BAB 24
|Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani|
Jam di tangan kutilik
penuh resah. Dari jam lima petang, jarum jam makin menginjak ke pukul lima
setengah petang. Kelibat Cikgu Ihsan masih belum kelihatan.
Aku menunggunya di
perhentian bas yang terletak tidak jauh dari pintu masuk U.
Dari duduk aku berdiri.
Dari berdiri aku kembali duduk. Sampai sekarang jasad Cikgu Ihsan tak kunjung
tiba. Dia singgah mana-mana ke? Atau dia terlupa untuk menjemput aku?
Untuk menelefonnya aku
segan. Sepertinya aku tak sabar pula nak balik. Macam nak susahkan dia aje.
Mungkin dia tengah ada kerja. Baik aku tunggu aje.
Sambil menunggu Cikgu
Ihsan, sambil itu aku membelek kembali jurnal yang aku dapat di kuliah tadi. Bidang
yang aku ambil ini memakan masa selama tiga tahun. Tiga tahun yang aku yakin
akan memberikan aku banyak pengalaman baru. Alhamdulillah setakat ini semuanya
baik-baik saja. Aku rasa seronok sangat dengan dunia baru yang aku jejak ni.
Hilang tekanan yang pernah aku alami sebelum ni. Aku nak fokus. Fokus demi
depan aku!
Akan aku buktikan pada
mak su dan pak su serta orang kampung. Kepergianku dari kampung bukan satu
perkara yang sia-sia. Aku akan kembali menjadi seorang yang berjaya.
InsyaAllah!
“Nuha…” Sedang aku
ralit membelek fail di tangan, ada suara menegurku.
Melihat Gee berdiri di
sebelahku dengan senyuman manjanya, aku terus tutup fail di riba. Aku senyum
sama pada Gee.
“Awak belum balik lagi?”
soalku cuba ramah.
Gee gelengkan kepala.
“Papa cakap dia ada hal sikit hari ni. Jadi terpaksalah abang orang yang datang
ambil. Papa tu selalu sibuk.” Seperti anak-anak kecil, Gee merungut.
Aku tak bersuara. Cuma
aku senyum tipis. Seronoknya ada ayah. Aku ni… entah ayah aku masih hidup atau
sudah mati. Layakkah aku menggelarnya ayah. Atau lebih tepat aku menggelarnya lelaki
yang telah ‘dilayan’ oleh ibu. Hmm… satu kenyataan yang sangat menyakitkan!
“Nuha, siapa yang ambil
awak nanti? Pakwe ke?” Gee mengusik.
Aku gelengkan kepala
laju. “Eh, mana ada. Pakwe apanya. Saya ni manalah ada orang yang nak.” Eh,
macam menipu aje kata-kata aku tu. Cikgu Ihsan kan sukakan aku. Bukan setakat
suka, dia cintakan aku. Bukan setakat cinta, dia sebaliknya dah melamar aku.
Aku aje yang tolak.
“Wah kalau macam tu
bolehlah orang kenenkan awak dengan
abang orang. Dia pun belum ada makwe. Umur dah 30 tapi masih tak kahwin-kahwin.
Memilih sangat orangnya.” Tak dapat aku tahan Gee dari membebel tentang abang
kandungnya itu. Dari tadi sibuk nak kenenkan
aku dengan abangnya. Abang sulungnya. Ahmad Furqan. Siap tunjuk gambar lagi.
Kacaklah juga orangnya. Sangat tak padan dengan aku yang tak cantik ni.
Hisy, tak kuasa nak
fikir soal kahwin. Baru first day
masuk U, dah fikir soal cinta-cintun bagai. Nuha, fokus!
Rancak Gee dan aku berborak
kosong, tiba-tiba ada sebuah kereta berhenti di hadapan kami. Hon kereta
dibunyikan sekali.
“Gee...” panggil
seseorang dari dalam kereta. Aku dan Gee segera memandang ke arah kereta itu.
Dari dalam sana ada seorang lelaki sedang arahkan Gee untuk masuk.
“Hah itulah abang
orang. Nuha, jomlah orang kenalkan awak dengan Abang Furqan.” Tiba-tiba Gee
tarik tangan aku. Aku yang tercengang dengan tindakannya hanya mengikut patuh.
Sedar-sedar saja aku
sudah berdiri di sebelah pintu kereta. Namun, tidak pula aku tundukkan muka
memandang wajah abang Gee. Dan lelaki itu juga langsung tak nak keluar.
“Abang kenalkan ni
kawan baru adik. Nuha Huda namanya.” Gee kenalkan aku. Dipaksa aku tundukkan
muka.
Badan separuh aku bongkokkan.
Aku senyum pada Furqan sambil memandang wajahnya sekilas.
“Oh… Nice to meet you. Hope awak bersabar
dengan kerenah Gee ni. Dia ni masih anggap dia tu ‘adik-adik’.” Furqan berkata
selamba. Dia tergelak besar.
Aku senyum saja. Gee
sudah tarik muka masam.
“Dahlah abang ni. Ada
ke cakap macam tu dekat kawan baru adik. Ugh!” Gee tarik aku kembali ke
perhentian bas. Dia bersalaman dengan aku sambil tangannya sudah mencapai beg
sandang teddy bearnya. Ya, memang masih ‘adik-adik’. Senyuman aku sembunyikan.
Karang kecik pulak hati budak debab ni.
“Awak jangan layan
sangat abang orang tu. Dia memang selalu dengki dekat orang.” Gee jeling
Furqan. Furqan jungkit bahu sambil masih ada sisa gelak di bibirnya.
“Nuha, orang balik dulu
tau. Awak nak tumpang orang tak?” Alahai Gee ni. Baik hati sungguh.
Aku gelengkan kepala
perlahan. “Hisy tak apalah. Lagipun nanti ada orang dah nak datang ambil saya,”
balasku.
“Siapa? Abang ke?” soal
Gee masih nak berborak.
“Hah? Err… bukan abang.
Dia… dia cikgu saya,” jawabku jujur.
Gee kelihatan teruja
tak semena. Dipegang tangan aku kemas. Baru mulut becoknya nak bertanya, Furqan
membunyikan hon kereta ‘berirama’. Terus Gee tak jadi tanya.
“Ha kejap-kejap! Abang
ni!” Gee menjerit. Aku tertawa lucu.
“Esok-esoklah sambung
borak. Nuha, sorrylah. Gee memang
macam ni. Kalau boleh nak ajak awak balik rumah kita orang dan layan dia borak
sampai ke pagi. Ugh perangai tak ubah-ubah!” Boleh tahan kuat membebel juga si
Furqan ni.
Pening kepala aku
melihat perangai kedua-dua beradik itu. Kedua-duanya berbadan gempal. Tapi
kulitnya putih-putih melepak.
“Orang tak puas hati
lagi ni. Esok awak kena cerita dekat orang siapa cikgu awak tu. Awak buat orang
suspen aje tau, Nuha.” Gee tiba-tiba tarik aku dalam dakapan dia. Aku lemas dalam pelukannya.
Beberapa detik berlalu,
pelukan kami terungkai. Dia senyum pada aku.
“Orang balik dulu, Nuha.
Happy sangat dapat kawan dengan awak.
Esok kita jumpa lagi tau. Bye, take care.”
Gee terus melangkah menuju ke kereta. Sebaik saja dia duduk di tempat duduk
pemandu, Furqan segera menghidupkan enjin. Sempat juga aku dan Gee berbalas
lambaian tangan. Akhirnya kereta Furqan menghilang dari pandangan.
Keadaan kembali sunyi.
Aku duduk semula ke kerusi. Senyuman masih bersisa-sisa mengenangkan sikap Gee
yang kadang-kadang kalut dan lucu tu.
Ya Allah, macam ni ya
rasanya bila kita ada teman nak ajak berbual dan bergurau senda. Seronok!
Macam aku dan arwah
ibu. Memang seronok bila dapat borak dengan ibu. Ibu kadang-kadang pandai jugak
buat lawak seposen. Bila kami bersembang, memang tak ingat kerja lain dah. Last-last telinga ni terpaksa ditadah
menahan bebelan dan sindiran Mak su Kinah.
Takdir Allah menemukan
aku dan Gee di tempat baru ini. Walaupun baru kenal, namun dek keramahan Gee,
tak kering gusi kami berdua berbual mesra. Moga-moga persahabatan ini akan
terus tumbuh mekar.
Pin. Pin.
Tersentak kecil aku
mendengarkan bunyi hon yang bingit itu. Pantas aku palingkan muka memandang ke
hadapan. Kereta Honda Civic milik Cikgu Ihsan sudah terparkir di birai jalan.
Lelaki itu kelihatan tergesa-gesa keluar dari perut kereta.
“Sorry, Nuha. Abang ada kerja sikit tadi. Lama Nuha tunggu?” soalnya
setelah berdiri di hadapanku.
“Tak adalah lama
sangat,” ujarku membalas katanya.
“Abang dah cuba siapkan
kerja secepat mungkin tadi. Tapi maklumlahkan first day masuk kerja. Banyak benda nak kena settle,” beritahu Cikgu Ihsan tanpa aku bertanya.
Tidak membalas
penjelasannya, aku bangun lalu kucapai beg dan fail. Cikgu Ihsan pula sudah
siap membukakan pintu kereta untuk aku masuk. Aku senyum padanya.
“Lega hati abang tengok
Nuha senyum macam tu. Rasa penat dekat badan ni hilang macam tu aje.”
Hampir-hampir kepala aku terhantuk pada pintu kereta dek terkejut mendengar
kata-katanya itu.
Tak mahu fikir
bukan-bukan, aku segera sarungkan tali pinggang keselamatan dan duduk diam
menanti Cikgu Ihsan menggerakkan kereta ini membawa kami pulang.
“Nuha tak marah abang, kan?”
soal Cikgu Ihsan setelah kereta bergerak di atas jalan raya.
Aku geleng sekali.
“Alhamdulillah…”
Perlahan dia berbisik namun ia sudah cukup jelas di telingaku.
************
Kepulanganku disambut
mesra oleh Aunty Izzah. Nek Som pula sedang sibuk menyiram pokok bunga di
halaman rumah. Sempat jugalah Nek Som bertanya tentang pengalaman pertamaku di
universiti. Seronok, Nek Som. Memang seronok!
Sambutan keluarga ini
benar-benar menghangatkan. Aku terasa seperti memiliki sebuah keluarga yang
cukup bahagia. Keluarga yang aku damba-dambakan selama ini.
Namun ada perkara lucu
yang menjentik hati kecilku. Cikgu Ihsan kena bebel dengan Aunty Izzah sebab
ambil aku lambat. Bukan aku yang buka cerita tu. Lelaki itu sendiri yang
mengaku pada mamanya.
Kesian cikgu. Tak
pasal-pasal kena warning. Kata auntie
kalau selepas ini Cikgu Ihsan datang lambat, call aje dia. Al-maklumlah keluarga ni mana ada driver. Jadi nak tak nak harus ada
seseorang yang hantar dan ambil aku. Hmm… terasa aku ni menyusahkan mereka aje.
Tapi auntie cakap jangan fikir apa-apa. Benda kecik aje tu.
Aku akhirnya tinggalkan
Aunty Izzah dan Cikgu Ihsan di bawah. Aku meminta diri untuk naik ke bilik
untuk bersihkan diri.
Dalam bilik kuliah
tadi, sempat juga aku merangka jadual harianku. Moga-moga dengan jadual ini
tidaklah aku terlepas pandang untuk meluangkan masa bersama-sama Aunty Izzah,
Uncle Is dan Nek Som di rumah ini.
Aku akan bangun seawal
jam 5.30 pagi. Usai solat Subuh, aku takkan tidur. Sebaliknya aku akan turun ke
dapur tolong Nek Som siapkan sarapan. Pulang pula dari kuliah, aku akan turun
ke dapur sekali lagi membantu Nek Som masak. Aku tak sanggup nak hidup macam mem besar dalam rumah ni. Aku sedar diri
aku siapa. Hidup menumpang harus senantiasa sedar diri. Jangan sesekali lupa
diri dan ambil kesempatan pada kebaikan keluarga ni.
Sampai saja dalam
bilik, aku terus masuk ke kamar mandi bersihkan badan dan ambil wuduk. Solat
Asar aku tunaikan. Setelah itu, tak berehat panjang, aku segera turun ke bawah.
Nak tolong Nek Som masak.
+++++
Kaki diatur menapak ke
ruang dapur mencari Nek Som. Manalah tahu ada apa-apa yang boleh aku tolong Nek
Som untuk masak makan malam.
Melangkah saja aku ke
ruang dapur, agak terkejut aku melihat batang tubuh Cikgu Ihsan sedang sibuk
bergerak lincah ke sana ke sini melakukan kerja dapur. Dengan apron di
tubuhnya, lagilah buat aku kaget. Eh, buat apa Cikgu Ihsan dekat dapur ni?
“Eh Nuha… dah solat?”
soal Cikgu Ihsan setelah anak mata kami bertembung.
Aku angguk sekali.
“Dah mandi?” soalnya
lagi. Lagi sekali aku angguk.
“Sebab tu wangi aje.” Cikgu
Ihsan gelak. Aku kerutkan dahi.
“Nuha nak tahu tak. Abang
kena denda dengan mama,” ujarnya dengan muka sedih. Sudip di tangan diletak
perlahan ke dalam periuk. Entah apa yang sedang lelaki itu masak. Tapi bau
macam sedap aje. Kejap… aku cuba untuk hidu. Macam bau stok ayam aje.
“Nuha tak nak tahu ke
kenapa abang kena denda dengan mama?” Cikgu Ihsan melangkah menghampiriku. Aku
pegun di situ menanti dia menghentikan langkah daripada terus mendekatiku. Dan
mujurlah lelaki itu melangkah setakat meja makan. Dia duduk di situ sambil pandang aku.
“Nuha tanyalah kenapa.”
Cikgu Ihsan bersuara sambil tersengih.
Aku senyum kelat. Adeh,
kena paksalah pulak.
“Kenapa ya?” Aku
ikutkan saja permintaannya. Memang aku pun nak tahu kenapa agaknya Aunty Izzah
denda Cikgu Ihsan. Denda apa?
Cikgu Ihsan tersenyum
dengan senyuman manisnya. Tak berani pula aku nak pandang muka dia lama-lama.
“Nuha tahukan mama
marahkan abang sebab ambil Nuha lambat tadi. So, sebagai dendanya, abang akan masak untuk korang malam ni. Nasi ayam Ihsan. Special menu from hot guy!” Mahu tergelak aku saat itu. Mujurlah
aku dapat tahan. Perasannya! Hot guy? Bukan
sawo matang guy ke? Iyalah Ihsan
Zuhri kan berkulit sawo matang. Betul-betul kulit orang Asia.
Tapi tak sangka ya itu
denda Aunty Izzah. Ingatkan nak denda anak bujang dia bersihkan taman bunga.
Setakat masak, senang aje tu. Tapi… pandai ke Cikgu Ihsan masak? Tengok dari
gaya macam dah pro.
“Tapi abang perlukan
pembantulah. Iron chef mestilah ada
pembantu. Sudi tak Nuha jadi penolong abang di ‘medan tempur’ ini?” Selamba
saja Cikgu Ihsan bertanya.
Tak berjawab aku saat
tu. Aku dimintanya jadi pembantu? Satu dapur masak dengan dia? Hisy, tak
naklah.
“Sudi ke tak sudi ni?”
tanya Cikgu Ihsan sambil jarinya ketuk meja.
Ya Allah, susahnya nak
jawab soalan tu. Kalau aku tak sudi, kecil hati dia nanti. Kalau aku sudi
pulak, maknanya aku kena berdua-dua dengan dia dalam dapur ni. Mana Aunty Izzah
dan Nek Som ni.
“Okeylah kalau Nuha tak
sudi tak apa. Abang tak nak paksa. Okey, abang nak teruskan masak. Karang tak
sempat siap Nuha jugak yang tak dapat merasa air tangan abang ni.” Cikgu Ihsan
bangun dengan berat. Walau suaranya ceria tapi langkahnya lemah sahaja. Dia
mesti kecewa sebab aku tak sudi tolong dia. Kan? Bukan aku tak perasan
perubahan air muka dia tu. Mesti dia kecik hati.
“Erm… cikgu nak saya
tolong apa?” Ringan pula lidah ini berkata-kata.
Pantas Cikgu Ihsan
palingkan badan menghadap aku. Dia tersenyum kembang.
“Nuha sudi tolong
abang?” tanyanya teruja.
Aku angguk saja. Tapi
ada soalan yang aku nak tanyakan pada dia. Nak pastikan yang dalam rumah ni
bukan hanya ada aku dan dia saja.
“Auntie dengan Nek Som
mana?”
“Oh, dia orang ada dekat
belakang rumah. Sibuk dengan projek menanam serai.” Dia nak teruskan langkah
namun tiba-tiba dia menjerit sambil tepuk dahi.
“Ya Allah!”
Aku pula sudah berkerut
dahi. Dah kenapa dia tu.
“Abang lupa nak buatkan
dia orang minuman. Mama dah pesan tadi buatkan sirap bandung sejuk. Aduh lupalah
pulak.” Tidak menghiraukan aku lagi, Cikgu Ihsan pantas bergerak ke kabinet dan
mencapai jug. Ligat tangannya mengacau sirap bandung untuk mama dan Nek Som.
“Nuha, tolong tengokkan
ayam tu kejap. Angkat dan toskan. Nanti dah boleh goreng dengan kicap.” Arahan
dari Cikgu Ihsan aku terima dengan patuh.
Kaki ini mula menapak
mendekati dapur gas. Bukan aku tak pernah buat nasi ayam. Senang aje ni. Pejam
mata pun boleh buat. Amboi riak. Astaghfirullahal’adzim.
“Abang pergi hantar air
ni kejap. Sambil tu Nuha buatlah apa yang patut. Beras dah abang cucikan tadi.
Tunggu nak tumis bahan aje.” Aku angguk tanda mengerti. Tugas sebagai pembantu
chef mula aku galas. Tangan mula sibuk menuangkan ayam yang direbus ke dalam
penyejat. Ditoskan ayam itu buat seketika. Stok ayam aku simpan dalam jug
berasingan.
Siap dengan bancuhan
air sirap bandungnya, Cikgu Ihsan tinggalkan aku di situ. Namun, sempat pula
dia tuangkan dua gelas air ke dalam gelas kaca.
“Satu untuk Nuha, satu
untuk abang.” Dia tersengih. Terus kakinya menapak keluar dari pintu dapur
menuju ke ruang belakang.
Aku yang sememangnya
tengah haus, terus meneguk minuman itu. Di saat air itu menyapa ke kerongkong,
keenakan mula terasa. Pandai juga Cikgu Ihsan buat sirap bandung. Manis dan
lemak susunya seimbang. Warna juga cantik. Lima bintang untuk Cikgu Ihsan.
Hehe… aku tergelak sendirian.
Terpandang pada bahan-bahan
yang sudah separuh disediakan oleh Cikgu Ihsan, buat hati kecilku memuji. Cara
dia sediakan bahan menampakkan bahawa dia memang pandai masak dan pembersih
orangnya.
Tak hairanlah dia boleh
masak mee goreng dan buatkan sandwich enak untuk dibekalkan pada aku masa di
sekolah dulu.
Teringatkan memori itu,
buat aku tersenyum lagi. Memo dari Cikgu Ihsan masih lagi aku simpan hingga ke
hari ini. Entah kenapa tangan ni gatal nak simpan. Kalau cikgu tahu, mahunya
dia perasan yang aku ni ada hati dekat dia. Hisy, tak kuasa nak fikir!
hehehe sudi jugakkk Nuha tlg cikgu Ihsan..
ReplyDeleteermmm pesaing pertama Ihsan dh muncul, kikiki
nk lg cik zu ;)
Sudi ler..karang mcm x sedar diri pulak duk kat rumah org tapi x tlg.haha..
DeletePesaing pertama?Alah watak sampingan je tu kak..jengggg
terbaik lh karya cik penulis... teruskan usaha sehingga berjaya
ReplyDelete