JOM FOLLOW

Tuesday 31 March 2015

Mahsyar [bahagian 1]




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


AL-KULLIYYAH TV3
Panel : Ustaz Wadi Annuar
Tajuk : MAHSYAR


1.       Mahsyar tu kat mana?
=Mahsyar terletak di bumi yang kita diami ini namun setelah berlakunya kiamat, bentuk muka bumi akan berubah keseluruhannya.

2.       Mahsyar
= kawasan yang lapang, luas, rata, putih warnanya
= tiada lautan, tiada tumbuhan, tiada apa-apa
=semua orang akan dibawa ke Mahsyar dengan wajah yang sama ketika di dunia dulu

*kalau di dunia dulu dia mati dalam keadaan husnul khatimah, dia akan dibangkitkan dalam keadaan semulia-mulianya.
*kalau di dunia dulu dia mati dalam keadaan yang buruk. Contohnya dia mati dalam keadaan minum arak. Maka dia akan dibangkitkan dengan keadaan mabuk dan botol arak tersendeng di bahunya.

3.       Di Mahsyar, semuanya akan berada dalam keadaan telanjang. Kita tidak akan ada masa untuk memikirkan hal orang lain melainkan sibuk dan cemas fikir hal sendiri.

4.       Kita semua akan dibangkitkan dalam keadaan lapar dan dahaga yang amat sangat.
=tapi kalau dekat dunia dulu kita selalu bagi makan dan minum pada orang miskin Lillahi Taala (semata2 kerana Allah), kita akan dibangkitkan dalam keadaan yang tidak lapar dan dahaga. (Janji Allah itu benar)

5.       3 jenis manusia di Mahsyar
=a)Kumpulan pejalan kaki – berjalan menuju Mahsyar dengan berjalan kaki walaupun penat, letih, lapar dan dahaga.

=b)Kumpulan menunggang binatang yang telah disediakan oleh Allah – mereka ini golongan yang mulia kerana dimuliakan oleh Allah

=c)Kumpulan yang berjalan dengan muka mereka – kumpulan paling keji dan hina (Nauzubillah!)

6.       Semua penduduk Mahsyar dapat dengar dengan jelas percikan/letupan api neraka Jahanam – besar percikan sebesar istana atau lebih besar dari itu. (MasyaAllah!)
=maka terduduklah semua yang mendengar dan melihat keadaan neraka jahanam itu. Nabi-nabi pun terduduk sama. Takut. Semuanya takut. (Kita semua akan berada kat sana nanti!)

7.       Bagaimana Nabi Muhammad SAW mengenali umat baginda?
=Orang-orang yang berwuduk, anggota wuduknya akan bercahaya di Mahsyar nanti
=Siapa yang nak panjangkan cahayanya maka panjangkan wuduk. Contohnya kalau yang wajibnya ambil wuduk dari tangan ke siku. Maka panjangkan sedikit lagi sampai ke atas siku.

8.       Di Mahsyar nanti keadaannya bising ke?
=Tidak. Semuanya akan senyap. Kalau ada suara pun, hanya orang di sebelah sahaja yang mampu dengar.

9.       Selepas menunggu sekian lama di Mahsyar, semua mahkluk di situ (salah seorangnya kita), tidak dapat bertahan lagi. Mereka harap Allah menghisab mereka cepat-cepat. Kalau boleh, campak saja ke dalam neraka. Betapa dahsyatnya keadaan di Mahsyar itu. (Allahuakbar… L)

10.   Maka kerana itu, mereka semua mula mencari Nabi Adam as. Namun Nabi Adam menolak untuk memberi syafaat. Mereka pergi pula kepada nabi lain. Nabi lain pun sama. Sebab dorang pernah buat dosa, dorang malu nak mintak dengan Allah.


=Maka… mereka semua mula bergerak mencari Nabi Muhammad SAW (our beloved prophet). Saat itulah baginda menggunakan syafaatnya untuk meminta pada Allah agar dipercepatkan hisab. Maka Allah pun tunaikan keinginan Nabi. Hisab bermula!

11.   Setiap seribu orang dalam kalangan penduduk Mahsyar, hanya seorang sahaja yang akan dimasukkan ke dalam syurga. 999 yang akan dicampakkan ke dalam neraka. (Ya Allah, jauhkan aku dari api nerakaMU!)

12.   Apabila seseorang mati maka buku amalannya akan ditutup. Apabila dia dibangkitkan semula di akhirat, barulah buku itu dibukakan kembali di hadapan Allah.
=Penghisaban bermula. Semua amalan akan ditimbang tara. Walau sekecil-kecil zarah!

13.   Orang yang muflis di akhirat?
=Seseorang yang terpaksa memberi pahalanya kepada orang lain dan kalau dah habis pahala dia, akan ditanggung pula olehnya dosa orang tersebut.

=semuanya sebab ketika di dunia dulu dia tak bertanggungjawab pada diri, keluarga, anak, isteri, suami, dan orang-orang disekelilinginya. Contohnya seorang suami. Selama 30 tahun kahwin, tak pernah langsung tegur/nasihat/suruh isteri tutup aurat. Maka di akhirat nanti si isteri akan tuntut keadilan itu. Dia boleh sabitkan si suaminya di muka pengadilan Allah dengan mengatakan… Ya Ilahi, suami aku tak pernah suruh aku tutup aurat. Hukumlah dia ya Allah!

(Maka beringatlah akan tanggungjawab2 kita semua wahai teman. Dengan mak, ayah, anak, isteri, suami, kawan, jiran!)

Wallahualam.

BERSAMBUNG. InsyaAllah. 
*moga bermanfaat. Kalau salah, mohon betulkan.



Sunday 15 March 2015

Siapa Suka Awak! [cerpen]



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


 “Huda, apa cita-cita kamu? Sila kongsi dengan kawan-kawan semua.” Arahan lisan dari Cikgu Yati membuatkan Nurul Huda yang sedang duduk di atas kerusi segera berdiri tegak. Ada senyuman malu-malu terbit di bibirnya.

“Cita-cita saya adalah ingin menjadi seorang suri rumah tangga yang berjaya. Menjadi isteri yang solehah dan menjadi ibu yang mithali.” Jawapan dari Huda itu telah berjaya menggamatkan suasana Kelas 4 Anggerik.

“Boooo.”

“Gatalnya si Huda ni.”

“Eee kecik-kecik dah cakap pasal kahwin. Tak malu!”

Mula ada suara-suara sumbang yang memberi komen. Huda hanya buat muka slumber. Malas nak melayan rakan sekelasnya yang kebanyakkan daripada mereka memang seringkali tidak suka dengan apa saja yang dia lakukan.

“Wah bagus cita-cita kamu tu, Huda. Tapi nasihat cikgu satu aje. Sebelum kamu menjadi isteri dan ibu yang solehah, pastikan dahulu kamu menjadi anak yang solehah dan anak yang baik kepada ibu dan bapa kamu, ya, sayang? Kerana ibu bapa hanya ada satu di dunia. Tanpa mereka kita tak ada dekat dalam dunia ni. 

Ingat pesan cikgu ya, sayang?” Bahu Huda diusap lembut oleh Cikgu Yati.

Huda angguk saja menerima nasihat itu dengan hati terbuka. Sememangnya bukan Cikgu Yati sahaja yang memberikan nasihat seperti itu. Di rumah, hari-hari emak dan ayahnya menghadiahkannya nasihat serupa seperti itu. Membuatkan hatinya dan fikirannya kaya dengan nasihat. Dan syukur pada Tuhan, Nurul Huda budak berusia 10 tahun cukup senang hati mengikuti nasihat-nasihat itu. Membuatkan dia jika dibandingkan dengan kawan-kawannya yang lain, Nurul Hudalah yang paling matang.

Antara yang Huda ingat pesan emak dan ayahnya adalah…

“Nurul Huda, ingat pesan mak ni. Jadi anak yang baik, yang menyenangkan hati orang tuanya. Yang suka tolong cikgu dekat sekolah. Yang berkawan baik dengan kawan-kawan.”

“Nurul Huda, ingat pesan ayah ni. Jadi anak yang mendengar kata. Jangan buat mak dengan ayah susah hati. Selalu dahulukan Allah dalam apa juga perkara. Kalau kita letak mak ayah dan Allah tempat akhir sekali, macam mana nak berkat hidup tu.”

Itu baru dua nasihat yang terlintas di benak Huda saat ini. Sebenarnya banyak lagi.

“Okey baiklah. Huda boleh duduk. Kita tanya pulak dekat Imran Hadi. Hadi, sila bangun.” Cikgu Yati bergerak dari meja Huda ke meja Hadi. Budak lelaki paling pemalu dalam kelas. Selalu tunduk. Bermaksud selalu langgar tiang bila jalan. Erk.

“Apa cita-cita kamu, Hadi? Kongsikan dengan kawan-kawan.”

Dengan sopan Hadi bangun dari kerusi. Dia sempat mengerling sekilas ke arah Cikgu Yati sebelum kembali tunduk ke bawah.

“Cita-cita saya adalah…”

Semua budak dalam kelas bersiap sedia memasang telinga. Huda juga sama. Teringin juga dia nak tahu apa cita-cita budak si pemalu ni. Dalam kelas, Hadi lebih suka bergaul dengan budak lelaki sahaja. Budak perempuan dia cuba jauhi. Nasib baiklah bukan si Hadi ni yang jadi ketua kelas kalau tak memang payah Huda nak bekerjasama. Maklumlah dia kan penolong ketua kelas. Haruslah kena berhubung dengan ketua kelas selalu.

“Cita-cita saya adalah untuk merealisasikan semua cita-cita dan impian Nurul Huda, cikgu.”

Huda hanya angguk-angguk. Sebetulnya otak dia tidak berada di situ saat itu. Itu yang tak berapa nak perasan kata-kata keramat dari Imran Hadi tadi.

“Boleh ulang sekali lagi cita-cita awak, Hadi?” Cikgu Yati sudah mula urut dada. Dia terduduk di kerusi hadapan.

“Cita-cita saya adalah untuk merealisasikan semua cita-cita dan impian Nurul Huda, cikgu.”

Kali ini seisi kelas bagaikan mula sedarkan diri. Si ketua kelas, Ehsan yang sememangnya mudah terkejut didapati terus kejung di atas lantai dek terkejut sakan dengan pengakuan Hadi.

“Boo! Hadi pun gatal!”

“Elok kita kawinkan dorang cikgu. Dua-dua tak malu cakap pasal kahwin!”

“Meran! Aku bagitau bapak kau!”

Dalam suasana gamat dan riuh-rendah seperti perang dunia ketiga itu, Cikgu Yati sendiri tidak mampu bersuara. Kelihatan ada beberapa orang pelajar perempuan sedang membantu cikgu bertubuh agak gempal itu melangkah meninggalkan meja cikgu. Pergi bilik rawatan gamaknya. Punyalah hebat kesan pengakuan Hadi.

Masakan tidak. Imran Hadi - budak lelaki paling pemalu dalam sekolah. Paling tak suka bergaul dengan budak perempuan. Anti dengan gadis-gadis. Dengan cikgu perempuan pun dia payah nak bekerjasama.
Hari ini tercatat dalam sejarah sekolah, Imran Hadi si budak pemalu melafazkan kata-kata itu??? Hadi pasti sudah terkena demam kura-kura!

Namun dalam keadaan kacau-bilau dan huru-hara itu, secara tersembunyi ada dua pasang mata telah bertemu. Ada senyuman pula yang terukir.

Imran Hadi – Nurul Huda. Mungkinkah aka nada kisah cinta antara mereka? Tak sekarang mungkin besar nanti? Jeng jeng jeng.

25 tahun berlalu dibawa hembusan masa.

“Abah, dekat sekolahkan ada sorang budak perempuan ni suka sangat tenung abang lama-lama. Abang takutlah, abah. Dia macam marah dekat abang aje,” adu Hadi Naufal kepada abahnya, Imran Hadi.

Imran Hadi menjeling pada isterinya. Si zaujjah hanya mampu tersenyum sambil jungkit bahu.

“Mungkin dia tak cukup tidur tu, abang. Sebab tu dia tenung abang. Tak adanya dia nak marah abang. Kawan-kawan abang semuanya baik-baik belaka, kan?” Hadi angkat Naufal duduk di atas ribanya. Anak sulungnya yang berusia lima tahun ini kini sedang belajar di Little Caliph Kindergarden. Makin lama makin petah dia berkata-kata. Makin matang juga orangnya. Tak sangka isu kena usik ini yang anak bujangnya buat laporan.

“Abah, dulu masa abah sekolah, abah pernah kena tenung lama-lama dengan kawan perempuan tak?”

Dah sudah. Makin dahsyat soalan si kecil. Hadi garu kepala.

“Jawab jangan tak jawab abang. Hadi Naufal perlukan jawapan tu.” Si isteri sengaja mendesak. Senyuman nakal tidak dapat disembunyikan.

Hadi juga sama. Tergelak mendengar soalan anaknya itu. Baiklah. Jadi dia kena jawablah ni ya.

“Masa sekolah dulu, abah ni pemalu tau. Memang tak suka kawan dengan perempuan.” Hadi Naufal terangguk-angguk kusyuk mendengar kisah masa kecil abahnya.

“Abah tak pernah ditenung oleh budak perempuan tapi abah ada curi-curi tenung muka seorang budak perempuan ni.” Wajah si zaujjah di sebelah ditatap sekilas.  Hadi ukir senyum.

“Budak perempuan tu sekarang mesti dah besarkan, abah. Dia dah kahwin ke?” soal si kecil.

Hadi senyum lagi. Kahwin? Perkataan itu buat dia terimbau memori lama.

“Siapa nama budak perempuan tu, abah?” soal Hadi Naufal dengan soalan bertubi-tubi. Wajah abah dan uminya tidak lepas dari pandangan mata.

“Nama budak perempuan tu…” Hadi toleh ke kanan memandang wajah isterinya. Anggukan dari si isteri buat dia meneruskan cerita tanpa tersekat-sekat lagi.

“Hadi, awak jangan nak gatal eh! Siapa suka awak!” Terasa mahu meletup jantung Huda saat ini. Dahlah muka dah merah padam dek menanggung ejekan dari kawan-kawan. Cikgu pun join sekali. Malu, beb. Malu! Mana nak letak muka suci ni!

Hadi yang tidak berani membalas renungan mata menyala dari Huda hanya tunduk. Dia hanya mampu terus berdiri di tengah-tengah padang bola jaring itu tanpa suara. Berdiri di atas kerusi. Bukan kerana didenda oleh cikgu. Tapi didenda oleh Nurul Huda. Sob!

“Bagi saya sepuluh sebab kenapa awak nak penuhi impian dan cita-cita saya. Cepat bagi!” Huda bercekak pinggang.

Hadi tergagap-gagap nak menjawab.

“Satu!” Huda menjerit.

“Sebab saya suka awak.” Huda telan air liur. Gatal!

“Dua!” Huda jerit lagi.

“Sebab saya suka awak, Nurul Huda.” Terasa mahu tercekik Huda saat itu. Gatal, gatal!

“Tiga!”

“Saya suka awak, Nurul Hudaaaa! Empat, lima, enam, tujuh, lapan, sembilan dan sepuluh. Saya suka awak!”

“Gatalllllllllll!!!!” Bergema suara Huda di ruang yang luas itu. Budak-budak lain yang melihat keadaan itu hanya mampu menjadi pemerhati. Memang tak ada yang berani nak masuk campur kalau Nurul Huda binti Haji Yaakob mengamuk.

“Kalau tak mengenangkan awak ni budak baik, saya memang dah tumbuk muka awak tau! Sangat tak sesuai awak cakap semua ni dekat saya, wahai Imran Hadi! Kita baru 10 tahun kut. Kut iya pun nak cakap suka tunggulah dah besar nanti.”

Terusik hati kecil Hadi mendengar kata-kata Huda itu. Tidakkah gadis itu punya perasaan yang sama terhadapnya? Salah ke kalau suka pada seorang budak perempuan? Bukankah itu yang sepatutnya? Takkanlah nak suka dekat budak lelaki.

“Dah turun. Dah tamat saya denda awak.” Arahan dari Huda tidak bersambut. Hadi masih pegun berdiri di atas kerusi.

“Laa turunlah. Dah nak habis waktu rehat ni. Jom masuk kelas.” Huda mula nak melangkah. Tak kuasa nak melayan benda tak penting ni. UPSR pun belum lepas nak cakap pasal suka, cinta konon. Hadi, Hadi…

“Habis tu awak tak suka dekat saya ke?” Hadi beranikan diri bertanya tanpa mahu turun dari kerusi.

Huda berpaling. Dia pantas gelengkan kepala.

“Tak,” jawabnya pendek.

“Kalau macam tu siapa yang akan tunaikan cita-cita dan impian awak untuk jadi isteri solehah bila besar nanti?”

Aduhai. Hampir terpeleot jantung Huda mendengarnya. Tak sangka Imran Hadi sudah terkena sindrom cinta monyet.

“Itu impian saya. Pandai-pandai sayalah nak tunaikan macam mana.”

“Tapi saya tetap nak jadi orang yang tunaikan impian awak tu, Huda.”

Tskk.Huda mati kata. Macam manalah nak pujuk mamat ni.

Akhirnya dia menapak perlahan mendekati Hadi. Kepala didongakkan memandang Hadi yang lebih tinggi darinya. Iyalah mamat tu tak turun-turun dari kerusi.

“Imran Hadi, awak nak saya jawab soalan awak dengan jawapan orang dewasa ke?” Huda bertanya dengan nada serius.

Hadi angguk.

“Dengar sini baik-baik ya. Emak saya cakap, jodoh tu rahsia Allah. Sedangkan Goku juga tidak pernah tahu dia akan dijodohkan dengan Chichi. Doraemon juga tidak pernah tahu sama ada dia akan berkahwin atau membujang sampai ke tua. Jadi, dengar sini baik-baik…”

Huda tarik nafas. Wajah Hadi ditatap dalam.

“Antara awak dengan saya, kita takkan pernah tahu dengan siapa kita akan kahwin. Andai betul awak akan jadi suami saya bila kita besar nanti, satu aje saya harapkan. Awak berpegang dengan janji awak untuk tunaikan impian saya jadi isteri solehah.” Hadi sudah sengih kambing. Harapan kembali bernyawa.

“Tapi kalau kita besar nanti bukan saya yang jadi isteri awak, saya nak awak janji. Awak tetap akan tunaikan impian isteri awak tu walau siapa pun dia. Matang tak jawapan saya?” Huda sempat bertanya.

Hadi angguk laju. “Matang. Tapi pasal Goku dan Doraemon tu macam budak-budak sangat.”

Erk. Huda picit kepala. “Nak kena ulang skrip baru ke?”

“Takpe-takpe. Saya dah faham maksud awak.” Hadi sengih.Huda senyum.

“Dah selesaikan benda ni?” Huda bertanya inginkan kepastian. Jangan esok Hadi buat press conference nak ajak dia kahwin sudah.

“Dah selesai.Saya akan ingat kata-kata awak tu, Huda. Saya ni nampak aje kecik, tapi jiwa saya besar. Saya akan berusaha untuk jadi budak lelaki yang baik. Demi ibu bapa saya dan demi masa depan saya.”

Huda tepuk bahu Hadi sekali dua.

“Bagus-bagus. Kita kawan okey?”

Hadi angguk.

“Kawan.”

“Hooreyyyy!!!!” Tak pasal-pasal ada jambatan muzik dekat belakang. Budak-budak lain bertepuk tangan pada mereka. Meraikan kes Nurul Huda dan Imran Hadi sudah ditutup. Kes selesai!

“Itulah ceritanya, abang. Kisah abah dengan budak perempuan tu. Comelkan budak perempuan tu.”

“Ehem!” Si isteri dah batuk-batuk cemburu.

“Budak perempuan tu umi ke, abah?” tanya Hadi Naufal, cuba membuat rumusan cerita.

Hadi dan si isteri saling berbalas senyuman.

“Abang rasa?” Soalan berbalas soalan.

Hadi Naufal garu kepala botaknya. Dia geleng tidak tahu.

“Abah, tengok tu layang-layang.” Sepantas kilat Hadi Naufal bangun dari ribaan abahnya. Dia berlari ke tengah padang berkumpul dengan budak-budak yang bermain layang-layang. Elok cuaca hari ni. Layang-layang pun terbang tinggi.

“Jom sayang main layang-layang.” Hadi hulur tangan. Si isteri menyambutnya tanpa ragu-ragu.

“Abang belum jawab soalan Hadi Naufal tau.” Si isteri berbisik perlahan.

Hadi tersengih.

“Alah tak payah jawab pun tak apa.”

“Kenapa?”

“Sebab orang tu sekarang dah merantau jauh ke negeri orang.”

Si isteri mengangguk mengiyakan kata-kata suaminya.

Sambil memaut lengan Imran Hadi, Nurin Amira bertanya satu soalan cepumas untuk sang suami.

“Abang rasa, sekarang Huda dah jumpa ke lelaki yang dapat penuhi impian dia untuk jadi isteri solehah?”

Pertanyaan dari isterinya buat Hadi tergelak lepas. Langkah tetap diatur mendapatkan Hadi Naufal yang sudah berlari-lari anak sambil memegang tali layang-layang.

“Abang doakan moga dia berjaya bersatu dengan lelaki tu. Sebagaimana dia doakan abang untuk bersatu dengan sayang.”

Nurin Amira mengulum senyum. Nurul Huda – gadis yang telah memperkenalkan Imran Hadi kepadanya.
Selepas kejadian Hadi membuat pengakuan eksklusif itu, hubungan persahabatan antara Huda dan Hadi makin erat terjalin.

Namun semakin lama, Hadi makin resah dan rasa bersalah untuk meneruskan hubungannya dengan Huda. Semakin meningkat dewasa, Hadi sedar perasaan sukanya pada Huda kian terhakis. Benarlah Huda cakap dulu. Perasaan itu hanyalah satu cinta monyet. Hadi tidak menyangka dia tidak lagi menyukai Huda seperti waktu sekolah rendah dulu.

Mereka berkawan baik. Itu sahaja. Pada suatu hari, Hadi dipertemukan dengan Nurin Amira berkat bantuan dari Nurul Huda. Kini Nurin Amira menjadi isterinya yang sah. Dan Nurul Huda akan kekal menjadi sahabat baiknya dan cinta pertamanya.


Seoul, Korea.

“Dekat Korea ni kita makan kimchi. Bukannya makan hati macam kau, Huda!” Suara petir Raihan mengejutkan Huda yang sedang kusyuk menatap skrin laptop.

Pantas komputer ribanya itu ditutup.

“Eleh nak sorok konon. Aku dah nampaklah kau godek FB siapa tadi. Aduh mak… geram pulak aku tengok kau ni, Huda. Suka tapi tak cakap. Berpeganglah sangat dengan konsep teman tapi mesra kau tu. Kan dah melepas.”

“Hisy diamlah kau, mak nenek.” Huda menjerit geram. Dia berdecit.

“Apa? Nak marah aku? Silakan. Sebelum kau marah aku baik kau marahkan diri kau sendiri. Sebab apa? Sebab kau minah stupido yang rela lepaskan seorang lelaki yang baik yang selama ni suka dekat kau.” Raihan makin bersyarah hebat. Habis dikeluarkan hujah-hujah dan dalil-dalilnya.

“Dia suka dekat aku waktu sekolah rendah dulu aje, An. Dah besar ni, hati dia dah berubah. So buat apa aku nak cakap aku suka dia. Kalau aku cakap pun, bukan dia nak balas cinta aku.”

Raihan geleng. Dia duduk di sebelah Huda sambil gosok bahu sahabatnya itu lembut.

“Hmm… tak jadi aku nak sembur kau lebih-lebih tau. Kisah kau memang touching. Tapi jangan risau. Aku ada ubat untuk hilangkan kesedihan kau.” Raihan bersuara ceria.

Huda yang monyok tidak langsung buat muka teruja. Malas dia nak melayan. Hatinya masih terluka jugaklah tengok kebahagiaan rumahtangga Imran Hadi dan Nurin Amira.


Pejam celik pejam celik sudah lima tahun mereka berdua tu berkahwin. Anak dah sorang. Bahagia aje keluarga dorang tu. Dalam redha, Huda tetap rasa kecewa setiap kali melihat kebahagiaan yang berjaya Hadi dan Nurin raih. Redha apanya kalau macam ni. Hmm… mungkin perasaan kecewa tu hadir sebab Imran Hadi adalah cinta pertamanya. Jadi payah nak hakis.

Al-kisahnya…. waktu sekolah rendah dulu sememangnya Huda sudah menyukai Hadi. Tetapi tidak mungkin dia menjadi gadis gedik untuk mengaku perasaannya. Maka dia mula bersahabat dengan Hadi. Dengan harapan ada jodoh antara mereka. Bermaksud Hadi akan setia dengan kata-katanya. Dah besar nanti mamat tu akan melamar dia. Mereka akan hidup happy ever after.

Namun takdir Allah bukan begitu. Tuhan telah menetapkan bukan Nurul Huda yang menjadi pelengkap rusuk Imran Hadi. Antara mereka hanya ada istilah saudara seIslam dan sahabat baik.

Huda terima takdir itu. Namun dalam penerimaannya, dia akur untuk tidak lagi berada dekat dengan Hadi. Kerana itu dia menyambung pelajarannya ke Korea Selatan. Bukan kerana dia peminat tegar K-POP atau drama-drama Korea namun kerana membawa hatinya yang terluka dan kecewa. Moga penghijrahannya ke sini dapat membuatkan dia menjadi insan yang lebih redha. Semua ini adalah kehendak takdir. Huda tahu dia tidak patut terus berduka lara. Allah pasti akan menyediakan sesuatu yang lebih baik untuknya di masa akan datang. Sabar. Itulah kuncinya.

“Eh jomlah. Nak pergi ke tak ni? Tadi bukan main angguk. Tapi tak gerak-gerak jugak minah ni.” Raihan sudah bersiap dengan beg tangannya. Shawl hitam yang terbelit di kepala dikemaskan bagi lebih rapi.

“Nak pergi mana? Aku takde moodlah.” Huda menolak. Sejuk-sejuk macam ni pun nak keluar minah ni.

“Laa keluar jumpa budak freshielah. Berkenal-kenalan dengan diorang. Manalah tahu ada budak freshie segatal Imran Hadi yang dulu-dulu tu.” Raihan jungkit kening. Dia tergelak jahat.

Bantal busuk yang sememangnya sudah berada dalam pelukannya pantas Huda lemparkan tepat mengena ke muka Raihan. Mati terus gelak sakan Raihan. Dia tarik muka masam sambil cebik bibir.

“Freshie-freshie. Arghhh! Bosannya aku. Nanti mesti Prof. Cha mintak aku buat macam-macam. Bajet aku ni duta Korea.” Prof Cha merupakan pensyarah Bahasa Korea yang mengajar Huda dan Raihan di kolej. Sangat ramah orangnya. Sampaikan sanggup belajar bahasa Melayu semata-mata nak borak dengan budak Malaysia. Terutama budak nama Nurul Huda.

“Alah takpelah. Anggaplah itu sebagai amal jariah kau dekat adik-adik freshie. Arasso?”

Huda hanya cebik malas.

“Dah bangun cepatlah ahjumma. Karang suhu makin sejuk kau jugak  yang kena demam kura-kura.” Raihan tarik kasar lengan Huda memaksa gadis itu bangun.

Dengan malas dan terpaksa, Huda bangun juga akhirnya. Disarung malas selendang bawal bidang 50 ke kepala. Kiri dan kanan selendang dipin. Baju sejuk disarungkan ke badan. Beg galas dicapai lesu.

“Jangan duk fikir sangat pasal Meran Hadi tu. Dia dah bahagia dengan isteri dia. Sekarang kau pun kena bahagia. Ingat, Nurul Huda. Kau belum jumpa lagi dengan lelaki yang nak dibuat suami untuk kau realisasikan impian kau jadi isteri solehah. Ayuh kita cari calon itu! Aja-aja fightinggg, beb!”

Huda sengih sekadar ambil hati Raihan. Otaknya menerawang memikirkan misi yang Raihan perkatakan tadi. Ada benarnya juga.

Imran Hadi sudah berbahagia dengan keluarganya. Aku juga berhak bahagia. Aku kena cari kebahagiaan aku sendiri. Kalau bukan Hadi lelaki tu, aku kena terima. Itu janji aku dengan Hadi dulu. Jadi sekarang aku kena mula cari bahagia aku. Tapi… ada ke orang nak dekat aku. Nurul Huda yang tidak berapa cantik dan agak garang ini? Hati kecil Huda bercakap sendirian.

Langkah diatur mengikut Raihan menuruni anak tangga. Dewan tertutup bagi pelajar Falkulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi di Seoul National University menjadi destinasi kedua-dua anak gadis itu. Dekat sana nanti sebuah kisah bakal terlakar. Mungkinkah…?

TAMAT.

#Moral of the stori. Kalau suka cakap suka. Kalau saling suka cepat2 ler nikah ^^ Dan ingat! Untuk bertemu dengan jodoh yang betul, Allah pasti akan pertemukan kita dengan jodoh yang salah dulu. Untuk? Untuk bagi hikmah buat kita.

Monday 9 March 2015

Tuhan Berikan Aku Cinta [cerpen]




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Suasana di SMO tengah hari ini agak lengang tanpa kunjungan pelanggan. Yang ada hanya beberapa orang pelanggan yang datang untuk membeli bahan bacaan. SMO – Syarikat Muda Osman, merupakan sebuah kedai buku yang kini mula dikenali oleh ramai peminat buku.

Kedai buku ini sangat terkenal di Kuala Terengganu, di mana di sini tiada kedai buku Popular atau MPH. Yang ada hanya beberapa kedai buku kecil dan salah satunya adalah SMO.

Aku Hadi. Muhammad Hadi bin Abdullah. Jejaka bujang berusia 28 tahun yang baru saja mendapat kerja tetap di sini. Tamat saja SPM aku tidak menyambung pelajaran sebaliknya lebih suka mencari kerja-kerja di luar. Dengan keputusan SPM yang sememangnya teruk, maka lebih baik aku terus mencari kerja untuk menyara keluargaku. Aku pernah bekerja sebagai pelayan restoran, tukang cuci, budak penghantar surat, mekanik, dan pernah juga bekerja di supermarket.

Di usia 28 tahun ini, aku nekad untuk mencari kerja tetap yang boleh menampung kehidupanku sekeluarga dengan lebih meyakinkan. Berkat bantuan dari seorang kawan baik, aku diterima bekerja di sini. Kini sudah hampir setahun aku bekerja di kedai buku. Alhamdulillah aku amat senang bekerja di sini. Di kelilingi oleh kawan-kawan sekerja yang baik dan saling menghormati.

“Selamat datang ke SMO.” Aku menyapa mesra seorang gadis kecil molek yang menapak masuk ke ruang SMO. Gadis itu tersenyum padaku lalu menundukkan pandangannya. Dia terus melangkah ke rak novel.

Aku senyum saja sambil garu kepala. Kerja buatku aku teruskan. Buku-buku yang baru sampai disusun mengikut tema.

“Sakit perut. Mama, adik sakit perut. Mama…”

Cuping telinga capang ku mula menangkap suara kanak-kanak perempuan merengek sakit perut. Kepala kujengah ke hadapan. Selang satu rak di hadapanku, seorang budak perempuan berdiri di situ sambil menekan-nekan perutnya.

Memandangkan pekerja lain sedang sibuk dengan kerja mereka, dan aku sahaja yang paling dekat dengan budak perempuan itu, aku mula melangkah ke arahnya. Namun tidak sempat kaki ini bergerak panjang, gadis kecil molek yang aku sapa sebentar tadi terlebih dahulu menuju ke arah budak itu. Aku jadi diam pegun memerhatikan dia.

“Adik, mama adik mana?” soal perempuan bertudung litup itu. Solehahnya… sempat pula hati ku memuji.

“Mama suruh adik tunggu dia dekat sini. Adik sakit perut. Adik nak pergi tandas.” Budak perempuan bertudung warna oren itu mula merengek dan menangis. Sudah. Perlu ke aku masuk campur?

“Erm mari kakak temankan adik pergi tandas.” Gadis bertudung itu mula angkat kepala bagai mencari sesuatu. Melihat keadaan yang terdesak itu aku tahu aku kena masuk campur.

“Cik boleh guna tandas staf. Untuk emergency tak apa.” Aku bukan memandai. Tapi ini memang ada dalam polisi syarikat.

Gadis itu tersenyum lalu mengangguk. Pantas dia memimpin tangan budak perempuan itu. Aku pula pantas bergerak menunjukkan pada mereka arah tandas.

“Eh siapa tu?” Sedang aku menunggu gadis bertudung dan budak perempuan itu keluar dari tandas yang berada di belakang bangunan, aku menunggu mereka di kaunter. Dan soalan itu muncul pula dari Fakri, kawan sekerja merangkap kawan satu sekolah waktu tingkatan lima dulu.

“Entah. Budak kecik tu nak ‘membuang’. Perempuan tu pulak sudi tolong.” Aku jawab bersahaja.

Tak pasal-pasal Fakri jadi busybody. “Solo lagi ke ek perempuan tu. Solehah aje aku nampak.”

Kali ini aku jungkit bahu. Sejujurnya dalam hati aku pun memuji gadis itu. Cukup menutup aurat pakaiannya. Akhlak dengan budak-budak pun MasyaAllah, penyayang. Perempuan macam nilah sesuai dibuat isteri.

“Tapi biasanya perempuan solehah macam ni dah bersuami.” Fakri bersuara lagi.

Aku pandang dia lalu pandang pula ke arah pintu. Dua gadis itu belum keluar.

“Mungkin dia belum berpunya.” Entah kenapa aku menyedapkan hati.

Fakri tepuk bahu aku agak kuat. Terus aku jeling dia.

“Amboi kau ni, Hadi. Ada hati ke nak kahwin muda? Tak menyesal? Tak nak enjoy dulu?”

Aku sengih lalu geleng lalu angguk. Fakri buat muka terkejut.

“Aku nak enjoy tapi dengan yang ‘halal’. Maksud aku isteri aku yang sah. Kahwin muda orang kata banyak manisnya. Syaitan pun nangis kalau kita ‘halalkan apa yang haram’, bro!” Kali ini bahu Fakri pula yang menjadi mangsa hempukanku.

Fakri mendengus. “Tapi kau jangan lupa. Kahwin muda juga banyak dugaannya. Dan banyak kes penceraian berlaku dalam kalangan pasangan muda-mudi. Eh, kau berkenan ke dekat perempuan tadi tu? Nak aku mintak nombor dia?” Fakri yang sememangnya terlebih berani memikat si gadis mula menghulurkan bantuan.

Aku? Aku hanya mampu tersenyum segan. Dalam hati kata nak tapi bibir hanya mampu terkunci rapat. Sumpah aku segan nak jadi jejaka desperate!

“Erm terima kasih ya.” Muncul suara gadis tadi di hadapan kami berdua. Aku dan Fakri mula mati kutu.

“Err…  ya sama-sama. Dik, dah lega ke?” Sengaja aku buat-buat ramah pada budak perempuan itu. Sejujurnya nak tengok si gadis bertudung litup itu aku tersangatlah segan.

“Mama!” Budak perempuan itu tiba-tiba saja meluru ke arah pintu utama. Aku, Fakri dan gadis bertudung itu mula memandang ke arah yang sama.

Oleh kerana suasana kedai buku agak sunyi tanpa ramai pelanggan, dapat aku dengar dengan jelas bicara budak perempuan yang sudah lega ‘membuang’ itu dengan mamanya. Dicerita perihal kakak baik hati yang menolongnya.

“Terima kasih ya, dik. Akak pergi farmasi dekat sebelah kedai ni tadi. Tinggalkan Husna dekat sini pilih buku. Tak sangka dia boleh sakit perut. Tadi elok aje.” Mama kepada budak perempuan itu bercakap mesra dengan gadis bertudung litup.

Gadis itu lebih banyak senyum daripada bercakap. Keadaan itu buat aku terleka pula. Astaghfirullah. Tak jaga pandangannya aku ni.

“Salam kakak. Cakap terima kasih dekat kakak lagi sekali.” Arahan dari mamanya budak perempuan itu ikut patuh. Gadis bertudung litup senyum lagi. Bagi aku senyumannya sangat indah. Alahai… kalau ikutkan nafsu gelojoh mahu saja aku suruh si Fakri minta nombor telefon.  Tapi itu bukan cara aku. Aku lebih rela berdoa pada Allah andai si gadis itu memang untuk aku, pertemukanlah kami buat kali yang kedua. Dan andai kami benar-benar ada jodoh, permudahkan urusan kami untuk bersatu di dalam redhaNya. Macam pasrah aje kan. Hmm…

Saat hati mula mengucap ‘aamiin’ atas doa itu, telinga ini tiba-tiba menangkap suara seorang lelaki baru masuk ke SMO. Dia menegur si gadis bertudung litup?

“Sayang dah beli buku tu? Jumpa ke?”

Terasa pecah berderai seperti kaca hatiku saat ini.

Gadis bertudung litup itu melintas di hadapanku sambil berpimpin tangan dengan seorang lelaki berkopiah putih yang aku pasti merupakan suaminya!

“Buku tu sayang tak sempat cari. Tadi ada sorang budak perempuan nikan, bang….”

Pantas saja aku berpaling membelakangi mereka berdua. Tidak lagi aku mahu mendengar perbualan mesra antara suami isteri itu. Tapak tangan mula kulekap kemas ke dada. Ya Allah, sakitnya…

“Sabarlah Hadi. Setiap orang ada jodoh masing-masing. Hmm jangan patah semangat, bro!” Fakri muncul seraya menepuk-nepuk belakang aku.

Aku cuba mengukir senyuman. Namun rasa kecewa itu pantas benar bermukim di jiwa.

Beberapa saat juga aku berjeda. Nafas ditarik lalu dihembus panjang. Saat akal dan hati mula bekerjasama mengatakan ini semua adalah ujian dan percaturan dari Ilahi, akhirnya aku mampu senyum kembali. Demi Allah hati aku terasa sakit seketika tadi. Tapi mujurlah ia cuma sementara. Tidak sempat bernanah atau menjadi parut kekal.

Orang cakap ada dua sebab kenapa Allah pertemukan kita dengan seseorang. Pertama untuk uji hati kita. Kedua dia memang benar-benar jodoh kita.

Kalau suka tak semestinya cinta. Kalau cinta tak semestinya  ada jodoh. Kalau ada jodoh takkan ke mana jua. Jodoh tu rahsia Allah. Dia akan temukan kita dengan insan yang salah pada mulanya. Dan insyaAllah akan menemukan kita dengan insan yang sesuai di pengakhirannya. Kerana Dia sayang kita. Janganlah sesekali kita menjauh dariNya.

Kehidupan ini terlalu banyak yang perlu difikirkan. Yang terpenting bukan siapa yang dapat jodoh cepat. Tetapi siapa yang paling bertaqwa padaNya. Jodoh – yang pasti jodoh kita dengan kematian pasti akan tiba. Jodoh – jodoh dengan manusia juga tidak semestinya akan kekal selama-lamanya. Jodoh – benar-benar sebuah rahsia Allah SWT.

Tuhan berikanlah aku cinta. CintaMu yang paling aku dambakan. Kerana aku yakin, saat aku mendapatkan cintaMu, cinta makhluk lain pasti akan menyusul kemudian. Kasih sayang, perhatian, kejujuran, kesetiaan, semua itu adalah cinta.

Kisah cinta paling pendek di dunia adalah apabila seseorang itu mendapat cinta dari Tuhan dan akhirnya kebahagiaan menjadi miliknya buat selama-lamanya.

Tuhan berikan aku cinta-Mu.

Yang tulus mencintaiMu;
Muhammad Hadi Abdullah.

*TAMAT*