DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.
BAB 28
Selesai makan malam
bersama Aunty Izzah, Uncle Is dan Nek Som, aku ringankan tulang membantu Nek
Som dekat dapur basuh pinggan mangkuk. Aunty Izzah dan Uncle Is pula ambil
angin dekat luar sambil borak-borak. Mungkin lepaskan rindu selepas beberapa
hari tak jumpa. Bila tengok pasangan berdua tu, aku rasa dia orang tu sweet sangat. Saling melengkapi. Entah
bilalah aku nak merasa semua tu. Eh?
“Hisy, degilnyalah kamu
ni Nuha. Kamu mesti dah penat seharian dekat U. Pergilah masuk berehat. Nek Som
dah biasa buat semua ni.” Omelan Nek Som langsung tidak menghentikan aku
daripada terus menyental buntut kuali dan periuk. Aku tetap fokus menyental.
Alah bukan aku tak biasa pun.
“Kalau Nek Som dah
biasa, Nuha pun dah biasa jugak.” Aku jawab sambil sengih manja.
Nek Som menggeleng. “Hisy,
kamu ni sama degil dengan Ihsan.”
“Ihsan kalau dia ada dekat
rumah, memang sibuk nak tolong Nek Som dengan mama dia tu. Dekat dapur, masak.
Dekat taman bunga, tanam pokok. Dekat halaman rumah, potong rumput. Hmm,
macam-macam dia buat.” Dapat aku rasakan ada nada pujian di situ untuk Cikgu
Ihsan.
Aku diam saja sambil
senyum. Kalau bab memasak memang aku dah saksikan sendiri kehebatan Cikgu Ihsan
di dapur. Masakan dia jugak sedap dan menyelerakan. Tapi kalau bab tanam pokok
dan potong rumput aku belum nampak lagi. Jadi tak boleh aku nak menilai. Tapi
dengar dari cerita Nek Som dan Aunty Izzah, Cikgu Ihsan ni macam suka duduk
rumah aje. Family-man orangnya.
“Seronok Nuha belajar?”
Tiba-tiba Nek Som bertanya sambil tangannya membilas periuk yang dah aku sental
tadi. Sempat kami berbalas senyuman.
“Seronok! Sebab Nuha
dapat banyak pengalaman baru. Nuha bersyukur sangat sebab auntie, uncle, Cikgu
Ihsan dan Nek Som tak henti-henti bagi kata-kata semangat untuk Nuha. Dekat
sini Nuha bukan ada siapa-siapa lagi selain kau orang semua. Terima kasih, Nek
Som…”
Mood aku mula mendatar.
Suara juga mula bergetar.
Walau aku cuba membuang
memori hitamku terhadap Mak Su Kinah, aku tetap teringat pada dia yang saat ini
mungkin sedang bergembira dengan kepergianku dari rumah pusaka itu.
Atau… mungkin mereka
sedang risaukan aku? Ah! Mengapa hati ini berkali-kali mahukan perkara yang
tidak mungkin akan terjadi itu terjadi. Mak su benci aku! Mana mungkin dia
risaukan aku.
“Mesti perit apa yang Nuha
lalui masa dekat kampung tu. Nek Som pun pernah hidup susah, Nuha. Jadi Nek Som
faham keadaan dan perasaan Nuha sekarang. Hmm… Izzah dan Is jugalah yang ambil
Nek Som bekerja dengan dia orang di rumah anak-anak yatim tu. Bertahun kerja dekat
sana, dia orang ajak Nek Som tinggal dekat rumah ni. Baik sungguh suami isteri
tu. Anak-anak dia orang pun baik-baik semuanya. Baik sangat…”
Kesayuan suara Nek Som
meresap masuk ke tangkai hati aku. Dapat aku rasa kepahitan masa silamnya.
Mungkin sama perit macam yang aku lalui atau lebih perit dari itu. Memang benar
kata ibu, kalau kita susah, ada yang lebih susah dari kita. Bandingkan diri
kita dengan orang yang lebih susah, jangan bandingkan diri kita dengan orang
yang lebih senang. Kerana kita akan jadi tak berterima kasih dengan rahmat
Allah andai kita fikir macam tu.
“Hah, Nuha. Lupa pulak
Nek Som. Cakap benda sedih pulak kan.” Nek Som tiba-tiba ketawa. Mungkin dia
sengaja tidak mahu kami berdua fikir pasal kenangan pahit yang mahu tidak mahu
sudah menjadi parut dalam hidup kami berdua.
“Nek Som peliklah
dengan Ihsan tu. Lepas hantar barang, terus nak balik. Dia ada cakap apa-apa
pada Nuha tak?” tanya Nek Som. Ternyata Nek Som juga perasan lelaki tu berubah
mood.
Aku jungkit bahu. “Tak
ada pulak dia cakap apa-apa, Nek Som. Nuha pun hairan kenapa dia moody,” ujar
aku jujur.
Periuk belanga sudah
siap kami berdua cuci. Nek Som ajak aku duduk di meja makan yang terletak di
bahagian tengah ruang dapur. Sempat juga wanita tua itu mencapai limau dan epal
untuk dikupas kulitnya menjadi pencuci mulut bagi kami berdua.
“Ihsan jarang
moody-moody ni. Dia tu suka senyum, ceria orangnya. Tak reti nak stress. Ni mesti ada benda yang ganggu
fikiran dia. Kalau tak, dia takkan balik macam tu aje. Dia tahu papa dia balik
hari ni…” luah Nek Som sambil mula mengupas kulit epal.
“Dekat pasaraya tadi
ada sorang kakak tu tegur Cikgu Ihsan. Nama dia Sumayyah, Nek Som,” beritahu
aku membuat laporan.
Mendengar saja nama itu
kupasan epalnya diberhentikan secara mengejut. Bulat mata Nek Som merenungiku.
“Sumayyah? Dia… dia
pakai tudung labuh tak? Putih-putih kulit dia. Betul, kan?” Nek Som
mengeluarkan ciri-ciri yang sangat tepat dengan Kak Sumayyah yang aku jumpa
petang tadi. Nek Som kenal ke?
“Ha’ah. Tudung labuh,
kulit putih. Siapa Sumayyah tu, Nek Som? Nek Som kenal dia?” Aku tanya
takut-takut. Tak naklah dicop busybody.
Nek Som menghela nafas
panjang. Epal hijau yang dipegangnya kembali dikupas. Sambil itu dia membuka
cerita.
“Sebab tulah mood Ihsan
berubah. Rupa-rupanya terjumpa dengan bekas dia.” Aku yang baru saja mahu
meneguk air kosong hampir saja tersedak. Terus tak jadi aku minum.
Bekas? Bekas apa ni?
Bekas kekasih, bekas tunang… atau… bekas isteri? Cikgu Ihsan pernah berkahwin?
“Kalau Nuha nak tahu,
Sumayyah tu bekas tunang Ihsan. Pertunangan diatur keluarga.” Tak sempat aku
bertanya, Nek Som dah buka cerita.
Sumpah aku terkejut.
Tak sangka sungguh Cikgu Ihsan pernah bertunang. Yalah memang harus pun aku
terkejut. Aku bukan tahu banyak benda pasal dia. Entah apa lagi yang dia
rahsiakan dari aku.
“Sumayyah tu anak
kepada kawan baik Izzah. Sebab nak eratkan hubungan, dari sahabat menjadi
keluarga, Izzah, Is dan mak ayah Sumayyah nekad nak jodohkan Ihsan dengan
Sumayyah. Ihsan tu anak dengar kata. Walaupun tak cintakan Sumayyah, dia setuju
aje. Sebab dia yakin cinta boleh dipupuk. Tapi Sumayyah tak macam tu…” Nek Som
berhenti bercerita.
Aku pandang Nek Som tak
berkelip. Jadi Cikgu Ihsan pun pernah dijodohkan oleh keluarga? Betulkah tiada
cinta untuk Sumayyah. Kalau tak ada cinta, kenapa muka dia frust gila lepas jumpa bekas tunang dia tu. Kalau cikgu cintakan
Sumayyah, maknanya dia tipu aku bila dia cakap aku ni cinta pertama dia. Hmm… entah
kenapa hati ni tiba-tiba rasa sakit.
“Tak ada jodoh dia orang,
Nuha. Sumayyah memang tak boleh terima perjodohan ni. Dekat nak nikah, Sumayyah
lari dari rumah. Bila pujuk balik, baru dia nak balik. Dalam keadaan macam tu, Ihsan
malas nak paksa-paksa. Jadi dia terimalah pertunangan dia dengan Sumayyah
putus. Cuma itulah dia terkilan sikit sebab…” Nek Som pandang aku. Aku tak
sabar nak dengar selanjutnya. Sebab?
“Mungkin dia terkilan
sebab lepas sebulan mereka berdua putus tunang, Sumayyah hantar kad jemputan
nak mendirikan rumahtangga dengan pilihan hati dia. Nampak sangat yang Sumayyah
tak sudi kahwin dengan Ihsan sebab dah ada pilihan hati sendiri. Kesian Ihsan
Nek Som tu. Dia tu bukan pandai memaksa. Kalau dia berkeras, mungkin sekarang
dia dah kahwin dengan Sumayyah. Kahwin paksa. Hisy, Nek Som tak berapa berkenanlah.
Elok juga dia orang tak ada jodoh. Perancangan Allah tetap yang terbaik.” Cerita
Nek Som terhenti di situ.
Kini baru aku faham
kenapa Cikgu Ihsan bad mood lepas
jumpa Kak Sumayyah. Rupa-rupanya terserempak dengan bekas tunang. Nasib baik
tak jumpa sekali dengan suami Kak Sumayyah. Kalau tak makin berdarahlah hati Cikgu
Ihsan.
Tapi ada satu perkara
yang aku payah nak percaya dengan cerita Nek Som tadi. Betulkah Cikgu Ihsan itu
seorang yang tak suka memaksa?
Yang dia paksa aku
datang KL ni tu apa. Yang dia paksa aku ikut dia tu apa. Tapi… dua tu ajelah
yang dia paksa.
Tentang cinta dia pada
aku. Dia memang tak paksa aku terima.
Benarkah Cikgu Ihsan
takkan paksa aku terima cinta dia. Andai satu hari nanti dia paksa aku terima
dia sebab banyak terhutang budi, relakah aku menerima cintanya semata-mata hendak
membalas budi?
Andai Aunty Izzah dan
Uncle Is masuk campur sekali lagi untuk jodohkan aku dengan Cikgu Ihsan,
kuatkah aku menolak lamaran mereka sedangkan aku ini sudah terlalu banyak
terhutang budi dengan mereka? Ya Allah, aku tak sanggup nak kahwin paksa dengan
cikgu aku sendiri. Aku tak cintakan dia!
>>>>MSPH<<<<<
BAB 29
“Nuha cepatlah cerita dekat
orang. Dari tadi awak macam tak sudi aje jawab soalan orang.” Gee
merengek-rengek separa merajuk. Aku sembunyikan cebikan bibir dalam diam.
Memang aku tak sudi jawab soalan dia tu. Ianya sangat peribadi!
“Nuha!” Gee terus
memaksa. Ditarik-tarik tangan aku berkali-kali. Bermula kuliah Prof Adib
sampailah sekarang dah tamat pun kuliah tu, Gee terus-terusan memaksa aku bercerita
tentang isu semalam. Isu - macam mana aku dan Cikgu Ihsan boleh keluar
beli-belah sama-sama.
Apa yang aku boleh
jawab dengan soalan macam tu. Cakap hal sebenar? Aku tak bersedia lagi nak
cerita hal peribadi aku pada Gee yang baru tiga hari aku kenal ni. Aku… aku
belum seratus peratus percayakan dia!
“Awak nak saya jawab
apa, Gee? Saya kurang fahamlah…” jawab aku acuh tak acuh.
Gee berdecit. Bibirnya
yang berhias lipstick agak kemerahan mula muncung panjang.
“Orang nak tahu… kenapa
awak dan cikgu awak tu boleh keluar beli-belah sama-sama. Kau orang jiran ke?
Ke dia tu cikgu dan merangkap someone
special awak.” Tak menahan Gee buat telahan. Aku tersedak.
“Hisy, apa awak merepek
ni! Malaslah layan awak, Gee. Baik saya pergi library.” Aku bangun dari kerusi. Beg kugalas dan fail kuselit
bawah lengan.
“Nuha! Tak acilah jawab
macam tu. Apa salahnya awak jawab aje soalan orang tu. Kalau cikgu tu bukan
jiran awak, dia tu siapa siap ajak-ajak awak keluar. Hantar ambil awak dari
kolej. Peliklah orang.” Busybody
jugak budak ni. Soalan Gee ni bukan minta nyawa tapi minta pelempang. Ugh makin
menipis sabar aku.
“Hmm… antara kami tak
ada apa-apa pun. Dia memang cikgu saya. Gee, cukuplah awak tanya saya benda ni.
Saya… saya tak ready nak jawab.” Aku
akur berterus-terang. Ya, memang aku tak bersedia nak kongsi hal peribadi aku
dengan dia.
Wajah Gee dah berubah.
Dijatuhkan tangannya dari terus memegang tangan aku.
Sambil mengeluh lemah,
Gee kelihatan berjauh hati.
“Mesti awak rasa orang
ni busybody, kan? Hmm… orang minta
maaf. Orang memang over kan sebab nak
tahu hal peribadi awak. Sorrylah.
Orang ingat bila awak sudi kawan dengan orang, orang boleh tahu banyak benda
pasal awak… macam awak tahu banyak benda pasal orang. Hmm… sorry…” Berkaca mata Gee detik itu. Aku sudah kelu memandangnya.
Tanpa sebarang kata
lagi, Gee berlalu pergi meninggalkan aku yang tercengang di situ. Langkah lemah
Gee tidak pula aku halang. Mungkinkah ini yang terbaik untuk aku terselamat
daripada menjawab soalan-soalan peribadi darinya?
Tapi mengenangkan
kata-katanya tadi, sungguh aku kesiankan dia. Gee betul-betul anggap aku kawan
yang boleh kongsi segala-galanya dengan dia. Gee juga seorang sahabat yang
sangat menghargai persahabatan. Dia tak segan cakap pada aku yang dia gembira
ada kawan macam aku. Dia… dia sayang aku.
Pintu dewan kuliah aku
pandang lama. Gee perlu aku pujuk!
********
Mataku tercari-cari
kelibat Gee. Dari kafe hingga ke library
aku gigih mencarinya. Tapi hampa, Gee tak dapat aku kesan. Entah dekat mana dia
menyorok.
Selama tiga hari aku kenal
dengan dia, hanya dua tempat saja yang aku rasa menjadi kegemaran Gee. Pertama,
kafe. Kedua, perpustakaan. Tapi dua-dua tempat tu Gee tak ada. Jadi ke mana dia
pergi?
Saat ini aku
benar-benar rasa bersalah pada Gee. Aku nak minta maaf dengan dia. Aku akan
cuba jawab soalan dia tadi dengan seikhlas hati aku. Biar semuanya jelas. Aku
tak nak dalam keadaan aku juga gembira ada seorang sahabat, aku terpaksa
bersedih kehilangan kawan baru aku itu di sebabkan oleh keegoaan aku sendiri.
Keluar dari
perpustakaan, aku turun guna tangga menuju ke lobi. Kaki kuatur pula menapak ke
laman utama bangunan fakulti. Dekat situ ramai juga pelajar yang lepak sambil
siapkan assignment. Harap-harap Gee ada dekat situ.
Telefon aku keluarkan
lagi sekali. Nombornya didail. Tapi masih hampa. Gee memang sengaja tak nak
angkat. Merajuk benar budak debab tu dengan aku.
Buntu dengan
pencarianku yang tiada jawapan, akhirnya aku terduduk lemah ke kerusi batu
berbentuk empat segi. Aku duduk dan mengeluh panjang. Gee, mana awak…
“Awak cari orang ke?”
Sapaan suara itu buat aku terkejut. Pantas aku angkat muka pandang ke depan.
Berdiri Gee dengan sengihan manjanya. Di tangannya ada dua kon aiskrim.
“Gee! Awak pergi mana?
Penat saya cari tau!” Aku bebel dekat dia. Gee sengih saja. Dia duduk di
sebelah aku sambil hulur aiskrim.
“Nah untuk awak.”
Teragak-agak aku nak sambut huluran Gee. Gee ni memang suka memberi. Segan dah
aku dengan dia.
“Ambillah cepat. Dah
cair dah aiskrim vanilla ni. Penat orang pergi beli aiskrim dekat luar tau.”
Akhirnya aku akur dengan kehendak Gee. Aku sambut kon aiskrim itu dengan berat
hati.
“Terima kasih, awak,” ucap
aku ikhlas.
Gee senyum. “Sama-sama.
Awak cari orang ke, Nuha? Kenapa?” soal Gee macam dah tak merajuk lagi dengan
aku. Dia memang dari tadi tak merajuk dengan aku atau aku aje yang perasan dia
merajuk dengan aku.
“Awak dah okey?” soalku
padanya.
Gee tergelak tiba-tiba.
Dia pantas gelengkan kepala.
“Tak okey. Sebab awak
belum pujuk orang,” jawabnya tanpa pandang wajah aku.
Aku telan liur. Aik nak
kena pujuk. Jadi betul dia merajuk dengan aku. Aku mana pandai pujuk…
“Saya minta maaf.” Dari
tadi memang itu yang aku nak cakap pada dia. Aiskrim di tangan mula cair. Dan
Gee sempat menjerit menyuruh aku makan aiskrim tu cepat-cepat.
“Cepat makan aiskrim
awak tu Nuha! Dah cair dah,” arahnya agak marah. Yang dia punya dah tinggal
separuh.
Aku sengih berat.
Aiskrim tu aku jilat cepat-cepat.
“Kenapa awak minta maaf
dengan orang?” soal Gee lepas aiskrim habis dibalunnya. Sempat juga dia
sendawa. Erk… Alhamdulillah. Dia tersengih saja. Aku cemik bibir namun senyum
kemudiannya. Gee, Gee…
“Erm…” Aku mencari
kata-kata yang sesuai. Tak nak Gee terasa hati lagi.
“Saya minta maaf sebab
tak jawab soalan awak. Saya tak biasa kongsi hal peribadi dengan orang. Saya
tak pandai,” ucapku jujur langsung tak berbohong.
Saat itu Gee tenung
muka aku. Tangannya yang gebu mula pegang tangan aku yang kurus runcing.
“Orang nak jadi sahabat
awak, Nuha. Sahabat yang ada untuk awak bila awak susah dan ada untuk awak bila
awak senang. Ya orang mengaku orang ni memang busybody. Tapi orang teruja nak berkawan dengan awak. Orang happy kawan dengan awak. Orang tak
pernah ada kawan sebelum ni. Yang ada hanyalah orang-orang yang suka perli
orang.” Gee menghela nafas panjang. Dia tertunduk sambil melepaskan tangan aku.
Kebisuan melanda aku
dan Gee. Masing-masing sedang melayan rasa mengenangkan nasib malang yang
menimpa.
Sejujurnya, nasib aku
dan Gee lebih kurang sama saja. Bahagian yang sama adalah kami berdua memang
tak ada kawan sebelum ni. Tapi aku tak tahulah sejauh mana Gee bahagia dengan
hidup dia. Sebab kalau tanya aku, hidup aku jarang bahagia. Jarang...
“Walaupun baru tiga
hari kenal awak, orang tak tahu kenapa tapi… orang suka sangat kawan dengan
awak. Mungkin sebab kita sebaya dan kita sama-sama tak ada kawan. Tapi kalau
awak tak sudi share hal peribadi awak
dengan orang, orang tak nak paksa. Tapi sekarang sejujurnya Nuha… orang mula
rasa tak best kawan dengan awak.
Sebab awak macam sama dengan yang lain…”
Ya Allah, Gee memang
sedang berjauh hati dengan aku.
“Apa maksud awak ni,
Gee? Saya sama dengan orang lain? Siapa?” soalku perlahan. Rasa bersalah makin
bertimpa-timpa melanda hati apabila melihat setitis air mata Gee menyapa ke
pipinya.
Gee pandang aku. Air
mata yang menitis ke pipinya diseka laju. Dia cuba tersenyum.
“Mungkin awak juga sama
dengan yang lain, Nuha. Anggap orang ni budak debab yang hanya suka makan dan
berceloteh. Budak debab yang tak patut dibuat kawan… ” Agak terkaku aku
menerima telahan tak benar dari Gee itu. Aku tak pernah anggap dia macam tu. Aku
sudi berkawan dengan dia walau siapa pun dia!
“Dahlah Nuha…” Tak
sempat aku membetulkan keadaan, Gee mula angkat punggung. Dia berdiri.
“Tak sangka, banyak
orang bercerita pasal diri orang pada awak, tapi awak banyak nak berahsia
dengan orang. Orang ikhlas nak kawan dengan awak, Nuha. Jujur orang cakap,
orang dapat lihat keperitan dan kesedihan dari mata awak. Sebab tu orang cuba
nak ceriakan awak dengan cerita lucu orang. Hmm… orang pergi dululah. Makan
aiskrim tu. Dah cair dah tu.”
Sempat Gee berbicara
tentang aiskrim yang dibelinya. Aiskrim yang aku pegang memang dah mula
mencair. Gee mula melangkah pergi dari aku.
Lama aku diam di situ
mencerna kembali kata-katanya. Gee dapat lihat kesedihan dan keperitan dari
mata aku? Begitu jelaskah kesedihan yang bersarang dalam hati aku ini? Begitu
jelaskah nasib malang yang menimpa diriku ini?
“Gee!” Tak semena aku
menjerit namanya. Aku bingkas bangun lalu berjalan mendapatkan Gee yang
berhenti tak jauh dari aku.
Aku berdiri di hadapan
Gee dan cuba menguntum senyum padanya. Tangan Gee aku capai.
“Kalau awak boleh
nampak kesedihan dan keperitan dari mata saya, saya pulak boleh nampak
keikhlasan dari sinar mata awak. Saya tak nak kehilangan sahabat saya, Gee…”
Apa yang aku luahkan itu ikhlas lahir dari lubuk hati.
Kehadiran Gee dalam
hidup aku pasti bukan sia-sia. Allah hantar Gee pada aku bersebab. Dan sebab
yang boleh aku nampak sekarang adalah Gee bakal menjadi pendengar setiaku
setelah Allah mengambil ibu kesayanganku. Kerana selama ini hanya ibu yang
menjadi pendengar setiaku. Mendengar keluhan, kegembiraan, kesedihan dan
macam-macam dari aku… Ibu… Hanya ibu…
Kata arwah ibu,
kadang-kadang dalam hidup kita, kita memerlukan seseorang selain daripada ahli
keluarga atau pasangan kita untuk berkongsi cerita dan rasa. Seseorang itu
digelar sahabat yang hadirnya kadang-kadang sangat mendamaikan hati dan membuat
jiwa kita merasa kembali stabil.
Sahabat sejati umpama pohon rendang yang dapat menjadi
tempat untuk berteduh. Susah senang… sentiasa ada untuk kita.
BERSAMBUNG....
No comments:
Post a Comment