, cinta bersenikan diam, saling memendam rasa, itu kerana abang yakin
kita berdua tidak ingin cinta kita melebihi cinta kepadaNya. Betul kan sayang?”
Fatima mengiyakan kata-kataku. Air mata mula menitis ke pipinya. Aku yakin itu
adalah air mata gembira. Segera aku seka air mata itu dengan ibu jariku.
Perlahan-lahan
aku mengucup dahi Fatima penuh rasa cinta. Akan aku bahagiakan wanita bernama
Nur Fatima Az Zahra ini seumur hidupku. Kerana bagi aku, Fatima adalah anugerah
yang dikurniakan oleh Allah untuk lelaki bernama Ali Imran ini. Aku Ali dan dia
Fatima Az Zahraku.
Titipkan cintamu kepada jodoh yang belum diketahui siapa dan untuk mendapat yang
terbaik, jadilah yang terbaik. Jika dirimu jatuh cinta, diamkanlah, kerana
syaitan cuba menyelinap masuk untuk jadikannya cinta bernafsu.
Jika dirinya bukan untukmu, redhailah, kerana Tuhan ada perancangan yang
lebih baik lagi buat kita. Buat diriku juga, saat ku jatuh cinta denganmu, akan
ku diam dan dirimu pasti tak ketahui, melainkan setelah diriku datang kepada keluargamu,
untuk menzahirkan yang terbuku, wahai jodoh yang tak diketahui.
Cinta tak pernah meminta untuk menanti. Ia mengambil
kesempatan atau mempersilakan.
Ia adalah keberanian, atau pengorbanan.
Ia adalah keberanian, atau pengorbanan.
Wahai lelaki, jadilah sejantan Ali, melamar gadis pilihanmu dengan jalan
yang diredhaiNya, yakni pernikahan, bukannya couple, kerana bercouple itu
banyak keburukan berbanding kebaikan. Para wanita pula, teladanilah Fatimah,
menjaga peribadinya biarpun hatinya meruntun cintakan pemuda sehebat Ali r.a.
-TAMAT-
#Mahu mendapatkan pasangan yang baik? Jadi yang terbaik. InsyaAllah....
hihi..lma da x bc cerpen FI ni..best..:)
ReplyDeletekenapa lama? yolah akak sibuk ork. mekasih2..alhamdulillah.. :)
Delete