JOM FOLLOW

Tuesday, 23 September 2014

Terlewatkah Cinta Kita? [BAB 13]




DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.


BAB 13


“Eh tu macam kereta Tuan Tuah aje, Non.” Ujar Mak cik Ita tatkala matanya terpandang pada sebuah kereta yang mula memasuki perkarangan halaman rumah Dayang.

Mak cik Non hanya mengangguk setuju. Betul itu memang kereta majikan mereka.

Kedua-dua mereka menunggu Tuah keluar dari kereta. Sambil dalam kepala masing-masing bertanya akan tujuan Tuah ke sini.

“Assalamualaikum, mak cik.” Sebaik saja turun dari kereta Tuah terus melangkah mendapatkan Mak cik Ita dan Mak cik Non yang berdiri di halaman rumah. Matanya sempat juga menjeling ke arah rumah Dayang yang kelihatan suram saja. Semua pintu tertutup rapat. Dayang tiada di rumahkah?

“Waalaikumussalam, tuan. Apa tuan buat kat sini?” soal Mak cik Ita ramah. Mak cik Non hanya diam saja.

“Erm… saya nak jumpa dengan Dayang. Tapi tengok rumah dia macam takde orang aje. Dia takde kat rumah ke mak cik?” Pertanyaan Tuah buat Mak cik Ita dan Mak cik Non saling berpandangan. Lambat-lambat mereka mengiyakannya dengan anggukan.

Tuah mula hampa.

“Mak cik tahu dia pergi mana? Saya perlu jumpa dia sekarang jugak.” Tuah mula terdesak.

Kali ini Mak cik Ita pula yang diam dan Mak cik Non yang bersuara. Dari nada suaranya yang lemah, buat hati Tuah kurang enak jadinya.

“Hmm... Tuan dah terlambat. Baru kejap tadi Dayang dengan ibu dia pergi.”

Dahi Tuah berkerut tebal. Dia sudah terlambat? Maksud Mak cik Non apa.

“Dorang pergi mana? Dorang naik teksi ke, mak cik?” Kepala Tuah berpaling ke belakang mencari kelibat teksi. Mungkin sudah lama Dayang dan Ibu Orked meninggalkan rumah ini. Masakan dia mampu menjejak teksi itu lagi.

“Dayang cakap dia nak pindah ke Kuala Lumpur. Dia… dia nak mulakan hidup baru di sana, tuan.” Tuah terpana mendengar kata-kata yang terucap di bibir Mak cik Non. Hatinya mula terasa kehilangan.

“Dah lama ke dorang bertolak, mak cik?” soal Tuah panic.

Mak cik Non pandang Mak cik Ita. Memberi sahabatnya itu pula yang bersuara. Mak cik Ita yang faham, terus menjawab pertanyaan dari Tuah.

“Baru aje kejap tadi tuan. Mungkin sekarang teksi yang mereka naiki masih ada dalam kampung ni. Sempat kalau tuan nak kejar.” Mak cik Ita tersenyum penuh makna. Bukan dia tidak mengerti perasaan yang sedang bermain di hati Tuah.

Sebelum ini juga dia dapat lihat keintiman antara Tuah dan Dayang. Ada cinta antara anak-anak muda itu.

“Ya, tuan. Pergilah kejar Dayang. Pujuk dia supaya dia tak tinggalkan kampung ni. Mak cik dah anggap dia macam anak mak cik sendiri. Sedih hati ni bila dia nak pergi.” Mak cik Non bersuara pilu. Mak cik Ita juga sebak.

Tuah tidak berkata apa lagi. Dia akhirnya melangkah laju menuju ke kereta dan menggerakkan kereta itu meninggalkan halaman rumah dengan segera. Dayang harus dikejarnya! Moga-moga dia masih sempat untuk meminta kemaafan dari gadis itu. Pasti Dayang pergi adalah kerana berkecil hati dengan sikapnya sebelum ini. Andai gadis itu pergi, bagaimana dengan kisah cintanya nanti. Sungguh dalam hatinya masih ada tertulis nama Dayang Zulaikha. Ingin dia bersatu dengan gadis itu dengan lafaz… Aku terima nikahnya…

Mak cik Non dan Mak cik Ita memandang sayu ke arah kereta Tuah yang sudah mahu hilang dari pandangan mereka. Moga-moga anak muda itu dapat memujuk Dayang. 
Dan membawa Dayang ke rumah ini kembali.

Semalam baik Mak cik Ita mahupun Mak cik Non dikejutkan dengan keputusan Dayang untuk meninggalkan kampung ini. Kata gadis itu, dia akan memulakan hidup barunya di kota Kuala Lumpur bersama dengan ibunya. Ditanya mengapa, Dayang diam saja. Kerana itulah pagi ini Mak cik Ita dan Mak cik Non datang ke rumah Dayang untuk bertemu buat kali yang terakhir dengan gadis itu dan ibunya. Moga-moga Dayang akan kembali lagi ke kampung ini.

++++++

Tuah terus memandu menyusuri jalan kecil kampung. Dicari kelibat teksi namun tidak berjaya ditemuinya.

Masuk saja ke simpang yang kedua, dari kejauhan matanya terpandang pada sebuah teksi yang sedang meluncur perlahan menyusuri denai kecil. Mungkinkah itu teksi yang dinaiki oleh Dayang dan Ibu Orked? Detik hati kecilnya berharap.

Kereta dipandu menghampiri teksi itu lebih dekat. Dan akhirnya hon dibunyikan kuat.

Pinnnn.

Tuah cuba menghentikan teksi itu. Bertalu-talu hon kereta dibunyikan. Dia berharap benar pemandu teksi itu mengerti maksud di sebalik honnya ini.

Dan syukurlah Tuhan menyampaikan hajatnya ini kepada pemandu teksi itu. Ternyata teksi itu mula memperlahan rentaknya lalu diberhentikan di birai jalan. Tak menunggu lama, Tuah terus meluru keluar dari keretanya dan berlari ke arah teksi itu.

Alangkah gembiranya hatinya detik itu saat terpandangkan wajah Dayang sedang memandangnya melalui cermin kereta. Tuah tersenyum lebar. Segera diminta Dayang keluar. Terima kasih ya Allah. Ternyata memang benar inilah teksi yang ingin membawa Dayang pergi jauh darinya.

“Dayang… Dayang keluar. Dayang tolong keluar. Saya ada sesuatu nak beritahu awak.” Cermin diketuk-ketuk banyak kali. Wajahnya cemas apabila melihat Dayang berbicara dengan pemandu teksi.

“Abang jalan.” Dayang yang masih utuh berada di dalam segera memberi arahan pada pemandu teksi.

Abang si pemandu yang kebingungan hanya garu kepala sambil pandang Ibu Orked. Ibu Orked gelengkan kepala.

“Berdepanlah dengan dia, nak. Kesian ibu tengok dia.” Ibu Orked memberi nasihat lagi. Benar telahannya tadi. Bunyi hon yang bertalu-talu sebentar tadi memberi datang dari kereta Tuah. Mungkin lelaki itu sudah menyedari kesilapannya dan ingin meminta maaf pada Dayang. Siapa tahu bukan?

Dayang ketap bibir. Sikit pun dia tidak memalingkan badan dan wajahnya ke arah pintu. Tak semena matanya mula panas menahan air mata.

“Dayang tak kuat, ibu. Dayang tak sanggup nak dengar dia hina Dayang lagi. Hati ni… hati ni sakit, bu. Sakit…” Dayang tahan air matanya daripada tumpah. Sudah dia berjanji dengan dirinya sendiri untuk tidak menangisi apa yang sudah terjadi antara dia dan Tuah. Namun, sungguh hati ini rapuh.

Ibu Orked tidak mampu berkata apa lagi. Dipandang Tuah yang masih merayu untuk Dayang keluar dari teksi. Dan akhirnya Ibu Orked terpaksa menjadi orang tengah demi kebahagiaan anak kesayangannya ini.

“Nak, tolong keluarkan kerusi roda mak cik. Mak cik nak keluar jumpa pemuda tu.” Ibu Orked sudah bersedia untuk keluar. Tangannya sudah memegang pintu.

Dayang sedikit tersentak. Pantas ditarik lengan ibunya.

“Ibu….” Dia merayu.

Ibu Orked tetap berkeras.

“Benda ni kena selesai hari ni jugak. Sebelum kita mulakan hidup baru di Kuala Lumpur, biarlah masalah antara Tuah dan Dayang selesai. Ibu ada sesuatu nak tanyakan pada Tuah.” Ibu Orked buka pintu. Pemandu teksi segera keluar sama.

Melihat pintu sudah dibuka, Tuah berlari mendapatkan Ibu Orked. Tangan wanita tua itu dikucup penuh rasa kesal.

“Maafkan saya, mak cik. Maafkan keterlanjuran saya selama ni. Maafkan saya…” Bertalu-talu ucapan maaf keluar dari bibir Tuah. Sempat matanya menjeling Dayang yang tetap saja memalingkan mukanya ke tempat lain. Gadis itu sudah kecewa benar dengannya.

“Tuah tak salah apa-apa dengan mak cik. Dah jangan minta maaf lagi.” Ibu Orked tersenyum. Tuah hanya mampu tersenyum pahit. Pada Ibu Orked sudah dia pinta kemaafan. Pada Dayang, dia masih belum berkesempatan. Jangan pandang, jeling pun gadis itu tidak sudi.

“Mak cik ini kerusi rodanya.” Pemandu teksi tadi datang sambil menyorong kerusi roda.

Ibu Orked paling ke belakang dan saat itu terlintas satu jalan untuk membuat Dayang berbicara dengan Tuah.

“Tuah masuklah dalam kereta ni. Cakap apa yang Tuah nak cakap pada Dayang. Dayang tak nak keluar, jadi Tuahlah yang kena masuk.” Ibu Orked menanti reaksi Dayang.

Dan saat itu Dayang terus pandang wajah ibunya. Dia bagaikan tidak percaya dengan permintaan ibunya itu.

“Ibu?” Ibu Orked buat tak layan. Tubuh digerak payah untuk duduk di atas kerusi roda.

“Biar saya tolong mak cik.” Tuah ingin membantu.

Melihat keadaan itu Dayang segera menghalang. “Tunggu, bu. Erm… ibu duduk aje dalam kereta. Biar… biar Dayang yang keluar.” Akhirnya dia terpaksa juga membuat keputusan itu.

Tuah dan Ibu Orked saling tersenyum. Lega.


++++


Dayang membisu. Sikit pun dia tidak mengalihkan pandangannya ke arah Tuah. Rasa malu, rasa terhina dan rasa kecewa menyebabkan dia lebih senang mengambil jalan untuk mendiamkan diri. Penghinaan lelaki itu padanya tempoh hari masih segar di ingatan dan carta hatinya. Pedihnya masih terasa.

Melihat penerimaan Dayang padanya, Tuah terasa mahu memaki hamun dirinya sendiri. Betapa menyesalnya dia dengan kata-kata penghinaan yang dia lontarkan pada Dayang beberapa hari yang lalu. Kerana mulut celuparnya, dirinya kini sudah tidak dipandang Dayang lagi.

“Saya minta maaf.” Akhirnya kalimah keramat itu terlafaz dari bibirnya.

Dayang yang berdiri membelakangi Tuah tetap pegunkan diri sambil matanya memandang keindahan pemandangan sawah padi yang terbentang luas di hadapannya. Kata orang andai mahu tenang, lihatnya keindahan alam ciptaan Tuhan. Ketenangan itu akan timbul kerana alam tidak pernah berhenti bertasbih memuji kebesaran Ilahi.

Namun, hati Dayang tika ini sungguh tiada ketenangan. Kata maaf Tuah membuat hatinya jadi pilu pula. Ikhlaskah lelaki itu meminta maaf padanya?

“Saya minta maaf, Dayang. Saya tahu saya salah. Saya dah hina awak. Saya dah… saya dah cakap macam-macam. Saya menyesal, Dayang. Sangat menyesal. Saya dah pandang rendah pada awak. Saya sanggup hina awak kerana masa lalu awak tu. Sedangkan Allah sendiri telah menerima awak kembali ke pangkuanNya. Saya? Saya yang bongkak ni, hina awak sesuka hati. Maafkan saya…”

Tak tertahan lagi air mata Dayang detik itu. Ia jatuh juga satu persatu membasahi pipi.

“Dayang maafkan saya. Saya tak minta banyak dari awak. Tolong maafkan saya. Saya takkan paksa awak terima cinta saya semula. Saya tahu awak tak suka kat saya. Apa lagi sekarang. Tapi tolong… tolong…” Ucapan Tuah terhenti saat tubuh Dayang mula bergerak berdepan dengannya.

Melihat air mata gadis itu bertakung lebat di pelupuk mata, hati Tuah bagai dicarik-carik sakit. Air mata itu tumpah kerana dirinya! Maafkan saya, Dayang…

“Saya dah maafkan tuan. Saya dah maafkan semua orang yang pernah hina saya, hina masa lalu saya. Ya, saya dah maafkan.” Kata itu lahir dari hati Dayang yang paling dalam.
Sungguh dia sudah maafkan Tuah dan semua yang pernah menghinanya dulu. 

Baginya, kemaafan dan kasih sayang Allah lebih bermakna daripada segala penghinaan orang padanya. Sakit memang sakit tapi bukankah andai kita bersabar dengan ujian, Allah akan mengurniakan kebahagiaan untuk kita di akhirnya? Itu sudah termaktub dalam janji Allah dalam kitab suci Al-Quran.

Kemaafan yang Dayang berikan buat Tuah terdiam lama. Hatinya langsung tidak gembira dengan kemaafan itu sebaliknya makin bertimpa rasa bersalahnya pada gadis itu.
Semudah itu Dayang memaafkan dirinya? Sungguh mulia hati Dayang Zulaikha.

“Saya memang bodoh. Mata hati saya buta untuk melihat kebaikan awak. Saya tertipu dengan dengan perasaan marah yang saya ciptakan sendiri.” Tuah tak lepas daripada memandang wajah Dayang. Andai dia meminta satu perkara lagi pada gadis itu adakah mungkin Dayang ingin mengabulkan permintaannya?

“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya… saya nak gerak dulu.” Dayang cuba keraskan hati. Inilah yang terbaik untuk mereka berdua. Cukuplah kemaafan itu diberikannya pada Tuah. Kini, mereka berdua tiada ‘berhutang’ apa-apa lagi.

Tuah tercengang. Dayang tetap mahu pergi dari kampung ini? Perlukah dia merayu pada gadis itu supaya jangan pergi?

‘Inilah masanya, Tuah. Kau kena pujuk Dayang supaya jangan tinggalkan kampung ni. Kalau dia tinggalkan kampung ni, entah bila lagi korang akan dapat bertemu. Mungkin ini pertemuan terakhir korang. Pujuk dia! Luahkan perasaan kau pada dia!’

Hati Tuah berbisik cuba meyakinkan.

Namun sayang seribu kali sayang, mulutnya keras tak mampu bersuara. Dayang mula menapak ke arah teksi. Hatinya saat itu bagai ditarik-tarik untuk menatap wajah lelaki yang telah berjaya mencuri hatinya itu buat kali yang terakhir. Namun, sayang seribu kali sayang. Menyedari dia masih tetap tidak layak untuk lelaki seperti Tuah, Dayang majukan langkah tanpa berpaling lagi.

*bersambung* 


 Dengan MEMOHON MAAF dapat mengeratkan kembali jalinan ukhuwah sesama insan dan menjernihkan suasana keadaan yang tegang..

Tetapi 'maaf' akan semakin BERKURANG NILAINYA, apabila semakin sering diucapkan atas KESALAHAN yang sama..


4 comments:

  1. KOMEN DARI PEMBACA DI PAGE FARISHA IMANI

    Salmiha Ishak > Tuah patut dihukum juga kan? Biar dia rasa

    ReplyDelete
  2. baby mio > tak menghilang pun lah.hehe.. ade je.cuma blog lama je yg hilang. ni blog bru FI.. jemput singgah dan komen mcm slalu k ^^

    ReplyDelete
  3. KOMEN DARI PEMBACA DI PAGE FARISHA IMANI

    Umi Bintu Zunaidi > Huhuhu...chaiyok2 tuah pujuk dayang..win her heart back..hehe.. can't wait for the end..

    Norziati Mad Dam > Masuk kete n pusing balik umh .. He he he

    ReplyDelete