DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.
BAB 18
“Nuha… erm… Nuha…”
Lidahku masih kelu. Pertanyaan dari Aunty Izzah aku biarkan sepi tanpa jawapan.
Hakikatnya aku sudah
punya jawapan di atas pertanyaan dari Aunty Izzah itu. Namun aku tidak mampu
melafazkannya dengan kata-kata. Aku takut akan ada hati yang bakal kecewa.
“Maafkan auntie sebab
dah buat Nuha resah macam ni. Sebenarnya semua orang dalam rumah ni hanya tahu
yang Ihsan bawa Nuha ke sini sebab dia bersimpati dengan nasib Nuha yang dah
dibuang keluarga. Macam yang kak long cakap tadi, Ihsan tak mengaku perasaan
sebenar dia pada orang selain dari auntie.”
Aku mula berani angkat
muka pandang wajah Auntie Izzah. Jadi betul apa yang aku rasa tadi. Baik Kak
Inas dan semua yang lain mereka belum tahu status hati Cikgu Ihsan yang
sebenar-benarnya. Apatah lagi mereka tahu yang aku dah pun tolak cinta Ihsan
Zuhri mentah-mentah.
“Sebetulnya auntie kecewa
bila cinta anak bujang auntie ditolak…” Bulat mataku merenungi muka Auntie
Izzah. Ya Allah… dia dah tahu ke yang aku…
“Sebenarnya Ihsan dah
beritahu auntie yang Nuha suka dia hanya sebagai seorang cikgu. Tak lebih dari
tu. Iya, kan?”
Aku tercengang lagi.
Cikgu Ihsan cakap macam tu? Jadi maknanya Cikgu Ihsan tipu mama dia? Bukan itu
alasan aku tolak cinta dia. Aku memang tak suka dia. Aku memang tak boleh
terima dia dalam hati aku. Tapi andai Aunty Izzah sedia maklum dengan penolakan
aku terhadap cinta anaknya, habis tu kenapa aku masih berada di sini? Mengapa
keluarga ini masih sudi menerima aku menjadi sebahagian daripada mereka.
“Auntie faham kalau
Nuha tak boleh terima Ihsan. Cinta tu bukan boleh dipaksa. Lagipun Nuha masih
muda. Masih banyak yang Nuha nak capai dalam hidup Nuha, kan?”
Aku angguk berat.
“Nuha dengarkan apa
yang Uncle Is cakap semalam. Berkasih sayanglah kerana Allah Taala. Andai kita
lakukan sesuatu kerana Allah, insyaAllah kebahagiaan dan ketenangan itu akan
hadir dalam hati kita. Auntie ikhlas terima Nuha menjadi sebahagian dari
keluarga ni. Auntie ingin membahagiakan perempuan yang Ihsan sayang. Auntie
sayang Nuha seperti anak auntie yang lain. Sudikah Nuha terima sayang auntie
ni? Hmm?”
Saat itu aku dapat
lihat dengan jelas mata Aunty Izzah berkaca. Sedang menahan rasakah dia detik
ini.
Sejujurnya hati ini
turut sebak dan pilu. Ya Allah, sungguh mulia hati Aunty Izzah. Tuhan telah
menghadirkan perasaan sayang itu ke dalam hatinya. Siapa aku untuk menolak
kasih sayang dari seorang ibu sepertinya. Kasih sayang yang tulus ikhlas.
Allah sangat tahu saat
ini aku memerlukan kasih sayang dari seorang ibu. Allah tahu saat ini aku lemah
dan hampir lemas dek hempasan ombak masalah. Maka, dengan sifat Ar-Rahman dan
Ar-RahimNya, Dia hadirkan Aunty Izzah untukku. Inilah jalan takdir Ilahi.
PerancanganNya maha sempurna.
“Terima kasih, auntie.
Terima kasih sebab sayang Nuha. Nuha… Nuha bersyukur sangat sebab masih ada
insan yang mampu Nuha menumpang kasih. Nuha… Nuha tak pernah terfikir semua ni
akan jadi pada Nuha. Sebab Nuha tahu Nuha ni bukan siapa-siapa yang layak dapat
kasih sayang macam ni.”
Tak semena-mena tubuh
ini ringan saja mendakap tubuh Aunty Izzah.
“Allah yang berkehendak
semua ni terjadi. Nuha ada dengan auntie sebab Allah nak Nuha hidup bahagia di
samping kami semua. Nuha jangan sedih lagi. Nuha ada kami semua. Kami semua
sayang Nuha…”
Kali ini aku pula yang
membalas pelukannya. Erat.
Terima kasih, ya Allah.
Aku bersyukur atas pemberian dari-Mu ini.
****
“Mama ada berita
gembira nak beritahu kalian semua.” Aunty Izzah bersuara penuh ceria. Semua
yang berada di meja makan mula menghentikan suapan masing-masing. Mereka
memberi fokus kepada Aunty Izzah. Aku pula hanya tertunduk diam di sebelah
Aunty Izzah tanpa berani memandang ke arah mereka semua.
“Nuha dah setuju nak
tinggal dengan kita. Mula dari hari ni Nuha akan jadi sebahagian dari keluarga
kita. Mama harap kau orang semua dapat terima Nuha dengan penuh kasih sayang. Dia
sekarang dah jadi adik kalian…” Tanganku dipegang Aunty Izzah. Perlahan-lahan
aku angkat muka dan memandang ke hadapan. Aku paksakan diri untuk tersenyum.
Senyuman yang masih ragu-ragu.
Namun, senyuman
ragu-raguku itu telah dibalas dengan senyuman yang cukup ceria oleh semua yang
berada di situ. Seakan-akan mereka sangat gembira dengan berita ini. Seakan-akan
mereka mengalu-alukan kehadiranku dalam keluarga ini sepenuh jiwa mereka.
Kukalih sekilas ke arah
Cikgu Ihsan. Lelaki itu tersenyum dengan senyuman lebar yang tak pernah aku
lihat sebelum ini. Terlalu gembirakah dia?
“Alhamdulillah. Lepas
ni mama dengan Nek Som takdelah sunyi
sangat dekat rumah ni. Ada juga teman bergossip. Kan, mama, Nek Som?” Suara Kak
Inas mengalihkan fokusku dari terus memandang wajah Cikgu Ihsan.
“Betul tu, kak long. Nuha,
kalau Nuha nak tahu kak long dengan kak ngah tak tinggal dekat sini. Kak long
mengajar dekat Temerloh. Abang Kamal pulak buka kedai makan kat sana. Kak ngah
pulak ikut cik abang kak ngah ni menetap kat Batu Pahat. Kalau ada cuti barulah
kita orang dapat balik. Lepas ni Nuha dah ada, dapatlah Nuha tengok-tengokkan
mama, papa dengan Nek Som.”
Penjelasan Kak Irine
yang panjang lebar itu aku sambut dengan senyuman nipis. Jadi mereka semua
tinggal jauh dari Kuala Lumpur. Kalau begitulah keadaannya, apa nasib syarat-syarat
yang bakal aku kemukakan pada Cikgu Ihsan nanti. Ya Allah, adakah aku perlu
lupakan saja syarat-syarat itu demi Aunty Izzah, Nek Som dan Uncle Is?
“Lepas ni dapatlah Nuha
kenal lebih dekat dengan Cikgu Ihsan dia ni. Tak mustahil cinta akan berputik.
Kan, ma?” Kak Inas tersenyum pada Aunty Izzah. Aunty Izzah hanya gelengkan
kepalanya bagai meminta Kak Inas menghentikan kata-katanya itu.
“Dah-dah. Jom kita
makan. Nanti sejuk pulak lauk ni.” Uncle Is mula menukar topik perbualan. Dia
kembali menyambung santapannya.
Akhirnya semua yang
berada di situ mengikut Uncle Is. Masing-masing menyambung makan sambil
sesekali mereka berbual mesra.
Semua sedang asyik
dengan santapan masing-masing. Tinggal aku sahaja yang masih bingung. Betulkah
keputusan yang aku buat ini, ya Allah? Resah di hati kembali menjelma. Adakah
istikharahku belum terjawab sepenuhnya?
*******
“Betul Nuha nak tinggal
dekat sini?” Itu soalan yang keluar dari bibir Cikgu Ihsan setelah mengajak aku
ke taman bunga di belakang rumah.
Aku angguk tanpa ada
rasa yakin di hati. Masih lagi ada sedikit rasa ragu. Perasaan itu kembali
menjelma. Sedangkan pagi tadi aku sangat bertekad dengan keputusanku.
“Jadi Nuha setuju dengan
permintaan cikgu, kan? Terima kasih Nuha. Cikgu janji, cikgu akan bantu Nuha
capai cita-cita Nuha. Nuha akan berjaya. Dan kejayaan Nuha ni akan menjadi
kebanggaan arwah ibu Nuha. Dan Nuha akan dapat buktikan pada mak su Nuha yang
Nuha juga mampu berjaya.” Bersemangat dan penuh keyakinan Cikgu Ihsan meluahkan
kata-katanya. Tapi kenapa aku pula yang rasa tak yakin.
“Nuha okey ke?” soal Cikgu
Ihsan sebaris.
“Saya dah fikir
masak-masak, cikgu. Saya tak kisah kalau cikgu nak anggap saya ni tamak atau
pentingkan diri sendiri. Atau saya ni mengambil kesempatan di atas kebaikan
cikgu dan keluarga cikgu. Saya… saya terpaksa…” Muka Cikgu Ihsan aku pandang
serius.
Lelaki itu yang tadinya
sedang tersenyum lebar mula perlahan-lahan mematikan senyumannya.
“Apa yang Nuha cakap
ni?” soalnya, tenang.
Aku tarik nafas. Lalu
kuhembusnya panjang. Aku harus berterus-terang sekarang. Ayuh, Nuha!
“Saya setuju tinggal di
rumah cikgu sebab saya memang dah tak sanggup nak berdepan dengan mak su. Dan
saya juga setuju tinggal di sini sebab saya memang nak capai cita-cita saya.
Dan saya rasa cikgu aje yang boleh tolong saya.”
Aku berjeda seketika.
Lalu kusambung lagi apabila Cikgu Ihsan tidak bersuara. Aku yakin dia sedang
mencari maksud sebenarku.
“Cikgu kena tanggung
semua kos pengajian saya nanti. Sebab saya memang tak ada simpanan bank. Satu sen
pun tak ada. Duit arwah ibu, semua dengan mak su. Jadi saya tak ada apa-apa.
Bila saya dah dapat kerja tetap nanti, saya akan ganti balik duit cikgu. Saya
janji!” Tangan aku angkat seakan berikrar.
Saat itu Cikgu Ihsan
hanya tersenyum nipis. Aku pula yang kebingungan. Kenapa pula dia senyum? Dia
tak percaya dengan janji aku ke?
“Lagi?” Dia bertanya.
Aku kerut dahi. Lagi?
“Erm… dan saya harap
suatu hari nanti saya takkan dipaksa untuk terima cinta cikgu semata-mata saya
dah terhutang budi dengan cikgu.” Ketegasan ku bersuara buat wajah Cikgu Ihsan
bertukar mendung. Dia cuma angguk perlahan tanpa mengeluarkan sepatah kata.
Aku buat bodoh saja.
Malas nak fikir apa yang sedang bermain di hatinya. Bukan salah aku kalau aku
tak mampu balas cinta dia. Setiap orang ada hak bukan? Hak untuk menolak cinta
yang dihulurkan.
“Dan sebenarnya saya
ada dua syarat untuk cikgu. Kalau cikgu boleh patuhi syarat tu, saya akan
tinggal dengan keluarga ni selama mana cikgu mahu.”
“Syarat? Nuha pun ada
syarat?” tanya Cikgu Ihsan dengan mimik muka agak terkejut.
Kepala kuangguk penuh yakin.
Aku takkan tampak lemah di hadapannya.
“Syarat pertama, saya
nak tinggal dekat luar bila dah masuk kolej nanti. Tapi saya tetap akan jenguk
Aunty Izzah, Nek Som dan Uncle Is setiap hari. Saya cuma tak nak menyusahkan
kau orang semua.” Aku pejam mata. Sangat berat untuk aku melafazkan kata-kata
ini. Namun inilah yang aku inginkan. Aku tidak mahu terlalu termakan budi
dengan mereka. Aku bimbang. Bimbang aku tidak mampu membalasnya suatu hari
nanti.
Agak lama kebisuan
melanda kami berdua. Cikgu Ihsan hanya membisu tanpa kata. Mungkinkah dia
sedang berfikir?
“Cikgu tak boleh buat
keputusan tu.” Dia menggelengkan kepala. Wajahnya serius.
“Kalau cikgu tak
setuju, saya takkan….”
“Mama takkan izinkan Nuha
tinggal jauh dari kami. Mama dah anggap Nuha macam anak dia. Nuha rasa dia akan
bagi Nuha tinggal dekat luar? Ya, Nuha boleh jenguk mereka setiap hari. Tapi
keselamatan Nuha ketika berada di luar, Nuha ingat mama tak fikir semua tu?”
Aku terdiam. Tegas Cikgu
Ihsan berkata-kata. Langsung tiada senyuman terukir di wajahnya. Berjaya juga
aku buat dia keluar dari mode ‘tenang’ dia tu.
“Tapi saya cuma nak...”
“Apa syarat kedua Nuha?”
tanya lelaki itu dengan suara agak dingin.
Kutetap bibir perlahan.
Adakah ini bermakna syarat pertamaku sudah ditolak mentah-mentah olehnya? Hmm…
tak apa. Tapi jangan harap dia boleh tolak syarat kedua dari aku. Kalau dia
tetap menolak, aku takkan teragak-agak keluar dari rumah ni hari ni jugak!
“Berhenti dari
menyayangi saya. Saya tak mungkin jatuh cinta dengan cikgu saya sendiri.” Tegas
suara ku menyatakan dua baris ayat itu. Gagal untuk aku memandangnya. Kerana
saat itu air muka Cikgu Ihsan sangat jelas menampakkan bahawa dia sedang
kecewa.
Lama aku menanti
jawapan darinya, dia tetap membisu. Sukarkah untuk dia melepaskan perasaannya
terhadapku?
“Kalau itu yang boleh
buat Nuha terus tinggal dekat sini, cikgu setuju dengan syarat tu.”
Jantungku tak semena
berdegup laju. Dia setuju? Semudah tu? Jadi tak susah baginya untuk melupakan
aku? Betul ke dia benar-benar sukakan aku? Hmm…
“Kalau Nuha ada syarat,
cikgu pun ada satu syarat untuk Nuha. Satu aje.” Kali ini mulut aku pula yang
terkunci. Syarat? Dia juga mengenakan syarat? Syarat merepek lagikah?
Sambil senyum
malu-malu, Cikgu Ihsan membentangkan syaratnya. Terasa pijar muka aku mendengar
syaratnya yang memang sangat merepek-meraban.
“Cikgu nak Nuha panggil
cikgu ‘abang’. Bukan lagi Cikgu Ihsan. Boleh?” Dia tersengih. Kedua-dua belah
keningnya terangkat-angkat comel.
Dan aku… habis meremang bulu roma seluruh badan.
Panggil dia apa? Abang???
>>>>>>>>MSPH<<<<<<<<
BAB 19
“Ke-kenapa saya perlu
panggil cikgu a-abang?” Tergagap-gagap aku bersuara. Panggil dia ‘abang’?
Memang tak munasabah langsung. Dia bukan abang aku pun.
Senyuman nakal Cikgu
Ihsan berterusan menyapaku. Tangannya masih bersilang di dada.
“Kenapa? Erm… sebab mulai
dari hari ni, cikgu bukan cikgu Nuha lagi. Cikgu kan dah berhenti mengajar. So, Nuha tak boleh panggil cikgu ni cikgu.
Faham?”
Ya, aku faham. Faham
dia bukan lagi seorang cikgu. Tapi kenapa mesti aku panggil dia dengan panggilan
keramat tu? Aku tak ada saudara lelaki yang aku panggil abang. Jauh sekali
abang kandung. Ini tiba-tiba Cikgu Ihsan suruh aku panggil dia abang? Mengadanya.
“Saya… saya tak boleh.”
Aku bersuara, menolak.
“Kenapa tak boleh?”
soal Cikgu Ihsan sambil jungkit kening.
“Sebab… sebab…” Aku
tercari-cari ayat yang sesuai. Patutkah aku berterus terang saja? Sebabnya
adalah…
Aku rasa lain macam nak
menyebut perkataan abang tu. Geli-gelamanlah!
“Sebab apa, Nuha? Cikgu
dah ikut syarat-syarat Nuha. Kenapa Nuha tak boleh ikut syarat cikgu? Hmm?” Cikgu
Ihsan menjatuhkan tangannya ke sisi. Ada keluhan berat terluah dari bibirnya.
Kepala yang tidak gatal
aku garu tanpa tujuan. Kenapa suara dia lirih semacam. Kecewakah dia? Tapi
kenapa dia beria-ia sangat ni. Perlu ke ber-abang bagai.
“Kalau Nuha tak boleh
panggil cikgu abang takpelah. Cikgu
tak nak paksa,” ujarnya setelah berjeda lama.
Kutatap wajahnya
mencari kesungguhan di sebalik kata-katanya. Benarkah dia tidak memaksa? Kalau
begitu, syukurlah!
“Tapi…” Cikgu Ihsan
melangkah setapak ke arahku. Aku pegun di situ menanti ayat seterusnya keluar
dari bibir merahnya itu. Bibir merah tanda orang tu tak hisap rokok kan? Hisy!
Apasal aku fikir benda tak penting ni. Aduh…
“Tapi Nuha tak boleh
halang cikgu dari membahasakan diri cikgu ‘abang’ bila dengan Nuha. Okey?” Cikgu
Ihsan senyum leret. Aku pula ternganga kecil di situ. Kenapa lelaki ni degil
sangat? Abang abang… tolonglah!
“Okey. Perbincangan
kita dah tamat, kan? Ada apa-apa lagi yang Nuha nak cakap dengan abang?”
Gulp. Meremang habis bulu
romaku. Cepatnya dia membahasakan dirinya abang. Dah lama praktis ke?
Lambat-lambat aku
gelengkan kepala. Tiada apa lagi yang ingin aku suarakan. Saat ini aku
benar-benar merasa aku sudah tewas. Ah! Benci! Rancanganku gagal sama sekali.
“Baik. Kalau Nuha tak
ada apa-apa nak cakap. Biar abang yang cakap.” Nafasnya ditarik panjang.
Aku diam saja berdiri
di hadapannya. Dia cakap apa? Nak suruh aku panggil dia sayang pulak ke?
Mengarut!
“Demi Nuha terus
tinggal di sini dengan kami semua, abang akan berhenti cintakan Nuha.”
Terkesima aku
memandangnya. Mataku merenung tepat ke anak matanya buat sesaat. Apabila Cikgu
Ihsan senyum padaku, aku pantas melarikan anak mataku dengan memandang ke
bawah.
“Abang akan cuba, Nuha.
Tapi satu aje abang nak beritahu Nuha. Abang tetap akan sayang Nuha seperti
seorang abang menyayangi adiknya. Sebab sekarang Nuha di bawah tanggungjawab
abang. Abang penjaga Nuha.”
Lama aku berjeda
menghadam luahan hatinya. Baguslah kalau dia ingin melupakan perasaannya
terhadapku. Aku takkan sesekali menerima cintanya.
Tapi tunggu dulu. Ayat
terakhirnya itu buat aku mula teringat akan satu hakikat. Dalam kekalutan aku
cuba menyesuaikan diri dalam keluarga ini. Dalam aku terleka menerima kasih
sayang keluarga ini. Dalam aku kusut memikirkan luahan cinta dari Cikgu Ihsan.
Ternyata aku sudah terlupa akan satu hakikat.
Bukankah aku punya rasa
benci kecewa pada lelaki bernama Ihsan Zuhri ini atas apa yang dah dia lakukan
pada aku. Ketidakjujurannya pada aku.
“Oh, saya lupa satu
perkara rupanya.” Tanpa teragak-agak aku menghadiahkan Cikgu Ihsan senyuman
sinis. Berubah terus air muka lelaki itu. Mati senyuman mesranya tadi.
“Saya lupa yang saya ni
dah dibeli oleh cikgu dari Mak Su Kinah. Dibeli dengan harga 20 ribu ringgit.
Kalau cikgu dah beli saya, kenapa cikgu masih pura-pura nak ikut syarat-syarat
saya tu? Cikgu memang ‘berhak’ ke atas saya, bukan?” Jelingan tajam kuhadiahkan
padanya lagi. Biarkan dia tahu bahawa aku masih tidak mampu melupakan perkara
penting itu!
Benciku padanya kembali
menyala. Bodohnya aku kerana yakin benar bahawa lelaki itu sudah menerima
syaratku bulat-bulat. Bukankah dia memang berhak ke atas diriku setelah dia
membeli aku dari Mak Su Kinah? Ah! Hampir aku terlupa. Ya, hampir-hampir aku
terlupa.
******
Kedua-dua tangan
kukepal kemas. Saat ini mahu saja aku menjerit sekuat hati. Sungguh perasaan
benci dalam hati ni pada Cikgu Ihsan kembali membara.
Aku akui, aku sudah
terlupa akan hakikat bahawa aku sudah dibeli oleh lelaki itu. Dan juga aku sudah
diculik olehnya untuk ke sini. Aku dipaksa!
Andai saja aku mampu memberitahu
semua ini pada Aunty Izzah dan Uncle Is, agaknya apa akan terjadi pada Cikgu
Ihsan. Pasti kedua-dua ibu bapanya kecewa dengan tindakan bodoh anak bongsu
mereka itu.
Dan aku juga sebenarnya
hairan. Mengapa Cikgu Ihsan bertindak
untuk bersetuju dengan tawaran Mak Su Kinah. Kenapa dia perlu buat aku bencikan
dia seperti ini.
Sehingga ke saat ini,
lelaki itu masih belum memberi penjelasannya yang sebenar-benarnya terhadapku.
Kenapa dia buat aku macam ni. Kenapa dia beli aku dari mak su. Benarkah dia ikhlas
memberikan duit sejumlah 20 ribu ringgit itu kepada mak su tanpa ada niat
membeliku? Tapi mengapa pula dia menculik aku dan membuat aku tidak sedarkan
diri? Atas tiket dia sayang aku dan ingin membahagiakan aku, dia bertindak
sebodoh ini? Oh jadi maksudnya cinta itu mampu buat orang waras jadi gilalah
ya.
Diri Cikgu Ihsan tidak
dapat aku kenali lagi. Sudahlah aku ini tidak mengetahui banyak perkara
mengenai dirinya. Bagaimana agaknya dirinya yang sebenarnya? Kak Inas cakap dia
penyayang. Penyayang apa kalau asyik menipu aje kerjanya.
Selepas ini apa yang
harus aku buat lagi. Terus tinggal di sini atau larikan diri saja tanpa pengetahuan
siapa-siapa?
Tetapi bagaimana pula
dengan Aunty Izzah. Wanita itu pasti akan cukup kecewa andai aku pergi darinya.
Bukankah aku sudah berjanji untuk menjadi anaknya.
“Ya Allah, apa yang
perlu aku buat sekarang. Tunjukkan aku jalanMu, ya Allah. Bantu aku… bantu
aku…” Aku duduk bersandar lemah di tepi katil. Saat ini aku benar-benar
perlukan ‘malaikat penyelamat’ku.
“Ibu…” Mata mula berkaca.
Sayu hati ini mengenangkan ibu.
“Nuha… Nuha…” Tiba-tiba
ada suara memanggilku dari luar bilik.
Aku kaku di situ tanpa
segera bangun. Air mata pantas aku seka.
Siapa pula di luar tu.
Suara tu macam suara…
“Nuha…” Yakin itu Aunty
Izzah, segera aku bangun.
Dengan lemah kupulas
tombol pintu. Senyuman penuh keterpaksaan aku hadiahkan pada Aunty Izzah sebaik
saja daun pintu dikuak.
“Ya,
auntie…”
Aunty Izzah seperti
biasa tersenyum saja kepadaku. “Jom ikut auntie keluar jalan-jalan. Kita pergi shopping. Uncle Is pun dah bagi green light tu. Shopping sakanlah kita hari ni.” Ada tawa kecil menyusul di hujung katanya.
Tidak dapat tergelak sama, aku hanya melemparkan riak wajah blur. Keluar shopping? Hisy, aku mana ada duit.
“Tapi… tapi Nuha tak
ada duit, auntie. Nuha…” Tergaru-garu aku saat itu. Nak cakap macam mana ya.
Dalam dompet aku hanya ada sepuluh puluh ringgit aje.
“Nuha…” Tanganku Auntie
Izzah capai. Ditepuk-tepuk tangan aku lembut.
“Nuha tak payah risau
pasal duit. Bila auntie ajak Nuha keluar, itu bermakna auntie yang nak belanja Nuha
shopping. Lagipun, Nuha first time datang KL kan? Tak sudi ke
ronda-ronda dengan auntie. Teman auntie pergi shopping. Boring tau
kalau terperuk aje dekat rumah.”
Serba salah aku
jadinya. Perlukah aku bersetuju dengan permintaannya. Tapi mampukah aku
menolaknya. Rasanya macam tak.
“Tapi auntie….” Aku
masih cuba menolak.
“Dah. Jangan fikir
lagi. Nuha pergi bersiap. Ihsan dah
tunggu dalam kereta tu. Auntie turun dulu ya, sayang. Kita jumpa dekat bawah.”
Aunty Izzah melepaskan peganganku. Dia mula menapak meninggalkan aku yang masih
tercengang-cengang di situ.
Cikgu Ihsan pun ikut
sama??? Aku telan liur.
*******
Sungguh aku tidak
senang dengan keadaan yang sedang aku alami sekarang. Berdua-duaan sahaja
dengan ‘si dia’ dalam kereta. Kenapa Aunty Izzah perlu buat aku macam ni?
Adakah dia sengaja ingin mendekatkan aku dengan anak bujangnya ini? Kenapa? Nak
aku lebih kenal dengan Cikgu Ihsankah? Agar aku jatuh cinta pada lelaki itukah?
Tak semudah tu, auntie!
“Mama mesti sengaja tak
nak naik kereta dengan kita. Abang tahu sangat dengan perangai dia tu.” Cikgu
Ihsan bersuara memecahkan kebisuan antara kami.
Sedari tadi hanya
celoteh DJ di radio sahaja yang menghiasi ruang kereta ini. Baru sekarang Cikgu
Ihsan keluarkan suara menegur aku.
“Abang ingat abang nak
belikan Nuha handphone. Nuha belum
ada handphone, kan?” Dari ekor mataku
dapat aku lihat Cikgu Ihsan menoleh ke arahku. Aku masih pegun memandang ke depan.
Boleh dikatakan setiap
kali Cikgu Ihsan membahasakan dirinya ‘abang’, setiap kali itulah jantung aku
berdegup-degap tak sekata. Kalau aku cukup berani, dah lama aku haramkan dia
teruskan bahasakan dirinya ‘abang’.
“Erm, diam maknanya
yalah tu.” Suara Cikgu Ihsan kembali menyapa.
“Nuha suka handphone yang macam mana? Touch screen okey tak?” soalnya lagi.
Aku tetap diam.
“Kalau macam tu abang
belikan Nuha touch screen ajelah.
Sesuai dengan remaja macam Nuha kan.” Cikgu Ihsan terus bercakap seorang diri.
Sesekali aku memandang
ke sisi tingkap. Pemandangan luar menjadi santapan mataku. Apa yang Cikgu Ihsan
ucapkan masuk ke telinga kanan, keluar ke telinga kiri. Aku masih marah
dengannya.
“Kenapa Nuha diam aje
ni? Nuha marahkan abang?” Seperti dapat meneka apa yang ada dalam hatiku,
lelaki itu bertanya.
Kepala kupalingkan
kepadanya. Beberapa soalan terus bertubi-tubi muncul dari bibir.
“Saya nak cikgu terus
terang dengan saya. Kenapa cikgu beli
saya dari mak su? Kenapa cikgu pengsankan saya? Kenapa cikgu culik saya dan
bawa saya ke sini? Kenapa? Saya betul-betul nak tahu. Saya ada hak untuk
dapatkan jawapan dari cikgu!” Tinggi suaraku memberontak inginkan jawapan.
Tapi apa yang
menyakitkan hati apabila Cikgu Ihsan hanya senyum. Senyum dengan tenang.
Aku benci melihat
senyuman tenangnya di saat aku tegas padanya. Seakan-akan dia langsung tak
gerun dengan ketegasanku. Apa dia fikir aku ini perempuan lemah? Perempuan
sendu?
“Kenapa cikgu diam?
Saya serius dengan soalan saya tadi.” Makin meluat aku dengan Cikgu Ihsan. Ah!
Tak suka!
“Kan abang dah beritahu
Nuha jawapan dia,” ucap dia perlahan tanpa memandang wajahku lagi.
“Cikgu jangan main-main
dengan saya. Kalau saya dah dapat jawapan yang pasti dari cikgu, tak mungkin
saya tanya cikgu lagi.” Tegas, berani dan keras. Aku sendiri tidak percaya aku
mampu berbicara seperti ini dengan seseorang. Apatah lagi seseorang itu adalah
seorang lelaki.
“Garang juga Nuha ni
ya.” Cikgu Ihsan masih main tarik tali. Dia tersenyum leret.
Aku memberinya jelingan
tajam dan rengusan penuh geram. Dia cakap aku garang?
“Okey-okey. Kalau Nuha
nak tahu kenapa abang buat semua tu, abang nak Nuha ikut abang pergi ke satu tempat.
Kalau dekat sekolah dulu Nuha ada tempat rahsia, dekat sini abang juga ada
tempat rahsia. Dan sekarang abang nak kongsi tempat rahsia ni dengan Nuha.” Cikgu
Ihsan palingkan muka memandangku.
Mataku dan matanya
bertembung lama. Sedar akan keadaan itu, laju saja kularikan pandangan
memandang ke luar tingkap. Ya Allah, kenapa jantung ni tak habis-habis berdegup
macam nak luruh!
#tinggalkan komen anda ^^
wahhhh.. Nuha dh pndai plak jantung berdup-dap dup-dap ble dgn cikgu Ihsan yerrr..
ReplyDeleteorg tua2 ckp jgn terlalu membenci seseorg takut kendian hr org tue la yg paling disayangi.. just follow the flow, kte tgu dn lihat.. hehehe
Ye ke kak..kalau nuha ttp x suka kat cikgu ihsan camno. Cite ni mungkin ada kelainan sikit kak..huhu.. jgn frust ye kalau nuha ttp x suka kat ihsan zuhri
Deleteowhhh nooooooo... frust la cikgu ihsan.. xpe2 akk tgu je apa yg bakal berlaku nnti.. redha n pasrah.. hehehehe
DeleteAla.. jgn la kasi nuha benci lama sangat dgn ihsan..cian ihsan
ReplyDeleteInsyaAllah tak lama benci nuha tu..
Delete