DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.
BAB 17
Tidur nyenyakku
terganggu apabila telinga ini menangkap bunyi ketukan beberapa kali di luar
bilik. Bebola mata kugosok-gosok perlahan. Kucapai jam yang terletak di bawah
bantal. Jarum jam menunjukkan 5.30 pagi. Hisy, siapa pula yang ketuk pintu bilik
seawal ni? Aunty Izzah ke?
Aku bangun dari katil.
Tuala di tempat penyidai aku capai lemah lalu kusarungkan ke kepala.
Sebaik saja tombol
pintu kupulas, aku kuak daun pintu perlahan.
“Assalamu’alaikum Nuha.
Sorry kak long ganggu pagi-pagi
ni.” Suara Kak Inas menyapa. Bibirnya
terhias senyuman mesra.
Aku yang masih mamai
melemparkan riak kebingungan. Ada apa Kak Inas datang ke bilik aku seawal ni
ya?
“Wa’alaikumussalam, kak
long. Erm, kenapa kak long….” Aku tercari-cari ayat yang sesuai.
Namun tidak sempat aku
bersuara lebih lanjut, Kak Inas lebih dulu memberitahuku sesuatu.
“Mama suruh kak long
kejutkan Nuha. Kita orang nak solat Subuh berjemaah. Nuha pergilah bersiap-siap
dulu. Lepas dah bersihkan diri, turun ke musolla ya.” Kak Inas senyum lagi.
Kepala secara automatik
kuanggukan. Oh, nak ajak solat berjemaah rupanya. Dah Subuh ke.
“Kalau macam tu kak
long turun dulu. Nuha pergilah bersiap.” Kak Inas mula melangkah. Aku segera
menghalangnya dengan satu pertanyaan.
“Erm… kak long…” panggilku
perlahan.
Kak Inas berpaling.
“Ya?”
“Boleh Nuha mandi dulu
tak?”
Kak Inas kerut dahi.
Namun dia angguk kepala sekali. “Nuha tak sejuk ke mandi pagi-pagi macam ni?”
soalnya pula.
Aku geleng lalu menguntum
senyuman. “Dah biasa dah,” jawabku pendek.
Kak Inas angguk lagi. Sempat
dia mengusap bahuku. Setelah itu dia terus berlalu turun ke tingkat bawah.
Aku pula tidak
berlengah lagi. Terus aku kunci pintu bilik dan masuk ke dalam bilik mandi.
******
Selesai solat Subuh
berjemaah yang diimamkan oleh Abang Kamal, aku diarahkan oleh Aunty Izzah untuk
berehat dalam bilik. Katanya aku perlukan lebih rehat kerana tengah hari nanti
katanya dia akan membawa aku membeli-belah dan ronda-ronda satu Kuala Lumpur.
Melihat wajah ceria
Aunty Izzah buat hati kecilku teringat pada wajah ceria ibu. Ibu juga seorang
yang ceria walaupun hidupnya banyak menderita. Dibenci dan dicaci oleh adik
kandungnya sendiri. Bukankah itu derita yang paling menyakitkan? Tapi ibu kuat.
Dia tersenyum menghadapi takdirnya.
Semalaman aku berfikir
mengenai satu perkara. Aku guna nasihat ibu untuk mengadu masalahku kepada yang
di atas.
Kudirikan solat sunat
hajat dan solat istikharah. Aku perlukan jawapan untuk menyelesaikan masalah ku
ini.
Daripada pembacaan aku
dalam sebuah majalah Islam, tanda-tanda solat istikharah kita terjawab adalah
apabila kita merasa tenang dengan keputusan yang kita buat. Tiada lagi
ragu-ragu. Yang ada hanyalah… redha dengan keputusan yang dibuat. Dan
Alhamdulillah Allah menjawab permintaanku dalam satu malam.
Aku rasa inilah jalan
yang terbaik untuk aku hadapi. Walaupun keputusanku ini agak tamak dan bagaikan
mementingkan diri sendiri, namun inilah yang aku perlu lakukan demi melihat
diri sendiri mengecapi kejayaan. Kejayaanku, kejayaan arwah ibu.
Dan aku akan bergantung
pada seorang lelaki untuk mencapai cita-citaku itu. Seorang lelaki yang dulunya
seorang cikgu yang muncul mengejut dalam hidupku dan sekarang dia menjadi
lelaki yang sudah meluahkan perasaannya terhadapku.
Cikgu Ihsan. Aku ada
beberapa syarat untuk dia. Aku harap dia mampu mematuhi syaratku andai dia mahu
aku terus tinggal di rumahnya ini. Andai dia tidak mahu mengikut syarat aku,
aku akan pergi dari sini dan mencari kejayaanku sendiri. Aku nekad.
*******
“Assalamu’alaikum…”
Salam terlafaz di bibir. Aku menapak perlahan-lahan masuk ke ruang dapur.
“Wa’alaikumussalam. Eh,
Nuha. Nuha buat apa dekat sini? Kenapa tak rehat dalam bilik?” Aunty Izzah yang
sibuk mengoreng sesuatu dalam kuali segera mendapatkan aku. Tanganku seperti
biasa digamitnya mesra.
Aku hanya pandang Aunty
Izzah dengan senyuman. Pada Kak Inas dan Nek Som yang turut berada di situ
turut aku hadiahkan senyuman selamat pagi. Cuba untuk tunjuk kemesraan.
“Nuha bosan, auntie.
Biarlah Nuha tolong dekat dapur ni.” Aku mencapai pisau di atas meja lalu
kucapai pula bawang putih. Tak sempat aku mengopek kulit bawang, Aunty Izzah
merampas perlahan pisau dari tanganku. Aku kerut dahi.
“Tak payahlah, Nuha. Nuha
tetamu dalam rumah ni. Malulah auntie kalau tetamu buat kerja. Lagipun nanti
kalau Ihsan tengok, marah pulak dia nanti.” Aunty Izzah bersuara sedikit
serius.
Aku garu kepala. Kenapa
pula Cikgu Ihsan perlu marah.
“Betul tu, Nuha. Marah
pulak cik abang sorang tu tengok ‘bakal’ dia buat kerja berat-berat.” Kak Inas
bersuara ceria. Ada tawa menyusul di hujung katanya.
Nek Som pula hanya
tersenyum. Wanita tua itu kelihatan sibuk dengan kerjanya.
Aku makin kurang faham.
Bakal? Bakal apa maksud kak long ni. Erm… kejap. Aku rasa aku mula sedikit
faham dengan situasi ni. Adakah itu bermakna Cikgu Ihsan sudah memberitahu
semua orang dalam rumah ini mengenai perasaannya terhadapku? Ya Allah, malunya
aku. Jadi mereka tahu Cikgu Ihsan suka aku?
“Dik, boleh tak kak
long tanya satu soalan?” Tiba-tiba Kak Inas bertanya. Aku ragu nak mengangguk
tapi aku angguk juga. Soalan apalah agaknya tu.
“Apa pendapat Nuha
tentang Ihsan Zuhri. Dia tu ada ke memiliki ciri-ciri jejaka idaman hati Nuha.”
Erk.
Soalan ‘minta nyawa’ muncul lagi. Help me…
“Hisy, kak long ni. Apa
pulak tanya Nuha soalan macam tu. Segan dia kak long.” Auntie Izzah menggeleng
pada anak sulungnya. Kak Inas senyum senget. Dipaut lengan mamanya dengan
manja.
“Alah kak long teringin
sangat nak tahu, ma. Manalah tahu Nuha ni betul-betul dapat jadi bakal adik
ipar kak long,” kata Kak Inas sambil senyum pada aku.
Aku dah makin tak
senang duduk. Kejap. Apa Kak Inas cakap tadi. Manalah tahu aku ni betul-betul
dapat jadi bakal adik ipar dia? Itu bukan ke bermakna yang mereka semua masih
belum tahu Cikgu Ihsan suka aku. Iya kan? Mereka belum tahu? Dah tu kenapa
mereka seronok sangat usik aku dengan perkataan ‘bakal’ tu.
“Kan best kalau Nuha betul-betul jadi adik
ipar kak long dengan kak ngah. Jadi menantu bongsu keluarga ni. Si Ihsan tu
bukannya bertambah muda. Kak long nak carikan jodoh untuk dia, dia sibuk cakap
nak cari sendiri. Entah perempuan macam mana yang dia nak pun kak long tak
tahu, Nuha.”
Kak Inas membebel sakan
pasal adik bongsunya. Nek Som yang turut berada di situ tiba-tiba menyampuk
sekali.
“Mungkin dia tunggu
Puteri Hang Li Po versi moden kut kak long. Ihsan tu bukan boleh percaya
sangat.”
Mereka bertiga termasuk
Auntie Izzah tergelak ceria. Pandai betul Nek Som buat lawak ya.
“Adui mak. Lawaklah Nek
Som ni. Ada ke patut Hang Li Po versi moden. Tak pernah disebut orang Nek Som
oi.” Kak Inas makin galak gelak.
Bila keadaan dah
kembali tenang, Kak Inas pandang aku lagi sekali dan dia cakap sesuatu yang
boleh aku rumuskan sebagai ‘ayat pancing’ untuk aku minat dekat adik bongsu dia
tu.
“Bila Ihsan cakap dia
nak bawa balik seseorang yang istimewa ke rumah ni, kak long dah dapat agak dah
yang seseorang tu mesti seorang perempuan. Seseorang yang cukup istimewa dalam
hati dia. Tapi…”
Aku tunduk tapi telinga
tetap aku pasang luas-luas. Tapi apa ya. Suspenlah pulak.
“Tapi Ihsan tu manalah
nak mengaku. Dia cakap Nuha ni istimewa sebab Nuha pelajar dia. Pelajar
kesayangan. Tengok tu guna pun perkataan kesayangan. Lagi nak nafi-nafi. Kan
mama, kan Nek Som…”
Nek Som angguk beberapa
kali. Auntie Izzah pula diam dari tadi. Entah kenapa dia diam aje. Dia tahu
sesuatu ke? Sesuatu yang dah berlaku antara aku dan Cikgu Ihsan?
“Ihsan tu jejaka sweet versi sopan. Caring. Suka budak-budak. Memang bahagialah siapa-siapa yang kahwin
dengan dia.” Kak Inas pandang aku. Aku pandang dia. Aku kena bagi respon ke?
“Dah, dah. Kak long
pergi tolong Nek Som masak. Karang tak siap breakfast
kita semua.” Auntie Izzah mula bersuara setelah lama berdiam diri.
Kak Inas buat muka tak
puas hati. Namun dia tetap berdiri. Nek Som pula lebih dulu menyambung
kerjanya.
“Okey. Tapi perbualan
ni belum tamat lagi tau, dik. Kak long dapat rasa ada sesuatu yang dah berlaku
pada hati adik bongsu kak long tu. Belum pernah dia bersungguh nak bawa balik
seorang perempuan ke rumah ni. You must
be a special one.” Kak Inas usap pipiku lembut. Dia ukir senyuman penuh
makna. Tak menunggu lama dia terus bergerak meninggalkan ruang dapur. Katanya
nak ke bilik nak pergi tengok anak-anak.
Kalut dengan ayat terakhir
Kak Inas tadi aku segera capai pisau. Menggigil tangan ni cuba kupas bawang
putih. Hati tak payah cakap. Dah macam nak meletup. Kalaulah Kak Inas tahu yang
adik dia tu memang suka aku dan siap lamar aku. Apa agaknya yang akan jadi.
“Nuha suka Ihsan?”
Terhenti terus
kupasanku. Soalan ‘mintak nyawa’ muncul buat sekian kalinya. Habislah ‘nyawa’
aku hari ni.
Lambat-lambat aku tatap
wajah Aunty Izzah. Muka tanpa riak wanita itu buat hati kecilku berdebar lain
macam. Soalan auntie lebih menakutkan dari soalan Kak Inas tadi. Ya Allah,
adakah Aunty Izzah sudah tahu bahawa aku telah menolak cinta anak bongsunya
itu?
“Satu hari Ihsan call auntie.” Apabila aku diam lama, Aunty
Izzah pula yang bersuara. Saat itu aku tetap diamkan diri tanpa berani
memandang wajahnya lagi. Aku tertunduk dan pasang telinga.
“Dia cakap dia dah
jumpa. Auntie tanya dah jumpa apa. Nuha tahu dia cakap dia jumpa apa?” soal
Aunty Izzah kepadaku.
Sudah semestinya aku
tidak tahu. Lantas kepala kugelengkan perlahan.
Aunty Izzah tersenyum.
Tanganku kembali digamitnya. “Jumpa si pelengkap hati dia.”
Jawapan Aunty Izzah
buat jantungku hampir luruh. Si pelengkap hati Cikgu Ihsan? Siapa?
“Ihsan memang rapat
dengan auntie. Semua benda dia nak cerita dekat auntie. Dia cakap perempuan
yang dia suka tu muda tujuh tahun dari dia. Terkejut jugak auntie masa tu.
Auntie tanya siapa orang tu. Dia cakap budak perempuan tu… pelajar dia.”
Perut tiba-tiba senak
lain macam. Budak perempuan yang Auntie Izzah maksudkan mungkinkah merujuk
pada… aku?
“Sikap budak perempuan
tu yang suka termenung di tempat rahsinya buat Ihsan rasa tertarik untuk
mengenalinya lebih dekat. Makin lama, Ihsan cakap dia makin pasti dengan
perasaannya. Auntie setuju aje dengan siapa pun pilihan Ihsan. Yang penting
perempuan tu mampu menyayangi Ihsan dan menjaga Ihsan dengan baik.” Air liur
yang ditelan terasa makin kelat dan berpasir. Auntie Izzah dah bagi green light pada si bongsunya untuk
mendirikan rumah tangga? Sebab tu Cikgu Ihsan berani lamar aku.
“Dan budak perempuan tu
sekarang berada depan auntie. Nuha Huda, si pelengkap hati Ihsan Zuhri.” Daguku
dipegang lembut oleh Aunty Izzah.
Aku makin kejung tak
mampu membalas renungan matanya. Kenapa besar sangat harapan Auntie Izzah. Aku
yang masih cuba mencari kebahagiaan ku sendiri dimintanya membuat hidup Cikgu
Ihsan bahagia?
“Nuha mampu sayang Ihsan
sepenuh hati Nuha, kan?”
Saat itu aku rasa
darahku tidak mengalir lagi. Andai ditoreh dengan pisau, pasti tiada cecair
merah yang keluar.
Sungguh aku takut
melihat kesungguhan dan pengharapan dari Aunty Izzah. Aku dapat lihat dengan
jelas dari sinar matanya. Penuh harapan agar aku membalas cinta anak lelakinya.
Tahukah dia bahawa aku
sudah pun menolak cinta anak bujangnya itu?
BERSAMBUNG>>>>>
Harapan suci murni nk2 dr org tua jgn dipersiakan..
ReplyDeleteBaiklah..huhu
Delete