JOM FOLLOW

Monday, 19 May 2014

The One Who Loves You Most



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


The One Who Loves You Most.

Rabbana atina fid-dunya hasanatan, wa-fil akhirati hasanatan, wa-qina ‘azabannar. Ya Allah! Aku memohon dari Engkau kebaikan di dunia, dan aku memohon kepada Engkau kebaikan di akhirat, dan aku memohon kepada Engkau dijauhkan dari siksaan api neraka. Amin ya rabbal ‘alamin…..”

Doa yang dibaca oleh imam diaminkan oleh semua jemaah yang berada di situ. Mereka baru sahaja selesai mengerjakan solat fardhu Zuhur berjemaah.

Sambil melafazkan kalimah selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para jemaah lelaki mula bersalaman sesama mereka. Tangan Imam juga tidak lupa mereka salami. Usai bersalaman, semua antara mereka mula melangkah keluar dari ruangan musollah.

Namun,bagi budak lelaki berusia 10 tahun yang bernama Ismadi, dia masih tidak berganjak dari dalam surau. Dari air mukanya seakan-akan menunjukkan ada sesuatu yang tidak menyenangkan hati kecilnya. Ada sesuatu yang ingin diluahkan namun sukar untuk diluahkan.

“Ismadi, kenapa belum balik lagi ni?” Soalan dari Ustaz Faiz buat Ismadi terbangun dari lamunannya. Pandangannya yang sedari tadi menikam memandang pak imam yang bertugas teralih laju ke arah ustaz kesayangannya, Ustaz Faiz.

“Kejap lagilah ustaz.Saya…saya…” Tergagap-gagap pula Ismadi nak bersuara. Digaru kepala sambil matanya menjeling sekali lagi ke arah pak imam yang kembali duduk menghadap kiblat sambil mula membuka kitab. Sesaat berlalu, berkemundang suara merdu pak imam itu mengalunkan ayat-ayat cinta dari Allah. Bacaan Al-Quran pak imam itu memang sangat merdu. Sedap sungguh suaranya.

“Tak nak ngaji sekali ke?” soal Ustaz Faiz tiba-tiba.

Ismadi gelengkan kepala seraya tersengih nakal. ‘Dari aku ngaji, baik aku pergi makan. Lapar kut!’ Suara hatinya mula berbisik.

Sambil kerling pak imam yang sedang kusyuk mengaji, Ismadi mula mengundur diri. Tangan Ustaz Faiz dikucupnya penuh hormat.

“Saya mintak diri dulu ya, ustaz. Saya nak pergi makanlah. Dah lapar ni.” Terkocoh-kocoh kanak-kanak lelaki itu berlalu pergi dari Ustaz Faiz. Ustaz Faiz yang sangat mengenali anak muridnya yang bernama Ismadi itu hanya tersenyum mengizinkan. Macam-macam si Ismadi ni. Desis hati kecil Ustaz  Faiz.

“Hati-hati. Lepas makan nanti terus mandi. Lepas mandi nanti jangan lupa ada kelas tambahan kat kelas. Faham?” Sempat lagi Ustaz Faiz mengingatkan. Ismadi hanya terangguk-angguk. Seperti angin puting beliung, berdesup budak lelaki itu berlari keluar dari surau.

Di sini, di sekolah pondok ini,  tidak kira anak lelaki dan perempuan dihantar oleh ibu bapa mereka untuk menimba ilmu akhirat. Mereka semua masih muda. Paling muda berusia 6 tahun dan yang paling tua adalah pelajar yang berusia 18 tahun. Ustaz Faiz sebagai salah seorang tenaga pengajar di sini, bertanggungjawab menjaga hal ehwal pelajar-pelajar yang sudah dianggapnya seperti anak kandungnya sendiri.

Dan secara peribadinya, dia juga punya kisah dan kenangannya yang tersendiri dengan sekolah pondok ini.

Teringatkan Ismadi buat Ustaz Faiz tersenyum. Ismadi. Salah seorang anak murid yang paling nakal di sini adalah budak lelaki yang bernama Muhammad Ismadi bin Arif. Sangat nakal budaknya. Sudah kehilangan ayah, hanya memiliki seorang ibu dan seorang adik perempuan di dunia ini. Ismadi dihantar ke sini ketika dia berusia 8 tahun. Pada mulanya sikap dan kenakalan budak lelaki itu memang amat sukar dibendung. Namun, lama kelamaan, Ismadi mula berubah sikap. Semakin hari semakin baik akhlaknya. Namun, masih lagi agak suka menyakat pelajar lain. Ismadi adalah pelajar yang menceriakan sekolah pondok yang hanya memiliki 30 orang pelajar ini.

Tidak mahu memikirkan anak murid nakalnya itu Ustaz Faiz segera melangkah mendekati pak imam yang bertugas hari ini. Disapa pak imam itu dengan salam. Ada soalan yang ingin ditanyakan kepada pak imam yang banyak ilmu itu.

*********

“Weh kenapa tak makan ikan tu? Mehlah sini kalau kau tak nak.” Baru saja tangan Furqan terangkat untuk mengambil ikan kembung goreng dalam pinggan Ismadi, ‘pap’  dengan pantasnya Ismadi menampar tangan sahabat karibnya itu.

Bibir Furqan mencebik menyampah. Dia kembali menyambung suapannya sambil mulutnya terkumat-kamit membebel.

“Is, kenapa dengan kau ni? Semenjak dua menjak nikan aku tengok kau macam takde mood aje.Kau teringatkan mak kau eh.” Rahman yang turut berada di situ menegur Ismadi lembut. Betul-betul sesuailah dia bernama Rahman. Sangat pengasih orangnya. Selalu ambil berat dan membantu kawan-kawannya menyelesaikan masalah.

Ismadi masih monyokkan wajah. Dia menggelengkan kepalanya ke kiri dan ke kanan. Lantas dia mengeluh.

“Selagi aku tak dapat jawapan yang aku nak, selagi tu hati aku tak tenang.” Ucap Ismadi sebaris.

Furqan dan Rahman saling berpandangan. Namun, sebetulnya pandangan Furqan terarah tepat pada ikan kembung dalam pinggan Rahman pula. Faham dengan pandangan mata sahabatnya itu, Rahman dengan penuh pemurah meletakkan ikan kembung yang baru terusik sedikit itu ke dalam pinggan Furqan. Tersengih lebar Furqan saat itu.

Fokus mereka kembali terarah kepada Ismadi.

“Kau masih fikirkan pasal hal tu ke? Kau tanya ajelah ustaz. Habis cerita.” Rahman memberi pendapat. Dia cukup yakin bahawa ‘persoalan yang satu itulah’ yang sedang bermain di benak Ismadi.

Ismadi meraup-raup mukanya dengan penuh stress. Air dalam gelas diteguknya laju.

“Masalahnya aku malu nak tanya dengan ustaz. Dan aku tak tahu nak tanya macam mana. Kalau kau tahu, kau ajelah yang tanya ustaz.” Ismadi bersuara dengan suara serak-serak basahnya. Songkok di kepala ditanggalkan rimas.

Furqan dan Rahman sekali lagi berpandangan. Furqan hanya mampu jungkit bahu. Dia kembali kusyuk menyantap.

Rahman menggaru-garu keningnya. Jauh di sudut hatinya dia juga ingin mengetahui jawapan itu. Persoalan ini timbul sudah agak lama. Hampir satu tahun mereka bertiga memperhatikan pak cik tukang kebun yang bekerja di sekolah pondok mereka ini. Pak cik Taha. Masuk ke sini bermula dari awal tahun lepas. Hari-hari mereka bertiga melihat Pak cik Taha membersihkan kawasan sekolah pondok ini. Pak cik Tahalah yang jadi tukang kebun, dia jugalah yang jadi tukang cuci. Selain jadi tukang cuci, Pak cik Taha juga yang jadi Imam di surau mereka.

Bab Imam itulah yang agak sukar untuk Ismadi terima. Baginya, Pak cik Taha tidak layak untuk menjadi Imam di surau mereka. Pak cik Taha hanyalah seorang tukang kebun, tukang cuci yang tidak memiliki banyak ilmu agama. Dia buka ustaz. Dia bukan cikgu. Mana boleh dia jadi Imam.

Sebab itulah Ismadi tak puas hati dan ingin menyoal perkara ini kepada Ustaz Faiz. Sudah lama dia diamkan diri. Asal solat jemaah waktu Zuhur, Maghrib dan Isyak mesti Pakcik Taha yang jadi Imam. Ustaz Faiz pulak jadi makmum. Bayangkan seorang ustaz hebat seperti Ustaz Faiz jadi makmum. Sungguh Ismadi tak puas hati.

“Aku  rasa jalan yang terbaik adalah bertanyakan soalan ini kepada Ustaz Faiz sendiri. Takpun kalau kau berani kau tanya pada Pak cik Taha. Habis cerita. Tak payah kau duk pening kepala fikir. Betul tak Man?” Furqan menjilat-jilat jari-jemarinya setelah selesai menyuap nasi yang terakhir ke dalam mulutnya. Dia tersendawa kekenyangan.

Ismadi menolehkan kepala memandang Furqan. Dia mencebik. Cakap memang senang. Ugh!

“Kalau susah sangat, kita pergi tanya ustaz sama-sama. Ustaz Faiz baik. Dia takkan marah kita tanya soalan macam ni.” Rahman memberi cadangannya pula.

Cadangan Rahman buat mata Ismadi bersinar ceria. Diangguk-anggukkan kepalanya banyak kali.  Tangan Rahman digamitkan kemas.

“Set! Kau dah janji ni, Man. Kau jangan mungkir janji pulak. Esok kita bertiga pergi tanya Ustaz Faiz. Mula-mula sekali, kau Man kena tanya kenapa Pak cik Taha tu selalu jadi Imam. Dan kau Furqan tanya ustaz kenapa Pak cik Taha tu suka sangat solat dalam surau tu. Sikit-sikit solat, sikit-sikit solat. Macam dah tak makan tak minum dah aku tengok pak cik Taha tu.”

Ismadi memeluk kembali tubuh tembamnya. Bila fikir-fikir balik, Pak cik Taha memang kaki solat betul. Ya, Ismadi tahu solat tu memang dituntut oleh Islam. Ustaz Faiz pun selalu sarankan kepada mereka untuk menjaga solat fardhu dan memperbanyakkan solat sunat.

Tapi melihat Pak cik Taha, buat Ismadi terfikir seakan-akan semua solat adalah wajib bagi Pak cik Taha. Selepas setiap kali ambil wuduk, tak pernah tidak Pak cik Taha mesti solat sunat dulu. Nak kata dah azan belum azan. Hairan Ismadi dibuatnya.

Selepas azan, lagilah Pak cik Taha solat. Itu nama solat sunat rawatib. Solat sunat rawatib qabliyyah ba’diyyah semua Pak cik Taha sapu. Suka benar pak cik ni bersembahyang.

Agaknya kenapa ya Pak cik Taha suka sembahyang. Entah-entah Pak cik Taha dah tahu dia dah nak mati. Jadi dia nak kumpul pahala banyak-banyak. Pernah telahan itu terlintas di fikiran Ismadi.

“Aku tak kira, esok aku nak tanya soalan ni pada Ustaz Faiz. Apa nak jadi, jadilah!” Penumbuk dikepalnya kemas. Tekad terpasang kukuh di hati.

*******

Pagi itu, selesai kelas mengaji al-Quran di surau, Ismadi, Furqan dan Rahman meluru mendapatkan Ustaz Faiz. Mereka duduk di hadapan Ustaz Faiz sambil tersengih-sengih tanpa kata.

Perlakuan tiga sahabat itu buat Ustaz Faiz bingung. “Korang ada masalah ke nak kongsi dengan ustaz?”  tanya Ustaz Faiz dengan lemah lembut.

Furqan gelengkan kepala. Ismadi juga sama. Namun Rahman tidak. Dia anggukkan kepala penuh yakin. Lantas Ustaz Faiz tersenyum pada Rahman dan mempersilakan Rahman membuka soalan.

“Ya, Abdul Rahman.  Nak tanya ustaz apa?” Ustaz Faiz menutup cermat kitab suci al-Quran di hadapannya. Fokusnya diberikan sepenuhnya pada Rahman.

Melihat renungan mata  Ustaz Faiz yang tajam merenungnya buat Rahman tundukkan kepala.Keberaniannya tiba-tiba merundum jatuh. Takut pulak tengok muka serius Ustaz Faiz.

Ismadi menyiku lengan Rahman penuh dengan rasa kecewa. ‘Oit! Kenapa kau diam pulak. Adohai.’ Omel Ismadi kegeraman.

Dia kalihkan kepala ke Furqan pula. Sah-sah mamat tu tak dapat membantu. Furqan tetap menundukkan kepalanya tidak berani menatap wajah Ustaz Faiz.

“Kenapa semua diam aje ni.  Tak ada soalan ke nak tanya ustaz? Kalau tak ada, ustaz ada soalan untuk kamu bertiga.” Tiga sahabat itu pantas mengangkat kepala mereka serentak. Anak mata mereka bertembung dengan anak mata Ustaz Faiz.

“Ustaz nak tanya kami soalan? Soalan periksa ke ustaz?” Ismadi bertanya penuh debar. Ustaz Faiz tertawa kecil mendengar kata-kata yang terluah dari mulut Ismadi itu. Dia gelengkan kepala.

“Bukan soalan peperiksaan.Ini soalan biasa-biasa aje.” Terus lega sedikit hati Furqan, Ismadi dan Rahman mendengarnya.

Melihat anak muridnya mula menjadi tenang, Ustaz Faiz menanyakan soalan pertamanya.

“Kamu sayang Pak cik Taha?” Gulp! Tertelan perit air liur Ismadi detik itu. Furqan dan Rahman menjatuhkan pandangan mereka pada Ismadi. Dalam hati mula tertanya-tanya. Adakah Ustaz Faiz tahu apa-apa?

“Ismadi, Furqan, Rahman. Jawab soalan ustaz. Kamu bertiga sayang Pak cik Taha tak?” Ustaz Faiz seakan menekan.

Tiga sahabat itu saling berpandangan. Lambat-lambat mereka mengiyakan. Entah benar atau tidak mereka sayangkan Pak cik Taha tapi lebih baik angguk dari geleng.

“Kalau kamu sayang dia, jangan cakap yang bukan-bukan pasal dia. Ustaz terdengar perbualan kamu semalam di dewan makan. Kalau kamu nak tahu jawapan atas soalan kamu tu, kamu pergi tanya Pak cik Taha sendiri. Boleh?”

Bagai tersimbah dengan air panas, terasa terbakar muka Ismadi, Furqan dan Rahman. Rasa malu tak payah nak cakap. Ya Allah, tak sangka Ustaz Faiz dengar perbualan mereka.

Melihat air muka anak muridnya mula berubah, Ustaz Faiz cuba menenangkan perasaan ketiga-tiga budak lelaki di hadapannya itu. Bukan niatnya untuk marah atau apa, dia Cuma ingin mengajar anak-anak ini supaya tidak bercakap buruk di belakang orang. Jangan sampai menjadi umpatan pula. Lebih baik berterus terang saja. Jadi lebih berani untuk mencari sebuah kebenaran.

“Kalau korang nak tahu, ustaz juga pernah terfikirkan soalan tu dulu. Ustaz dah lama kenal pak cik Taha. Dia dah lama ada kat sekolah pondok ni. Ustaz jugak hairan kenapa mudir di sini mengizinkan dia menjadi imam sedangkan dia bukan seorang ustaz. Tapi sebab ustaz tak nak bersangka buruk, ustaz tebalkan muka tanyakan sendiri soalan ni pada mudir ustaz. Dan ustaz dapat jawapannya. Sekarang kamu bertiga pergi tanya Pak cik Taha sendiri. Korang pasti akan terharu mendengar jawapan dia nanti.”

Ismadi, Furqan dan Rahman saling berbalas pandangan. Kenapa mereka harus terharu? Apakah agaknya jawapan Pak cik Taha nanti.

*******

Tiga sahabat itu mengambil masa dua hari untuk mengumpul kekuatan untuk bertemu empat mata dengan Pak cik Taha. Petang itu selesai kelas tajwid, Ismadi mengajak sahabat-sahabat baiknya menegur Pak cik Taha yang sedang sibuk membersihkan kebun sayur kecil yang terbina di belakang surau.

Teragak-agak Ismadi mendekati pak cik Taha. Furqan dan Rahman hanya mampu mengekorinya dari belakang. Entah macam manalah perangai pak cik Taha. Mereka bertiga manalah pernah bertegur sapa dengan pak cik Taha. Entah-entah pak cik Taha ni garang orangnya. Tapi bak kata Ustaz Faiz, jangan bersangka buruk dengan orang. Apa yang kita nampak tak semestinya betul. Pandangan mata sentiasa menipu. Kenal dulu dengan seseorang tu baru kita tahu dia tu macam mana.

“Eh kalian buat apa kat sini?” soal Pak cik Taha sebaik saja terpandang tiga orang budak lelaki berdiri di hadapannya. Namun jarak mereka agak jauh. Lantas, Pak cik Taha melangkah beberapa tapak menghampiri anak-anak muda itu.

Ismadi, Furqan dan Rahman terketar lutut di situ. Mahu saja mereka larikan diri detik itu. Namun, apabila Pak cik Taha menghulurkan tangan untuk bersalaman, tak jadi mereka lari.

“Assalamualaikum, anak-anak muda.” Pak cik Taha tersenyum.

“Waalaikumussalam, pak cik…” jawab tiga sahabat itu serentak. Mereka sangat gugup saat itu. Dah macam bertentang mata dengan harimau.

“Ada apa-apa yang boleh pak cik bantu ke?” soal pak cik Taha sambil tersenyum.

Melihat senyuman Pak cik Taha membuatkan kegugupan mereka bertiga kendur sedikit.

“Kitorang… kitorang… sebenarnya…” Ismadi tergagap bersuara. Furqan diam tidak berkutik. Saat itu hanya Rahman yang mampu bersuara dengan agak berani.

“Kami ada soalan untuk pak cik.” Rahman berkata dengan nada serius. Pak cik Taha tersenyum saja. Dia akhirnya mengajak anak-anak itu mengikutnya duduk di bawah pohon angsana yang rendang tidak jauh dari mereka berdiri.

“Duduk dulu.” Arah Pak cik Taha lembut. Dengan patuh tiga sahabat itu duduk.

“Ada soalan untuk pak cik? Bunyi macam serius aje.” Pak cik Taha bercakap sambil tersenyum. Ismadi tak berganjak mata memandang wajah Pak cik Taha. Diperhatikan saja pak cik tua itu sedari tadi. Tak lekang senyuman mesra dari wajah Pak cik Taha. Tersenyum aje orang tua ni.

“Tanyalah, Is.” Rahman menyiku lembut perut Ismadi.Ismadi terus terjaga dari khayalannya dan menggelengkan kepala. Furqan yang memang terkenal dengan sikap penakutnya mula meminta diri.

“Err…maafkan aku korang. Aku nak pergi tandas sekejap. Pak cik, saya pergi tandas dulu ya.” Berdesup Furqan melarikan diri. Dah macam tak cukup tanah dia lari.

Pak cik Taha tersenyum lagi memerhatikan gelagat anak muda itu. Kedua anak muda yang masih tinggal di hadapannya diajukan satu soalan mesra.

“Nama kalian apa?” soal Pak cik Taha lembut.

Ismadi dan Rahman berpandangan buat seketika sebelum menjawab soalan Pak cik Taha. Rahman dengan penuh berani memperkenalkan dirinya dulu.

“Nama saya Abdul Rahman bin Rahim, pak cik.” Ujar Rahman penuh hormat.

Pak cik Taha terangguk mengerti. Dia tersenyum pula pada Ismadi.

“Err… nama saya Muhammad Ismadi bin Arif, pak cik.” Ucap Ismadi perlahan.

Pak cik Taha senyum lagi. Agak dia terkejut sebenarnya menerima kehadiran anak-anak muda ini. Selama ini,dia perasan juga anak-anak muda ini selalu saja mengekorinya dalam diam. Bukan Pak cik Taha tak nampak. Dia sengaja buat tidak nampak. Dia ingin lihat sejauh mana anak-anak muda itu ingin mengintipnya. Entah apa yang diintip oleh anak-anak muda ini.

“Apa nama kawan kamu tadi tu?” soal Pak cik Taha lagi. Ismadi diam saja.Rahman yang menjawab soalan itu.

“Nama dia Furqan, pak cik.”

Pak cik Taha angguk lagi. Dia akhirnya diamkan diri menanti anak-anak muda itu pula yang bertanya. Ingin dia menguji keberanian anak-anak muda di hadapannya itu bersuara.

Ismadi pandang Rahman. Rahman pandang Ismadi. Mereka saling berpandangan dan akhirnya masing-masing diam tak berkutik.

Perlakuan mereka diperhatikan saja oleh Pak cik Taha. Akhirnya orang tua itu sendiri yang bertanya.

“Kamu cakap tadi nak tanya pak cik soalan. Soalan apa ya?” Topi lusuh yang tersarung di kepala ditanggalkannya perlahan. Pak cik Taha sempat mengelap butiran peluh yang terbit pada dahinya. Petang-petang macam ni berkebun dapatlah keluarkan peluh sedikit.

“Pak cik…” Rahman menyiku lagi perut Ismadi. Ismadi tetap menggelengkan kepala.

“Mereka berdua nak tanya pada pak cik soalan yang pernah saya tanyakan pada pak cik dulu.” Tiba-tiba saja tanpa diundang muncul suara Ustaz Faiz di sebalik pokok. Lelaki itu melangkah ke arah Ismadi dan Rahman sambil gelengkan kepala.

“Maksud ustaz soalan yang mana satu?”  Pak cik Taha yang masih bingung bertanya perlahan. Sungguh dia tidak dapat agak maksud sebenar Ustaz Faiz.

Ismadi dan Rahman terdiam terus di situ. Fuh! Mujur jugak Ustaz Faiz munculkan diri menanyakan soalan itu. Takdelah mereka sesak nafas nak tanyakan soalan penting tu. Tapi sejak bila Ustaz Faiz berada di balik pokok tu?

“Soalan yang pernah saya tanya pada Pak cik Taha sepuluh tahun yang lalu. Kenapa pak cik jadi imam di surau kami sedangkan pak cik bukan seorang ustaz di sini.” Ustaz Faiz turut duduk di sebelah Pak cik Taha. Dia tersenyum.

Mendengar kata-kata Ustaz Faiz buat bibir Pak cik Taha mengukir senyuman lebar.  Lain pula bagi Ismadi dan Rahman. Jantung mereka macam nak pecah menahan debar di hati. Tak sangka Ustaz Faiz begitu berterus terang. Mana nak letak muka mereka sekarang.

“Oh jadi itu yang kamu berdua nak tanya tadi ya.” Pak cik Taha tiba-tiba bangun dari tempat duduknya.

Ismadi dan Rahman pula terpaksa mengangguk lemah. Ya memang itulah soalan mereka.

“Pak cik rasa, biarlah ustaz Faiz yang jawab soalan tu. Sebab jawapan pak cik sekarang dengan dulu sama aje. Ustaz Faiz, boleh kan?” Ustaz Faiz turut bangun. Melihat ustaz mereka bangun, Ismadi dan Rahman juga bangun tegak.

Hati Ismadi tertanya-tanya saat itu. Mengapa pula soalan itu harus dipaskan kepada Ustaz Faiz? Pak cik Taha tak sudi jawab ke?

“InsyaAllah pak cik. Nanti saya berikan mereka jawapan.” Jawab Ustaz Faiz penuh makna.

Merasa tidak puas hati dengan keadaan itu, tiba-tiba muncul soalan kedua dari bibir Ismadi. Soalan pertama tak lepas, soalan kedua wajib pak cik Taha jawab!

“Saya ada satu lagi soalan untuk pak cik.” Ujar Ismadi penuh berani. Tiba-tiba dia jadi berani pula dek kerana geram pak cik Taha tidak sudi menjawab soalannya tadi.

Pak cik Taha dan Ustaz Faiz saling tersenyum. Mereka diam seakan memberi peluang Ismadi bersuara.

“Kalau pak cik tak nak jawab soalan pertama tu tak apa. Tapi soalan ni pak cik kena jawab.  Kenapa pak cik suka sangat sembahyang? Saya dah lama perhatikan pak cik. Pak cik asyik sembahyang aje. Pak cik tak penat ke?” Usai menanyakan soalan itu Ismadi terus tertunduk dan bersembunyi di belakang Rahman. Terasa tebal mukanya melemparkan soalan itu.

“Pak cik akan jawab soalan kedua kamu ni, anak muda. Tapi sebelum tu, mari kita bersiap untuk tunaikan solat fardhu maghrib. Lepas solat, pak cik akan jawab soalan kamu ni.  Boleh?” Saat itu Ismadi hanya mampu mengangguk. Nak paksa Pak cik Taha jawab sekarang pun memang tak boleh. Melihat renungan mata Ustaz Faiz sudah cukup buat Ismadi kecut perut. Mintak-mintak Ustaz Faiz tak marah dengan dia dek kerana agak kurang sopan menanyakan soalan itu kepada Pak cik Taha tadi.

“Dah sekarang jom kita bersiap. Pak cik nak balik mandi dulu. Jumpa kat surau ya semua.” Pak cik Taha memikul cangkul di atas bahunya. Dia berjalan menuju ke bilik kecilnya yang terletak di sebelah stor sukan.

Baru saja Ismadi nak Rahman nak melangkah pulang ke asrama, Ustaz Faiz pantas menegur mereka.

“Ustaz percaya, lepas kalian dengar jawapan pak cik Taha nanti, kalian mesti akan suka berkawan dengan dia. Dan mungkin korang juga akan jadi kaki solat macam Pak cik Taha.” Ustaz Faiz tersenyum manis. Dia akhirnya melangkah dari situ meninggalkan Ismadi dan Rahman yang sedang tercengang.

Mereka juga akan jadi kaki solat? Biar betul.

*****

Selesai menunaikan solat fardhu Maghrib berjemaah, Ismadi, Rahman dan Furqan terus mendekati Pak cik Taha dan Ustaz Faiz. Pelajar lain sudah bergerak menuju ke dewan makan untuk makan malam.

Kerana terlalu teruja nak tahu jawapan Pak cik Taha, tiga anak muda itu sanggup menahan lapar demi mengetahui kebenaran yang sudah lama tersirat itu.

“Kalian tak nak makan dulu ke?” soal Ustaz Faiz sebaik saja anak muda bertiga itu duduk bersila di hadapannya.

“Takpe ustaz. Kami tak lapar. Kami dah tak sabar nak dengar jawapan pak cik.” Ismadi makin berani bersuara. Rahman dan Furqan terangguk-angguk setuju.

Pak cik Taha yang baru selesai menunaikan solat sunat sesudah Maghrib datang menghampiri Ismadi, Furqan, Rahman dan Ustaz Faiz. Mereka duduk bersila sambil berpandangan sesama sendiri.

“Dah sedia nak dengar jawapan pak cik?” tanya Pak cik Taha mesra.

Anak muda bertiga itu laju saja mengangguk. Mereka fokus memasang telinga.

Sempat Pak cik Taha mengerling ke arah Ustaz Faiz. Ustaz Faiz hanya senyum seakan mengizinkan.

Dan akhirnya, Pak cik Taha pun bercerita.

“Tadi kamu ada tanya pak cik kenapa pak cik suka sembahyang kan?” Pak cik Taha mengulang soalan. Ismadi angguk laju.

“Sebelum  pak cik jawab soalan tu, pak cik nak tanya kalian bertiga. Siapa orang yang paling kalian sayang dalam dunia ni?”

Ketiga-tiga mereka saling berpandangan. Terkejut kerana Pak cik Taha menanyakan soalan yang tiba-tiba macam tu.

“Mak dan adik saya, pak cik.” Jawab Ismadi agak yakin.

“Ayah saya, pak cik.” Jawab Rahman pula.

“Mak saya,pak cik.” Dan akhirnya Furqan menjawab.

Pak cik Taha angguk seraya tersenyum. Soalan kedua muncul dari bibirnya. Masih tidak menjawab soalan Ismadi.

“Kalian rasa siapa yang paling sayang kalian dalam dunia ni?” Sekali lagi mereka bertiga berpandangan. Ismadi mula rasa cuak dan sedikit geram apabila Pak cik Taha masih tidak menjawab soalanya sebaliknya menanyakan mereka soalan yang macam-macam.

“Mestilah keluarga kami, pak cik. Mak, ayah, adik, ustaz. Kan ustaz?” Nada suara Ismadi berubah tidak puas hati. Ustaz Faiz segera menggelengkan kepala. Dia agak tak berkenan dengan intonasi Ismadi.

Pak cik Taha senyum lagi. Dapat dia lihat anak muda di hadapannya yang bernama Ismadi ini seorang yang agak cepat melatah dan kurang sabar orangnya.

“Mak, ayah, adik beradik kita, ustaz kita semuanya akan pergi tinggalkan kita. Mereka akan mati. Orang yang menyayangi kita akan pergi buat selamanya. Jadi siapa lagi yang akan sayang kita?” Soal Pak cik Taha sambil merenung dalam wajah-wajah anak muda di hadapannya.

Saat itu Ismadi, Furqan dan Rahman terdiam lama. Mereka berfikir berat mencari jawapan di atas pertanyaan Pakcik Taha. Sempat mereka mengerling Ustaz Faiz meminta bantuan.Namun Ustaz Faiz hanya diam saja.

Melihat tiada jawapan dari anak-anak muda di hadapannya buat Pak cik Taha ingin menceritakan sebuah kisah pada anak-anak muda itu. Sebuah cerita yang akan menjawab persoalan Ismadi tentang mengapa Pak cik Taha suka bersembahyang menyembah TuhannyaYang Maha Satu.

“Di hari pengadilan iaitu di padang Mahsyar nanti. Ketika kita dipanggil menghadap Allah untuk ditimbang amal baik buruk kita, Allah akan bertanya pada malaikat. Wahai malaikat, adakah sempurna amalan solat hambaKu ini? Dan malaikat menjawab, solat hambaMu sempurna. Maka Allah akan menyempurnakan semua amalan hambaNya yang lain.” Pak cik Taha berhenti buat seketika. Tiga anak muda di hadapannya kelihatan sangat kusyuk mendengar ceritanya. Melopong mulut mereka.

Pak cik Taha kembali menyambung cerita.

“Datang pula seorang lagi hamba Allah yang lain. Ditanyakan pada malaikat. Bagaimana dengan amalan solat hambaKu ini. Malaikat menjawab, solat hambaMu ini banyak terkurangnya dari solat fardhu. Namun Allah tidak terus menghukum hambaNya. Dikatakan pada malaikat lagi, periksalah, adakah hambaku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?”

Pak cik Taha berjeda seketika. Dihela nafasnya lemah.

“Maka wahai anak muda. Pak cik ingin bertanya. Adakah kita sebagai hambaNya yang banyak berbuat dosa dan maksiat akan sempurna amalan solatnya? Sehinggakan Allah boleh melepaskan kita dengan senang di akhirat nanti?” Semua di situ terdiam sepi. Hanya desiran kipas syiling sahaja yang kedengaran.

Lama keadaan itu berlaku. Saat itulah Ismadi mengangkat muka menatap wajah sugul Pak cik Taha. Ada butiran jernih menitis ke pipi pak cik tua itu. Ismadi tercengang.

Kata-kata Pak cik Taha berlegar-legar di benaknya. Ya Allah, aku ni memang banyak buat dosa. Sembahyang fardhu pun tak cukup. Sembahyang sunat jarang sekali aku buat.Dosa dengan mak, dosa dengan cikgu-cikgu tak terkira. Adakah jalanku di akhirat nanti mudah, ya Allah? Hati kecil Ismadi berbisik pilu.

“Di usia muda macam nilah kalian kena belajar istiqamah. Banyakkan baca al-Quran. Lakukan banyak solat sunat. Solat wajib jangan pernah tinggal. Jadi seorang manusia yang berakhlak mulia. Itu aje yang menjamin kita selamat di dunia dan akhirat. InsyaAllah… Jadi sebab itulah pak cik rajinkan diri tunaikan solat. Nabi kita walaupun sudah dijamin syurga tetap kuat dan gigih sembah Allah. Kita yang banyak buat dosa ni lagilah kena banyak beribadat. Semoga Dia menerima setiap amalan kita. Amin…” Pak cik Taha bersuara lemah. Namun wajahnya masih lagi mengukir senyuman. Sebuah senyuman yang cukup sukar untuk dimengertikan.

Ismadi,Furqan dan Rahman masih lagi diam tanpa kata. Mereka sudah dapat jawapan yang mereka inginkan. Jadi itu sebab utama Pak cik Taha selalu menunaikan solat. Nampaknya mereka juga harus mengikut jejak langkat Pak cik Taha. Ustaz Faiz juga selalu berpesan. Mati tidak mengenal usia. Rasulullah SAW bersabda : " Berusahalah, kejar dunia seakan kau akan hidup seribu tahun, akan tetapiberibadahlah seakan kau akan mati esok."

Jadi, seharusnya mereka tidak mensia-siakan umur yang diberikan oleh Allah.

“Sebentar tadi pak cik ada tanya siapa yang paling sayang kalian dalam dunia ni, bukan? Kalian sudah ada jawapannya?” Tiba-tiba pak cik Taha bertanya.

Ketiga-tiga anak muda itu terdiam lagi. Mereka menggelengkan kepala serentak tanda tiada jawapannya. Ustaz Faiz juga diam saja. Dia memberi peluang anak-anak muda itu berbicara dengan Pak cik Taha. Secara peribadi, Ustaz Faiz merasa sangat bersyukur kerana Allah mempertemukan dia dengan Pak cik Taha. Pak cik Taha banyak menyampaikannya ilmu dunia dan akhirat. Menyedarkannya tentang hakikat mengapa kita harus menyembah Dia Yang Maha Esa.

“Hanya Dia yang ada untuk sayang kita. Sayang kita untuk selamanya. Tanpa mengharapkan balasan cinta, dia menyayangi kita. Dia... hanya Dia… Dialah Allah. Yang berada paling dekat dengan diri kita. Di sini…” Pak cik Taha melekapkan tapak tangan kanannya ke dada. Dia tertunduk penuh hiba.

Allah. Tuhan yang menciptakan segala-galanya.

Allah. Tidak sama dengan apa yang pernah kita lihat dalam dunia ini. Sebut saja bentuk apa pun, bentuk Allah itu tidak sama dengan apa yang akan kita sebutkan.

[Dia] Pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan bagi kamu dari jenis kamu sendiri pasangan-pasangan dan dari jenis binatang ternak pasangan-pasangan [pula], dijadikan-Nya kamu berkembang biak dengan jalan itu. Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (Q.S. Asy-Syura:11)

Allah. Allah itu dekat dengan kita. Allah itu selalu ada di hati setiap orang yang soleh dan sesiapa sahaja. Jadi, Allah selalu ada bersama kita di mana pun kita berada.

“Dan kalian nak tahu tak bila saat yang paling manis dalam sehari-harian hidup kita?” Ketiga-tiga mereka mengangguk laju. Mereka makin tertarik dengan bicara Pak cik Taha.

“Iaitu ketika kita menunaikan solat, menyembah Dia Yang Maha Esa. Kerana ketika kita solat, kita sedang berbicara dengan Allah, satu-satunya yang menyayangi kita.”

Pak cik Taha tersenyum melihat wajah-wajah yang berada di situ. Moga-moga anak-anak muda di hadapannya ini telah mendapat jawapan yang mereka inginkan. Dan semoga, sedikit ilmu yang disampaikan olehnya menjadi pedoman dalam hidup anak-anak muda di hadapannya ini.

Teringat dia masih ada kerja yang belum diselesaikan, Pak cik Taha segera berdiri.

“Pak cik ada kerja sikit. Kalian semua jangan lupa makan. Pak cik pergi dulu.” Saat itu Ismadi meluru ke arah Pak cik Taha dan memeluk Pak cik Taha kemas. Dikucup-kucup tangan pak cik Taha penuh rasa kesal.

“Pak cik saya minta maaf. Saya dah cakap pak cik macam-macam. Maafkan saya pak cik.” Perlakuan Ismadi ditiru oleh Rahman dan Furqan. Mereka benar-benar kesal telah mengata Pak cik Taha macam-macam sedangkan Pak cik Taha sememangnya seorang yang sangat baik. Tiada apa yang pelik tentang Pak cik Taha. Pak cik Taha hanya seorang hamba Allah yang ingin beribadat sebanyak mungkin kepada Tuhannya. Itu saja.

Pak cik Taha hanya mengulum senyuman. Ditepuk-tepuk bahu anak-anak muda itu. Pada Ustaz Faiz dia tersenyum sama.

“Kalian tak pernah buat salah dengan pak cik. Tiada apa yang nak dimaafkan. Sudah. Kamu semua pergi makan dulu. Pak cik masih ada kerja lagi ni.” Dengan Ustaz Faiz Pak cik Taha bersalaman. Dia terus berlalu pergi dari situ dengan senyuman yang masih terukir indah.

Apabila Pak cik Taha sudah pergi, Ismadi membuka satu soalan lagi kepada Ustaz Faiz.

“Ustaz, Pak cik Taha tu seorang ustaz jugak ke? Mesti ilmu dia banyak kan, ustaz?” Ustaz Faiz tersenyum.

“Dia bukan seorang ustaz, Ismadi, Furqan, Rahman. Dia hanyalah hamba Allah yang ingin mencari redha Ilahi. Kalau kalian nak tahu kenapa Pak cik Taha selalu jadi imam kat surau kita ni. Jawapan adalah kerana bacaan al-Qurannya lebih sempurna dari bacaan ustaz yang kalian panggil ustaz ni. Ilmunya tinggi. Tapi dia tak pernah lemas dengan pujian. Sudah, mari kita pergi makan. Nanti lewat pulak nak solat berjemaah.” Ustaz Faiz turut melangkah pergi meninggalkan tiga anak muda itu tercengang-cengang.

Ustaz Faiz sempat berpaling ke belakang memandang wajah-wajah anak muridnya.  Seandainya saja anak-anak itu tahu siapa sebenarnya Pak cik Taha sudah pasti anak-anak itu akan merasa segan untuk menegur pak cik yang baik hati itu dan makin rasa bersalah kerana telah mengata Pak cik taha macam-macam dulu.

Sebenarnya, Pak cik Taha adalah pemilik sekolah pondok ini setelah pemilik asalnya meninggal dunia. Mereka bersahabat baik. Pak cik Taha seorang ilmuwan yang berkelulusan Universiti Al-Azhar Mesir. Ilmunya tinggi. Peribadinya mulia. Tidak suka orang mengenalinya sebagai sheikh yang banyak ilmu. Cukuplah sekadar orang mengenalinya sebagai seorang pak cik tukang kebun yang sudah tua. Yang penting baginya hanya dua. Mendapat redha Ilahi dan menyampaikan sedikit ilmu yang Allah berikan padanya kepada sesiapa saja yang belajar. Ilmu tidak semestinya dijumpai dalam kelas dan diajari oleh seorang ustaz atau cikgu yang bertauliah. Cukuplah ilmu itu diajar kepada orang lain dengan hati yang ikhlas.

“Faiz, mulai dari sekarang kamu harus belajar mencintai Allah, lebih daripada kamu mencintai Ayah dan Ibu kamu…”
“Kenapa, Pak cik Taha?”
“Kerana suatu hari nanti Ayah dan Ibu kamu pasti akan meninggal dunia, sedangkan Allah tidak pernah mati. Jadi, kalau suatu hari Ayah dan ibu kamu meninggal, kamu tidak boleh merasa kesepian kerana Allah selalu ada untuk kamu. Nanti, Allah juga akan mendatangkan orang-orang baik yang akan menyanyangi kamu sepertimana ibu dan ayah kamu sayang kamu. Contohnya, pak cik, mak cik, atau jiran yang baik hati, juga teman-teman kamu. Dan mulai sekarang rajin-rajinlah belajar Iqra’ supaya nanti kamu mampu mengaji Quran. Mengaji Quran ertinya kita berbicara dengan Allah. Ingat tu, Faiz.” 
“Baik pak cik Taha… Saya akan ingat pesan pak cik sampai bila-bila. Selagi Dia mengizinkan.”
 Sampai ke saat ini Ustaz Faiz berpegang dengan nasihat penuh hikmat dari Pak cik Taha itu. Cintailah Allah kerana Allah tak pernah tinggalkan kita. Dialah yang paling menyayangi kita. Dia Ar-Rahman, Dia Ar-Rahim. Dialah Allah… Tuhan semesta alam…

TAMAT.
#Kita sayang Allah... Allah akan lagi sayang kita. InsyaAllah..

No comments:

Post a Comment