JOM FOLLOW

Wednesday, 13 May 2015

Mencari Si Pelengkap Hati [BAB 11]


DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.

BAB 11

Mak Su Kinah memang kejam! Nekad benar dia mengurung aku dalam rumah ni. Tidak cukup dia menghalang aku menziarahi makam ibu, dia juga tidak membenarkan aku ke sekolah. Ya Allah, sampai begitu sekali mak su ingin menyeksa hidup aku. Sampaikan aku nak berhubung dengan dunia luar pun dia halang.

Dia benar-benar sudah menggila dengan apa yang sudah terjadi beberapa hari yang lalu. Kata-kata Cikgu Ihsan benar-benar buat mak su menyimpan rasa benci yang membuak-buak pada lelaki itu. Yang menjadi mangsanya adalah aku. Tidak habis-habis mulut mak su menghina dan menfitnah aku dengan Cikgu Ihsan.

Mak su tetap yakin aku punya hubungan istimewa dengan Cikgu Ihsan. Dia tidak percaya bahawa lelaki itu merupakan cikgu aku di sekolah. Sudah buntu untuk aku meyakinkan dirinya. Aku dan Cikgu Ihsan memang tak ada apa-apa!

“Kak Nuha… Kak Nuha…” Aku yang sedang leka termenung di hujung katil menangkap dengan jelas suara seseorang sedang memanggilku dari luar bilik. Cepat-cepat aku bangun dan meluru ke arah pintu.

“Akif ke?” Aku yakin itu suara Akif.

“Ya. Kak Nuha okey ke?”

“Akif tolong Kak Nuha keluar dari bilik ni. Akif tolong buka pintu ni. Tolong, sayang…”

“Akif dah ambil kunci dari mak. Akif tengah cuba ni.”

Berita yang baru Akif sampaikan buat hati ini dilanda rasa sayu. Ya Allah, mulianya hati Akif. Anak kecil itu cukup mengerti penderitaan yang aku alami sekarang.

“Macam mana Akif ambil kunci tu. Mak Akif mana?” soalku ingin tahu. Andai mak su ada di rumah, mana mungkin Akif seberani ini.

“Mak ada dekat bawah. Ada orang datang,” jawab Akif satu-satu.

Ada orang datang. Siapa? Terlintas pertanyaan itu di mindaku. Namun, perkara itu tidaklah sepenting mana. Yang lebih penting, aku ingin keluar dari bilik ini. Ke mana hala tujuku selepas ini, belum aku fikirkan. Biarlah Allah saja yang menggerakkan kaki ini untuk melangkah.

Terdengar di telinga ini tombol pintu cuba dipulas-pulas dari luar. Pasti Akif sedang bekerja keras untuk membuka pintu ini.

Beberapa minit berlalu, perlahan-lahan daun pintu ditolak dari luar. Terpampang muka Akif di hadapanku.

“Akif…” Terus aku memeluk tubuh kecil Akif.

“Terima kasih, sayang. Terima kasih sebab tolong Kak Nuha.” Kuusap-usap rambut Akif penuh kasih.

“Kak Nuha nak pergi mana lepas ni? Kak Nuha nak tinggalkan Akif dengan Adik ke?” Pertanyaan naif dari Akif buat kelopak mata ini bertakung berat.

Berat hati ini ingin meninggalkan Akif dan Adik. Aku betul-betul sayangkan mereka. Tapi tindakan ibu mereka, memaksa aku membuat satu keputusan yang amat sukar.

“Kak Nuha tak tahu Kak Nuha nak pergi mana. Tapi Kak Nuha tak sanggup lagi tinggal dalam rumah ni. Akif jaga Adik baik-baik. Ingat, Kak Nuha sayangkan Akif dan Adik. Kak Nuha takkan pergi jauh. Kak Nuha cuma nak sembunyi dari mak su.”

Mungkin tidak berapa mengerti dengan kata-kataku, Akif diam saja. Namun anak kecil itu tetap mendakap tubuhku erat. Aku terus membalas pelukannya.

“Kak Nuha pergilah ikut abang tu. Dia ada dekat bawah. Abang tu cakap dia nak bawa Kak Nuha pergi.”

“Akif cakap pasal siapa ni? Hmm? Abang mana?” soal aku setelah kami leraikan pelukan.

“Abang yang baik dengan Kak Nuha tu. Dia ada dekat bawah sekarang.”

Seumur hidup aku, hanya ada seorang lelaki saja yang pernah buat baik dengan aku. Tapi tak mungkin dia kembali lagi ke rumah ini. Untuk apa dia datang lagi. Untuk cari gaduh dengan Mak su Kinah lagi sekali?

Aku segera menyarungkan tudung ke kepala. Dengan berpakaian t-shirt lengan panjang dan berseluar trek, aku atur tapak menuju ke tingkat bawah.

“Jom ikut Kak Nuha.” Tangan Akif aku pimpin kemas. Kami berdua melangkah dengan berhati-hati menuruni anak tangga.

Belum pun sampai separuh anak tangga, suara petir Mak su Kinah sudah kedengaran kuat menengking-nengking seseorang.

Aku makin mempercepatkan langkah menuruni anak tangga. Dengan bersembunyi di balik dinding, aku beranikan diri untuk melihat situasi yang aku rasakan sedang berlangsung tegang.
Dari celah dinding, aku cuba melihat gerangan ‘abang’ yang Akif sebutkan tadi. Perlahan-lahan imej Cikgu Ihsan terpapar pada lensa mataku. Ya Allah, jadi betul sangkaan aku tadi. Ihsan Zuhri memang telah kembali lagi ke sini. Dia duduk tenang di atas sofa berdepan dengan kemarahan mak su terhadapnya. Wajahnya tetap beriak tenang.

“Kau ni memang penyibuk kan. Oh, aku lupa. Mentang-mentanglah kekasih gelap kau ada dekat dalam rumah ni, kau beranilah ya datang sini lagi. Apa? Kau setuju dengan tawaran aku tu ke? Kau sanggup beli dia dari aku?”

Dengan tenang, Cikgu Ihsan hanya tersenyum nipis. Walaupun disembur dengan kata-kata pedas dan fitnah seperti itu lelaki itu tetap tenang.

“Buat pengetahuan puan, saya bukan kekasih Nuha. Demi Allah, kami tak ada apa-apa hubungan. Nuha pelajar saya di sekolah. Puan boleh periksa sendiri. Tanya semua pelajar dekat sana, siapa saya. Dan mengenai tujuan saya ke sini, memang. Memang saya dah bersetuju dengan tawaran puan.”

Aku tercengang. Mulut kutekup dengan tapak tangan. Ya Allah, tawaran yang mana satu Cikgu Ihsan maksudkan.

“Daripada melihat Nuha terus didera dan hidup terseksa dengan puan, saya lebih rela beli dia dengan harga yang puan tawarkan. Dua puluh ribu ringgit tunai. Lepas ni, Nuha jadi hak saya!”

“Cikgu!!!”

Aku keluar dari tempat persembunyian. Lemah langkahku menapak ke arahnya.


******

“Apa maksud cikgu? Apa maksud cikgu nak beli saya? Apa?!”

Cikgu Ihsan sudah berdiri tegak. Wajahnya mula serba-salah.

“Nuha… cikgu… cikgu boleh jelaskan.”

“Apa hak cikgu nak beli saya? Saya bukan barang dagangan untuk dijual beli! Saya manusia yang ada hati dan perasaan! Kenapa cikgu layan saya macam ni!” Aku mula menggila. Kalau tidak mengenangkan haramnya tangan ini menyentuh seorang bukan mahram sepertinya, sudah lama tangan ini melekat ke pipinya.

“Nuha jangan salah faham. Cikgu boleh jelaskan semuanya.” Cikgu Ihsan cuba mendekat. Aku pantas menjauh beberapa tapak ke belakang.

“Saya ingat cikgulah manusia yang paling faham saya selepas ibu saya. Saya ingat cikgulah manusia yang paling ikhlas nak tolong saya. Tapi hakikatnya cikgu bukan seperti yang saya fikirkan. Cikgu sanggup beli saya? Untuk menjadi hak cikgu? Apa semua ni cikgu!”

Kali ini Cikgu Ihsan terdiam lama. Wajahnya seakan-akan menunjukkan dia ingin menjelaskan sesuatu namun lidahnya seakan kelu. Biarkan dia diam. Aku tidak sudi hendak mendengar apa-apa penjelasan darinya!

“Eh,diamlah!” Mak su Kinah mula masuk campur. Dia pandang aku dengan pandangan penuh jengkel.

“Aku bukan nak tengok kau orang berdua berdrama depan aku. Aku cuma nak anak haram ni keluar dari rumah aku. Kau boleh bawa dia pergi sekarang. Aku dah jual dia pada kau. Pergi!”

Aku terkaku di situ. Wajah mak su aku tatap dengan linangan air mata yang makin melebat. Aku tidak percaya aku kini telah menjadi barang dagangan wanita itu. Waktu ibu masih hidup, mulut berbisanya itu tidak henti-henti menghina aku. Kini, mak su sanggup menjual aku pula? Allah…

“Mak su… mak su jangan! Mak su!” Tanpa sedar aku menjerit padanya saat Mak Su Kinah mengambil briefcase yang terisi di dalamnya wang tunai yang sangat banyak. Jadi aku kini sudah dijual? Benar-benar dijual?

“Mak su! Mak su!” Aku terus melutut dan merayu pada Mak Su Kinah. Dia mula mendaki anak tangga. Sikit pun dia tidak memandangku lagi.

“Mak su jangan buat Nuha macam ni. Nuha anak saudara mak su. Nuha darah daging mak su. Kenapa mak su sanggup jual Nuha!” Kutarik kuat tangan mak su. Langkah wanita itu mula terhenti.

“Kau pergilah ikut lelaki tu, Nuha. Aku benci kau. Aku tak nak ada anak haram dalam rumah aku. Aku dah paksa diri aku untuk sayang kau. Tapi setiap kali aku tengok muka kau, aku teringat pada semua penghinaan yang aku terima dari orang kampung sebab perbuatan terkutuk ibu kau dulu! Aku benci dia! Aku benci kau! Pergi berambus kau dari sini!”

Disepak tubuhku hingga aku tersembam ke kaki tangga. Mak Su Kinah terus mendaki anak tangga tanpa berpaling ke belakang lagi. Sempat ditariknya Akif yang berdiri di situ sambil teresak-esak menangis ketakutan.

“Akif, tolong Kak Nuha. Akif! Mak su! Mak su!” Aku cuba memanggil namun aku tahu itu semua hanyalah sia-sia belaka.

Tinggallah aku di situ dengan air mata yang makin deras mengalir. Hati ini sakit. Sungguh hati ini sakit dengan apa yang mak su katakan. Selamanya aku dan arwah ibu akan dibenci olehnya. Selamanya!

“Nuha…” Kuketap bibir dengan penuh geram. Hati ini sedang membuak-buak dengan rasa marah pada si pemilik suara itu.

“Nuha bangun. Ikut cikgu. Ikut cikgu, Nuha… Nuha dah tak diperlukan dalam rumah ni. Inilah hakikat yang Nuha kena terima. Mak su Nuha dah buang Nuha dari hidup dia…”

Aku pandang mukanya dengan linangan air mata. Makin bertimpa-timpa perasaan sakit dalam hati kecilku. Kerana apa yang Cikgu Ihsan ucapkan semua betul. Ya, aku sudah dihalau. Aku dah dibuang. Aku dah tak diperlukan lagi oleh Mak su Kinah. Ke mana aku nak pergi selepas ini. Ke mana…


*******

“Nuha… Nuha nak pergi mana ni. Hmm? Dah lewat malam ni, Nuha.” Aku tetap teruskan langkah. Langsung tidak berpaling apatah lagi mempedulikan Cikgu Ihsan yang mengejarku dari belakang.

“Okey. Nuha beritahu cikgu. Nuha nak pergi mana. Biar cikgu hantarkan.”

Langkahku terus terhenti. Aku berpaling ke arahnya dan aku ukir senyuman sinis.

“Lepas apa yang jadi, cikgu ingat saya akan percayakan cikgu? Hah?!” Keras suara aku membentaknya. Berubah keruh air muka Cikgu Ihsan.

“Cikgu tahu cikgu salah. Apa yang cikgu buat tu memang melampau. Tapi kalau itu saja satu-satunya cara yang cikgu ada untuk selamatkan Nuha dari mak su Nuha, cikgu sanggup tanggung akibatnya. Biarlah cikgu dibenci Nuha. Yang penting Nuha boleh keluar dari rumah tu dan tak dihina oleh mak su Nuha lagi.”

Aku tergelak lepas. Tajam aku menjelingnya. Senangnya dia cakap.

“Saat cikgu lafazkan perkataan cikgu nak beli saya dari mak su, cikgu tahu apa perasaan saya masa tu? Saya rasa maruah saya diganyang-ganyang. Apa murah sangat ke saya ni sampai cikgu boleh beli saya!”

Cikgu Ihsan raup mukanya berkali-kali. Dia cuba mendekati aku mungkin untuk menjelaskan sesuatu.

“Cikgu ada alasan cikgu sendiri kenapa cikgu buat semua tu. Sumpah demi Allah langsung tak terlintas dalam hati ni cikgu nak jatuhkan maruah Nuha. Cikgu cuma nak bantu Nuha. Tolonglah faham…”

“Saya takkan faham. Sampai bila-bila pun saya takkan faham! Tolonglah pergi. Saya takkan percayakan cikgu lagi. Pergi!” Laju kaki aku melangkah meninggalkannya.

Aku sebenarnya ingin ke rumah Makcik Kalsom. Kerana aku merasakan hanya perempuan tua itu yang mampu membantuku saat ini. Makcik Kalsom merupakan sahabat baik arwah ibu. Moga dia memberi keizinan untuk aku bermalam di rumahnya. Cukup satu malam. Aku tak minta lebih. Esok aku akan cari jalan lain. Jalan yang masih sangat samar.

“Nuha! Tunggu!” Sedar-sedar saja langkahku dihalangi oleh tubuh tegap Cikgu Ihsan. Dia mendepakan tangannya tidak mahu aku lari.

“Cikgu boleh pergi. Cikgu takkan ganggu Nuha lagi. Tapi sebelum cikgu pergi, izinkan cikgu hantar Nuha pergi ke tempat yang Nuha nak pergi tu. Untuk kali terakhir ni, tolong terima pertolongan dari cikgu. Cikgu cuma nak pastikan Nuha ada tempat untuk bermalam. Please…”

Lama aku berdiam diri cuba mencari sinar keikhlasan dari kata-katanya itu. Benarkah ini akan menjadi kali terakhir dia membantuku?


+++++

“Cikgu nak bawa saya pergi mana ni?! Hentikan kereta ni. Hentikan kereta ni sekarang!” Tengkinganku sedikit pun tidak memberi kesan kepada Cikgu Ihsan. Dia tetap memandu tanpa sedikit pun memandang wajahku.

Makin berapi hati ni tengok muka tenang dia. “Cikgu Ihsan! Hentikan kereta ni sekarang! Saya nak balik. Saya nak balik!” Dengan linangan air mata, aku terus merayu. Pintu kereta cuba aku buka. Namun, ia kemas terkunci.

“Sabar Nuha. Cikgu nak bawa Nuha pergi dari ‘neraka’ tu. Nuha ikut cikgu balik KL ya?”

Terkesima aku mendengar ayat terakhir yang keluar dari bibir Cikgu Ihsan. Ikut dia balik Kuala Lumpur? Untuk apa! Bukankah tadi dia cakap dia nak bawa aku pergi rumah Mak cik Kalsom. Dia sendiri yang mempelawa dirinya untuk hantar aku ke sana. Tapi sekarang dia cakap dia nak bawa aku ke Kuala Lumpur?

“Penipu! Cikgu memang penipu! Cikgu cakap nak hantar saya ke rumah Makcik Kalsom. Hantar saya ke sana sekarang!”

“Mak cik Kalsom belum tentu dapat terima Nuha. Jadi biarlah Nuha ikut cikgu. Ya, sayang?” Dia seakan-akan memujuk. Aku berterusan menggeleng.

“Apa cikgu merepek ni. Tak cukup lagi ke cikgu sakitkan hati saya. Saya dah cukup terluka dengan segala ketidakjujuran cikgu. Apa lagi yang cikgu nak! Kenapa cikgu layan saya macam ni, hah? Kenapa?!”

Benci dengan air muka yang masih selamba dan tenang itu, aku mula bertindak bodoh. Stereng kereta aku paut kuat.

“Nuha!” Jerkahan Cikgu Ihsan tidak aku hiraukan. Aku terus memulas stereng itu berulangkali hingga kereta yang kami naiki itu mula terhuyung-hayang meredah kegelapan malam.

“Nuha jangan jadi bodoh!” Tangan Cikgu Ihsan menepis kuat tangan kecilku. Dan akhirnya kereta itu diberhentikannya di birai jalan.

“Buka pintu ni sekarang! Buka!” Tidak kuendahkan lagi intonasiku kepadanya. Aku cukup benci dan marah pada cikgu muda ini! Kalau boleh, mahu saja kau tumbuk muka dia!

“Buka pintu ni sekarang!” Aku jerit pada dia.

Dia mengeluh panjang. Dia tetap menggeleng.

“Kenapa Nuha degil macam ni. Nuha dah buat cikgu terpaksa. Terpaksa buat semua ni…”

“Cikgu minta maaf,” ucapnya tiba-tiba seraya memandang ke arahku.

Tidak sempat mulut ini mengeluarkan sepatah kata, sekelip mata tangan lelaki itu melekap kemas di mulutku bersama dengan sehelai sapu tangan.

Aku cuba meronta. Namun, beberapa saat kemudian, terasa diri ini lemah semacam. Mataku makin melayu. Dan akhirnya ia terpejam rapat.

BERSAMBUNG.

> Apa pendapat korang mengenai cerita ni??? Harap korang dapat bagi sepatah dua kata ^^



9 comments:

  1. Menarik..teruskan aje..
    ape terjadi pada nuha..

    ReplyDelete
  2. Menarik..teruskan aje..
    ape terjadi pada nuha..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Apa jdi?kena teruskan..hehe..insyaAllah tq sis ^^

      Delete
  3. Harap2 cikgu Ihsan berniat baik,kesian pd Nuha

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cikgu Ihsan ikhlas atau tidak?sama2 kita tunggu next entri...

      Delete
  4. biarlah tindakan cikgu Ihsan tue demi kebaikan Nuha..
    Cik Zu jgn nk buat cikgu Ihsan tue jahat plak yekkk..
    next n3 ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cikgu Ihsan jahat?hehe...kalau jahat camno kak?

      Delete
  5. Sorry tp kn rm20 ribu tu kalau pakai duit 100 kira ada 2 ikat je..masuk envelop je ok kot..sorry lg sekali..thx

    ReplyDelete
    Replies
    1. ha'ah kan.. TQ awk sbb komen psl perkara ni. Okey nanti sy edit balik.. tqqq sgt2..

      Delete