DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.
BAB 1
“Anakanda Tuah….” Tuah yang sedang ralit
memancing ikan di tepi kolam segera berpaling ke arah suara yang menegurnya.
Cepat-cepat dia berdiri sebaik saja ternampak wajah bondanya, Puan Sri Jamilah. Joran di tangan segera
diturunkan.
“Bonda? Bonda buat apa kat sini? Bonda
cari Tuah ke?” soal Tuah setelah mencium tangan bonda tercintanya.
Puan Sri Jamilah tersenyum seraya
anggukan kepala. Kerusi lipat yang sudah tersedia di hadapannya didudukinya.
“Banyak ke dapat ikan?” tanya Puan Sri
Jamilah sambil menjeling ke arah baldi yang terdampar sepi di tepi kolam.
Tuah mencebikkan bibirnya. Bahunya
terjungkit. “Takde rezeki lagi, bonda. Ikan belum bangun tidur lagi kut.” Tuah
bercanda mesra.
Puan Sri Jamilah tertawa kecil mendengar
jenaka anak bujangnya itu. Topi besar yang menutupi kepalanya dibetulkan
sedikit.
Pemandangan kolam ikan yang terdampar
luas di hadapannya ditatap lama oleh Puan Sri Jamilah. Dalam mindanya sekarang,
mula teringat pada kenangan manisnya bersama-sama arwah suaminya dulu.
Tan Sri Megat Halim, cinta pertama dan
terakhir Puan Sri Jamilah. Kematian Tan Sri Megat setahun yang lalu masih lagi
memberi kesan dalam hati Puan Sri Jamilah. Jiwanya kekadang terasa sepi tanpa
ada lagi teman yang menemani malamnya. Mendengar bebelannya. Bersabar menunggu
dia membeli-belah berjam-jam lamanya. Teman sehidup semati. Rindu Puan Sri
Jamilah pada arwah suaminya amat-amat menebal.
“Bonda, bonda fikirkan ayahanda lagi
ke?” soal Tuah dapat merasai kepiluan hati bondanya detik itu.
Lama berjeda, barulah Puan Sri Jamilah
menjawab soalan Tuah. Dia mengangguk kecil.
“Bonda rindu pada ayahanda Tuah. Hmm…
agaknya bilalah bonda dapat bertemu dengan ayahanda Tuah ya.” Kata-kata Puan
Sri Jamilah membuat Tuah tidak jadi meneruskan pancingannya. Ditatap resah
wajah bondanya.
“Apa yang bonda merepek ni. Tuah tak
suka bonda cakap macam tu.” Tuah geleng kepala. Hilang terus moodnya untuk
memancing.
Biasanya waktu petang-petang begini,
Tuah memang selalu menghabiskan masanya di tepi kolam ternakan seluas 30 kaki X
70 kaki ini.
Kolam ikan ini merupakan projek
usahasamanya dengan arwah ayahanda tercinta.
Tuah Dzulkarnain memang seorang anak
bangsawan yang hidup mewah dalam ‘istananya’. Namun, dia juga seperti lelaki
biasa yang lain yang punya impian dan cita-cita sendiri.
Tuah tidak gemar menghabiskan masanya
dalam urusan perniagaan seperti arwah ayahandanya. Tuah lebih suka untuk
menternak dan bercucuk tanam seperti orang kampong yang membanting tulang empat
kerat demi mencari sesuap nasi.
Di ‘istana’ mewah ini, lelaki itu cuba
merealisasikan impiannya. Kawasan rumahnya yang beratus ekar luasnya
membolehkan Tuah memulakan projek impiannya.
Menternak ikan keli dan menanam pelbagai
jenis buah-buahan yang boleh memberi hasil untuk dimakan dan dikomersialkan.
Itulah Tuah Dzulkarnain. Lelaki unik
yang tidak suka hidupnya ‘terhidu’ oleh masyarat luar.
“Bonda teringin nak ada anak perempuan.
Bolehlah dia teman bonda menjahit, tanam pokok bunga sama-sama dan tolong bonda
masak.” Tiba-tiba Puan Sri Jamilah mengeluarkan isu itu.
Tuah sudah mengeluh kecil. Isu kahwin
pasti akan menjadi topic bondanya.
“Kalau macam tu, bonda kahwinlah lagi.
Bolehlah Tuah dapat adik baru.” Kata-kata Tuah buat tangan Puan Sri Jamilah
menampar kuat lengan anak lelakinya itu. Dia menggeleng tanda tidak bersetuju.
Tuah tersengih nakal.
“Buat-buat tak faham pulak. Bonda
mahukan seorang menantu. Tuah satu-satunya anak yang bonda ada dalam dunia ni. Pada
Tuahlah bonda bergantung harap. Bonda teringin nak timang cucu.”
Sudah cukup biasa Tuah mendengar ayat
itu keluar dari bibir bondanya. Dia segera angkat joran lalu melempar mata kail
ke dalam kolam.
“Jodoh bukan kat tangan Tuah, bonda.
Tuah tak boleh buat apa-apa.” Tuah memberi focus kepada pancingannya.
Harap-harap ada ikan yang terkena umpannya.
Puan Sri Jamilah bangun dari kerusi. Dia
berdiri di sebelah anak lelaki tunggalnya yang kelihatan cukup selekeh dengan
kemeja Pagoda dan seluar askar lusuhnya.
“Siapa cakap Tuah tak boleh buat
apa-apa. Allah memang aturkan jodoh kita. Tapi sebagai manusia, kita harus juga
berusaha, sayang. Tuhan tidak mengubah nasib seseorang melainkan seseorang itu
mengubah nasibnya sendiri. Jadi….”
“Jadi bonda kenalah carikan Tuah seorang
calon. Boleh, bonda?”
Puan Sri Jamilah terkesima seketika
mendengar apa yang dikatakan oleh anak bujangnya. Wajah tampan Tuah ditatapnya
lama.
“Betul ke apa yang Tuah cakap ni? Tuah
tak main-mainkan bonda kan?” Andai itu keinginan Tuah, pucuk dicita ulam
mendatanglah bagi Puan Sri Jamilah.
Tuah mengangguk penuh yakin. Makin
menjadi-jadi keterujaan Puan Sri Jamilah.
Mendengar suara gembira bondanya sudah
cukup buat hati Tuah merasa lapang dan bahagia. Kebahagiaan bonda adalah
impiannya kini.
Setelah bonda kehilangan suaminya yang
tercinta, Tuah tidak sanggup melihat bondanya bersedih lagi. Sebagai anak
tunggal bondanya, Tuah merasa bertanggungjawab untuk menceriakan hati bondanya
dengan apa saja cara sekalipun.
Termasuklah dengan pura-pura bersetuju
dirinya sudah bersedia untuk mendirikan rumahtangga. Biarlah waktu yang
menentukannya. Andai benar dia ada jodoh dengan salah seorang gadis yang bakal
bondanya jodohkan nanti, Tuah terima dengan hati yang terbuka. Bukankah redha
ibu bapa melahirkan redha Ilahi? Dan pilihan Allah itu tidak pernah silap,
bukan?
Tapi persoalannya siapakah jodoh yang
sudah tersedia untuk lelaki bernama Tuah Dzulkarnain ini? Dia sendiri tiada
jawapannya.
++++++++++
“Bonda dah ada beberapa
calon untuk Tuah pilih. Yang ni semua anak kenalan bonda. Hah, ni gambar-gambar
dorang. Tuah pilihlah yang mana Tuah rasa nak kenal dulu.” Malam itu sedang
Tuah beristirehat di ruang tamu, Puan Sri Jamilah memulakan agendanya. Habis
semua gambar calon untuk dibuat isteri diberikan pada Tuah.
“Kejap. Maksud bonda
Tuah kena kenal dengan semua gadis ni?” Pertanyaan Tuah dijawab dengan anggukan
oleh Puan Sri Jamilah.
Tuah melopong.
“Yalah kalau tak kenal
sorang-sorang, macam mana Tuah nak buat pilihan. Jadi, sekarang Tuah pilih.
Bonda tiada sebarang bantahan. Semua keputusan di tangan anakanda Tuah.” Puan
Sri Jamilah tersenyum girang. Hatinya sudah berbunga-bunga ceria. Moga-moga
dalam tahun ini juga dia mendapat seorang menantu. Ya Allah, pertemukanlah
jodoh Tuah Dzulkarnain secepatnya. Sempat hati kecilnya memanjatkan doa pada
Ilahi.
Foto-foto dari tangan
bondanya diambil lambat oleh Tuah. Dia masih cuba bermain tarik tali dengan
bondanya namun Puan Sri Jamilah tersenyum lebar seakan-akan memberi semangat
untuknya memilih. Tuah terus jadi serba salah. Ikhlaskah dia dalam melakukan
semua ini?
Cukup sekali imbas Tuah
menjeling pada foto-foto calon bondanya. Dari berbaring dia terus berdiri.
“Erm, Tuah nak privasi.
Tuah nak tilik gambar ni satu-satu. Boleh ke bonda?” Puan Sri Jamilah
mengangguk laju. Sedikit pun dia tidak menyedari akan keterpaksaan anakanda
tercintanya itu dalam membuat keputusan yang berat ini.
Tuah tersenyum sumbing.
Tak sanggup dia nak mengecewakan hati bondanya. Ah, sesungguhnya pengorbanan
ini benar-benar satu penyeksaan!
Dia terus meminta diri
masuk ke bilik beradunya tanpa sebarang kata lagi.
+++++++
Sesampai di dalam
kamar, Tuah terus merebahkan tubuh tegapnya ke katil. Sambil bersilang kaki dan
mendaratkan lengan ke dahi, sebelah tangannya memegang sekeping gambar yang
diambilnya secara rawak.
Perlahan-lahan dibuka
matanya menatap wajah gadis yang berada dalam foto lebih teliti.
Seorang gadis yang
tidak bertudung dan mengenakan baju kebaya warna merah pekat yang membikin hati
kecil Tuah jadi lain macam. Terus dilemparkan gambar gadis itu ke lantai.
“Tak mungkin aku nak
pilih perempuan macam ni jadi isteri aku. Aku nakkan yang bertudung. Yang
solehah. Yang hanya menampakkan kecantikannya pada aku, suaminya.” Tuah
membebel seorang diri.
Tangannya kembali sibuk
menarik sekeping gambar secara rawak.
Kali ini dia berjaya
memilih seorang gadis yang bertudung fesyen yang agak pelik di pandangan
matanya.
Tudung dibelit-belit di
kepala. Pangkal leher yang terdedah ditutupi dengan kain warna hitam. Bajunya
pula bercorak bulat-bulat.
“Fesyen apa ni?
Bulat-bulat macam zaman P. Ramlee aje. Hisy! Macam-macam perempuan sekarang
ni.” Foto itu juga turut menjadi buangan Tuah. Dicampakkan foto itu ke lantai.
“Okey ini last aku
pilih. Kalau tak berkenan jugak, aku suruh bonda aje yang aturkan siapa yang
perlu aku jumpa dulu.”
Matanya sekali lagi
dipejamkan. Sekeping foto ditarik.
Perlahan-lahan matanya
dicelikkan. Mula-mula sebelah kemudian apabila ternampak saja imej seorang
wanita muslimah tertancap pada foto itu terus membulat jadi mata Tuah.
Ada senyuman terukir di
bibirnya.
“Hah, ini baru taste
aku.”
Wajah gadis yang
terdapat pada foto yang dipegangnya hanya biasa-biasa saja. Tidak terlalu
cantik, jauh sekali buruk rupa.
Bertudung labuh
melepasi dada. Tersenyum indah hingga menampakkan lesung pipit di sebelah pipi
kirinya.
Jari Tuah mula meniti
pada wajah gadis itu. Sekali lagi bibirnya tersenyum. Inilah pilihan
pertamanya!
“Apa agaknya nama
perempuan ni? Hmm…” Foto kali ini diletak dengan cermat di atas meja.
Matanya yang sudah mula
mengantuk dipejam tanpa paksaan. Semoga pilihannya tadi memberi jalan yang
terbaik untuk dirinya.
Bersedia atau tidak dia
dengan perkahwinan ini, andai gadis itu telah tertulis menjadi jodohnya, Tuah
tahu dia perlu menghadapi takdir ini dengan hati yang terbuka.
++++++
“Dayang oh Dayang!”
Jeritan Ibu Orked mengejutkan Dayang yang baru saja ingin melelapkan mata.
Matanya memandang jam pada dinding bilik. Jarum jam menunjukkan angka 3.
“Dayang! Cepatlah aku
nak terberak dah ni!” Sekali lagi suara Ibu Orked menyentakkan Dayang.
Cepat-cepat dia
meloncat turun dari katil. Kakinya menderap laju ke bilik ibu angkatnya itu.
“Ya, bu. Ibu nak buang
air ya.” Dayang bersuara lembut. Tangannya mula sibuk tercari pampers di dalam
laci almari.
“Kau ni tidur ke apa
hah?! Aku nak berak boleh pulak dia tidur. Cepat! Karang aku berak dekat sini
kau jugak yang kena basuh.” Suara kuat Ibu Orked memecahkan kepekatan dinihari.
Dayang cuba bersabar
dengan setiap patah kata yang keluar dari mulut ibu angkatnya. Alah bisa tegal
biasa. Sesungguhnya dia sudah biasa dengan herdikan dan jerkahan dari Puan
Orked atau lebih mesra dipanggil Ibu Orked.
Tanpa sebarang suara,
Dayang dengan berhati-hati menyarungkan pampers pada Ibu Orked. Sebaik saja
pampers itu kemas tersarung, dia segera meminta diri.
“Hah, jangan nak tidur-tidur.
Nanti aku terjerit-jerit, satu kampong ni tak boleh tidur. Kau tunggu aje kat
luar. Faham?” Dengan anggukan berkali-kali, Dayang menjawab.
Dia tersenyum nipis
lalu memberi ruang untuk Ibu Orked mengqada hajatnya.
Tubuh disandarkan lemah
ke dinding kayu. Anak rambutnya yang terjuntai kecil di dahi, dikemaskan dengan
hujung jari.
Mungkin akan menunggu
lebih lama, Dayang menapak perlahan-lahan menuju ke dapur. Lebih baik rasanya
dia menyediakan minuman untuk Ibu Orked. Pasti perut wanita tua itu lapar pada
waktu-waktu begini.
Suis lampu dapur
ditekan dengan hujung jari. Bercahaya terang ruang dapur yang sudah usang itu.
Sebuah mug dicapai
Dayang dari atas rak. Susu Anlene Gold yang terdapat dalam tin diambil dua sudu
besar lalu dimasukkan ke dalam mug. Air dalam cerek dituangkan sedikit ke dalam
mug. Tanpa gula, susu itu dikacau perlahan-lahan.
“Hmm…” Keluhan panjang
lagi berat dihela olehnya.
Beginilah hidup
menumpang kasih orang dan hidup menumpang di rumah orang.
Dayang Zulaikha.
Hidupnya tidaklah seindah namanya.
Kadang-kadang dia
merasa namanya lebih sesuai hanya dipanggil Dayang.
Dayang. Seorang dayang
kepada orang-orang kaya. Seorang hamba yang mencurahkan hidupnya pada tuannya.
Namun, Dayang tahu dia
kini hidup di zaman moden. Manalah ada istilah hamba lagi di dunia sekarang.
Yang ada mungkin orang gaji atau pembantu rumah.
Hidup sebatang kara di
dunia buat Dayang merasa payahnya mencari erti bahagia. Apatah lagi dengan masa
silamnya yang penuh liku dan noda, buat Dayang kini redha sahaja dengan apa
yang Allah aturkan untuknya.
Hidup sebagai seorang
bekas pelacur tidak semudah yang tergambar di minda. Terlalu payah dan sukar
untuk diertikan dengan kata-kata. Mulut manusia sangat suka mengata dan mereka
sangat mudah menghukum.
Walaupun kini Dayang
sudah bertaubat dan kembali ke jalan yang diredhai Allah, masih lagi ada
mulut-mulut jahat yang menghinanya.
Dia telah dikutip oleh
Ibu Orked sepuluh tahun yang lalu. Sewaktu umurnya tiga belas tahun, Dayang
mula terjebak dengan pelacuran. Menginjak ke usia 20 tahun, Dayang mula
memikirkan soal hidup dan mati. Memikirkan soal dosa dan pahala. Syurga dan
neraka.
Ibu Orkedlah orang yang
menariknya keluar dari lembah kehancuran itu. Kini, umurnya sudah 30 tahun.
Dayang tidak pernah lupa walau sesaat untuk menyesali dosa-dosa yang telah
dilakukan olehnya dulu.
Syukurlah dirinya tidak
dijangkiti dengan penyakit yang merbahaya. Terselamatlah dia daripada terus
dipinggirkan oleh masyarakat. Namun ujian tidak pernah terhenti.
Kerana penduduk kampong
mula mengetahui status dirinya sebagai bekas pelacur, Ibu Orked mula diserang
oleh orang kampong. Dayang dipaksa untuk keluar dari kampong.
Kerana sayangnya Ibu
Orked pada Dayang, wanita separuh abad itu membawa Dayang pergi ke kampong
lain. Mereka memulakan hidup baru, di kawasan dan persekitaran yang baru.
Namun, Allah menguji
kasih sayang Dayang dan Ibu Orked. Ibu Orked disahkan mendapat penyakit lumpuh
separuh badan. Wanita berhati mulia itu tidak boleh lagi bergerak seperti dulu.
Tinggallah Dayang untuk menjaganya siang dan malam.
Kadang-kadang sikap Ibu
Orked pada Dayang tersangat mesra. Dan kadang-kadang Dayang dilayan seperti
seorang hamba.
“Dayang!!!”
Pranggg! Tertepis mug
oleh tangannya. Berkecai kaca di permukaan lantai. Dayang mula panik.
“Ya ibu!” Mulutnya
masih menyahut panggilan Ibu Orked. Tangannya pula sibuk mengutip kaca yang
sudah hancur.
“Aduh.” Terburu-buru
untuk membersihkan serpihan kaca, jari manisnya pula terkena bucu kaca yang
tajam. Dihisap rakus jarinya yang sudah mengeluarkan cairan merah.
“Cepatlah! Aku dah siap
ni. Kau nak biar berapa lagi aku dengan najis ni, hah?!” Suara Ibu Orked
kedengaran jelas di cuping telinga Dayang. Dalam kesayuan dia menyahut.
“Ya, bu. Dayang datang
sekarang.” Tergopoh-gapah dia berdiri. Serpihan kaca dibiarkan terlebih dahulu.
Jarinya yang sudah terluka juga dibiarkan tanpa rawatan. Ibu Orked lebih
penting!
Dayang meluru masuk ke
bilik ibu angkatnya. Seperti biasa senyuman dipamer indah.
“Tak payah
sengih-sengih kat aku. Cepat bersihkan najis aku ni.” Terguris hati Dayang
detik itu. Hilang terus senyumannya. Hatinya cuba untuk bersabar.
“Baik ibu. Dayang
bersihkan sekarang.”
Walau hatinya terluka
dengan layanan ibu angkatnya itu, Dayang tabahkan hati untuk mengadapi itu
semua.
Mengingatkan jasa Ibu
Orked kepadanya, buat Dayang tidak mampu untuk melenting atau marah. Kalaulah
Ibu Orked tidak menariknya keluar dari lubang kemaksiatan itu, sungguh dia
tidak tahu apa yang akan terjadi pada dirinya sekarang. Mungkin sudah tertanam
jasadnya di dalam perut bumi kerana dosanya menjual tubuh pada banyak lelaki.
Allah…
++++++
Kring. Kring. Bunyi
deringan jam loceng mengejutkan Tuah dari nyenyak. Dari kecil hingga ke usia 32
tahun ini, dia masih gemar mengunci jam menggunakan jam loceng. Kalau orang
sekarang pasti senang kunci jam guna telefon. Tapi tidak bagi Tuah Dzulkarnain.
Mata dicelikkan
perlahan-lahan. Teringat pada seseorang sebelah tangannya terus mencapai
sesuatu di atas meja sisi.
Tuah mengukir senyuman
apabila tangannya berjaya mencapai foto itu. Diangkat foto itu lalu ditatapnya
lama.
Namun, tak semena
lelaki itu terus bangun menegak apabila gadis pada gambar itu sudah bertukar
wajahnya. Ini bukan gambar gadis yang ditiliknya semalam.
“Hisy, mana pulak ni.”
Seingatnya, di atas meja gambar gadis bertudung itu diletaknya. Tapi pagi ini
wajah gadis itu sudah bertukar?
Tuah belum hilang
ingatan lagi. Jauh sekali dia nyanyuk. Dia yakin bukan gadis ini yang
dilihatnya semalam. Cukup berbeza wajah mereka berdua.
“Eh, mana ni. Takkan
hilang kut.” Dikocoh-kocoh dia mencari gambar gadis pilihannya semalam di
antara semua foto yang bertebaran atas katil. Tetap saja dia gagal menemui foto
gadis semalam.
Tuah garu kepala.
Matanya berpaling sekilas memandang jam. Dah masuk waktu Subuh. Ah, aku solat
dululah. Mungkin bonda yang ambil gambar tu semalam. Hati Tuah berbicara
sendirian. Dia cuba menyedapkan hati sendiri.
Dengan fikiran yang
masih buntu, dia bergerak masuk ke bilik mandi. Dibersihkan badannya lalu
diambil wuduk untuk mendirikan solat fardhu Subuh.
Sepuluh minit kemudian,
selesai saja menunaikan solat, dengan masih berbaju Melayu dan berkain pelekat,
Tuah turun mendapatkan bondanya di dapur.
“Assalamualaikum,
bonda.” Sapa Tuah sebaik saja dia mendapati bondanya.
Puan Sri Jamilah yang
ditemani oleh Mak Usu Lijah, sama-sama menjawab salam Tuah. Mereka tersenyum
pada lelaki kacak itu.
“Eh, Tuah belum
bersiap? Kenapa masih pakai baju Melayu tu. Tak turun ke ladang ke hari ni?”
Soalan Puan Sri Jamilah tidak meresap masuk ke minda Tuah. Dia sebaliknya
menanyakan bondanya dengan satu soalan.
“Bonda ada masuk bilik
Tuah semalam? Waktu Tuah tidur?” Puan Sri Jamilah dan Mak Usu Lijah sama-sama
berpandangan. Dahi mereka berkerutan tebal.
“Takde. Bonda tak masuk
bilik Tuah. Kenapa ni, nak? Tuah okey ke?” Sebagai seorang ibu, Puan Sri
Jamilah dapat merasai perubahan dalam diri anak bujangnya itu. Tak
pernah-pernah pula Tuah ingkar untuk menjawab pertanyaannya. Ini tidak, ditanya
tapi lelaki itu menanyakan soalan padanya. Pelik.
“Puan Sri, kenapa
dengan Tuan Tuah?” bisik Mak Usu Lijah ke telinga Puan Sri Jamilah.
Puan Sri Jamilah hanya
menjungkitkan bahu. Tengok tu. Mak Usu Lijah juga perasan dengan perubahan
Tuah. Nampak gayanya memang ada sesuatu yang merungsingkan hati lelaki itu.
“Kenapa ni anakanda
Tuah? Tuah macam rungsing aje.” Didekati Tuah. Puan Sri Jamilah mengajak Tuah
duduk ke kerusi.
“Tuah dah jumpa dengan
pilihan hati Tuah, bonda. Tapi yang peliknya foto tu dah takde. Tuah ingatkan
bonda ambil semula gambar tu semalam.” Puan Sri Jamilah cuba memahami kata-kata
anak tunggalnya itu. Dia tersenyum bahagia detik itu.
“Tuah dah jumpa? Siapa?
Yang mana satu? Biar bonda pergi pinangkan dia hari ni jugak!” Teruja sungguh
Puan Sri Jamilah.
Tuah gelengkan kepala.
Dia mengeluh panjang. Kopiah putih yang tersarung di kepala ditanggalkannya
perlahan.
“Foto dia dah takde,
bonda. Tapi semalam Tuah yakin, Tuah tengok muka dia pada foto tu.
Bangun-bangun aje tadi, gambar perempuan tu dah bertukar. Dia bukan lagi gadis
yang Tuah tengok semalam.”
Cuba untuk Puan Sri
Jamilah fahami maksud sebenar anakandanya itu. Tapi dia gagal. Tak faham dia
dengan cerita Tuah.
“Apa sayang merepek ni?
Kalau Tuah dah tengok foto dia semalam, tu bermakna foto tu pasti masih ada.
Hisy, takkanlah foto tu hilang pulak. Atau Tuah salah tengok kut.” Tuah geleng
laju. Tak mungkin dia salah tengok.
Pertama kali dia
menatap wajah gadis itu, hatinya terus jatuh suka pada gadis bertudung labuh
itu. Senyuman gadis itu yang menawan, berjaya membuat hati Tuah terbuka untuk
mengenali gadis itu lebih dekat. Tapi pagi ini gadis itu sudah hilang. Bagaikan
dia tidak wujud. Atau aku hanya bermimpi semalam? Tuah bermonolog resah.
“Tuah tak tahu, bonda.
Tapi tak mungkin Tuah mimpi. Tuah ingat jelas wajah gadis itu macam mana. Tapi
Tuah tak tahu siapa dia. Macam mana Tuah nak cari dia, bonda.”
Puan Sri Jamilah
memandang Mak Usu Lijah. Saat itu Mak Usu Lijah mula mendekati kedua-dua
beranak itu.
Sebagai seorang
pembantu yang rapat dengan keluarga bangsawan ini, Mak Usu Lijah terpanggil
untuk membantu menyelesaikan masalah Tuah Dzulkarnain, tuan mudanya yang baik
hati itu.
“Erm… apa kata Tuan
Tuah jumpa sorang demi sorang gadis dalam foto tu. Dengan cara ni aje Tuan Tuah
dapat kenal pasti siapa sebenarnya gadis yang Tuan lihat semalam.” Cadangan Mak
usu Lijah mendapat anggukan meyakinkan dari Puan Sri Jamilah. Tangan Tuah terus
digamit bagi memberi semangat pada anak bujangnya itu. Agak-agaknya, siapalah
gadis itu ya.
Tuah bukanlah seorang
lelaki yang mudah jatuh cinta pada seorang wanita. Kesibukan Tuah menguruskan
ladang dan ternakan membuatkan lelaki itu jarang keluar dengan wanita.
Kadang-kadang rungsing juga Puan Sri Jamilah. Takut juga dia andai Tuah tak
bertemu jodoh.
“Bonda setuju dua ratus
peratus dengan idea Mak Usu Lijah tu. Tuah kena jumpa sorang demi sorang gadis yang
bonda carikan untuk Tuah. Bonda nak Tuah bawa gadis tu pulang jumpa bonda. Ya,
sayang?” Puan Sri Jamilah tersenyum yakin. Mak Usu Lijah juga sama.
Tuah memandang wajah
kedua-dua wanita di hadapannya itu dengan pandangan serba salah. Mampukah dia
bertemu dengan gadis itu? Andai dia gagal bertemu dengan gadis yang dilihatnya
semalam, adakah itu bermakna dia hanya bermimpi? Tapi, bukankah kita akan
termimpikan seseorang yang pernah kita lihat wajahnya di mana-mana sebelum ini?
Tuah yakin dia tak
pernah lihat wajah gadis itu di mana-mana. Jadi, andai benar itu mimpi, mengapa
pula gadis itu boleh masuk ke dalam mimpinya? Aneh.
NABI TIDAK DAPAT TIDUR. (kisah SAHABAT)
Pada suatu
malam Nabi S.A.W tidak dapat melelapkan matanya.Dia berguling ke sana dan ke
mari,namun mengantuk tidak juga.Isterinya bertanya:
"Mengapa
tidak boleh tidur,Ya Rasulullah?"
Beliau
menjawab.
"Ada
sebiji tamar,terletak di suatu tempat tadi.Kerana takut ianya terbuang begitu
sahaja,aku telah memakannya.Sekarang aku menyesal kerana buah itu mungkin
dihantar ke mari untuk disedekahkan kepada orang-orang miskin."
Buah yang
Nabi makan mungkin kepunyaan beliaun sendiri.Tetapi oleh kerana para dermawan
biasanya menghantarkan sedekah mereka ke rumah Nabi untuk dibahagi-bahagikan
oleh beliau sendiri,perbuatannya memakan buah tamar itu telah menimbulkan
keraguan dalam hatinya.
Demikianlah
ketelitian Nabi mengenai sesuatu yang dilakukannya.Bagaimana pula dengan
keadaan kita sekarang?Ada di antara kita yang memakan benda haram tanpa
kesangsian dan ketakutan.
sumber :
himpunan kitab-kitab fadhail(kisah para sahabat jilid 1 & 2)
No comments:
Post a Comment