JOM FOLLOW

Saturday, 20 September 2014

Terlewatkah Cinta Kita? [BAB 10]




DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.


BAB 10


Beberapa hari sudah berlalu. Selama itu jugalah Dayang tidak lagi hadir ke tempat kerja. Buat sekian kalinya, Dayang kembali menjadi ‘pelarian’. Menyembunyikan diri dari seseorang.

Kalau dulu, sewaktu dia mula belajar untuk berhijrah, rakan-rakan seperjuangannya dalam pelacuran selalu mengejarnya dan memujuknya untuk kembali ke lembah maksiat itu. Tidak kurang juga lelaki-lelaki yang pernah dilayaninya kembali mengejar Dayang.

Saat itu hanya Allah saja yang tahu betapa Dayang menderita dengan segala pujukan itu. Hampir-hampir dia kembali menjadi Dayang Zulaikha yang dulu kerana imannya masih belum kuat.

Kerana kejadian itulah Ibu Orked membawa Dayang pergi jauh dari Kuala Lumpur. Pergi jauh dari segala hasutan penuh kejahatan itu.

Kini, keadaan tidak jauh berbeza. Dayang kembali menyembunyikan diri. Bersembunyi dari cinta si jejaka yang tulus mencintainya.

Dayang tak kuat untuk terus berdepan dengan pujukan Tuah. Dia takut andai hatinya termakan dengan pujuk rayu dan ketulusan lelaki itu. Biarlah dia menjauhkan diri. Lambat atau cepat, Tuah akan berhenti mengejar.

“Dayang…. Sini kejap nak…” Laungan Ibu Orked mengejutkan Dayang yang sedang termenung di jendela biliknya.

Cepat-cepat dia melangkah ke bilik ibunya.

“Ya, bu.” Seperti biasa Dayang duduk di birai katil menanti arahan dari ibunya.

Ibu Orked pegang tangan Dayang kemas. Sudah berbuih mulutnya menasihati anak gadisnya ini. Masih tetap Dayang berdegil.

“Pergilah jumpa Tuah. Terus terang dengan dia. Terus terang tentang perasaan Dayang pada dia. Kesian ibu tengok dia, nak.” Ucapan Ibu Orked menyentuh hati kecil Dayang.

Namun dia tetap tidak menjawab sepatah kata.

“Sayang….  Ibu merayu. Sebelum ibu tutup mata, ibu nak lihat anak ibu hidup bahagia di samping lelaki yang sah bergelar suami Dayang. Lupakan masa lalu Dayang. Takkan ada sesiapa yang tahu. Allah takkan membuka aib seseorang, andai seseorang tu tidak membuka aib saudaranya. Dayang anak yang baik. Tak pernah kutuk orang, mengata orang, apa lagi menjaja cerita orang kampung. Allah pasti menjaga rahsia Dayang. Percayalah cakap ibu, nak.”

Ibu Orked berusaha untuk terus memujuk. Sungguh hatinya kecewa dan sedih melihat kedegilan Dayang berterusan seperti ini.

“Dayang takut, bu. Dayang takde kekuatan untuk berdepan dengan Tuah andai dia tahu tentang keadaan Dayang dulu. Dayang tak nak kebahagiaan yang Dayang miliki musnah di separuh jalan.” Dayang tertunduk sayu. Dia tahu kedegilannya telah membuat hati ibunya kecewa.

“Yakin dengan Allah, nak. Allah sesekali tidak pernah mengecewakan hambaNya yang mengharap sepenuhnya padaNya. Sudah tiba masanya Dayang memberi peluang untuk diri Dayang sendiri. Allah pasti akan membantu Dayang untuk mendapatkan kebahagiaan yang hakiki. Yakin dengan Dia, nak…” Nasihat Ibu Orked buat kesekian kalinya.

Dan akhirnya, nasihat itu mula meresap masuk ke tangkai hati Dayang. Tapi persoalannya, mampukah dia tabah?


+++++++


Tuah pandang lama tempat duduk Dayang yang sudah beberapa kosong tanpa tuan empunyanya.

Hampir dua minggu sahaja mereka mampu untuk bekerja bersama-sama. Dua minggu yang membuat hati Tuah dilanda rasa bahagia yang sangat mengasyikkan. Setiap perbualan dan senyuman yang Dayang hadiahkan untuknya, melekat kemas di benak Tuah. Tak mampu dia lupakan lagi.

Sudah beberapa hari dia mencuba memujuk gadis itu. Dayang tetap degil untuk tidak lagi menemuinya. Akhirnya Tuah menemui jalan buntu. Kebuntuannya membuatkan Tuah mula ingin membuat satu kesimpulan.

Mungkin memang tiada jodoh antara mereka berdua. Sampai di sini sahajalah cintanya pada Dayang.

Tapi tidak mungkin semudah itu Tuah mahu melupakan Dayang! Cintanya pada gadis itu tulus dan suci.

Adakah dia perlu menggunakan kekerasan untuk meraih cinta si gadis? Kekerasan dan keterpaksaan?

Tuah menggeleng laju. Tidak mungkin dia menggunakan cara terkutuk itu untuk memperoleh Dayang. Bukan jasad Dayang yang dia mahukan. Tapi hati dan cinta gadis itu!

“Tuan…” Sedang asyik Tuah mengelamun, muncul Ajim di hadapan pintu.

“Tuan…” Ajim melangkah ke meja Tuah. Diperhatikan lemah wajah lesu majikannya itu.

“Tuan, tuan ada tetamu.” Ujar Ajim sebaris.

Mata Tuah terus terarah pada Ajim. Otaknya terus terfikirkan satu nama.

“Dayang ke?” soal Tuah pada Ajim.

Lambat-lambat Ajim menggeleng. Sudah beberapa hari setiausaha mengejut bosnya itu tidak datang kerja. Tidak pula dia berminat untuk mengambil tahu. Tapi yang dia perasan, ketiadaan Dayang berjaya membuat tuan mudanya jadi lemah-lemau. Ada apa-apakah antara mereka?

“Dah tu siapa yang nak jumpa aku? Aku tak nak jumpa siapa-siapa hari ni. Aku takde mood.” Ujar Tuah penuh kecewa.

Dia kembali menyandarkan badannya ke kerusi, malas. Fail pekerja yang terselit foto Dayang ditatap lama.

“Tapi tuan dia ke sini sebab nak cari Cik Dayang Zulaikha.” Ajim bersuara dengan berhati-hati.

Saat itu wajah Tuah terus berubah. Tajam matanya merenung muka Ajim. Ada yang mencari Dayang Zulaikha? Siapa?

“Cari Dayang? Siapa?” Tuah akhirnya bangun.

Ketika itulah tetamu yang ingin bertemu dengannya berdiri di muka pintu pejabatnya sambil menguntum senyuman mesra. Tuah mengamati wajah lelaki yang kelihatan kemas dan segak dengan kot di badannya. Siapa lelaki ini?


++++++


“Apa khabar, Tuan Tuah? Saya, Rayyan Zachry. Just call me Zach.” Lelaki tinggi tegap dan berhidung mancung itu menghulurkan tangan kepada Tuah.

Dengan rasa ragu-ragu Tuah menyambut jabat tangan Zachry. Dia mempersilakan lelaki cukup formal itu duduk.

“Silakan duduk, Encik Zachry. Erm… kenapa awak cari Dayang?” Terus diajukan soalan itu kepada Zachry. Sungguh Tuah tidak menyangka bakal ada seseorang yang akan mencari Dayang. Adakah ini calon suami Dayang yang seterusnya?

Zachry tersenyum saja. Matanya meninjau keadaan sekeliling ofis kecil yang kelihatan agak kurang bermaya ini. Pandangannya jatuh pula ke arah Tuah yang sedang serius memandangnya.

“Saya rindukan dia.” Jawapan Zachry buat jantung Tuah berdegup kencang. Tangannya tak semena dikepal kemas.

“A-pa dia? Rindu?” Tuah cuba bersabar. Siapa sebenarnya Rayyan Zachry ini!

Zachry tersenyum sinis. Lega hatinya apabila semakin lama pencariannya bakal menemui penghujung. Nampak dari gaya seakan-akan lelaki bernama Tuah ini cukup mengenali Dayang. Mujurulah. Bolehlah dia menemui gadis itu secepat mungkin.

“Yup, rindu. Rindu yang amat sangat. Lelaki mana yang tak rindukan perempuan yang pernah membelai dan… melayaninya kan?” Zachry angkat kening penuh makna.

Saat itulah Tuah tidak berfikir panjang lagi. Dia berdiri dari kerusi dan memaut kolar baju Zachry sekuat hatinya. Terperanjat besar Zachry.

“Apa kau cakap tadi?! Apa maksud kau, hah?!” Tuah merapati tubuh Zachry dan meniarapkan lelaki itu ke atas meja.

“Eh, lepaslah! Kau ni dah kenapa, hah?! Lepaskan aku!” Zachry cuba melepaskan diri. Dapat dia rasakan cengkaman kuat tangan Tuah memaut lehernya pula. Hampir saja dia kelemasan.

“Aku takkan lepaskan kau! Aku Cuma nak tahu kenapa kau cakap Dayang macam tu! Kau tak kenal dia! Kau jangan sesekali cakap benda tak baik pasal dia!” Hati Tuah makin panas. Sakit hatinya mendengar kata-kata Zachry sebentar tadi. Dayang wanita yang pernah membelai dan melayaninya? Ya Allah, apa maksud lelaki itu.

Kali ini Zachry menggunakan sepenuh tenaganya itu meloloskan diri dari cengkaman Tuah. Dan akhirnya dia berjaya.

“Lepaskan akulah, bodoh!”

Mereka sama-sama berdiri berbalas renungan tajam. Zachry tetap menguntum senyuman sinisnya kepada Tuah. Mamat ni mesti mangsa Dayang yang terbaru. Aku tak sangka kau masih buat kerja terkutuk tu, Dayang. Kau memang perempuan tak guna! Hati Zachry berbisik penuh benci.

“Aku tak nak tahu kau mangsa ke berapa perempuan tu selepas aku. Cuma satu aku nak tahu, dia kat mana sekarang. Aku perlu jumpa dia. Secepat mungkin!” Zachry berkata serius.

Tuah menarik nafas geram. Penumbuknya kembali dikepal kemas.

“Sebelum aku belasah kau cukup-cukup, baik kau berambus dari sini. Aku tak kenal siapa kau. Dan aku yakin Dayang juga tak kenal kau. Kau orang gila yang tiba-tiba muncul tuduh Dayang macam ni. Kau pergi. Pergi!” Tuah menolak tubuh Zachry keluar dari pejabatnya.

Zachry berkerut dahi. Dia juga naik sentap dengan kata-kata Tuah. Difikirkan lelaki kaya ini ada otak. Rupa-rupanya tidak. Lembap!

“Baik aku boleh pergi.” Ditepis tangan Tuah kuat. Andai dia ingin pergi, dia boleh pergi sendiri. Tidak perlulah dia dihalau seperti seorang bodoh!

“Tapi aku nak beritahu kau sesuatu. Hakikatnya, Dayang tu bekas pelacur. Dia mungkin hanya berpura-pura sayangkan kau. Demi wang dan demi kemewahan. Aku dah cukup masak dengan diri dia. Sebab tu sekarang aku kembali untuk cari dia. Aku nak tawarkan kemewahan untuk dia. And you know what, aku yakin dia takkan menolak.” Bahu Tuah ditepuk berkali-kali. Tuah pantas menepis tangan Zachry dengan perasaannya yang sudah mula terbakar.

Senyuman sinis dihadiahkan oleh Zahcry untuk Tuah. Dia mula melangkah pergi dari ruangan itu dengan harapan selepas ini dia berjaya menemui Dayang Zulaikha, bekas teman wanitanya itu.

Kelibat Zachry sudah menjauh. Tuah masih pegun di situ bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarinya tadi.
Benarkah Dayang seorang bekas pelacur? Ya Allah….


*bersambung*


Jangan hanya kerna satu kesilapan, segala kebaikan terus dilupakan.

Seolah - olah kita langsung tidak pernah melakukan kesilapan.
Memaafkan lebih membahagiakan. 



3 comments:

  1. Tuah jgn la percaya ape yang zachry katakan..berdepan la dgn dayang sendiri..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul3..
      Dengar dari mulut Dayang sendiri kan.

      Delete
  2. KOMEN DARI PEMBACA DI GRUP KAMI CINTA NOVEL

    FaDhilah JaRohani > Sian tuah.. cpt smbong kak

    ReplyDelete