DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI
BAB 36
BAB 36
“Okey semua dah cukup
kan? Kena tunggu siapa-siapa lagi tak?” Suara lantang Uncle Is buat keadaan
riuh dalam bas mula beransur senyap.
“Semua dah cukup, Is.
Bolehlah gerak.” Kakak sulung kepada Uncle Is yang aku panggil Mak long
bersuara menjawab soalan adiknya. Semua yang berada di situ turut setuju sambil
angguk kepala. Elok bertolak sekarang.
“Baiklah. Dengan lafaz
Bismillah, mari kita sama-sama aminkan doa naik kenderaan ni.” Uncle Is mula
tadah tangan. Semua yang berada dalam bas juga ikut tadah tangan dan aminkan
doa.
Usai baca doa naik
kenderaan, Uncle Is bergerak ke arah pemandu bas. Arahan diberikan kepada si
pemandu untuk memulakan perjalanan mereka. Maka perjalanan kami semua ke Janda
Baik pun bermula…
Aku hanya mampu diam
berada dalam suasana riuh-rendah keluarga besar Aunty Izzah dan Uncle Is ini.
Ya Allah, tak sangka ramai sekali anak-beranak dari kedua-dua belah keluarga
Uncle Is dan Aunty Izzah yang akan join
familyday di Janda Baik. Kufikirkan hanya keluarga Cikgu Ihsan sahaja.
Rupa-rupanya separuh salasilah keturunan yang turun hangatkan aktiviti wajib
tahunan keluarga ini. Kedua-dua belah keluarga dari belah Aunty Izzah dan Uncle
Is memang ada bau-bau bacang. Jadi mereka sememangnya dah kenal rapat antara
satu sama lain.
Hmm… satu keluhan
terluah lagi. Rasa kerdil diri ini melihat kebahagiaan keluarga besar ini.
Semua tempat duduk dalam bas dah penuh. Kesemua yang naik bas seramai 30 orang.
Termasuk budak-budak dan baby-baby
comel.
Aku duduk di kerusi paling
belakang. Tercorot di bahagian paling tepi. Di sebelah aku ada Amirul, Anis dan
Haziq, anak buah Cikgu Ihsan yang makin hari makin rapat dengan aku. Melihat
mereka benar-benar buat rasa rinduku pada Akif dan Adik menggebu dalam hati.
“Kak Nuha, Mirul nak main
game.” Suara kecil Amirul buat aku buang
jauh lamunanku. Aku senyum padanya sambil tolong dia on-kan tabsnya. Inilah kerja budak sekarang. Game dan alatan canggih mereka.
“Mirul nak main game apa?” soalku.
“Biar Mirul pilih
sendiri.” Dirampas tabs itu dari tangan aku. Aku diam sambil geleng kepala. Dibiarkan
Amirul dengan dunianya.
“Nuha kan? Umur awak
berapa?” Tiba-tiba budak perempuan yang bertudung ala-ala Hana Tajima yang
duduk di hadapanku mula menyapa. Aku senyum kelat seraya menjawab soalannya.
“19,” jawabku dengan
nada agak tidak ramah. Walau aku sudah tahu nama si gadis itu namun disebabkan
aku ni bukan jenis peramah, canggung jugalah nak berbual mesra.
“19??? Wah, muda lagi
rupanya. Ingatkan kita sama umur,” ujar gadis yang bernama Misha tu. Misha,
anak saudara Uncle Is. Anak bongsu Mak long…
“Saya 20. Tua setahun
dari awak. Heee….” Dia hulurkan tangan nak bersalam. Aku sambut saja. Lepas dia
senyum, dia kembali fokus dengan telefon canggihnya.
Aku kembali sandarkan
badan ke kerusi. Ingatkan Misha nak borak-borak dengan aku tadi. Erm…
Selain Misha, adalah
beberapa orang yang Aunty Izzah kenalkan tadi. Ramai juga yang masih belum aku
berkenalan. Tak sempat nak berkenalan panjang. Sekadar bersalaman dan
senyum-senyum saja.
Chuik-chuik.
Chuik-chuik.
Kedengaran Miss Pupu
mengeluarkan bunyi menandakan ada pesanan baru masuk. Segera aku baca SMS dari…
Cikgu Ihsan?
Mataku mula meliar mencari
kelibat lelaki itu. Dek kerana kerusi menghadang penglihatan, aku kurang pasti
di mana sebenarnya kedudukan Cikgu Ihsan.
-Nuha okey?
Itu SMS darinya. Aku
jawab ala kadar saja.
-Okey.
-Abang nampak Nuha borak
dengan Misha tadi. Baguslah. Kenal-kenal dengan family baru Nuha ni.
Kepala kupanjangkan
mengjenguk ke depan. Entah dekat mana Cikgu Ihsan menyorok.
-Terima kasih sebab sudi
ajak saya join familyday ni.
Itu yang aku balas.
-Janganlah cakap macam
tu. Nuha kan memang sebahagian dari keluarga ni. Nuha ada bawa bekal air tak?
Kalau tak ada boleh abang ambilkan air mineral untuk Nuha.
Aku tersenyum dengan keprihatinannya.
SMSnya aku balas ringkas. Masih tidak berperasaan.
-Dah bawak dah. TQ.
-Nanti sampai Janda Baik
kita round kampung eh.
-Kampung? Hmm… rindunya
kat kampung.
Kulemparkan pandangan
ke luar jendela. Terbayang wajah arwah ibu, wajah mak su, pak su, Akif dan Adik
di ruang mata. Rindunya aku pada mereka. Walaupun aku tak pasti sejauh mana Mak
Su Kinah dan Pak Su Azam teringat pada aku, aku tak kisah. Aku tak harap mereka
rindu. Andai sudi… cukup mereka doakan aku selamat di tempat orang. Itu pun dah
cukup…
“Nuha okey?” Terkejut
dengan suara itu dan serentak dengan lencongan bas melencong, dahiku terhantuk kuat
ke cermin. Kukk. Adui sakitnya.
“Nuha okey? Sakit tak?”
Cikgu Ihsan dah berdiri di hadapanku sambil memaut kerusi Misha.
Aku pandang dia sambil
angguk kepala. Memanglah sakit. Terkejut aku dengan kehadiran dia dekat sini.
Bukan kami berbalas SMS ke tadi?
“Nuha rindu kampung?
Hmm?” Soalan itu meniti di mulut Cikgu Ihsan. Redup pandangannya ke arahku.
Anggukan kecil aku
berikan padanya. Cukuplah itu menjadi jawapan. Betapa aku rindukan kampung
kelahiranku…
“Saya rindu ibu. Rindu
sangat…,” ucapku perlahan entah Cikgu Ihsan dengar atau tak.
“Dahlah… jangan sedih
macam ni. Nanti mama papa nampak risau pulak dia orang. Nanti sampai Janda
Baik, abang bawa Nuha jalan-jalan, okey. Tak mau sedih dah.” Bagaikan memujuk
budak kecil, Cikgu Ihsan cuba memujuk aku.
Aku angguk lagi tanpa
pandang wajahnya. Aku malu nak balas renungan matanya. Kerana saat itu tubir
mataku mula digenangi air.
“Selesa ke duduk dengan
budak-budak ni? Kalau tak, duduk dekat depan dekat tempat abang. Jom…” Ajakan Cikgu
Ihsan aku jawab dengan gelengan. Air mata aku seka laju tanpa mahu dia perasan
aku menangis.
“Tak apalah, cikgu.
Okey aje duduk sini.” Aku senyum hambar padanya.
Tak mahu dia terus
ganggu aku dengan keprihatinannya yang boleh menimbulkan syak wasangka ramai
orang, aku sibukkan diri mengusik Amirul yang tengah main game Angry Bird.
“Okeylah kalau macam
tu. Abang duduk dulu.” Berat suara Cikgu Ihsan. Tapi aku buat tak endah saja.
Malaslah nak melayan dia. Sebab bukan apa… dari ekor mataku, sudah dapat aku kesan
mata-mata yang memandang ke arah kami berdua. Dari ibu-ibu saudara Cikgu Ihsan…
Akhirnya, dek
kebisuanku, Cikgu Ihsan mula menapak ke tempat duduknya. Rupa-rupanya dia duduk
dekat depan sekali. Belakang pemandu bas. Patutlah susah nak nampak.
Dahi yang masih terasa
sedikit pedih dek terhantuk tadi aku sentuh perlahan. Bila ibu saudara Cikgu Ihsan,
Mak cik Ita berpaling dan senyum pada aku, aku dah keras kejung di situ.
Senyuman nipis aku hadiahkan padanya. Mak cik Ita ni adik bongsu Auntie Izzah.
Dari awal kami berkumpul dekat bas, dia suka tengok-tengok aku. Pandangan dia
tak sinis tapi aku yang rasa tak selesa.
********
Bila dah lama tak naik
bas kepala mulalah ting-tong. Berdenyut kepala ni pening. Tapi Alhamdulillah…
selamat juga kami semua tiba ke Putra Inn di Janda Baik setelah hampir 30 minit
perjalanan. Menurut kata Aunty Izzah, Putra Inn merupakan rumah rehat yang
dimiliki oleh dia dan Uncle Is. Satu Putra Inn ni dah ditempah untuk keluarga
besar ni. Makin kecil aku rasa diri aku ni.
“Okey semua. Ini jadual
untuk aktiviti kita sepanjang lima hari berada di sini. Sama macam tahun-tahun
lepas. Kenalah patuh dengan jadual ni. Semuanya demi kelancaran familyday ni. Kalau ada pertanyaan,
boleh rujuk pada Ihsan, Misha, Amira dan Syamir. Ada apa-apa pertanyaan setakat
ni?” Agak formal Uncle Is berucap. Dah macam kem bina semangat aje.
“Tak ada, Cikgu Besar
Is,” jawab Mak long sambil gelak-gelak. Yang lain juga mula ketawa sama.
“Hisy, kak long ni. Cikgu
Besar apa pulak. Pengetualah. Tengok perut boroi tak boroi.” Aunty Izzah
mengata dengan selamba. Uncle Is picit hidung isterinya geram. Semua pakat gelak
dengan gelagat pasangan bahagia tu.
“Jom semua. Masuk bilik
dulu. Rehat-rehat. Yang perempuan dewasa sila masuk dapur nanti ya. Masak apa
yang patut. Yang lelaki dewasa pulak boleh pasang khemah untuk acara malam
nanti.”
Semua terangguk-angguk
faham. Mereka mula bergerak memunggah beg dan menapak ke chalet masing-masing.
Aku masih termangu di
situ tak tahu nak tuju ikut siapa. Manalah aku tahu di mana letaknya chalet
bernama Kemboja ni.
“Nuha bilik mana?” Satu
suara menyapa. Cikgu Ihsan masih dengan senyumannya. Dia senyum sambil ambil
jadual dari tangan aku.
“Oh Bilik Kemboja.
Sekali dengan Misha, Amira. Kenapa tak ikut dia orang?” Aku pandang ke depan
melihat langkah Misha dan Amira yang baru aku kenal dalam bas tadi dah jauh
menapak. Langsung tak berpaling.
“Nuha kawanlah dengan
dia orang. Dia orang budak baik. Kejap abang panggil Misha.” Tak dapat aku
menghalang, laungan Cikgu Ihsan bermula. Sejujurnya bantuan Cikgu Ihsan sangat
aku perlukan.
“Misha! Misha!” Misha
yang terdengar namanya dipanggil mula berpaling. Amira juga berpaling sama.
“Tunggu kejap.” Dengan
isyarat tangan Cikgu Ihsan menghentikan mereka di situ. Bagasi yang aku heret
dirampas perlahan oleh Cikgu Ihsan. Aku biarkan saja dia angkat beg aku yang
tak berapa nak berat tu.
“Jom,” ajaknya sepatah.
Tak banyak songeh, aku ikut saja dia dari belakang. Sampai dekat Misha dan
Amira, Cikgu Ihsan ajak gadis berdua tu jalan sekali dengan aku ke bilik.
“Sekarang dah masuk
Asar. Lepas solat siapa yang nak ikut abang ronda kampung boleh tunggu dekat
padang. Siapa tak nak sila ringankan tulang-belulang tolong mak-mak dekat dapur
masak. Okay, girls?”
Sambil bersuara Cikgu
Ihsan bercekak pinggang dua belah. Dah macam coach.
“Eleh abang ni. Bajet
masih jadi cikgu sekolah.” Misha gelak mengekek. Amira juga gelak sama. Terus
berubah air muka Cikgu Ihsan. Dia buat-buat marah.
Sambil mengetuk
perlahan kepala budak dua orang tu dengan pen, dia mula membebel. Aku diam saja
menjadi pemerhati. Lucu tengok Cikgu Ihsan membebel macam mak-mak.
“Amboi, amboi mengata
eh. Abang ni bekas cikgu. Masih layak lagi digelar cikgu. Kau orang tu sah-sah
pilih nak ronda kampung, kan? Bukan rajin sangat masak. Macam manalah nak jadi
isteri dan menantu mithali.”
“Amboi abang mengata
eh. Agak-agaklah depan Nuha kut.” Amira bersuara dengan suara geram.
“Malaslah layan Abang Ihsan
ni. Baik masuk bilik rehat dan… tidurrrr…” Misha dan Amira berhigh five. Dengan cebikan geram mereka
menjeling pada Cikgu Ihsan. Beg diheret ke bilik.
“Nuha macam mana pulak?
Nak ronda kampung ke nak masak?” Soalan itu mematikan langkahku.
Muka Cikgu Ihsan yang
tengah berpeluh dek panas disimbahi matahari aku tatap sekilas.
“Masak.” Aku jawab
sepatah. Terus Cikgu Ihsan berkerut dahi.
“Mana boleh Nuha masak.
Nuha kena ikut abang ronda kampung. Lupakan tugasan Nuha sebagai chef bila ada dekat
sini. Nuha kena ikut abang. Titik!” Dia terus berpaling sambil sengih-sengih
tanda dia menang mungkin.
Aku keras di situ
pandang langkah Cikgu Ihsan yang makin menjauh.
Dah pandai memaksa ya
sekarang anak teruna Aunty Izzah yang suka merajuk ni. Hmm… rugi jugakkan kalau
tak ronda kampung. Dengar kata Janda Baik ni terkenal dengan sungai yang
bersih. Seronoknya kalau dapat mandi sungai. Tak jadilah aku masak. Hehe…
BAB 37
Lepas Asar, mana-mana
yang rasa nak ambil udara segar di sekitar Kampung Janda Baik, mula berkumpul
di hadapan laman Putra Inn. Aku yang sememangnya dah di-warning awal-awal oleh Cikgu Ihsan turut menunggu sama di situ
setelah meminta keizinan dari Aunty Izzah yang tengah sibuk masak dekat dapur.
Meriah suasana dapur. Sempat jugalah aku berkenalan dengan ahli keluarga Aunty
Izzah dan Uncle Is yang lain.
“Mana Uncle Ihsan ni.
Cakap nak ronda kampung lepas Asar. Ni dah dekat pukul enam kut. Entah jadi ke
tak ni.” Rungutan dari Anis buat semua yang berada di situ turut sama berbisik
tak puas hati.
Tak ramai rupanya yang
nak ronda kampung. Hanya ada tiga budak perempuan, empat budak lelaki dan
seorang gadis remaja iaitu aku. Segan pulak rasanya nak join budak-budak bawah
umur ni. Misha dengan Amira tak nak ikut sekali. Dia orang lebih selesa duduk
dalam bilik berehat.
“Hah, tu Uncle Ihsan.”
Suara Mizi, adik kepada Amira kedengaran lantang. Kami semua berpaling ke
belakang memandang Cikgu Ihsan yang tengah berlari anak mendapatkan kami.
Simple saja pakaian lelaki itu. T-shirt hitam lengan pendek dan seluar track
putih tersarung di badannya. Kaki pula hanya bercapal.
“Uncle pergi mana?”
“Entah abang ni.
Lambatlah. Ingat dah tak jadi.”
“Kalau uncle lambat
sikit aje tadi, Anis memang dah nak balik.”
Bertubi-tubi rungutan
yang keluar dari anak-anak buah dan sepupu-sepupu Cikgu Ihsan. Lelaki itu
tersengih sambil garu kepala pada kami semua.
“Sorrylah kau orang. Abang tertidur tadi. Lepas solat, lena pulak
diulit mimpi. Sorry eh…” Kami semua
termasuk aku terus mengeluh panjang. Muka masing-masing dah tak puas hati.
Boleh pulak dia lena
tidur. Kita orang dekat sini dah setengah jam menunggu. Hmm, sabar ajelah.
“Okey, okey. Kita gerak
sekarang. Sekarang pun dah enam lebih. Sempatlah round satu kampung dalam masa sejam. Jom kita gerak sekarang.”
Cikgu Ihsan mula
mengetuai rombongan kami. Sempat aku menangkap anak matanya terarah padaku. Dia
senyum lebar sambil angkat kening. Aku pegun dengan muka blur. Apa makna dia angkat
kening macam tu.
“Alah uncle ni. Sejam
aje? Sejam mana cukup nak mandi sungai, uncle. Betul tak kawan-kawan?” Haziq
yang petah bercakap mula kumpul geng dia nak merungut. Namun tetap saja langkah
kami semua mula membuntuti Cikgu Ihsan.
“Kalau tak sempat hari
ni, esok pagi kita boleh ronda lagi. Eh Haziq ni. Tak habis-habis mandi sungai.
Kalau uncle tak bagi mandi apa kau orang nak buat?” Cikgu Ihsan bersuara
seperti mahu menyakat. Semua budak-budak dah bising-bising tak puas hati.
Sebulat suara mereka mengejar Cikgu Ihsan.
Aku yang terbelakang
terpaksa jugalah mempercepatkan langkah. Kenapa aku sorang aje budak perempuan
remaja yang ada dalam group
kanak-kanak riang ni? Kalau aku dekat dapur kan lebih elok. Ini semua Cikgu
Ihsan punya pasal! Entah apa motif dia paksa-paksa aku ronda kampug.
*******
“Damaikan kampung ni.
Cuba Nuha dengar baik-baik. Dengar tak suara burung tekukur tu.” Cikgu Ihsan
matikan langkah. Aku turut sama berhenti melangkah dan pasang telinga mendengar
kicauan burung yang sedang berokestra lunak.
“Dengar tak?” soalnya.
Aku angguk. Dia menguntum senyum lalu duduk di atas batu besar di tebing
sungai. Budak-budak yang lain sedang seronok mandi di sungai yang cetek. Lepas
berjalan di sekitar kampung, jumpa saja anak sungai terus berhenti mandi. Nasib
baik air tak deras. Kalau tak memang tak ada peluang budak-budak tu mandi.
“Nuha tak nak mandi
sungai? Pernah mandi sungai tak?” Ramah Cikgu Ihsan bertanya seakan-akan mahu memancing
perbualan.
Aku geleng padanya tanda
tidak. Untuk duduk sama di atas batu aku tak berapa nak yakin sangat.
Tergelincir karang jatuh macam nangka busuk. Dan bila aku jatuh, takut-takut Cikgu
Ihsan yang tolong. Lagilah haru-biru…
“Tak naklah mandi
petang ni. Simpan untuk esok,” ucapku sambil senyum.
“Esok? Kenapa pulak?”
Tak faham mungkin dengan jawapan aku tu, Cikgu Ihsan bertanya dengan agak
bingung.
“Saya tengok dalam
jadual tadi besok kita ada aktivti dekat sungai. So, esok ajelah mandi puas-puas dekat sungai ni.”
Jawapan aku tu terus
buat Cikgu Ihsan tergelak. Dia geleng kepala.
“Rugilah kalau Nuha
tunggu esok. Esok lagi ramai orang. Nanti Nuha lagi segan nak mandi.” Terbatuk
aku menerima ucapan cikgu muda itu. Terus aku palingkan muka ke hadapan menatap
keceriaan anak-anak kecil itu bermandi-manda. Habis tu mandi-manda petang ni
tak segan ke? Depan dia pulak tu. Memang taklah!
“Err… Nuha happy tak sekarang? Masih rindukan
kampung?” Soalan cepumas itu buat aku mematikan senyuman yang sedang terukir di
bibir dek ralit perhatikan gelagat budak-budak main air. Buat seketika, aku
membalas renungan Cikgu Ihsan.
“Tak sampai tiga bulan
saya jauh dari kampung, cikgu. Rindu tu masih ada, masih menebal. Terutama
rindu saya pada… arwah ibu…” Aku tertunduk. Perasaan sayu mula menyapa.
“Hmm… abang sebenarnya
dah lama nak cakap sesuatu dengan Nuha. Rasanya sekarang masa yang sesuai untuk
abang terus-terang dengan Nuha.” Suara Cikgu Ihsan kedengaran serius. Tiada
lagi tawa kecil mengiringi ucapannya.
Apa yang serius sangat
cikgu nak cakap dengan aku? Tentang… perasaan dia pada aku ke? Dia nak luahkan
perasaannya lagi sekali pada aku ke? Atau dia nak cakap dia tak dapat lupakan
aku dan nak aku belajar cintakan dia? Ah! Harap-harap bukan itu yang Cikgu
Ihsan nak sampaikan.
“Abang nak minta maaf
pada Nuha.” Sebaris ayat itu berjaya membuat aku angkat muka, terkejut. Minta
maaf untuk apa?
Cikgu Ihsan menghela
nafas agak panjang. Dia melompat turun dari batu lalu bergerak mendapatkan aku.
Ada jarak yang memisahkan kami.
“Sebab abang
tergesa-gesa bawa Nuha ke KL, Nuha tak sempat ucap selamat tinggal pada arwah
ibu Nuha. Abang minta maaf. Kadang-kadang abang bertindak di luar kewarasan.”
Kata-kata itu tidak mampu aku balas. Akhirnya aku buang pandangan ke hadapan.
Ya! Memang patut Cikgu
Ihsan minta maaf pada aku andai hal itu yang menjadi keresahannya. Kerana dia
culik aku datang ke KL ni secara paksa, langsung tak sempat aku bertemu buat
kali yang terakhir dengan arwah ibu! Tak sempat aku taburkan bunga di atas
makamnya. Tak sempat aku bacakan Yasin di hadapan makam ibu. Mujurlah aku mampu
lakukan semua itu dari jauh. Bacaan Yasin dan al-Fatihah sentiasa mengiringi
ibu. Hanya itu saja yang mampu aku hadiahkan untuk ibu yang sudah berada jauh
di alam lain.
Tapi… apa guna aku
marahkan Cikgu Ihsan lagi. Jasa serta budi yang dia dan keluarganya taburkan
padaku telah menutup semua kemarahan yang pernah ada dalam hati ini. Aku
maafkan Cikgu Ihsan seikhlas hati aku. Aku dah malas nak semakkan otak dengan
membenci dia atas apa yang pernah dia lakukan pada aku sebelum ini.
“Nuha masih marahkan
abang? Nuha tak sudi maafkan abang?” Lembut suara Cikgu Ihsan menyapa ke
telingaku. Aku paling ke kanan memandangnya. Senyuman nipis aku hadiahkan
untuknya. Saat itu wajah Cikgu Ihsan betul-betul keruh. Bagaikan rasa bersalah
sedang hebat menghimpit sanubarinya.
“Saya dah lama maafkan
cikgu. Tapi tolong jangan buat saya macam tu lagi. Saya takut saya tak dapat
maafkan cikgu lagi kalau benda tu jadi lagi sekali…” Tegas aku meluahkan
pendirianku.
“Ya, Nuha. Abang janji
abang takkan buat Nuha macam tu lagi…” Senyuman manis mula terlakar indah di
bibirnya. Sebuah senyuman yang mampu memberi ketenangan dalam hati kecilku ini.
Kadang-kadang senyuman itu memberi getaran halus di jiwaku…
“Betul Nuha dah maafkan
abang ni? Betul ni?” Dia terus bertanya.
Aku angguk yakin.
“Terima kasih, Nuha…
Abang janji abang takkan ulang kesilapan tu lagi. Abang tak sanggup nak
berdepan dengan kebencian Nuha pada abang. Abang… abang…”
“Saya pun nak ucapkan
terima kasih pada cikgu.” Laju aku memotong percakapannya. Aku bimbang andai
lagi sekali Cikgu Ihsan meluahkan perasaannya terhadapku. Aku tak sudi dengar.
Aku belum bersedia nak fikir pasal cinta!
“Terima
kasih untuk apa pulak ni? Abang tak faham…”
Aku senyum lebih ikhlas.
“Terima kasih sebab cikgu dah ‘hadiahkan’ saya sebuah keluarga yang tak pernah
saya dapat sebelum ni. Indah perasaannya, cikgu. Saya tak sangka dapat rasa
semua ni. Ingatkan selama-lamanya saya hidup sendiri… Terima kasih, cikgu…”
Apa yang aku luahkan itu
buat Cikgu Ihsan tak berkata apa. Tenang pandangannya merenungiku. Makin lama,
entah kenapa aku dapat rasa makin tajam renungannya itu. Pantas aku larikan
anak mata entah ke mana. Hati tak semena berdetak.
Namun degupan itu
berkecai saat telingaku terdengar ada suara yang memanggil nama Cikgu Ihsan
dari belakang. Serentak aku dan Cikgu Ihsan berpaling.
“Ihsan…”
Berdiri di situ Syamir,
anak sulung Mak cik Ita yang sudah lengkap berbaju Melayu dan berkain pelekat.
Dikepalanya tersarung kemas kopiah putih.
“Dah dekat nak Maghrib.
Elok ajak budak-budak tu balik. Anak dara lagi tak elok duduk dekat luar senja-senja
macam ni. Syaitan ramai berkeliaran.” Jelingan mata Syamir terasa melekat ke
anak mataku. Terasa panas muka ini menahan malu. Terus aku tunduk dan palingkan
muka ke belakang. Kaki ini tiba-tiba ringan masuk dalam sungai untuk memanggil
budak-budak balik.
“Nuha nak pergi mana?”
Sempat Cikgu Ihsan menyoal.
“Biar saya yang panggil
budak-budak tu naik.” Aku dah tak mampu nak senyum dan pandang muka Cikgu Ihsan.
Bila aku pandang ke belakang… Syamir masih lagi berdiri tegak di situ sambil
berpeluk tubuh. Terasa saat itu aku bagaikan dicekup berdua-duaan dengan Cikgu
Ihsan dengan melakukan perkara yang tidak elok. Perasaan ini benar-benar bukan
perasaan yang menyenangkan.
>>>>MSPH<<<<
BAB 38
“Tembikai tu dah siap potong ke, Nuha?” tanya Mak cik Ita yang dah siap bertelekung warna kelabu.
“Belum, mak cik. Sikit aje lagi.” Aku jawab sambil senyum.
“Nuha uzur kan? Nuha tengok-tengokkan dapur ya. Mak cik dah lambat ni. Dah dengar imam iqamat tu.” Mak cik Ita terburu-buru melangkah ke pintu. Aku angguk-angguk mengerti dengan arahan yang dikeluarkan olehnya.
Keadaan dapur mula sunyi tanpa penghuni. Semua yang boleh solat sudah bergerak ke musollah yang terletak berhadapan dengan dapur. Sepuluh langkah menapak, dah sampai ke surau.
Sedang aku ralit memotong buah tembikai, aku disapa oleh satu suara. Rupa-rupanya Kak Inas, kakak sulung Cikgu Ihsan juga sama sepertiku.
“Nuha buat apa tu?” Kak Inas menegur. Aku angkat muka pandang wajahnya.
“Ni potong tembikai, kak long. Nak kena potong berapa biji ya? Mak cik Ita cakap tadi lima. Tapi nampak macam sikit aje ni.” Tangan terus ligat membelah tembikai merah. Warnanya memang meriah sungguh.
Baby Adam yang berusia dua tahun diletak cermat oleh Kak Inas ke kerusi. Kak Inas tak duduk sekali sebaliknya dia pantas mencapai pisau dan sama-sama tolong aku potong tembikai.
Aku senyum padanya. Dia senyum padaku. Kerjasama!
“Memang tak cukup ni. Tak apalah kita lebihkan dua biji lagi. Kalau tak cukup nanti kita potong lagi. Bukan susah pun, kan?” Dia tertawa kecil. Aku mengiyakan kata-katanya dengan anggukan.
“Allahuakbar…” Dari corong pembesar suara kedengaran imam mula mengangkat takbir. Saat itulah Kak Inas bertanyakan aku satu soalan ‘cepuperak’.
“Cuba Nuha teka suara siapa yang tengah baca al-Fatihah tu?” Kak Inas bertanya tanpa pandang aku. Secubit tembikai sempat disupkan pada Adam.
Aku menggaru kepala. Siapa ya jadi imam tu.
“Erm… entah. Dengar macam orang muda.” Jawapan aku buat Kak Inas gelak halus.
“Part yang orang muda tu kak long bagi Nuha satu markah. Tapi soalan
ni memerlukan tiga markah penuh. Kalau Nuha jawab tepat, baru dapat full mark.”
Adui, dah macam nak jawab exam. Tahulah Kak Inas ni cikgu sekolah.
Kerja memotong buah tembikai makin aku perlahankan. Aku cuba pasang telinga betul-betul nak cam suara siapa yang tengah baca surah al-A’la pulak sekarang ni.
“Cikgu Ihsan kut,” jawab aku tak berapa pasti.
Kak Inas gelengkan kepala. Aik? Salah ke? Bukan ke Cikgu Ihsan yang selalu jadi imam.
“Itu suara Syamir. Ops sorry. Maksud kak long Ustaz Syamir. Sepanjang familyday ni, dia memang ditugaskan untuk urus aktiviti kerohanian. Jangan main-main, lulusan universiti Kaherah Mesir tau. Ala-ala Mas Azam dalam filem Ketika Cinta Bertasbih gitu.” Kak Inas ketawa lagi.
Aku gelak sama mendengar cerita Kak Inas. Wah, lulusan universiti Kaherah Mesir. Ustaz rupanya si Syamir tu. Patutlah aku kena sound petang tadi. Erk…
“Umur dia berapa kak long? Sama umur dengan Cikgu Ihsan ke?” Mood ‘kepochi’ mula menular.
“Eh tak adalah. Umur dia muda lagi. 23 atau 24 macam tu. Cikgu Ihsan awak tu dah 26. Patutnya dah boleh kahwin. Tapi yalahkan calon tak ada.” Berpasir liur yang aku telan bila dengar Kak Inas cakap macam tu. Calon kak long. Tapi calon tu yang tak nak.
“Nuha…” Suara Kak Inas kendur menyapa ke telinga. Aku pandang wajahnya.
“Ya, kak long…”
Sambil letak pisau ke meja, Kak Inas duduk di sebelah aku. Dalam renungan matanya merenungiku. Buat aku tak selesa.
“Ihsan membesar depan mata kak long. Kak long cukup kenal perangai dia macam mana.” Aku diam. Apa yang Kak Inas cuba sampaikan ni.
“Adik bongsu kak long tu tak pernah jatuh cinta sebelum ni. Nuhalah cinta pertama dia.” Membulat mataku merenungi muka Kak Inas. Ya Allah, kak long dah tahu ke yang aku ni…
“Kak long tak buta nak menilai apa yang sedang melanda hati Ihsan. Kak long tahu dia sayang Nuha lebih dari yang dia cakap. Kalau tak dia takkan bawa Nuha ke rumah kami.”
Tiada kata yang mampu aku luahkan. Apa yang aku nak cakap lagi. Nak nafikan? Aku rasa lebih baik aku diam.
“Kak long tahu Nuha sekarang hanya nak fokus pada study. Dan bukan niat kak long juga nak memaksa, cuma kak long berharap…” Aku makin berdebar. Kak Inas makin serius. Tangan aku mula digamitnya.
“Kak long harap Nuha sudi bagi peluang pada Ihsan. Percayalah, dik. Ihsan akan bahagiakan Nuha… sayang Nuha… cintakan Nuha… jaga Nuha selagi nafasnya dikandung badan. Kak long kenal adik kak long macam mana. Sekali dia sayang orang tu, dia akan sayang sampai bila-bila. Sekali dia cinta, dia akan setia. Tolong buka pintu hati Nuha untuk belajar cintakan Ihsan. Boleh, dik?”
Aku membisu mendengar permintaan dari Kak Inas itu. Setinggi itukah harapan keluarga ini untuk aku menerima cinta Cikgu Ihsan? Jadi benarlah telahanku. Memang ada sesuatu yang tak kena. Patutlah mereka semua terlalu mudah menerima alasan penolakanku pada cinta Cikgu Ihsan. Rupa-rupanya mereka punya agenda untuk memujukku. Agak-agaknya Cikgu Ihsan tahu tak yang Kak Inas dah tahu status hati dia pada aku.
“Ihsan tak tahu yang kak long dah tahu apa perasaan dia pada Nuha.” Aku terkedu. Persoalan sekelip mata terjawab.
“Jadi kak long harap Nuha tak beritahu Ihsan apa yang kak long cakap ni. Ini sekadar harapan kak long pada Nuha. Tak apa kan kalau kak long cakap benda ni pada Nuha?”
Kaku untuk aku mengangguk. Kalaulah Kak Inas tahu yang aku dah tolak cinta adiknya, pasti dia takkan bercakap mengenai hal ini.
‘Maafkan Nuha kak long. Tapi Nuha bukan seorang yang hipokrit. Nuha tetap tak mampu bagi apa-apa pada Cikgu Ihsan. Baik harapan atau peluang, Nuha belum cukup bersedia untuk bertanggungjawab pada hati dan perasaan. Sebab cinta tu bukan sekadar perasaan indah. Namun cinta adalah sebuah tangggungjawab. Kerana cinta melibatkan banyak hati. Banyak hati yang harus Nuha jaga andai Nuha mengizinkan cinta tu masuk dalam hati ni…’
+++++
Teringat aku tertinggal Miss Pupu dalam bilik, segera aku meminta diri dari Kak Inas untuk kembali ke bilik. Sebenarnya lebih kepada untuk lari dari permintaan Kak Inas yang cukup-cukup buat aku terseksa itu. Permintaan Kak Inas untuk aku memberi peluang kepada Cikgu Ihsan tidak aku berikan kata putus. Kebisuan saja yang mampu aku berikan. Akhirnya Kak Inas juga seakan-akan reda dalam kecewa.
Ah, biarkan dia kecewa. Aku lebih takut andai aku ini yang terkecewa dan mengecewakan. Terkecewa kerana pura-pura mencintai lelaki yang tidak aku cinta. Dan mengecewakan Cikgu Ihsan dek pura-pura mencintainya. Antara kami berdua… dua-dua akan terluka!
Sampai ke chalet, aku keluarkan kunci bilik. Pintu bilik dibuka dari luar. Suis pada dinding aku pasang.
Namun, apa yang memeranjatkan aku adalah di saat aku pandang ke katil, aku terpandang satu jasad manusia berpakaian serba hitam sedang terbongkang tidur atas katil. Aku mula cemas. Mahu saja aku menjerit saat itu.
“Awak siapa?!” Aku beranikan diri bertanya. Hati sedang berdegup laju. Sungguh aku takut kalau-kalau ada pencuri yang masuk ke bilik ni.
Manusia berpakaian serba hitam itu mula memalingkan badannya. Anak mata aku dan anak matanya mula bertembung.
“Hai!”
Seorang perempuan rupanya. Tapi siapa perempuan ni? Tak pernah nampak pun.
“Awak room-mate saya eh. Sekali dengan Misha dan Amira tu. Kan?” Dia bertanya.
Aku masih berdiri di muka pintu. Geleng tidak iyakan pun tidak.
“Janganlah buat muka stress macam tu. Saya bukan hantu, saya juga bukan orang jahat. Saya ni salah seorang yang akan join familyday ni jugak.” Perempuan itu tergelak ceria. Dia bangun lalu menapak merapatiku.
Aku yang memang masih tidak percaya seratus peratus padanya, mula menapak keluar. Menapak beberapa langkah ke belakang hinggalah muncul suara Kak Inas di gegendang telinga.
“Airin? Ya Allah budak bertuah ni! Bila kau sampai?”
Kak Inas melintas di hadapanku sambil meluru ke arah gadis tinggi langsing bernama Airin itu. Airin? Macam pernah dengar aje.
“Biasalah kak long. Supriseeeee….” Kak Inas dan Airin saling berpelukan. Anak bongsu Kak Inas, Baby Adam dikucup bertalu-talu oleh gadis bernama Airin itu.
“Ya Allah lupa nak kenalkan. Hah, Nuha. Ni Airin. Airin Qistina. Sepupu kak long.” Kak Inas tarik aku mendekati Airin.
Airin yang ramah lagi mesra mula menghulurkan tangan. Aku sambutnya dengan serba salah. Sepupu? Airin Qistina? Airin…
Owh Airin!
Aku mula dapat tangkap. Akhirnya dapat juga aku melihat wajah Airin yang menjadi perbualan hangat Cikgu Ihsan dan keluarganya. Sampaikan nasi goreng ikan bilis aku langsung tak dilayan Cikgu Ihsan. Hmm…
“Kak long, ini ke orangnya?” soal Airin pada Kak Inas. Dia sibuk pandang wajah aku sambil senyum-senyum.
Buat sekilas Kak Inas pandang aku. Dia senyum. Lalu dia angguk pada Airin. Entah apa yang Airin maksudkan ‘orangnya’ tu.
“Okey. Encik Ihsan Zuhri dah pandai jatuh cinta dekat budak-budak sekolah ya. Jaga dia. Tahulah macam mana Rin nak sakat dia. Kak long, laparlah. Jom makan…” Airin memaut lengan Kak Inas cukup mesra. Suara rengekan manjanya buat Kak Inas tersenyum menggeleng kepala.
“Hah, Nuha. Jomlah ikut sekali. Nuha kan belum makan. Mari.” Pelawaan Kak Inas aku turuti tanpa banyak soal.
Mata tak lepas memandang Airin Qistina. Cantik orangnya. Manja pulak tu. Patutlah ramai orang sayang.
BERSAMBUNG....
#Esok insyaAllah saya akan upload 4 BAB MSPH. Dan selepas tu MSPH akan dihentikan buat seketika sepanjang bulan Ramadan. Ramadan tiba ramadan tiba. Marhaban ya Ramadan! ^^
#Jangan rindu-rindu IhsanNuha ye ^^
#Oh Airin dah sampai. Watak Syamir pun muncul tetiba. Siapakah, apakah, bagaimanakah, adakah.... hehehe...
oh oh oh... byk tanda tnye nie.. ;)
ReplyDelete