Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
BAB 14
“Kenapa Tuah tak halang
dia?” Datin Sri Jamilah bertanya penuh kecewa.
Tuah gelengkan kepala
lemah. Hatinya pilu mengenangkan Dayang sudah menjauh darinya.
“Tuah tak layak untuk
dia, bonda. Tuah dah hina dia. Dia mesti takkan terima cinta Tuah lagi.”
Jawapan Tuah cukup mengecewakan Datin Sri Jamilah. Dia terus terduduk lemah di
sebelah anak bujangnya yang sedang putus cinta itu.
“Bonda tak sangka anak
lelaki bonda ni lemah orangnya.” Tuah tersentak. Dikalihkan mukanya memandang
wajah bondanya bingung.
“Ya, lemah. Tuah ibarat
mencangkul tanah mencari emas. Hampir ke penamat, namun Tuah berhenti
mencangkul. Padahal andai sedikit lagi Tuah mencangkul, pasti emas itu akan
kelihatan. Bonda kecewa dengan Tuah. Kecewa….” Datin Sri Jamilah bangun dari
kerusi. Sungguh dirinya sedang kecewa.
Andai begini pengakhiran kisah cinta Tuah dan Dayang, maka tidak
tertunailah keinginannya selama ini.
Dayang wanita
baik-baik. Datin Sri Jamilah yakin gadis itu sudah benar-benar berubah. Dan dia
juga sangat yakin dalam hati Dayang sudah ada benih cinta bercambah untuk Tuah.
Tuah memang buta untuk melihatnya. Hati perempuan bukan dinilai dengan mata
kasar. Tapi diselami dengan hati nurani.
Mungkin Tuah tak nampak
semua itu. Nampak gayanya dia harus masuk campur sekali lagi dalam urusan
mereka berdua.
Melihat langkah
bondanya makin menjauh darinya, Tuah terus mengeluh berat. Penumbuknya dikepal
lalu ditumbuk meja penuh geram.
“Dayang!” Rindu untuk
si Dayang Zulaikha mula bertandang ke dalam hati Tuah Dzulkarnain. Rindu yang
disusuli dengan penyesalan.
+++++
3 Bulan Kemudian…
Kok kelek kok.
Bunyi kokokan ayam
jantan yang sedang duduk bertenggek atas sebatang pohon mati membangunkan Tuah
dari lamunannya.
Senyuman lemah terukir
di bibir tatkala mengingatkan kenangan manisnya dengan Dayang. Hanya kenangan
yang ada untuk Tuah tidak melupakan si pemilik nama Dayang Zulaikha itu.
Kenangan indah membuat dia tersenyum. Namun, kenangan duka di saat dia pernah
menghina gadis itu membuat Tuah marah dengan dirinya sendiri.
Pejam celik pejam
celik, sudah hampir tiga bulan Dayang pergi meninggalkan kampung ini sekaligus
meninggalkan dirinya. Rindu pada wanita itu telah menyebabkan Tuah menapak ke
sini setiap hari. Sengaja dia berjalan. Dia ingin merasai ‘kewujudan’ gadis itu
di sisinya walaupun hakikatnya gadis itu telah jauh darinya.
Setiap hari semenjak
dari pergi, Tuah datang ke rumah ini. Dia duduk di pangkin ini sambil memerhati
rumah Dayang untuk beberapa jam lamanya. Dan tidak ketinggalan, Tuah juga
menawarkan dirinya sendiri untuk membersihkan halaman rumah dan memberi makan
kepada ternakan ayam dan itik yang ditinggalkan oleh Dayang. Kata Mak cik Ita,
Dayang telah memberi secara percuma ternakannya itu padanya. Mengetahui hal
itu, Tuah telah membayar wang kepada Mak cik Ita untuk membeli ayam dan itik
itu. Asalkan ia milik Dayang, Tuah sanggup dapatkannya!
Hal kilang dan kolam
ternakan, Tuah sudah serahkan pada Ajim, orang kepercayaannya. Mood dan
semangatnya hilang untuk menguruskan semua itu. Biar masa yang mengubat lukanya
ini.
Tuah memberi tempoh
masa untuk dirinya sendiri untuk terus ‘lena’ dibuai kenangannya dengan Dayang.
Bulan depan, insyaAllah dia akan memulakan rutin hariannya seperti biasa. Bukan
bermakna dia ingin melupakan Dayang tapi hidup harus diteruskan.
“Hmmm…” Tuah mengeluh
kecil. Hampir sejam sudah dia berada di sini. Sudah tiba masanya untuk pulang.
Pukul 10 nanti ada wakil dari Kuala Lumpur akan menemuinya di kilang bagi membincangkan
penjualan buah mangganya untuk pasaran lebih luas.
Kuala Lumpur. Kota
Kuala Lumpur bukanlah terlalu jauh dari kampungnya ini. Boleh andai dia ingin
menjejak Dayang ke sana. Namun, dia tidak sanggup pula untuk berdepan dengan
penolakan gadis itu.
Biarkan bonda sering
menasihatinya untuk cari Dayang, Tuah tetap keraskan hati. Dayang bukan suka
pun padanya. Gadis itu pasti masih lagi bersedih dan kecewa dengan
penghinaannya yang lalu. Hati perempuan, mulut kata maaf. Tapi sesekali tidak
mudah bagi mereka untuk melupakan.
Tuah bangun dari
pangkin. Selipar jepun disarung kemas ke kaki. Dia melangkah ke hadapan rumah.
Masih berat hati untuk
pulang, dia kembali duduk di atas tangga bagi melayan rasa. Beratnya hati ini
untuk berpisah dengan ‘Dayang’. Walaupun hanya rumah Dayang.
“Assalamualaikum…”
Tuah yang masih asyik
mengelamun, tidak perasan dengan salam itu.
“Assalamualaikum. Tapi
jawab dosa.”
Tuah pantas memalingkan
kepalanya ke arah jendela kecil di bahagian kanan rumah. Rasanya telinganya
tidak silap mendengar ada yang memberi salam tadi. Dari arah dalam rumah?
Saat matanya terpandang
satu wajah yang cukup-cukup dirinduinya, Tuah jadi pegun tak mampu percaya
dengan apa yang dilihatnya. Benarkah matanya kini sedang memandang ke arah
Dayang yang sedang tersenyum manis padanya?
“Assalamualaikum…
tuan…” Dayang tersenyum malu. Tuah yang kebingungan ditatap sedikit lama.
Melopong mulut bekas majikannya itu.
“Dayang? Awak buat apa
kat situ? Awak…. Awak dah balik?”Tuah meluru mendapatkan Dayang. Dia berada di
bawah dan Dayang berada di dalam rumah. Gadis itu masih tersenyum padanya.
Senyuman yang cukup-cukup dirinduinya.
Dayang diamkan saja
tidak menjawab soalan Tuah. Diberi ruang pada ‘seseorang’ untuk turut masuk
campur dalam perbualan mereka berdua.
“Hah, Tuah. Masuklah ke
dalam. Orang yang ditunggu-tunggu sudah ada di depan mata ni.” Muncul Datin Sri
Jamilah mencelah di jendela kecil itu.
Tuah terpinga-pinga
melihat bondanya interframe.
++++++
“Saya rindukan awak.”
Tak tertahan lagi, akhirnya perkataan rindu itu keluar juga dari bibir Tuah.
Mereka berdua dibiarkan
berbual di ruang tamu. Ibu Orked dan Datin Sri Jamilah sibuk menyiapkan juadah
di dapur.
Sungguh Tuah terkejut
dengan keberadaan Dayang bersama-sama bondanya di dalam rumah ini. Selama tiga
bulan ini, adakah Dayang berada di dalam rumah ini? Ah, tak mungkin.
Tanpa penjelasan,
bondanya hanya membiarkan dia dan Dayang di ruang tamu untuk bersembang. Kata
bonda, tanyakan sendiri semuanya pada Dayang. Masalahnya Tuah jadi berat lidah
untuk bertanya. Dia malu.
Tapi kata rindu yang
muncul di bibirnya tadi menunjukkan dia sudah tidak segan lagi. Ya, sungguh dia
rindukan Dayang. Dan dia ingin sekali Dayang tahu mengenai perasaannya itu!
“Kenapa awak diam? Awak
tak rindu saya?” Tiba-tiba saja Tuah bertanya soalan itu. Soalan seperti
pasangan kekasih yang sudah berpisah lama.
Dayang tertunduk malu.
Diangguk tidak, digeleng pun tidak. Walhal dalam hatinya mengiyakannya dengan kata-kata…. ‘Ya, saya pun rindukan, tuan. Sangat.’
“Macam mana awak boleh
ada dalam rumah ni?” Tuah memulakan penyiasatannya.
Lambat-lambat Dayang
mula angkat muka. Soalan Tuah dijawab sambil tersenyum.
“Inikan rumah saya.”
Selamba jawapannya.
Tuah jadi senyum sama.
“Awak dah pandai
bergurau dengan saya ya.” Tuah bersuara ceria. Gembira sungguh hatinya dapat
menatap lagi wajah Dayang.
“Mana ada. Saya hanya
menjawab soalan tuan.” Dayang tidak mahu kalah.
“Okey-okey. Saya Cuma
pelik. Sumpah saya pelik. Tiga bulan saya datang sini. Hari-hari, tanpa miss. Saya
tak pernah dengar suara awak. Tak pernah bau ada orang masak ke. Awak sembunyi
dalam rumah ni selama ni ke?” Soalan lurus bendul mula keluar dari bibir Tuah.
Dayang jadi tertawa
kecil. Tak sangka itu yang Tuah fikirkan.
“Saya dengan ibu dah
sampai sini dua hari lepas. Bonda tuan yang datang jemput kami.”
Tuah mengerutkan dahi.
Bonda? Oh, jadi mungkin sebab itulah bondanya ingin ke Kuala Lumpur tiga hari
yang lalu. Kata bondanya juga dia akan pergi selama seminggu lamanya. Tapi kata
bonda, dia ingin bertemu dengan sahabatnya. Tak sangka bonda menipunya. Tuah
geleng kepala.
“Bonda
bersungguh-sungguh nak pujuk awak. Sedangkan saya, pengecut.” Tuah mengutuk
dirinya sendiri.
Tidak suka Dayang
mendengar ucapan Tuah itu. Lantas dia cuba menukar topic perbualan mereka.
Ingin ditanyakan sesuatu pada Tuah. Tapi… segan melanda diri.
“Erm… tuan… tuan tak
nak tahu kenapa…”
“Kenapa Dayang ikut
bonda pulang?” Suara Datin Sri Jamilah tiba-tiba muncul.
Tuah dan Dayang saling
berpandangan.
Datin Sri Jamilah
menapak ke arah dua merpati sejoli itu. Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.
Bagai pinang dibelah dua. Dan hari ini cinta mereka bakal disatukan.
InsyaAllah.
Segala apa yang berlaku
selama tiga bulan ini diceritakan oleh Datin sri Jamilah pada Tuah. Yang
sebenarnya, Datin Sri Jamilah sudah hampir tiga bulan dapat menjejaki Dayang di
Kuala Lumpur sana.
Tahu saja keberadaan
gadis itu, terus dia mendatangi Dayang dengan satu tujuan. Gadis itu sudah
dipinangnya bagi pihak Tuah. Pada mulanya memang Dayang menolak sekerasnya.
Namun, Datin Sri Jamilah tidak berhenti memujuk Dayang. Perasaan sayang dan
cinta Tuah pada gadis itu, diceritakan semuanya.
Syukurlah setelah
hampir sebulan memujuk, Dayang terbuka hati untuk mengaku bahawa dia juga
cintakan Tuah. Tapi dia masih berkeras untuk tidak pulang ke kampung.
Namun, tiga hari lepas
Datin Sri Jamilah mula memaksa Dayang untuk kembali. Atas alasan, Tuah sudah
tiga bulan menantinya di rumah ini. Pada mulanya Dayang tidak percaya. Namun,
selama dua hari dia berada secara sembunyi dalam rumah ini, selama dua hari itu
jugalah dia melihat dengan mata kepalanya sendiri Tuah datang pada waktu pagi
ke rumah dan akan pulang setelah dua jam duduk termenung di sini. Kalau tak
pagi, petang lelaki itu pasti akan datang.
Sungguh Dayang merasa
terharu dan dalam masa yang sama dia merasa bersalah. Bersalah kerana membuat
lelaki itu menunggunya. Kerana itulah dia kembali ke kampung ini. Semuanya demi
Tuah.
Itulah kisah sebenar
yang terjadi.
++++++
“Awak masih ingat kolam
ni?” soal Tuah sebaris.
Dibawa Dayang ke kolam
ternakannya untuk menghabiskan masanya dengan gadis itu. Syukurlah segalanya
sudah berakhir. Mendengar cerita dari bondanya, hampir saja buat Tuah
menitiskan air mata.
Kesungguhan bondanya untuk
menjodohkan dia dengan Dayang tersangat mengharukan Tuah. Bonda memujuk Dayang
tanpa jemu. Sedangkan dia hanya mampu menunggu Dayang di kampung ini tanpa
sebarang usaha.
Dayang kembali atas
pujukan bondanya. Dan Dayang kembali kerana dirinya. Apa lagi yang dia mahukan.
“Baru tiga bulan saya
pergi, tuan. Tak mungkin saya lupa pada kolam ni.” Dayang menjawab soalan Tuah
penuh sopan. Matanya menatap keadaan sekeliling. Tiada apa yang berubah. Masih
sama seperti dulu. Cuma, situasi mereka berdua saja yang berlainan. Kalau dulu
mereka ke sini atas dasar kerja, kini mereka ke sini atas dasar persahabatan.
Mungkin? Atau atas dasar cinta? Hmm…
“Maksud saya, awak
masih ingat tak kat sini saya pernah lamar awak dan luahkan perasaan saya pada
awak. Ingat?” Tuah menanti jawapan Dayang.
Hati Dayang tak semena
berdebar. Dia mula tersenyum malu. Mana mungkin dia dapat melupakan peristiwa
itu. Peristiwa yang membawa dua perasaan untuknya. Pertama, gembira kerana
ternyata Tuah mencintai seperti mana dia mencintai lelaki itu. Namun, perasaan
kedua telah membunuh perasaan pertama. Sayangnya dia terpaksa menolak cinta
Tuah.
“Saya tak nak sia-sia
pengorbanan bonda pada saya. Saya tak nak sia-sia restu yang sudah diberikan
oleh Ibu Orked pada saya. Dan yang paling penting, saya tak nak sia-sia wanita
di hadapan saya ni.” Tuah dan Dayang saling berpandangan antara satu sama lain.
Debaran di hati Dayang
kian memuncak apabila melihat Tuah mengeluarkan sesuatu dari poket bajunya.
Ya Rabb...Sang Pemilik Hati
Jikalau hatiku KAU ciptakan untuk dia ,Penuhi hatinya dengan Kasih-Mu,
Terangi langkahnya dengan Cahaya-Mu ,limpahkan kelapangan dikalbunya
dengan kesabaran,temani dia dlm kesepian..
Ya Rabb,
Tiada tempat ku bersandar Selain pada-Mu,
Kutitipkan cintaku pada-Mu untuknya..
Kutitipkan sayangku pada-Mu untuknya..
Kutitipkan rinduku pada-Mu untuknya..
Mekarkan cintaku bersama cintanya..
Satukan hidupku & hidupnya dlm Cinta-Mu..
KOMEN DARI PEMBACA DI PAGE FARISHA IMANI
ReplyDeleteFadhilah JaRohani > Plisss la kwen..hehehe..
Salmiha Ishak > Yeay, balik dah
Siti Khadijah Ahmad > blm bc satu bab pun lg... huhu..huu sbb susah nk bc guna phn kecik sgt
Norziati Mad Dam > Semakin menghampiri bahgia...