DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.
BAB 6
Dayang menahan debar.
Bagaikan tidak percaya saja saat ini kakinya sudah menjejak halaman ‘istana’
milik Tuah Dzulkarnain.
Sungguh dia tidak
menjangkakan bahawa lelaki itu bakal menjemput dia sekali menghadiri majlis
hari lahir Puan Sri Jamilah. Siapalah dia. Tak layak dia turut hadir. Kerana
jemputan mengejut ini, Ibu Orked juga jadi terkejut sama. Tak sangka Dayang
bakal keluar malam lagi.
Tapi apa yang Dayang
mampu lakukan lagi. Tuah datang mengejut menjemputnya. Dan lelaki itu siap
minta izin dan menjelaskan perkara sebenar kepada Ibu Orked. Mahu tidak mahu
terpaksa juga Ibu Orked memberi izinnya. Dengan syarat, pulang ke rumah sebelum
jam 10 malam. Dan Tuah setuju.
“Masuk, Dayang.” Ujar
Tuah sebaik saja daun pintu ditolak.
Sebaik saja pintu rumah
dikuak, Dayang cuba mencari tetamu yang lain yang turut hadir. Namun, seorang
manusia pun dia tak dapat jumpa. Kemana semua orang pergi?
“Malam ni bonda hanya
nak sambut majlis hari lahirnya dengan saya, dengan awak dan Mak Usu Lijah aje.
Untuk kita-kita aje.” Tuah tersengih. Dayang berkerut dahi. Untuk kita-kita
aje?
“Jom saya bawa awak
jumpa bonda. Bonda mesti dah tak sabar-sabar nak jumpa awak.” Tuah
mempersilakan Dayang melangkah. Gadis yang mengenakan baju kurung moden bertema
merah jambu itu kelihatan cukup cantik di matanya. Entah bila mereka mampu
untuk bersatu. Ya Allah, sungguh aku cintakan dia. Hati kecil Tuah berbisik.
Dayang dan Tuah mendaki
naik menuju ke tingkat dua rumah banglo itu. Di atas sana, Puan Sri Jamilah
sudah menunggu calon menantunya dengan perasaan yang tidak sabar-sabar lagi.
“Assalamualaikum,
bonda.” Sapa Tuah sebaik saja melihat bondanya sedang berdiri di ruang tamu di
tingkat dua itu.
“Waalaikumussalam,
anakanda Tuah.” Puan Sri Jamilah tidak mampu menahan perasaannya lagi. Dia
meluru mendapatkan gadis yang berdiri di sebelah Tuah.
“Assalamualaikum, Puan
Sri. Selamat hari lahir.” Dayang menyalami hormat tangan Puan Sri Jamilah.
Namun, tubuhnya ditarik pula oleh wanita itu. Mereka berdakapan erat.
Tuah perhatikan saja
perbuatan bondanya itu. Sudah diberitahu kepada bondanya tentang rancangannya.
Jangan ceritakan apa-apa pada Dayang. Buat masa sekarang, biarlah mereka
berpura-pura bagai tiada apa-apa yang terjadi.
“Jadi inilah setiausaha
baru Tuah ya?” soal Puan Sri Jamilah seraya mengajak Dayang duduk ke sofa.
Dayang angguk sekali.
Dia menguntum senyuman.
“Cantik orangnya. Sopan
pulak tu. Hmm… beruntung siapa dapat beristerikan Dayang.” Muncul ayat itu dari
mulut Puan Sri Jamilah. Terus Tuah terbatuk saat itu.
Puan Sri Jamilah buat
muka selamba. Sikit pun dia tidak kisah dengan renungan dari Tuah.
“Suka kerja dengan
Tuah?” soalnya lagi.
“Alhamdulillah semuanya
baik saja, Puan Sri.” Jawab Dayang malu-malu. Teringat pada hadiah yang
dibawanya, Dayang segera menghulurkan hadiah tidak seberapa itu kepada Puan Sri
Jamilah. Harap wanita itu menyukainya.
“Selamat hari lahir,
Puan Sri. Harap sudi terima hadiah tak seberapa dari saya.” Ujar Dayang sopan.
Puan Sri Jamilah sempat
pandang Tuah. Tuah hanya jungkitkan bahu. Dia sendiri tidak menyangka Dayang
membuat persiapan untuk bondanya.
“Terima kasih, nak.
Mestilah bonda suka. Hisy, tak payahlah Dayang panggil bonda Puan Sri. Panggil
aje bonda. Ya, sayang?” Tangan Puan Sri Jamilah mengusap lembut tangan Dayang.
Dayang jadi segan pula.
Takkanlah nak panggil bonda. Tak sesuai tu. Tak selesa pula baginya. Baru jumpa
dah panggil bonda. Sedangkan hakikatnya dia tetap pekerja kepada kedua beranak
ini.
“Makanan dah siap ke,
bonda? Jomlah kita makan. Tuah dah lapar ni.” Tuah menukar topic. Sebelum
bondanya bertanya pelbagai soalan pada Dayang, lebih baik rasanya dia mengheret
topic lain pula.
Puan Sri Jamilah
menjeling tajam pada Tuah. Dia faham anak lelakinya itu tidak mahu dia bertanya
banyak. Ah… tidak kisahlah. Yang penting sekarang dia sudah mampu bertentang
mata dengan bakal menantunya. Sangat-sangat dia berpuas hati.
“Yalah jom kita makan.
Dayang pun mesti dah laparkan?” Puan Sri Jamilah memaut lengan Dayang untuk
mengikutnya turun. Hadiah pemberian Dayang dikelek sama.
Tersenyum lucu Tuah
melihat gelagat bondanya. Lega hatinya dapat melihat wajah bahagia bondanya.
Kehadiran Dayang benar-benar satu rahmat untuk keluarga mereka.
Sesampai di ruang
makan, Dayang terkejut dengan hidangan yang terhidang. Tidak terlalu banyak
lauk pauk yang tersedia namun lauk-pauk itu agak mewah. Seakan-akan dimasak
oleh chef hotel lima bintang saja.
“Jemput duduk, Dayang.”
Tuah menarik kerusi untuk Dayang selepas menarik kerusi untuk bondanya.
“Terima kasih, tuan.”
Ucap Dayang segan. Hisy, tak payahlah susah-susah tarik kerusi. Sampai ke saat
ini masih lagi dia bingung. Kata nak sambut majlis hari jadi, tapi takde rupa
atau mood nak sambut majlis hari jadi pun. Belon-belon atau kek hari jadi pun
Dayang tak nampak. Tetamu yang lain lagilah tak ada. Pelik sungguh. Tapi tidak
pula dia berani untuk bertanya.
++++++
“Terima kasih, Dayang.”
Ucapan ‘terima kasih’ dari Tuah buat Dayang berpaling ke arah lelaki itu.
“Terima kasih? Kenapa?”
soal Dayang pula. Kereta yang dipandu oleh Tuah sudah pun diparkir di hadapan
halaman rumahnya. Habis saja majlis hari lahir yang cukup-cukup peribadi itu,
Tuah terus menghantar Dayang balik. Lega Dayang dengan tindakan lelaki itu.
Jangan di bawa dia ke mana-mana sudah.
“Terima kasih sebab
sudi hadir ke majlis hari jadi bonda saya. Walaupun untuk kita-kita aje tapi
saya tetap rasa sambutan kali ni paling menggembirakan hati saya.” Tuah
tersenyum. Dayang juga senyum nipis.
Mereka berdua melangkah
keluar dari perut kereta. Sampai ke pintu Tuah menghantar Dayang pulang.
Suasana antara mereka
jadi senyap sunyi. Masing-masing seakan-akan kelu untuk berbicara. Saat itu
hanya bunyian unggas dan cengkerik saja yang menghiasi ruang antara mereka.
“Ehem-ehem… Erm…” Tuah
berdeham kecil. Wajah Dayang ditatap sekilas.
“Esok hujung minggu.
Awak tak pergi mana-mana ke?” tanya Tuah ingin tahu.
Dayang pantas
menggeleng. “Duduk rumah aje temankan ibu.” Sungguh keadaannya terasa sangat
kekok detik itu. Tidak elok rasanya mereka berbual berdua-duaan seperti ini.
Kalau orang kampung nampak apa pula kata mereka nanti. Tapi untuk mengarahkan
Tuah pulang, Dayang tidak punya keberanian. Takkan nak halau bosnya pula.
“Jadi awak memang
takkan pergi mana-mana esok?” tanya Tuah lagi.
Dalam diam Dayang
mengeluh hampa. Bila lelaki ni nak balik ni.
“Erm… kalau ada urusan
penting baru saja keluar. Ibu tinggal sorang aje kat rumah.” Jawapan Dayang
buat Tuah mengangguk kecil.
Kedua-dua tangan
dimasukkan ke dalam poket seluar. Otaknya ligat berfikir pelbagai soalan untuk
ditanyakan pada Dayang. Tidak sanggup rasanya malam ini berlalu begitu saja.
“Tuan… Erm… dah lewat
ni.” Mahu tidak mahu, terpaksa juga Dayang melafazkan kata itu.
Wajah Tuah sedikit
berubah. Terus ditilik jam di pergelangan tangannya. Dia tersengih sumbing.
“Oh, tak perasan pulak.
Sorry. Erm… saya balik dulu.” Menyedari maksud sebenar Dayang, Tuah terus
meminta diri.
Saat itu Dayang hanya
mampu tersenyum. Mujurlah lelaki itu mengerti maksudnya.
“Okey. Assalamualaikum…
Jaga diri baik-baik.” Tuah senyum.
“Waalaikumussalam. Tuan
pun pandu kereta baik-baik.” Ujar Dayang pula.
Dia masih berdiri di
muka pintu sehingga majikannya itu masuk ke dalam kereta. Apabila kereta Tuah
mula bergerak meninggalkan halaman rumah, barulah Dayang melangkah masuk ke
dalam rumah dengan senyuman manis terukir di bibirnya.
+++++++
“Ibu….” Dayang menegur
Ibu Orked yang masih terjaga di biliknya.
Tangan tua Ibu Orked
dikucup oleh Dayang.
“Macam mana majlis tu,
nak. Seronok?” tanya Ibu Orked sambil senyum. Lega hati kecilnya apabila anak
muda bernama Tuah itu menepati janjinya. Bawa pulang Dayang sebelum pukul 10
malam.
“Bolehlah. Tapi Dayang
pelik sebab orang lain takde. Dayang aje tetamu dorang.”
“Ya ke? Kenapa pulak
macam tu? Dorang tak jemput tetamu lain ke?”
Dayang jungkit bahu.
Sungguh dia tidak berani menanyakan soalan itu pada Tuah. Tak naklah dia dicop
suka menyibuk urusan peribadi lelaki itu.
“Entahlah, bu. Dayang
tak berani nak tanya Tuan Tuah tadi. Erm, ibu haus tak? Nak Dayang buatkan
minuman? Susu?” Dayang bangun dari birai katil. Selimut yang menutupi separuh
badan Ibu Orked dirapikannya kemas.
Ibu Orked menggeleng
saja. “Tak payahlah, nak. Ibu tak dahaga pun. Dayang pergilah berehat.” Mereka
berdua saling berbalas senyuman mesra.
Dayang terus mengatur
tapak menuju ke biliknya.
Di bilik, dia duduk
termenung seketika di hujung katil. Teringat pada lelaki bernama Tuah
Dzulkarnain, bibirnya mula terukir dengan sebuah senyuman. Andai saja lelaki
itu orang biasa-biasa saja, sudah pasti dia berani untuk menyulam impian untuk
hidup bersama lelaki itu. Tapi sayangnya, lelaki itu ibarat seorang putera raja
yang tinggal di istana besar. Sudah pasti hanya mencari seorang wanita yang
setaraf dengannya. Pipit dengan enggang masakan mampu terbang seiringan.
*bersambung*
“Sesungguhnya
Allah mengasihi orang-orang Yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang Yang
sentiasa mensucikan diri.” (Al-Baqarah: 222)
No comments:
Post a Comment