Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Berlari Pulang.
“Bib, solat jom. Hari ni aku nak solat
kat rumah aje. Sekalilah kita…” Ajakan dari Razif tidak diendahkan oleh Habib.
Dia tetap leka dengan telefon pintarnya. Layan Candy Crush lagi seronok.
“Bib…” Razif panggil lagi.
“Hisy, kau pergilah dulu. Nanti aku
solatlah.” Itu jawapan yang Razif terima dari Habib.
Razif senyum kelat. Wajah masam Habib
dipandangnya lama. Astaghfirullahaladzhim… Sabar Razif, sabar…
“Okeylah. Aku masuk bilik dulu. Aku ada
masak sardine sikit tadi. Kau makanlah. Ajak Firdaus sekali bila dia balik
nanti.”
Pemberitahuan dari Razif itu Habib balas
dengan sekali angguk. Dia tetap focus menekan-nekan skrin telefonnya.
Dengan langkah berat, Razif membawa diri
masuk ke dalam bilik. Di kaki tangga dia masih sempat menoleh ke belakang.
Matanya bergerak pula ke jam berbentuk bulat yang tergantung pada dinding. Dah
hampir dua jam Habib dalam keadaan seperti itu. Tanpa berbuat apa-apa, hanya
leka bermain game dalam telefon bimbitnya.
“Allahuakbar Allahuakbar…” Tepat jam
7.28 malam, berkumandang azan dari masjid terdekat.
Razif berkira-kira. Nak solat kat rumah
ke kat masjid ya.
Seperti hari-hari yang lain, hatinya
tidak pernah berhenti berdoa supaya Allah membukakan hati Habib, sahabatnya itu
untuk berjemaah sekali dengannya. Tidak kisahlah di rumah mahupun di masjid
atau surau, yang penting dia nak merasa dapat solat dengan Habib.
Tapi Allah masih belum berkehendak
keadaan itu berlaku. Habib tak pernah nak solat berjemaah. Solat pun kadang
buat kadang tak. Lebih suka buang masa, tidak tahu apa sebenarnya yang Habib
inginkan dalam hidupnya.
Sebagai kawan dan rakan serumah, Razif
ingin menarik Habib kembali ke pangkal jalan. Biarlah tak solat berjemaah
sekalipun, cukup solat lima waktu sehari semalam lelaki itu tunaikan. Solat itu
tiang agama. Siapa yang tidak menunaikan solat, azab keras menantinya di
akhirat. Itu janji Allah.
Kerana sayangkan Habib, Razif tebalkan
muka untuk sentiasa mengajak lelaki itu melakukan ibadat wajib itu. Walau
kebanyakan nasihatnya dijawab dengan herdikan mahukan tidak diendahkan
langsung, Razif takkan berdiam diri.
Satu keluhan terluah berat di bibirnya.
Tidak meneruskan langkahnya menuju ke tingkat atas, dia menapak ke pintu. Tanpa
Habib bertanya, dia terlebih dulu memberitahu sahabatnya itu.
“Aku nak ke masjid ni, Bib. Kau jangan
lupa makan eh. Assalamualaikum…” Kunci motosikal yang tergantung pada dinding
dicapai. Razif melangkah keluar mendapatkan motosikalnya. Lebih baik rasanya
kalau dia ke masjid saja. Selain menginginkan 27 ganjaran pahala solat berjemaah,
ada sesuatu yang perlu ditanyakan pada Ustaz Hasan, ustaz yang selama ini
banyak membantunya mendalami ilmu agama.
Mendengar deruman enjin motosikal Razif
makin sayup-sayup kedengaran, Habib bangun dari sofa. Telefon bimbit diletak
perlahan ke atas meja. Sambil menggeliatkan badannya, dia berdiri lalu menapak
ke ruang dapur.
Tudung saji diangkat tinggi. Terhidang
di atas meja semangkuk lauk sardine, sepinggan hirisan timun dan tiga ekor ikan
goreng. Perutnya yang sememangnya sudah kelaparan segera diisi tanpa menunggu
lama.
Nasi dalam rice cooker diceduk sebanyak
tiga cedukan. Penuh satu pinggan nasi yang diambilnya.
Punggung dilabuhkan duduk ke kerusi.
Tanpa teringat membaca Bismillah, terus dibelasah nasi lauk sardine masakan air
tangan Razif itu dengan lahapnya. Sesekali dia meneguk air masak yang turut
terhidang atas meja.
“Hmm… sedap,” ujarnya dengan mulut
penuh. Si Razif tu memang pandai masak. Untunglah budak tu ada dalam rumah ni.
Sedang dia enak menjamu selera,
tiba-tiba ada seseorang yang memberi salam di muka pintu utama. Dari suara
macam suara Firdaus aje.
“Wah makan tak ajak aku eh.” Habib
disapa oleh Firdaus.
Habib tersengih saja. “Sila-sila. Razif
yang masak.”
“Wah lauk sardine lah. Best-best.”
Firdaus tersengih sama
Barangan dapur yang dijinjit oleh
Firdaus dijeling sekilas oleh Habib. Suapannya makin perlahan.
“Banyak kau shopping. Tak takut habis
duit ke?” Ada nada berbaur sindiran di situ.
Firdaus tergelak kecil. Diletakkan
barangan yang dibelinya di sudut meja. Biar si Raziflah yang uruskan barangan
ni nanti. Bisik hati kecilnya.
“Takut apanya… bukan duit aku pun,” ujar
Firdaus tanpa riak. Dia masih berdiri sambil berfikir-fikir. Nak makan dulu ke
nak pergi mandi dulu. Haisy…
Habib terdiam seketika. Bukan duit Firdaus? Dah tu duit siapa?
“Duit siapa? Kau mencuri?” Tebaknya agak
keras.
“Hoi! Tak ada maknanya aku nak mencuri.
Kau ingat aku jahat sangat ke. Tolong sikit eh.”
“Dah tu. Duit siapa?”
“Duit kawan baik kaulah. Si Razif tu.
Dia ada bagi aku duit tadi. Sekali dengan list barang dapur. Dia mintak aku
belikan.”
Mulut Habib membulat bentuk O.
“Sejak Razif tinggal dengan kita, hari-hari
kita dapat makan sedap. Kenapalah dari dulu kau tak ajak mamat tu tinggal
dengan kita kat rumah ni.” Kata-kata Firdaus buat Razif tergelak.
“Ah kau ni. Tak habis-habis memuji si
Razif tu. Baik sangat ke dia. Aku ni jadi kawan kau sejak dari kolej sampai
sekarang, kau tak pernah puji-puji pun. Poyolah kau Daus…”
“Aku bercakap benda yang benar. Dah
memang Razif baik. Lebih baik dari aku, lebih baik dari kau. Ah, dahlah. Malas
aku nak layan kau. Aku nak naik mandi kejap. Nanti aku turun tengok lauk ni dah
habis kau bantai, siap kau!” Sempat Firdaus beri amaran. Penumbuknya sengaja
diacah-acah ke muka Habib.
Habib tepis tangan Firdaus sambil gelak
malas. Sedikit sebanyak hatinya tercabar dengan kenyataan yang baru saja
Firdaus sampaikan tadi.
Ya, Razif memang lebih baik dari mereka
berdua yang nakal ni. Razif tu Pak Ustaz dalam rumah ni. Sikap Razif memang
dari dulu sebegitu. Persahabatan yang terbina antara Razif dan Habib sudah
terbina lama. Mereka satu kampung. Satu sekolah. Namun berbeza kolej.
Baru setahun yang lepas, persahabatan
antara mereka kembali bertaut apabila Razif mendapat pekerjaan di Kuala Lumpur.
Memandangkan lelaki itu tiada rumah untuk menyewa, Habib mengajak Razif untuk
sama-sama menyewa di rumahnya sekarang. Maka tinggalkan tiga lelaki bujang
menyewa di rumah teres dua tingkat ini.
“Hoi kau dah solat ke belum?” Sempat
Firdaus bertanya sebelum dia melangkah pergi.
Habib yang baru tersedar dari lamunan
hanya mendengus keras.
“Kau ni sama aje dengan Pak Ustaz tu.
Tak habis-habis tanya aku dah solat ke belum. Aku bukan budak-budaklah.
Pergilah mandi! Menyibuk aje.” Amarah Habib buat Firdaus berkerut dahi. Aik,
sentap? Ni mesti dah kena tazkirah dengan Razif tadi. Hehe…
Tidak mahu ambil pusing amarah Habib
itu, Firdaus masuk ke biliknya yang berada di sebelah dapur.
Tinggallah Habib di ruang dapur itu
sambil meneruskan santapannya dan sentapannya.
+++++++
“Ustaz…” Dengan suara lembut Razif
mendekati Ustaz Hasan yang berdiri di hadapan rak al-Quran.
“Eh, Razif. Ya, ada apa?” Ustaz Hasan
tersenyum. Tak jadi tangannya nak mencapai sebuah kitab dari atas rak.
Razif terlebih dahulu menyalami tangan
Ustaz Hasan. Dia juga tersenyum sama.
“Malam ni pendek aje ya tazkirah kita,
ustaz.” Ucap Razif terlebih dahulu berbasa-basi.
Ustaz Hasan angguk. “Ya, ustaz kurang
sihat sikit ni. Sebab tu nanti Ustaz Rahman yang akan imamkan solat Isyak kita.
Lepas Isyak baru ada ceramah sikit. Dua jam, harap kamu sudi dengar ceramah tu
nanti. Sama-sama kita ambil ibrah dari ceramah tu nanti.”
Razif mengangguk bersetuju. Dia mengajak
Ustaz Hasan untuk duduk. Kesian lelaki awal 60-an ini. Memang suara Ustaz Hasan
dah lain. Serak aje suaranya. Mungkin nak demam.
“Bismillahirrahmaanirrahim…” bisik Ustaz
Hasan perlahan apabila dia mula melabuhkan duduk ke lantai.
Razif ikut sama mengucap perkataan. Apa
yang baik, dia senang untuk ikut.
“Macam ada sesuatu aje yang kamu nak
beritahu, ustaz. Apa dia, Zif? Boleh ustaz tahu?” Ustaz Hasan bersuara sambil
batuk-batuk kecil mengiringi ucapannya.
Tidak mahu mengganggu Ustaz Hasan lebih
lama, cepat-cepat Razif meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Mengenai Habib.
“Erm… saya dah tak tahu nak pujuk kawan
saya tu macam mana lagi, ustaz. Ya, dia rajin bekerja orangnya. Tak malas,
Alhamdulillah dia rajin cari rezeki. Tapi ustaz saya bimbang dia dah
sering-sering tak tunaikan solat. Suka habiskan masa dengan game dia. Bila hari
cuti itulah kerja dia. Apa saya nak buat ustaz?”
Penjelasan dari Razif membuat Ustaz
Hasan berjeda seketika. Seketika kemudian ada senyuman terlakar di bibirnya.
Sambil mengusap janggut lebatnya, dia bersuara. Penuh hikmah.
“Alhamdulillah kalau kawan kamu tu rajin
bekerja. Itu tandanya dia masih sedar akan tanggungjawab dia pada keluarganya.
Pasal dia tak solat tu, kamu terus ajak dia. Jangan putus asa. Selalu ingatkan
dia untuk solat, moga-moga satu hari mana tahu hati dia terbuka nak solat. Kita
tak tahu apa jadi akan datang, kan?” Ustaz Hasan senyum.
Saat itu Razif hanya mengangguk. Jadi
maknanya dia tidak boleh berputus asa. Dakwah tetap dakwah!
“InsyaAllah, ustaz. Saya akan cuba yang
terbaik. Saya jugak nak mohon doa ustaz, mintak-mintak dia lembut hati, cahaya
hidayah muncul dalam diri dia, ustaz.”
“InsyaAllah, kita cuba yang terbaik.
Kamu jangan lupa untuk berusaha dan sentiasa doakan dia. Buat dia nampak yang
kamu bersungguh nak dia berubah. Moga dia sedar, andai dia mahu berubah, ada
kamu untuk menyokong dia. Yang penting, sabar, Razif. Sabar…”
Bahu Razif ditepuk-tepuk beberapa kali.
Razif mengulum senyum. Kesabaran itu
harus ada dalam diri seorang yang mahu berjuang demi agama Allah. Kita
berusaha, Allah jualah yang menentukannya.
“Terima kasih, ustaz. InsyaAllah saya
akan jadikan kata-kata dan nasihat ustaz ni satu semangat pada saya. Kalau
ustaz tak keberatan, boleh ustaz sediakan air bacaan Yasin untuk kawan saya tu?
Moga terang hati dia, ustaz. Untuk dia, untuk saya jugak…”
Ustaz Hasan mengangguk kecil. Sungguh
hatinya berasa tenang menatap wajah anak muda di hadapannya ini. Cukup sayang
Razif pada sahabatnya itu. Tanpa mengetahui nama sebenar sahabat yang sangat
diambilberat oleh Razif itu, Ustaz Hasan hanya mampu berbangga atas sikap Razif
yang ingin berjuang menyelamatkan kawannya itu. Moga-moga usaha Razif ini Allah
pandang.
“InsyaAllah… nanti ustaz buatkan. Kamu
pun boleh aje buat sendiri. Letak air depan kamu, bacalah Yasin. Kan lagi
senang…” Ada tawa di hujung ucapan Ustaz Hasan. Dia bercanda.
Razif turut gelak kecil.
“Bacaan ustaz lagi mantap. Lagi berkesan
bila minum nanti.” Akhirnya mereka sama-sama tergelak.
Tidak mahu membuang waktu, Ustaz Hasan
mengajak Razif untuk mengaji al-Quran. Razif tidak pula menolak. Mana mungkin
dia menolak pelawaan seperti itu. Mengaji depan guru, itu lebih afdhal.
Berkaitan dengan hal Habib itu, Razif
benar-benar berharap agar Allah membuka hati lelaki itu untuk berubah. Sebelum
semuanya terlambat. Habib, aku sayang kau. Kau sahabat aku. Aku takkan biarkan
kau. Selagi aku mampu, aku akan cuba berusaha untuk tarik kau kembali.
InsyaAllah… Bisikan hati Razif bernada tekad.
++++++
Beberapa hari berlalu.
Hari-hari yang berlalu itu seperti biasa dihiasi oleh pujukan dan nasihat
ikhlas dari Razif untuk Habib. Namun, penerimaannya tetap sama, Habib tak layan
semua tu. Dia tetap dengan dunia dia sendiri.
Petang di hujung minggu
itu, Razif dan Firdaus bekerjasama untuk membersihkan kawasan sekitar rumah.
Habib ada di rumah bersama mereka namun tidak pula lelaki itu mahu join sekali.
“Daus, kau rasa apa
yang patut kita buat untuk tarik minat Habib untuk solat? Kau ada idea?” Soalan
cepumas itu berjaya membuat Firdaus yang sedang enak meneguk air terus
tersembur ke hadapan.
Razif yang melihat
keadaan kawan serumahnya yang hampir tercekik itu segera tepuk-tepuk belakang
Firdaus. Barulah Firdaus lega sikit.
“Kau tanya aku soalan
macam tu, Zif? Manalah aku tahu. Aku ni pun dua kali lima dengan Habib tu, Zif.
Iman belum cukup mantap nak nasihatkan orang,” ujar Firdaus sambil mengelap
bibirnya dengan belakang tangan. Tak sangka Razif tanya soalan payah macam tu
kat dia.
Razif senyum nipis.
Jawapan Firdaus agak mendukacitakan dirinya. Kenapa semua orang fikir hanya
orang beriman atau lebih tepat lagi ustaz ustazah sahaja yang boleh mengajak ke
arah kebaikan? Diri kita sendiri juga boleh. Walau iman tidak kental. Selagi
bergelar Muslim, amal makruf nahi mungkar itu menjadi tanggungjawab kita semua.
“Kita kena sampaikan
sesuatu yang baik, walaupun kita takdelah baik sangat, Daus. Itu nama dakwah.
Ah, takpelah. Yang penting macam mana kita nak buat Habib solat. Aku tengok dia
makin jarang solat, Daus. Aku tak nak dia terus hanyut macam tu.”
Ucapan Razif yang
berbunyi cukup prihatin itu buat Firdaus diam lama. Kepalanya ditolehkan ke
belakang memandang ke arah Habib yang sedang leka bermain playstation. Dari
Zuhur sampai ke Asar dan sekarang dekat nak Maghrib itulah pekerjaan budak tu.
Bukan budak pun dah 26 tahun. Hmm… kadang-kadang Firdaus juga risau dengan
keadaan sahabatnya itu. Main teruk perangai mamat tu sekarang. Seronok sangat
ke bercinta dengan Nora, kekasih barunya tu? Sampai lupa tanggungjawab pada
agama? Mustahil. Tapi itulah hakikatnya.
“Aku pun perasaan benda
tu, Zif. Dan aku mengaku, aku tak pernah nasihatkan dia seperti mana kau
nasihatkan dia. Aku rasa tak layak, Zif. Tapi aku akan sokong kau, dan akan
cuba bantu kau untuk ‘pulihkan’ Habib.” Bahu Razif tertepuk perlahan oleh
Firdaus. Dia tersenyum. Semua yang dia ucapkan itu lahir dari hatinya yang
paling dalam.
Memang dia bukan
seorang pemuda yang baik dan soleh. Tapi satu dia pegang. Solat tak pernah dia
tinggal. Itu amanat yang ditinggalkan oleh arwah ibunya. Antara amanat dan
perintah Allah, Firdaus sedar solat itu perlu ditunaikan andai kita mengaku
kita ini beriman pada lima rukun Islam. Hukumnya wajib.
“Alhamdulillah… Terima
kasih, Daus. InsyaAllah kita sama-sama usahakan. Kalau kau nak tahu, beberapa
hari ni aku ada masak lauk dengan guna air bacaan Yasin dari Ustaz Hasan.
Buatkan minuman untuk Habib dan kau pun aku guna air tu. Aku pun minum sama. Biar
kita semua Allah bukak hati untuk berubah ke arah kebaikan, ya, Daus. Kau tak
kisah kan aku buat semua tu?” Agak keberatan sebenarnya untuk Razif
menceritakan rahsia ini. Tapi dia sudah terlajak kata. Harap-harap Firdaus
faham niat baiknya.
“MasyaAllah… sampai
macam tu sekali kau prihatin dengan iman kami, Zif. Aku bersyukur sangat ada
kawan macam kau, Zif. Ya Allah, aku malu dengan kau. Kau pulak yang beria-ia
nak kami berdua berubah. Sedangkan diri kami sendiri…hmm….”
Razif senyum kelat.
Wajah mendung Firdaus ditatap dengan tenang.
“Selagi matahari tidak
terbit dari arah barat dan selagi nyawa tidak berada di hujung kerongkong,
selagi itulah kita ada peluang untuk bertaubat dan jadi lebih baik, Daus. Aku
bukanlah baik sangat. Tapi untuk masuk Syurga, biarlah kita semua masuk
sama-sama. InsyaAllah…”
Firdaus tertunduk. Sayu
jiwa lelakinya mendengarkan luahan keinginan dari Razif itu.
Benarlah kata orang…
kawan untuk berseronok itu ramai. Tapi kawan yang benar-benar mahu mengajak
kita melangkah ke dalam Syurga jumlah jauh lebih sedikit. Tapi masih lagi
sahabat seperti itu wujud. Buktinya, berdirinya seorang sahabat sejati di
hadapannya kini.
“Malam ni aku nak ikut
kau pergi masjid ya, Zif. Lama dah rasanya aku tak berjemaah kat masjid. Hmmm…
boleh ke?”
Mendengarkan itu
cangkul yang berada di tangan Razif hampir saja terlepas dari pegangan.
Allahuakbar… Sudah lama
dia menantikan saat ini.
“Subhanallah,
Alhamdulillah, Daus… mestilah boleh. InsyaAllah kita pergi sama-sama. Ajak
Habib sekali. Kita cuba. Lagipun malam ni memang ada ceramah. Dari ustaz yang
selalu keluar dari tv tu. Seronok dengar ceramah dia, Daus.” Teruja suara Razif
saat itu. Hatinya berbunga-bunga. Senyuman tak lekang di bibir.
Firdaus ikut tersenyum.
Alhamdulillah Allah menggerakkan hatinya untuk ke arah itu. Moga-moga gerakkan
hati ini merupakan suluhan hidayah dari Allah untuknya. Mungkin ini adalah
titiktolak perubahannya menjadi lebih baik. InsyaAllah…
Buat seketika,
dibiarkan Razif meneruskan kerja buatnya sambil masih tersenyum girang. Firdaus
toleh ke belakang memandang Habib. Lelaki itu masih leka dengan dunianya.
Terleka dengan dunia. Sedangkan dunia itu cukup singkat tempohnya.
Astaghfirullahaladzhim…
aku insaf, ya Allah. Firdaus berbisik sayu di dalam hati.
++++++
“Lawak jugak eh ustaz
tu. Seronok aku dengar ceramah dia. Santai aje.” Firdaus bersuara ceria sambil
kakinya sibuk menyarung selipar. Hampir dua jam dia berada dalam masjid
mendengar ceramah dari Ustaz Hariyanto Rizal Rokman. Sudah lama rasanya dia
tidak mendengar ceramah secara live seperti ini. Alhamdulillah banyak ilmu yang
dia dapat.
“Memang santai. Ustaz
tu memang lawak sikit. Ini first time dia datang ke masjid kita. Beruntung kita
dapat dengar ceramah dia kan. Kalau Habib ada mesti lagi seronok.” Suara Razif
sedikit mengendur. Firdaus cuma mampu tersenyum kelat.
“Nak buat macam mana
dah dia tak nak ikut. Kita dah ajak kan. Takpelah, Zif. Kita cuba lagi pujuk
dia. Dahlah jom balik. Esok aku kerja. Kena bangun awal.” Ditilik jam di
pergelangan tangan. Sedar tak sedar sudah masuk jam 10.15.
Razif menghela nafas
panjang. Dia angguk kepala seraya melangkah beriringan ke tempat parkir
motosikal.
Sebelum ke masjid tadi,
seperti biasa dia ada mengajak Habib untuk ikut sekali. Sudah diberitahunya ada
ustaz yang selalu muncul dalam kaca tv akan berceramah di masjid malam ini.
Namun, apa yang Razif dapat hanyalah jelingan dan kata-kata kurang enak
didengar. Habib menolak ajakannya. Semenjak dua menjak ini Habib agak perengus.
Entah apa masalah sahabatnya itu.
“Zif, jomlah. Menung
apa lagi tu.” Suara Firdaus membangunkan Razif dari lamunan. Huluran topi
keledar dari Firdaus disambut perlahan. Dia menguntum senyuman nipis.
“Dah jom.” Mereka
sama-sama pulang ke rumah dengan menaiki motosikal Firdaus.
+++++++
“Bie, tolonglah jangan
buat saya macam ni. Saya betul-betul sayangkan awak. Awak sorang aje saya
sayang. Please bie jangan buat saya macam ni. Saya tak boleh hidup tanpa awak!”
Rayuan dan pujuk rayu dilafazkan dengan penuh perasaan oleh Habib kepada
kekasih belum halalnya, Nora.
Terkejut Habib dengan
SMS yang diterimanya dari Nora seketika tadi. Baru saja dia nak melelapkan
mata, tiba-tiba ada SMS baru masuk. Tengok-tengok jam dah pukul 12 tengah
malam. Kalau mesej dari Nora, pukul 3 pagi pun Habib sanggup baca.
Apa yang mengejutkannya,
Nora mengatakan bahawa dia ingin memutuskan hubungan mereka berdua. Dengan
alasan, Nora sudah tiada cinta untuk Habib lagi. Sememangnya hubungan mereka
semenjak dua menjak ini agak pincang. Masing-masing asyik mahu mencari gaduh.
Kerana itu mood Habib sangat down dua tiga hari ni. Semuanya gara-gara Nora
kesayangannya!
“Saya memang tak boleh
teruskan hubungan ni lagi, Habib. Saya minta maaf. Tolonglah terima hakikat ni.
Awak dengan saya macam langit dengan bumi. Sikap perengus awak betul-betul
mengjengkelkan saya!”
Habib terkedu lagi.
Sakit hatinya mendengarkan pengakuan Nora itu.
“Saya boleh ubah. Saya
akan cuba berubah. Bie, jangan tinggalkan saya ya.”
“Ah! Saya dah banyak
mengalah. Saya dah banyak kali tertipu dengan awak. Awak cakap nak berubah tapi
langsung tak berubah!”
Habib mengeluh.
Digenggam kemas penumbuknya.
“Nora… saya…”
Sedang perbincangan
penting itu berlangsung, ada sesuatu yang lain pula mengganggu Habib.
Konsentrasinya untuk memujuk Nora benar-benar terganggu dek suara kuat Razif
mengaji al-Quran di bilik sebelah. Dengan dengusan keras, Habib mula menuju ke
pintu.
Nora di talian tidak
dihiraukan olehnya lagi. Yang penting dia mahu Razif diam!
“Hoii! Kau boleh diam
tak hah?! Aku tengah pujuk awek aku, yang kau bising sangat mengaji tengah
malam buta apahal?!” Jerkahan kuat dari Habib menyentak hati kecil Razif.
Segera dia menyudahkan bacaannya dengan lafaz 'shadaqallahul adzim'.
“Maafkan aku, Bib. Aku
ingat kau dah tidur,” ucap Razif dengan perlahan.
“Ah! Dengan suara kuat
kau tu aku yang dah tidur ni pun boleh terjaga baliklah!” Dan tidak
disangka-sangka jerkahan Habib itu didengari dengan jelas oleh Nora di talian.
Perempuan itu sekali lagi bersuara.
“Habib! Ini yang saya
paling benci pasal awak! Awak memang perengus! Kalau orang tengah mengaji pun
awak boleh tengking, entah apa yang awak akan buat pada saya bila kita dah
kahwin nanti! Awak memang bukan pilihan hati saya! Kita putus!”
Talian terputus.
Habib tergamam di situ.
Razif yang tidak
mengerti apa yang terjadi hanya mampu mendiamkan diri masih duduk bersila di
atas lantai. Al-Quran dibukanya kembali.
Baru satu ayat Razif
sempat baca, tiba-tiba Habib meluru ke arahnya. Tidak sempat berbuat apa-apa,
satu tumbukan singgah ke pipi Razif. Razif tersembam mencium lantai.
“Sebab kaulah Nora
dengar semua tu tadi! Kau memang tak habis-habis nak sakitkan hati aku,
Razif!!!” Satu lagi tumbukan mengena ke perut Razif. Habib benar-benar dah
menggila. Dirinya bagaikan sudah dirasuk syaitan.
“Bib, Bib… kenapa
dengan kau ni…” Razif bersuara penuh kesakitan. Entah dosa apa yang telah dia
buat hingga dia perlukan seperti ini. Siapa pula Nora? Kekasih Habib kah? Apa
kena-mengena dengan dirinya?
“Ahhhh! Aku dah lama
tak suka dengan kau! Sikap kau yang bajet alim tu buat aku naik muak kau tahu tak!
Kau ceramah aku 24 jam sehari! Kau ingat aku suka sangat ke dengar semua tu, hah!”
Kali ini tubuh Razif yang sudah lembik dipaksa oleh Habib untuk berdiri. Dipaut
kolar baju Razif kemas.
“Kalau kau nak jadi
baik, ikut suka kaulah! Aku boleh jadi baik bila-bila aku naklah! Kau jangan
menyibuk dalam urusan aku!” Sungguh pedih hati Razif mendengar kata-kata Habib
itu. Habib bercakap seperti orang yang sudah mati hatinya. Ya Allah, pegang
hati Habib, ya Allah… jangan biarkan dia terus lemas dalam dunia penuh
kekeliruan ini. Sempat hati kecil Razif merintih.
“Lepas ni kau jangan
campur tangan dalam urusan aku lagi! Aku nak solat ke, aku tak nak ke! Kau
jangan sibuk! Kalau takkkk….”
“Habib, Razif! Apahal
dengan korang ni hah?!” Muncul Firdaus di muka pintu. Pantas dia meluru ke arah
Habib dan Razif. Pegangan kemas Habib yang memegang kolar baju Razif cuba
dirungkainya. Namun Habib tetap berkeras. Tubuhnya pula yang ditolak oleh
lelaki perengus itu.
“Kau jangan masuk
campur, Daus! Karang dengan kau-kau aku tumbuk!”
Firdaus tetap berkeras
juga. Dia cuba menjauhkan Habib yang makin menggila. Kali ini ditolak kuat
tubuh Razif hingga ke dinding batu.
Kokkk. Satu hentakan
kuat mengena kepala Razif. Sungguh kepalanya terasa seperti mahu pecah saat
itu. Dia mula berasa pening.
“Kau dengar sini
baik-baik, Razif! Mulai dari malam ni, aku halau kau dari rumah ni! Kau boleh
menyewa rumah lain! Kau berambus dari rumah ni jangan munculkan muka kau depan
aku lagi! Aku benci kau, aku benci kauuuu!” Dengan fikiran yang sudah hilang
kewarasannya, buat kali yang terakhir perut Razif tertumbuk sekuat hatinya.
Habib terus melangkah pergi tanpa menyedari bahawa Razif sudah nyawa-nyawa ikan
saat itu.
“Ya Allah, Razifffff!
Razif bangun! Razif!!!”
Saat kaki Habib berada
di muka pintu, tiba-tiba suara Firdaus menjerit kuat memanggil Razif. Pantas
kepalanya ditolehkan ke belakang mahu melihat apa yang terjadi.
Saat dia memandang ke
belakang, terlihat olehnya Razif sudah pun terjelepuk jatuh ke lantai. Dan pada
dinding batu bercat putih itu, terdapat kesan darah merah.
Melihat semua itu,
Habib hanya mampu menggigil penuh ketakutan. Ya Allah, apa yang dah aku buat…
Dia kaku di situ melihat Firdaus berusaha membangunkan Razif yang sudah tidak
sedarkan diri.
+++++++
“Ya Allah ustaz apa
yang dah saya buat ni. Saya… saya hampir bunuh kawan saya sendiri. Saya
berdosa, ustaz…” Rintihan dari Habib tak berhenti sedari tadi. Dia merengek,
bercakap seorang diri dan bertindak menyakiti dirinya dek merasa bersalah di
atas apa yang sudah menimpa Razif.
“InsyaAllah Razif tak
apa-apa. Kita terus doakan dia. Ya?” Bahu Habib ditepuk –tepuk oleh Ustaz
Hasan. Mereka masih berada di luar ICU menanti keputusan dari doktor.
Razif yang tidak
sedarkan diri dikejarkan ke hospital. Dalam perjalanan itu, makin banyak darah
yang keluar dari kepala Razif. Di dalam kereta Razif yang sudah pengsan
dipangku oleh Habib sendiri. Firdaus pula memandu kereta dan tidak habis-habis
menyalahkan Habib atas yang dah berlaku.
Untuk marahkan Firdaus,
Habib tahu sememangnya dia yang salah. Kerana terlalu ikutkan nafsu amarah,
sanggup dipukul dan dibelasahnya Razif sampai tidak sedarkan diri seperti ini.
Yang lebih membuat
Habib merasa takut, Razif terus dikejarkan di bilik ICU apabila doktor mengesahkan
tengkorak kepala Razif sudah rentak dek hentakan yang terlalu kuat. Habib cuba
mengingati kembali apa yang sudah terjadi. Tanpa sedar, pasti dia sudah
menghentak kepala Razif ke dinding tanpa memikirkan apa kesan terhadap lelaki
itu. Yang penting saat itu nafsu amarahnya terlunas. Kerana kecewa dengan
perpisahannya dengan Nora, Razif yang tidak bersalah menjadi mangsa. Apatah
lagi saat itu, sahabat baiknya itu sedang mengaji al-Quran.
Aku memang tak guna!
Habib makin bertambah sesal!
“Ni semua salah kau,
Bib. Apa kita nak jawab pada mak ayah Razif nanti! Apasal perangai kau makin
teruk, hah?! Kau memang bukan kawan yang baik!” Amarah Firdaus tiba-tiba
meletus. Dia berdiri di hadapan Habib sambil menunjal-nunjal bahu Habib yang
sudah keras seperti patung.
“Ya Allah, sudah
Firdaus. Tak baik salahkan Habib dalam keadaan Razif tengah berjuang kat dalam
sana tu. Sabar, banyakkan istighfar. Kita kena teruskan berdoa. Jangan cakap
yang bukan-bukan. Istighfar…” Kali ini Ustaz Hasan sudah berdiri cuba
menenangkan Firdaus. Diajak Firdaus duduk sedikit jauh dari Habib.
Firdaus mendengus
keras. Sakit hatinya saat ini. Sampainya hati Habib lakukan perkara seperti itu
pada lelaki sebaik Razif. Apa salah Razif? Baca al-Quran pun sampai nak kena
pukul sampai macam tu sekali ke? Atau ada sebab lain?
Dia yang sedang nyenyak
tidur tiba-tiba terus terbangun dari tidur apabila terdengar ada suara
bising-bising di tingkat atas. Firdaus cuba untuk tidak ambil kisah namun
apabila dia mendengar suara Habib jelas menengking-nengking, tak sedap hati dia
saat tu. Terus dia mendaki ke tingkat atas. Tengok-tengok saja tangan Habib dah
terangkat nak tumbuk muka Razif. Muka Razif pula sudah ‘pecah’ dikerjakan oleh
Habib.
“Razif! Razif anak
mak….” Sedang suasana tegang melanda Habib dan Firdaus, tiba-tiba saja muncul suara
rintihan seorang perempuan dari hujung penjuru. Semua mata terarah pada Makcik
Saleha dan Pakcik Yaakob. Langkah mereka laju mendapatkan Ustaz Hasan.
“Ustaz… ustaz anak saya
kenapa. Kenapa dengan Razif? Apa dah jadi pada dia sebenarnya?” Suara Pakcik Yaakob
kedengaran menyapa payah ke telinga Habib. Tidak dapat dia nak mengangkat muka
memandang ke arah kedua-dua ibu bapa Razif itu lagi. Kalau boleh dia mahu
larikan diri!
“Banyakkan bersabar,
Pak Kob. Razif ada kat dalam sekarang. Dia… dia…” Ustaz Hasan sendiri tidak
mampu berkata-kata. Dia juga keliru untuk menceritakan hal yang sebenar atau
apa. Dia sebenarnya kesiankan Habib. Andai ibu ayah Razif tahu apa yang dah
Habib lakukan pada anak mereka, entah apa tindakan orang tua itu.
“Dia kemalangan ke, ustaz?
Ke dia jatuh…” Makcik Saleha tidak
berdaya lagi. Dia terduduk ke kerusi sambil menangis mengenangkan nasib anak
tunggalnya itu.
Dia dikhabarkan oleh
Ustaz Hasan ada sesuatu telah menimpa Razif. Mereka suami isteri diminta dengan
kadar segera untuk ke hospital. Ustaz Hasan cakap Razif dimasukkan ke ICU. Tidak sempat bertanya lanjut terus mereka
sewa kereta dan datang ke sini.
“Makcik… pakcik…”
Makcik Saleha terpana
dengan kedatangan Habib yang sememangnya dikenalinya, tiba-tiba melutut di hadapannya.
Makcik Saleha dan Pakcik Yaakob berpandangan sesama sendiri. Kemudian mereka
pandang pula ke arah Ustaz Hasan dan Firdaus.
“Habib… kenapa ni,
nak?” soal Makcik Saleha.
Habib masih tertunduk.
Air mata tak semena terbit di tubir mata. Ia gugur satu persatu membasahi pipi.
“Maafkan saya, makcik.
Maafkan saya, pakcik. Saya… saya yang salah. Saya dah… saya dah pukul Razif. Maafkan saya. Ampunkan saya, makcik…pakcik…”
Mendengarkan itu Makcik
Saleha tergamam buat seketika. Pakcik Yaakob pula terduduk tidak mampu
menampung badannya lagi.
“A-apa maksud kamu ni
Habib. Pukul? Pukul Razif? Kenapa? Kenapa?!”
Terus ditolak Habib
menjauh darinya. Makcik Saleha mula menjerit penuh kesedihan.
Habib tidak terkata
lagi. Dipandang wajah Ustaz Hasan dan Firdaus dengan pandangan redup. Pandangan
itu cukup untuk memberitahu kedua-dua mereka bahawa saat ini dirinya sangat
memerlukan sokongan dan bantuan.
Pengakuan yang dia
lafazkan tadi lahir dari hatinya yang paling dalam. Dia tahu, dia perlu
bertanggungjawab dengan apa yang sudah dilakukannya. Andai ibu bapa Razif mahu
menahannya sekali pun dan menghantarnya ke lokap, dia sanggup. Sungguh Habib
sudah tidak mampu menanggung penyesalan yang makin hebat menghimpit hati. Andai
dengan masuk lokap dan dihukum oleh undang-udang mampu membuang semua rasa
kesalnya, dia sanggup lakukan itu! Dan yang paling penting juga, kedua-dua mak
ayah Razif sudi memaafkan kesilapannya. Dan yang lebih utama, Razif sendiri
sudi memaafkan perbuatan kejam yang telah dia lakukan ini.
Ya Allah, aku mohon
padaMu. Sembuhkan sahabat aku, Razif. Sedarkanlah dia, ya Allah. Jangan ambil nyawa dia. Aku banyak buat salah dengan dia. Ampunkan aku, ya Allah. Aku takut
dengan pembalasan dariMu. Sembuhkan Razif, ya Allah…
Habib hanya mampu
berdoa dan merintih di dalam hati. Sedar-sedar saja ada seorang doktor baru
keluar dari ICU dan menyampaikan satu berita yang membuatkan semua yang berada
di situ tergamam sayu.
“Encik Razif sekarang
berada dalam keadaan koma. Dia mungkin tidak akan sedarkan diri dalam jangka
masa yang panjang. Maafkan kami. Kami dah cuba lakukan yang terbaik. Banyaklah
berdoa. Moga-moga ada keajaiban berlaku…” Doktor terus berlalu pergi.
Tangisan Makcik Saleha
makin berlagu nyaring. Pakcik Yaakob pula hanya mampu tertunduk bagai cuba
menahan kesedihan yang makin menghimpit sanubari. Ustaz Hasan dan Firdaus sudah
tidak mampu berkata apa. Dan Habib pula…
dia tersandar lemah ke dinding menangisi apa yang sudah dilakukannya pada
lelaki sebaik Razif.
+++++++
Enam bulan berlalu….
“Assalamualaikum,
Razif. Kau apa khabar hari ni? Sihat? Ni aku ada bawakan buku favourite kau. Bawa
Hatiku Menuju Tuhan. Dari dulu kau mintak aku baca buku ni kan? Hmm… sekarang
baru nak baca buku ni, Zif. Dan aku dah habis pun baca. Memang menginsafkan…”
Habib terdiam buat seketika. Buku yang dipegangnya diletakkan di sisi Razif.
Wajah Razif yang tenang
ditatap dalam oleh Habib. Mata lelaki itu celik bagaikan sedang memandang ke
arahnya. Namun, hakikatnya Razif berada dalam keadaan koma. Keadaan ini sudah
berlanjutan enam bulan. Masih tiada sebarang perubahan. Entah bilalah Razif
akan sedar dan pulih seperti sedia kala. Habib tak pernah berhenti berdoa untuk
sahabatnya ini.
“Aku dah mengaji surah
Ali Imran sekarang, Zif. Baru masuk ayat ke sepuluh. Ustaz Hasan cakap aku ada
suara. Kalau nak masuk pertandingan tilawah tu, kena praktis lagi. Ustaz,
ustaz… sengaja nak buat aku bangga kan…”
Habib bercakap seorang
diri. Walaupun tiada respon dari Razif namun dia yakin Razif dapat mendengar
kata-katanya.
Sepanjang enam bulan
ini… banyak yang sudah berubah dalam hidup lelaki bernama Habib. Dia sudah
berjaya menemui kembali sesuatu yang selama ini hampir hilang dari hidupnya.
Apa yang selalu Razif nasihatkan padanya sebelum ini, semua dilakukan olehnya
dengan rela hati. Nasihat Razif diikutinya.
Walaupun dirinya sudah
berdosa dan bersalah kerana telah membelasah Razif sehingga lelaki itu berada
dalam keadaan sekarang, ibu bapa Razif sudi memaafkan kesilapannya. Hanya Tuhan
saja yang tahu betapa Habib bersyukur dengan kemaafan yang diterimanya itu.
Terasa bagaikan dirinya
diberi peluang yang kedua untuk hidup.
Hati kedua-dua ibu bapa
Razif tersangat mulia. Mereka redha dengan keadaan yang menimpa anak mereka
itu. Semua ini sudah ketentuan dari Ilahi. Sebagai hamba, kita perlu redha dan
ikhlas dengan ujian.
Keadaan itu telah
membuka lembaran baru dalam hidup Habib. Mungkin inilah hikmah di atas kejadian
yang menimpa Razif.
Dia kini sudah berubah.
Berlari pulang menuju Tuhan. Takkan dia berpaling lagi ke belakang. Mengemis
cinta dari Tuhan akan menjadi matlamat hidupnya.
Kalau dulu dia suka
lewatkan solat dan kebanyakannya dia suka tinggalkan solat, kini tidak lagi.
Habib berusaha untuk tunaikan solat yang wajib dan belajar untuk melakukan
ibadah yang sunat. Perubahan ini disokong kuat oleh Firdaus dan Ustaz Hasan.
Ustaz Hasanlah yang
banyak mengajar dan membantunya untuk kembali mengenal Tuhan.
Berkawan dengan kawan
yang benar, mampu mendekatkan lagi diri kita dengan Allah SWT.
Firdaus juga banyak
membantunya. Mereka sama-sama menjadi anak murid pada Ustaz Hasan. Mereka
belajar solat bersama-sama, belajar mengaji bersama-sama dan ke masjid
bersama-sama jika ada kelapangan. Dan andai di rumah, mereka juga akan solat
berjemaah bersama-sama. Andai saja Razif ada bersama mereka, pasti keadaan akan
jadi lebih menggembirakan.
Tapi Allah telah
menetapkan Razif untuk tidak berada dalam perjalanan perubahan kisah hidup
Habib. Cumanya, lelaki itu telah menjadi pencetus untuk Habib berubah.
“Aku mintak maaf dengan
kau, Zif. Aku banyak buat salah dengan kau. Kau cepat-cepat sembuh ya. Firdaus
cakap kau teringin nak solat berjemaah dengan aku dan dia kat masjid. Jadi kau
kena cepat-cepat bangun, Zif. Kita ke masjid sama-sama. InsyaAllah…” Habib jadi
sebak.
Matanya berkaca
mengenangkan perbuatan bodohnya pada Razif dulu. Lelaki itu terlalu baik untuk
dijadikan musuh. Namun kerana kekerasan hatinya, dia melayan Razif bagaikan
Razif itu seorang musuh yang harus dijauhi.
“Aku dah lain sekarang,
Zif. Kau bangunlah… kau bangun dan tengok perubahan aku ni. Kau bangun, Zif…
aku tunggu kau….” Bahu Razif ditepuk perlahan. Habib tersenyum dalam tangisan.
“Aku nak pergi ambil
wuduk kejap. Aku bacakan kau surah Yasin ya.” Habib tinggalkan Razif di situ.
Dia menuju ke bilik air.
Sepanjang enam bulan
Razif terlantar koma di sini, dia dan ibu bapa Razif bergilir-gilir menjaga
Razif siang dan malam. Dan inilah rutinnya setiap kali dia ke sini. Membaca
ayat-ayat suci untuk Razif, membacakan buku-buku untuk Razif, berborak-borak
dengan Razif… semua itu menjadi terapi untuk menyedarkan Razif dari koma.
Dengan izin Allah, Razif akan bangun suatu hari nanti. InsyaAllah… Tidak bulan
ini, mungkin bulan depan. Tidak tahun ini mungkin tahun depan. Biarlah selama
mana sekalipun Razif dalam keadaan koma, Habib akan setia dengan sahabat dunia
akhiratnya ini. Selagi nyawa dikandung badan.
Di saat Habib berada
dalam tandas, saat itulah ada sesuatu yang sudah berlaku pada Razif. Saat itu
tak semena-mena menitis setitik air mata ke pipi Razif. Air mata berharga yang
menandakan dia dengar dengan jelas apa yang telah Habib luahkan seketika tadi.
‘Syukur Alhamdulillah,
Bib. Aku gembira sangat dengan perubahan kau ni. Kau teruskan, jangan pernah
berpaling lagi. Berlarilah kau menuju jalan pulang. Allah sentiasa menanti
hamba-hambaNya untuk kembali kepada sisiNya. Tahniah, Bib. Tahniah kerana sudah
menjadi Habib yang baru. Alhamdulillah…’
#Ujian
itu merupakan satu nikmat dari Allah SWT. Kerana melalui ujian kita tahu bahawa
Allah masih menyayangi kita.
Ya Allah... besar peranan sbg seorang sahabat sejati. amar ma'ruf nahi mungkar, memang susah. dengan keluarga pun susah nk tegur apatah lagi orang luar. memang sudah sifat semula jd manusia benci akan teguran. yg mana boleh ditegur tu, alhamdulillah. tapi xramai.....
ReplyDeletesemoga kita tabah dalam amar ma'ruf nahi mungkar.
Setiap jiwa yg bernama Muslim kena berdakwah walau sekecil2 dakwah. Kita cuba ape yg kita mampu. insyaAllah..
DeleteAssalamu'alaikum. masya Allah. cerpen yang mantap~Razif sedar atau pergi ni Cik Penulis? *curious*
ReplyDeleteAnti memang berbakat menulis. <3 thumbs up!
Waalaikumussalam cik dhia.. Mantap?Allah biasa2 je lah liz... Razif akan sedar..tapi saja x buat.haha... dia koma kejap je. Pujian tu org terima sebagai satu semangat!
DeleteAlhamdulillah. Sesungguhnya hidayah itu milik Allah. Dia berhak beri pada sapansaja yang dia mahu. Dalam apa jua keadaan.. Semoga kita perolehi hidayah dari Allah juga.. (:
ReplyDeleteAamiin.InsyaAllah. Tapi satu aje. Nak hidayah pun kenalah berusaha ke arah tu.xleh tunggu je. Kena usaha.relakan hati untuk menerima perubahan. :)
Delete