JOM FOLLOW

Sunday 11 January 2015

Menjadi Insan Yang Dirindui




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


 “Naufal, memang terbaiklah kau main tadi. Macam Messi kut! Superb!” Pujian melambung tinggi dari Narayan membuatkan Naufal tersenyum sebelah. Hatinya beristighfar untuk tidak mahu dihinggapi rasa riyak dan ujub.

“Biasa-biasa ajelah, Narayan. Abdul dengan Muiz pun main best apa. Semua ni team work.” Naufal bersuara sambil menepuk bahu Abdul dan Muiz yang berada di kiri dan kanannya. Kedua-dua teman baiknya yang tidak banyak cakap itu hanya tersenyum dan tersengih.

“Iyalah Abdul dan Muiz pun terbaik. Aku memang support korang main. Latihan pun dah superb, kalau main betul-betul nanti kena lagi superb, okey!” Narayan yang sememangnya penyokong setia pasukan Naufal teruja memberi kata-kata semangat. Pasukan bola sepak sekolah yang diberi gelaran The Red Giants ini sememangnya ada ramai peminatnya. Paling diminati adalah Naufal, kapten pasukan.

Petang itu, tamat sahaja sesi latihan, mereka berempat melepaskan lelah terlebih dahulu di tepi padang. Keempat-empat anak muda berusia 16 tahun itu tinggal di asrama sekolah. Mereka bersahabat baik walaupun dari latar belakang agama yang berbeza.

“Assalamualaikum, The Red Giants!” Laungan salam dari seseorang membuatkan Naufal, Abdul, Muiz dan Narayan berpaling serentak ke hadapan.

Oh, lupa nak beritahu. Bukan Narayan, Muiz, Abdul dan Naufal sahaja yang berkawan baik. Namun masih ada dua orang lagi yang termasuk dalam kumpulan ini. Mereka adalah Hakim dan Ah Seng.

“Kau dari mana hah, Akim? Banyak nampak buku.” Naufal menegur setelah menjawab salam Hakim.

Hakim tersengih saja. Buku-buku yang dikepit di celah ketiaknya diletak perlahan di atas bangku berdekatan.

“Aku dengan Ah Seng dari library. Cikgu Amar mintak kami berdua kemaskan library sikit. Sebagai upahnya aku mintaklah dekat cikgu nak pinjam buku. Hehe. Buku baru, beb. Tak tidur manalah aku malam ni.” Gembira Hakim bersuara. Buku-buku yang dipinjamnya itu dibelek-belek.

“Hah, kau Ah Seng. Pinjam buku apa pulak?” soal Narayan ingin tahu. Tengok dari jauh macam banyak juga si Ah Seng ni pinjam buku. Satu persamaan Ah Seng dan Hakim. Kedua-dua mereka adalah si ulat buku tegar!

“Aku ada pinjam buku ini. Cuba kolang tengok.” Sebuah buku sederhana tebal dihulurkan oleh Ah Seng kepada Narayan.

Melihat tajuk yang terpampang di hadapan muka depan, dahi Narayan terus berkerut. Buku itu segera diberikan pada Naufal.

Naufal menyambutnya pelik. “Apasal kau ni, Narayan. Passing-passing pulak,” bebel Naufal sambil tersengih lucu.

Narayan bersuara sambil terbitkan muncung panjangnya. “Itu hah. Aku tak faham apa maksud tajuk depan tu. Ah Seng kau silap pinjam buku ke? Ini buku orang Islamlah.”

Kata-kata Narayan buat Ah Seng tersenyum cuma. Dia dan Hakim saling berbalas senyuman.

“Memanglah buku orang Islam. Dah Ah Seng berminat. Tak salah baca buku lain agama. Semua tukan ilmu,” jawab Hakim memback-up Ah Seng.

Narayan hanya menjungkit bahu dan mencebik kecil. Apa-apa sajalah…

“Menjadi Insan Yang Dirindui? Buku apa ni, Ah Seng,” soal Naufal sambil membelek tanpa tujuan buku ilmiah itu. Abdul dan Muiz sempat juga meninjau-ninjau sama isi buku tersebut. Buku ini ada bercakap pasal syurga dan neraka.

“Aku dah ada baca selikit buku ini tadi. Tapi aku tak pandai lor komen-komen. Apa kata kita minta Ustaz Hakim yang celamah. Aku suka dengar dia celamah.”

Sesungguhnya nama Ustaz Hakim itu sudah tidak asing lagi di telinga mereka berenam. Masing-masing terus mengangguk setuju.

“Hah, Ustaz Hakim. Cepatlah celamah.” Canda Naufal meniru gaya Ah Seng. Ah Seng hanya buat muka geram. Mereka semua sudah biasa mengajuk percakapannya yang pelat.

“Ustaz Hakim. Sila-sila.” Ah Seng menyiku lembut lengan Hakim.

Hakim tersenyum sambil angguk. Songkok di kepala dikemaskan sedikit. Dia berdiri dan kawan-kawannya yang lain duduk sambil memasang telinga mendengar ceramah dari ‘Ustaz Hakim’. Mengapa Hakim digelar Ustaz Hakim? Kerana antara mereka berenam, Hakimlah yang paling banyak ilmu dan taat orangnya pada agama. Hakim juga seorang penghafaz al-Quran. Selalu masuk pertandingan tilawah yang sekolah anjurkan. Pagi-pagi suara si Hakim inilah yang berkemundang mengazankan solat fardhu Subuh. Abdullah Hakim. Cita-citanya memang ingin menjadi seorang pendakwah.

“Bismillahirrahmaanirrahim. Okey apa yang aku boleh simpulkan dalam buku ni adalah…” Helaian buku ilmiah itu dibelek-belek Hakim. Dia cuba menyampaikan isi-isi penting untuk memahamkan sahabat-sahabatnya.

“Kalau korang nak tahu. Syurga akan rindu pada empat golongan manusia. Pertama, orang yang gemar membaca al-Quran. Kedua, orang yang memelihara lisan dari ucapan keji dan mungkar. Ketiga pulak, orang yang memberi makan kepada orang yang sedang kelaparan. Dan terakhir orang yang berpuasa di bulan Ramadan.”

Hakim menghabiskan ayat terakhirnya dengan senyuman. Wajah sahabat-sahabatnya ditatap satu persatu. Lamunan Hakim terhenti pada Narayan dan Ah Seng. Ya Allah, moga-moga Engkau suluhkan hidayah untuk mereka berdua. Aamiin. Sempat hati kecil Hakim merintih.

Bukan dia tidak pernah membicarakan soal Islam pada Narayan dan Ah Seng. Dia cuba yang termampu untuk menarik minat mereka berdua itu untuk mengenali Islam. Dengan Ah Seng, Hakim tidak merasa terlalu sukar. Ini kerana Ah Seng suka membaca buku-buku ilmiah yang kebanyakkan buku agama Islam. Cumanya mungkin hidayah belum sampai lagi untuk Ah Seng. Harap suatu hari nanti Ah Seng dapat menjadi salah seorang dari umat Nabi Muhammad SAW. Sama-sama mereka dapat masuk syurga.

Dan mengenai Narayan pula. Hakim cuba untuk bercakap soal agama dengan Narayan. Namun kebanyakan waktu, Narayan lebih suka menjauh. Tapi hari ini Alhamdulillah Narayan sudi mendengar tazkirah pendek ini. Moga Allah bukakan pintu rahmat untuk mereka semua. Yang bukan Islam tertarik untuk memeluk Islam. Dan yang telah beragama Islam makin bersemangat menambahkan ketaatan kepada Allah SWT.

“Kim, kalau syurga rindu pada empat golongan ni, mesti neraka pun ada rindu-rindu jugakkan? Neraka rindu dekat golongan yang macam mana eh,” soal Naufal berminat ingin tahun. Abdul dan Muiz turut anggukan kepala bersetuju dengan pertanyaan Naufal, the captain. Mereka pun nak tahu. Moga terselamat mereka dari menjadi golongan yang dirindu neraka.

Kali ini Hakim duduk bersila. Dia belek-belek buku itu mencari tajuk yang Naufal tanyakan.

“Hah ni ada. Meh aku baca.”

Naufal, Muiz, Abdul, Narayan dan Ah Seng semuanya fokus pada Hakim.

“Antara orang-orang yang dirindukan oleh neraka adalah orang yang meninggalkan solat fardhu. Orang yang tidak memberi makan orang miskin. Senang cerita orang ni tak keluar zakat. Lepas tu orang yang derhaka kepada mak ayah dorang dan putuskan silaturahim. Pemakan riba dan ambil harta orang lain dengan jalan tak betul pun termasuk dalam golongan yang neraka rindu. Lepas tu… hah, Ah Seng kau baca pulak.” Sengaja Hakim menyuruh Ah Seng.

Terketar-ketar juga Ah Seng menyambut buku itu. Dirinya mula rasa tidak layak untuk berceramah.

“Aku bukan olang Islam. Tak apa ke aku celamah dekat lu olang?” Ah Seng bertanya sambil tunduk. Kurang yakin suaranya.

“Apa pulak tak boleh. Inikan ilmu. Semua orang boleh share. Dah baca cepat.” Jawapan dari Hakim buat Ah Seng tersenyum kembali. Tubuhnya segera ditegakkan.

“Eh kejap.” Tiba-tiba Narayan bersuara. Semua mata memandang ke arah budak lelaki singh itu.

“Aku pun nak baca. Tinggalkan untuk aku sikit,” ujarnya dengan wajah serius.

Keinginan Narayan itu buat semua di situ tersenyum ceria. Hakimlah yang paling senang. Terus dia merangkak duduk di sebelah Narayan. Bahu Narayan ditepuk.

“Boleh-boleh. Kau pun boleh baca. Lepas ni aku lantik Narayan dan Ah Seng tukang baca buku-buku macam ni. Kau Naufal, Muiz, Abdul… kalau nak baca jugak, pun boleh. Baca sikit sorang.”

Semua mereka mengangguk setuju. Jelas kelihatan kesefahaman mereka berenam di situ.

“Ah Seng cepat baca. Semua dah tak sabar nak dengar ni.” Muiz yang tak banyak cakap mula bersuara. Dia memang bersemangat nak tahu siapa lagi golongan yang neraka rindu. Tak sanggup nak jadi orang yang neraka rindu. Neraka itu satu azab kut!

“Baiklah aku baca. Olang yang dirindukan oleh neraka ialah orang yang bersaksi dan bersumpah palsu. Para pemimpin dan wakil rakyat yang zalim dan aniaya kepada lakyat juga termasuk dalam golongan itu. Err…” Ah Seng menghentikan bacaannya. Dia berbisik sesuatu kepada Hakim.

“Okey Ah Seng dah habis baca. Narayan pulak sambung.” Hakim menyerahkan buku itu kepada Narayan.
Narayan kelihatan serba salah pula nak menyambut buku agama itu. Dia menggaru belakang kepalanya.

“Baca aje, Narayan. Toksah segan.” Naufal menepuk bahu Narayan. Dia senyum.

Kelat senyuman Narayan saat itu. Dalam segan, hatinya menjerit-jerit meminta dia membaca isi kandungan buku itu. Dia sebenarnya seronok apabila sahabat-sahabat Melayunya mengadakan perbincangan seperti ini. Daripada mereka buang masa melepak, perbincangan seperti ini jauh lebih bermanfaat.

“Aku nak baca yang mana ni, Kim?” soal Narayan kebingungan.

Hakim membelek halaman yang seterusnya. “Hah yang ni. Dengar eh semua. Narayan nak cerita pasal perbualan malaikat Jibril dengan penjaga neraka.”

Semua mula diam. Narayan bersedia.

“Malaikat Jibril menemui malaikat Malik penjaga neraka. Lalu Malik bertanya : “Berapa banyak yang diperlukan?”

Jibril menjawab : “Sebesar buah kurma.”

Malik berkata : “Kalau api neraka sebesar buah kurma diletakkan di dunia, tujuh lapis langit dan bumi semuanya akan hancur lebur.”

Jibril berkata : “Berikan seperduanya saja?”

Malik menjawab : “Neraka sebesar seperdua biji kurma diletakkan di dunia maka langit tidak bisa lagi menurunkan hujan dan bumi menjadi kering.”

Pembacaan Narayan terhenti. Dia tiba-tiba saja menyerahkan buku itu kepada Naufal. Semua kepelikan. Tadi bukan main bersemangat nak baca.

“Aku tak faham apa yang aku baca. Nah kau pulak yang baca,” ucap Narayan.

Naufal hanya angguk. Dia menyambung bacaan itu. Masing-masing kembali fokus mendengar.

Jibril kembali kepada Allah dan bertanya sebesar apa api neraka yang bisa diambil. Allah SWT menjawab : “Cukup sebesar zarah (benda terkecil)”.

Api neraka pun diambil sebesar zarah, kemudian disiram dengan banyak air dan diletakkan di atas sebuah gunung yang besar di permukaan bumi. Gunung itu hancur lebur dan api neraka itu dikembalkan ke tempatnya semula sehingga yang tertinggal hanyalah asapnya.

Sebesar apa pun api di dunia hanyalah asap dari neraka saja. Mendengar hal ini Rasulullah SAW tidak pernah lagi tertawa terbahak-bahak. Rasul hanya tersenyum kecil, mengingati betapa dahsyatnya api neraka itu.


Bacaan Naufal tamat. Wajahnya mula berubah mendung. Baik Hakim, Muiz dan Abdul juga diam lama. Mereka tunduk mendengar ayat terakhir itu.

Melihat keadaan itu Ah Seng dan Narayan saling berpandangan kebingungan.

“Kenapa lu olang diam?” soal Ah Seng.

Naufal, Abdul dan Muiz diam saja. Rasanya Hakim lebih layak bersuara.

“Hmm… kami takut, Ah Seng, Narayan,” jawab Hakim setelah berjeda.

“Takut apa?” tanya Narayan dan Ah Seng hampir serentak.

“Kami takut balasan api neraka. Bayangkan sekecil zarah api neraka pun sudah membuatkan gunung besar hancur lebur. Inikan pula manusia yang dihumban ke dalam neraka nanti. Pasti maha dahsyat seksaannya.”

Kali ini Ah Seng dan Narayan juga sama-sama terdiam. Walaupun tidak faham banyak apa yang Hakim cuba sampaikan namun rasanya maksud sebenar Hakim itu adalah api neraka itu memang sangat panas. Agak-agaknya siapa yang bakal didera dengan api itu ya. Hati Narayan dan Ah Seng tertanya-tanya. Namun mereka pendamkan saja.

“Eh dah jomlah kita balik. Dah lewat petang ni. Malam ni Ustaz Kamal kan jadi imam, Kim?” tanya Naufal seraya bangun. Yang lain juga turut bangun.

“Ha’ah Ustaz Kamal. Malam ni dengar kata ustaz nak buat solat hajat.”

Mereka berenam mula melangkah meninggalkan padang itu. Ah Seng dan Narayan yang ketinggalan di belakang masing-masing saling berpandangan sesama mereka.

Entah kenapa langkah mereka terasa berat setelah mengetahui golongan orang-orang yang dirindui oleh neraka tadi. Apatah lagi cerita Malaikat Jibril dan Malaikat Malik itu.

Hati sebenarnya sedang tertanya-tanya. Adakah mereka tergolong dalam golongan yang neraka rindukan? Kalau begitu, pasti sangat dahsyat seksaan yang bakal mereka terima nanti.

Kalau begitu bagaimana untuk mereka lari dari semua itu? ‘Ustaz Hakim’ pasti ada jawapannya!

[TAMAT]

#Yang pasti cerita ini tidaklah sempurna. Yang baik dari Allah SWT yang buruk dari Cik Penulis.