DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.
BAB 15
Cikgu Ihsan membawa aku ke laman belakang. Yang anehnya kaki ini hanya menuruti jejaknya. Mungkin semua ini berlaku kerana fikiranku asyik memikirkan luahan cinta darinya itu. Moga-moga Cikgu Ihsan tidak lagi melafazkan kata cinta itu. Aku tak suka! Aku segan mendengarnya!
“Inilah taman bunga kesayangan mama. Dah boleh dianggap macam anak bongsu dia. Kira ni ‘adik’ cikgulah.” Cikgu Ihsan buat lawak yang hanya dia yang gelak. Aku diam buat blur.
“Erm… sejak dari cikgu kecil lagi, mama dan papa dah usahakan taman ni. Kalau ada masa, cikgu join mereka bersihkan taman ni.” Tanpa aku bertanya, Cikgu Ihsan bercerita.
Dia melangkah lebih dekat ke pintu pagar taman bunga itu. Sekali imbas, terdapat banyak juga bunga-bungaan di situ. Pelbagai jenis warna dan spesies. Betul kata Auntie Izzah. Kat sini memang ada banyak bunga.
“Sini Nuha. Cikgu nak tunjukkan pada Nuha bunga yang cikgu tanam. Bunga pertama yang cikgu tanam yang masih hidup. Yang lain… semua mati.” Cikgu Ihsan ketawa sambil gelengkan kepalanya. Aku buat muka tak berminat saja.
Pintu pagar kayu dibukanya perlahan. Dia mempersilakan aku masuk.
Serba salah jadinya aku nak masuk. Selambanya mamat ni. Macam tak percaya aje tadi dia ada cakap dia sayang aku dan dia siap lamar aku depan-depan tanpa selindung.
Ini yang buat aku marah dengan diri sendiri ni. Aku bukan main lagi rasa segan dengan dia, tapi dia macam biasa-biasa saja. Seriuskah apa yang dia luahkah pada aku tadi?
Ah! Kenapa pulak aku kena fikir semua ni. Bukankah lebih elok kami tidak bercakap mengenai hal itu. Lupakan saja Nuha. Mungkin Cikgu Ihsan dah hilang ingatan luahkan perasaan dia pada kau tadi! Kau kan cakap dia gila.
“Ini dia bunga kesayangan cikgu.” Suara Cikgu Ihsan membangunkan aku dari terus berkhayal. Dia bersuara sambil dia mula duduk mencangkung di hadapan sebuah rimbunan pokok bunga yang sangat cantik warnanya. Tangannya mengusap-usap daun dan kelopak bunga yang berkelopak kecil-kecil itu. Cantik sangat warna bunga tu. Ungu dan putih. Ada juga warna merah jambu. Biru pun ada. Semuanya warna lembut-lembut.
“Ini cinta pertama cikgu. Nama dia… Siti Zubaidah.” Aku sedikit terkaget. Cinta pertama? Pada bunga? Ya ke nama Siti Zubaidah. Aku tak percayalah.
Cikgu Ihsan senyum. Lalu dia mengucup bunga itu sekali. Erk. Terkedu aku melihat tindak-tanduknya. Mamat bunga ke?
“Bunga Siti Zubaidah ni spesies hydrangea yang berasal dari Jepun. Orang Malaysia panggil bunga ni Bunga Kembang Tiga Bulan. Atau Bunga Siti Zubaidah. Cantikkan bunga ni?” Cikgu Ihsan kalih ke belakang memandangku. Aku yang terleka menilik bunga Siti Zubaidah itu hanya terangguk setuju. Laa ingatkan dia tipu tadi. Jadi betullah bunga ni nama Siti Zubaidah.
“Nuha nak tahu tak kenapa bunga ni nama dia Bunga Kembang Tiga Bulan?” Dia berdiri menghadapku. Dia tersenyum menanti respon dari aku. Aku hanya diamkan diri. Kebisuan kuberikan padanya.
Terluah keluhan dari bibirnya namun dia tetap menyambung kata.
“Bunga ni dipanggil Bunga Kembang Tiga Bulan sebab setiap tiga bulan sekali dia akan kembang. Cantik warnanya buat semua orang terpikat. Seri wajahnya buat hati terjerat. Senyuman manisnya buat hati ini jatuh cinta pandang pertama.”
“Senyuman? Bunga pun senyum?” soalku dungu. Menyedari aku tidak sepatutnya bertanya, cepat-cepat aku melarikan pandangan entah ke mana. Dari ekor mataku dapat aku lihat Cikgu Ihsan tersengih seakan-akan senang dengan soalan bodohku tadi.
“Hanya cikgu aje yang tahu macam mana bunga ni senyum. Jangan tak tahu, dia ada lesung pipit yang sangat menawan hati.” Lelaki itu terus berlalu. Dia bergerak ke bunga lain pula.
Aku garu kepala. Bunga boleh senyum? Bunga ada lesung pipit? Hisy, mengarutnya. Nak kenakan akulah tu. Hanya manusia yang ada lesung pipit. Macam aku. Sekali senyum terus nampak lesung pipit sebelah pipi kanan aku ni. Kata orang, lesung pipit adalah sebuah kecacatan yang paling indah. Ya ke? Entah aku tak buat kajian pulak.
“Sini Nuha.” Cikgu Ihsan sedikit terjerit memanggilku. Aku bergerak mendekatinya yang sudah berhenti di hadapan longgokan pasu bunga yang masih kosong.
“Nanti kalau ada masa, cikgu nak Nuha tanam bunga Nuha sendiri dekat sini. Nuha kena jaga bunga tu elok-elok sampai dia besar. Dan Nuha kena bagi nama pada bunga tu. Okey?” Dia ukir senyum.
Tiba-tiba aku rasa teruja pula dengar apa yang dia cakap tu. Seronok juga dapat tanam pokok bunga sendiri. Senyuman hampir aku hadiahkan padanya namun mujur dapat aku matikan senyuman tu tatkala hati ini teringat pada satu perkara.
“Jangan simpan harapan tu, cikgu. Sebab saya takkan tinggal lama dekat rumah ni. Saya nak cikgu hantar saya balik kampung hari ni jugak. Hari ni!” Aku mula meninggikan suara padanya. Benci aku menatap wajahnya bila hati mula sedar bagaimana cara dia membawa aku ke sini.
Sekilas aku menoleh pada Cikgu Ihsan, dapat aku lihat wajah ceria Ihsan Zuhri sudah berubah sekelip mata. Senyumannya lenyap.
**********
Semua orang sudah berada di meja makan. Sebaik saja doa makan dibacakan oleh Uncle Is, semua yang berada di situ mula menjamah juadah masing-masing. Menu yang terhidang adalah nasi lemak ayam, mihun goreng yang ditabur dengan bawang goreng dan daun sup di atasnya, kuih-muih tradisi dan tak lupa roti bakar. Meriahnya sarapan orang kaya. Macam ada kenduri.
Aku duduk diam di sebelah Aunty Izzah. Pingganku mula penuh dengan pilihan juadah yang dipilih olehnya. Tak terkata mulut ini untuk menolak. Akhirnya, pinggan aku dipenuhi dengan makanan.
“Makanlah, sayang. Nuha mesti lapar, kan?” Aunty Izzah mempelawa sambil tersenyum manis.
“Ha’ah Nuha. Sepanjang perjalanan tadi Nuha tidur, kan? Perut tu mesti tengah mintak diisi. Kalau Nuha nak tahu nasi lemak ayam ni kegemaran semua orang dalam rumah ni. Atau Nuha tak suka makan nasi lemak?” Lembut suara Uncle Is memujukku untuk makan. Tutur katanya juga mesra. Jelas menampakkan dirinya itu seorang lelaki yang penyayang.
Aku masih tetap membisu. Sesekali mata ini bergerak memandang ke arah Cikgu Ihsan. Dan ternyata lelaki itu turut memandang ke arahku. Terus aku melarikan pandangan.
Hairan aku dengan sikap Cikgu Ihsan. Beginikah sikap dan peribadinya yang sebenar-benarnya? Tenang sekali orangnya. Walaupun aku menekannya dengan pelbagai macam ugutan, dia tetap selamba. Macam tak ada apa-apa yang berlaku.
Seperti di taman bunga tadi, aku berterusan mengugutnya. Namun, dia senyum saja. Penegasanku untuk pulang ke kampung, dijawabnya dengan tenang. Tenang, tenang dan tenang! Tidak pernahkah lelaki itu menggelabah? Aku ugut dia, aku dah sakitkan hati dia. Dia ni robot ke?
“Kalau Nuha tetap berdegil nak balik kampung, baik cikgu boleh hantarkan. Tapi dengan satu syarat.”
Tak berkelip aku pandang dia. Syarat?
“Syarat apa maksud cikgu. Hantar aje saya balik kampung. Kenapa mesti ada syarat.”
Cikgu Ihsan senyum sebelah. Dia mengjungkit kening.
“Well… Anggaplah syarat ni sebagai hukuman untuk kedegilan Nuha tu.”
Melopong mulut aku saat tu. Apa? Dia cakap aku degil? Ini dah lebih!
“Tak susah pun syarat cikgu tu. Syarat ni untuk kebaikan Nuha juga.” Dia pandang aku sambil memeluk tubuh. Dia menyambung kata dengan tenang.
“Cikgu nak Nuha sambung belajar. Selepas berjaya menggenggam segulung ijazah, selepas berjaya mendapatkan pekerjaan yang elok, selepas Nuha berjaya dalam hidup, waktu itulah cikgu akan lepaskan Nuha. Cikgu akan hantar Nuha balik ke kampung. Atau lebih tepat lagi saat itu baru Nuha boleh pergi dari rumah ni.”
Suasana jadi senyap. Lama keadaan itu berlanjutan. Dia berjaya membuat aku kehilangan kata. Sungguh aku memang kelu lidah saat ni.
Dia nak aku sambung belajar? Mana aku nak cekau duit? Dia ingat aku ni anak orang senang macam dia ke.
“Saya… saya tak nak. Saya tak nak patuhi syarat merepek cikgu ni. Saya tetap nak balik kampung. Impian saya, biar saya aje yang usahakan sendiri. Cukuplah cikgu masuk campur dalam urusan saya selama ni. Saya dipaksa datang ke sini. Jadi sekarang biar saya pula yang paksa cikgu. Cikgu tolong hantar saya balik kampung. Saya balik ke rumah saya.”
“Rumah? Nuha dah tak ada rumah. Iya, kan?” Cikgu Ihsan berkata serius.
“Nuha lupa ke mak su Nuha dah halau Nuha semalam. Nuha ingat dia suka kalau tengok Nuha balik ke rumah tu lagi. Hmm?”
“Nuha dah dihalau oleh ibu saudara Nuha sendiri. Satu-satunya saudara kandung yang Nuha ada. Tapi sekarang dia sendiri dah tak mengaku Nuha anak saudara dia. Nuha nak balik kampung nak tinggal dekat mana lagi? Nak merayu pada manusia macam tu? Nak pura-pura hidup bahagia dengan dia? Hmm?” Serius wajahnya merenungiku. Mungkin saat ini kesabarannya makin goyah dek melayan kedegilanku yang masih tak berpenghujung.
“Saya tak kisah cikgu nak cakap apa. Ya memang mak su takkan terima saya lagi tapi sekurang-kurangnya saya selamat ada di kampung saya sendiri. Bukannya duduk dengan orang asing macam dalam rumah ni.”
Aku tetap bagi jawapan yang mampu menyakitkan hati dia. Aku takkan mengalah dengan lelaki yang dah tipu aku dua kali ni. Dia dah buat aku hilang rasa hormat aku pada dia.
“Nuha dah lupa janji Nuha pada arwah ibu Nuha?” Dia bersuara senafas.
Aku terkesima mendengar apa yang dia tanyakan. Mendengar nama ibu buat hati kecilku menjadi rindu dan sayu. Ibu…
“Nuha dah lupa Nuha pernah janji pada arwah ibu Nuha masa dekat kubur hari tu? Nuha janji Nuha akan teruskan hidup dan jadi seorang manusia yang berguna. Berjaya menggenggam segulung ijazah bagi melunaskan janji Nuha pada arwah ibu Nuha. Nuha lupa semua tu? Hmm?”
Kata-kata dari Cikgu Ihsan masuk terus ke dalam hati. Relung hati ini mula terusik. Janji-janjiku pada arwah ibu mula menerjah-nerjah ke lubuk hati.
“Nuha janji Nuha akan buat ibu bangga. Nuha akan belajar tinggi-tinggi. Nuha cari kerja bagus-bagus. Lepas tu Nuha beli ibu rumah baru. Kita tinggalkan rumah ni pada mak su.”
Itu antara janji aku pada ibu di saat arwah masih bernyawa.
“Nuha akan pastikan Nuha akan berjaya menggenggam segulung ijazah. Nuha akan kerja elok-elok.Nuha takkan sia-siakan pengorbanan dan harapan ibu pada Nuha. Nuha cuma nak bahagiakan ibu. Nuha sayang ibu.”
“Nuha…”
Aku tersentak hebat apabila ada tangan yang mengusap tanganku. Terus aku terbangun dari khayalan panjangku.
“Nuha, Nuha okey ke sayang?” soal Aunty Izzah dengan nada cemas. Diusap-usap pipiku penuh kelembutan. Hangat sentuhannya buat ia sampai hingga ke hati.
“Nu-Nuha okey, auntie.”
Ya Allah jauhnya aku mengelamun. Bila aku pandang ke hadapan, dapat aku lihat semua orang yang ada di situ mula memandang ke arahku. Masing-masing pasti hairan melihat aku dalam keadaan mengelamun panjang. Ah! Buat malu aje.
“Mungkin Nuha penat lagi tu, ma. Nanti lepas breakfast, biarlah dia rehat dalam bilik dulu. Kesian Nuha,” ujar Kak Inas sambil pandang wajahku dengan pandangan simpati.
Kak Irine dan Nek Som yang turut berada di situ hanya mengangguk setuju. Kedua-dua lelaki yang memperkenalkan diri mereka sebagai Abang Kamal dan Abang Firdaus turut angguk kepala. Abang Kamal merupakan suami kepada Kak Inas. Abang Firdaus pula suami kepada Kak Irine. Dan tiga orang budak yang bertembung dengan aku di kaki tangga tadi adalah merupakan anak buah Cikgu Ihsan. Anis dan Amirul anak kepada Kak Inas dan Abang Kamal. Haziq pula merupakan anak tunggal Kak Irine dan Abang Firdaus. Jadi kesimpulannya Cikgu Ihsan Zuhri belum berkahwin.
“Yalah, lepas ni Nuha naik ke bilik rehat dulu. Sekarang Nuha isi perut tu sikit. Karang masuk angin susah. Risau auntie tengok Nuha macam ni.” Autie Izzah tetap dengan usapannya. Kali ini kepalaku yang ditutupi dengan tudung awning pula yang diusapnya.
“Erm, jom makan semua. Nuha, jemput makan sayang.” Dia mempelawa lagi sekali. Dan akhirnya dia mula menyambung makan sambil sesekali tak lepas dia menoleh ke arahku.
Tidak mahu aku menjadi perhatian orang lagi, aku terus menjamah nasi lemak yang terhidang di hadapanku. Terpaksa juga aku makan walaupun tekak ini tidak berselera. Manakan nak berselera. Semua yang berada di ruang makan ini terasa cukup asing bagiku. Aku terasa cukup terasing. Aku tak berada di sini. Aku harus pulang ke tempat asalku.
******
Usai makan, aku ingin meringankan tangan untuk membantu di dapur. Namun, aku ditegah dan dipaksa berehat di dalam bilik oleh Auntie Izzah yang cukup penyayang orangnya itu.
Mahu tidak mahu, terpaksa juga kaki ini mendaki naik ke tingkat dua. Tanpa dirancang-rancang, aku bertembung pula dengan Cikgu Ihsan di kaki tangga. Kaku aku cuba menggelakkan diri dari ditegur olehnya.
Aku fikirkan aku bakal disapa oleh Cikgu Ihsan. Namun aku silap. Lelaki itu hanya diamkan diri. Dia yang kemas berpakaian kasual, terus melangkah pergi meninggalkan aku terkulat-kulat di situ.
Ego membataskan diri aku untuk berpaling memandangnya. Lantas aku gerakkan kaki mendaki anak tangga menuju ke bilik.
Bila sampai saja dekat bilik, aku terus rebahkan badan ke katil. Otak ni mengada betul nak fikir pasal Ihsan Zuhri yang tadi bersikap dingin. Ah! Dah kenapa aku fikir pasal dia. Aku tak ada kena-mengena dengan hidup cikgu muda tu. Lantak dialah nak dingin ke nak beku ke dengan aku. Ada aku kisah.
Dekat taman tadi, sebelum isu sensitif timbul, sempat dia bercerita mengenai kerjaya gurunya yang sudah terkubur. Dia rupanya dah berhenti jadi cikgu. Dia cakap kerjaya ni tak sesuai dengan dirinya. Kerana itu dia ingin berhenti dan ingin bekerja dengan Uncle Is yang telah membuka dua buah cawangan bengkel membaiki kereta di ibu kota.
Semua cerita ini lelaki itu ceritakan pada aku tanpa aku menanyakannya apa-apa. Suka sangat bercerita. Mungkin saja lelaki itu ingin buat aku berasa senang berada di sampingnya. Cikgu Ihsan pasti cuba meraih kepercayaanku kembali.
Ah! Aku takkan tertipu lagi. Dia ingat aku senang-senang nak percaya dia. Selagi dia tak hantar aku balik kampung, jangan harap aku nak buat baik dengan dia. Jangan nampak muka aku ayu macam ni hati aku tak keras macam batu. Aku ada maruah. Aku dah tak sanggup maruah aku kena pijak.
Cukuplah apa yang dah aku lalui dekat kampung dulu. Sudah sampai masanya aku pertahankan diri sendiri dengan membina tembok ego yang lebih kukuh dan kuat dalam diri ni. Jangan Cikgu Ihsan ingat aku senang-senang nak ikut apa yang dia suruh. Syarat dia tu? Huh sikitpun aku tak layan. Biarkan dia dengan syarat-syarat dia. Aku tetap nak balik kampung! Itu aje yang aku nak!
>>>>>>>>>>>>>>>>MSPH<<<<<<<<<<<<<<<
BAB 16
Tok. Tok. Tok.
Tiga kali pintu bilikku diketuk dari luar. Aku yang baru menyarung telekung sembahyang segera melangkah ke pintu. Siapa pula yang berada di luar. Cikgu Ihsan…?
Dengan perasaan serba salah, aku memulas tombol. Daun pintu dikuak lemah. Moga-moga bukan Cikgu Ihsan yang berada di luar.
“Nuha…” Terpampang wajah lembut Aunty Izzah di hadapanku. Dia yang siap bertelekung putih, mula mengukir senyum padaku. Aku membalas senyumannya itu sekadar saja.
“Nuha dah solat ke?” soalnya pendek.
Aku gelengkan kepala tanda tidak. Baru aje nak solat.
“Baguslah kalau macam tu. Mari kita sama-sama solat berjemaah. Semua dah tunggu dekat bawah,” ajak Aunty Izzah.
Diriku masih pegun di ambang pintu tanpa berkata apa. Solat berjemaah bersama-sama dengan keluarga Aunty Izzah? Layakkah aku?
“Nuha… jom sayang.” Akhirnya, tanganku lebih dulu ditarik Aunty Izzah. Aku kaku.
“Erm, auntie.” Aku bersuara dan dalam masa yang sama aku mengeraskan langkah.
Aunty Izzah berpaling. “Ya? Kenapa, Nuha?”
“Nuha tertinggal sejadah dekat bilik. Boleh Nuha pergi ambil dulu?” Aku meminta izin.
Tersenyum lebar Aunty Izzah saat itu. Dia mengangguk perlahan.
Cepat-cepat aku melangkah masuk ke bilik lalu mencapai sejadah yang tersidai di kaki katil. Aku kembali mendapatkan Aunty Izzah yang masih setia menungguku di luar bilik.
Dia mengajak aku turun ke tingkat bawah. Rupa-rupanya di sebelah ruang rehat rumah ini, terdapat sebuah bilik yang dijadikan keluarga ini ruangan untuk solat. Musolla namanya. Surau kecil bagi keluarga ini.
Masuk saja ke dalam musolla, semua yang berada di situ sudah bersedia di saf masing-masing. Mereka semua tersenyum padaku. Aku? Senyuman nipis aku balas pada mereka.
Mata ini mula mengira-ngira jemaah yang ada. Anak-anak buah Cikgu Ihsan seorang pun tak ada dekat situ. Mungkin Haziq, Anis dan Amirul sedang seronok bermain. Dan mungkin juga mereka ditugaskan untuk menjaga baby paling comel dalam rumah ini. Siapa lagi kalau bukan Baby Hawa, adik kepada Anis dan Amirul. Anak bongsu Kak Inas dan Abang Kamal.
“Assalamu’alaikum…” Mendengar suara itu memberi salam, lamunanku terus terhenti. Kami semua berpaling ke arah pintu sambil menjawab salam itu.
Cikgu Ihsan yang segak mengenakan baju Melayu moden berwarna hijau pucuk pisang dan berkain pelekat hitam mula melangkah masuk ke ruang solat. Dia berdiri sebaris dengan Abang Kamal dan Abang Firdaus.
“Ihsan, iqamat.” Arahan Uncle Is didengar patuh oleh Cikgu Ihsan. Terus berkemundang suara lelaki itu beriqamat. Merdu suaranya. Erm… aku puji dia? Hmm…
Sebaik saja Uncle Is mengangkat takbir, aku terus melafazkan lafaz niat. Semua jemaah mula mengangkat takbir bagi menunaikan solat fardhu Maghrib.
Buat pertama kalinya, aku mula merasa diri ini bersatu dengan keluarga besar ini. Hatiku… hatiku mula dapat merasa kemesraan dan kehangatan kasih sayang mereka semua.
******
“Alhamdulillah dapat lagi kita berkumpul di sini malam ni. Segala puji dan syukur dipanjatkan pada Ilahi. Terima kasih ya Allah kerana Engkau menyatukan hati-hati kami semua.” Usai solat dan berdoa, Uncle Is memulakan tazkirah pendeknya. Semua mula pasang telinga dan fokus.
“Ada sesuatu yang papa nak sampaikan pada kalian malam ni. Moga-moga nasihat ini berguna untuk kita yang menginginkan syurga Ilahi.” Kitab ditangan mula Uncle Is belek.
“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda yang bermaksud, “Jangan kalian saling hasad, jangan saling melakukan najasy, jangan kalian saling membenci, jangan kalian saling membelakangi, jangan sebagian kalian membeli barang yang telah dibeli orang lain, dan jadilah kalian sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara muslim bagi lainnya, kerananya jangan dia menzaliminya, jangan menghinanya, jangan berdusta kepadanya, dan jangan merendahkannya. Ketakwaan itu di sini -beliau menunjuk ke dadanya dan beliau mengucapkannya 3 kali. Cukuplah seorang muslim dikatakan buruk akhlaknya jika dia merendahkan saudaranya sesama muslim. Setiap muslim diharamkan mengganggu darah, harta, dan kehormatan muslim lainnya.” Hadis riwayat Muslim.”
Uncle Is menutup kembali buku yang dipegangnya. Kepalanya didongak perlahan memandang kami semua di hadapannya.
“Papa tak berani nak menghurai panjang hadis Nabi SAW ni. Tapi satu papa nak pesan pada kalian semua. Betapa mulianya orang-orang yang berkasih sayang semata-mata kerana Allah. Mereka tidak mencari keuntungan dalam berteman tetapi mereka berteman dengan jujur dan sanggup membantu teman yang berada dalam kesusahan tanpa mengharapkan balasan Dan ingat pesan Nabi SAW. Setiap Muslim adalah bersaudara.” Mata Uncle Is mula teralih kepadaku. Aunty Izzah juga memandang ke arahku. Digenggam tanganku erat.
“Papa harap semua anak menantu papa dapat menyayangi dan menerima Nuha kerana Allah. Papa yakin dan papa nak kalian juga yakin bahawa kehadiran Nuha dalam keluarga kita bukan satu kebetulan. Sebaliknya ia adalah satu ketentuan. Kehendak dari Allah. Allah yang menginginkan semua ini terjadi. Pasti ada hikmahnya.”
Aku tunduk. Hati disapa rasa sebak yang amat sangat. Betul kata Uncle Is. Semua yang berlaku adalah atas kehendak Allah. Jadi apa hak aku untuk marah dengan perjalanan takdir ini. Hmm…
“Kita semua satu keluarga. Jangan pernah anggap Nuha ni orang luar. Mulai dari Nuha jejakkan kaki ke rumah ni, sejak itulah dia dah jadi sebahagian dari keluarga ni. Berkasih sayanglah kita kerana Allah. Kerana bila kita lakukan sesuatu kerana Allah, kita pasti akan mendapat kebahagiaan yang hakiki. InsyaAllah...”
Semua yang di situ mula angguk kepala. Masing-masing memalingkan wajah mereka memandang ke arahku. Mereka semua hadiahkan aku dengan sebuah senyuman penuh kehangatan.
Tidak mampu aku menerima senyuman yang cukup ikhlas itu Lantas aku tunduk pandang sejadah. Ya Allah, sungguh hati ini terharu mendengarkan apa yang diucapkan oleh Uncle Is. Benarkah kehadiranku di rumah ini sangat dialu-alukan oleh mereka semua? Mereka menganggap aku sebagai keluarga mereka? Mampukah aku mencari erti bahagia bersama-sama dengan keluarga ini, ya Allah?
“Nuha…” Kedua-dua pipiku dipegang lembut oleh Aunty Izzah. Dia memaksa aku mengangkat muka.
“Ya Allah kenapa Nuha nangis ni?” Dengan suara agak cemas, wanita itu bertanya.
“Nuha… Nuha…” Payah lidah ni nak berkata-kata. Hanya air mata yang sudi berbicara.
Bahuku mula terasa diusap-usap mesra oleh banyak tangan. Kak Inas, Kak Irine dan Nek Som bergilir-gilir memberi aku semangat. Bagaikan saat itu mereka amat memahami perasaan sayu yang melanda hati ini. Aunty Izzah apatah lagi. Tubuhku erat dipeluk olehnya. Air mataku juga disekanya dengan jari jemarinya.
“Cakap dengan auntie kenapa Nuha nangis? Nuha ada terasa hati dengan kami ke?”
Aku pantas menggeleng. Air mata yang mengalir aku tidak hiraukan lagi. Buat pertama kalinya aku menangis di hadapan keluarga yang baru aku kenali ini. Namun, di hadapan Cikgu Ihsan, sudah banyak kali aku menangis. Malu aku mengingatkan kejadian itu.
Saat itu aku pandang wajah lelaki itu sekilas. Dia juga seakan-akan cemas dengan keadaanku yang tiba-tiba saja menitiskan air mata. Benarkah dia cemas? Atau itu semua hanya perasaanku semata?
“Nuha tak pernah rasa ada sebuah keluarga yang lengkap. Nuha tak ada ayah. Nuha tak ada adik beradik lain. Nuha cuma ada ibu. Tapi sekarang ibu dah tak ada. Nuha dah dibuang oleh mak su Nuha sendiri. Tapi sekarang Nuha diterima dalam keluarga ni. Nuha rasa terharu sangat. Kenapa… kenapa kau orang terima Nuha? Nuha tak pernah kenal kau orang siapa pun sebelum ni. Nuha… Nuha cuma kenal Cikgu Ihsan. Jadi, kenapa bawa Nuha ke sini? Kenapa?”
Dengan tangisan sedu-sedan, aku meluah rasa penuh hiba. Saat itu tubuhku terus didakap kemas oleh Aunty Izzah. Dahiku dikucup-kucup olehnya berkali-kali. Tanpa mahu melepaskan kehangatan pelukan Aunty Izzah, aku membalas pelukan wanita yang cukup mengingatkan aku pada arwah ibuku itu.
Aku terasa seperti aku memeluk ibu. ‘Ibu… Nuha rindu ibu…’
******
Jam tangan peninggalan arwah ibu kutilik lama. Satu-satunya harta peninggalan ibu yang aku ada selain daripada kasih sayangnya yang tidak berbelah bagi.
Tidak dapat aku tidur lena malam ini. Sudah masuk jam 12 malam. Tapi mata ini masih belum mahu terpejam.
Ini adalah malam pertama aku tidur di ruang bilik ini. Suasana rumah ini masih terasa cukup asing bagiku. Adakah aku mampu meneruskan hidupku di sini lebih lama?
Pelbagai perkara sedang menerawang di benakku sekarang. Masih samar-samar untuk aku bersetuju dengan pelawaan dari Cikgu Ihsan itu.
Andai aku bersetuju dengan permintaannya, maka itu bermakna aku harus tinggal di rumah ini bersama-sama keluarganya. Aku akan tinggalkan kampung halaman tempat aku membesar selama 19 tahun. Aku akan tinggal di kota metropolitan ini demi mengejar cita-citaku.
Mampukah aku bertahan tinggal di sini semata-mata hanya demi menunaikan janjiku pada ibu? Kata Cikgu Ihsan, hanya dia saja yang mampu membantu aku melunaskan janjiku pada ibu. Hanya dia boleh menolong aku untuk bergerak satu langkah ke satu langkah demi kejayaan aku di masa akan datang.
Di meja makan tadi, Aunty Izzah, Uncle Is dan semua, mula memujuk aku untuk terus tinggal di sini apabila Cikgu Ihsan membuka mulut mencanangkan aku tidak betah tinggal di sini. Rasa malu menghiasi jiwa apabila lelaki itu membuka cerita. Hilang pula semangat aku untuk berkeras menyatakan pada semua bahawa aku memang tidak ingin tinggal di sini.
Namun, saat itu mulut ini bagai terkunci kemas. Aku tidak berdaya untuk menafikan apa-apa. Aunty Izzah paling kuat memujukku. Dia berjanji akan membahagiakan aku dan dia sudah mengganggap aku seperti anaknya. Semudah itu? Atau adakah pada masa akan datang aku harus membayar setiap budi yang ditaburkan ini dengan sesuatu?
Ah! Kusutnya! Apa yang harus aku lakukan sekarang? Apa?!
Ya Allah saat ini aku benar-benar memerlukan ibu. Hanya ibu yang faham aku dan mampu tolong aku. Ibu, Nuha perlukan ibu… Hati kecilku mula merintih.
Jam tangan peninggalan arwah ibu aku usap dengan hujung jari. Jam ini sepatutnya menjadi milik ibu. Sayangnya, aku tidak sempat menghadiahkan jam ini pada ibu di hari lahirnya. Ibu pergi lebih awal. Dan jam ini akan aku simpan sebagai tanda ingatanku pada ibu. Selamat hari lahir, ibu…
Dalam duduk termenung itu, aku teringat pada perbualanku dengan ibu pada suatu petang. Mungkin inilah jawapan yang aku cari-cari untuk menyelesaikan dilema yang aku hadapi sekarang.
“Nuha, kalau ada masalah Nuha boleh mengadu pada seseorang,” ujar ibu sambil menyisir rambutku yang ikal mayang.
“Mengadu pada ibu, kan?” jawabku ceria. Kurebahkan kepala ke riba ibu. Aku senang ibu menyisir rambutku.
“Kalau ibu masih ada, Nuha bolehlah mengadu pada ibu. Kalau ibu dah tak ada, Nuha nak mengadu pada siapa? Hmm?”
Aku terdiam sambil berfikir. Tidak sempat aku menjawab, ibu kembali menyambung kata.
“Seorang manusia lebih memerlukan Allah lebih dari segala-galanya, sayang. Nak makan, perlu Allah. Nak minum, perlu Allah. Nak bercakap, perlu Allah. Nak buat semua benda, kita memerlukan Allah. Jadi, kalau kita ada masalah, mengadulah pada Dia. Dia akan selalu ada untuk kita. Faham sayang?”
Aku mengangguk berkali-kali mendengar nasihat ibu. Aku perlukan Allah dan aku perlukan ibu dalam hidup aku. Aku perlukan kedua-duanya. Kerana aku hanya ada Allah dan ibu.
Lamunan mula terhenti. Aku kembali ke alam nyata. Sejadah yang tersidai di kaki katil aku tatap lama. Hanya pada Dia… tempat aku meluahkan segala-galanya. Kerana sesungguhnya Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk aku.
>>>>>>>BERSAMBUNG>>>>>>>
#macam biasa mohon tinggalkan komen yer. Untuk memperbaiki lagi cite ni kalau ada yang tersalah silap.. ^^
#macam biasa mohon tinggalkan komen yer. Untuk memperbaiki lagi cite ni kalau ada yang tersalah silap.. ^^
eh eh eh.. knp kejam sgt cik zu potong bawang dpn akk.. dh berair mata akk nie dik ooiii..
ReplyDeletedh la mula2 senyum je tetibe syahdu la plak.. ;)
pe2 pun mmg best la cik zu.. nk lg dn lg dn lg tauuu tp jgn plak ada terskip bab nye.. kikiki
Ape yg buat akak berair mata tu?hehe...
ReplyDeleteMekasih kak..haha insyaAllah x skip dh.. haip
potong bwg di saat hati nuha terharu dgn penerimaan keluarga cikgu ihsan.. sifat dn kasih sayang kekeluargaan yg x pernah nuha rase selain dr arwah ibu dia je.. Uwaaaaa
ReplyDelete<3 <3 <3
Delete