JOM FOLLOW

Monday, 8 September 2014

Suami Pilihan Dia [bab akhir]




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


BAB 12

Setahun kemudian…


“Leen…” Syamil yang baru muncul di muka pintu aku pandang dengan senyuman nipis.

Lambat-lambat lelaki itu melangkah ke katil. Aku hanya hanya mampu berbaring di atas katil, menghulurkan tangan meminta Syamil menyambut tanganku. Lelaki itu faham dan akhirnya menggamit tanganku mesra. Kami saling berbalas senyuman.

“Kenapa abang? Amin mana? Dengan mama ya?” soalku mesra.

Setahun sudah berlalu. Aku cuba untuk menerima keadaan aku yang lumpuh dan sudah kehilangan anakku. Anak yang menjadi lambang cinta aku dan Syamil. Namun Allah lebih sayangkan dia. Aku redha.

 Walaupun perit, walaupun sakit, aku tahu aku harus kuat. Siapalah aku untuk mempersoalkan takdir Allah ini. Ini semua adalah takdir untuk seorang wanita yang bernama Syazleen Afiqa binti Kamil.

Aku harus redha dan belajar untuk menerima setiap apa yang sudah berlaku. Aku beruntung kerana memiliki seorang suami seperti Syamil dan sebuah keluarga yang sangat memahami dan penyayang. Aku dijaga, aku dibelai, aku tidak dipinggirkan, aku sentiasa diberi perhatian setiap saat. Walaupun aku sudah cacat, sekurang-kurangnya aku masih lagi bernyawa dan mampu untuk hidup dalam suasana yang aman dan bahagia. Alhamdulillah. Allah tak pernah menguji seseorang melebihi kemampuan hambanya, bukan?

“Abang?” Kebisuan Syamil buat aku segera memanggilnya. Dalam hati tertanya-tanya mengapa pula lelaki itu berdiam diri seperti ini. Langsung tak jawab soalan aku tadi.

Beberapa detik berjeda, akhirnya Syamil bersuara. Sempat dia mengucup tanganku.

“Ada seseorang nak jumpa Leen. Dan abang izinkan dia jumpa Leen buat kali yang terakhir.” Kata-kata Syamil tidak jelas untuk aku faham. Siapa yang ingin bertemu dengan aku? Buat kali yang terakhir?

Tanpa banyak kata, Syamil akhirnya bangun dari birai katil. Tudung yang tersidai di ampaian di capainya lalu meminta aku menyarungkannya ke kepala.

“Siapa nak jumpa Leen abang? Lelaki ke?” tanyaku lagi sambil tanganku ligat menyarung tudung ke kepala. Pasti seseorang itu adalah lelaki. Kalau tidak masakan Syamil meminta aku bertudung.

“Leen tunggu kat sini. Abang pergi panggil dia. Abang harap lepas ni dia takkan jumpa Leen lagi. Sebab abang tak suka. Sungguh abang tak suka.” Aku pelik memandang Syamil. Serius sekali wajah lelaki itu saat itu. Kenapa pula dia tidak suka? Siapa yang nak jumpa dengan aku?

Beberapa saat berlalu, ketukan di muka pintu kedengaran jelas. Aku terus memandang ke pintu.

“Abang?” Sungguh aku merasa terkejut saat terpandangkan wajah Farhan muncul di balik pintu. Lelaki itu melangkah ke arahku perlahan-lahan tanpa kata. Pandangannya redup saja memandangku. Mukanya penuh dengan jambang, sudah tidak terurus. Kurus kering badannya tanpa dapat aku mengerti mengapa keadaan dia seperti itu.

Farhan akhirnya berdiri di kaki katil dengan masih memandangku. Aku jadi tidak selesa dengan pandangannya. Ingatanku terus terarah pada ugutan dan perbuatannya terhadap aku setahun yang lalu. Adakah kedatangan Farhan hari ini masih lagi ingin mengugut aku?

“Terima kasih Leen.” Ucap Farhan setelah lama berdiam diri. Aku bingung atas tujuan apa ucapan terima kasih itu dilafazkannya.

Farhan menarik nafas panjang sebelum menyambung kata. Yang aku perasan, lelaki itu cuba menahan getar suaranya.

“Terima kasih sebab dah lahirkan seorang zuriat untuk abang. Leen dah didik dia dengan baik. Menjadi seorang anak yang baik dan pintar. Dan abang yakin, Syamil banyak membantu Leen membesarkan Amin.”

Farhan makin sebak. Aku masih bingung mendengar kata-kata yang terluah dari bibirnya itu. Mengapa Farhan berkata penuh emosi hari ini? Tak pernah aku melihat keadaan lelaki itu seperti ini.

“Dan abang juga nak minta maaf. Abang berdosa dengan Leen. Atas segala apa yang dah abang buat pada Leen dan Amin. Abang lari dari tanggungjawab.  Abang memang bukan seorang ayah yang baik.” Air mata Farhan tak semena gugur. Saat itu, hatiku mula dijentik rasa hiba. Ini adalah kali pertama aku melihat lelaki itu menangis. Adakah penyesalan mulai timbul dalam ruang hatinya?

Perlahan-lahan Farhan melangkah menghampiriku. Dia duduk di birai katil sambil tatap mukaku lama. Cukup aku tidak selesa dengan renungan matanya itu. Aku kalih ke pintu. Aku tidak ingin Syamil salah anggap apabila melihat Farhan duduk dekat dengan aku seperti ini.

“Maafkan abang sebab dah buat Leen kehilangan anak dan…. jadi lumpuh macam ni.” Farhan memandang ke arah kedua kakiku yang tidak diselimuti kain. Kakiku kaku di situ tanpa dapat bergerak walau seinci.

“Abang betul-betul menyesal dengan apa yang dah berlaku. Sebab cemburu dan iri hati, abang tak fikir panjang lagi. Abang betul-betul cemburu melihat kebahagiaan Leen dengan Syamil. Abang dah lama tak tengok Leen gembira macam tu. Abang tahu Leen tak bahagia hidup dengan abang dulu. Sebab abang bukan seorang suami yang baik. Abang tahu….”

Farhan tertunduk penuh kesal. Air matanya diseka olehnya dengan jari. Suaranya makin hiba. Saat itu aku cuba untuk tidak merembeskan air mata. Namun aku gagal. Penyesalan Farhan buat hati kecilku rasa cukup sayu. Ini kali pertama Farhan mengaku kesilapannya. Jadi benarlah lelaki itu yang menjadi penyebab aku menjadi lumpuh. Farhan memang berniat untuk membunuh Syamil!

“Abang tahu Leen tahu abanglah yang langgar Leen dulu. Tapi kenapa… kenapa Leen tak beritahu sesiapa? Kenapa Leen tak minta polis tangkap abang?” Soalan itu tak semena muncul di bibir Farhan. Dia memandangku seakan-akan berharap benar aku menjawab soalannya itu.

Aku hanya mampu tertunduk tidak mampu membalas renungan matanya. Soalan Farhan akhirnya aku jawab dengan satu jawapan yang pasti.

“Sebab Leen tak nak abang meringkuk dalam penjara. Sebab Leen yakin, Allah pasti akan membuka pintu hati abang untuk menyesal atas apa yang dah abang lakukan. Walaupun perit, Leen redha, abang. Leen redha abang buat Leen macam ni.”

Air mata Farhan makin galak menitis. Terhenjut-henjut tubuhnya menangisi apa yang sudah terjadi.

Sungguh aku ikhlas dengan apa yang baru saja aku ucapkan tadi. Aku memang tak nak Farhan meringkuk dalam penjara. Biarlah Allah saja yang memberi pengajaran padanya. Dan andai Syamil tahu siapa yang langgar aku pada hari itu, sudah pasti lelaki itu akan membenci dan berdendam dengan Farhan buat selamanya.

Sungguh aku tidak suka pada dendam dan benci. Bila terbitnya dendam dan benci, maka kasih sayang akan terhapus. Sedangkan aku pernah baca dalam sebuah hadis Baginda Rasul mengenai kasih sayang Allah pada hambaNya.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud,

“Sesungguhnya Allah telah menciptakan makhluk, Dia tulis suatu tulisan di sampingNya di Arasy : Kasih sayangKu mengatasi kemurkaanKu.”

Jadi siapa kita untuk tidak berkasih sayang sedangkan Allah mengasihi kita lebih dari kemurkaanNya.

“Abang memang bodoh kerana sudah melepaskan seorang perempuan sebaik Leen. Seorang isteri sebaik Leen. Leen memang berhak mendapat lelaki yang lebih baik dari abang.” Perlahan-lahan Farhan bangun dari katil.

Aku pandang dia dengan pandangan sayu. Ya. Memang aku sangat bersyukur kerana Dia telah mempertemukan aku dengan Adam Syamil.

“Abang takkan rampas Amin dari Leen dan Syamil lagi. Abang takkan ganggu hidup Leen lagi. Tapi di saat abang cakap abang masihkan sayangkan Leen, ia lahir dari hati abang yang paling dalam.” Terkesima aku mendengar luahan hati Farhan.

Farhan tersenyum dalam tangisan.   “Selamat tinggal, Syazleen Afiqa. Maafkan abang. Maafkan abang…. Abang betul-betul menyesal…” Dia terus pergi setelah mengucapkan kata itu. Aku pandang langkah Farhan dengan pandangan kosong. Mulutku terasa berat untuk menghalangnya. Pergilah abang. Leen dah lama maafkan abang. Semoga abang menemui seorang wanita yang diredhai oleh Allah untuk mendampingi abang buat selamanya. Leen sentiasa doakan kebahagiaan abang.

Memaafkan bukan melupakan. Memaafkan adalah membalas kebencian dengan kasih sayang. Aku maafkan Farhan Hakimi dengan setulus hatiku..


*********

“Abang kita nak pergi mana ni?” soalku sebaik saja Syamil mengangkat tubuhku lalu dibawanya masuk ke perut kereta. Aku duduk diam di tempat duduk penumpang. Syamil menggenggam tanganku seraya tersenyum manis. Soalanku dijawabnya dengan jawapan yang misteri.

“Pergi mana? Pergi datinglah sayang. Kan Amin takde ni.” Lelaki itu tersengih lagi. Dipasangnya tali pingggang keselamatan untukku.

Aku bingung memandangnya. Pergi dating? Tiba-tiba aje. Semalam tak cakap apa-apa pun.

Syamil akhirnya duduk di tempat duduk pemandu. Enjin kereta dihidupkannya.

“Nak pergi dating ke mana? Jauh tak abang? Kenapa tak bawa Amin sekali.” Aku masih cuba mengcungkil rahsia. Entah sejak bila Syamil pandai buat suspen ni. Tapi semenjak dua menjak ini ciri-ciri romantik dalam diri lelaki itu memang agak terserlah. Hari-hari aku dapat bunga. Kata-kata cinta aku terima melalui sehelai memo yang dilekatkan pada cermin setiap pagi. Jiwang juga Syamil ni.

“Amin biarlah duduk dengan nenek atuk dia. Sekarang jom kita bertolak. Lagi cepat kita sampai, lagi bagus untuk kita berdua. Bolehlah berbulan madu untuk kali yang ke….” Syamil mengira-ngira dengan jarinya. Aku tersenyum kecil.

“Kali yang entah ke berapa.” Akhirnya jawapan itu terluah dari bibirnya. Kami sama-sama tergelak.

Dengan lafaz Basmallah, Syamil mula menggerakkan kereta keluar dari halaman rumah. Sebaik saja kereta meluncur atas jalan raya, satu soalan Syamil tujukan untuk aku.

“Sayang rasa Farhan akan ganggu kita lagi tak?” Aku terus kalih muka memandang wajah Syamil. Lelaki itu turut memandangku.

Kenapa tiba-tiba Syamil menanyakan soalan itu? Sudah beberapa bulan berlalu setelah pertemuan terakhirku dengan Farhan. Syamil ada bertanya apa yang aku borakkan dengan Farhan dulu. Dan aku sekali lagi terpaksa tidak memberitahu Syamil perkara yang sebenarnya. Biarlah kata-kata Farhan itu menjadi rahsia aku saja. Yang aku beritahu Syamil hanya satu. Farhan tidak akan merampas Amin dari kami berdua dan Farhan juga menyesal kerana telah mensia-siakan hidupku dulu. Mujurlah Syamil dapat terima apa yang aku sampaikan itu.

“Leen yakin dia takkan ganggu kita lagi abang. Leen sentiasa mendoakan kebahagiaan dia. Semoga dia bertemu dengan perempuan yang lebih baik dari Leen. Yang mampu menjaga dan menyayangi dia.” Kata-kataku buat Syamil menggamit tanganku kemas. Dikucupnya tanganku lalu dia bersuara perlahan.

“Abang sepatutnya berterima kasih kepada Farhan. Terima kasih sebab dia dah ‘melepaskan’ Leen. Dan rasa syukur abang kepada Allah tak boleh abang gambarkan dengan kata-kata. Dia dah kurniakan abang seorang isteri yang cukup baik. Dia pilih abang untuk memiliki hati Leen. Terima kasih sayang.Terima kasih sebab menyayangi abang dan menjaga abang.”

Suara Syamil hiba. Dan hati aku mula sebak.

“Leen yang sepatutnya berterima kasih kepada abang. Abang menyayangi Leen walaupun keadaan Leen macam ni. Dan abang mampu terima Leen seadanya.” Syamil mengucup tanganku buat sekian kalinya. Air mata yang terbit di tubir mataku disekanya dengan jarinya.

“Dah jangan sedih-sedih. Hari ni abang nak Leen happy. Dan abang akan penuhi setiap impian Leen hari ni. Apa saja yang Leen nak, cakap aje. InsyaAllah Adam Syamil akan usahakan.” Aku menguntum senyuman bahagia. Impian aku? Impian aku sudah semestinya ingin melihat Adam Syamil sentiasa gembira. Impian aku sudah semestinya ingin merasa sentiasa dicintai dan disayangi oleh Adam Syamil. Dan impian aku yang terakhir, aku mampu melahirkan zuriat untuk lelaki itu. Aku hanya ingin Adam Syamil gembira dan bahagia. Itu sahaja.


******

Hampir dua jam aku dan Syamil berada dalam kereta akhirnya kami tiba juga ke destinasi kami. Dan kini baru aku tahu ke mana Syamil ingin mengajak aku berdating. Ya Allah, Syamil benar-benar faham aku. Dah lama aku teringin nak kembali ke sini. Ke tempat di mana aku mengaku bahawa aku memang cintakan Adam Syamil bin Adam.

“Welcome back to Janda Baik, sayang. Alhamdulillah kita dah sampai.” Ucap Syamil sebaik saja enjin kereta dimatikan. Kereta diparkirkannya betul-betul di hadapan chalet.

Lelaki itu segera keluar dari kereta lalu mendapatkan aku.

“Terima kasih abang. Leen tak sangka abang bawa Leen ke sini.” Aku pegang tangan Syamil. Lelaki itu hanya tersenyum.

“Abang hanya nak isteri abang gembira. Dah jom kita mandi sungai. Leen teringinkan nak mandi sungai.” Syamil ingin mengangkat aku namun pantas aku menghalangnya. Terus lelaki itu pandang wajahku kebingungan.

“Kenapa?” soalnya pendek.

Aku gelengkan kepala.  “Kerusi rodakan ada. Leen kesian kat abang. Penat memandu kena pula angkat Leen yang berat ni.” Ujarku lemah. Aku betul-betul kasihan pada Syamil. Pasti dia juga sudah kepenatan.

“Abang sanggup jadi ‘kerusi roda’ Leen hingga ke akhir hayat abang.” Syamil terus mengangkat tubuhku. Dengan langkah kecil dia membawa aku ke tepi sungai yang terletak tidak jauh dari chalet.

Aku pandang wajah Syamil lama. Hati kecilku mula menangis. Kehadiran Syamil dalam hidupku benar-benar satu anugerah. Aku terasa cukup disayangi dan dicintai. Aku ingin hanya dia yang mendiami hatiku hingga ke akhir hayatku. Hanya Adam Syamil.

Ya Allah, satukanlah hati aku dan hati Syamil buat selama-lamanya. Izinkanlah kebahagiaan menjadi milik kami berdua. Kurniakanlah redhaMu ke atas kami dan keluarga kami. Hanya kepadaMu kami berserah diri.

“Sejuk tak sayang?” Suara Syamil membangunkan aku dari lamunan. Terus aku pandang mukanya yang sedang menguntum senyuman itu. Sedar-sedar saja Syamil sudah berada dalam sungai dan aku duduk di atas batu sambil kakiku terendam dalam air sungai yang cukup dingin itu.

“Sejuk. Jernihnya air sungai ni. Nah abang mandi dulu…” Memang niat nak menyakat, aku kocak-kocakkan air hingga habis terkena baju Syamil. Lelaki itu hanya tertawa ceria lalu turut mengenakan aku.

“Nah ini untuk Leen.” Percikan air terkena ke mukaku. Kami berdua saling berbalas serangan. Kebahagiaan menyapa jiwa. Melihat senyuman Syamil, buat hatiku berasa cukup-cukup gembira. Terima kasih Allah. Adam Syamil benar-benar pilihan dari Engkau Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

God doesn’t give you the people you want, he gives you the people you need. To help you, to hurt you, to leave you, to love you and to make you the person you were meant to be.

TAMAT.

#Marhaban Ya Ramadhan. Selamat berpuasa semua~ Bulan puasa ni banyak cerita nak cuba siapkan. Nak try hantar ke publisher. Doa2kan cerita Cik Penulis terpilih eh. ^^ TQ for your support.



12 comments:

  1. Gud luck bunga zu.. Semoga dipermudahkan urusan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mekasih bunga zara.. aamiinn..moga Dia redha juga

      Delete
  2. May Allah ease. Diberikan idea mencurah-curah.aamin

    ReplyDelete
  3. beruntung klau ada lelaki yg macam syamil ni. boleh bt jd suami. hehe btw wlaupun rsa nk suruh smbung jea lagi *peace* hehe tapi still berpuas hati dah. gud job sis n good luck f ur next novel. :)

    n SALAM RAMADHAN juga!!! ^__^

    ReplyDelete
    Replies
    1. Lelaki macam Syamil ade je dlm dunia ni.tapi payah nak jumpa kan?haha..
      Sambung?kbai..haha..
      Mekasih atas sokongan aina. Duk komen2 kat sini. TQ
      ^^

      Delete
  4. bagus kak. tahniah. best.. tersangat best.

    ReplyDelete
  5. Bukukan tak ni? Nak..nak..nak.. ♡♥♡♥♡♥

    ReplyDelete
    Replies
    1. huhu takde maknanye nak bukukan kak.. habis kat blog je..

      Delete