Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
“Aku dah jatuh cinta, Sarah!”
Mahu tercekik Sarah tatkala mendengarkan
lafaz keramat yang meniti di bibir Izzah itu. Matanya membulat memandang wajah
Izzah. Ayam goreng di tangan segera diletak kembali ke dalam pinggan. Tak jadi
nak membelasah ayam goreng Upin dan Ipin yang dibelinya di pasar malam tadi.
“Jatuh cinta? Dengan siapa? Kau jangan,
Izzah. Aku nak jawab dengan mak bapak kau kat kampung nanti. Mak bapak kau suruh
aku jaga kau kat KL ni, tengok-tengokkan kau. Bukannya suruh kau bercintan-cintun!”
Bebelan Sarah hanya dijawab dengan
senyuman dan tawa comel dari Izzah. Sentap pula Sarah menengoknya.
“Kau ni kalau membebel nombor satu.
Kalah Makcik Latipah sebelah rumah kita tu.” Omel Izzah sengaja mahu Sarah
makin naik hot.
“Ah! Tak kisahlah aku ni macam siapa
pun. Kalah ke menang ke…apa-apa ajelah! Sekarang jawab soalan aku. Mamat mana
yang dah ajar kau subjek cinta ni. Kau jangan mudah percaya dengan orang
lelaki, Izzah. Dorang tu mulut manis macam gula. Silap-silap hari bulan dorang
tu ada kencing manis!” Terhambur keluar tawa Izzah mendengarkan nasihat poyo
dari Sarah itu. Sarah pun sama. Walau cuba menseriuskan wajahnya. Rasa macam
lawak juga apa yang dia kata tadi. Senyum kelat meniti di bibir.
“Kau ni cepat sangat prejudis dengan
aku. Kau tahukan prinsip aku macam mana. Tak mainlah cinta-cinta sebelum kahwin
ni. Kalau boleh nak bercinta lepas kahwin aje. Baru sweet. Macam…” Tidak sempat
Izzah berceloteh, Sarah pantas memangkas kedua-dua tangannya ke hadapan muka
Izzah bagaikan gaya Ultraman. Tergelak lagi Izzah dibuatnya.
“Dah, dah, dah! Bukan itu yang aku nak
tahu. Sekarang cepat bagitau aku siapa lelaki tu. Sejak bila kau bercinta
dengan dia. Kalau dia serius, jumpa aku dulu sebelum jumpa mak bapak kau. Biar
aku jurikan dia dulu.” Sarah makin hilang sabar dengan Izzah. Perkara sebesar
macam ni perempuan tu boleh buat main-main.
Terkejut beruk dia apabila Izzah, rakan
serumah merangkap sahabat karibnya yang baru datang dari kampung itu tiba-tiba saja
malam ini berkata dia sudah jatuh cinta. Baru empat bulan kat sini dah pandai
main cinta. Sebagai penjaga yang telah diamanahkan oleh mak bapak Izzah untuk
menjaga dan memperhatikan Izzah di sini, Sarah bimbang kalau-kalau Izzah
tersalah langkah. Orang lelaki mana boleh percaya sangat! Tambah lagi Izzah
sendiri spesies gadis yang sopan lagi naif. Lagi senanglah kena goreng dengan
lelaki!
“Eh cepatlah cakap! Eee budak ni. Dah tangkap cintan sangat ke sampai dah
pandai berangan macam ni.”
Izzah mencemik. Ayam goreng dalam
pinggan dicapainya rakus. Lalu tanpa sebarang signal, dingap peha ayam Upin dan
Ipin itu dengan lahapnya. Mahu tertonjol biji mata Sarah.
“Hoi! Itu ayam akulah!” Sarah dah
bengang. Namun tidaklah sampai dia sanggup merampas semula ayam yang sudah
ditokak oleh Izzah itu. Buang karan aje.
Izzah sengih. “Sebab ayam kaulah aku
berani makan. Heee…”
“Kau ni memang dah sah jatuh cinta.
Cepat cakap dengan siapa. Esok kasi aku jumpa dengan dia.”
Mendengar arahan Sarah itu Izzah hanya
menggeleng. Sarah terus jegilkan mata. Tangannya mula memiat telinga Izzah agak
kuat. Menjerit sakit Izzah saat itu.
“Ouch! Sakitlah weh!”
“Haa tahu pun sakit. Ini baru piatan
manja dari aku. Nanti kalau mak bapak kau tahu kau bercinta kat KL ni, apa
agaknya dorang nak buat kat kau. Padan muka!”
Izzah menunduk. Ayam goreng diletak
perlahan dalam pinggan.
“Kau ni langsung tak bagi aku peluang
nak berdrama. Aku main-main ajelah. Serius gila kau bila aku cakap aku dah
jatuh cinta.”
Pengakuan itu hampir-hampir membuat
Sarah mencekik leher budak bertuah bernama Izzah ini. Main-main rupanya!
“Ugh, sengal! Kau nikan… nasib baik kau
ni kawan aku. Kalau tak…” Sarah dah malas nak melayan. Ceh rupa-rupanya dia
terkena! Tulah pelik juga bila Izzah tiba-tiba cakap dah jatuh cinta. Budak tu
bukan gedik sangat orangnya. Tapi seorang gadis yang sangat sopan. Jaga
pergaulan. Solehahlah senang cerita. Takkanlah mudah sangat jatuh cinta a.k.a
bermain api cinta sebelum menikah.
“Tapi kan Sarah…” Izzah pandang muka
masam Sarah yang tengah enak menggigit ayam dengan pandangan takut-takut. Sebenarnya
ada pengakuan yang harus diberitahunya pada Sarah. Pengakuan besar!
“Apa lagi. Kau nak cakap kau nak kahwin
pulak ke? Meh aku pergi pinangkan mamat bertuah tu.” Bidas Sarah sengaja
menyindir.
Tak menyempat Izzah terus menampar kuat
bahu Sarah. Berani kau sindir aku!
“Dah tu? Apa? Nak kenakan aku lagi ke?”
Sarah tersenyum sinis.
“Sebenarnya… sebenarnya aku memang dah
jatuh cinta. Dan cinta aku tu suci. Kau tak boleh halang!” Izzah terus bangun.
Dia melangkah keluar dari dapur tanpa memandang wajah Sarah lagi. Dalam diam,
dia tersenyum. Hehe… sekali lagi Sarah pasti terkono!
Berkelip-kelip mata Sarah memandang ayam
goreng di hadapannya. Dia cuba menghadam apa yang baru saja Izzah sampaikan
tadi. Cinta suci? Tak boleh halang? Sah! Memang budak tu betul-betul dah jatuh
cinta tapi takut nak mengaku!
“Nurul Izzah binti Affendiiiiiiii! Aku
cakap kat mak ayah kau!!! Tunggulah kau!” Dalam tidak mahu percaya, Sarah
sekali lagi terkena. Dia yakin, kali ini Izzah tidak main-main. Entah lelaki
mana yang pandai-pandai rosakkan fikiran Izzah tu. Aku kena bertindak! Sarah
pasang tekad.
++++++
“Izzah! Izzah! Bukak pintu ni! Jangan
sampai aku pecahkan pintu ni!” Jeritan Sarah dari luar bilik didengari dengan
jelas oleh Izzah. Dia tersengih lalu tergelak. Kesian Sarah. Hampir darah
tinggi dah tu.
“Tak nak! Aku nak bersendirian!” Sengaja
dia memberikan jawapan itu.
“Hoi! Kau jangan buat dramalah! Kau tu
mana reti bersendirian! Cepat bukak pintu ni. Jangan degillah!”
“Tak nak! Aku tak nak!”
Di luar bilik, Sarah berdiri sambil
bercekak pinggan di hadapan pintu bilik Izzah. Tombol pintu dipulas-pulasnya.
Kalaulah dia punya kunci pendua, dah lama dia bukak pintu ni. Tapi kunci pendua
Izzah yang pegang. Dua-dua kunci dengan minah tu. Sabar ajelah!
“Kau ni kenapa degil sangat hah
sekarang. Dah pandai bercinta pulak tu. Kau jangan main api, Izzah. Aku tak nak
kau kecewa. Kita mana boleh senang sangat jatuh cinta dengan lelaki. Kau kena
tunjukkan dulu mamat tu kat aku. Manalah tahu aku kenal dia ke. Boleh aku
bagitau kau perangai sebenar dia. Sama ada dia serius atau nak main-mainkan
kau. Kau dengar ke tak ni?!”
Dalam bilik, Izzah menutup mulut menahan
tawanya. Kesiannya Sarah. Ya Allah berdosa aku layan dia macam ni. Hati
kecilnya mengomel. Sememangnya sedari tadi dia berdiri di hadapan pintu. Tidak
mahu mempermainkan Sarah lagi, pintu bilik dibuka. Daun pintu dikuak dari
dalam.
“Aku tak marah. Aku sanggup slow talk
dengan kau. Jom kita bincang.” Sarah bersuara lebih lembut dari tadi. Dia cuba
tersenyum. Wajahnya yang sudah merah padam dengan telinganya yang dah macam
keluar asap, diperhatikan saja oleh Izzah dengan pandangan sengaja diredupkan.
“Hmm… okey kita slow talk. Kau kena buat
aku milo suam. Aku tunggu kau kat ruang tamu. Aku akan ceritakan semuanya pada
kau.” Izzah melintas di hadapan Sarah. Dia menapak ke ruang tamu.
Sarah cuba menahan sabar. Okey, sabar
Sarah. Demi Izzah, kau kena sabar. Budak tu budak mentah. Cinta ni mesti cinta
monyet. Entah budak lelaki mana yang dah rosakkan fikiran suci Izzah. Aku jumpa
nanti siap dia! Sarah dah menyingsing lengan baju.
Langkah turut diatur menuju ke tingkat
bawah. Lebih dulu dia ke dapur menyiapkan milo suam untuk Izzah. Untuknya dia
hanya sediakan ais kosong. Kot-kotlah dia meletup dengar cerita Izzah nanti.
Senang siram terus dengan ais tu kasi sejuk. Ugh!
+++++++
“Thanks,” ucap Izzah sebaik saja Sarah
menghulurkannya muk yang berisi milo suam kegemarannya. Milo suam Sarah memang
terbaik! Sengaja dia mintak perempuan tu buatkan. Hehe… nak bermanja sikit.
“Dah cepat cakap.” Sarah berkuasa keras.
Izzah berdecit, pura-pura geram.
“Tadi cakap nak slow talk. Ini belum
apa-apa dah marahkan aku. Tak naklah cerita macam ni.” Izzah pura-pura lagi nak
bangun. Pantas tangannya dipegang oleh Sarah.
“Jangan nak mengada. Okey-okey. Aku
minta maaf. Okey, sekarang cerita kat aku apa yang sebenarnya terjadi. Kau dah
jatuh cinta dengan siapa? Betul kau dah jatuh cinta?” Terus serius Sarah
bertanya.
Izzah juga sudah tidak sampai hati nak
mainkan sahabat karibnya itu. Akhirnya dia membuka cerita setelah mencicip
sedikit milo suam buatan Sarah itu.
“Sebelum aku beritahu kau perkara
sebenar, aku nak minta maaf. Sebab aku dah main-mainkan kau tadi. Sorry, Sarah.
Aku bergurau aje.”
Sarah kerut dahi. Tak faham dia dengan
maksud sebenar Izzah.
“Kejap-kejap. Part yang mana kau
bergurau ni? Yang kat dapur tadi tu ke atau…”
“Kat dapur, kat dalam bilik… aku
berlakon aje. Nak manja-manja dengan kau.”
Sarah yang memang terkenal dengan sifat
mudah naik hantu, terus menepuk meja dengan agak kuat. Tersentak Izzah
dibuatnya.
“Izzah! Kau ni dah kenapa? Kau nak masuk
rancangan realiti jadi pelakon ke apa?! Ugh! Kau kan…!” Tangannya sudah
terangkat mahu mencekik leher Izzah. Namun tidak sempat tangan itu sampai ke
leher Izzah, Izzah lebih dulu menjauh ke hujung sofa. Dia menggeleng ketakutan.
“Janganlah. Aku minta maaf dah kan.
Sorrylah.”
“Sorry-sorry. Banyaklah kau. Dahlah,
cepatlah cakap kau ni jatuh cinta ke tak. Over run dah cerita pendek ni. Karang
pembaca boring pulak.” Erk… Sarah dan Izzah sama-sama terdiam. Krik krik krik…
“Okey-okey. Macam ni sebenarnya cerita
dia…” Izzah kembali duduk dekat dengan Sarah. Dia menguntum senyuman pada
kawannya itu. Sarah buat muka serius.
“Aku memang dah jatuh cinta. Tapi…”
Kening Sarah terangkat ala-ala Kak Ziana Zain. Izzah cepat-cepat menjelaskan
perkara sebenar sebelum telinga Sarah benar-benar keluar asap.
Rahang Sarah jatuh. Dia tergamam.
“Dah tu? Dengan perem…”
“Hoi! Astaghfirullahaladzhim! Bukanlah!
Aku normallah!”
Sarah mengangguk lega.
“Teruskan-teruskan…” Dia sudah bersila
sambil tegakkan badan menghadap Izzah.
Kali ini Izzah pula yang naik hot. Ada
ke patut ke situ imaginasi Sarah. Suka perempuan? Cinta? Berkasih sayang? Oh,
tidak! Kena sumpah jadi batu aku nanti. Wal ‘iyazubillah!
“Aku dah jatuh hati, jatuh cinta dengan
al-Quran, Sarah. Maksud aku… aku jatuh cinta tahap aku nak mendalami lebih
mendalam tentang al-Quran. Sebab tu aku rasa… aku nak belajar lebih detail
pasal al-Quran. Aku masuk kelas.”
Terdiam lama Sarah detik itu. Tiada kata
yang keluar dari bibirnya. Wajah tenang Izzah menuturkan semua itu ditatapnya
penuh dalam. Tak semena-mena dia tertunduk lantas mengeluh.
“Hmm…” Panjang keluhannya.
Izzah naik bingung. Adakah Sarah
menganggapnya bergurau lagi?
“Sarah aku serius. Aku tak main-main
dah.”
“Aku tahu. Aku nampak dari sinar mata
kau.”
“Dah tu kenapa kau diam? Mengeluh
panjang pulak tu. Kau tak nak support aku ke?”
Sarah akhirnya angkat muka. Tebal terasa
mukanya saat itu. Tangan Izzah digamit kemas.
“Izzah, aku malu…” Izzah naik bingung.
Malu? Kenapa pulak dah.
“Aku malu dengan kau. Kau tiga tahun
muda dari aku. Tapi perangai kau, sikap kau, akhlak kau… aku malu dengan kau,
Izzah.”
Kali ini Izzah mulai faham. Sedikit
faham.
“Kenapa kau nak malu? Aku yang
sepatutnya malu dengan kau sebab kau lagi tua dari aku tapi aku panggil kau
Sarah aje. Cakap pun aku-kau. Aku tak hormat kat kau kan.” Sengaja dia
memberikan jawapan seperti itu.
“Aku tak kisahlah pasal tu. Lagipun kita
kawan dah lama.”
“Dah tu kau malu pasal apa pulak?” Izzah
bertanya dungu.
“Aku malu sebab… aku malu sebab aku…”
Sarah berjeda lagi. Sukar untuk dia mengaku. Pengakuan yang tak pernah
dilafazkan pada sesiapa. Kenyataan yang sering dia cuba untuk hindarkan selama
ini.
Izzah setia menanti Sarah berterus
terang. Dia tidak akan mendesak. Difikirkan isu tentang keinginannya masuk ke
kelas mengaji yang akan menjadi perhatian Sarah. Tak sangka pula Sarah yang
buat isu sendiri. Hmm… mungkin ada hikmah perbincangan mereka malam ini.
Izzah terdiam. Lama.
“Kenapa kau perlu malu dengan aku,
Sarah. Aku tak ada apa-apa pun. Sarah, aku pun malu dengan kau sebenarnya.”
Mereka saling berbalas renungan. “Malu?
Apasal pulak.” Soal Sarah.
Izzah senyum kelat. Dia pula yang
tertunduk.
“Kau cakap aku ni baik, solehah,
berakhlak… tapi aku gagal untuk menarik kau sama-sama jadi macam tu. Kau
sahabat aku, tapi aku tak pernah nasihatkan kau. Jarang… sangat jarang. Maafkan
aku, Sarah. Aku bukan kawan yang baik,” ucap Izzah sepenuh hati.
Kali ini Sarah pula yang terdiam. Ruang
tamu itu tiba-tiba jadi sunyi. Masing-masing melayan jiwa.
“Kau kawan yang paling baik pernah aku
jumpa, Izzah. Orang cakap, kawan yang mengingatkan kita pada akhirat, itulah
kawan yang paling baik. Kau sebenarnya banyak menyedarkan aku. Bila aku tengok
kau mengaji, kau solat, kau tutup aurat… aku nak jadi macam kau. Tapi aku tak
kuat, Izzah. Aku lemah, iman aku lagi lemah.”
Pelupuk mata Sarah mula memberat
menakung air mata. Jiwanya yang keras menjadi lembut malam ini. Hatinya
meronta-ronta untuk berkongsi segala rasa ini dengan seseorang. Sudah tidak
mampu untuk dipendam lagi. Kerana Sarah sedar, semakin lama ‘penyakit hati
keras’ ini makin membunuhnya. Dia tak sanggup nak mati sebelum betul-betul mati
dijemput Malaikat Maut. Hati mati lebih teruk dari mati jasad. Kerana apabila
hati mati, jasad bagaikan mayat hidup! Tak bernilai! Mati sebelum bertaubat,
mati dalam keadaan ingkar pada perintah Allah… bertambah-tambah sengsaranya di
akhirat nanti. Allah… tak sanggup.
“Kita boleh sama-sama cuba, Sarah. Iman
aku pun turun naik. Aku pun kadang-kadang terperangkap dengan nafsu. Terjerat
dengan perangkap syaitan. Belum terlambat untuk kita berubah, Sarah. Kita
sama-sama jadi baik jom. Kau, aku… hmm?”
Tangan Izzah dan Sarah
sudah berpegangan erat.
Melihat ada air jernih yang menitik ke
pipi Sarah menimbulkan getaran di hati kecil Izzah. Jauh di lubuk hatinya, dia
mengucap syukur kepada Ilahi. Mungkin inilah air mata hidayah. Alhamdulillah!
“Kau bantulah aku. Aku jahil, Izzah. Aku
dah jauh menyimpang. Solat pun aku banyak tinggal. Time puasa bukan main aku
gagah puasa. Tapi aurat aku tak terjaga, mulut aku cakap benda tak baik,
perangai aku kasar… banyaknya dosa aku, Izzah. Allah sudi ke ampunkan aku…”
Tak dapat lagi Izzah menahan sebak di
dadanya, tubuh Sarah didakapnya kemas. Belakang perempuan itu diusap-usapnya
dengan penuh kasih sayang.
“Tiada siapa dalam dunia yang lebih
bersifat pengampun selain dari Allah, Sarah. Kau kena yakin, kau kena percaya…
Allah itu benar-benar Maha Pengampun. Kita berharap, kita takut pada Dia…
moga-moga Dia ampunkan dosa kita.”
Sungguh semua ini tidak pernah terlintas
di benak Izzah. Tak sangka lakonannya yang bermula di dapur tadi, berakhir dengan
drama air mata seperti ini. Sudah lama dia tidak melihat Sarah menangis seperti
ini. Allah telah memilih detik dan saat ini untuk mengurniakan Siti Sarah binti
Aman sebuah hidayah yang sangat-sangat berharga nilainya ini!
Hidayah… hadirnya amat didambakan. Amat
diperlukan. Sepertimana manusia memerlukan cahaya apabila berada dalam
kegelapan, hati dan iman terlebih lagi memerlukan suluhan cahaya hidayah.
Cahaya hidayah itu menyuluh kepada kebaikan dan menghalang diri dari terus
lemas dalam kemungkaran!
Bagi yang lalai, bagi yang sudah
‘terbabas’ jauh dari landasan utama, hidayah Allah amat-amat ditunggu-tunggu
dan diperlukan untuk kembali semula ke jalan yang diredhai. Alhamdulillah,
Sarah dipilih dan terpilih.
“Aku nak belajar semula solat, mengaji, ambil
air sembahyang dengan kau, Izzah. Dan pasal kau nak mendalami al-Quran, aku nak
ikut. Aku pun nak faham al-Quran… aku pun… aku pun nak jatuh cinta dengan
al-Quran, Izzah!” Izzah menatap wajah sembab Sarah. Dia menggangguk laju.
Senyuman tulus dihulurkan untuk sahabatnya itu.
“Ya, kita sama-sama akan belajar balik.
Kita akan sama-sama masuk kelas mengaji tu. Dan kita akan sama-sama jatuh cinta
dengan al-Quran. Jatuh cinta dengan Allah. Jatuh cinta dengan Rasulullah. Kita
berubah ya, Sarah. Kita pelihara iman kita. Kita dah takde banyak masa, kan?”
Sarah angguk dan terus mengangguk. Hanya
air matanya saja yang berbicara.
Izzah dan Sarah. Walau suka gaduh tapi persahabatan mereka Lillahitaala. |
Izzah tak berhenti memanjat rasa syukur
pada Ilahi. Apa yang terjadi malam ini merupakan moment terindah dalam
hidupnya.
Walaupun sebelum ini dia tidak berjaya
untuk menasihati Sarah dengan kata-kata, namun syukur Alhamdulillah Allah
menggerakkan hati Sarah kerana melihat akhlaknya. Sejujurnya, itu saja modal
Izzah untuk berdakwah. Sungguh dia tidak punya kekuatan untuk menasihati Sarah menggunakan
kuasa. Yang mampu digunakan hanya dengan hatinya. Sentiasa mendoakan agar Sarah
memperoleh hidayah dan menjadi Muslimah yang lebih baik. Selain doa, senjata
ampuhnya untuk berdakwah adalah dengan menunjukkan akhlak yang baik. Moga-moga
akhlak Islam yang cuba ditonjolkan olehnya itu berjaya menjentik hati seseorang
untuk berubah menjadi lebih dari apa yang telah ditonjolkan oleh dirinya itu.
Itulah dakwah kecil dari gadis bernama Nurul Izzah binti Affendi. Dengan izin
Allah, tiada yang mustahil.
“Aku sayang kau, Sarah. Aku sayang kau…”
Sekali lagi Sarah mendakap erat tubuh Sarah. Dan Sarah membalas pelukan ukhuwah
fillah dari Izzah dengan air mata yang masih bergenang.
“Aku pun sayang kau, Izzah. Terima kasih
sebab sudi jadi kawan aku…”
Sebaik-baik sahabat adalah sahabat yang
dapat membawa kita ke Syurga Ilahi. Bukan sahabat yang tegar membawa kita ke
neraka. Sahabat neraka senang dicari… tetapi sahabat ke Syurga sukar ditemui.
Sahabat yang baik, apabila dipandang
wajahnya, membawa mengingati Allah, mendengarkan kata-katanya menambahkan ilmu,
terlihat gerak gerinya meninggikan takut kepada Allah, berkawan dengannya berjuang
ke jalan Allah.
Akhir kata…
Kawan sejati ambil berat macam seorang
ibu, marah macam seorang ayah, bergurau macam adik-beradik dan menyayangi lebih
daripada seorang kekasih.
PENGAJARAN
1. Sikap Sarah perlu dicontohi oleh kita semua. Sebagai sahabat, kita perlu menasihati rakan-rakan kita yang mula nak terjebak dalam percintaan (ber-pakwe ber-makwe). Kerana percintaan yang tidak serius mampu memberi kesan yang sangat serius pada jiwa seseorang kelak.
2. Sifat amanah yang Sarah miliki juga perlu dicontohi. Sarah memegang erat amanah yang telah ibubapa Izzah berikan padanya.
3. Akhlak yang baik mampu menjentik hati seseorang untuk berubah. InsyaAllah.
4. Jatuh cinta dengan al-Quran merupakan moment terindah dalam hidup seseorang. Mengapa agaknya Izzah mampu jatuh cinta dengan al-Quran? Mungkin inilah salah satu sebabnya.
Sabda Nabi yang bermaksud : “Bacalah oleh kalian Al-Qur`an. Kerana ia
(Al-Qur`an) akan datang pada Hari Kiamat kelak sebagai pemberi syafa’at bagi
orang-orang yang rajin membacanya.” [HR. Muslim 804]
“Sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari
Al-Qur`an dan mengajarkannya.” [Al-Bukhari 5027]
“Yang membaca Al-Qur`an dan dia mahir
membacanya, dia bersama para malaikat yang mulia. Sedangkan yang membaca
Al-Qur`an namun dia tidak tepat dalam membacanya dan mengalami kesulitan, maka
baginya dua pahala.” [Al-Bukhari4937, Muslim 244]
#Subhanallah. Tidakkah tergerak hati kalian untuk jatuh cinta dengan al-Quran?
Bunga Zu.. Nice story.. Sahabat yg baik seperti penjual minyak wangi.. Dia akan menjadikan sahabatnya juga wangi.... Keep writing dear..
ReplyDeleteTQ Bunga Zara. Yup jadikan kita wangi dan tidak dihinggapi lalat2.hehe..
DeleteInsyaAllah selagi Dia mengizinkan. Thanks sbb sudi tinggalkan komen zara. You r my SDA..hehe
You too my dear my SDA...
Deletesimple tp mendalam maknanya. suka dgn crita ini. :)
ReplyDeletealhamdulillah. semoga ape yg cuba disampaikan sampai ke hati semua yg membacanya..aamiin2.. thanks nik sudi komen.. :)
DeleteBismillah..
ReplyDeleteWell done Cik Zu~ Ringkas dan padat isi cerpen ni. Suka&menarik~ tema cinta pd Al-quran & prshbtn ukhuwah fillah, bshbt kerana Allah. Gaya Zu mengolah crita mmg x menghampakan. Teruskan berkarya ya ukhti fillah <3 <3
Terima kasih liz.. alhamdulillah kalau liz dapat tangkap maksud sebenar cerpen ni ditulis.hehe.. yup! tema nye cinta pada al-Quran dan ukhuwah fillah.. insyaAllah, ukhti. Awok pun teruskan berkarya. fightingg! <3
DeleteSebuah cerpen yang ada isi...
ReplyDeleteSama2 kita ambil isi tu kak.InsyaAllah :)
DeleteMasyaAllah,,, bnyk pengajaran n nilai murni blh di ambk...
ReplyDeleteTaniah kpd cik penulis ;)