JOM FOLLOW

Thursday, 11 June 2015

Mencari Si Pelengkap Hati [BAB 33&34]


DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.....



BAB 33


-Abang nak ajak Nuha keluar lepas kuliah nanti. Abang dah bagitahu mama. Nuha solat Asar dulu ya. Nanti abang ambil Nuha dekat tempat biasa.

Pesanan ringkas dari Cikgu Ihsan aku baca buat kali yang entah ke berapa.

Dia nak ajak aku keluar? Pergi mana pulak ni. Hmm… Tak ada moodlah nak keluar. Dan dia sangat tahu aku tak suka keluar dengan dia berdua aje. Aku dah pernah warning dia hari tu.

Tapi kenapa tangan ni berat sungguh nak balas balik SMS dia tu. Boleh ke aku kata malas. Kalau siap minta izin dari Aunty Izzah, dah macam nak keluar bincang benda serius aje. Tapi benda apa yang Cikgu Ihsan nak bincangkan? Pasal Airin Qistina? Takkanlah…

Miss Pupu aku masukkan kembali ke dalam beg sandang. Mata dihalakan ke jalan besar. Lepas lima belas minit berlalu, kereta Cikgu Ihsan masih belum kelihatan bayangnya. Sibuk lagilah tu dekat bengkel. Kata Cikgu Ihsan, dekat bengkel tugasnya adalah sebagai pengurus akaun. Kadang-kadang kalau dia ada masa terluang, dia akan belajar baiki kereta dengan pekerja dekat situ. Kira Ihsan Zuhri ni serba bolehlah. Aik memuji ke aku ni.

“Nuha…”

Suara garau yang menyapa ke telinga buat aku terbangun dari khalayan. Sedar-sedar saja Cikgu Ihsan sudah berdiri di hadapanku. Dah lama ke dia sampai?

“Nuha okey? Jauh termenung abang tengok,” ujarnya sambil duduk di hujung kerusi.

“Saya okey.” Aku jawab pendek.

 “Betul ni?” Cikgu Ihsan terus menyoal. Aku angguk lagi. Penuh yakin. Senyuman cuba aku hulurkan padanya.

“Kalau Nuha okey jom kita gerak sekarang. Meh buku tu abang pegang.” Tangannya dihulurkan untuk membantu aku bawakan buku-buku tebal yang aku sempat pinjam dari perpustakaan tadi. Tidak mahu menyusahkannya aku menolak. Namun, apa yang aku dapat… Cikgu Ihsan pula yang berkeras nak menolong. Dirampas selamba buku-buku itu dari tangan aku. Aku diam tak berani nak melawan lagi.

“Silakan…” Cikgu Ihsan dengan langkah panjang sudah berdiri di tepi kereta. Pintu dibuka untuk aku masuk.

Sebuah senyuman nipis aku hadiahkan padanya. Aku duduk sambil menyandarkan badan ke kerusi. Tali pinggang dipakai kemas. Layanan baik Cikgu Ihsan kembali kepada asal. Kalau pagi tadi dia buat endah tak endah saja dengan aku. Petang ni lain macam pulak. Kenapa? Airin Qistina cakap nak balik esok ke? Hmm…

Firstly, abang nak minta maaf pada Nuha.” Cikgu Ihsan bersuara setelah kereta mula bergerak.

Minta maaf? Dah kenapa pulak tiba-tiba aje.

“Sebab abang dah ajak Nuha keluar hari ni. Abang tahu Nuha pernah warning abang dulu. Tapi abang rasa cakap perkara ni dekat luar lebih sesuai.”

Aku diam tak berkutik. Kenapa suara dia serius sangat. Seram aku.

“Sorry okay?” Dia pandang aku.

“Hmm… okey. Tapi lepas ni harap cikgu hormati kehendak saya. Saya… saya tak selesa keluar berdua macam ni.” Aku jujur padanya.

Cikgu Ihsan angguk berkali-kali. “Okey abang janji InsyaAllah inilah kali terakhir kita keluar berdua macam ni. Lepas ni kalau nak keluar, abang akan pastikan ada mama atau Nek Som atau orang lain sekali.”

Aku angguk. Alhamdulillah kalau dia faham dan berjanji macam tu.

“Erm… so cuba teka abang nak ajak Nuha pergi mana.” Suara Cikgu Ihsan kembali menyapa.
“Erm… entah,” jawab aku sepatah.

“Cubalah teka. Abang bagi pilihan jawapan. A, ke taman bunga. B, makan. C, jumpa seseorang. D, ke tempat rahsia abang. Sila jawab…” Cikgu Ihsan dah tersengih pada aku. Aku jungkit bahu sambil otak fikirkan jugak pilihan jawapan dia tu.

“Erm… D?” jawabku setelah berfikir sejenak.

Dan Cikgu Ihsan tergelak. Apa yang lucunya?

“Abang dah agak dah mesti Nuha akan jawab D. But the answer is… tunggu selepas ini…” Gelak sakan Cikgu Ihsan dengan lawak dia tu. Bibirku tak semena senyum sama. Ada-ada aje cikgu ni.

“Nak pergi mana ni?” Aku cuba nasib untuk dapatkan jawapan dari dia. Yang hampanya dia tetap tak nak jawab.

Wait and see. Tunggu dan lihat…” Terukir senyuman nakal di bibir Cikgu Ihsan.

Malas nak melayan lagi, aku diamkan diri sambil memandang pemandangan di luar. Okey. We wait and see. Antara A, B, C dan D… Apa agaknya jawapannya.


********

“Sedap tak rojak ni? Sedap, kan? Abang ni regular customer dekat warung Cik Su ni tau.” Dengan mulut separuh penuh dengan rojak buah, Cikgu Ihsan bercerita.

Aku senyum melihat bibirnya sedikit comot. Lantas, tangan ini ringan mencapai tisu lalu dihulurkan padanya. Terus Cikgu Ihsan senyum lebar.

Thanks,” ujarnya sambil senyum lawa. Bukan bibir yang dilapnya namun dahinya pula yang disapu dengan tisu itu. Berpeluh dahi dia. Mungkin kerana kuah rojak ni agak pedas. Memang pedas pun. Tak lalu aku makan kalau pedas-pedas.

“Kenapa cikgu ajak saya makan rojak ni?” Dan sekali lagi mulut ini ringan bertanya. Ya Allah, kenapa dengan aku ni. Kenapa mudah benar mulakan perbualan dengan Cikgu Ihsan. Hisy!

“Sebab cikgu nak berterima kasih pada Nuha yang sudi pujuk cikgu,” jawab dia lepas dah siap lap dahi dan mulut sekaligus. Buat sekilas mata kami bertemu.

“Pujuk? Pujuk apa?” Aku bersoal dungu.

“Pujuk pasal semalam. Nuha buatkan nasi goreng bilis dan telur mata kerbau untuk abang pagi tadi. Hilang rajuk abang sebab Nuha tak bagi abang star semalam.” Jawapan itu buat aku tertawa kecil. Namun, cepat-cepat aku tutup mulut dan tunduk ke bawah bila Cikgu Ihsan angkat kening pandang aku. Dia senyum sebelah.

“Berapa star pulak cikgu bagi pada nasi goreng saya tu?” Makin aku tak boleh kawal mulut ni. Seronok dapat borak dengan cikgu. Hilang sudah rasa bengang aku pada dia.

“Nuha dulu yang kena bagi star untuk lukisan abang. Lepas tu baru abang boleh bagi star untuk nasi goreng Nuha. Deal?” Kepala aku angkat. Cebikan halus terhulur di bibir.

“Tak apalah kalau cikgu tak nak bagi star. Saya ikhlas nak masak nasi goreng tu. Tak perlukan star atau apa.” Jawapan yang terlontar di bibirku sememangnya lahir dari hati. Malas pulak hati ni nak melayan Cikgu Ihsan yang tak habis-habis nak star dari aku. Aku bukan tak nak bagi. Lukisan yang dia berikan pada aku semalam tu, tiada bintang yang dapat nilai kesenian pada lukisan tu. Aku terlalu suka pada lukisan semalam.

“Hmmm… rasa macam nak merajuk lagi aje bila Nuha cakap macam tu.” Cikgu Ihsan bersandar ke kerusi sambil peluk tubuh. Aku pura-pura belek-belek rojak buah dalam mangkuk. Nak merajuk lagi? Silakan. Malas nak layan.

“Okeylah. Kalau Nuha tak nak bagi abang star, abang pun tak nak bagi Nuha star. Adil dan saksama.” Ngilu rasa hati ni bila dengar Cikgu Ihsan jawab macam tu. Ah… perasaan entah apa-apa yang muncul dalam hati aku ni. Syuhhh, pergi-pergi!

“Abang sebenarnya tunggu Nuha tanya.” Cikgu Ihsan bersuara lepas kami berdua diam tanpa kata untuk beberapa minit. Kononnya menikmati rojak masing-masing.

“Tanya apa?” Aku tanya dia balik.

Sambil ketap bibir, Cikgu Ihsan tegakkan kembali badannya. Kedudukannya dibetulkan.

“Tanya pasal Sumayyah, pasal Airin Qistina.” Mujur saja aku dah selamat menelan minuman yang aku sedut dari gelas. Kalau tak memang dah tersembur depan muka Cikgu Ihsan.

“Perlu ke saya tanya?” Sambil tunduk, aku bersuara perlahan. Kalau Cikgu Ihsan menunggu aku bertanya pasal Sumayyah dan Airin Qistina, aku pula sememangnya sedang menunggu dia bercerita tentang mereka berdua tu. Aku nak sangat dengar sendiri dari mulut Cikgu Ihsan perihal dua gadis tu. Seorang dah aku jumpa hari tu dan dah tahu sejarahnya dengan Cikgu Ihsan. Airin Qistina itu sajalah yang menjadi misteri.

“Perlu kalau Nuha nak tahu,” jawab Cikgu Ihsan tenang.

Aku diam saja menanti dia menyambung kata. Teruskan bercerita, cikgu… sebab saya nak dengar dan saya memang nak tahu.

“Kalau Nuha tak nak tahu tak apalah. Abang pun malas nak bercerita.” Macam orang dah hilang sabar, Cikgu Ihsan bersuara. Kepalaku terangkat sedikit mencari wajahnya. Tengok dari air muka, serius pulak Cikgu Ihsan saat tu. Emonya dia ni.

“Cik Su! Kira kejap.” Jeritan suara Cikgu Ihsan yang lantang buat aku terkedu. Dia tak nak cerita ke? Alah…

Masih punya ego dalam hati, aku selambakan wajah dan pegunkan diri di situ. Okey, kalau dia tak nak cerita aku pun takkan merayu nak dia bercerita. Aku boleh tanya dekat Nek Somlah benda ni.

“Semuanya sepuluh ringgit, dik.” Cik Su berdiri di sebelah Cikgu Ihsan sambil senyum. Dan senyumannya itu tertumpah pada aku.

“Bakal isteri ke ni?” Gulp. Tercekik aku dengar soalan Cik Su.

Cikgu Ihsan yang siap mengeluarkan not kertas warna merah dari dompet hanya sengih sambil geleng kepala. Duit itu dihulurkan pada Cik Su yang ramah bertanya.

“Doa-doakan ya, Cik Su.” Jawapan Cikgu Ihsan makin buat aku tercekik. Pipi mula rasa kebas. Nak pandang Cik Su pun dah tak mampu.

“InsyaAllah, Cik Su doakan yang terbaik untuk Ihsan dan si cantik manis ni.” Lepas mendoakan kami dengan doa yang kedengaran cukup ikhlas itu, Cik Su terus berlalu melayan pelanggan yang lain.

Mata tak mampu aku padukan melawan pandangan Cikgu Ihsan. Langkah lebih dulu aku ambil meninggalkannya di belakang.

Atas tujuan apa dia minta Cik Su doakan aku ni jadi bakal isteri dia. Masihkah ada cinta dalam hati Cikgu Ihsan untuk aku?




>>>>MSPH<<<<




BAB 34

Hujung minggu tu aku tak ada kuliah. Jadi, melepaklah aku dekat rumah tolong-tolong Nek Som dan Aunty Izzah kemas rumah dan buat kerja dapur.

Pagi tadi, aku diajak oleh Aunty Izzah ke rumah saudara belah arwah ibunya. Aku diperkenalkan kepada keluarga ibu saudara Aunty Izzah itu. Segan memang segan. Yalah aku ini orang asing.

Pada ibu saudaranya, Aunty Izzah kenalkan aku sebagai anak angkatnya. Dan sekali lagi aku terharu dengan penerimaan keluarga ibu saudara Aunty Izzah terhadapku. Mereka juga seperti auntie dan uncle. Sangat baik hati. Aku beruntung sangat dapat kenal dengan keluarga berhati mulia ni. Alhamdulillah. Allah benar-benar sayangkan aku. Aku dihalau dari rumah Mak Su Kinah, namun aku diterima oleh satu keluarga besar yang sangat menyayangi aku. Semua ini rezeki dan anugerah dari Allah… Alhamdulillah.

Lewat petang macam ni aku dah tak tahu nak buat apa lagi. Siap tolong Nek Som masak untuk makan malam dekat dapur, aku terus naik ke bilik. Bila buka saja jendela, aku terpandang pada jasad Cikgu Ihsan dan Uncle Is yang sedang sibuk menanam pokok bunga di taman mini mereka. Tak tahu nak buat apa, aku layan saja tengok aksi mereka anak beranak tanam pokok bunga. Dalam diam, senyuman terukir di bibir.

“Nuha!” Tersentak aku dengan jeritan itu. Tercari-cari aku akan suara itu. Rupa-rupanya Cikgu Ihsan yang memanggil. Siap melambai tangan dah mamat tu.

“Turunlah sini. Tengoklah kami tanam bunga apa ni,”  laungnya dari bawah.

“Nuha, sinilah. Jangan terperuk aje dalam bilik. Mari ambil angin kat luar ni,” ujar Uncle Is pula.
Dalam kepayahan, aku senyum pada mereka berdua. Hajat di hati malas nak melayan tapi bila Uncle Is dah bersuara macam tu, terpaksalah aku turun.


********

“Uncle tanam bunga apa ni?” Dengan nada ramah aku bertanya. Sambil kedua-dua tangan ke belakang, aku jenguk-jenguk ke arah Cikgu Ihsan yang dah duduk atas kerusi batu  sambil tangannya ligat mengisi tanah ke dalam pasu kecil berwarna cokelat.

“Uncle tak tanam apa-apa petang ni, Nuha. Ni hah tengah kemaskan pokok-pokok dalam pasu ni. Saja nak keluar peluh. Si Ihsan aje ni yang terlebih rajin nak tanam pokok. Lupa agaknya lusa dah nak pergi Janda Baik. Siapa yang nak siramkan anak benih ni nanti. Matilah anak benih ni nanti kalau tak cukup air.” Membebel panjang Uncle Is. Dia menggeleng-geleng kepada Cikgu Ihsan.

“Alah papa ni. Ihsan nak buat eksperimenlah. Nak tengok anak benih kalau tak disiram dua tiga hari dia boleh bertahan tak kalau ada takungan air dekat bawah pasu ni. Papa kan tahu Ihsan suka bereksperiman,” luah Cikgu Ihsan bagai bela diri.

Aku diam berada di tengah-tengah lelaki berdua tu. Nak menyampuk rasanya macam tak ada modal. Jadi baik aku diam.

“Eksperimanlah sangat kamu tu, Ihsan. Yang sudahnya sia-sia eksperiman tu. Eksperiman ke mana, bunga ke mana, kamu entah ke mana.” Lawak Uncle Is buat Cikgu Ihsan tergelak. Mereka anak-beranak terus bertekak manja. Seronok dengar Uncle Is dan Cikgu Ihsan borak. Akrab sungguh anak-beranak ni.

“Hah Nuha dah tanam bunga Nuha dekat sini?” Uncle Is bertanya sambil pandang aku. Topi di kepalanya ditanggal perlahan lalu dikibas-kibas mukanya dengan topi lusuh itu.

Aku tercengang dengan soalannya. Hai bunga nama Nuha pun ada ke dekat sini?

“Bunga nama Nuha pun ada ke, uncle?” Dan ternyata soalan aku tu buat Cikgu Ihsan dan Uncle Is gelak berjemaah. Terus aku tarik muncung dan termalu sendiri. Kenapa mereka gelak.

“Hisy, budak ni. Maksud uncle… Nuha tu dah cuba sendiri ke tanam pokok bunga dekat taman ni? Dalam taman ni kalau Nuha nak tahu, ada bunga yang ditanam oleh uncle, auntie, Ihsan, Nek Som dan siapa-siapa yang berminat nak tanam.”

Terus aku ketap bibir. Oh, salah faham rupanya aku.

“Nuha ni… setakat yang abang tahu bunga bernama Nuha belum ada lagi. Tapi kalau Nuha nak, Nuha letak aje nama Nuha pada bunga yang abang tengah tanam ni. Cantik bunga ni. Macam Nuha…” Cikgu Ihsan ucap semua itu dengan tenang. Aku pulak yang hilang punca dengar pujian dia. Aku ni cantik ke di pandangan mata dia?

“Bab memuji bagi dekat Ihsan. Kan?” Uncle Is dah jeling. Cikgu Ihsan jungkit bahu lalu gelak. Diteruskan kerjanya.

“Nah, Nuha. Ambil sudip tangan ni. Biar Ihsan yang ajarkan cara-cara tanam anak pokok. Uncle nak rehat kejap. Dah lenguh rasanya kaki ni.” Uncle Is menyerahkan aku satu sudip tangan bersaiz kecil. Aku sambutnya dengan berat hati.

“Ihsan, ajar Nuha baik-baik. Jangan ajar ajaran sesat sudah.” Sempat Uncle Is tepuk bahu anak bongsunya tu. Dia bergerak ke pangkin kayu.

Aku pandang ke arah Uncle Is yang dah duduk atas pangkin sambil sandarkan badan ke tiang tengah. Kesian Uncle Is penatlah tu.

“Apa tunggu lagi, cepatlah tanam. Dah senja ni. Nyamuk banyak waktu-waktu macam ni.” Suara Cikgu Ihsan mengejutkan aku.

“Saya tak pandai. Cikgulah yang tanamkan bunga ni,” ujar aku cuba menolak.

“Kalau tak pandai, biar abang ajar. Abang kan bekas cikgu Nuha.” Gelak kecil Cikgu Ihsan kenakan aku. Dia yang masih belum selesai dengan eksperimannya, mula menghadap aku. Diambil sebuah pasu kosong yang terletak tidak jauh darinya.

“Sini… abang tunjuk.”

Dengan berat hati aku perhatikan saja tindak-tanduk Cikgu Ihsan memasukkan tanah ke dalam pasu tu.

“Nah, ambil pasu kosong ni. Copy paste apa yang abang buat.” Sebuah lagi pasu kosong diambilnya. Dengan isyarat mata, Cikgu Ihsan menyuruh aku duduk di sebelahnya. Dalam kepayahan aku ikutkan saja.

Are you ready, Nuha Huda?” Cikgu Ihsan tersenyum padaku. Lambat-lambat aku anggukkan kepala. Teruja pula aku nak lakukan aktiviti ni.

“Okey. Mula-mula masukkan batu pasir ke dalam pasu ni.” Selonggok pasir yang bercampur dengan batu-batu kecil terbentang di hadapan kami. Oh rupa-rupanya ada kegunaan juga pasir ni. Ingatkan saja-saja ada dekat situ.

Aku segera meniru perbuatan Cikgu Ihsan. Perlahan-lahan aku cedukan batupasir itu ke dalam pasu.

“Jangan penuh sangat. Sebaiknya kuantiti pasir biar sesuai dengan saiz pasu.” Penerangan Cikgu Ihsan itu telah mematikan pergerakan tanganku yang berterusan menceduk batupasir memenuhi pasu. Terus aku buang sedikit batupasir tu supaya tak penuh sangat.

“Nuha tahu tak apa tujuan kita guna batupasir ni?” soal Cikgu Ihsan sambil melirik sekilas ke arahku.

“Erm… tak tahu. Mungkin untuk…” Aku cuba memikirkan jawapan. Tapi ah manalah aku tahu. Bukan aku pernah ambil subjek landskap pun dulu.

“Mungkin untuk?” Cikgu Ihsan menduga.

“Manalah saya tahu, cikgu.” Aku surrender.

Cikgu Ihsan senyum.

“Batu pasir ni sebenarnya bertujuan sebagai lapisan paling dalam pasu yang lawas air. Air tak bertakung lama dalam pasu. Kalau air lawas kemungkinan akar bunga akan cepat rosak atau membusuk.”

Erk. Satu apa pun aku tak faham. Apa Cikgu Ihsan membebel ni.

“Nuha diam aje. Ni mesti tak faham kan?” Cikgu Ihsan tergelak.

Aku angguk seraya ketap gigi. Gelakkan aku pulak. Tahulah dia terror berkebun.

“Okey-okey. Tak jadi masalah pun kalau Nuha tak faham.Yang penting setiap kali Nuha nak mula tanam pokok, letak batu pasir ni. Okey?”

“Okey,” jawab aku pendek.

“Okey seterusnya masukkan tanah hitam atau tanah gambut secukupnya.” Arahan lisan dari Cikgu Ihsan aku patuhi. Terdapat satu beg plastik besar tanah hitam di hadapan kami. Perlahan saja Cikgu Ihsan menyeduk tanah itu lalu dimasukkannya ke dalam pasu. Aku mengikut langkahnya dengan sopan juga. Orang cakap kalau nak tanam pokok kena penuh dengan kasih sayang.

“Lepas dah siap letak tanah hitam ni, basahkan tanah ni dengan air. Lepas tu dah boleh tanam anak benih bunga.” Disiram pasu yang berisi tanah hitam dan batu pasir itu dengan air. Aku turut menyiram pasu aku sendiri.

“Ini anak benih pakis berdaun kerinting dan halus.” Ditayang sehelai pakis berwarna hijau muda ke arahku.

“Letak dengan cermat dekat tengah-tengah pasu ni.” Cukup berhemah Cikgu Ihsan mencucuk pakis itu ke dalam pasunya.

Tak menunggu lama aku terus mencapai pakis aku sendiri. Kucucuk pakis itu ke dalam pasu. Dengan sopan lagi kusyuk.

“Jangan serius sangat. Nanti pokok tu mati pulak sebab ketakutan tengok renungan mata Nuha tu.”

Aku terus jeling Cikgu Ihsan tajam. Ada pulak ke situ.

Dia tergelak lebih besar.

“Okey lepas dah siap. Siram lagi sekali anak benih pakis ni dengan air. Lepas tu seeloknya letak dekat tempat teduh.”

Mulut Cikgu Ihsan terus rancak bercerita itu dan ini. Aku dengar penerangannya dengan penuh minat. Petang itu aku menghabiskan masa senggangku untuk tanam pokok aku sendiri. Mendengar pengalaman dari Cikgu Ihsan sendiri yang rupa-rupanya sudah mula menanam pokok dan berkebun sejak dari usia kecilnya lagi. Dia cakap berkebun dan tanam pokok ni mampu menghilangkan tekanan dalam dirinya. Dia rasa seronok. Jiwanya terasa lapang dan tenang.

Dan aku yang baru pertama kali merasai pengalaman ini, turut merasakan perasaan yang sama. Aku seronok dapat buat semua ni! Hilang sekejap masalah yang tengah semak dalam otak.


*******


Usai solat Maghrib berjemaah, ada takzirah pendek yang disampaikan oleh Uncle Is. Selepas itu, kami semua mula melangkah ke ruang makan. Suasana terasa meriah apabila suara Aunty Izzah dan Nek Som riuh-rendah mengarahkan aku dan Cikgu Ihsan membantu mereka menghidangkan lauk-pauk atas meja.

Saat itu aku dapat rasa betapa seronoknya ada keluarga besar macam ni. Akhirnya aku dapat merasai semua ini.

Betul kata ibu, rahsia Allah takkan pernah kita dapat jangka. Aku tak pernah terfikir walau sekali untuk merasai semua ini. Tapi dengan izin Dia, aku dapat rasa erti sebuah keluarga. Nikmatnya sangat terasa.

“Ihsan, baca doa makan.” Arahan dari Uncle Is Cikgu Ihsan sambut dengan patuh.

Allaahumma baarik lanaa fiimaa razaqtanaa wa qinna'adzaabannar. Ya Allah berkatilah kepada kami apa-apa yang Engkau rezekikan kepada kami dan peliharalah kami dari api neraka. Aamiin…”

Doa yang dibaca oleh Cikgu Ihsan diaminkan semua. Tangan mula menjamah juadah yang terhidang enak.

“Subhanallah… makan besar kita malam ni, yang.” Uncle Is bersua muka dengan Aunty Izzah. Aunty Izzah senyum pada suaminya. Dia juga ucap syukur.

“Alhamdulillah, bang. Rajin pulak anak dara kita ni masak hari ni.” Aunty Izzah dah jeling manja dekat aku. Aku senyum malu. Alah apalah sangat aku masak. Simple aje.

“Ada Izzah bagi lauk-pauk ni dekat jiran sebelah? Kongsi-kongsi dengan dia orang.” Uncle Is dah jamah sambal udang yang aku masak. Melihat reaksinya yang positif, aku senyum dalam diam.

“Dah, bang. Ihsan dah tolongkan hantarkan tadi. Hai abang try sambal udang dulu ke? Yang saya masak ni tak nak rasa ke?” Aunty Izzah buat-buat merajuk. Seisi meja mula tergelak.

“Yalah, yalah. Mana yang awak masak? Meh abang rasa. Mesti sedap ni. Sambal udang tip top. Gulai ikan masin ni mesti lagi tiptop.” Uncle Is bercanda mesra dengan isterinya. Borak mereka berpanjangan disahut sekali oleh suara Nek Som.

Aku juga dah mula jamah nasi. Tapi bila aku kerling pada Cikgu Ihsan, pinggan lelaki itu masih kosong tanpa lauk. Aik, tak nak makan ke?

“Ihsan, lauk tu. Ambillah kenapa dibiar kosong pinggan tu.”Aunty Izzah yang turut perasan, mula menegur.

Aku perhatikan saja respon Cikgu Ihsan. Dia mengeluh sebelum bersuara.

“Tak ada siapa pun yang sudi masakkan Ihsan kailan ikan masin. Hmm… mungkin tak ada orang dengar permintaan Ihsan tadi.” Semua yang berada di situ mula jatuhkan pandangan pada Cikgu Ihsan. Rupa-rupanya anak teruna merajuk. Adeh, nak tergelak pun ada. Emosi tak habis-habis anak bongsu Auntie Izzah ni.

“Ya Allah, budak bertuah ni. Hisy, malulah depan Nuha merajuk macam budak kecil macam ni. Mama terlupalah nak masakkan kailan tu. Esok mama buatkan ya.” Aunty Izzah mula memujuk.
Cikgu Ihsan diam saja. Tapi lengan baju Melayu merah menyalanya mula disingsing hingga ke siku. Dia mula ceduk kuah. Sambal udang yang aku masak dia usik dulu. Tanpa reaksi, dia mula kunyah nasi dengan isi udang. Tiada perubahan air muka. Sekadar dia makin sibuk ambil kuah lain.

Aku pandang Aunty Izzah dengan Uncle Is dan Nek Som. Mereka hanya gelengkan kepala sambil senyum pada Cikgu Ihsan.

“Ihsan, Ihsan. Kalau dah ada isteri nanti macam manalah isteri kamu nak layan rajuk kamu ni. Sabar ajelah kan ya, Nuha.” Tak pasti sama ada Aunty Izzah sedang bertanya pada aku atau tujukan ayat tu untuk aku. Aku diam saja.

Dengan curi-curi aku pandang wajah masam Cikgu Ihsan. Petang tadi masa tanam pokok elok saja senyumnya. Sekarang dah merajuk. Mood berubah 360 darjah. Betullah kata auntie. Entah apa nasib isteri Cikgu Ihsan nanti. Yalah mood merajuk selalu singgah. Jenuh nak memujuk.

#BERSAMBUNG....

-Sapelah agak-agaknya isteri Ihsan Zuhri yep ^^






6 comments:

  1. Isteri Ihsan zuhri?? Nuha Huda lerrr

    ReplyDelete
  2. mood swing betoi Ihsan nie, manja sgt dia..
    siapakah bakal isteri Ihsan?? jeng jeng jeng tguuuu cik zu umumkan nnti..;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nuha pun mood swing. Ihsan swing. elok sangat kan depa kak.haha
      jengjengjeng... tunggu na.. ;) lambat lgi nak umumkan.haha

      Delete
    2. lmbt lg ke cik zu nk tau sape bakal isteri Ihsan tue?? seksa jiwa raga akk nk tgu nie

      Delete
    3. lambattttttt lagi kak..sorry to say..dekat2 akhir bru kawin lor si Ihsan tu..huhu

      Delete