JOM FOLLOW

Monday, 1 September 2014

Sayangku Nurul Ain [cerpen]




DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.


Ajmal duduk termenung di kaki tangga. Merenung jauh memikirkan lamarannya yang sudah ditolak. Masuk kali ini, sudah tiga kali lamarannya ditolak oleh pihak perempuan. Hati dan jiwanya tetap degil untuk terus mencintai Najwa Arissa. Seorang gadis cantik yang sudah lama dicintai oleh Ajmal.

Ajmal sudah lama menyimpan perasaan pada Najwa. Yang sedihnya, Najwa langsung tidak mempunyai perasaan sayang padanya. Namun, hal itu tidak mematahkan semangat Ajmal untuk terus memburu cinta gadis itu. Selagi Najwa bukan milik sesiapa, selagi itulah Ajmal berasa dia masih berpeluang memiliki hati Najwa.

“Mal…” Panggilan Mak Som membangunkan Ajmal dari lamunannya. Kepala dipalingkan ke belakang. Senyuman hambar terpamer di wajahnya.

Mak Som duduk di sebelah anak sulungnya itu. Ajmal, anak sulung yang selama ini banyak membantu keluarga mereka. Hidup tanpa suami di sisi membuatkan Mak Som bergantung harap pada Ajmal seorang.

“Sudah-sudahlah tu, Mal. Mungkin korang berdua tak ada jodoh. Lagipun mak dengar, bulan depan Najwa dah nak bertunang. Jodoh dia bukan dengan kamu, nak. Kita kena redha…” Ucapan Mak Som membuatkan Ajmal menepuk dinding rumah dengan perasaan yang cukup bengang. Terperanjat Mak Som dibuatnya.

“Tak, mak. Tak! Mal takkan redha sebab Mal tahu Mal masih ada peluang untuk bersatu dengan Wawa. Wawa bukan hak siapa-siapa. Mal tetap akan cuba pujuk dia terima Mal!”

“Ya Allah, Mal. Cuba bawa bertenang. Cuba kamu fikir balik. Dah tiga kali kamu masuk meminang dia. Ketiga-tiganya ditolak oleh pihak sana. Itu bermakna mereka tak sudi terima kamu. Kamu carilah perempuan lain. Perempuan yang mencintai kamu.Perempuan yang sudi terima kamu apa adanya kamu.”

Ajmal menggelengkan kepalanya berulang kali. Kotak cincin dalam poket seluarnya di bawa keluar lalu dihadapkan ke muka ibunya.

“Tengok ni mak. Tengok ni! Ada nama NAJWA pada cincin ni. Cincin ni akan Mal sarungkan untuk Wawa. Sampai matipun Mal takkan cari perempuan lain untuk dijadikan isteri. Kalau ditakdirkan Mal gila sekalipun, Mal tetap nak kahwin dengan dia. Hanya dia!” Ajmal terus berlalu. Mak Som menyeka air mata hangat yang bergenang di tubir matanya. Sedih sungguh rasa hati apabila mengenangkan nasib anak sulungnya itu.

Ajmal bukannya tak layak untuk dijadikan calon suami. Rupa ada. Pekerjaan ada. Mungkin orang kampung masih memandang serong kepada Ajmal atas satu sebab. Dan penyebab itulah yang telah diucapkan oleh ibu bapa Najwa sewaktu mereka menolak pinangan Ajmal dulu. Pinangan pertama dan kedua ditolak atas satu sebab utama.

“Maafkan kami, Som. Kami terpaksa tolak pinangan kamu. Kamu mesti tahu kenapa, kan?” ujar Haji Alauddin sambil menjeling sekilas ke arah Ajmal yang turut berada di situ.

Mak Som meletak perlahan kotak cincin yang dipegangnya. Wajah kecewa Ajmal ditatap lama.

“Saya tahu, Abang Aji. Tapi percayalah, Ajmal dah pulih sepenuhnya. Dia dah sihat dan tak sakit lagi. Dia mampu bahagiakan anak Abang Aji dan Kak Jah. Ajmal ada kerja tetap dan tak lama lagi dia nak beli rumah sendiri. Saya rasa…”

“Kami tak nak ada keturunan orang gila, Som. Keturunan kami sihat walafiat. Bukan niat kami nak hina keturunan kamu, tapi biarlah kita mencegah dari mengubati, kan? Lagipun Kak Jah yakin, Wawa tak ada perasaan sayang pada Ajmal. Dari dulu lagi mereka hanya kawan.” Sampuk Hajjah Khadijah yang sedari tadi mendiamkan diri.

Betapa kecewanya hati Mak Som mendengar kata-kata itu. Kata-kata penghinaan yang ditujukan khas untuk Ajmal.

“Kenapa pak cik dan mak cik suka memandang masa lalu saya? Apa saya tak layak ke nak rasa bahagia dengan wanita yang saya cinta? Saya tahu,saya ni bekas pesakit mental. Saya tahu, saya pernah jadi orang gila. Tapi itu semua 10 tahun yang lalu, pak cik, mak cik. Saya gila sebab saya didera oleh bapa tiri saya yang sangat kejam. Saya tertekan. Saya tak mampu berfikiran waras. Tapi apabila lahirnya rasa cinta saya pada Wawa, saya nekad untuk buat rawatan pemulihahn. Saya dah okey sekarang, pak cik. Percayalah…”

Kata-kata Ajmal langsung tidak berbekas dalam hati Haji Alauddin. Besar kemungkinan, penyakit gila Ajmal datang lagi nanti. Pada masa itu, kalau Najwa sudah berkahwin dengan Ajmal, pasti meranalah hidup anak tunggalnya itu. Haji Alauddin tidak akan membenarkan perkara itu menimpa anak kesayangannya.

“Dahlah, Som, Mal. Korang berdua baliklah. Keputusan aku tetap sama. Kami tolak secara baik pinangan kau ni. Bukan aku dengan Jah aje yang tolak, tapi Wawa juga tolak lamaran dari Ajmal ni. Baliklah. Dan jangan datang lagi…Sebab keputusannya tetap sama.”

Bermula dari saat itulah, Mak Som tidak sanggup lagi berdepan dengan Haji Alauddin dan Hajjah Khadijah. Walaupun dipaksa berulang kali oleh Ajmal untuk pergi meminang Najwa, Mak Som berkeras hati untuk tidak pergi. Baginya, sudah terang-terang mereka sekeluarga  dihina.

Memang Ajmal pernah gila dulu. Tapi sekarang lelaki itu sudah sembuh sepenuhnya. Kalau tidak, masakan Ajmal diterima bekerja di bank dan dapat bergaul dengan orang seperti orang normal yang lain. Ah! Bila hati dah tak suka, apa-apa alasan pun pasti diberikan.

Mak Som Cuma berharap agar Ajmal dapat melupakan Najwa. Usah dikenang orang yang tak sudi mencintai kita. Cintalah pada yang mencintai kita. Itulah nasihat yang berulangkali diberikan oleh Mak Som pada Ajmal. Tapi Ajmal tetap degil. Kedegilan Ajmal membuatkan Mak Som sudah tidak mampu untuk berbuat apa-apa.


**********

“Kenapa kau tak nak terima dia, Wawa? Dia ikhlas cintakan kau. Bukan senang nak cari lelaki yang mencintai kita.” Nurul Ain bersuara perlahan. Nurul Ain merupakan kakak angkat kepada Najwa. Nurul Ain diambil sejak dari kecil oleh ibu bapa Najwa untuk dijadikan anak angkat. Semakin meningkat dewasa, Nurul Ain menjadi tulang belakang dalam keluarga Najwa. Gadis itu banyak membantu menyara kos perubatan ayah angkatnya dan menanggung kos pengajian Najwa.

“Kak Ain cakap senanglah.Kalau Kak Ain, Kak Ain nak ke terima lelaki gila macam tu? Ikhlas memang ikhlas tapi kalau pernah jadi pesakit mental buat apa. Buatnya dia jadi gila balik, tak ke merana hidup Wawa nanti.” Sepenuh hati Najwa meluahkan rasa tak puas hatinya. Perasaan bencinya pada Ajmal makin meluap-luap pula jadinya. Lelaki tu memang tak tahu erti putus asa. Tak tahu malu pun ada jugak. Dah orang tak sudi lagi nak teruskan niat tu. Ugh!

Nurul Ain menghela nafas lemah. Kalaulah dia sudi nak memperisterikan akak,dik. InsyaAllah, akak terima dengan seikhlas hati akak. Bisik hati kecil Nurul Ain. Hakikatnya, sungguh dia tidak kisah menjadi isteri kepada Ajmal. Ajmal seorang lelaki yang baik. Dalam diam,Nurul Ain menyimpan rasa sayang pada lelaki itu. Hanya Allah saja yang tahu perasaannya ini.

“Tapi, dik. Dah sepuluh tahun perkara tu berlalu. Sepuluh tahun bukan jangka masa yang singkat. Kak Ain yakin, Ajmal dah sembuh sepenuhnya. Dia mampu bahagiakan kau.” Najwa merengus kuat mendengar nasihat dari kakak angkatnya itu.

“Yang Kak Ain nak back-up dia kenapa? Kak Ain suka dia ke? Kalau Kak Ain suka, Kak Ain ajelah yang kahwin dengan dia.” Marah Najwa meletus.

“Betul tu, Ain. Kalau kamu nak, mak boleh pinangkan Ajmal untuk kamu.Tak salahkan perempuan pinang lelaki.” Sampuk Hajjah Khadijah yang baru muncul dari ruang dapur.

Agak tersentak Nurul Ain menerima ‘cadangan bernas’ daripada ibu dan adik angkatnya itu. Dalam hati, Nurul Ain mengeluh kecewa. Sejujurnya, Hajjah Khadijah tidak mengasihinya sepenuh jiwa dan raga seperti mana mengasihi Najwa anak kandungnya itu. Masa kecil-kecil dulu, Nurul Ain sering dimarahi oleh Hajjah Khadijah. Bila dah besar sekarang, dah ada kerja bagus, barulah nampak kasih sayang dalam diri wanita separuh usia itu untuk Nurul Ain.

Tapi sungguh Nurul Ain tak kisah. Kerana baginya, tanpa ibu bapa angkatnya itu, entah macam manalah kehidupannya sekarang. Mungkin sampai ke saat ini dia akan menjadi anak terbuang. Hmm…

“Hish, mak ni. Ain belum bersedia nak kahwinlah, mak. Lagipun Ain tak nak fikir lagi soal kahwin. Ain nak kerja kumpul duit untuk mak, ayah dan Wawa. Tapi kalau jodoh Ain tiba awal, insyaAllah Ain terima aje.” Separuh apa yang diucapkan oleh Nurul Ain itu tidak lahir dari hatinya yang sebenar. Memang dia sekarang tengah sibuk mengumpul duit demi kelangsungan hidup keluarga angkatnya itu. Tapi sebagai seorang perempuan yang sudah mencapai usia matang, dia sudah bersedia memikul tanggungjwab sebagai isteri.

Nurul Ain sentiasa berdoa kepada Allah agar dikurniakan seorang suami yang soleh dan seorang suami yang penyayang.Moga-moga dia menemui lelaki itu.


*********

Ajmal bersembunyi di balik rak buku. Dari celah-celah susunan buku-buku, Ajmal memerhatikan setiap langkah Najwa, si buah hatinya. Dia hanya menunggu masa yang sesuai untuk menyapa gadis itu.

“Kak Ain jom balik.” Bisik Najwa ke cuping telinga Nurul Ain. Nurul Ain yang ralit mencari judul novel terbaru, segera mengerutkan dahi. Dia kepelikan. Bukan mereka baru sampai ke tadi? Takkan dah nak balik kut.

“Kan kita baru sampai. Cepatnya kau nak balik. Kau nak pergi mana ni dik?” tanya Nurul Ain sambil turut melihat sekeliling mereka. Dia hanya mengikut gelagat cemas adiknya itu.

“Ajmal ada kat belakang kita. Wawa nampak dia. Jomlah balik, kak…” Ujar Najwa lagi. Kali ini lengan Nurul Ain ditariknya. Mereka segera melangkah keluar dari kedai buku.

Nurul Ain sempat berpaling ke belakang. Kelihatan Ajmal sedang berlari mendapatkan mereka.

“Wawa! Wawa tunggu abang.” Ajmal memintas laluan Najwa dan Nurul Ain. Najwa yang ketakutan dan tidak suka dengan kehadiran Ajmal, segera bersembunyi di belakang Nurul Ain. Seperti biasa, Nurul Ain akan menjadi orang tengah.

“Wawa…” Nurul Ain cuba menarik Najwa. Tapi gadis kecil molek itu tetap berkeras untuk berdiri di belakangnya. Nurul Ain akur. Senyuman mesra dilemparkan pada Ajmal.

“Abang Mal buat apa kat sini? Kebetulan pulak kita jumpa kat sini ya.” Ujar Nurul Ain berbasa-basi. Pandangan menikam Ajmal yang memandang Najwa membuatkan hati Nurul Ain dilanda rasa luluh. Terpancar perasaan sayang dalam mata lelaki itu untuk Najwa. Mungkin Ajmal dah tak nampak siapa-siapa lagi dah.

“Abang datang jumpa Wawa. Jom kita minum-minum dulu. Abang belanja.” Yang pasti kata-kata Ajmal itu dilemparkan pada Najwa. Nurul Ain terpaksa menjawab bagi pihak adiknya apabila gadis itu menyiku-nyiku pinggangnya. Itulah bahasa isyarat rahsia antara mereka apabila Najwa tidak ingin menjawab soalan dari Ajmal.

“Erm…maaflah Abang Mal. Kami sebenarnya nak cepat ni. Tadi…”

“Hoi kau boleh diam tak, hah?! Ada aku cakap dengan kau ke? Aku tengah cakap dengan Wawa, adik kau. Bukan kau!” Tergamam Nurul Ain menerima jerkahan dari Ajmal itu. Kalau untuk Najwa suara lelaki itu lembut sahaja. Tapi untuk dirinya,Ajmal selalu suka menengking-nengking.

“Hoi, Abang! Yang abang nak marah-marah Kak Ain kenapa? Dahlah, Kak Ain. Jom balik. Jangan nak layan orang gila ni lagi.” Najwa pantas menarik tangan Nurul Ain untuk memulakan langkah. Mereka berjalan laju meninggalkan Ajmal yang masih berdiri kaku di situ.

Dengan perasaan bengang yang masih bergunung pada Ajmal, Najwa langsung tidak pandang ke kiri dan kanan saat dia melintas jalan. Nurul Ain juga sama. Dek hatinya sakit menerima jerkahan dari Ajmal tadi, dia jadi bingung dan hanya menurut langkah kaki Najwa yang mengheretnya.

Saat itulah, sebuah kereta datang meluncur laju ke arah mereka. Ajmal yang melihat kenderaan pacuan empat roda sedang bergerak ingin melanggar Najwa, segera bertindak. Dia berlari laju dengan menarik tangan Najwa seraya meleraikan pegangan Najwa yang masih memegang tangan Nurul Ain. Tubuh Nurul Ain ditolak ke jalan tanpa tidak langsung menghiraukan keselamatan gadis itu.

Pinnnnnnnn!!!Bunyi hon kereta menghiasi ruang udara.

“Kak Ainnnnn!!!” Jeritan Najwa tidak mampu menyelamatkan Nurul Ain lagi. Tubuh Nurul Ain melayang ke udara.

Najwa terus merungkaikan pegangan tangan Ajmal. Dia berlari laju mendapatkan kakak angkatnya yang sudah terbaring kaku di atas jalan raya. Darah menghiasi pandangan mata Najwa. Menggigil dia saat itu melihat keadaan kakaknya.

Ajmal masih berdiri kaku di birai jalan. Dia juga menggigil sama kerana dia tahu gara-gara tolakannya tadi telah membuatkan Nurul Ain dilanggar oleh kereta. Ya Allah, adakah aku telah membunuh gadis itu? Hati Ajmal berbisik cemas.

“Kak Ain, Kak Ain bangun! Kak Ain!!!” Suara Najwa sudah tenggelam timbul. Esak tangisnya sudah tidak terbendung lagi. Dia sempat melemparkan satu pandangan cukup tajam pada Ajmal. Kalau ada apa-apa yang terjadi pada kakak angkatnya, Najwa nekad untuk menyabitkan Ajmal hal ini. Ajmal yang salah kerana sudah menolak Nurul Ain tadi.


********

Setelah empat jam berlalu, akhirnya pintu bilik ICU terbuka luas. Doktor yang bertungkulumus menjalankan pembedahan ke atas Nurul Ain melangkah menghampiri Haji Alauddin sekeluarga. Dari air mukanya menggambarkan bahawa ada berita kurang enak bakal disampaikan olehnya.

“Macam mana keadaan anak saya,doktor? Dia tak apa-apa kan?” soal Haji Alauddin cukup cemas. Sungguh dia terkejut menerima berita daripada Najwa tadi. Haji Alauddin sangat menyayangi anak angkatnya itu. Nurul Ain seorang anak yang baik. Allah S.W.T pasti melindungi anak baik dan solehah seperti Nurul Ain.

Dr.Zaida mengusap perlahan bahu Haji Alauddin.

“Saya harap pak cik dan keluarga tabah menghadapi kenyataan ni. Alhamdulillah Nurul Ain selamat dibedah. Cumanya…”

“Apa dia,doktor?” Pintas Haji Alauddin laju.

“Kaki Nurul Ain mengalami kecederaan yang parah. Dia bakal lumpuh. Tapi pak cik dan mak cik jangan risau. Ada rawatan untuk Nurul Ain. Tapi ia memakan masa yang agak lama. Saya Cuma berharap pak cik sekeluarga bersabar dan terus memberi semangat untuk Nurul Ain.” Sedikit lega hati Haji Alauddin mendengar pengkhabaran itu. Mujurlah anak perempuannya itu masih mampu untuk sembuh. Itu sudah lebih dari cukup daripada melihat Nurul Ain terlantar tidak bergerak lagi.

Usai menyampaikan berita itu, Dr.Zaida terus meninggalkan keluarga Haji Alauddin. Diberi keizinan untuk ahli keluarga terdekat melawat Nurul Ain.

“Biar ayah yang pergi jenguk Ain. Korang tunggu aje kat sini.” Ujar Haji Alauddin sambil melangkah lemah masuk ke dalam wad.

Hajjah Khadijah terduduk lemah ke kerusi. Dalam hati dia sebenarnya sedang memikirkan segala kemungkinan yang bakal berlaku terhadap mereka sekeluarga nanti. Nurul Ain dah boleh dikira sebagai orang kurang upaya kerana sudah tidak mampu menguruskan diri sendiri. Jadi, selepas ini hidup mereka sekeluarga pasti akan susah tanpa bantuan dari Nurul Ain. Dengan kos perubatan suaminya yang menghidapi penyakit buah pinggangnya, kos pengajian Najwa di university lagi. Minta-minta dalam bank, Nurul Ain sudah menyimpan banyak wang untuk mereka.

“Semua ni salah abang. Abang memang kejam!” Najwa yang turut berada di situ kembali merasa sakit hati apabila memandang wajah Ajmal. Lelaki itu bagaikan sudah seperti orang gila. Kelihatan bingung dengan apa yang sedang terjadi.

“Wawa nak abang bertanggungjawab! Kalau abang tak nak bertanggungjawab, Wawa akan report polis. Biar abang meringkuk dalam penjara sebab dah aniaya Kak Ain. Abang tolak dia sampai dia kena langgar tadi. Abang memang tak berhati perut! Wawa bencikan abang!” Amarah Najwa terus meletus. Memang dalam hal ini Ajmal perlu bertanggungjawab. Kalaulah Ajmal menarik tangan kedua-dua mereka tadi, sudah pasti kakak angkatnya tidak dilanggar dan menjadi lumpuh seperti ini.

Ajmal terdiam tanpa kata. Hanya kepalanya saja yang terangguk-angguk bagaikan menyetujui apa yang diucapkan oleh Najwa. Ya, dia memang bersalah. Yang dia nampak hanyalah Najwa. Walhal yang turut berada dalam situasi cemas tadi adalah Nurul Ain. Nurul Ain juga perlu diselamatkan olehnya. Tapi sebaliknya dia menolak gadis itu.

“Apa yang abang perlu buat, Wawa? Abang… abang akan tanggung semua kos rawatan kakak Wawa. Abang… abang akan jaga dia sampai dia sembuh. Tapi tolonglah jangan bencikan abang, Wawa. Abang sayangkan Wawa. Abang cintakan Wawa…”

 “Baguslah kalau abang tahu apa yang harus abang lakukan. Tapi itu masih lagi tak cukup. Wawa nak abang bertanggungjawab dengan mengahwini Kak Ain. Bila abang dah kahwin dengan Kak Ain, senang untuk abang jaga dia siang dan malam sampai dia sembuh seperti sedia kala. Kalau ditakdirkan  Kak Ain lumpuh selama-lamanya, Wawa takkan maafkan abang. Takkan! Dan Wawa akan bencikan abang seumur hidup Wawa!”

Najwa terus berlalu. Tiba-tiba saja terlintas idea itu di benaknya. Hanya dengan cara ini saja yang mampu membuatkan Ajmal melupakan dirinya. Biarkan Ajmal berkahwin dengan Nurul Ain. Dengan keadaan itu, Najwa yakin dia tidak akan diganggu lagi oleh Ajmal.

Ajmal sudah terikat dengan tanggungjawabnya menjaga Nurul Ain. Sebagai abang ipar, mana mungkin Ajmal sanggup mencintai adik iparnya sendiri. Lagipun,Najwa tidak pernah ada perasaan cinta pada Ajmal. Biarlah Nurul Ain saja yang menggantikan dirinya. Maafkan Wawa, Kak Ain. Wawa terpaksa selamatkan diri Wawa dari terus dibelenggu oleh bayang-bayang Ajmal.

Sungguh Najwa rasa agak bersalah dengan kakak angkatnya itu. Tapi ini semua adalah masa depannya. Dia tidak sanggup seumur hidupnya dia diganggu oleh lelaki gila seperti Ajmal.


***********

Mak Som menghampiri Ajmal yang sedang melayan perasaan di atas pangkin di laman rumah. Wajah sugul anak lelakinya itu ditatap penuh rasa pilu. Mak Som berharap Ajmal tabah menghadapi ujian ini. Jauh di sudut hati Mak Som, dia sebenarnya agak bimbang kalau-kalau semua tekanan ini membuatkan Ajmal kembali menjadi orang kurang siuman. Ajmal bukan boleh tahan dengan ujian-ujian yang hebat seperti ini. Moga-moga Allah memelihara jiwa dan kewarasan anak sulungnya itu.

 “Mal…Mal menungkan apa tu?” soal Mak Som sambil mengusap lembut bahu Ajmal. Cincin yang dipegang oleh Ajmal dipandang lama. Cincin itu masih saja berada dalam simpanan Ajmal. Entah bilah Ajmal rela hati membuang cincin itu jauh dari hidupnya.

“Mal tak sangka semua ni berlaku pada Mal, mak. Mal Cuma nak hidup dengan perempuan yang Mal cinta. Kenapa Allah tak izinkan Mal bahagia, Mak? Kenapa Mal kena hadapi semua ujian ni? Mal tak cintakan dia. Mal bencikan dia. Sebab dialah Wawa tinggalkan Mal, mak.” Mata Ajmal berkaca.

Mengenangkan episode cintanya dengan Najwa sudahpun berakhir membuatkan Ajmal sudah tidak bersemangat untuk meneruskan kehidupan sehari-harinya. Tanpa Najwa, hidupnya terasa kosong.

“Istighfar, Mal. Istighfar. Ingat, nak. Dia dah jadi isteri kamu yang sah. Dia tanggungjawab kamu. Lagipun kamu sendiri bersetuju untuk bertanggungjawab ke atasnya kan? Kamu kahwin dengan dia sebab kamu nak jaga dia. Nurul Ain isteri kamu. Ibu kepada anak-anak kamu nanti. Lupakan Najwa,Mal.”

Terdengar rengusan keras dari Ajmal. Dia tidak menyenangi ibunya berkata seperti itu.

“Mak jangan sebut nama perempuan tu depan Mal. Mal kahwin dengan dia sebab Wawa yang suruh. Lepas dia sembuh nanti, Mal akan ceraikan diri. Dan Mal akan kembali kepada Wawa. Mal takkan sia-sia perasaan cinta Mal pada Wawa semata-mata Mal dah kahwin dengan perempuan cacat tu!”

“Ya Allah, Mal! Apa kamu merepek ni, nak… Kamu…kamu nak ceraikan Ain? Kamu dah gila ke hah? Kamu ingat perkahwinan ni main-main ke?” Mak Som urut dada. Terasa lemah jantungnya mendengar keputusan Ajmal. Seandainya Ajmal menceraikan Nurul Ain, semakin sebatang karalah Nurul Ain dibuatnya. Sudahlah ayah angkatnya telah meninggal dunia sebulan yang lalu.

Bukan Mak Som tidak tahu layanan kurang mesra Hajjah Khadijah pada Nurul Ain. Hajjah Khadijah banyak mengambil kesempatan ke atas kesulitan yang melanda Nurul Ain sekarang. Duit simpanan Nurul Ain habis digunakannya anak beranak. Apa lagi yang tinggal untuk Nurul Ain kalau Ajmal menceraikannya nanti?

“Mal memang orang gila, mak. Mal memang gila. Mal terlalu gilakan Wawa. Mal tak mampu lupakan dia. Nurul Ain bukan siapa-siapa dalam hati Mal. Cepat atau lambat, kami tetap akan berpisah.” Ajmal bingkas bangun dari pangkin. Tangan ibunya dicapai laju.

“Mal balik dulu. Semua orang tak faham apa yang Mal rasa. Mak pun sama!” Ajmal segera menerobos masuk ke dalam perut kereta. Dipandu keretanya meninggalkan perkarangan rumah. Destinasinya adalah ke hospital. Mengambil Nurul Ain yang sedang menjalankan rawatan kaki di sana. Itulah rutin harian Ajmal selama tiga bulan bergelar suami kepada Nurul Ain.

Mak Som menyeka air mata yang merembes ke pipinya. Dia sedih mengenangkan nasib menantu kesayangannya itu. Nurul Ain seorang anak yang baik. Mampu menjadi isteri dan ibu yang baik untuk Ajmal dan anak-anak mereka nanti. Kenapa Ajmal tak nampak kebaikan isterinya itu?

Mak Som sentiasa berdoa kepada Allah agar membuka mata hati Ajmal untuk melihat semua kebenaran itu. Mak Som yakin, Nurul Ain menyimpan perasaan cinta untuk Ajmal. Kalau tidak,masakan gadis itu menerima Ajmal sebagai suaminya. Nurul Ain boleh menolak pinangan Ajmal. Tapi, dia menerimanya kerana ada cinta untuk lelaki itu.


*******

Sekuat tenaga Ajmal mengangkat tubuh kaku Nurul Ain masuk ke dalam kereta. Nurul Ain hanya diam berada dalam dakapan suaminya. Air muka Ajmal yang sentiasa serius dan tanpa senyuman itu ditatap tanpa berkelip olehnya. Kalaulah Ajmal mampu tersenyum seperti mana lelaki itu tersenyum untuk Najwa, sudah pasti Nurul Ain akan menjadi lebih bersemangat untuk sembuh dan menjalankan rawatan susulan ini.

Sayangnya Ajmal tidak pernah memberi semangat untuknya.Lelaki itu bagaikan sebuah robot yang disetkan untuk menjaga makan pakainya tanpa ada sentuhan mesra atau layanan seorang suami untuk isterinya. Ajmal bagaikan patung yang tidak bernyawa.

“Yang kau tenung-tenung aku kenapa?” Pertanyaan keras dari Ajmal membuatkan Nurul Ain segera melarikan pandangannya entah ke mana. Demi menghilangkan kegusaran di hati, tergopoh-gapah Nurul Ain memasang tali pinggang keselamatan. Hatinya berdebar tak menentu apabila dijeling tajam oleh suaminya tadi.

“Nak pakai seatbelt pun terkial-kial.Meh aku buat.” Dengan kasarnya Ajmal membantu Nurul Ain. Andai saja Ajmal tidak menuturkan ayat sindiran itu, sudah pasti hati Nurul Ain berbunga-bunga menerima pertolongan dari suaminya itu.

Tiga bulan mereka berkahwin. Selama itu jugalah Ajmal melayan Nurul Ain dengan layanan yang cukup kasar dan tanpa kasih sayang. Dan perkara yang sering meniti di bibir Ajmal adalah memarahi Nurul Ain dengan mengatakan Nurul Ainlah yang menjadi punca semua ini berlaku.

Hancur hati Nurul Ain mendengar semua itu. Tapi selama dia masih bergelar isteri kepada lelaki yang dicintainya itu, selagi itulah Nurul Ain akan bersabar. Selagi dia tidak dilepaskan, selagi itulah cintanya tertumpah untuk Ajmal.

“Aku nak beli barang dapur sikit. Kau nak kirim apa-apa ke?” Tanya Ajmal sambil tanganya sibuk memutar stereng kereta membelok masuk ke kawasan hypermarket.

Serba salah untuk Nurul Ain bersuara. Malu pula rasa hatinya untuk meminta Ajmal membelikan keperluan wanitanya itu. Tapi stoknya di rumah sudah kehabisan. Kalau Ajmal tak sudi beli, pada siapa lagi yang harus dia harapkan nanti.

“Hoi! Aku tanya kau buat pekak pulak ya. Kalau tak nak kirimkan apa-apa lagi bagus. Tak habis duit aku.” Ajmal bersedia untuk keluar dari kereta. Serentak itu tangan Nurul Ain menghalang Ajmal dari keluar.

“Tunggu dulu, abang.” Nurul Ain bersuara takut-takut. Ajmal yang tidak suka dipegang oleh Nurul Ain segera menepis tangan isterinya itu. Dia merengus lagi.

“Kau nak apa? Cakap cepat.” Ajmal tetap bersuara kasar.

“Ain… Ain nak minta abang belikan pad untuk Ain. Jenama Kotex. Abang tolong belikan ya?” Dibuang rasa malu dalam dirinya. Ini adalah kali pertama dalam hidupnya meminta pertolongan dari seorang lelaki untuk membeli tuala wanita untuknya. Dengan keadaannya yang tidak berdaya, hanya pada Ajmallah Nurul Ain bergantung harap.

Ajmal mengerutkan dahi. Janggutnya digosok-gosok bagaikan sedang memikirkan sesuatu.

“Maksud kau, kau suruh aku belikan kau tuala wanita? Hah?”

Lambat-lambat Nurul Ain mengangguk. Dia tertunduk malu.

“Tak kuasa aku nak tolong belikan benda tu. Dah, dah, dah… Lain kali kau suruh aje mak yang belikan. Jatuh standard aku beli benda tu.” Ajmal terus berlalu keluar. Bebelannya masih kedengaran.

Nurul Ain menahan rasa sebak di dada. Sampai hati Ajmal melayannya seperti ini. Kalau tak nak tolong belikan, cakaplah elok-elok sikit. Tapi Nurul Ain sedar, selama ini manalah Ajmal pernah bercakap dengan nada lembut dengannya.Ajmal tak pernah bercakap dengannya sebaliknya lelaki itu lebih suka menengking dan memarahinya.

Teringat Nurul Ain pada layanan-layanan Ajmal kepadanya. Tiga bulan hidupnya disulami dengan duka. Ya,Ajmal memang bertanggungjawab menjaga dan merawatnya.Tapi kata-kata yang lahir dari mulut suaminya itu amat mengguris hati Nurul Ain.

Tapi apa yang Nurul Ain mampu lakukan selain menerima semua itu dengan hati yang redha. Dia memerlukan pertolongan dari Ajmal untuk menguruskan kehidupan sehariannya. Nak ke tandas pun Nurul Ain terpaksa menebalkan muka meminta bantuan dari suaminya. Makan minum, semuanya Ajmal yang uruskan. Andai saja dalam hati lelaki itu punya sekelumit rasa sayang untuknya, sudah pasti Nurul Ain menjadi wanita yang paling bahagia dalam dunia ini.

Ajmal seorang lelaki yang baik. Nurul Ain yakin akan hal itu. Ini kerana, selama mereka berkahwin, tidak pernah walau sekali Ajmal menaikkan tangan memukulnya. Hanya kata-kata lelaki itu saja yang terlalu berbisa untuk ditelan.


********

Ajmal menghempas kuat tubuh isterinya ke katil. 

“Beratnya kau ni. Penatlah aku hari-hari macam ni. Huh! Dahlah urusan rumah tangga aku yang kena uruskan. Semuanya aku! Kau apa boleh buat? Pandai suruh aku buat tu buat ni aje. Setiap hari nak menyusahkan aku!” Bebelan pedas dari Ajmal ditelan penuh perit oleh Nurul Ain. Bersabarlah wahai hati…

“Sampai bila kau nak menyusahkan aku, hah? Bila kau nak sembuh? Kau ni cacat seumur hidup ke apa? Takkan aku seumur hidup kena jaga kau. Bodohnya aku setuju kahwin dengan kau. Yang kau pun satu. Kenapa kau tak tolak pinangan aku. Kenapa kau terima aku, hah?!”

Amarah Ajmal semakin merebak. Nurul Ain menahan tangisan. Pasti Ajmal akan mengungkit dan menyalahkannya nanti. Itulah Ajmal. Apabila tercetusnya amarah di hati Ajmal, lelaki itu pasti akan memarahi Nurul Ain sepenuh hatinya. Habis dikutuk dan dicaci perempuan itu tanpa sedikit rasa kesal.

“Aku tanya ni jawablah! Yang kau diam tu kenapa? Kau dah bisu? Dari cacat tak boleh berjalan, sekarang jadi bisu pulak ke?!” Ajmal bercekak pinggang sambil mencerlung memandang wajah tertunduk Nurul Ain. Perempuan itu tak pernah nak membalas pandangannya.

“Ain… Ain tak tahu nak jawab apa, bang.” Terketar-ketar Nurul Ain bersuara. Air mata sudah tidak dapat dibendungnya lagi daripada mengalir keluar.

Tiba-tiba Ajmal bertindak dengan mengcengkam bahu Nurul Ain. Perempuan itu dipaksa mendongak membalas pandangannya.

“Kau sepatutnya mintak maaf dengan aku. Minta maaf sebab kau dah menyusahkan hidup aku. Kau dah jadi beban untuk aku. Kau sedar tak semua tu, hah?! Kau ingat aku ikhlas ke nak buat semua ni. Semua ni sebab Wawa tau tak. Kalau Wawa tak minta aku kahwin dengan kau, mati hidup balikpun aku tak pilih kau.” Ditonyoh kepala Nurul Ain bengang.

Tak mampu untuk Nurul Ain berbuat apa-apa .Ini kali pertama Ajmal menaikkan tangannya. Pasti lelaki itu benar-benar tertekan. Ya Allah, lembutkanlah hati suami aku. Peliharakanlah kewarasan akal fikirannya, ya Allah… Sempat Nurul Ain berdoa dalam hati kecilnya.

“Aku nak kau cepat-cepat boleh berjalan. Lepas kau dah sembuh, aku akan ceraikan kau. Kau boleh berambus dalam hidup aku. Selagi kau tak boleh berjalan, selagi tulah aku terpaksa jadi suami kau, kau tahu?! Aku benci tengok muka kau. Sebab kaulah Wawa tinggalkan aku!”

Panggg! Inilah kali pertama tangan Ajmal singgah ke pipinya. Nurul Ain terkesima. Pipinya terasa pedih menerima tamparan kuat dari suaminya itu. Ya Allah…

Tanpa rasa bersalah, Ajmal terus melangkah keluar dari bilik. Dari air mukanya dia kelihatan begitu berserabut dan tertekan.

Pedih di pipi Nurul Ain tidak setanding dengan kepedihan yang melanda hatinya. Jadi itu rancangan Ajmal. Menceraikan dirinya setelah dia sembuh seperti sedia kala.

Kenapa Ajmal langsung tidak pernah belajar untuk mencintainya? Nurul Ain sangat mencintainya suaminya itu. Dia cuba menjadi isterinya yang terbaik untuk Ajmal. Dia cuba menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri dengan apa yang dia termampu.

Dengan berkerusi roda, Nurul Ain cuba memasak untuk Ajmal. Menyediakan lauk kegemaran lelaki itu. Tapi, Ajmal tidak langsung menyukai apa yang dia lakukan. Sebaliknya lelaki itu memarahinya kerana sudah membahayakan keselamatan diri sendiri. Sejak dari itu, Nurul Ain dilarang menjejakkan kaki ke ruang dapur. Jadi ,apa lagi yang harus dia lakukan. Ajmal melarang dia melakukan semuanya.

“Kenapa abang tak pernah sayangkan Ain? Ain tahu abang terpaksa bertanggungjawab ke atas Ain. Ain tahu abang bencikan Ain. Kenapa abang tak ceraikan Ain sekarang aje. Jangan tunggu Ain sembuh, bang. Ceraikan Ain sekarang. Ain tak sanggup lagi nak hadapi kebencian abang pada Ain. Ain tak sanggup…”

Kesedihan memenuhi ruang jiwa Nurul Ain. Walaupun berat untuknya menerima perpisahan antara dia dan Ajmal suatu hari nanti, izinkanlah dia terus mencintai lelaki itu untuk selamanya.


************

Sudah hampir enam bulan usia perkahwinan Nurul Ain dan Ajmal. Tiada apa-apa yang berubah. Ajmal tetap begitu. Dan Nurul Ain tetap begini. Yang meluluhkan hati Nurul Ain adalah semakin hari Ajmal semakin berani menaikkan tangannya.D ia menjadi mangsa dera Ajmal. Dengan keadaannya yang tidak berdaya, Nurul Ain tidak mampu melawan setiap apa yang Ajmal lakukan terhadapnya. Bukan, bukan dia tidak ingin melawan. Tapi Nurul Ain ingin berada di samping Ajmal selama mana yang dia mampu.

Seandainya saja Ajmal mengetahui bahawa Nurul Ain sudah mampu berjalan, sudah pasti Nurul Ain sudah lama diceraikannya. Ya, Nurul Ain sudah mampu berjalan.Walaupun tidak mampu berjalan dengan lancar seperti dulu, dia sudah mampu bertatih kembali. Tapi, berat untuk Nurul Ain memberitahu Ajmal akan berita gembira ini. Kerana berita ini akan menjadi berita duka buat Nurul Ain. Ajmal pasti akan tidak akan teragak-agak menceraikannya.

Tok. Tok. Tok. Ketukan bertalu-talu di muka pintu membuatkan Nurul Ain segera meluru ke arah pintu. Tombol pintu dipulas. Terpampang wajah merah padam Ajmal di hadapannya.

“Yang kau lambat sangat bukakan pintu kenapa, hah?! Kau tak tahu ke aku penat ni. Dah tepi!” Ditolak tubuh Nurul Ain ke sisi. Nasib baik tidak terhumban wanita itu mencium lantai. Ajmal masih dengan sikap tidak berperasaannya. Semakin menjadi-jadi sikap panas baran Ajmal.

“Abang nak air? Biar Ain buatkan ya.” Dengan sokongan tongkat, Nurul Ain berlakon bersusah payah melangkah menuju ke dapur. Kini, dia ‘sudahpun’ bertongkat. Dan Ajmal sangat gembira dengan keadaannya bertongkat. Lelaki itu sudah tidak sabar untuk melihatnya berjalan tanpa tongkat. Kalaulah Ajmal tahu Nurul Ain sudah mampu berjalan…

“Dah tak payah! Nak jalanpun terkial-kial.”Ajmal menghenyakkan tubuh penatnya ke sofa. Dia berbaring di situ sambil mendaratkan tangan ke dahi. Bagaikan memikirkan sesuatu saja.

Nurul Ain melabuhkan duduk di kerusi sebelah. Hampa hatinya apabila Ajmal tidak sudi menerima layanan baiknya.

“Aku jumpa dengan Wawa tadi. Adik kau tu makin sombong dengan aku. Sakit mata aku tengok dia dengan jantan tu. Sengaja nak menunjuk-nunjuk. Arghh!” Luah Ajmal bengang. Masih terngiang-ngiang di fikirannya kemesraan antara Najwa dan bakal tunangnya di shopping mall tadi.

Mereka bertembung. Tapi yang menyakitkan hati Ajmal adalah Najwa berpura-pura tidak mengenalinya. Tapi tak apa. Selagi Najwa tidak bernikah dengan mamat tu, selagi tulah Ajmal yakin dia masih berpeluang memiliki cinta Najwa.

Nurul Ain hanya diam. Sedangkan hatinya mula merintih hiba. Ajmal tak habis-habis bawa pulang cerita mengenai Najwa. Entah bila dendam cinta lelaki itu terhadap Najwa akan lupus hilang. Takkanlah Ajmal tak boleh fikir langsung pasal perkara ni. Dah terang-terang Najwa tidak menyenangi apa lagi menyayangi dirinya. Ajmal seharusnya sedar diri.

“Biarkanlah dia, bang. Diakan sayangkan lelaki tu. Lagipun dua minggu lagi diorang nak nikah. Kita doakan kebahagiaan mereka ya, bang…” Habis saja Nurul Ain menuturkan ayat terakhir itu, mata Ajmal mencerlung ke arahnya. Ajmal bingkas bangun lalu mengcengkam pipi Nurul Ain kemas.

“Apa kau cakap? Doakan kebahagiaan dia dengan jantan tu? Kau ingat aku dah gila ke nak doakan kebahagiaan Wawa dengan jantan lain, hah?! Kau sepatutnya doakan aku cepat-cepat dapat kahwin dengan Wawa. Dan kau seharusnya berdoa agar kau dapat jalani hidup dengan baik selepas aku ceraikan kau nanti!” Ditonyoh-tonyoh kepala Nurul Ain tanpa belas.

Apa yang mampu Nurul Ain lakukan selain mendiamkan diri. Hanya pada Allah tempat dia berlindung.

“Kau dengar sini baik-baik, Nurul Ain. Sebaik saja aku tahu kau dah boleh berjalan semula, aku takkan teragak-agak untuk ceraikan kau. Sekalipun aku tak dapat bersatu dengan Wawa,aku tak sudi untuk terus terikat dengan kau! Kita bawa haluan masing-masing. Tanggungjawab aku jaga kau terlepas sebaik saja kau dah mampu berjalan semula. Kau ingat tu!” Ajmal berlalu pergi. Kedengaran pintu bilik dihempas kuat. Nurul Ain mengurut dadanya menahan kepiluan yang amat sangat.

Kata-kata Ajmal amat mengguris hatinya. Lelaki itu tidak langsung rasa bersalah untuk menuturkan itu semua. Kini, Nurul Ain yakin seratus peratus bahawa dalam hati Ajmal tiada sekelumit sayang untuknya.

‘Baiklah abang. Kalau abang dah benci sangat pada Ain, Ain akan berterus terang dengan abang. Biar abang boleh lepaskan Ain. Ain tahu, abang akan bahagia tanpa Ain di sisi abang, kan? Itu yang abang nak bukan?’

Nurul Ain berdiri. Tongkat di sebelahnya tidak dicapainya lagi. Kakinya melangkah perlahan-lahan menuju ke bilik. Inilah masanya. Masa yang ditunggu-tunggukan oleh Ajmal. Pasti Ajmal akan amat gembira dengan berita ini.

Tombol pintu bilik dipulas. Pintu bilik dikuak perlahan. Mata Nurul Ain tertancap pada jasad Ajmal yang sedang berbaring di atas katil. Adakah ini masa yang tepat untuk dia berterus terang?Tapi sampai bila lagi kebenaran ini harus disimpannya.Sampai bila pun Ajmal takkan pernah mencintainya.

“Abang…” Panggil Nurul Ain perlahan.Melihat tiada sebarang reaksi dari Ajmal, dia memberanikan diri memanggil nama lelaki itu lebih keras.

“Abang!” Terus Ajmal bangkit dari katil.

“Kau nak apa hah?!” Jerkah Ajmal bengang. Dia bengang kerana tidurnya diganggu. Apa lagi diganggu oleh perempuan yang bernama Nurul Ain.

“Tengok ni. Tengok ni, abang. Ain… Ain dah boleh berjalan…” Perlahan-lahan Nurul Ain melangkah mendapatkan suaminya. Ajmal tercengang. Matanya digosok-gosok berulangkali bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Nurul Ain berjalan tanpa tongkat? Tapi baru sebentar tadi perempuan itu berjalan dengan tongkat.

Nurul Ain menarik nafas panjang. Penuh berani dia berdiri berdepan dengan Ajmal.

  “Kau… kau dah boleh berjalan ke, Ain?Hah?” Pertanyaan Ajmal tidak dijawab oleh Nurul Ain. Sebaliknya, dia mengambil kesempatan ini untuk meluahkan apa yang sudah terpendam dalam hatinya pada Ajmal.

“Abang tolong dengar apa yang Ain nak cakap ni. Tolong… tolong bagi Ain kesempatan untuk meluahkan apa yang sudah lama Ain pendamkan. Tolong, bang…” Tangan Ajmal digamit perlahan. Melihat lelaki itu tidak bertindak menepis pegangannya, Nurul Ain memberanikan diri mendakap tubuh suami tercintanya itu.

“Ain…Ain cintakan abang. Ain terlalu sayangkan abang. Kasih sayang Ain hanya untuk abang. Ain tahu abang tak cintakan Ain. Dalam hati abang hanya ada Najwa. Tanpa ada sekelumit rasa sayang dalam hati abang untuk Ain, abang kahwini Ain kerana tanggungjawab. Kerana Najwa yang mintak abang bertanggungjawab ke atas Ain. Abang pernah tanya kenapa Ain tak tolak lamaran abang dulu. Ain ada sebab Ain sendiri, bang. Sebab… sebab Ain cintakan abang. Ain sudi untuk menjadi isteri abang yang sah.”

Ajmal terdiam terkaku mendengar luahan hati dari isterinya itu. Hatinya seakan-akan ditarik untuk terus berdiam mendengar luahan dari Nurul Ain. Inilah kali pertama dia mendengar kalimah cinta itu terlafaz dari bibir Nurul Ain.

“Kerana cinta Ain pada abang, Ain sanggup untuk bertahan dengan kebencian dan amarah abang pada Ain. Ain tak kisah. Yang penting, Ain dapat bersama-sama abang. Cukuplah bagi Ain sekiranya dapat melihat wajah abang di setiap hari yang Ain lalui. Ain tahu Ain banyak menyusahkan abang. Ain bebankan abang dengan keadaan Ain yang lumpuh dan tak berdaya ni.”

“Terima kasih sebab abang sudi jaga Ain walaupun Ain tahu abang tak ikhlas buat semua tu. Terima kasih jugak sebab abang sudi membenarkan Ain menjalankan tanggungjawab Ain sebagai isteri abang dalam erti kata yang sebenar. Ain bahagia hidup dengan abang walaupun hati Ain sentiasa menangis.”

Tak mampu lagi untuk Ain meneruskan katanya. Cukuplah Ajmal mengetahui akan isi hatinya. Tapi masih ada satu perkara yang Ajmal perlu tahu.

Nurul Ain merungkaikan pelukannya. Anak mata Ajmal ditatap dalam. Mungkin selepas lelaki itu mengetahui kebenaran yang satu ini, muka Nurul Ain pun dia tak nak tengok.

“Kalau abang nak tahu… Ain sebenarnya…Ain… Ain…” Tiba-tiba Nurul Ain menekup mulut. Tekaknya terasa ingin mengeluarkan sesuatu. Tanpa meneruskan katanya, dia meluru menuju ke bilik mandi. Dimuntahkan semua isi perutnya. Perit tekaknya menahan rasa mual yang tiba-tiba saja itu.

“Kau tak apa-apa ke?” Ajmal berdiri di depan pintu. Berat kakinya untuk melangkah membantu isterinya apa yang patut. Kata-kata cinta yang terucap di bibir Nurul Ain sebentar tadi melahirkan satu rasa dalam hatinya. Entah kenapa, Ajmal merasai satu kebahagiaan yang tak pernah dia rasai selama ini. Masih ada seorang wanita yang mencintai. Dan wanita itu adalah Nurul Ain, isterinya sendiri.

Nurul Ain tidak mampu berkata apa. Wajah pucatnya mula kelihatan. Beberapa tapak dia melangkah keluar dari bilik air, dia  terus rebah menyembah bumi. Nurul Ain tidak lagi sedarkan diri.


***********

Seminggu sudah berlalu. Selama itu jugalah Ajmal terus dibelenggu dengan satu perasaan bersalah yang tak pernah-pernah muncul dalam hatinya selama ini. Sungguh dia sekarang berada dalam persimpangan dilemma.

Hakikatnya, Nurul Ain sedang mengandungkan anaknya. Nurul Ain yang mencintainya apa adanya dia. Nurul Ain yang tak pernah merungut apalagi melawan cakapnya. Nurul Ain yang tulus mencintainya. Walaupun wanita itu sudahpun mampu berjalan semula dan sembuh seperti dulu-dulu, tiada kata perpisahan yang terlafaz dari mulut Ajmal. Secara hukum, lafaz talak tidak boleh dijatuhkan ketika isteri sedang mengandung. Mereka masih suami isteri walaupun Nurul Ain sudah mampu berjalan semula. Anak yang ada dalam kandungan Nurul Ain mengikat mereka buat kali yang kedua.

Terbit satu perasaan halus dalam jiwa Ajmal tatkala mengetahui berita kehamilan Nurul Ain seminggu yang lalu. Terasa dunianya disimbahi oleh cahaya kegembiraan. Dia bakal menjadi seorang ayah. Dia bakal mendapat seorang anak yang comel. Bayi kecil yang akan dibin atau dibintikan dengan namanya di belakang.

Perasaan Ajmal makin kacau-bilau. Selepas Nurul Ain selamat melahirkan anak mereka itu nanti, maka jatuhlah talak pada wanita itu. Sungguh hati Ajmal tidak ingin perkara itu berlaku. Apa nasib bayi mereka nanti apabila membesar tanpa kasih sayang ibu bapa yang sempurna. Ajmal tidak sanggup anaknya mengalami nasib yang sama sepertinya. Dari kecil Ajmal hidup tanpa kasih sayang dari ayah kandung. Ayah tirinya pula hanya pandai mendera mental dan fizikalnya. Ajmal tak ingin anaknya menjadi gila sepertinya.

“Mal… Kamu menungkan apa lagi tu?” Sapa Mak Som yang muncul dari dapur. Ajmal segera mematikan ingatannya pada Nurul Ain dan bakal bayi mereka itu. Wajah tua ibunya ditatap sekilas.

“Mal… Mal rasa bersalah pada Nurul Ain, mak. Mal pun tak tahu kenapa Mal boleh rasa macam ni. Mal rasa selama ni Mal terlalu kejam dengan dia. Mal berdosa dengan dia, mak.”

Mak Som mengucap rasa syukur dalam hati. Ya Allah, akhirnya Engkau mengabulkan doa seorang ibu untuk anaknya. Terima kasih, ya Allah… Terima kasih kerana Engkau telah membuka pintu hati Ajmal untuk melihat kebenaran yang sebenar-benarnya.

“Sudah-sudahlah tu, nak. Kamu terimalah Nurul Ain dalam hidup kamu. Mak tahu dia sayangkan kamu. Dan kamu mampu untuk menyayangi dia. Tak lama lagi dia bakal melahirkan anak untuk kamu, Mal. Lupakan perasaan cinta tak berbalas kamu pada Najwa. Cintai isteri kamu, nak.”

Ajmal terdiam saja menelan setiap kata yang terucap di bibir ibunya. Cintanya pada Najwa memang cinta gila. Cinta yang sia-sia. Kenapa terlalu lambat untuk dia menyedari akan hakikat ini. Sehinggakan Nurul Ain dipersia-siakannya. Nurul Ain adalah jodoh yang dihantar oleh Allah untuknya. Jodoh yang hakiki lagi abadi. InsyaAllah…


***********

Dengan berat hati, Nurul Ain mengemas pakaiannya masuk ke dalam beg. Tempoh masa seminggu sudah cukup buatnya untuk menilai kata putus dari suaminya. Ajmal tak bersuara selama seminggu ini. Lelaki itu tidak menunjukkan apa-apa reaksi atas pengakuan cintanya tempoh hari. Nurul Ain sudah mengagak begitulah penerimaan Ajmal terhadap cintanya. Ajmal tak mungkin ingin membalas cintanya. Tapi yang membuat Nurul Ain terkilan adalah lelaki itu tidak langsung rasa gembira dengan berita kehamilannya ini.

Pasti Ajmal tidak menginginkan anak ini wujud dalam hubungan mereka. Tapi tidak mengapalah. Akan Nurul Ain menjaga anak kandungnya ini sepenuh kasih sayangnya. Walaupun dia dan Ajmal masih belum berpisah, Nurul Ain sedar diri. Dia sedar bahawa cepat atau lambat, Ajmal pasti akan menghalaunya dari rumah ini.

Nurul Ain sudah tidak berdaya untuk menghadapi kebencian daripada Ajmal. Ajmal boleh mendera mental dan fizikalnya tapi lelaki itu tidak boleh menyentuh apalagi mengasari anak yang ada dalam perutnya ini. Biarlah mereka berdua membawa diri. Membawa diri jauh dari Ajmal.

“Kau buat apa tu? Kau nak pergi mana ni? Hmm?” Muncul Ajmal di muka pintu sambil merenung Nurul Ain dengan pandangan agak dalam. Dia melangkah mendekati isterinya. Matanya tak lepas memandang baju-baju yang disusun kemas dalam bagasi.

Nurul Ain hanya diam. Dia tetap mengemas pakaiannya tanpa memandang sekilaspun ke arah Ajmal.

Ajmal duduk bertenggek di birai katil. Teragak-agak tangannya memegang tangan Nurul Ain.

“Jangan pergi.” Ucap Ajmal separa merayu. Nurul Ain terkesima. Ini kali pertama Ajmal mengeluarkan suara gemersik dan lemah lembut seperti ini. Tiada lagi tengkingan dari lelaki itu.

“Jangan pergi, Nurul Ain. Aku…aku tahu aku banyak buat salah dengan kau. Aku dera perasaan kau .Aku dera mental dan fizikal kau. Aku tak pernah bahagiakan kau. Maafkan aku… Maafkan aku…” Ajmal duduk melutut di hadapan Nurul Ain. Tangan isterinya itu dikucup bertalu-talu. Keinsafan menyelubungi dirinya. Ini adalah kali pertama kalimah MAAF meniti di bibir Ajmal. Selama ini, setiap penderaan yang dia lakukan pada Nurul Ain langsung tidak melahirkan rasa kesal dalam hatinya. Jauh sekali mengucapkan kata maaf.

Nurul Ain tidak tahu untuk memberi tindakbalas seperti apa. Sungguh dia terkejut mendengar pengakuan dari suaminya ini. Benarkah Ajmal tidak menginginkan dia pergi? Benarkah lelaki itu sedang meminta maaf darinya? Atau adakah semua ini hanya satu mimpi? Kenapa tiba-tiba saja lelaki itu berubah?

“Maafkan aku, Ain. Cakaplah kau dah maafkan aku. Aku dah insaf. Sekarang baru aku sedar yang aku beruntung kerana masih ada seorang wanita yang mencintai aku. Aku terlalu mengejar cinta Najwa sampaikan aku abaikan tanggungjawab untuk mencintai kau sebagai isteri aku. Aku akan belajar sayangkan kau. Aku akan cintakan kau seperti mana kau cintakan aku. Bagi aku peluang sekali lagi, Ain. Aku nak hidup bahagia dengan isteri dan anak-anak aku.” Suara Ajmal mula berubah hiba. Air mata mula bergenang di tubir matanya.

Sungguh Ajmal inginkan kebahagiaan berumahtangga dengan Nurul Ain. Kini, baru dia akui nasihat yang selama ini sentiasa ibunya berikan. Cintai orang yang mencintai kita. Kerana orang yang mencintai kita akan sentiasa mencintai kita dan akan ada untuk kita susah dan senang.

Tanpa kata, Nurul Ain memaksa Ajmal berdiri.

“Ain dah lama maafkan abang. Ya, Ain pun ingin hidup bahagia dengan lelaki yang Ain cintainya. Tapi lelaki tu tak pernah cintakan Ain. Ain hanya bertepuk sebelah tangan, bang.Ain…  Ain tak pernah ada dalam hati dia…”

“Jangan cakap macam tu, Ain. Aa… abang akan cintakan Ain. Hidup abang hanya untuk Ain dan anak-anak kita. Berilah abang peluang untuk kali ni aje. Beri abang peluang untuk buktikan yang abang betul-betul mampu jadi seorang suami yang bertanggungjawab dan mencintai Ain sepenuh hati abang. Tolong, sayang…”

Sungguh hati Nurul Ain terharu mendengar kata-kata yang terluah dari bibir Ajmal. Ajmal tak pernah menuturkan semua ini. Apa lagi memanggilnya ‘sayang’. Semua ini pasti rahmat kasih sayang dari Allah. Dan anak yang dikandungkan oleh Nurul Ain telah memberi seribu satu rahmat untuk ayah dan ibunya.

Apa lagi yang mampu Nurul Ain lakukan selain menerima Ajmal dalam hidupnya. Dia percayakan Ajmal. Mungkin kesabarannya selama ini sudah dibalas oleh Allah. Terima kasih ya Allah kerana Engkau membuka pintu kewarasan untuk suamiku berfikir dengan mata hatinya. Nurul Ain mengucap seribu kesyukuran dalam hati kecilnya.

“Kalau betul abang nak Ain semula, kita kena rujuk. Sebab abang pernah cakap yang abang akan ceraikan Ain bila Ain dah boleh berjalan. Talak tu dah jatuh pun, bang. Saat ini kita dah tak ada apa-apa ikatan. Abang sudi rujuk dengan Ain balik?”

Pantas Ajmal mengangguk. Dia benar-benar mahukan Nurul Ain dalam hidupnya.


*********

Lapan bulan kemudian…

  “Ain… Ain pergilah duduk depan. Biar abang buat semua ni. Abang tak sukalah kalau Ain degil macam ni.” Ajmal membebel panjang. Dipimpin isterinya untuk keluar dari ruang dapur. Semenjak Nurul Ain sudah sarat mengandung, Ajmal melarang wanita itu melakukan kerja-kerja rumah. Semuanya dilakukan oleh Ajmal. Walaupun dia penat bekerja, Ajmal tetap bersemangat melakukan kerja-kerja rumah. Kesian dia dengan isterinya.

Nurul Ain memuncungkan bibir. Dia bukan apa, dia sudah bosan asyik duduk tanpa ada buat kerja.

  “Ain Cuma nak tolong abang aje. Lagipun Ain bosan asyik duduk melangut macam ni. Bukan boleh beri faedah apa-apa pun.” Jawab Nurul Ain dengan nada lirih.

Ajmal menanggalkan apron dari badannya. Dia ikut duduk di sebelah isterinya. Tangan Nurul Ain disulaminya.

“Boleh beri faedah pada anak kita, sayang. Ain kena cukup rehat. Lagipun lagi dua minggu Ain dah nak bersalin tau. Kalau Ain bosan, Ain boleh baca buku. Tak pun mengaji Quran. Okey, sayang?” Itulah jawapan standard Ajmal setiap kali memujuk Nurul Ain. Dah lali Nurul Ain dibuatnya.

“Abang….”

“Ya, Ain. Kenapa?”

“Abang dah carikan nama yang sesuai untuk anak kita?” Soal Nurul Ain tiba-tiba. Bayi yang bakal dilahirkannya nanti bayi perempuan. Kalau boleh Nurul Ain ingin di pangkal nama anaknya itu ada nama Nurul. Barulah sama dengan namanya.

“Abang dah carikan beberapa nama yang sesuai. Tapi abang nak Ain yang pilih. Kejap abang pergi ambil buku tu.” Ajmal berlari masuk ke bilik. Beberapa saat kemudian, dia muncul dengan membawa sebuah buku nama di tangannya.

Nurul Ain tersenyum melihat kesungguhan dan keprihatinan Ajmal. Sesungguhnya kini dia cukup merasa bahagia. Ajmal benar-benar sudah berubah seratus peratus. Dan yang paling membahagiakan Nurul Ain adalah kerana cintanya sudah berbalas. Dia tidak bertepuk sebelah tangan lagi. Kasih sayang dan cinta Ajmal terhadapnya cukup-cukup terserlah. Ajmal juga seorang suami yang sangat romantik. Bahagia Nurul Ain menerima setiap layanan dari Ajmal.

“Okey. Abang rasa nama yang paling sesuai untuk anak kita nanti nama ni. Nurul Izzah. Izzah yang membawa maksud kemuliaan dan kekuatan.” Ajmal memberi buku nama itu kepada isterinya.

“Hmm… lain-lain.” Nurul Ain bagaikan tidak berpuas hati dengan nama itu.

“Nurul Auni. Maksud dia lemah lembutku dan ketenanganku. Okey tak?” Ajmal memberi usul yang kedua. Nurul Ain menggeleng lagi.

“Dah tu Ain nak letak nama apa? Ain pilih. Abang ikut aje.” Akhirnya Ajmal mengalah. Walhal nama-nama yang dipilihnya tadi mempunyai makna yang elok dan senang untuk dipanggil.

Senyuman mesra terlakar di wajah Nurul Ain. Buku nama ditutup kemas. Tangannya mengusap-usap perutnya yang sudah membuyung.

“Ain nak letak nama anak kita Nurul Ain. Sama dengan nama Ain. Okey tak, abang?” Ajmal agak terkedu. Nurul Ain? Takkanlah nak sama nama pulak.

“Tapi nanti kalau anak kita tanya kenapa nama dia sama dengan nama Ain macam mana? Kita nak jawab apa?”

“Alaa abang jawab ajelah yang Ain yang suruh letak nama tu. Anak kita mesti faham.” Nurul Ain menjawabnya bersahaja. Namun, hati Ajmal mula rasa lain macam dengan kata-kata isterinya tadi. Mungkin perasaannya saja.

“Erm… kalau macam tu abang ikut Ain aje. So, nama anak kita nanti Nurul Ain. Nurul Ain binti Ahmad Ajmal.” Ajmal tersenyum. Sudah tidak sabar untuknya menimang cahaya mata sulung mereka itu. Pasti rumah ini akan bertambah gamat dengan suara bayi.


***********

  “Ayah, Ain pergi sekolah dulu ya.” Ujar Nurul Ain sambil menyalami tangan ayahnya. Beg sekolah di tepi dinding digalas lemah. Melihat ayahnya yang sentiasa termenung itu membuatkan hilang semangat Nurul Ain untuk pergi ke sekolah. Dia risaukan keadaan ayahnya.

“Ayah jom kita pergi rumah nenek.” Ajak Nurul Ain tiba-tiba.

Ajmal memandang anaknya tanpa berkelip. Dia bingkas bangun sambil tersengih-sengih.

  “Jom-jom. Aku memang dah lama tak pergi jumpa nenek tu. Mesti kat sana nenek tu masak lauk sedap-sedap. Kat rumah ni bukan ada makanan best pun. Kau tu bukan pandai masakpun. Huh!” Ajmal mendahului langkah anaknya. Dia kelihatan seronok untuk keluar dari rumah.

Nurul Ain menghela nafas lemah. Ayah tak pernah berubah. Kenapa ayah Ain tak macam ayah orang lain? Kadang-kadang Ain malu ada ayah macam ayah. Ayah Ain orang gila. Hiba hati Nurul Ain mengenangkan nasib ayah kandungnya itu.

Ketika Nurul Ain berusia 7 tahun, ibu kandungnya, Nurul Ain telah pergi menghadap Ilahi kerana kemalangan jalan raya. Ajmal sangat berasa bersalah dengan kematian isterinya itu kerana anggap dialah yang menjadi puncanya. Kecuaiannya memandu telah meragut nyawa isteri tercintanya.

Kasih sayang dan kemesraan dari ibu hanya seketika Cuma dirasai oleh Nurul Ain. Nurul Ain sungguh sedih dengan kehilangan ibu tercintanya itu. Namun, kesedihannya bertambah lagi apabila selepas setahun ibu meninggal, ayahnya mula bertindak dan berperangai seperti orang sakit mental. Dengan tekanan kerja dan perasaan kehilangan isterinya yang tercinta membuatkan Ajmal kembali menjadi orang gila.

Kini, Nurul Ain sudah berusia 12 tahun. Walaupun dia masih muda tapi dia tahu dia harus kuat demi ayahnya. Nurul Ain tidak mungkin meninggalkan ayahnya seorang diri. Kerana ibunya sentiasa berpesan kepadanya dulu agar menjaga ayah walau apapun yang terjadi.

“Assalamualaikum. Nek oh nek…” Laung Nurul Ain di muka pintu. Dia menjeling sekilas ke arah ayahnya yang duduk bersila di kaki tangga sambil mengira gula-gula di tangannya. Gula-gula yang sempat mereka beli ketika dalam perjalanan tadi.

“Waalaikumusalam… Eh, Ain. Ain dah sarapan ke belum? Mari sarapan dengan nenek. Ajak ayah sekali.” Ajak Mak Som yang berdiri di muka pintu. Dia turut memandang ke arah anak lelakinya yang sedang leka mengira gula-gula. Ajmal sudah kembali seperti dulu. Sudah ‘hilang’ dalam dunianya sendiri.

“Takpelah, nek. Ain dah lewat ni. Ain bawa ayah datang sini sebab Ain tak nak ayah bosan duduk rumah sorang-sorang. Erm… Ain pergi dulu ya,nek.” Nurul Ain menyalami tangan tua neneknya.

“Ayah, Ain pergi dulu.” Dia turut menyalami tangan ayahnya. Ajmal angguk kepala seraya tersengih-sengih.

“Mal, naik dulu, nak. Kita makan dulu.” Mak Som memimpin tangan Ajmal. Ajmal hanya mengikut.

“Makan dulu, Mal. Lepas makan nanti, Mal ikut mak pergi cari daun pucuk paku kat hujung kampung ya.” Tiada reaksi dari Ajmal. Dia sibuk menjamu selera.

Mak Som hanya memerhatikan saja gelagat anak sulungnya itu. Setiap kali mengenangkan nasib Ajmal, hati Mak Som rasa sangat pedih. Akibat terlalu tertekan dengan kehilangan isteri tercintanya, Ajmal kembali menjadi seperti dulu. Menjadi orang kurang siuman.

Sehinggakan mulut orang kampung mula sibuk mencaci dan menghina keluarga mereka. Kadang-kadang Ajmal bertindak di luar batasan. Tanpa dapat berfikir seperti orang normal, Ajmal sering kali menimbulkan kekacauan di kampung ini. Mengintip orang mandilah. Musnahkan kebun sayur oranglah. Itu tak termasuk Ajmal hilang selama beberapa hari kerana cuba pergi mencari arwah isterinya.

Sudah berbuih mulut Mak Som menyedarkan Ajmal akan hakikat itu. Hakikat bahawa isterinya sudah meninggal dunia. Tapi Ajmal terlalu sukar untuk menerima kebenaran itu. Sehinggakan lelaki itu kadang-kadang menangis, ketawa seorang diri. Entah apa yang ada dalam fikiran Ajmal.

Mak Som juga merayu kepada Ajmal untuk tinggal bersamanya. Kerana memikirkan soal Nurul Ain, cucunya. Kesian Nurul Ain. Muda-muda lagi sudah harus berlagak dan bertindak seperti orang dewasa. Makan pakai ayahnya semuanya dia yang uruskan.

Tapi Mak Som kecewa kerana Ajmal menolak sekeras-kerasnya ajakannya itu. Dia cakap, dia nak tinggal di rumah lamanya kerana ingin menunggu kepulangan Nurul Ain. Dia yakin isterinya itu akan kembali suatu hari nanti. Apa lagi Mak Som mampu lakukan selain daripada mendoakan kesembuhan anak lelakinya itu. Mungkinkah Ajmal akan sembuh lagi? Tanpa Nurul Ain di sisinya, hidup Ajmal bagaikan sudah tiada ertinya lagi.


***********

  “Ayah…” Nurul Ain menyapa. Dia berdiri tidak jauh dari ayahnya yang sedang duduk bercangkung di tepi petak sawah padi. Entah apa yang sedang dilakukan oleh ayahnya itu.

“Bila mak kau nak balik ni, Ain? Aku dah penat tunggu dia. Dia tak tahu ke aku duk tunggu dia ni. Dah lama aku tunggu dia.” Suara Ajmal seperti orang yang sedang menangis. Esak tangisnya juga kedengaran perlahan.

Nurul Ain segera mendekati ayahnya. Bahu ayahnya dipegang kemas. Memberi kekuatan kepada ayahnya.

Begitulah Ajmal. Kadang-kadang fikirannya waras. Kadang-kadang tidak. Kadang-kadang memorinya pada Nurul Ain, isterinya sangat jelas.Sehinggakan Nurul Ain mula merasa ayahnya sudah sembuh seperti sediakala. Tapi apabila ayahnya kembali bercakap merepek-repek, Nurul Ain sedar bahawa ayah masih lagi seorang orang kurang siuman.

“Ayah, mak dah tak ada. Mak dah pergi tinggalkan kita. Tapi ayah jangan risau. Ain akan tetap jaga ayah macam mak jaga ayah. Ain sayangkan ayah.” Nurul Ain turut menitiskan air mata.

Ajmal mengusap lembut kepala anaknya.

“Ain, jangan tinggalkan abang lagi ya. Abang sayangkan Ain. Abang tak boleh hidup tanpa Ain. Abang tahu abang bukan suami yang baik. Tapi Ain janganlah tinggalkan abang…” Ajmal merepek lagi. Dalam dunianya sekarang dia sedang bertentang mata dengan Nurul Ain, isterinya. Walhal di depannya sekarang adalah Nurul Ain,anaknya.

Nurul Ain tak mampu nak berkata apa. Dia hanya mampu diam sambil angguk kepala. Ya,ayah. Ain takkan tinggalkan ayah. Sampai bila-bila… Bisik hati kecil Nurul Ain hiba.

“Sayangku, Nurul Ain. Jom kita balik. Ayah laparlah.” Kali ini,Ajmal membahasakan dirinya ‘ayah’ pula. Nurul Ain menyeka air matanya. Dia tersenyum tabah.

“Jom ayah. Kita balik. Ain masakkan ayah lauk kegemaran ayah.” Nurul Ain memimpin tangan ayahnya. Mereka bergerak seiringan meninggalkan sawah bendang yang sedang mengguning itu.

Ajmal sempat berpaling ke belakang. Tangannya melambai-lambai dan dia tersenyum. Senyumannya dihadiahkan khas untuk isterinya yang sedang berdiri di hujung sawah padi itu. Nurul Ain ‘kelihatan’ sedang tersenyum ke arahnya. Ajmal sangat merindui senyuman Nurul Ain, isterinya itu.


Sering harungi sendiri kekurangan diri
Hanya Tuhan mengerti
Tak mengharap sang cinta mahupun dicinta
Umpama tiada rahsia


Kau sinar hati ini
Biarpun hanya sesaat di sisi
Pelita kala hati berduka
Kau hulurkan tanganmu kala ku hilang arah


Masihkh hadir jua menepis gelora
Tatkala aku merasa kecewa
Duniaku berubah kelam tak bermakna
Namun semangatmu ada dijiwa


Harapan kau beri cintamu bersemi
Air mataku tak bisa menitis
Kau nafas akhirku
Kau yang dihati

Usah menangis sendiri sayang ku kan pergi
Senyumlah usah meratapi
Kala ada masa kita ditakdir yang Esa
Cukuplah buatku disana


Aku bagai bintang menghiasi alam maya
Meninggalkan kilau tanpa sinar yang bercahya
Detik percintaan persis satu anugerah
Aku pinta hanya bercinta



 #Isteri adalah amanah dari Allah SWT. Sebaik saja sang suami melafazkan 'Aku terima nikahnya, segala tanggungjawab sudah tergalas di bahunya. Baik buruk isteri, baik buruk suami... terimalah pasangan masing-masing dengan seikhlas jiwa. Kerana jodoh mu itu adalah jodoh yang dihantar oleh Tuhan. Allah lebih tahu siapa yang terbaik untukmu.Keburukan pada pasangan adalah ujian. Kebaikan pada pasangan adalah satu rahmat.

#Dan ingatlah isu cerai bukan isu main-main!!! Jangan terlalu mudah melafazkan perkataan cerai itu wahai sang suami!


11 comments:

  1. KOMEN DARI PEMBACA KAT FANPAGE FARISHA IMANI

    Dila Afendi : Best =)

    ReplyDelete
  2. KOMEN DARI PEMBACA KAT FANPAGE FARISHA IMANI

    Syahafiza Hizal : Last tu wat den nangis... huhuhu...

    ReplyDelete
  3. Assalamu'alaikum Cik Penulis. Ada rncgn nk buat crpen smbugn x? kesinambungan crpen ni. Ajmal dah baik. saranan je... =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. waalaikumussalam cik dhia.. Jawapannya adalah tak ada.hehe.. biarlah cite ni habis camni jer.. TQ atas idea tu

      Delete
  4. KOMEN DARI PEMBACA DI PAGE FARISHA IMANI

    Mursyidah Amran : kak FI, asal sedih sangat? :,( tapi ade peningkatan jln cerita lain drpd yg lain ^_^

    ReplyDelete
  5. Itulah sebahagian hidup yg sebenar.....tahniah cik writer.....harap terus menulis crite yg best2

    ReplyDelete
  6. Menakutkan kahwin dengan orang gila tapi sweet lah pula .

    ReplyDelete
  7. Tak kematian pengakhirannya😢

    ReplyDelete