Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
BAB 4
“Nak kuah sikit lagi sayang…”
Suasana terasa sunyi buat seketika. Aku
dan semua yang berada di meja makan itu memandang Syamil penuh terkejut.
Sayang? Syamil memanggil aku sayang?
Sedar dengan keterlanjurannya, Syamil
bingkas bangun dan meluru keluar ke luar rumah sambil mendukung Amin sekali
dengannya. Aku hanya mampu tundukkan muka menahan malu. Kenapa pulak lelaki tu
boleh tersasul panggil aku sayang? Ah….
“Aunty yakin Syamil sedang berperang
dengan perasaannya sendiri. Aunty dapat rasakan dia mula sukakan kamu, Leen.
Bagilah dia peluang sayang. Bagi diri kamu juga untuk merasa bahagia buat kali
yang kedua.” Puan Shimah bersuara hiba.
Aku diam lama mendengar kata-katanya. Syamil
dah mula sukakan aku? Benarkah? Tak mungkin dia mampu menerima kehadiran
seorang wanita lain secepat ini setelah kematian isteri tercintanya. Hati aku
menolak sekerasnya. Aku tidak ingin lagi merasa sakitnya dikecewakan.
Namun, hati ini memang tidak mampu untuk
berbohong. Entah bagaimana hati aku bagaikan mula sukakan Syamil lelaki dingin
itu. Sedangkan dulu aku beria-ia menolak perasaan ini hadir dalam jiwaku. Aku
tahu, Syamil tidak mungkin akan membalas cintaku. Aku tahu cintanya pada arwah
isterinya masih menebal. Lantas aku hanya mampu memendam rasa dan menafikan
sekeras-kerasnya perasaan aku yang mula bercambah untuknya.
Tapi aku gagal. Aku tetap sukakan dia. Melihat
keperibadiannya yang baik dan bertanggungjawab pada keluarga, buat aku
mendambakan lelaki itu. Tapi siapalah aku. Aku hanyalah seorang janda anak satu
yang sudah ditinggalkan. Dan aku juga tahu, andai Syamil menerima aku dalam
hidupnya, sudah pasti itu hanyalah kerana satu sebab. Kerana aku adalah
perempuan yang akan menggantikan tempat arwah isterinya. Menjadi menantu sahaja
dalam rumah ini. Bukannya seorang isteri yang betul-betul dicintainya.
**********
Aku mendekati Syamil yang sedang duduk
atas kerusi kayu yang berdepan dengan kolam ikan. Amin yang sudah nyenyak tidur
dipangku kemas di bahunya. Aku mendekatinya dengan berhati-hati.
“Tuan…” Syamil agak terkejut dengan
sapaanku. Segera disapu air mata yang
bergenang di tubir matanya. Aku terdiam melihat keadaan Syamil. Lelaki itu
menangis?
“Amin dah tidur. Awak pergilah bawa dia
masuk bilik.” Syamil terus bangun. Perlahan-lahan diangkat Amin dari terus
melentok di bahunya lalu dihulurkannya padaku. Aku ambil Amin dengan berhati-hati. Kukucup lama
ubun-ubun anak kecilku itu sambil mendodoikan dia buat seketika.
Aku tidak terus melangkah pergi dari
situ. Sebaliknya aku tetap berdiri di situ dan cuba menyelami hati lelaki yang
sudah bertakhta di hati aku itu.
“Maafkan saya atas kejadian tadi.” Ucap Syamil
tanpa memandang wajahku. Mungkin dia masih malu.
“Takpe. Leen faham.” Aku bersuara perlahan.
Gara-gara perkara tadi, Puan Shimah dan Tuan Adam makin bersemangat memujuk aku
untuk menerima Syamil. Apa guna andai aku menerima lelaki itu sedangkan bukan
lelaki itu yang beria-ia untuk menikahi aku.
“Awak takkan faham perasaan saya Leen.
Takde siapapun yang faham.” Entah kenapa tiba-tiba aku berasa bahagia tatkala Syamil
memanggil namaku. Ini adalah kali
pertama kami berbual seperti ini.
“Saya dah kehilangan orang yang paling
saya sayang. Sepuluh tahun saya hidup dengan dia. Sekarang dia dah pergi. Hati
saya kosong. Jiwa saya sepi. Saya rindukan dia. Terlalu rindukan dia…” Syamil
tiba-tiba meluahkan isi hatinya. Suaranya mulai sebak. Kenapa lelaki itu
memilih aku untuk mendengar luahan hatinya?
“Leen juga pernah merasa semua tu, tuan.
Merasa kehilangan orang yang paling kita sayang dan percaya.” Aku turut
berkongsi perasaanku. Ingatanku terus terarah pada Farhan.
Syamil mula menolehkan mukanya
memandangku. Dia berdiri.
“Tapi orang tu masih hidupkan? Tak macam
saya. Isteri saya dah mati. Anak saya dah mati. Mereka takkan kembali
lagi.Sekurang-kurangnya kasih awak dan dia masih ada peluang untuk bertaut
kembali.” Aku geleng laju menidakkan kata-kata lelaki itu. Tidak mungkin aku
akan berpaling pada lelaki yang sudah membuang aku dari hidupnya.
“Leen tak mungkin dapat maafkan dia lagi
tuan. Kerana seorang wanita, dia sanggup meninggalkan isteri dan anak
kandungnya. Tapi Leen redha. Setiap yang berlaku adalah perancangan dari Allah.
Ada hikmahnya. Yang hilang pasti akan berganti.” Memang aku tidak layak memberi
kata-kata nasihat kepada Syamil. Tapi aku percaya satu benda. Setiap yang
berlaku pasti ada hikmahnya.
Syamil tersenyum sinis. Seakan-akan
kurang bersetuju dengan kata-kataku. Aku hanya mampu diamkan diri tidak mampu
berkata apa. Adakah Syamil menyalahkan takdir Allah dengan apa yang sudah
berlaku?
“Cakap memang senang. Tapi dalam hati
ni. Sakit!” Suara lelaki itu melantun tinggi. Aku tersentak lalu segera
mengemaskan pelukanku pada Amin.
“Tuan tak redha dengan takdir Allah?”
soalku cukup berani.
Syamil memandangku tajam. Dia
mendekatiku lalu bersuara menjawab soalanku tadi.
“Saya perlukan masa untuk terima semua
ni. Itu saja.” Lelaki itu terus berlalu. Berdebar hatiku menerima renungan matanya.
Andai masa yang diperlukan oleh lelaki itu, itu bermakna dia tidak memerlukan
wanita lain dalam hidupnya. Dan aku akan pastikan perasaan sayang yang mula
hadir dalam hatiku untuknya akan aku simpan sampai bila-bila. Mencintai dalam
diam. Mampukah aku?
***********
Semenjak dua menjak ini, makin rapat
pula Amin dengan Syamil. Dan hati aku makin parah mencintainya dalam diam. Ya
Allah, tolong hapuskan perasaan ini. Aku tak nak lemah kerana perasaan tidak
berbalas ini, ya Allah…
“Leen… suami awak kat mana sekarang?”
Tengah hari itu Syamil meminta aku menemaninya mengambil angin di bawah pangkin
yang dibina berdekatan dengan kolam renang. Amin turut ada di situ. Dia
diletakkan dalam stroller. Stroller yang dibeli oleh Uncle Syamil. Itulah
panggilan Syamil pada Amin.
“Leen tak tahu tuan.” Soalan Syamil aku
jawab setelah berjeda lama. Aku sengaja menyibukkan diri merapikan pakaian Amin.
Sungguh aku tidak berminat untuk membicarakan soal peribadi dengan lelaki asing
seperti Syamil.Dan tak sangka lelak itu cukup berani mengorek hal peribadi aku.
Sedangkan aku tak pernah berani menanyakan dia apa-apa.
“Pasti hati awak terluka benar dengan
perbuatan dia kan?” Aku tak angguk, aku tak geleng. Aku diam saja.
Syamil menghela nafas panjang.
“Nasib kita agak sama kan. Ditinggalkan.
Andai kata bekas suami awak kembali menagih cinta awak, adakah awak akan menerimanya semula?” Soalan
cepumas itu buat aku terkesima. Segera aku bangun dan bersedia membawa Amin
masuk.
“Tolong jawab soalan saya dulu.” Syamil
menghalangku. Aku angkat muka memandangnya. Dia mahukan jawapan? Dengar jawapan
aku ni baik-baik.
“Seperti tuan memerlukan masa untuk
terima takdir Allah atas apa yang berlaku pada keluarga tuan, begitu juga
dengan Leen. Leen perlukan masa untuk maafkan dia tapi tidak sesekali hati ini
akan terbuka untuk dia lagi.” Aku terus pergi sambil mendukung Amin.
Aku harap selepas ini jangan lelaki itu
berani menanyakan aku soalan peribadi lagi. Aku tak suka!
*******
Pagi itu, kepalaku terasa sangat berat.
Badan aku juga panas. Cuaca sekarang yang tidak menentu pasti penyebab aku
demam hari ini. Sudah aku memaklumkan
keadaan aku pada Kak Som. Kak Som cakap Puan Shimah mengizinkan aku bercuti.
Syukurlah. Bolehlah aku rehat-rehat di rumah.
Selesai sembahyang Subuh, aku menelan dua
biji panadol. Aku kembali menyambung tidur. Mujurlah anakku tidak banyak
meragam pagi itu. Nyenyak sekali anak kecil itu tidur di sebelahku.
Sedar-sedar saja, aku terbangun dari
tidur tepat jam 11 pagi. Ya Allah, lamanya aku tidur. Bangun-bangun saja aku
terkejut bukan kepalang saat melihat ketiadaan Amin di sisiku. Terus aku bangun
dan mencarinya di sekeliling bilik.
“Amin… Amin….” Menggelabah aku cari anak
kecil itu. Pelbagai perasaan timbul dalam hati. Adakah ada pencuri memecah masuk
ke dalam rumahku dan telah menculik Amin? Ya Allah tolong aku…
“Amin!” Aku meluru laju mendapatkan Amin
yang sedang dipangku oleh Syamil di ruang tamu. Apa lelaki itu buat dalam rumah
aku?
“Apa tuan buat dalam rumah Leen ni?
Macam mana tuan boleh masuk?” Kupeluk cium anakku bertalu-talu. Ya Allah,
mujurlah tidak ada apa-apa yang tidak elok menimpa Amin. Persoalannya,
bagaimana Syamil boleh ada di sini? Pada waktu-waktu begini?
“Maafkan saya Leen. Saya terpaksa… Saya
betul-betul terpaksa.” Terpaksa apa
maksud lelaki itu? Aku terpandang pada daun pintu rumahku. Kini baru aku
perasan yang ia sudah rosak dan hampir tercabut. Takkanlah…
“Saya terpaksa pecahkan pintu rumah
awak.Dah berkali-kali saya honkan kereta. Bagi salam.Takde siapa yang menjawab.
Awak senyap dalam rumah. Saya risau.
Saya takut kalau ada apa-apa yang menimpa awak dan Amin.”
Ya Allah… Jadi itu sebabnya bagaimana
lelaki itu boleh berada dalam rumah aku sekarang? Dan dengan tiba-tiba juga aku
mula menyedari sesuatu. Rambut aku. Menyedari rambut aku tidak ditutupi dengan
sehelai benang, segera aku masuk ke dalam bilik. Pintu bilik kukunci kemas. Ya
Allah, berdosanya. Aku dah tunjukkan auratku pada lelaki itu. Ya Allah,
ampunkan aku…
“Leen… awak okey ke?” Suara Syamil
kedengaran jelas dari luar.
Segera aku menyarungkan tudung ke kepala
dan kembali membuka pintu. Berat untuk aku berdepan dengannya lagi.
“Leen okey tuan. Leen minta maaf.Tapi
tak elok rasanya kalau tuan ada dalam rumah ni. Boleh tuan…” Aku pandang ke
pintu utama. Syamil terangguk faham. Entah kenapa tiba-tiba dia boleh
tersenyum. Aku bungkam. Senyuman itu untuk siapa?
“Okey saya akan pergi. Saya Cuma nak
hantarkan pesanan mama. Kejap….” Syamil bergerak ke ruang tamu dan mendapatkan
mangkuk tingkat yang dibawanya.
Aku pandang dia dan mangkuk tingkat itu
silih berganti. Kiriman dari Puan Shimah? Adakah Syamil ke sini kerana arahan
dari mamanya? Bukan kerana kerelaannya sendiri? Kerana risaukan aku? Ah…Kenapa
pula aku harus memikirkan semua kemungkinan itu. Entah apa yang dah lelaki itu
terlihat pada diri aku tadi. Berani sungguh lelaki itu masuk ke dalam bilkku
dan mengambil Amin.
“Ini dia. Mama yang masak. Katanya elok
untuk orang demam macam awak.” Aku ambil
pemberian Syamil seraya senyum nipis. Mungkin bubur yang dikirimkan oleh Puan
Shimah.
“Sebelum saya balik rumah. Saya rasa
elok saya baiki pintu rumah tu. Maafkan saya sebab dah pecahkan pintu tu. Awak
betul-betul buat saya risau.” Lelaki itu melangkah ke pintu. Aku di situ hanya
mampu diam menahan rasa. Benarkah Syamil risaukan aku? Atau dia risaukan Amin,
anakku?
**********
Aku leka memperhatikan gelagat Syamil
yang bertungkus-lumus membaiki pintu rumah. Engsel pintu cuba dipasangnya.
Sebelah pintu sudah siap dipasang. Tinggal sebelah lagi. Berpeluh-peluh lelaki
itu menyiapkan kerja yang seakan-akannya tidak biasa dilakukan olehnya.
“Jemputlah minum dulu airnya tu tuan,”
ujarku mempelawa. Aku duduk di atas kaki tangga sambil mendukung Amin. Syamil
pula berada dalam rumah membaiki pintu itu.
Walaupun aku berasa tidak selesa dengan
keadaan itu, bimbang juga kalau-kalau ada jiran yang salah anggap nanti. Yalah,
semenjak dua menjak ini sering-sering juga Syamil datang menjemput aku untuk
dibawanya ke vilanya. Katanya, dia tidak ingin Amin kepanasan atau kehujanan.
Sayang betul Syamil pada anak kecilku. Andai saja dia turut menyayangi aku.
Sudah pasti aku akan berasa lebih bahagia.
“Awak tak minum sekali?” Syamil berhenti
dari terus melakukan kerjanya. Dia turut duduk di atas tangga sambil menghirup
air teh yang aku siapkan tadi. Cekodok pisang yang sempat aku buatkan tadi
dimakannya dengan cukup berselera.
Sedang aku asyik memperhatikannya,
tiba-tiba lelaki itu menoleh memandangku. Aku yang sudah tidak mampu melarikan
anak mata, akhirnya hanya mampu tersenyum terpaksa.Cepat-cepat aku pura-pura
merapikan topi kecil yang tersarung di kepala Amin. Topi yang dihadiahkan oleh Syamil
tadi. Dihadapan topi itu ada terjahitnya perkataan ADAM.
“Comel betul Amin pakai topi tu. Saya
tempah khas untuk dia. ADAM.” Syamil mengomel sendirian sambil tersenyum-senyum.
Cukup aku suka dengan senyumannya itu.
“Meh duduk dengan uncle sayang.” Tangan Syamil
panjang dihulurkan padaku untuk mendukung Amin. Segera aku menghulurkan anak
kecil itu kepadanya.
Sebaik saja berada dalam pelukan Syamil,
Amin terus melonjak-lonjak riang. Suara comelnya kedengaran seakan-akan menegur
Uncle Syamilnya itu.
“Amin perlukan sebuah keluarga yang
sempurna untuk dia membesar. Perlukan seorang ayah untuk menjaga dia.” Aku
pandang Syamil. Apa yang cuba disampaikan oleh lelaki itu sebenarnya?
Syamil membalas pandanganku. Kami saling
bertentangan mata.
“Dan awak Leen. Perlukan seorang suami
untuk menjaga, melindungi dan menyayangi awak. Awak dah tak nak kahwin lagi
ke?” Sedikit berdebar hatiku mendengarkan soalan itu. Sekali lagi Syamil
menanyakan aku soalan peribadi. Ah… tak mungkin akan aku jawab kali ini.
“Leen rasa Leen tak perlu jawab soalan
tuan. Biarlah Leen simpan dalam hati apa yang Leen nakkan dalam hidup Leen dan Amin.
Maaf kalau bahasa Leen sedikit kasar hari ni.” Aku segera bangun. Amin yang sedang
duduk diam dalam pangkuan Syamil segera aku rampas.
“Lepas dah siap kerja tuan, Leen harap
tuan boleh balik. Kirimkan salam Leen pada Kak Som dan Puan Shimah.” Dapat aku
lihat perubahan air muka Syamil saat itu. Mungkin dia tidak menyangka aku akan
menjadi sesensitif ini apabila ditanyakan soalan itu. Biarkan saja dia begitu.
Sepatutnya dia tahu aku tidak suka dengan soalan peribadi. Apa lagi apabila
berkaitan dengan soal nikah kahwin.
Aku terus masuk ke dalam rumah. Syamil
aku biarkan keseorangan di situ.
********
Keesokan harinya, agak berat langkahku
untuk ke rumah Puan Shimah. Di sana sudah pasti aku akan bertemu lagi dengan Syamil.
Semalaman suntuk aku berfikir tentang kejadian pagi kelmarin. Tidak seharusnya
aku terlalu emosi apabila ditanyakan soalan sekecil itu. Seharusnya aku bijak
mengawal perasaanku.
Sebaik saja tiba di vila, aku terus
disapa oleh Syamil yang sudah sedia menunggu di halaman rumah. Dia tersenyum
kepadaku namun aku gagal untuk membalas senyumannya itu.
“Assalamualaikum Leen. Selamat pagi.” Mesra
pula Syamil menyapa aku hari ini. Aku hanya menjawab salamnya perlahan lalu
mengatur tapak untuk masuk ke dalam rumah.
“Leen tunggu.” Aku dihalang oleh Syamil
yang berdiri di hadapanku. Kepala kutundukan tidak mampu membalas renungan
matanya yang kurasa semakin hari semakin meruntun jiwa. Lemahnya aku!
“Maafkan saya pasal semalam. Saya tak
sangka soalan saya tu buat awak berkecil hati. Awak tak suka ke saya tanya
soalan macam tu?” Cukup naif Syamil bertanya. Aku tetap diam. Aku ingin
meneruskan langkah lagi namun dia tetap menghalang.
“Jawab soalan saya dulu, Leen. Atau
sekurang-kurangnya awak maafkan saya. Please…”
Aku angkat muka pandang muka Syamil.
Mendung saja wajah lelaki itu saat itu. Seakan-akan dia benar-benar berasa
bersalah dengan apa yang ditanyakan olehnya semalam.
Bila difikir balik, kesilapan lelaki itu
tidak besar mana pun. Aku aje yang terlalu emosi dan terlebih feeling. Hmm….
Seharusnya aku berterus terang dengan Syamil mengenai sesuatu. Biar selepas ini
dia tidak lagi sesuka hati menanyakan aku soalan peribadi yang paling aku tak
suka itu.
“Leen tak suka bila ada orang tanya Leen
soalan peribadi. Leen tak bersedia nak kongsi apa-apa dengan orang yang Leen
tak kenal. Cukuplah Leen aje yang tahu mengenai kisah hidup Leen. Selepas ini Leen
harap tuan jangan tanya Leen soalan macam tu lagi. Maafkan Leen kalau Leen dah
bersikap kurang ajar dengan tuan semalam. Leen masuk dulu…” Aku tidak berniat
untuk meninggikan suara atau apa saja pada Syamil. Aku harap sangat dia tidak
salah faham dan menganggap aku terlalu berani menegurnya seperti itu.
#bersambung...
#Syamil ni suka ke tak kat Leen? Dan Leen... serius ke suka kat Syamil?
ala... Syamil dah suka lah ter... hehe :3
ReplyDelete(AinaaAzlan)
Ye ke Syamil suka? Kalau tak suka camne? Hahaha... *aina dah baca kisah dorang kan.tu konfident jawab tu. :P
DeleteAdehhh...tersasul je rupanya...hihi
ReplyDeleteSuka ckp suka syamil....kalau tak suka jgn risau lebih2...hahahaha...ai plak yg emo...
Ter-shashul.hehe..
DeleteEntah Syamil ni. Dalam dilema agaknya kan... Nak ke tak nak..
syamil tue syok kt leen tue..sje kias2 ngn leen hehe..rasa mcm ari lak yg jadi leen..bestnya..tbaek
ReplyDeleteKias2 risik2 agaknya kan?hehe...
DeleteMekasih ari alhamdulillah (: