DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.
BAB 4
“Nuha… Nuha bangun sayang. Nuha…” Dapat
aku rasakan ada tangan yang mengusap-usap ubun-ubunku. Hangat usapan itu buat
aku makin lena diulit mimpi.
“Nuha… dah Maghrib ni, nak. Bangun solat
dulu, sayang.” Suara ibu menjengah ke telinga.
Mata kucelikkan perlahan-lahan. Walau
sekadar melihat wajah ibu kabur-kabur di pandangan mata, aku sudah mampu
mengukir senyuman. Apabila pandanganku seratus peratus sudah jelas, aku meluru
bangun lalu mendakap tubuh ibu kemas.
“Ibuuuu….” ucapku, rindu.
“Ya, sayang…” Belakangku terasa diusap
penuh kelembutan.
“Dah pukul berapa ni, bu?” Aku bertanya
dalam keadaan yang masih mamai.
Seingat aku selesai saja memasak di
dapur tadi, aku terus naik masuk ke bilik. Bersihkan diri, solat Asar dan
selepas itu aku terlelap. Sedar-sedar saja sekarang dah jam…
“Dah pukul tujuh setengah, nak. Nuha
penat ya. Sebab tu ibu tengok lena sungguh anak dara ibu ni tidur. Ibu kejutkan
pun tak dengar.” Bibir ibu mengukir sebuah senyuman nipis.
Dia berdiri lalu tangannya sibuk
mengutip pakaian sekolahku yang tersadai di atas lantai.
“Ibu tak payahlah susah-susah. Nuha boleh
buat sendiri.” Segera aku bangun dari katil lalu merampas uniform dari
tangannya.
“Laa biarlah ibu buat. Dah-dah. Nuha
pergi cuci muka dulu. Ambil wuduk. Kita solat sama-sama. Ibu turun kejap pergi
rendamkan baju Nuha ni.” Langkah ibu terus berlalu.
Aku masih tidak bergerak ke bilik mandi.
Sebalik aku terduduk lemah di penjuru katil. Pangkal leher kupicit-picit
perlahan. Urat-urat saraf cuba aku regangkan. Penatnya. Hari-hari aku penat
macam ni.
Awal-awal pagi lagi aku dah bangun tolong
ibu sediakan kuih-muih yang akan ibu hantar ke warung Pak Abu. Dapatlah duit
tambahan. Walaupun tak banyak tapi cukuplah untuk sara diri kami berdua. Tak
lupa menyara Mak Su Kinah sekeluarga.
Pak Su Azam dan Mak Su Kinah memang
bekerja. Duit gaji mereka adalah mereka hulurkan sedikit untuk diberi pada ibu.
Itupun puas diminta baru mereka bagi. Cukuplah guna duit tu untuk bayar bil
eletrik dan bil air. Tapi untuk barang keperluan harian, seperti sayur-sayuran,
gandum, biskut kering, beras dan lain-lain, semuanya guna duit ibu.
Kadang-kadang jajan untuk anak-anak dia orang, Akif dan Ain pun ibu yang belikan.
Ibu tak pernah merungut. Sedikit pun
tak. Buat aku tersangat kagum dengan ibu. Masih wujud lagi rupanya seorang
manusia mulia seperti ibu. Walaupun kami dilayan teruk oleh mak su dan pak su,
ibu tetap sabar dan tolong apa yang dia terdaya. Aku bangga sangat dapat
memiliki seorang ibu seperti ibu. Puan Nur Aminah binti Rasul. Wanita cekal
yang akan aku jadikan sebagai inspirasi untuk aku berjaya kelak.
“Ya Allah, budak bertuah ni. Dah ambil
wuduk ke belum tu?” Tiba-tiba suara ibu menyapa ke telinga. Aku terus berpaling
ke pintu. Sengihan manja aku hadiahkan padanya.
“Ya, ya Nuha pergi ambil wuduk sekarang.
Ibu tunggu Nuha ya.” Ibu hanya tersenyum sambil geleng kepala. Dia sudah siap
memakai telekung sembahyangnya.
Cepat-cepat aku meluru ke bilik air dan
mengambil wuduk. Seronoknya dapat solat berjemaah dengan ibu. Inilah
kebahagiaan yang aku ada. Hanya ini. Dan aku sentiasa berdoa kepada Allah agar
kebahagiaan ini menjadi milik aku sampai bila-bila.
**********
Keesokan harinya, seawal jam 6.30 pagi
aku sudah keluar dari rumah. Ibu menugaskan aku untuk menghantar kuih-muih ke
warung Pak Abu. Biasanya kami pergi bersama-sama. Tapi memandangkan ibu sudah
ada pelanggan baru, terpaksalah kami berpecah.
Alhamdulillah, ibu berjaya dapatkan
kepercayaan Pak Rahim untuk menghantar kuih-muih di warung roti canainya pula.
Donut dan kuih lopis menjadi kepakaran ibu. Sudah semestinya sedap! Selain
bekerja sebagai pembantu tukang masak, inilah kerja sambilan ibu. Jual kuih.
Aku pun tidak ketinggalan membantu apa yang patut.
Seronok juga dapat keluar awal pagi. Yalah
tak adalah aku terpaksa menghadap bebelan dan hinaan Mak Su Kinah di pagi hari.
Buat hilang mood aje. Kadang-kadang Mak Su Kinah memang sengaja nak menyakitkan
hati aku dengan sindirannya. Katalah apa saja mak su. Nuha dah lali dah dengan
semua tu!
Siap saja hidangkan sarapan, aku dan ibu
terus keluar dari rumah. Apa nak jadi pada mereka anak-beranak selepas tu, ikut
suka merekalah. Tanggungjawab aku dan ibu sudah lepas.
Sebaik saja hantar kuih ke warung Pak Abu,
aku terus menunggu bas sekolah di hujung kampung. Biasa bas sampai jam 6.45
pagi. Tepat! Aku dah masak sangat dengan jadual Pak Husin, pemandu bas sekolah
yang aku naiki.
Sampai-sampai saja di hadapan pintu
pagar sekolah, aku tilik jam. Dah masuk jam 6.55 pagi. Awalnya aku hari ini.
Biasanya pukul 7.10 barulah terkedek-kedek aku masuk ke kelas.
Melangkah saja ke pintu pagar sekolah, aku
lihat keadaan di sekeliling. Masih belum ramai pelajar yang mengerumuni kawasan
sekolah. Cuma ada beberapa kelompok pelajar yang sedang berbual-bual mesra, ada
yang bergelak ketawa, ada yang tengah baca buku. Aku pulak keseorangan,
kesepian tanpa teman.
Ah tak mengapalah. Aku sudah biasa benar
dengan keadaan tanpa kawan di sisi. Dari tingkatan 1 lagi aku memang dah
sorang-sorang. Mana ada kawan. Hanya beberapa pelajar saja yang sudi menegur
aku. Yalah kebanyakan daripada mereka menganggap aku ini hina. Anak bekas
pelacur. Anak haram. Hmm… Walaupun muka ini sudah tebal, setebal kamus dewan
menahan malu, aku tetap bertahan.
Kata ibu,
“Biarlah
orang nak kata apa saja pada kita, Nuha. Yang penting kita tahu diri kita macam
mana. Mulut orang memang tak boleh tutup tapi lama-lama mulut tu akan penat
jugak. Suatu hari nanti mereka pasti akan diam. Nuha banyakkan bersabar ya,
nak. Ingat, Allah uji kita sebab Allah sayang kita. Dia nak bagi kita pahala
sabar. Ingat tu, sayang.”
Nasihat ibu aku semat kukuh dalam hati.
Apabila Allah diletak di dalam hati, campaklah aku di mana saja, insyaAllah aku
akan baik-baik saja!
“Nuha Huda….” Mendengar ada suara
memanggilku, segera aku berpaling ke belakang.
“Assalamu’alaikum,” ucap Cikgu Ihsan
yang sedang berdiri tidak jauh dariku. Seperti biasa, akan ada segaris senyuman
indah di bibirnya.
“Wa’alaikumussalam, cikgu.” Nipis saja
senyuman yang aku hadiahkan padanya.
“Baru sampai?” soalnya sambil senyum.
Aku cuma angguk.
“Nah, ambil ni.” Tiba-tiba saja Cikgu
Ihsan menghulurkan sesuatu. Terkejut aku dibuatnya. Apa pula ni?
Dia yang segak mengenakan baju kemeja
putih berlengan panjang dan dipadankan dengan seluar slack hitam, aku pandang
dengan wajah kebingungan. Bekas plastik yang dihulurkan oleh Cikgu Ihsan aku
tatap kosong tanpa menyambutnya.
“Ambil,” arah dia lagi.
“Apa ni cikgu?” soalku ingin tahu.
“Ambil dulu baru tahu. Pastikan Nuha
baca nota yang cikgu bagi dalam bekas tu. Okey?” Aku masih lagi serba salah
untuk menyambut pemberiannya.
Melihat keadaan itu, cikgu segak itu
terus membongkokkan sedikit tubuhnya lalu meletak bekas plastik itu ke atas
jalan tar. Setelah itu, dia terus berlalu pergi. Aku nak jerit halang dia pun
manalah aku berani. Karang jadi tumpuan pelajar lain lagi haru. Mahu tidak mahu
terpaksa juga aku mengangkat bekas plastik berwarna merah jambu itu. Takkan nak
biarkan saja benda ni kat sini.
Hisy, tapi apa pula ada dalam tupperware
ni ya? Perlu ke aku buka sekarang?
Aku berpaling mencari kelibat Cikgu
Ihsan. Ternyata lelaki itu sudah jauh meninggalkan kawasan ini.
*******
Masuk saja waktu rehat, seperti yang
sudah dipersetujui semalam, aku akan menemui Cikgu Ihsan di bilik guru. Entah
apa yang ingin dibincangkan oleh lelaki itu. Dahlah pagi tadi dia bagi aku
tupperware misteri.
Sepanjang sesi pembelajaran, hati ini
meronta-ronta untuk mengetahui apa sebenarnya yang terisi di dalam bekas empat
segi berwarna merah jambu itu. Ada bau harum seakan-akan makanan yang keluar
dari tupperware tu.
Tidak pula aku berani untuk membukanya.
Yalah, manalah tahu kalau-kalau Cikgu Ihsan tersilap bagi ke. Hisy, tak faham aku
dengan perangai Cikgu Ihsan. Semalam ajak aku ikut dia duduk dekat taman sains.
Hari ni dia bagi bekas makanan. Ni waktu rehat kena jumpa dia pulak. Serius aku
tak faham!
Oleh kerana otak dah benar-benar keliru
dengan segala macam perbuatan pelik dia tu, aku bawa sekali bekas makanan ni menemuinya
di bilik guru. Bagi baliklah kat cikgu. Aku tak layak nak terima pemberian dia.
Sebaik saja tiba di bilik guru, aku
terus mencari kelibat Cikgu Ihsan. Keadaan bilik guru agak lengang pada waktu
rehat seperti ini. Ada guru yang tengah makan di kantin, ada guru yang masih
tengah mengajar di kelas masing-masing. Yang ada hanya beberapa orang cikgu
saja di ruangan ini.
Ke kiri dan ke kanan, aku mencari Cikgu
Ihsan. Berpaling ke kanan buat kali yang kedua, aku ternampak jasad lelaki itu
sedang berada di mejanya. Tengok macam sibuk aje. Boleh ke aku ganggu dia ni.
Hmm…
Serba salah kaki ini ingin melangkah
namun memikirkan lelaki itu sendiri yang mengarahkan aku menemuinya, aku
gagahkan jua.
“Assalamu’alaikum, cikgu,” sapaku sebaik
saja berdiri di hadapan mejanya.
Kepala Cikgu Ihsan terus terdongak. Melihat aku di situ, ada senyuman mengisi
bibirnya.
“Oh, Nuha. Wa’alaikumussalam. Datang
jugak awak. Ingatkan dah lupa tadi.” Eh? Aku cuba tersenyum saja mendengar
kata-kata itu. Waktu rehat baru saja bermula. Tergesa-gesa aku keluar dari
kelas semata-mata ingin ke sini menemuinya. Dia boleh cakap ‘ingatkan aku
lupa?’ Kalau lupa, tak adalah aku cepat-cepat datang jumpa dia.
“Apa tu?” soal Cikgu Ihsan tiba-tiba.
Pandanganku dan pandangannya bersatu terarah ke bekas makanan yang aku pegang.
Apa tu? Buat-buat tanya pula.
“Dah habis ke Nuha makan?” tanya dia lagi.
Aku garu kepala yang ditutupi tudung.
Nak makan apa? Buka pun belum. Oh, jadi benarlah telahan aku. Memang ada
makanan dalam bekas ni.
“Tak habis? Kan cikgu suruh habiskan.”
Dia merampas bekas itu dari tangan aku.
Hati kecil ini makin berdebar. Ya Allah,
apalah Cikgu Ihsan rasa nanti kalau tengok sikitpun aku tak jamah makanan yang
dia bagi tu. Tapi sumpah aku tak tahu dia bagi aku makanan. Agaknya juadah apa
ya?
Dengan tenang Cikgu Ihsan membuka
penutup tupperware. Mungkin melihat makanan yang dia bekalkan itu tidak
berkurang jumlahnya, mukanya terus terangkat.
“Tak luak pun? Nuha tak makan ke
sandwich cikgu buat ni?” soalnya dengan suara yang sudah lain macam.
Air liur aku telan sekali. Debar di hati
tak usah cakap.
“Err… saya… saya…” Entah jawapan yang
mana satu harus aku berikan pada dia. Ya Allah, tak ada niat pun aku nak
lukakan hati dia.
“Nuha tak suka makan sandwich?”
Aku geleng laju.
“So,
kenapa tak makan sandwich ni?” Dia bertanya lagi.
“Saya… saya…” Lidahku kelu. Jantungku
berdegup laju. Patutkah aku jujur dengannya?
“Atau Nuha tak tengok pun isi dalam
bekas ni tadi. Hmm?” Cikgu Ihsan buat telahan yang sangat tepat.
Kebisuanku yang berpanjangan buat wajah
lelaki itu berubah sedikit mendung. Dia mengeluh kecil.
“Kalau suka sandwich ni, makan. Kalau
tak suka, buang aje. Cikgu cuma nak pastikan pelajar cikgu makan waktu rehat.
Baru ada tenaga nak belajar. Itu aje niat cikgu.” Lelaki itu bangun dari kerusi
lalu pergi. Pergi macam tu aje…
Tak berkelip mata ini memandang
langkahnya yang sudah keluar dari bilik guru. Bebola mata beralih pula memandang
ke arah bekas yang berisi dengan tiga keping sandwich yang tersusun kemas. Di
atas sandwich itu terdapat sehelai kertas memo kecil berwarna merah.
Cikgu
ada buat sandwich lebih hari ni. Cubalah rasa. Lepas dah habis makan nanti, bagi
bekas ni dekat cikgu balik ya. J
Aku ketap bibir. Apa semua ni, Cikgu
Ihsan?!
#BERSAMBUNG>>>>>>>
>KOMEN ANDA AMAT SAYA HARGAI ^^
Makin menarik. Cikgu ihsan ada hati ke ngan nuha?
ReplyDeleteadeeeee..hehe..nuha je yg blurr manjang
Deletecaring sungguh cikgu Ihsan nie.. tp mesti cikgu Ihsan tau status Nuha tue kn??
ReplyDeletebiasa la perkara cm nie mmg selalu tersebar..
kalau betul cikgu Ihsan dh tau mmg tabik spring laaa kat cikgu.. ;)
Dia tahu. Tapi bukan sebab perkara tu dia nak dekati Nuha. Ada sebab lain mungkin...Mungkin sebab dia..suka Nuha?haha..sudah terang lagi bersuluh
Delete