BAB 20
“Kita dah sampai.” Cikgu Ihsan bersuara setelah sepanjang sepuluh minit perjalanan lelaki itu hanya mendiamkan diri.
Aku pula tidak bertanya apa-apa kepadanya. Hati ini memang tertanya-tanya namun tidak sanggup untuk mengeluarkannya di bibir. Ke mana sebenarnya Cikgu Ihsan nak bawa aku? Ke
tempat rahsianya? Di mana?
Perlahan-lahan kereta yang dipandu oleh Cikgu Ihsan memperlahankan rentak. Dia memarkirkan kereta betul-betul di hadapan sebuah pintu pagar sebuah rumah teres dua tingkat yang dicat dengan warna yang cukup ceria.
Tanpa kata, Cikgu Ihsan keluar dari tempat duduknya. Aku yang kebingungan hanya mengikut langkahnya. Serius pula muka lelaki tu. Buat aku kecut perut aje.
“Di sinilah tempat abang habiskan waktu lapang masa abang kecil-kecil dulu. Sampai sekarang, abang masih singgah ke sini andai ada kelapangan,” ucap Cikgu Ihsan memulakan bicara.
Kami berdua sama-sama menfokuskan pandangan pada rumah teres yang tersergam di hadapan kami. Suasana di dalamnya kedengaran riuh-rendah dengan suara kanak-kanak.
Aku terpandang pada sebuah signboard yang terpacak di tepi pagar rumah. Di situ tercatat nama “Rumah Anak Yatim Firdausi”. Rumah anak yatim? Kenapa Cikgu Ihsan bawa aku ke sini?
“Untuk jawab soalan Nuha tadi, abang perlu ceritakan tentang rumah anak yatim ni pada Nuha.” Cikgu Ihsan memandangku sekilas. Kami bertentang mata barang seketika. Aku dan dia sama-sama berdiri sambil menyandarkan badan ke kereta.
Mata kualihkan kembali melilau memandang ke sekeliling. Lengang kawasan perumahan ini tanpa kehadiran penghuni-penghuni lain. Yang ada hanyalah dua tiga orang warga emas sedang berborak di sebuah pangkin yang terletak jauh dari tempat kami berdiri.
“Sejak dari kecil lagi, mama dan papa dah ajar abang, kak long dengan kak ngah untuk buat baik dengan anak-anak yatim dan orang-orang susah. Mereka selalu bawa kami bertiga ke sini.” Suara Cikgu Ihsan menyapa ke cuping telinga. Aku kembali fokus kepada rumah teres di hadapan kami. Oh, jadi seluruh keluarga Cikgu Ihsan memang dah familiar dengan rumah anak yatim ni. Tapi rumah ni milik siapa? Siapa pengasasnya?
“Kalau Nuha nak tahu, rumah anak yatim ni mama yang tubuhkan.” Gulp. Pantas kupalingkan muka memandang wajah Cikgu Ihsan untuk sesaat. Macam tahu-tahu aje aku nak tahu pasal benda tu.
“Dekat sini bukan hanya ada anak-anak yang kehilangan ibu bapa saja. Bayi yang tak sah taraf pun ada.” Aku terus terpana. Sekali lagi aku pandang muka Cikgu Ihsan dan dia juga pandang muka aku. Entah kenapa hati mula terguris.
“Nuha jangan salah faham. Abang bukan…”
“Tak apa, cikgu. Saya faham.”
Keluhan kusembunyikan. Anak tak sah taraf. Itulah diriku yang sebenar-benarnya. Hmm… Adakah keluarga Cikgu Ihsan tahu bahawa aku ini anak haram? Andai mereka tahu, sudah pasti mereka tidak dapat menerima aku. Jadi itu bermakna tak semua pasal aku Cikgu Ihsan ceritakan pada keluarganya. Syukurlah. Sekurang-kurangnya tidak bertambah golongan yang bakal mencaci dan menghina aku dan arwah ibu. Tidaklah hati ini kembali berdarah.
“Nuha…” Cikgu Ihsan memalingkan tubuhnya. Dia bergerak mendekatiku setapak.
“Nuha okey ke? Abang minta maaf kalau abang dah buat Nuha terasa hati. Abang tak ada niat langsung.” Senyuman nipis kucarikkan di wajah. Ucapan maaf dari Cikgu Ihsan aku balas dengan jawapan tenang.
“Cikgu jangan risau. Saya tak apa-apa. Tapi… ada satu benda yang saya perlu tahu. Erm… uncle, auntie dan semua orang dalam rumah tu dah tahu ke siapa saya yang sebenarnya? Hmm? Yalah saya nikan anak tak sah taraf. Cikgu tak beritahu mereka kebenaran tu ke?”
Agak kaku Cikgu Ihsan saat itu. Namun, setelah beberapa detik hanya gelengan yang aku terima darinya. Sambil bersuara dia kembali menyandarkan badannya ke kereta.
“Hanya mama dan papa aje yang tahu. Dan mereka dapat terima semua tu.” Perasaan malu mula tumbuh di dalam jiwa. Jadi, Aunty Izzah dan Uncle Is tahu tentang masa lalu ibuku dan siapa aku yang sebenarnya? Ya Allah…
“Tapi Nuha jangan pernah rasa rendah diri. Mama dan papa tetap sayangkan Nuha seperti anak mereka. Nuha belum kenal dengan mama papa abang. Dia orang menghulurkan kasih sayang… Lillahita’ala. Rahsia Nuha akan selamat bersama mereka. Percayalah.” Cikgu Ihsan menggariskan sebaris senyuman seakan-akan dia cuba menyedapkan hatiku.
Ah… Terlalu mudah dia berkata-kata.Aku tetap rungsing memikirkan soal ini. Kalau betul auntie dan uncle boleh terima aku, adakah ahli keluarga mereka yang lain dapat menerima aku juga andai rahsia besar ini terbongkar nanti? Adakah aku sekali lagi bakal dihina dan dikeji kerana status ku sebagai anak haram? Ya Allah, aku dah tak sanggup lagi nak terima semua penghinaan tu. Cukuplah apa yang dah aku terima di kampung dulu. Di sini, aku benar-benar mahu hidup sebagai Nuha Huda yang baru. Kehidupan baru yang mampu memberi aku sebuah kebahagiaan yang aku damba-dambakan.
“Nuha jom kita masuk dalam. Abang nak tunjukkan pada Nuha suasana dekat dalam. Besar pahalanya buat baik dengan anak yatim ni, Nuha. Sebab tu abang nak bahagiakan Nuha.” Cikgu Ihsan memulakan langkahnya.
Aku terpinga-pinga di situ menghadam kata-kata terakhirnya itu. Dia ingin membahagiakan aku? Bahagiakan aku sebagai seorang adik atau lebih dari tu? Ah! Apa yang aku merepek ni! Bukan ke Cikgu Ihsan dah beri jaminan yang dia akan lupakan perasaan cintanya tu. Ya, tak mungkin dia sayang aku lebih dari tu.
Melihat kelibat Cikgu Ihsan sudah jauh masuk ke halaman rumah, aku cepat-cepat menapak sama. Bagaimana agaknya suasana di dalam sana. Beberapa detik saja lagi aku bakal bertentang mata dengan anak-anak yang senasib denganku. Seharusnya aku tidak rasa janggal dengan mereka.
*******
“Assalamualaikum bonda.” Cikgu Ihsan menghulurkan salam sebaik saja kami berdua melangkah masuk ke sebuah bilik. Pada pintu masuk bilik itu tertulis nama Bonda Orked. Siapa agaknya Bonda Orked ni ya.
“Waalaikumussalam… eh, Ihsan! Kenapa tak beritahu bonda nak datang?” Wanita yang membahasakan dirinya bonda itu segera bangun dari kerusi menyambut baik kedatangan Cikgu Ihsan. Kelihatannya hubungan mereka sangat akrab.
“Ihsan singgah kejap aje ni, bonda. Nak jenguk adik-adik. Bonda apa khabar? Bertambah cantik ya sekarang.” Lelaki itu menyalami tangan Bonda Orked lalu dia mengeluarkan lawak jenakanya itu. Dah banyak kali Cikgu Ihsan buat lawak tapi aku langsung tak gelak.
“Hisy, kamu ni. Cantik apanya dah tua dah. Tunggu masa aje.” Jawapan Bonda Orked buat Cikgu Ihsan geleng kepala. Muncungnya mula terbit panjang.
Saat itu aku hanya memerhatikan tingkah kedua-dua manusia di hadapanku itu. Tak sangka Cikgu Ihsan pandai tarik muncuk itik. Bajet comel ke? Erk…
“Eh lupa pulak nak kenalkan pada bonda.” Cikgu Ihsan memandang ke arahku. Dengan isyarat mata dia bagaikan meminta aku mendekatinya. Aku ikutkan saja. Berdiri tegak aku di sebelahnya.
“Bonda, kenalkan ini Nuha. Nuha Huda, calon Ihsan yang ke lima belas.” Cikgu Ihsan menekup mulutnya menahan gelak. Sekali lagi dia buat lawak bodoh. Calon ke-15? Betul ke main-main ni?
“Apa khabar, bonda?” Berkat didikan arwah ibu, aku menegur ramah Bonda Orked. Tangan tua wanita itu aku salami penuh hormat.
Bonda Orked menguntum senyuman mesranya. Dia menilik aku dari atas ke bawah. Lantas, pandangannya teralih pula pada Cikgu Ihsan.
“Calon ke lima belas ke calon pertama dan terakhir?” Saat itu aku dan Cikgu Ihsan tak semena-mena sama-sama tersedak. Kami terbatuk-batuk kecil. Sungguh apa yang berlaku ini memang tidak dirancang.
“Hah tengok tu. Batuk pun sama-sama. Ada jodohlah tu.” Bonda Orked bergurau selamba. Dia duduk kembali ke kerusinya.
Wanita itu kelihatan lebih berusia dari Aunty Izzah. Mungkin sama umur dengan Nek Som. Barangkali dia ini pengurus rumah anak yatim ni.
“Bonda ni bab menyakat nombor satu. Erm, bonda sihat? Rindulah dekat bonda. Minggu lepas tak dapat lepak sini. Tapi lepas ni, hari-harilah bonda akan tengok muka anak bonda yang kacak ni.” Dalam berbual mesra dengan ‘bondanya’, sempat pula Cikgu Ihsan menarik kerusi untuk aku duduk. Dia tersenyum sebaris.
Bibir ini entah kenapa ringan saja nak membalas senyuman dia tu. Seronok bila dengar Cikgu Ihsan berborak rancak dengan Bonda Orked. Lain pula sikap lelaki ini apabila dengan Bonda Orked. Atau mungkin inilah sikap sebenrnya? Keperibadian Ihsan Zuhri masih menjadi misteri untuk aku rungkaikan. Bukankah untuk mengenali diri seseorang kita memerlukan masa?
*******
“Seronokkan tempat rahsia abang tu?” tanya Cikgu Ihsan setelah kami berdua sama-sama masuk ke dalam kereta.
Hampir setengah jam juga kami berada di rumah anak yatim itu. Aku dibawa melawat ke sekeliling rumah, berkenalan dengan staf-staf dan adik-adik yang berada di situ. Dan ternyata mereka semua amat menyenangi Cikgu Ihsan.
Dan yang paling jauh dari sangkaanku adalah Cikgu Ihsan suka berjenaka orangnya. Walaupun ianya tidak kelakar tahap Raja Lawak, namun lawaknya itu buat kanak-kanak di sekelilingnya menyenangi lelaki yang digelar ‘Abang Ihsan’ itu.
“Nuha macam tak seronok aje. Rindu tempat rahsia Nuha ke?” Cikgu Ihsan bertanya. Stereng kereta dipusing ke kanan. Kereta mula bergerak meninggalkan kawasan perumahan Bukit Kiara.
“Macam mana cikgu boleh tahu tempat rahsia saya tu? Sebelum ni tak ada siapapun tahu pasal tempat tu.” Mahu tidak mahu, terkeluar juga pertanyaan itu dari mulut. Alang-alang Cikgu Ihsan sudah mulakan. Apa salahnya aku bertanya terus.
Cikgu Ihsan tetap fokus memandu. Dia menjawab soalanku setelah berjeda beberapa detik.
“Erm… okey. Untuk jawab soalan tu, abang perlu bercerita tentang kisah cinta abang. Nuha sudi dengar ke? Abang tahu Nuha tak suka bercakap soal hati tapi untuk jawab semua soalan Nuha, bagi merungkai semua persoalan… abang kena juga bercerita pasal kisah cinta abang. Sudi dengar?”
Kisah cinta Cikgu Ihsan? Sudah semestinya ia tentang kisah cintanya terhadapku. Ah… malunya. Mana aku nak letak muka aku ni.
“Tak apalah. Kalau Nuha tak sudi dengar sekalipun abang tetap nak bercerita. Kalau tak sudi dengar, tutuplah telinga tu.” Cikgu Ihsan memperlahankan radio. Macam bersemangat aje nak cerita pasal kisah cinta dia tu.
Dalam tak sedar, aku juga bersiap sedia mendengar ceritanya. Aku perlu dapatkan jawapan yang selama ini membelenggu relung hati. Hanya dia saja yang boleh merungkai segala persoalan yang bermain di minda ini. Hanya dia.
“First time abang jumpa Nuha masa tu dekat depan library. Kita bertembung. Nuha nak masuk, abang nak keluar. Waktu tu Nuha senyum pada abang.”
Terasa membahang muka aku mendengar hikayat cintanya yang baru bermula tu. Patutkah aku terus mendengar semua ini?
Tapi hati berat nak menolak. Jauh di sudut hati kecilku, aku ingin mengetahui bagaimana rasa cintanya terhadapku mampu tumbuh. Bagaimana? Bila? Sedalam mana perasaan itu?
“Demi Allah, abang tak tipu masa tu jantung abang memang berdebar macam nak gugur. Kenapa… kenapa aku berdebar macam ni. Itu yang abang tanya pada diri abang.”
“Sejak dari hari tu, abang berusaha untuk cari maklumat tentang diri Nuha. Sampai satu tahap, abang mengaku abang intip Nuha ke tempat rahsia Nuha.”
Aku tercengang. Terus kukalihkan muka memandangnya. Cikgu Ihsan hanya tersenyum. Dia menyambung kata tanpa memandang wajahku.
“Makin lama, abang makin yakin dengan perasaan abang. Abang yakin abang dah… dah jatuh cinta dengan Nuha.”
Ya Allah, ingin saja aku menghentikan semua ini. Cukup, cikgu. Saya tak nak dengar apa-apa lagi!
“Semua pasal Nuha abang ceritakan pada mama. Mama restu andai abang betul-betul nak memperisterikan Nuha. Sebab tu abang mula mendekati Nuha. Abang sengaja selalu datang jumpa Nuha waktu kelas. Abang sengaja panggil Nuha ke bilik guru. Abang sengaja beri Nuha bekal. Semua tu sebab abang nak tunjuk pada Nuha yang abang betul-betul sukakan Nuha. Betul-betul ambil berat tentang diri Nuha.”
Cukup segan mendengar semua luahan itu, aku pantas menekan butang membiarkan cermin kaca terbuka luas. Mukaku terasa pijar. Perutku terasa senak. Jantungku pula berdetak tidak senada. Kuhirup dalam-dalam udara dari luar.
“Kalau boleh abang memang nak lamar Nuha secepat mungkin. Tak kisahlah Nuha cintakan abang atau tak. Yang abang tahu, abang sayangkan Nuha dan nak membahagiakan Nuha. Tapi belum sempat abang teruskan niat abang tu… Nuha berduka dengan berita kematian ibu Nuha. Abang tak sanggup nak bebankan Nuha dengan lamaran abang. Jadi abang pendamkan saja perasaan abang pada Nuha.”
Cikgu Ihsan turut menurunkan cermin kaca di sebelahnya. Terdengar hembusan berat lagi panjang keluar dari bibirnya. Dia juga pasti segan dengan semua ni. Aku yakin!
“Kalau Nuha nak tahu, duit dua puluh ribu yang abang bagi pada mak su Nuha tu abang betul-betul ikhlas nak bagi pada dia. Abang tak ada niat untuk beli Nuha dari dia. Sumpah!” Lantang suara Cikgu Ihsan meyakinkan aku.
Aku tetap membatu. Namun, yang geramnya air mata tiba-tiba berat menampung di pelupuk mata. Perlahan-lahan empangan air mataku musnah. Kenapa aku harus menangisi semua ini?
“Abang betul-betul nak ajak Nuha ke Kuala Lumpur untuk tinggal dengan family abang. Abang ada mintak izin dari mak su Nuha tanpa pengetahuan Nuha. Tapi mak su Nuha tak bagi. Sebaliknya dia bertindak nak jual Nuha. Ya abang mengaku abang salah dalam hal ni. Sebab terlalu nak Nuha ikut abang, abang terpaksa pura-pura beli Nuha dari mak su.”
“Masa tu abang yakin Nuha dah bencikan abang seratus peratus. Tapi abang juga tahu abang harus tabah untuk redah semua yang dah abang mulakan. Tapi Nuha tiba-tiba nak larikan diri dari abang. Sebab tu abang terpaksa pengsankan Nuha dan bawa Nuha ke Kuala Lumpur. Abang mintak maaf, Nuha…”
Cikgu Ihsan berhenti bercerita. Suasana bisu menghiasi ruang antara kami.
Detik itu, aku cuba untuk bertahan. Bertahan untuk tidak menghemburkan kata-kata biadap terhadap lelaki yang hakikatnya telah banyak membantu aku. Setelah kematian ibu, Cikgu Ihsan yang sentiasa ada di sisiku. Andai dia tiada, entah bagaimana nasibku saat ini. Semua ini aturan Tuhan. Sudah tercatat di Loh Mahfuz bahawa perjalanan hidup seorang gadis bernama Nuha Huda akan dihiasi oleh seorang lelaki bernama Ihsan Zuhri.
Mendengar apa yang Cikgu Ihsan sampaikan tadi membuat aku makin merasa kecewa dengan Mak Su Kinah. Jadi, ibu saudaraku itu nekad benar ingin membuang aku dari rumah itu. Bukan. Bukan dari rumahnya. Yang lebih tepat adalah menghapuskan aku dari hidupnya!
Berkali-kali hati ini cuba menafikan kebencian Mak Su Kinah terhadapku. Mungkin kebencian Mak su Kinah tidaklah terlalu kental. Mak su Kinah pasti masih ada sekelumit belas untukku. Mak su sayangkan aku. Mak su akan terima aku juga suatu hari nanti.
Tapi sayangnya semua itu hanya mampu menjadi angan-anganku. Hakikatnya mak su benar-benar bencikan aku dan tak nak tengok muka anak haram ni lagi. Betapa pilunya hati ini menerima kebenaran yang cukup menyakitkan itu.
“Sewaktu Nuha pengsan, abang singgah sebentar ke rumah Nuha untuk ambil pakaian dan barang peribadi Nuha. Abang cuba jelaskan semuanya pada mak su, kenapa abang nak bawa Nuha ke Kuala Lumpur. Abang minta izin dari dia. Tapi sikit pun mak su tak layan. Dia minta abang bawa Nuha jauh dari hidup dia. Waktu tu abang sedar… bermula dari detik itu abang bertanggungjawab untuk jaga Nuha.”
Kubiarkan saja air mata membasahi pipi. Aku harap ini adalah kali terakhir aku menangis demi kebencian mak su terhadapku. Aku takkan menangis lagi selepas ini. Takkan!
“Abang tahu Nuha tak mampu balas cinta abang. Abang juga tak nak Nuha terpaksa cintakan abang. Tapi Nuha kena yakin satu perkara. Abang sayangkan Nuha kerana Allah. Walaupun kita tidak ditakdirkan bersama dalam sebuah ikatan perkahwinan sekalipun, abang tetap sayangkan Nuha seperti seorang adik. Abang janji abang akan jaga Nuha dan bahagiakan Nuha. Buat Nuha lupakan segala penderitaan Nuha semasa di kampung dulu. Izinkan abang bahagian Nuha…”
Perlahan-lahan aku palingkan muka menatap wajah Cikgu Ihsan. Wajahku yang sudah lencun dengan air mata aku kesat dengan belakang tangan. Kebenaran kata-kata Cikgu Ihsan cuba aku temui dari sinar matanya. Benarkah dia ingin menyayangi aku tanpa mengharapkan aku membalas cintanya itu? Jadi, aku tidak perlu membayar budi dan jasanya dengan sebuah perkahwinan paksa suatu hari nanti?
“Abang janji, abang takkan paksa Nuha untuk terima abang. Cukuplah Nuha sudi terima kasih sayang abang sebagai seorang abang. Itu aje yang abang minta. Dan tolong… tolong jangan pergi jauh dari abang. Berada di sisi abang sehingga Nuha benar-benar mampu untuk pergi dari hidup abang…”
Ayat terakhir Cikgu Ihsan itu cuba aku rungkaikan maksudnya. Adakah itu bermakna aku boleh pergi dari hidupnya setelah aku benar-benar mampu untuk hidup berdikari tanpa mengharapkan bantuan darinya lagi? Andai itu terjadi, adakah aku benar-benar akan bebas daripada terus dibayangi bayang-bayang kasih sayangnya?
>>>>>MSPH<<<<<
BAB 21
Seharian suntuk aku
keluar jalan-jalan keliling kota Kuala Lumpur sambil membeli-belah sakan.
Sangat aku terharu dengan layanan dari Aunty Izzah dan Cikgu Ihsan. Terasa
bagaikan aku punya sebuah keluarga. Rasa bahagia mula hadir menyapa.
Kini segala persoalan
sudah aku dapatkan jawapannya. Maka, aku memasang satu tekad di dada. Lupakan
segala masalah yang membelenggu jiwa.
Fokusku hanyalah satu. Aku ingin berjaya mencapai cita-citaku dan
membuat arwah ibu merasa bangga. Akan aku kejar kebahagiaanku sendiri. Aku
takkan berpaling lagi. Dan yang paling penting, aku nak tunjuk pada Mak su
Kinah dan Pak su Azam, budak yang mereka benci dan hina ni juga mampu berjaya
dengan izin Allah Yang Maha Esa!
Perasaan benci dan
marahku pada Cikgu Ihsan pula akan cuba aku hapuskan. Aku kini sudah kembali
memberikan kepercayaan kepada lelaki itu. Aku yakin di saat dia mengatakan
bahawa dia tidak akan memaksa aku membalas cintanya, dia takkan memaksa aku
lagi.
Lagipun, kisah hidupku bukanlah seperti kisah
heroin dalam sebuah novel atau drama. Yang kebanyakannya memilih untuk terikat
dengan hero semata-mata kerana terpaksa membalas jasa.
Aku mampu membuat
pilihanku sendiri. Tidak perlu aku ‘dijodohkan’ secara paksa dengan Cikgu Ihsan.
Jadi sekarang aku sudah
mampu menghirup nafas lega. Lupakan segala masalah, senyumlah pada dunia.
Kebencian Mak Su Kinah
dan Pak Su Azam aku akan simpan jauh di lubuk hatiku. Kini, aku hanya dahagakan
kasih sayang dari seseorang yang ingin menyayangi aku kerana Allah. Dan aku
bukanlah manusia yang terlalu kejam untuk tidak pandai menghargai.
Andai Aunty Izzah, Cikgu
Ihsan dan semua yang lain mampu menyayangi aku kerana Allah, aku juga pasti
mampu menyayangi mereka Lillahi ta’ala!
“Kak Nuha oh Kak Nuha!”
Lamunanku terganggu dengan kemunculan panggilan itu.
Dari berbaring atas
katil, aku bangun menegak. Mata kukalihkan memandang ke pintu bilik. Suara
macam budak-budak aje? Oh, pasti itu anak-anak buah Cikgu Ihsan. Haziq, Amirul
dan Anis.
Aku segera melangkah ke
pintu bilik. Daun pintu kukuak perlahan.
“Hai Kak Nuha!”
Ketiga-tiga mereka serentak menengurku ceria. Aku tersenyum pada mereka.
“Hai. Apa kau orang
buat kat sini?” tanyaku ingin tunjukkan kemesraan. Sudah dua hari aku berada di
sini. Namun, belum sempat aku berkenalan dengan mereka bertiga lebih dekat.
Apabila melihat mereka, rasa rinduku pada Akil dan Adik terus menyapa ke lubuk hati. Sungguh aku
rindu pada mereka berdua.
“Kita orang ada hadiah
untuk Kak Nuha.,” ujar Haziq sambil mendongak memandangku. Anis dan Amirul
hanya anggukkan kepala. Tanpa dipelawa mereka menapak masuk ke dalam bilikku.
Aku hanya tersenyum menyambut kedatangan mereka.
“Hadiah? Siapa yang
bagi?” soalku sebaik saja kami berempat sama-sama duduk di atas katil.
“Hadiah untuk Kak Nuha
dari Pak su Ihsan!” Sekali lagi mereka menjawab serentak. Cuma Amirul aje yang
terlambat sedikit.
Dahi kukerutkan tebal.
Hadiah dari Pak su Ihsan? Cikgu Ihsan nak bagi aku hadiah apa pulak? Bukan dah
banyak ke yang aku beli masa shopping
tadi.
“Ambillah. Pak su suruh
Kak Nuha buka hadiah ni cepat-cepat,” beritahu Anis pula.
Mataku beralih pada
sebuah kotak sederhana besar yang sudah berbalut cantik dengan kertas pembalut
hadiah bunga-bunga yang dipegangnya. Ada sekeping kad terlekat pada kotak itu.
Lambat-lambat aku
menyambut huluran dari Anis. Aku senyum kelat.
“Betul ni untuk Kak Nuha?”
soalku pada mereka.
Mereka bertiga
mengangguk serentak. Tidak sempat aku berbual mesra, mereka terus meloncat
turun dari katil. Masing-masing sempat pula bersalaman denganku.
Aku menyambut jabat
tangan mereka dengan penuh rasa bingung. Hadiah apa agaknya yang Cikgu Ihsan
berikan pada aku.
Sebaik Haziq, Anis dan
Amirul tidak lagi berada dalam bilik, pintu segera aku tutup. Kaki kembali
melangkah ke katil dan aku angkat kotak hadiah itu lalu aku goncangkan
perlahan-lahan.
Kad comel yang ada
gambar teddy bear aku cabut dari
kotak. Kubaca isi nota itu dengan rasa berdebar-debar.
Dear
Nuha,
Abang
harap Nuha suka dengan hadiah ni. Seperti yang sudah dijanjikan, abang nak
hadiahkan Nuha sebuah handphone baru. Lepas Nuha baca nota ni, terus buka
hadiah tu ya. Harap Nuha suka.
p/s
: Sila bagi nama pada handphone baru Nuha ni. Kalau Nuha nak tahu handphone
abang namanya ‘Mr IZ’. Ihsan Zuhri. Jangan lupa fikirkan nama k!
Tidak dapat tidak,
bibir ini tiba-tiba mengukir senyuman halus. Tak sangka Cikgu Ihsan akan
menulis nota seperti ini. Tak habis-habis dengan nota kecilnya.
Aku segera menurut
arahan bertulis dari Cikgu Ihsan. Balutan hadiah terus aku koyak-koyakkan. Selain
arwah ibu, Cikgu Ihsan merupakan orang kedua yang pernah memberikan aku hadiah.
Aku teruja!
Setelah bertungkus-lumus
mencarikkan balutan kotak, akhirnya kotak itu ‘tidak lagi berbaju’.
Terpandang saja gambar
pada kotak itu, mataku terus membulat. Mulut mula kutekup dengan tangan. Ya
Allah! I-phone 5s!
Penuh teruja aku
membuka penutup kotak. Bagaikan sebuah mimpi, aku kini sedang memegang sebuah
telefon pintar yang selama ini menjadi idaman hati.
“Mesti mahal ni,”
omelku sendirian sambil mata masih kusyuk menilik-nilik telefon pintar berwarna
putih itu.
Leka menilik, tak
semena-mena telefon itu berdering. Terkejut aku dibuatnya.
Tertera pada skrin nama
‘Abang Ihsan’.
Erk…. Abang Ihsan? Cikgu
Ihsan sudah simpan nombor telefonnya dalam telefon ini? Pantas sekali lelaki
itu bertindak.
“Hello assalamu’alaikum.”
Suara Cikgu Ihsan kedengaran garau sebaik saja aku jawab panggilannya.
“Wa’alaikumussalam.”
Aku jawab lepas tu aku kembali diam.
“Suka tak dengan
telefon baru ni?” soalnya.
“Suka.” Aku jawab
sepatah.
Telefon, baju, purse,
kasut, tudung dan banyak lagi. Semua barang tu Aunty Izzah dan Cikgu Ihsan yang
borongkan untuk aku. Semuanya guna duit mereka. Aku nak guna duit aku tapi
dalam beg duit hanya ada sepuluh ringgit. Hmm…
“Dah fikirkan nama
untuk handphone ni?” Cikgu Ihsan bertanya.
Buat seketika aku
berjeda. Bibir kuketap perlahan. Nama? Alamak belum fikir lagilah. Tak sempat
nak fikir.
“Belum ada lagi,”
jawabku jujur.
“Alah cepatlah fikir.
Nama handphone abang Mr IZ. Nuha
letaklah handphone Nuha Miss P. P for putih.” Dia gelak.
Aku hanya cebikkan
bibir. Miss P? Ingat lesen P ke? Tak best
langsung nama tu.
“Nantilah saya
fikirkan,” balas aku kemalasan.
“Erm. Okey.” Suara
Cikgu Ihsan mendatar.
“Erm… Nuha…” Dia
panggil nama aku perlahan.
“Ya…”
“Abang nak ucap terima
kasih dekat Nuha.”
Aku garu kepala.
“Terima kasih? Kenapa?”
“Sebab Nuha sudi simpan
rahsia abang pada mama, papa dan semua. Maksud abang, cara abang bawa Nuha
datang sini. Hmm…”
Aku diam beberapa detik
sebelum membalas katanya.
“Sejujurnya saya tak
nak ingat lagi pasal hal tu. Jadi… rahsia cikgu selamat dengan saya.” Ikhlas
aku melafazkan semua itu. Malas dah nak fikir. Sekarang aku nak fokus untuk
cari kebahagiaan aku sendiri!
“Terima kasih, Nuha.
Abang…” Tak sempat Cikgu Ihsan meneruskan ucapannya, sungguh di luar kawalanku,
aku termenguap saat itu. Cepat-cepat aku jauhkan telefon dari telinga.
“Dah mengantuk ke?”
Sayup-sayup kedengaran suara Cikgu Ihsan berkata-kata. Cepat-cepat aku dekatkan
kembali telefon ke cuping telinga.
“Hah, apa?” Aku
bertanya lagi. Memang tak jelas apa yang dia cakap tadi.
“Nuha dah mengantuk
ke?” tanyanya lagi dengan nada yang agak lemah.
“Ha’ah,” jawabku jujur.
“Hmm…kalau macam tu tak
apalah. Nuha tidurlah dulu. Jangan lupa fikirkan nama handphone ni ya. Abang mintak diri dulu. Assalamu’alaikum.” Tanpa
sempat aku menjawab salamnya, terus panggilan diputuskan.
Berkelip-kelip mataku
memandang skrin telefon. Hisy, merajuk ke? Tak tertahan bibir ini mengukir
senyuman kecil. Cikgu Ihsan merajuk? Tak sesuainya.
Malas nak melayan
‘rajuk’ Cikgu Ihsan, aku segera baringkan badan ke tilam. Telefon pintar
pemberian Cikgu Ihsan aku tilik-tilik senang.
“Hmm…” Memikirkan makin
bertambah budi yang lelaki itu taburkan, terus mati mood bahagia aku.
Comforter
pantas ditarik menyelimuti separuh badan. Siap baca doa tidur, aku terus
pejamkan mata.
Otak cuba aku kosongkan
dari segala macam masalah. Hati berzikir menyebut nama Allah. Akhirnya setelah
sekian lama tidurku tidak nyenyak, aku mula tidur lena seperti bayi.
BERSAMBUNG....
#komen ler kalau sudi ^^
#komen ler kalau sudi ^^
lembut dh sikit hati nuha.. Alhamdulillah..
ReplyDeletenk lg cik zu ;)
Hati perempuan mcm tulah kak..keras dia tak ke mana pun..hehe
Deletesetuju 200%
ReplyDelete