DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.
BAB 22
Langkahku mati berdiri
di hadapan Aunty Izzah yang sedang duduk termenung di atas kerusi batu di bawah
gazebo kayu. Ingin aku menyelami perasaan yang melanda hati wanita tua itu.
Setelah anak menantu
dan cucu-cucunya pulang ke rumah masing-masing awal pagi tadi, wajah Aunty
Izzah berubah mendung. Entah apa yang menyebabkan perkara itu terjadi. Adakah
kerana wanita itu berasa sedih dengan kepulangan anak menantu serta
cucu-cucunya? Tapi menurut Kak Inas, kakak sulung Cikgu Ihsan yang ramah lagi
mesra tu, sebulan sekali mereka akan pulang ke sini. Cuma kalau terlalu sibuk saja
mereka akan jarang pulang. Jadi, kalau anak-anak dah pulang selalu, kenapa
wajah Aunty Izzah seperti bersedih saja.
Aku tidak tahu sama ada
perlu meneruskan langkahku mendekatinya atau masuk ke dalam bilik termenung
mengenangkan nasibku berada dalam keluarga asing ini. Sesekali, penat juga otak
ini memikirkan masalah yang tak pernah hilang dari hidup.
Sepatutnya aku campak
dekat tepi seketika masalah yang belambak tu. Ambik peluang yang ada untuk
bahagiakan orang lain pula. Moga-moga dengan cara itu kita turut merasa
bahagia. Orang cakap diri kita ni kalau tak mampu jadi pensel yang menulis
kebahagiaan, cukup jadi pemadam yang mampu hapuskan kesedihan. Tak kisah sama
ada kesedihan sendiri atau orang lain.
“Mama mesti boring tu.”
Aku pantas paling ke
kiri.
“Kalau boleh dia tak
nak anak menantu dan cucu-cucu dia tinggal jauh. Hmm…” Cikgu Ihsan dah berdiri
di sebelah aku.
“Nuha borak-boraklah
dengan mama. Dia sunyi tu. Tapi macam biasalah, mama suka pendam sorang-sorang
kesunyian dia.” Cikgu Ihsan terus bersuara. Aku pula hanya memasang telinga.
Jadi benarlah Aunty
Izzah sedang kesunyian. Seperti aku. Hmm… Nuha faham perasaan auntie. Tapi
auntie beruntung. Auntie masih ada keluarga. Nuha? Nuha tak ada siapa-siapa
lagi, auntie. Suara hatiku berbisik… sayu. Ada ibu saudara pun… sudah tidak
dianggap aku seperti anak saudaranya. Aku boleh dikategorikan sebatang kara.
“Nuha masih nak
teruskan niat Nuha untuk tinggal di luar bila Nuha masuk kolej nanti?” soal Cikgu
Ihsan sambil pandang aku. Pandangannya tidak lagi terarah pada Aunty Izzah yang
duduk jauh dari tempat kami berdua berdiri.
Berat mulut ni nak
menjawab soalan Cikgu Ihsan. Masih berkeraskah aku dengan keinginanku itu?
Setelah melihat kesunyian Aunty Izzah ini, makin berat pula aku nak teruskan
tekad di dada.
Kalau aku tinggal di
luar, apalah maknanya kehadiran aku dalam keluarga ini. Bukankah Kak Inas sudah
memberi amanah padaku sebelum dia balik tadi. Dia ada meminta aku
tengok-tengokkan Auntie Izzah, Uncle Is dan Nek Som. Dia mengharap pada aku
untuk sama-sama membantu Cikgu Ihsan.
Tapi… kalau aku
berkeras tinggal di luar, makin bertambah kerisauan Auntie Izzah memikirkan
keselamatan aku nanti. Dari nak ringankan beban dia, aku dah tambahkan kerisauan
dia. Aku bukan manusia yang kejam untuk lakukan semua itu pada orang yang sudi
tumpangkan aku berteduh kasih di rumah ini.
“Saya… saya tak sampai hati
nak teruskan niat saya tu. Hmm…” ucapku sebaris setelah berjeda lama.
“Maksud Nuha, Nuha tak
jadi duduk luar?” Ada nada ceria dari suara Cikgu Ihsan.
Dari ekor mataku dapat
aku lihat bibirnya terherot mengukir senyuman.
Tanpa kata, aku hanya
angguk kepala sekali. Cukuplah anggukanku itu menjawab soalannya.
“Alhamdulillah. Ya
Allah, lega abang dengar.” Suara Cikgu Ihsan makin kedengaran teruja. Bibirnya
makin lebar tersengih. Terlalu gembirakah dia dengan keputusanku ini?
“Terima kasih Nuha
sebab sudi tinggal di sini. Abang bukan apa, keputusan Nuha nak tinggal dekat
luar memang takkan mama restukan. Papa pun sama. Abang yakin.”
Restu? Seakan-akan aku
ini benar-benar anak mereka saja.
“Dengan adanya Nuha di
sini, abang boleh harapkan Nuha tengok-tengokkan mama, papa dan Nek Som. Yalah
abang pun tak bermalam dekat sini. Nuha ada dekat sini, tak manis abang tinggal
sebumbung.”
Kata-kata Cikgu Ihsan
itu buat aku kalihkan muka memandangnya. Apa maksud Cikgu Ihsan ni. Kalau dia
tak tinggal dekat sini, dekat mana pulak dia tinggal?
Seperti mengerti apa
yang bermain di fikiranku, spontan saja Cikgu Ihsan menjawab. Memberi
penjelasan di mana dia akan menetap selepas ini.
“Abang akan tinggal dekat
kondo kami. Kondo tu sebelum ni ada penyewa. Tapi sekarang dah kosong. So, better abang duduk dekat sana.”
Sambil bercerita, Cikgu Ihsan tersenyum padaku. Aku terus alihkan muka daripada
terus memandangnya.
Jadi Cikgu Ihsan takkan
tinggal sebumbung dengan aku di rumah ni. Syukurlah. Tak adalah aku rimas
dengan keberadaan di sini. Wah… bongkaknya aku. Seakan-akan Auntie Izzah dan
Uncle Is adalah ibu bapa aku. Dan rumah banglo ini pula adalah rumah aku. Hmm…
jangan lupa diri, Nuha!
“Erm… cikgu…” Aku cuba
untuk menukar topik.
“Ya…”
“Bila saya boleh masuk
kolej?” Tak berselindung, aku bertanya.
Cikgu Ihsan dengan
tenang menguntum senyuman. Tangannya didakap ke tubuh memeluk tubuhnya yang
tidak terlalu tegap itu. Cikgu Ihsan kurus tinggi orangnya.
“Ingatkan Nuha dah lupa
nak tanya pasal tu,” ucap dia dalam nada tawa.
Aku kerutkan dahi.
Adakah Cikgu Ihsan sengaja menunggu aku bertanyakan soalan itu padanya? Mungkin
dia nak tengok sejauh mana aku serius untuk sambung belajar. Hmm mungkin…
“Abang akan bantu Nuha apply course yang Nuha minat. Minggu depan
Nuha ikut abang ke UniKL. Dekat sanalah Nuha akan sambung belajar. Harap Nuha
dapat belajar dengan tekun. Jangan fikir apa-apa lagi masalah. Fokus belajar
aje. Okey?”
Tak terkata aku saat
itu. Kata-kata itu bagaikan satu azimat untuk aku meneruskan langkah di bumi
asing ini.
********
“Nuha nak masak apa ni?
Wah… hari ni nampak gayanya auntie dengan Nek Som boleh goyang kakilah.” Auntie
Izzah tertawa riang. Aku yang sibuk mengupas bawang sempat tersenyum pada
wanita yang sangat penyayang itu.
“Masak yang simple-simple aje, auntie. Nuha bukan
pandai masak sangat pun,” ujarku tidak mahu berbangga diri.
Sebetulnya, menurut
arwah ibu, bakat memasakku makin hari makin terserlah. Sekali ibu ajar, terus
aku dapat buat dengan cemerlang. Lihat saja Mak Su Kinah sekeluarga. Apabila
aku masakkan mereka lauk-pauk, jarang mereka mengadu masakanku tidak sedap.
Tapi, pernah jugalah Mak Su Kinah dan Pak Su Azam sengaja memberi komen yang
tak munasabah tentang masakanku. Cakap aku masak tak cukup garamlah, tak cukup
gulalah. Pernah aku masak tom yam tapi mereka komen tom yam aku tak cukup masin.
Tom yam yang seharusnya masam manis perlukah dimasak terlalu masin? Hmm…nampak
sangat mereka sengaja!
“Ini mesti dekat
kampung Nuha selalu tolong ibu masak. Untungnya ada anak dara macam Nuha. Tak
gitu, Nek Som?” Ucapan Aunty Izzah buat aku senyum makin lebar. Tak habis-habis
auntie memuji aku.
“Ha’ah. Lagi untung
kalau Ihsan yang dapat Nuha. Eh… silap pulak.” Nek Som tutup mulut. Dia
tersengih sambil kerut dahi.
Aku diam saja dengan
usikan itu. Ah… malas nak fikir. Buat masa sekarang tak sudi aku nak
menyemakkan kepala otak dengan memikirkan tentang cinta dan perkahwinan. Aku
muda lagilah.
“Erm… Nek Som nak pergi
sidai kain dululah. Terlupa pulak ada kain belum dijemur. Pergi dulu ya.” Nek
Som senyum pada aku. Dia segera meminta diri.
Kini tinggallah aku
berdua saja dengan Aunty Izzah di ruang dapur yang sederhana besar ini. Uncle
Is awal-awal lagi sudah keluar ke pejabat. Cikgu Ihsan pula baru sebentar tadi
keluar. Katanya nak pergi jumpa kawan.
“Seronoknya auntie Nuha
ada dekat sini. Bertambah sorang lagi anak auntie. Anak bongsu auntie...” Aunty
Izzah usap belakang aku. Tak mampu aku bersuara saat itu. Yang mampu aku buat
hanya satu. Senyum padanya bagi meraikan kegembiraannya itu memiliki aku
sebagai anaknya.
“Minggu depan Nuha akan
daftar ke UniKL, kan?” soalnya.
Aku angguk.
“Nuha nak ambil kos
apa? Apa yang Nuha minat?” tanya Aunty Izzah lagi. Saat itu, dapat aku rasa
bahawa wanita itu cuba untuk membuat aku berbual dengannya. Mungkin dia ingin
mewujudkan kemesraan antara kami.
“Nuha minat animasi.
Kalau boleh, Nuha nak ambil course multimedia
dan animasi. Boleh ke, auntie?” Kuhentikan kerja buatku. Aku tertunduk saja
memandang ke bawah. Sungguh aku merasa segan dengan Aunty Izzah sekeluarga.
Sudah diberi tempat tinggal, makan pakai, sekali lagi aku diberi pilihan untuk
sambung belajar dalam jurusan yang aku minat. Sudahlah belajar di kolej swasta,
pasti kosnya lebih tinggi. Moga-moga suatu hari nanti dapat aku lunaskan
hutang-hutang ini semua. Aamiin.
“Kenapa Nuha tanya
boleh ke tak pulak. Mestilah boleh, sayang. Itu pilihan Nuha. Masa depan Nuha
terletak di tangan Nuha sendiri. Pokok pangkalnya, diri Nuha sendiri yang nak
berjaya. Iya, kan?”
Aku angguk lagi. Sebak
pula dada ini mendengarkan kata-kata Aunty Izzah itu. Sungguh aku sangat
bertuah dipertemukan dengan hamba-hamba Allah ini.
“Dahlah jom kita masak.
Tengah hari biasanya uncle dan Ihsan memang akan makan dekat rumah. Nuha masak
sedap-sedap tau. Nak tengok berapa kali dia orang tambah nasi. Kalau auntie
masak, tak adanya uncle tu nak tambah nasi. Maklumlah katanya auntie ni tak terer masak. Huh, uncle tu memang macam
tu.” Luahan Aunty Izzah buat aku tertawa kecil. Manja pula suara auntie
merengek macam tu.
Tidak berlengah, aku
meneruskan kerja buatku. Kata-kata azimat dari Aunty Izzah akan aku sematkan di
dada. Sepertimana setiap nasihat arwah ibu aku sentiasa pegang dan jadikan
azimat.
BAB 23
Kutatap wajahku di
hadapan cermin kaca. Senyuman cuba aku hulurkan pada sendiri. Penampilan di
tubuh aku tilik dari atas ke bawah. Selesa berbaju kurung dan bertudung shawl labuh
menutupi dada, itulah pakaian pertama yang aku pakai di hari pertama aku di
kolej.
Alhamdulillah, beberapa
hari yang lepas, aku telah selamat mendaftarkan diri sebagai seorang pelajar di
Universiti Kuala Lumpur dalam jurusan Diploma Multimedia. Dengan bantuan Cikgu
Ihsan, aku maju lagi setapak untuk melangkah mencapai cita-citaku. Lelaki itu
dan keluarganya tidak lekang memberi aku kata-kata semangat dan bantuan
berbentuk kewangan yang amat-amat aku perlukan.
Aku benar-benar
bergantung pada mereka. Walaupun perasaan segan menyapa hebat ke tangkai hati,
aku terpaksa tebalkan muka. InsyaAllah, suatu hari nanti akan aku balas jasa dan
budi mereka itu. Aku janji!
Sekali lagi aku menilik
wajahku di cermin. Senyuman kuukir manis. Wajah arwah ibu bermain-main di
fikiran. Ibu tersenyum memandangku. Aku tersenyum pula pada ibu.
Apa yang bakal aku
lalui selepas ini, adalah semata-mata demi ibu. Ibu terlalu ingin melihat aku
berjaya menjadi seorang yang berguna. Begitu juga aku. Aku juga ingin membantu
diri sendiri menjadi orang yang cemerlang dan dipandang dengan maruah.
Cukuplah maruahku
dipijak-pijak sewaktu di kampung dulu. Mak Su Kinah dan Pak Su Azam pasti tidak
menyangka aku kini sudah bergelar seorang mahasiswi. Berbanggakah mereka andai
mereka tahu aku kini sudah belajar di universiti? Pasti jawapannya tidak.
“
Nuha, aku harap kau
dapat mulakan hidup kau yang baru. Jangan menoleh ke belakang lagi! Kau kena
kuat! Kau kena semangat! Kesedihan akan berlalu. Kau pasti akan bahagia dan
berjaya! Bagi pada diri kau sendiri satu peluang. Peluang untuk berjaya dan
bahagia!” Kata-kata itu luahkan di hadapan cermin.
Dan satu pesan dari
arwah ibu yang sentiasa aku pegang adalah… andai aku letakkan Allah di dalam hati,
campaklah aku ke mana saja, InsyaAllah aku akan baik-baik saja!
Ya
Allah, aku belajar keranaMu. Bismillah…
Beg sandang aku capai
dari meja. Sebuah fail berwarna biru turut aku capai lalu aku kepitkan ke bawah
lengan. Setelah memeriksa segala keperluan sudah selamat aku siapkan, langkah
mula kuatur menuju ke luar bilik.
Baru saja aku ingin
memulas tombol pintu, tiba-tiba telefon bimbitku bergetar menandakan ada SMS
baru masuk. Segera aku mengambilnya keluar dari beg. SMS itu aku baca.
Dari Cikgu Ihsan
rupanya.
> Nuha abang kat bawah
ni. Nuha dah sedia? :)
Aku turut senyum sambil
angguk sekali.
Bagi tidak menghampakan
perasaan lelaki yang sudah banyak membantuku itu, SMSnya aku balas ringkas.
> InsyaAllah saya dah bersedia,
cikgu. :)
Tidak menunggu balasan
dari Cikgu Ihsan, aku terus melangkah turun ke tingkat bawah. Beberapa tapak
lagi untuk menjejak ke lantai, mataku terpandang pada jasad Cikgu Ihsan yang
sedang berdiri menungguku di kaki tangga. Dia yang kemas mengenakan t-shirt
polo dan berseluar slack hitam, mula tersenyum lebar apabila memandangku. Di
situ juga berdirinya Aunty Izzah. Dia menyambut aku dengan senyuman mesranya.
“Sayang dah ready?” soal Aunty Izzah seperti mana Cikgu
Ihsan tanyakan padaku tadi.
Bibir kuukir dengan
sebuah senyuman penuh yakin. Aku menapak lagi mendekati kedua-dua beranak itu.
Tangan Aunty Izzah aku capai lalu aku kucup penuh hormat. Sebagai balasan,
dahiku dikucup lama olehnya.
“Uncle Is kirim salam
pada Nuha. Dia cakap, Nuha jangan pandang belakang lagi. Teruskan… teruskan
sehingga Nuha berjaya!” Pesanan dari Uncle Is itu sambut dengan senyuman.
InsyaAllah, uncle…
Walaupun Uncle Is sekarang
berada di Johor Bahru atas urusan kerja, masih lagi dia sudi menitipkan
kata-kata semangat itu. Terima kasih, uncle.
“Kalau Nuha ada apa-apa
masalah dekat U nanti, jangan segan-segan share
dengan auntie. Anything… just share with
me. Kalau auntie boleh tolong, InsyaAllah auntie tolong. Kalau segan nak
cakap dekat auntie, cakap dekat Ihsan.” Tak mampu aku pandang Cikgu Ihsan tika
itu. Bukan aku tak perasan yang sedari tadi lelaki itu curi-curi memandangku.
Pelik sangat ke aku pakai baju kurung? Atau ada motif lain dia pandang aku.
“Kita orang pergi dulu
ya, mama. Karang terperangkap dalam jam
cair mekup Nuha tu.” Dia tergelak seraya menyalami tangan mamanya.
Erk. Sampai hati dia
cakap macam tu!
“Hisy, Ihsan ni.
Pagi-pagi dah nak mengusik.” Bahu Cikgu Ihsan ditampar lembut oleh Auntie
Izzah. Hmm patut tampar kuat-kuat lagi.
Cikgu Ihsan jungkit
kening. Masih dengan sisa gelaknya dia mula minta diri menapak keluar.
Aku sekali lagi bersalaman
dengan Aunty Izzah. Dan sekali lagi dahi dan pipiku dikucup-kucup olehnya.
Sungguh detik itu aku bagaikan merasa arwah ibu yang mengucupku. Rindunya aku
pada ibu…
“Drive elok-elok ya, Ihsan. Petang nanti jangan lupa pulak ambil Nuha.
Kalau Ihsan sibuk, biar mama aje yang pergi ambil Nuha,” pesan Aunty Izzah pada
Cikgu Ihsan.
“Eh tak payahlah, ma. Ihsan
tak busy mana pun,” balas Cikgu Ihsan
pula.
Aku diam saja menjadi
pendengar di tengah-tengah mereka. Sebetulnya saat ini aku tak mampu
berkata-kata. Debar di dada makin memuncak pula. Entah macam manalah keadaan
aku di universiti nanti. Mampukah aku menghabiskan 3 tahun pengajianku di sana
nanti dengan jayanya? Bagaimana kalau aku tak mampu teruskan semua ni. Adakah
aku akan ‘dibuang’ dari keluarga Cikgu Ihsan?
Ya Allah, hilangkanlah
kegelisahan hatiku. Aku mohon padaMu agar Engkau permudahkan urusanku di
universiti nanti. Aamiin.
“Kita orang gerak dulu,
ma. Assalamu’alaikum…” Cikgu Ihsan melangkah menuju ke kereta. Bukan ke
bahagian pemandu yang dia tuju namun ke pintu tempat duduk hadapan. Pintu kereta
dibuka. Dia mempersilakan aku masuk.
Tidak dapat tidak, senyuman
terlakar nipis di bibirku. Aku masuk ke dalam kereta lalu aku duduk diam
setelah memakai tali pinggang keledar.
Sedikit masa lagi aku
akan melangkah ke ‘dunia baru’. Dunia yang penuh dengan cabaran. Aku takkan
berundur lagi. Kerana aku… aku ingin berjaya!
********
Kupandang kiri,
kupandang kanan. Akhirnya, pandanganku tertumpah pada air kotak perisa mangga
yang sedari tadi aku sedut bagi hilangkan dahaga.
Riuh rendah suasana
kafe ini. Mahasiswa mahasiswi sibuk dengan aktiviti mereka. Macam-macam ragam,
macam-macam keadaan. Terasa diriku sangat terasing dari mereka semua. Aku
terlalu pasif dan mereka terlalu aktif.
“Hai….” Sedang aku
mengelamun jauh, muncul satu suara menegurku. Segera aku angkat muka.
Terpandang aku pada seorang gadis bertubuh agak gempal yang kelihatan kemas
berbaju kurung dan bertudung sedang berdiri di hadapanku. Dia senyum. Lantas
aku senyum sama. Dalam hati tertanya-tanya siapakah gerangan gadis ini.
“Boleh orang duduk
sini?” soalnya.
Aku angguk saja.
Duduklah. Bukan kerusi ni milik aku pun.
Akhirnya si gadis itu
duduk bertentangan denganku. Tak lekang bibirnya menguntum senyuman. Manis
orangnya.
“Hai saya Gee. Fauziah
binti Firdaus. Awak Nuha Huda, kan?” Eh, macam mana dia tahu nama aku? Siapa
perempuan ni?
Gee tersengih lebar.
“Mesti awak
tertanya-tanya macam mana orang boleh tahu nama awak, kan?” Ragu-ragu aku nak
mengangguk.
“Awak mesti tak
perasaan tadi. Orang sekelas dengan awaklah. Orang duduk belakang awak tadi.
Hisy, kecik hati ni tau awak tak ingat orang.” Gee merengek macam budak-budak
manja.
Aku mula garu kepala.
Otak sedang bekerja keras mengingati kembali imej-imej wajah yang berada dalam
bilik kuliah tadi.
Tapi wajah Gee memang
tak ada dalam memori. Mungkin kerana aku langsung tak angkat muka pandang kiri,
kanan dan belakang. Terlalu nervous
sampaikan aku hampir tersadung kaki di hadapan semua pelajar dalam bilik kuliah
tadi.
“Err… maaf. Tapi saya…”
Aku cuba ringankan mulut untuk buat-buat ramah. Tak sampai hati nak mengaku
yang aku memang tak ingat langsung pada gadis bernama Gee ini.
Gee mencebik kecil.
Bibirnya muncung sebelum dia bersuara. Alahai manjanya suara budak debab ni.
“Takpe orang okey aje. Erm, orang nak panggil awak apa ni? Nuha ke
Huda?”
“Panggil aje Nuha.
Semua orang panggil saya Nuha.” Aku senyum. Entah kenapa keramahan Gee menegurku
buat aku merasa senang berbual dengannya.
“Orang nak jadi kawan
awak boleh tak?” soal Gee tiba-tiba.
Aku terkedu. Terharu
pun ada. Ya Allah, ini kali pertama ada orang bertanyakan soalan macam ni pada
aku.
“Orang pun budak baru
macam awak. Baru masuk semalam. Tapi semalam orang cuba jugak dekat-dekat dengan
budak-budak baru, tapi dorang macam
tak sudi aje. Mungkin sebab orang ni chubby
dan tak cantik macam dorang semua.” Gee mengeluh perlahan. Bibirnya
muncung lagi.
Aku juga ketap bibir.
Serba salah aku jadinya. Nak cakap apa ni eh. Nak kena pujuk Gee ke? Dia macam
sedih aje.
“Erm, tak baik awak
cakap macam tu, Gee. Kita tak bolehlah berburuk sangka dengan orang kan? Saya
sebenarnya bersyukur sangat sebab ada yang sudi tegur saya. Nak jadi kawan
pulak tu. Terima kasih…” ujarku malu-malu. Sememangnya aku tak pernah mengalami
keadaan ini. Di sekolah pun dari tingkatan satu lagi aku selalu bersendirian.
Kawan rapat? Manalah aku pernah ada. Yang aku ada hanyalah ibu.
“Kalau macam tu awak
sudi kawan dengan orang, kan?” Lambat-lambat aku angguk. Aku senyum pada Gee.
Sejujurnya aku juga mahu berteman di sini.
“Wah, sukanya orang!
Terima kasih, Nuha!” Tanganku tak semena dicapai Gee. Lebar kembali
senyumannya.
Senyuman lebih mesra
aku hadiahkan untuknya. Alhamdulillah tak sangka dapat kawan baru hari ni. Ini
semua tak pernah terlintas dalam fikiran aku. Aku bayangkan hari pertama aku di
universiti sama seperti hari pertama aku di sekolah dulu. Tiada siapa yang sudi
menegurku apatah lagi menjadikan aku sahabat mereka.
“Nuha, awak lapar tak?
Orang laparlah. Jom kita makan.” Gee usap perut sambil sengih sumbing.
Keramahannya dan kemanjaannya mula terserlah.
Tidak mahu aku
mengecewakannya, aku anggukkan saja kepala. Dengan menemani Gee makan, mungkin
akan lebih dapat mengeratkan lagi persahabatan yang baru terjalin ini.
InsyaAllah…
“Jomlah. Saya temankan
awak,” ujarku padanya. Gee segera bangun lalu heret tangan aku mengikutnya.
Kami beratur di dalam barisan untuk membeli makanan. Sambil beratur tu, Gee tak
penat bercerita tentang dirinya dan bertanya tentang diri aku. Semampu yang aku
jawab, aku berikannya jawapan. Soalan yang terlalu peribadi aku hanya jawab
dengan senyuman. Dan syukurlah Gee faham.
Rancak perbualanku
dengan Gee berlangsung. Macam dah kenal lama pulak kami berdua.
Saat itu, timbul satu persoalan
di benakku. Andai Gee tahu aku ni anak yang tak sah taraf, adakah persahabatan
ini akan berpanjangan? Hmm…
Alhamdulillah.. Nuha makin terbuka utk menerima.. kecian kat nuha dlu kat sek xda sorang pun nk kwn dgn dia.. hidupkan umpama roda..
ReplyDeletenk lg cik zu ;)
Umpama roda brada di atas dan dibawah..bahagia atau derita pada akhirnya kebahagiaan akan menjadi miliknya.cewahh
DeleteCerita ni makin best, dunia baru buat Nuha tp kita suka if Ihsan tu jd dgn Nuha, he is so sweet!! Teruskan pls cik writer
ReplyDeleteMekasih khalijah. Alhamdulillah.. ^^
DeleteIhsan sweet ke? jejaka sweeet versi sopan dia tu.hehe.insyaAllah akan terus ssambung,,,
How to build your own titanium astroneer, astroneer and asteven
ReplyDeleteMake an even stronger titanium by combining microtouch titanium trim walmart the iron elements of the titanium bolt core. Once gaggia titanium the pieces are fused, the man titanium bracelet titanium pieces can be titanium iv chloride