Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Aku Opie. Dengar nama macam lelaki tapi
sesungguhnya aku seorang wanita tulen. Sumpah aku tak tipu! Tengok IC-lah kalau
tak percaya. Hek! Tapi nama sebenar aku bukanlah Opie. Opie tu nama manja aje.
Hehehe. Nama sebenar aku adalah Nur Sofia binti Anuar.
Umur aku 25 tahun. Bulan tujuh ni dah
masuk 26. Kalau panjang umur, lagi 4 tahun InsyaAllah masuk ke angka 30. Hmm…
Semakin bertambah usia, itu bermakna semakin dekat ajal menjemput. Erk… Ya
Allah, banyak lagi ‘hutang dosa’ aku dengan Kau. Tak terhitung banyaknya.
Tapi aku bersyukur sangat, walaupun aku
‘macam ni’. (Macam ni macam mana? Nanti aku cerita).
Walaupun aku macam ni, tapi aku
sangat-sangat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana Dia mengurniakan hidayahNya
kepadaku. Alhamdulillah, walaupun baru dua, tiga tahun semenjak kebelakangan
ini aku baru bertudung litup dan cuba menutup aurat dengan betul, aku bersyukur
kerana Allah memilih aku untuk taat kepada perintahNya. Aku tak dapat bayangkan
kalau aku sekarang, saat ini, detik ini, sedang bergelumang dengan dosa dan
maksiat. Nauzubillah! Semoga aku sentiasa istiqamah dengan penghijrahanku.
Walaupun aku ni bertudung litup tapi
satu aje yang aku bengang dengan diri aku sendiri. Sikap brutal yang ada dalam
diri aku memang tidak dapat aku buang. Bukan tak nak buang tapi mungkin ia
makan masa. Sudahnya, sampai sekarang, kawan-kawan yang mengenali aku masih
terkejut beruk setiap kali melihat aku dalam keadaan bertudung dan menutup
aurat. Hello! Aku yang bertudung menutup aurat dengan betul ni korang terkejut.
Yang tak tutup aurat dan seksi-seksi korang buat bodoh aje eh! Manusia-manusia.
Dan aku pernah tergolong dalam golongan seksi-seksi itu dulu. Hmm…
Walaupun aku macam ni a.k.a brutal, tapi
jiwa aku ni ada jugak rasa nak mencintai dan dicintai. Jangan ingat aku ni
perempuan hati keras, tengok lelaki macam takde perasaan eh. No! Aku perempuan.
Aku ada naluri kewanitaan.
Aku membebel panjang dari tadi ni, satu
aje sebenarnya aku nak bagitahu. Aku… aku sebenarnya dah jatuh cinta dengan
seorang mamat ni. Hmm. Kacak tak ada, manis ada.
Muka dia yang ala-ala Johan Raja Lawak
benar-benar buat aku jatuh suka. Bukan aku suka sebab muka dia macam artis tapi
aku suka dia sebab… sebab…. Haisy! Aku tak retilah nak cakap macam mana.
Pepatah Inggeris ada menyatakan.
“When you
know why you like someone, its crush. When you have no reason or explanation,
it’s LOVE.
So, eh silap. Jadi, itu bermakna aku sudah
jatuh cinta pada mamat tu ek? Sebab aku memang tak tahu dan tak mampu nak
jelaskan kenapa aku suka dia.
Hati ini memang sedang mencintai dia.
Dalam diam aje. Yalahkan dia tu bos aku, dowh! Bos dengan staf mana boleh
bercinta. Itu bukan aku kata, tapi bos aku sendiri yang kata.
Ada tiga peraturan yang bos aku kemukakan
sebaik saja aku menjadi setiausahanya setahun yang lalu. Peraturan pertama
adalah aku dilarang untuk mencampuri urusan peribadinya. Walaupun aku tengok
dia tertekan atau marah-marah, jangan sesekali bertanya. Dia tak suka!
Peraturan kedua, jangan pernah ada
perasaan cinta atau sayang sesama kami. Kata bos, kalau nak sayang sebagai
kawan tak apa. Kalau sayang sebagai kekasih, no way woman! Dari situ, aku
sepatutnya tidak harus menyimpan perasaan sayang kepadanya dari dulu lagi.
Entah kenapalah aku boleh suka kat dia tu. Muka tak handsome, suka layan jiwa
dia yang jiwang tu. Eh aku lupa! Apabila tiada sebab dan penjelasan kenapa kita
jatuh hati kepada seseorang, itu maknanya CINTA. Hek!
Peraturan terakhir yang harus aku patuhi
adalah jangan pernah mempertikaikan kenapa dia suka baca novel! Erk, annoying
gila aku dengan peraturan tu. Sebab aku memang nak pertikaikan kenapa seorang
lelaki berjawatan tinggi dan boleh dikategorikan sebagai lelaki macho macam bos
aku tu boleh suka baca novel. Bukan novel inspirasi atau biografi orang-orang
penting. Tapi novel cinta tahap romantic dan drama tak hengggaaat!
Aku ni manalah suka baca novel. Bagi aku
baca novel hanyalah membuang masa dan tenaga. Dahlah novel sekarang
tebal-tebal. Lenguh tangan kut!
“Hah, mengelamun!” Sergahan kuat dari
Encik Bazli buat aku tersentak terus dari lamunan panjangku. Cepat-cepat aku
bangun dari kerusi dan memandang wajah Encik Bazli sambil tersenyum.
“Selamat pagi, bos! Mana ada saya
mengelamun. Saya cuma pelik kenapalah bos yang budiman ni datang lambat ke ofis
hari ni. Biasanya jam 9 pagi bos dah tercongok dalam ofis tu. Ni dah lebih 15
minit. Ada mesyuarat tingkap ke apa ni bos? Hehehe…” Aku tersengih-sengih.
Panjang lebar pulak aku membebel. Jadi lain macam muka Encik Bazli dibuatnya.
“Mesyuarat tingkap apanya. Ni hah saya
pergi ambil ‘sarapan’ saya ni kat rumah adik saya. Wah, kenyanglah saya hari
ni, Opie. Nyum-nyum!” Sambil menayangkan beg yang berat terisi
dengan sesuatu, Encik Bazli tersengih jahat. Muka dia saat tu sebijik macam
Johan!
Melihat ‘sarapan’ sebenar yang dibawa
oleh lelaki itu, buat aku mencebik muka. Cebikanku dibalas oleh cebikan dari
Encik Bazli. Bebelannya mula kedengaran.
“Hah, nak pertikaikan sesuatulah tu.
Tikai tak tikai, saya happy sangat hari ni sebab saya bakal melayan jiwa saya
hari ni. Mesyuarat hari ni mula awal sikit tau. Lagi cepat mula, lagi cepat
habis. Lagi cepatlah saya boleh layan novel-novel saya ni.” Encik Bazli
melenggang masuk ke dalam ofisnya.
Buat pengetahuan korang semua (yang
sedang membaca cerita ini), bos aku ni bukanlah tergolong dalam golongan
‘jantan patah’. Tapi memang perangai dan karakter dia memang sempoi dan ala-ala
sedikit lembut gitu. Bukan nyah. Cuma jiwa dia lembut dan permai. Hek!
Walaupun kadang-kadang aku terlalu
menyampah dengan sikap dia yang suka melayan jiwa dan raga dia sendiri, tapi
aku harus akui satu perkara. Encik Bazli memang seorang yang sangat bertanggungjawab.
Bukan saja bertanggungjawab kepada kerjanya, tapi kepada keluarga dan agamanya
juga.
Nampak aje bos aku tu sengal-sengal
manja, tapi dia bab-bab keluarga memang didahulukan. Dengan pekerja pun dia
membina hubungan yang baik. Bab agama Encik Bazli memang jaga. Sebab tu semua
staf perempuan kat sini kena menjaga aurat dan batas pergaulan dengan baik.
Setiap hujung bulan, pasti Encik Bazli akan mengadakan solat sunat hajat di
syarikat kami.
Aku pandang semua tu dalam diri dia.
Walaupun dia melarang aku untuk menyimpan perasaan sayang lebih dari seorang
kawan terhadapnya, aku gagal untuk melakukan hal itu. Rasa yang hadir ini
adalah kurniaan dari Ilahi. Selagi aku boleh simpan, akan aku simpan rasa ini
selagi belum tiba masa yang ditetapkan oleh Allah untuk aku berterus terang.
Moga-moga cintaku ini mendapat restu dariNya.
“Bos beli novel apa pulak kali ni?”
soalku tidak mahu menunjukkan aku terlalu meluat dengan hobi Encik Bos aku yang
sorang ni.
Encik Bazli menanggalkan kot yang
tersarung di badannya lalu menyangkutnya ke tempat penyangkut. Dia menyuruh aku
melihat sendiri isi dalam beg yang dibawanya tadi.
Aku hanya menurut. Mak aihh! Banyak gila
novel bos aku borong kali ni. Banyaklah komisen Balqis dapat kali ni. Balqis tu
adik Encik Bazli. Selalunya Encik Bazli memang minta Balqis yang belikan novel
dia. Katanya, dia segan nak pergi beli novel sendiri. Hah, tahupun segan. Hobi
mengumpul novel ni memang jarang sekali lelaki yang buat. Tak pasal-pasal dah
malu bos aku ni. Padan muka. Silap hari bulan, jangan dia minta aku belikan
novel dia sudah. Setakat ni memang tak pernah lagi dia minta aku belikan dia
‘sarapan’, ‘lunch’dan ‘dinner’ dia tu.
“Semua novel ni yang terbaru tau.
Keluaran bulan Mei. Kopak jugaklah duit saya tapi nak buat macam kan. Dah…”
“Dah suka…” Berani sungguh aku mencelah.
Namun, Encik Bazli hanya tersenyum dan buat muka tak berminat. Hehe. Nasib baik
bos aku tak cepat feeling-feeling tap. Feeling-feeling sentap!
“Calon Isteri Jutawan? Suamiku Pemalu?
My Preciuous Iris? Rindu Kamu Mr. Darcy? Apa ke hal tajuk novel-novel ni macam
pelik-pelik aje bos oi. Buatlah tajuk Kasih Kekasih ke. Mencintaimu Dalam Diam
ke. Kan?” Aku sengih panjang. Tak semena kata-kataku itu dibalas dengan kata-kata
penuh semangat dari Encik Bazli. Aik, sentap ke?
“Awak nikan memang tak reti nak menilai
sebuah karya. Bak kata orang, dari mata turun ke hati. Tapi kalau novel, dari
tajuk turun ke hati tau! Tajuk-tajuk yang awak bagitau tadi tu semua dah tak boleh
guna di zaman IT sekarang. Pembaca sekarang lebih tertarik dengan tajuk novel
yang catchy dan misteri.Contohnya, novel Suamiku Tak Romantik Tapi Autistik. Hah,
mesti kalau awak dengar jadi nak tahu kenapa suami dia tak romantic tapi
autistic. Apa benda autistic tu. Kannnn?”
Perghh. Panjang gila Encik Bazli
membebel. Buat aku berkelip-kelip memandangnya tanpa kata. Aku hanya mampu
angguk kepala. Dah macam pengulas novel dah gaya Encik Bazli ni. Ada jugak eh
tajuk novel ngok ngek macam tu. Suamiku Tak Romantik Tapi Autistik? Erk…
sengal!
“Yalah-yalah. Bab novel memang saya tak
boleh lawan bos. Dah, saya nak siap-siap bilik meeting dulu. Dah boleh panggil
semua staf kan bos? Ke bos nak ber’sarapan’ dulu?” Tangan kuletakkan di dada
dan mata kujulingkan ke atas.
Tak sangka, aksi sengalku berjaya
membuat Encik Bazli tertawa. Kami sama-sama ketawa besar.
“Awak sekarang ni Opie dah pandai nak
mempertikaikan hobi saya nikan. Jaga-jaga, ada yang merhati!” Hahaha. Aku
tergelak kuat tak sempat nak cover. Suara bos sebijik macam suara Kak Rock
a.k.a Kiah Propa gelak. Seram!
Akhirnya aku meminta diri dan bergerak
ke bilik mesyuarat. Gurau-gurau jugak. Kerja kena buat yang terbaik. Nanti
makan gaji buta, tak ke naya. Dah jadi gaji tak halal.
Bos, bos. Kau selalu menceriakan
hari-hariku. Hati kecilku mula berbisik.
******
“Okey, sekian dulu mesyuarat kita pagi
ni.Jangan lupa, hujung bulan dah dekat. Ustaz Syah, jalankan program kali ni
dengan lebih mantap. Saya percayakan awak. Kalau nak minta apa-apa, jangan segan-segan
bagitau saya. Okey?” Syahrul terangguk sambil tersenyum. Syahrul bukanlah
seorang ustaz pun. Tapi dalam Bazli Interprise, Syahrul dipanggil Ustaz kerana
sikapnya yang paling alim di kalangan semua staf di sini. Kalau ada program
agama setiap hujung bulan, Syahrullah yang tolong uruskan semua.
Kadang-kadang,nak kutip pahala lebih aku pun join sekali.
Akhirnya meeting berakhir dengan
jayanya. Bulan ni kompeni ni agak suram dengan tender-tender. Kata Encik Bazli,
tak payah pecah kepala fikir semua tu. Kalau ada rezeki, Allah mesti akan bagi.
Yang penting kita kena selalu berusaha, tidak guna taktik kotor dan jangan
sesekali berhenti berdoa. Doa tu penting.
“Bos, tengah hari ni bos nak lunch
dengan saya tak?” soalku dengan selamba. Aku tak ada niat nak bersikap manja
dengan Encik Bazli. Tapi aku memang nak belanja dia makan hari ni. Sebab
semalamkan dia tolong aku repair motor skuter pink aku tu.
Encik Bazli bangun dari kerusi. Segala
fail dicapainya lalu bersedia untuk keluar dari bilik mesyuarat. Pelawaanku
dijawabnya dengan ilai tawa ala-ala Johan.
“Awak ni dah macam nak ajak saya date
aje. Gila ke apa tak nak makan free. Hehehehe… Secret Recipe tau.” Ting! Encik
Bazli menghadiahkan kenyitan matanya untukku. Hati tak semena berdegup menerima
kenyitan itu. Ketaq lutut ni oi.
Hmm, sweet jugak Encik Bazli ni. Main
kenyit-kenyit mata bagai. Mesti dia baca novel pasal hero yang kenyit mata kat
heroin semalam. Hek! Saja nak tunjuk belang dia.
By the way, aku suka kenyitan matamu.
Saranghae, oppa! Tak sabar nak lunch dengan bos.
******
Tengah hari itu, seperti yang sudah aku
plan, aku mengajak Incik Bos aku ke
restoran biarlah rahsia. Yang lucunya,mati-mati Encik Bazli ingat aku
nak ajak dia makan kat Secret Resipe. Aku kuli oi. Bukan bini bos. Ngeh!
“’Jauhnya’ awak bawa saya makan. Secret
sangat tempat ni. Kan?!” Aku gelak besar. Melihat mimic muka tak puas hati Encik
Bazli buat perutku bagai digeletek. Dengan bahasa badannya yang lucu. Memang
kelakar habis.
“Alah bos. Saya ni kulikutif aje.Bukan eksekutif.
Lagipun bulan ni gaji belum masuk bos. Rileks okey. InsyaAllah, kenyang juga
perut bos nanti. Kecanne?” Aku kenyit mata kat Encik Bazli. Tak semena habis
tersembur jus tembikai yang baru disedut oleh lelaki itu ke mukaku. Kurang asam
punya bos!
“Sorry-sorry. Yang awak kenyit mata kat
saya apasal? Eee, pleaselah. Nanti orang tengok dorang ingat awak nak ngorat
saya tau.” Amboi-amboi-amboi. Aku dituduhnya nak mengurat dia.
Tisu aku capai beberapa helai. Mukaku
yang terpalit dengan jus tembikai aku lap dengan sentap.
“Bila masa pulak saya nak mengorat bos.
Bos ingat bos handsome sangat ke? Ugh! Tak pasal-pasal kena sembur dengan jus
tembikai. Sengallah bos ni.” Aku membebel panjang. Bebelanku itu hanya membuat
Encik Bazli makin kuat gelakkan aku. Beberapa helai tisu dihulurkan lagi
kepadaku. Aku menyambutnya dengan perasaan bengang. Dahlah kena sembur, kena
tuduh lagi nak mengorat dia. Dia ingat dia tu Aaron Aziz! Segera aku sedut jus
oren bagi meredakan kemarahanku.
“Yalah saya minta maaf. Saya gurau aje.
Saya terkejut awak kenyit mata kat saya. Awak nampak comel pulak bila buat
macam tu.” Blurrr… Tersembur habis jus oren dalam mulutku ke muka Encik Bazli.
Terkejut beruk lelaki itu dengan situasi mendadak itu.
“Ini kes balas dendam ke apa?” ujar Encik
Bazli sambil lap muka dengan tapak tangannya. Aku tersengih dalam penuh rasa
bersalah. Tisu segera aku hulurkan kepadanya. Ya Allah, apasal aku boleh
tersembur jugak ni. Terkejut kot bila dengan Encik Bazli kata aku comel.
Muka aku mula diserbu rasa merah.
Malunya dengan Encik Bazli sekarang. Ya ke aku comel bila kenyit mata macam tu
tadi? Alahai…
“Sa…saya minta maaf bos. Saya tak
sengaja. Saya pun terkejut bos cakap saya comel. Yalahkan. Saya ni manalah
comel. Tinggi pun tak cukup.” Omelanku tidak disambut oleh Encik Bazli. Dia
masih fokus mengelap mukanya dengan tisu.
“Dahlah lupakan pasal pujian tu. Awak
comel bila awak kenyit mata secara tak sengaja macam tu aje. Time-time biasa
awak tak comel pun.” Entah bergurau atau tidak, lancar sekali Encik Bazli
mengutukku. Buat hati kecilku dilanda rasa sedih dan pilu.
Encik Bazli memang tak pandang aku
sebagai seorang wanita. Dia hanya pandang aku sebagai seorang setiausahanya
yang berperangai ala-ala brutal sikit ni. Nampaknya, aku harus berhenti menyimpul
harapan untuk lelaki itu turut ada perasaan sayang terhadap aku. Encik Bazli
tak cintakan aku. Dia tak mungkin balas cinta aku! Berhenti berharap Opie.Kau
takkan pernah dapat cinta Encik Bazli!
*******
Beberapa hari berlalu, aku menjalani
hari-hariku tanpa menghiraukan Incik Bos. Aku merajuk betul dengan dia
gara-gara kata-kata dia hari tu. Kata-kata dia tu seakan-akan memberi aku hint
bahawa aku memang takkan berjaya buat hatinya terpikat. Aku sedar aku siapa.
“Assalamualaikum. Merajuk nampak dua tiga
hari ni…” Suara Encik Bazli menyapa ke telingaku secara tiba-tiba. Aku terus
pura-pura sibuk menaip. Aku sibukkan diri.
“Okey. Saya tak tahu kenapa awak tak nak
cakap dengan saya dua tiga hari ni. Nampak dari gaya macam merajuk aje. Apa
yang dah saya buat?” soal Encik Bazli dengan suara tenang. Dia duduk di
hadapanku sambil buat muka bajet comel dia. Naik menyampah aku jadinya.
“Maaf masalah peribadi saya tak share
dengan bos saya.” Perghh! Sekali aku keluar ayat, pedas gila. Rasakan Encik
Bazli! Aku dah merajuk benar ni.
Dari kerlingan mataku dapat aku lihat
wajah Encik Bazli terus bertukar. Makin serius jadinya. Dia diam lama lalu
bersuara.
“Kalau dalam novel yang saya baca.
Heroin selalu aje buat perangai dengan hero bila heroin tu suka pada hero. Suka
dalam diam tapi tak nak mengaku. Do you… like me?” Aku pandang laju muka Encik
Bazli. Amboi sempoi gila dia tanya soalan macam tu. Dan dia ingat dia hero ke
dalam cerita ni? Excuse me!
Aku diam lama tidak mampu menjawab soalan
itu. Akhirnya aku bangun dari kerusi dan menonong pergi menjauh darinya. Hingga
ke pantry aku bawa diri. Malunya! Kenapa Encik Bazli tanya soalan macam tu. Dia
perasan ke aku ni suka kat dia? Ayoyo.
“Ehem-ehem. Awak kalau nak lari pun
larilah jauh sikit. Ni ofis saya kut. Erm….” Encik Bazli menghampiriku. Graf
jantungku naik mendadak.
“Kenapa tak jawab soalan saya tadi?”
tanya lelaki itu perlahan dan gemersik. Hek! Meremang bulu roma aku.
Aku tetap buat muka keras dan tak jawab
soalan dia. Padan dengan muka dia.
“Okay-okay fine! Awak dah tak nak cakap
dengan saya ya. Baik. Saya tak kisah. Lebih baik saya layan novel dari layan
awak. Saya memang tak reti memujuk. Jangan harap saya pujuk awak tau, Cik
Opie…” Aku melopong. Langkah Encik Bazli makin jauh pergi dari aku. Aku pandang
dia dengan perasaan sakit.
“ Okay fine! Layanlah novel bos tu
sampai lebam! Saya takkan hiraukan bos lagi!” Tanpa dapat mengawal amarahku,
terjerit kuat aku memarahi Encik Bazli. Buat lelaki berpaling dan buat muka
terkejut dia.
Dia kembali melangkah menghampiri sambil
bercekak pinggang.
“Amboi marah bos nampak. Awak ni dah
parah Opie. Saya rasa… saya tahu kenapa awak jadi macam ni. Awak… awak suka
saya kan?”
Hisy! Tak habis-habis dengan soalan tu.
Okey baik. Aku jawab soalan tu sekarang jugak!
“Ya! Saya memang suka bos. Saya tahu
saya bukan siapa-siapa. Saya tak comel. Saya tak berpendidikan tinggi. Saya
kuli aje. Saya tahu bos dah larang saya dari ada rasa cinta untuk bos. Tapi
hati saya ni bukan milik saya. Tapi milik Allah. Dia yang bagi saya rasa ni.
Saya tak boleh halang. Kalau bos memang tak suka saya, saya akan cuba terima.
Saya yakin Allah dah tentukan jodoh terbaik untuk saya!” Tidak teragak-agak aku
segera pergi dari terus berdepan dengannya.
Hati aku kecewa. Hati aku sakit. Encik
Bazli memang hati kering! Kepergianku diiringi oleh air mata yang makin lebat
menitis ke pipi. Aku akan lupakan perasaan sayang aku pada Encik Bazli. Aku
takkan berharap lagi dia sukakan aku.
Apa-apa pun yang terjadi, aku dah pun
mengaku bahawa aku suka dia! Bila fikir-fikir balik, mana nak letak muka oi!
Huhuhu.
******
“Opie oi tak pergi kerja ke hari ni?”
soal ibu sebaik saja melangkah ke bilik tidurku. Aku yang sedang kusyuk bermuka
buku hanya gelengkan kepala.
“Kenapa pulak? Kena pecat ke apa?” soal
ibu dengan nada ala-ala menyindir. Hek! Aku tahulah aku ni senang kena pecat.
Kerja dengan Encik Bazlilah paling lama aku bertahan. Hmm…teringat nama tu terus
buat aku hilang mood.
Ibu duduk di birai katil lalu dengan
selamba ditutupnya lappy aku. Aku pandang ibu sambil buat muka kesian. Ibu
angkat kening dan menyemburkan bebelannya.
“Hah, apa kes pulak kali ni. Encik Bazli
tak berpuas hati dengan kerja kamu ke? Lepas tu dia pecat kamu?” Aku gelengkan
kepala.
“Dah tu kenapa? Sejak bila ibu ada anak
bisu ni?” Erk… aku terus cebik muka.
“Alah Opie malaslah bu nak pergi kerja.
Lagipun dah lama kut Opie tak ponteng kerja. Sekali sekala ponteng okey jugak
kan?Hehehe….” Aku buat muka poyo. Ibu terus tonyoh kepala aku perlahan. Erk…
ibu ni!
“Ada ke sengaja ponteng. Kalau sekolah
bolehlah main ponteng-ponteng. Ini kerja, tanggungjawab kamu. Dah-dah. Kamu
jangan nak mengada. Pergi turun sekarang. Encik Bazli ada tunggu kat bawah. Dia
nak jumpa kamu.”
Gulpp! Tertelan perit air liurku. Apa?
Incik Bos datang rumah aku? Alamak!
“Eh ibu ni biar betul. Jangan buat
gossip pulak. Buat apalah dia nak datang rumah kita.” Aku tersengih namun
cepat-cepat aku bangun dari katil. Tak sanggup nak berdepan dengan Encik Bazli
nanti kalau betul dia ada kat bawah. Malu kut! Gara-gara aku luahkan perasaan
cinta aku pada dia hari tu,hubungan kami dah mula renggang. Dah hampir tiga
hari aku ponteng kerja. Selamba badak aje aku ponteng. Apa ada hal. Kalau aku
kena pecat pun aku sanggup. Muka aku tebal gila sekarang. Bila fikir balik,
menyesal pulak aku mengaku aku suka dia. Dahlah dalam nada marah-marah.
“Cepatlah bersiap Opie oi! Karang
menunggu pulak Encik Bazli tu.” Suara ibu membangunkan aku dari lamunan.Alah!
Jadi betul ke bos ada kat bawah.
Lambat-lambat aku ke ampaian lalu
mencapai tudung auwning express. Kusarung kemas ke kepala. Ibu yang sudah
bersedia menunggu di luar bilik segera aku buntuti. Tak sanggup nak berdepan
dengan Encik Bazli!!!
Dari tingkat dua, sudah aku dengar ilai
tawa Encik Bazli yang ala-ala sengal tu. Mesti dia tengah buat lawak dengan
ayah.
Sebaik saja kakiku melangkah ke kaki
tangga, Encik Bazli yang nampak aku berdiri di situ segera bangun dari sofa.
Dia tersenyum ke arahku. Aku buat muka keras.
“Hah, mari sini Opie. Bos kamu ni nak
jumpa. Katanya nak ajak pergi rumah anak yatim. Ayah dah izinkan dah. Tapi
ingat ya Li. Jangan balik lewat malam sangat.” Ayah tepuk bahu Encik Bazli
beberapa kali. Encik Bazli angguk-anggukkan kepala. Dia tersengih.
Aku blur. Bos nak aku ikut dia pergi
rumah anak yatim? Nak buat apa? Hek! Aku ingatkan dia datang sini nak pujuk
aku. Erk… Aku memang SS!!!
“Jomlah Opie. Semua orang dah ada kat
sana. Jangan lupa pulak yang awak masih staf saya. Awak kena jalankan
tanggungjawab awak kat sana. Majlis tu takkan bermula tanpa awak.” Aku garu
kepala.Majlis apa?
Encik Bazli melangkah ke arahku. Ayah
dan ibu aku pandang lama. Mereka tersenyum mengizinkan aku mengikut majikanku
itu.
“Kejap-kejap. Saya kena pergi rumah anak
yatim untuk apa? Majlis apa? Saya tak tahu apa-apa pun, bos.” Aku akhirnya
bersuara.
Encik Bazli hanya senyum. “Awak dah lupa eh. Sekarang ni dah hujung
bulan. Kali ni Syahrul buat majlis di rumah anak yatim Nur Kasih. Ada makan-makan,
ada majlis tahlil dan ada acara sikit. Hisy awak ni. Baru tiga hari ponteng
kerja dah lupa eh.” Perghh! Sempat lagi Encik Bazli mengata aku.
Aku terus tersedar. Kepala ku angguk
perlahan-lahan. Ya tak ya jugakkan. Hari ni dah 31 haribulan. Dah hujung bulan.
Majlis kat rumah anak yatim tu memang akan berjalan hari ni. Hesy! Kenapalah
aku boleh terlupa.
“Okey dah lah tu bermonolog. Jom kita
gerak sekarang. Pak cik, mak cik kami gerak dulu.” Encik Bazli menyalami tangan
ayah. Pada ibu dia tersenyum. Aku masih kaku di situ. Takkan aku nak pergi
majlis keraian tu dengan pakai baju t-shirt ni. Hek! Agak-agaklah.
“Kejap. Bos bagi saya 15 minit. Saya nak
bersiap-siap dulu. Kejap eh. Kejap aje.” Berdesup aku berlari naik ke tingkat
dua. Cepat-cepat aku bersiap apa yang patut. Tak sangka Encik Bazli sampai
datang ke rumah menjemput aku. Kalaulah aku ni someone special dalam hidup dia.
Aku rasa akulah wanita yang paling bahagia dalam dunia ni.
********
Dalam kereta, suasana mula lain macam.
Rasa malu menyerbu ke muka. Alamak. Aku dah tak boleh nyawa pun ada ni.
“Dah hilang ke rasa merajuk tu?” soal
Encik Bazli tiba-tiba. Aku palingkan muka kepadanya. Tiada jawapan yang aku
berikan.
“Saya tak sangka awak suka saya.” Ucap
lelaki itu lagi. Sumpah aku tak suka gila dengan keadaan ni. Buat aku rasa nak
melompat turun dari kereta aje.
“Saya bukan… saya minta maaf pada awak
Opie. Saya seharusnya berterus terang dengan awak.” Hati aku makin berdegup
laju. Berterus terang apa?!
Tak semena-mena Encik Bazli menghentikan
kereta di birai jalan. Aku pegang kemas tali pinggang keledar. Hisy buat apa
dia berhentikan kereta ni.
Encik Bazli pandang muka aku. Dengan
mimic muka dia yang serius, buat aku kecut perut. Takkan bos nak buat benda tak
baik kat aku kot!
“Saya minta maaf pada awak Opie. Saya
bukan tak ada perasaan untuk mencintai dan dicintai. Tapi hati saya ni saya dah
serahkan pada orang lain.” Bagaikan ada batu yang menghempap kepalaku, duniaku
terasa gelap dengan tiba-tiba. Terus aku tatap muka Encik Bazli terkejut.
Maksudnya, dia dah ada buah hati?
Encik Bazli tarik nafas panjang sebelum
berkata-kata. Hati aku mula hancur.
“Saya suka dia sejak sekolah lagi.
Sekarang dia tengah study di US. Hujung tahun ni dia akan tamat belajar dan
kami akan melangsungkan perkahwinan. I’m so sorry sebab tak bagitahu awak pasal
semua ni. Memang silap saya. Saya terlalu tegas dengan peraturan yang saya buat
tu. Sudahnya awak menyimpan harapan pada saya. Saya minta maaf Opie.” Air mata
menitis satu persatu ke pipiku.
Sampainya hati Encik Bazli rahsiakan
perkara penting ni dari aku! Dia buat aku macam orang bodoh sukakan dia! Arghh!
Aku bencikan kau Bazli!!!
Tanpa kata, aku segera keluar dari
kereta. Saat itu Encik Bazli turut sama keluar. Menjerit-jerit dia memanggil
namaku. Aku buat tak tahu. Sedang elok ketika itu ada sebuah teksi yang melalui
jalan itu. Segera aku tahan dan naik teksi tu.
Dalam teksi, aku hanya mampu menangis.
Jadi ini pengakhiran cinta aku pada Encik Bazli?
“Cik okey ke? Lelaki tu ganggu cik ke
tadi?” soal pemandu teksi tu tiba-tiba. Cepat-cepat aku gelengkan kepala. Air
mata aku seka dengan tapak tangan. Dalam tangisan aku bersuara.
“Saya okey. Tolong hantar saya ke rumah
anak yatim Nur Kasih. Terima kasih.” Dari cermin sisi aku melihat lelaki itu
tersenyum. Dia diam dan teruskan pemanduan. Aku kembali melayan rasa. Tak
mungkin akan aku lupakan sampai bila-bila perbuatan Encik Bazli ni. Dia
betul-betul buat aku macam orang bodoh!
*****
Sesampai saja di rumah anak Nur Kasih,
aku segera mencari staf-staf yang lain. Ada sesuatu yang ingin aku sampaikan.
Aku datang sini tunjuk muka sekejap aje. Lepas tu aku akan balik. Lepas tu akan
aku resign dari syarikat Encik Bazli! Aku kecewa. Kecewa sangat-sangat.
“Eh, Sofia. Akhirnya sampai jugak awak.
Ke mana awak menghilang tiga hari ni? Hmm? Awak okey ke ni?” Aku bertembung
dengan Syahrul di depan pintu pagar. Dia baru saja memarkirkan motosikalnya di
bawah garaj.
Aku pandang Syahrul lemah. Air mata
kembali merembes keluar.
“Laa kenapa menangis ni?” soal Syahrul
lagi. Akhirnya dia mengajak aku duduk di bawah wakaf yang terletak di sebelah
pintu masuk rumah anak yatim Nur Kasih ini.
Tanpa dapat membendung rasa sedihku,
akhirnya aku menangis di hadapan Syahrul. Lelaki itu kelihatannya agak kaget.
Digaru kepalanya berulangkali.
“Awak okey ke? Kenapa menangis ni?”
Syahrul bertanya penuh prihatin.
Bila keadaan agak mereda, aku angkat
muka pandang muka dia.
“Saya tak okey. Saya baru aje putus
cinta.” Huhuhu… Sisa-sisa sendu masih ada. Tak sangka aku meluahkan masalahku
pada ‘pak ustaz’.
“Putus cinta? Dengan encik bos? Hmm….
Alhamdulillah. ” Terpana aku mendengar ayat terakhir Syahrul itu.
Alhamdulillah? Aku pandang muka dia tanpa berkelip. Macam mana dia boleh tahu
aku suka Encik Bazli? Dan kenapa dia cakap alhamdulillah? Macam dia suka aje
aku heart break!
Syahrul tersenyum saja. Dia akhirnya
duduk di hujung wakaf. Kopiah di kepalanya ditanggalkan lalu disarungkan
kembali. Aku perhatikan gerak geri dia dengan kusyuk.
“Saya tak ada niat nak masuk campur dalam
urusan peribadi awak. Cuma, saya tak boleh jadi macam awak. Saya rasa saya tak
kuat nak simpan perasaan macam awak. Saya sebenarnya bersimpati dengan awak.
Dalam masa yang sama, saya rasa sedih. Tapi kesedihan saya tu saya luahkan
hanya kepada Dia.” Okey. Sepatah harampun aku tak faham maksud Syahrul. Apa
maksud mamat ni sebenarnya ni.
“Saya dapat rasa awak sukakan Encik
Bazli. Pandangan mata awak pada dia lain macam. Layanan awak, tingkah laku
awak, intonasi suara awak. Semuanya lain bila dengan bos. Jadi akhirnya saya
berani buat satu kesimpulan. Awak memang sukakan Encik Bazli. Dan itu
menyebabkan saya matikan niat saya untuk terus sayangkan awak. Ya, insan kerdil
ni dah lama sukakan awak, Sofia.”
Aku terkesima lagi. Adeh. Terkejutnya
aku dengar pengakuan eksklusif ustaz Syah ni. Dia sukakan aku? Sejak bila?
Kenapa? Ya Allah…
Syahrul bangun lalu berdiri
membelakangkan aku. Aku turut berdiri sama. Aku masih memerlukan penjelasan
darinya! Macam mana dia boleh sukakan aku pulak?Hello! Bukan cerita ni Encik
Bazli ke yang jadi hero? = =’ Apasal Ustaz Syah boleh masuk book ni.
“When you know why you like someone, its
crush. When you have no reason or explanation, it’s LOVE. Demi Dia yang menciptakan perasaan sayang dalam setiap
hati manusia. Saya mengaku, saya sukakan awak Nur Sofia. Pandanglah lelaki ni.
Lelaki yang serba kekurangan ni. Saya ikhlas nak memperisterikan awak.” Syahrul
berpaling lalu menatap wajahku.
Saat
itu aku hanya mampu melopong. Sungguh aku terpegun dengan keberanian lelaki ini
berterus terang. Dia cintakan aku kerana Allah? Ikhlas ingin memperisterikan
aku? Dia juga guna ayat aku!
“Fikirlah
baik-baik lamaran saya ni. Saya sanggup tunggu selagi Allah menghadirkan rasa
cinta ini dalam hati saya. Semoga kita bertemu dalam restu dan redha Dia,
Sofia.”
Syahrul
berlalu pergi. Sofia. Hanya Syahrul yang memanggil aku dengan panggilan itu. Ya
Allah, apa harus aku buat sekarang?
*********
Beberapa hari berlalu. Selama itu
jugalah aku berfikir. Lamaran dari ‘Ustaz Syah’ buat aku berfikir panjang. Tak
lalu makan aku dibuatnya. Kerja aku lagilah aku tak hiraukan. Parah-parah.
Penangan Ustaz Syah ke apa ni.
Sampai ke saat ini, kata-katanya masih
terngiang-ngiang di cuping telingaku. Gemersik suaranya melamarku buat aku rasa
tenang dan damai. Perasaan marah aku pada Encik Bazli bagai hilang buat
seketika.
Encik Bazli. Ugh! Dia ada datang rumah
aku semalam. Pertama kali dia memujuk.Bukan memujuk tapi lebih kepada minta
maaf. Sudahnya, aku maafkan dia jugak. Yalah, aku bukanlah seorang perempuan
yang tak reti nak terima ketentuan takdir. Allah dah tetapkan aku dan Encik
Bazli takde jodoh. Nak buat macam mana lagi. Sebagai seseorang yang pernah
menyayanginya, aku harus mendoakan kebahagiaannya bersama bakal isterinya
nanti.
Bos kaki novelku akhirnya sudah menemui
heroinnya. Aku aje yang belum. Patutkah aku menerima Syahrul dalam hidup aku
semata-mata kecewa dengan Encik Bazli? Tak ke itu bermaksud aku cuba
mempermainkan hati Syahrul yang ikhlas dengan aku.
“Opie…” Sapaan ayah membangunkan aku
dari lamunan. Mata terus aku fokuskan pada skrin tv yang sedang memaparkan
drama Melayu slot Lestary di TV3.
“Ayah nak minum?” soalku seraya
tersenyum.
Ayah gelengkan kepala. Tengok dari muka
ayah macam ayah tengah fikirkan sesuatu aje.
“Semalam, time Opie keluar makan dengan
Encik Bazli, ada orang yang datang merisik Opie.” Gulpp. Risik apa pulak ni.
Aku pandang wajah ayah tidak berkelip.
Apasal benda ni baru sampai ke telinga aku? Ibu tak cakap apa-apa pun!
“Ayah suka dengan budak tu. Ayah yakin
dia mampu jadi seorang suami yang baik dan memimpin Opie menjadi seorang isteri
yang baik.” Aku terpana lagi. Kenapa ayah buat keputusan untuk aku ni.
“Apa ayah merepek ni. Siapa pulak yang
datang merisik orang. Hisy, orang tak naklah. Orang belum bersedia lagi nak
kahwin, yah.” Aku segera tutup tv. Tak seronok dah nak tengok tv dalam keadaan
macam ni.Terkejut gila aku dengan berita ayah ni. Tiba-tiba aje ada merisik
aku. Apa kes.
Tanpa banyak kata, ayah mengeluarkan
sehelai kertas dari poket baju Melayu yang dipakainya. Dihulurkan kertas itu
kepadaku.
“Ini nombor telefon lelaki tu. Opie
cakaplah dengan dia sendiri. Kenal dulu dengan dia. Kalau Opie setuju, ayah dan
ibu lagi setuju Opie bersatu dengan lelaki tu.” Aku tercengang. Kertas yang
tertera nombor telefon mamat misteri tu aku tatap lama. Kejap-kejap. Kenapa aku
macam pernah tengok aje nombor telefon ni? Ini bukan…
Aku pandang ayah dengan terkejut. Tanpa
kata, berdesup aku berlari naik ke bilik. Telefon bimbit aku cari merata
tempat. Nombor lelaki misteri itu segera aku dail.
Dan akhirnya, nombor itu memang sudah
sedia ada dalam senarai kenalanku. Ustaz Syah.
“Ustaz Syah?!!” Aku menjerit kuat.
Segera aku mendail nombor Syahrul. Jadi Syahrul yang melamar aku semalam?
Berani betul dia. Dia ingat aku nak….
“Hello. Assalamualaikum…” Syahrul
memberi salam kepadaku. Laju saja aku menjawab salamnya dan mula memuntahkan
segala isi hatiku.
“Waalaikumussalam, Ustaz Syah. Awak ni
dah kenapa? Kenapa lamar saya semalam? Awak cakap nak bagi saya masa. Yang awak
datang jumpa mak ayah saya kenapa?” Agak bengang aku saat itu.
Dapat aku dengar Syahrul menghela nafas
panjang sebelum bersuara.
“Kenapa nak marah-marah? Saya ada hak
untuk melamar wanita yang saya suka. Saya
jumpa dengan ibu bapa awak sebab saya serius nak awak jadi isteri saya.
Tapi kalau awak tolak, insyaAllah saya akan cuba redha dengan takdir saya.”
Jawapan Syahrul buat aku terdiam.Suaranya yang seakan-akan memujukku buat aku
rasa lain macam. Tenang sungguh lelaki ini. Nak kahwin dengan aku yang kepoh
ni?
“Saya perlukan masa. Awak faham tak?
Sekarang ayah saya dah terima awak. Dia minta saya terima awak jugak. Apa yang
dah awak cakap kat ayah dan ibu saya? Awak cakap saya pun sukakan awak ke apa?”
Agak keras nada suaraku.
Lama aku menanti. Syahrul hanya diamkan
diri. Lelaki itu tidak bersuara walau sepatah. Alamak. Adakah Ustaz Syah terasa
hati aku marahkan dia. Adoi.
“Hello. Hello. Awak masih ada kat situ
ke?” tanyaku agak malu-malu.
Diam lagi. Dan akhirnya terdengar
Syahrul menghela nafas. Fuhh. Lega aku. Ingatkan dia dah merajuk tadi.
“Saya tak sangka awak tuduh saya macam
tu. Awak tanya sendiri apa yang saya cakapkan pada kedua orang tua awak. Take
your time. Selagi Allah mengizinkan, saya akan tunggu awak. Assalamualaikum.”
Tut tut tut. Panggilan terputus.
Aku diam di situ. Syahrul merajuk ke apa
dengan aku? Aduhai. Bibir ku tampar-tampar perlahan. Kerana mulut badan binasa.
Inilah keadaan aku sekarang. Jadi Syahrul tak cakap semua tu pada ayah dan ibu?
Dah tu dia cakap apa?
*********
“Maafkan saya, awak.” Ucapku dengan nada
lembut. Wajah Syahrul tidak berani aku tatap. Serius pulak mamat tu.
“Saya dah lama maafkan awak.” Balas
Syahrul tenang. Aku angkat muka. Benarkah dia sudah maafkan aku?
Semalam aku slow talk dengan kedua orang
tuaku. Kata ayah, Syahrul memang ada mengaku yang dia sudah lama sukakan aku.
Tapi sebab dia tahu aku sukakan Encik Bazli, dia pendamkan dulu perasaanya.
Bila dia tahu aku dah tak ada apa-apa dengan bos, dia beranikan dia berterus
terang tentang perasannya. Itu memang perkara benar.
Dan yang lebih buat aku rasa bersalah.
Memang aku dah tuduh Syahrul. Syahrul tak pernah cakap yang macam aku cakap tu.
Kata ayah, sikit pun Syahrul tak beritahu ayah yang aku suka dia atau tidak.
Yang lelaki itu luahkan hanya perasaannya dan keinginannya untuk
memperisterikan aku.
Jadi, hari ini aku ajak Syahrul keluar.
Tujuanku hanya satu. Aku nak minta maaf dengan dia.
“Saya jugak dah fikirkan tentang lamaran
awak.” Aku berdepan dengan Syahrul. Wajah lelaki itu mula berubah. Mungkinkah
dia tak sabar nak dengar keputusan aku.
Aku dah nekad. Aku harus lakukan
keputusan ni demi kebahagiaan aku sendiri. Doa sudah aku panjatkan pada Ilahi.
Allah yang memberikan aku keberanian untuk mengambil jalan ini.
“Saya tak mampu nak jadi hipokrit. Saya yakin, hubungan suami isteri harus
berlandaskan rasa cinta dan sayang sesama mereka. Setakat ni, saya mengaku,
saya suka cara awak. Keberanian awak berterus terang buat saya kagumi awak.
Tapi saya perlukan lebih masa untuk mengenali diri awak. Mungkin kita…. boleh
kenal-kenal dulu. Bukan bermaksud saya nak bercinta. Cuma berkenalan. Kita nama
aje officemate. Tapi jarang sangat kita berbual. Saya nak kenal diri awak lebih
dekat, Ahmad Syahrul Izwan.”
Kata-kataku buat Syahrul tersenyum.
Tangannya diangkat lalu disapukan ke muka.
“Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah.
Terima kasih kerana membuka hati Sofia untuk belajar terima aku.” Aku terharu
dengan tindakan spontan Syahrul. Sungguh benar kata ayah.
‘Opie,
Nabi kita, Muhammad SAW dah bagi garis panduan untuk mencari calon isteri yang
tepat. Sabda Nabi yang bermaksud, “Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya,
kerana kedudukannya/keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya.
Maka, pilihlah yang baik agamanya niscaya engkau beruntung.”Untuk cari calon
suami juga Opie harus pandang amanat Nabi tu. Pandanglah lelaki yang memiliki
agama. Nescaya Opie akan bahagia. InsyaAllah. Ayah nampak ciri-ciri seorang
suami yang baik ada dalam diri Syahrul. Buat pilihan yang terbaik, nak.’
Kata-kata ayahlah yang menjadi pendorong
aku untuk membuat keputusan ini. Aku harus lakukan pilihan yang terbaik. Pernah
aku dengar orang cakap dulu. Allah akan menghadirkan jodoh yang salah untuk
kita sebelum Dia menemukan kita dengan jodoh kita yang sebetul-betulnya. Jadi,
aku berharap pengakhiran kisahku dengan Encik Bazli menjadi titik tolak untuk
aku membina hubungan yang lebih diredhai oleh Allah dengan Syahrul. Aku harap
Allah menghadirkan rasa cinta dalam hatiku untuk mencintai Ahmad Syahrul Izwan.
*******
Tiga tahun kemudian…
“Awak dahlah tu. Awak jangan lupa awak
belum ngaji kat baby kita ni. Urut kaki saya pun belum. Lenguh tau.” Aku
pandang Syahrul dengan wajah monyok. Dah dekat setengah jam aku tunggu dia
siapkan hobi dia tu. Sudahnya aku macam patung takde kawan nak cakap.
“Allah. Saya lupalah awak. Maaf-maaf.”
Terkocoh-kocoh Syahrul bangun dari sofa lalu menghampiriku. Perutku yang sudah
memboyot diusapnya lembut.
“Maafkan papa sayang. Papa terlupa pulak
kat baby dan mama…” Syahrul sengih panjang. Aku mencebik. Novel yang
dipegangnya aku rampas agak kasar.
“Novel apa pulak kali ni awak baca? I
Love You, Stupid? Awak cakap saya stupid?” Aku sengaja ingin menyakat Syahrul.
Hmm… apalah nasib badan. Ingatkan hanya bos aku saja satu-satunya lelaki dalam
dunia ini yang kaki novel. Rupa-rupanya, suami aku sendiri suka baca
novel.Erk…Satu kebenaran yang agak sukar untuk aku terima.
Tiga tahun sudah berlalu. Kini, aku
hidup bahagia dengan pilihanku. Syahrul Izwan. Aku cintakan lelaki itu setulus
hatiku. Cinta hadir apabila aku makin mengenali dirinya. Ya, dia memang bukan
seorang ustaz yang memiliki ilmu agama yang hebat. Tapi dia seorang lelaki yang
mempunyai akhlak yang mulia. Sangat bertanggungjawab dan…. Dia pandai buat
lawak. Tak sangka, akhirnya aku jatuh cinta juga padanya.
Akhirnya, setelah setahun mengenali hati
budi masing-masing, kami terus ambil keputusan menikah.Dah tiga tahun dah kami
berdua kahwin. Anak baru nak masuk seorang. Dalam perut ni. Aku dah mengandung
lapan bulan. Ada sebulan lebih lagi nak melahirkan. Jantina anak dah tahu. Baby
boy. Nama pun dah ada.
“Kenapa awak suka baca novel?” soalku
pada Syahrul. Lelaki itu tatap wajahku agak kepelikan. Namun dia tetap menjawab
soalanku dengan tenang.
“Sebab saya suka membaca. Bila ingat
balikkan sayang. Muka awak lucu gila bila dapat tahu saya ni suka baca novel.
Saya tahu awak seteru dengan lelaki noveholic. Kan? Encik Bazli pun suka baca
novel. Kami selalu aje tukar-tukar novel tau.”
Adeh. Mengingatkan hal itu buat aku
tergelak kuat. Ha’ah. Hari pertama aku masuk rumah Syahrul lepas dah selamat
menikah. Melihat almari kacanya penuh dengan novel buat aku tercengang. Aku
masih ingat time tu aku terduduk tak terkata apa-apa. Tak sangka ‘ustaz Syah’
ni rupanya kaki novel. Huhuhu…
“Saya bukan seteru. Saya cuma pelik
kenapa lelaki boleh baca novel. Biasanya novel ni kan ‘makanan’ perempuan.
Takkan awak ni ‘jantan patah’ kut.” Lawakku buat Syahrul ikut tergelak. Dipicit
hidungku kuat. Adoi sakit mak.
“Jantan patah? Kalau saya ni ‘jantan
patah’, takdenya awak sekarang macam ni.” Lelaki itu mengusap-usap perutku. Aku
tepuk bahunya malu. Ada pulak ke situ.
“Alah nak pelik apanya. Novel tukan
sejenis bahan bacaan. Lagipun ia menghiburkan. Dan saya sangat tak setuju bila
awak cakap baca novel tak ada faedah apa-apa. Sebab dalam novel, ada terselit
ilmu-ilmu yang boleh kita ambil. Tak banyak pun sedikit. Contohnya macam dalam
novel ILUS ni. Banyak pengajaran, banyak teladan, banyak ilmu. So, awak kena
baca.” Syahrul mencuit hidungku lagi. Aku buat muka tak berminat.
Yalah-yalah aku mengaku tak semua novel
itu melalaikan dan takde manfaat. Tapi mungkin sebab aku ni seorang yang tak
suka membaca kut. Aku lebih kepada masakan. Sebab tu sekarang Syahrul makin
‘comel’. Nampak aje aku ni brutal. Tapi bab memasak, aku champion tau!
“Okey-okey kalau cakap dengan awak bab
novel, memang saya kalah. So, sekarang saya nak awak tolong uratkan kaki saya.
Lenguh tau. Lepas tu macam biasa, tolong bacakan surah al-Mulk untuk baby kita.
Okey, sayang?” Aku bersuara manja. Sudah bersedia aku untuk merasa urutan
tangan Syahrul.
Syahrul hanya menurut. Lelaki itu memang
seorang suami yang penyayang. Apa yang aku minta, dia sedaya upaya cuba
tunaikan. Pernah hari tu aku mengidam nak makan nasi dagang buatan Terengganu.
Dimintanya ibu saudaranya yang berada di Terengganu datang ke rumah kami dan
buatkan nasi tu. Terkejut aku dengan tindakan romantic Syahrul tu. Hehe. Takkan
ada Syahrul lain dalam hati aku.
“Awak apa nama anak kita ek? Saya dah lupalah.”
Soalan itu terlintas di benakku. Serius aku lupa. Man-man macam tulah.
Syahrul menghentikan urutannya. Dia
tersenyum lalu bersuara.
“Abdullah Ilman. Hamba Allah yang
berilmu. Khas untuk baby boy kita.” Aku anggukkan kepada. Sedap nama tu dan elok
sekali maksudnya. Semoga zuriat kami berdua nanti bila dah besar mampu menjadi
seorang hamba Allah yang berilmu dan beriman. Amin.
Teringat nama baby, teringat aku pada
Encik Bazli. Dia pun ada sumbangkan nama untuk baby aku. Tapi aku reject sebab
nama dia melalut-lalut sangat. Nama dah macam dalam novel.Hek!
Bekas majikan aku tu sekarang dah pun
mendirikan rumah tanggga dengan pasangannya. Cinta pertama dan terakhirnya,
Dahlia. Aku panggil dia Kak Lia aje.
Aku bersyukur kerana Encik Bazli dan Kak
Lia akhirnya bersatu juga. Mereka bahagia. Aku juga bahagia dengan Syahrul.
Cinta aku pada Encik Bazli sudah lama terkubur. Aku harus berterima kasih
kepadanya kerana menolak cintaku dulu. Kalau tidak, sampai ke sudah Syahrul
takkan berterus terang dengan aku yang dia sukakan aku. Perancangan Allah tetap
yang terbaik.Dia tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.
Ini adalah kisah aku. Kisah yang
biasa-biasa sahaja. Namun aku berharap kalian dapat mengambil sesuatu dari
kisah aku. Terutama bab dalam memilih pasangan. Pilihlah yang beragama nescaya
kamu akan beroleh keuntungan.
TAMAT
Membaca adalah jambatan ilmu. Ilmu itu akan membuahkan amal. Dan amal itu akan membuahkan iman. Apa saja bahan bacaan yang menjadi kegemaran kita, pastikan ia dapat memberi manfaat kepada kita dan kita mampu mengambil ibrah dari bacaan kita itu. Jangan membaca hanya sekadar membaca. Praktikkan apa yang baik.
No comments:
Post a Comment