JOM FOLLOW

Wednesday, 10 September 2014

Terlewatkah Cinta Kita? [BAB 5]




DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.


BAB 5


Keesokan harinya, Dayang berdebar menantikan hari pertamanya bekerja sebagai seorang setiausaha kepada tauke besar seperti Tuan Tuah. Dia hanya mengenali jejaka itu sebagai Tuan Tuah yang berasal dari keluarga bangsawan namun lebih memilih untuk menjadi petani moden. Selebihnya Dayang tidak berminat untuk ambil tahu. 

Oh satu perkara yang Dayang tahu lagi adalah ramai pekerja wanita di sini yang tergila-gilakan lelaki itu kerana wajahnya yang kacak dan berstatus anak Tan Sri. Hmm… seakan-akan saja wajah yang rupawan dan harta yang banyak mampu melahirkan kebahagiaan yang abadi. Tidak sama sekali!

“Ehem-ehem. Jauh termenung pagi-pagi ni.” Terperanjat besar Dayang dengan sapaan itu. Habis terjatuh beg plastic dari tangannya.

Tuah yang merasa bersalah kerana telah memeranjatkan gadis itu segera membongkokkan badannya mengambil isi yang sudah terkeluar dari beg plastic hitam yang terjatuh dari tangan Dayang tadi.

“Apa ni?” soal Tuah setelah melihat bekal makanan yang terisi dengan nasi lemak terkeluar dari beg plastic itu.

“Erm… nasi lemak, tuan.” Ujar Dayang sedikit gugup. Macam mana pula aku boleh tak perasan dia ada kat sini? Omel Dayang sendirian.

Tuah dan Dayang sama-sama berdiri. Mereka sama-sama menjatuhkan pandangan pada nasi lemak yang masih selamat berada dalam bekas lutsinar yang dipegang Tuah.
“Untuk saya ke?” Sengaja Tuah menduga.

Lambat-lambat Dayang mengangguk. Tuah terus jadi kaget. Untuk aku? Soalnya sendirian.

“Untuk saya? Betul?” Tersenyum lebar Tuah detik itu. Belum apa-apa dia dah dapat merasa air tangan gadis pilihannya ini.

“Erm… ibu yang suruh saya berikan pada tuan. Ibu berterima kasih kepada tuan sebab ambil saya bekerja sebagai setiausaha.” Kata-kata itu buat senyuman Tuah sedikit mengendur. Dia menganggukkan kepala beberapa kali. Jadi dari ibunya Dayang. Hmm….

“Tapi awak yang masak kan?” Masih tidak mahu mengalah, Tuah menduga. Teringin sekali dia merasa masakan dari air tangan Dayang. Pasti lazat.

“Erm… ya saya yang masak. Harap tuan sukalah nanti. Kalau tak sedap saya…”

“Mestilah sedap.” Tuah mengatur tapak menuju ke mejanya. Disuakan bekas lutsinar ke hidungnya. Wanginya.

“Sebab awak yang buat.” Sambungnya lagi. Tidak menunggu lama dibuka penutup bekal itu dengan lafaz Bismillah. Tersembur aroma wangi nasi lemak ke lubang hidungnya. Tuah senyum lagi.

Dayang mengorak langkah satu persatu mendekati meja majikannya itu. Melihat lelaki itu seakan gemar dengan masakannya itu, hatinya menjadi sedikit lega.

“Jemput makan tuan. Erm… nak saya buatkan minuman ke?” soal Dayang tiba-tiba.

Saat itu hanya Tuhan saja yang tahu betapa senangnya hati Tuah. Kepalanya terus mengangguk laju.

“Boleh jugak. Buatkan saya kopi. Jangan manis sangat ya.” Dayang tersenyum faham. Dia sudah bersedia untuk melangkah keluar dari ruangan itu menuju ke kantin kilang. Namun, langkahnya terhenti apabila Tuah menghalangnya.

“Tunggu dulu, Dayang.” Tuah menghalang.

Dayang berpaling.

“Tak payah pergi jauh-jauh. Tu awak tak nampak ke dapur mini saya tu? Hmm?” Tuah angkat kening. Kepalanya terteleng ke kanan ofis.

Dayang turut sama memandang bahagian itu. Dan ternyata memang benar ada sebuah cabinet kecil, sebuah peti sejuk kecil dan alat pemanas air. Semuanya cukup lengkap.

“So apa tunggu lagi. Buatkan saya kopi untuk sarapan saya ni. Lepas ni awak ikut saya pergi kolam ikan. Okey?” Tuah berkata serius. Laju saja Dayang mengangguk faham.

Semalam apabila keluar saja dari bilik Tuah, dia terus diserbu oleh Mak cik Ita. Apa yang mampu dibuat oleh Dayang lagi selain berterus terang. Dikata pada Mak cik Ita bahawa dia sudah diambil bekerja untuk menjadi setiausaha kepada tuan mereka. Terkejut besar Mak cik Ita saat itu.

Terus Dayang dapat satu cerita dari wanita tua itu. Kata Mak cik Ita, semalam Tuah ada datang mencarinya di kilang. Apabila diberitahu dia sedang bercuti dan diberitakan akan bertunang, terus lelaki itu mengajak Mak cik Ita ke rumahnya. Sungguh Dayang terkejut dengan kenyataan itu.
Mungkinkah kerana penawaran kerja ini yang menyebabkan Tuan Tuah datang mencarinya sehingga ke rumah? Atau atas sebab lain? Hmm… Dayang takut untuk bertanya.


++++++++

“Awak pernah datang ke sini ke sebelum ni?” soal Tuah sebaik saja pacuan empat roda yang dipandunya menghentikan rentak di hadapan pintu masuk kawasan kolam ikan keli miliknya.

Dayang di tempat duduk sebelah dipandang sekilas.

Lambat-lambat Dayang mengangguk. “Pernah. Sekali aje.” Ujar Dayang lalu tersenyum.

Tuah senyum sama. Hatinya benar-benar sudah jatuh cinta dengan gadis sopan ini.

“Sekali aje? Bila tu?” Ingin sekali perbualan mereka ini berterusan tanpa ada tanda untuk berhenti. Sepanjang perjalanan selama lima minit dari kilang ke kolam ikan ini, Tuah tak habis-habis bertanya kepada Dayang. Bermacam soalan termasuk dah berpunya ke belum. Dan ternyata Dayang berkata jujur. Belum!

“Erm… masa tu saya hantarkan pesanan Abang Rashid. Dia pesan pisang goreng dengan ABC.” Ujar Dayang jujur.

Tuah menggosok-gosok dagunya. Pisang goreng dan ABC? Itu bukan baru beberapa yang lepas ke? Akhirnya Tuah hanya mampu tersenyum nipis. Jodoh pertemuan sememangnya dari Allah. Selagi Tuhan tidak membenarkan mereka bertemu, walau sedekat mana pun jarak mereka, mereka tetap tidak akan bertentang mata.

“Okeylah jom kita gerak. Saya nak tunjukkan awak keadaan terkini kolam ikan kita.” Mereka sama-sama keluar dari badan kereta.

“Hari tu awak tahu kan kes kolam ikan kita ni?” Tuah sekadar bertanya. Dayang menganggukkan kepala.

“Tahu, tuan. Saya ada dengar dari pekerja-pekerja lain.” Jawapan Dayang membuat Tuah mengeluh lemah. Tanpa kata lagi, dia mengajak Dayang mengikutnya.


+++++++

Kaki dilunjurkan ke hadapan. Pangkal leher dipicit-picit dengan hujung jari. Dayang merebahkan badannya ke tilam. Sambil memandang atap rumah, dia mengukir senyuman kecil. Teringat pada lelaki bernama Tuah Dzulkarnain itu membikin hari Dayang pada hari ini menjadi sedikit lain macam.

Sikap majikannya itu yang suka bertanya dan dalam masa yang sama suka bergurau buat Dayang menyenangi lelaki itu. Ingatkan Tuan Tuah yang selama ini dia dengar dari pekerja lain yang katanya cukup serius, sememangnya tak reti untuk bercanda mesra. Tapi tidak. Tuah pandai juga buat lawak bodoh.

Hari pertama bekerja sebagai setiausaha tidaklah terlalu ralat bagi Dayang. Mungkin kerana kerjanya senang sahaja. Mengikut Tuah ke kolam ikan dan melihat keadaan terkini kolam ikan keli itu. Alhamdulillah setakat ini keadaan kolam itu kembali pulih seperti biasa.

Dayang berharap agar dia mampu bertahan dengan pekerjaan barunya. Walaupun ia mendapat perbualan hangat di kalangan pekerja, Dayang hanya mampu berkata jujur. Sejujurnya, Tuah sendiri yang menginginkan seorang setiausaha. Dan sudah ditakdirkan dia terpilih. Jadi, usahlah ada pula mulut-mulut yang kurang enak bersuara nanti.

Sebelum melelapkan matanya, Dayang sempat menoleh jam pada dinding kayu. Jam menunjukkan pukul 10.30 malam. Teringat pada ibu angkat kesayangannya, Dayang rajinkan diri untuk bangun semula dari katil. Dia menuju ke bilik Ibu Orked.

Langsir disingkap perlahan. Melihat ibunya sudah pun memejamkan mata, Dayang tersenyum lega. Tahu ibunya sudah tidur, barulah Dayang mampu untuk memejamkan mata.

Dia kembali ke biliknya dan menamatkan hari ini dengan bacaan doa tidur dan bacaan tiga Qul.


+++++

Dua hari kemudian…

“Ini mangga gred B. Belum masak sepenuhnya. Masak ranum-ranum aje. Macam senyuman awak. Ada manis, ada masam…” Dayang mengerutkan kening. Dia tersenyum malu mendengar ucapan Tuah.

Tuah turut tersenyum mesra. Hatinya berbunya melihat senyuman Dayang.

Sudah tiga hari mereka berdua bekerja bersama-sama. Makin kuat perasaan Tuah terhadap gadis itu. Kalau boleh, mahu saja dia meminang gadis itu hari ini juga! Tapi… adakah cinta Dayang untuknya? Andai dia hanya bertepuk sebelah tangan bagaimana?

Buah mangga berkulit masih kehijauan itu diletak perlahan ke dalam bakul rotan. Tuah mengajak Dayang berjalan-jalan di sekitar ladang setelah hampir lima belas minit mereka meronda ladang ini melihat perkembangan terbaru penanaman buah mangga madu.

“Saya ada satu soalan untuk awak, Dayang.” Tuah bersuara setelah beberapa minit mereka berjalan tanpa sebarang perbualan.

Dayang hanya diamkan diri menantikan soalan dari Tuah. Dia berdiri di belakang lelaki itu sambil tertunduk saja.

“Awak percaya tak dengan cinta pandang pertama?” Soalannya bermula. Tuah pandang Dayang menanti reaksi gadis itu.

Wajah Dayang terus terangkat memandang muka Tuah. Mengapa pula lelaki itu bercakap mengenai cinta dengannya. Hisy, peribadi betul soalan tu.

“Erm… saya… saya tak tahu, tuan.” Jawab Dayang jujur.

“Oh, come on. Jawab aje percaya atau tidak.” Tuah mendesak.

Dayang garu kepalanya yang tidak gatal. Kena paksa pula jawab soalan lelaki itu.

“Hmm… percaya.” Jawapan Dayang buat Tuah tersenyum.
Mereka kembali meneruskan langkah.

“Erm… Awak percaya tak kalau saya cakap saya pernah alami perasaan jatuh cinta pandang pertama tu?” Kali ini langkah Dayang pula yang lebih dulu terhenti.

Tuah pandang belakang menatap wajah kaget Dayang.

“Kenapa, Dayang? Awak okey ke?” Cemas pula dia apabila gadis itu melemparkan riak wajah cukup serius. Tidak sukakah gadis itu apabila dia bercakap mengenai cinta?

“Saya okey, tuan. Maafkan saya.” Dayang terpaksa mengukir senyuman. Hatinya cukup tidak suka apabila ada lelaki yang bercakap soal cinta dengannya. Entah dia memang tak boleh terima. Kerana sudah terlalu banyak cinta yang dia berikan kepada lelaki-lelaki suatu ketika dulu. Cinta nafsu yang membuat hidup Dayang dalam penyelasan kini.

“Kalau awak okey, awak jawablah soalan saya tadi. Awak percaya saya pernah jatuh cinta pandang pertama tak?” Tuah mengembalikan soalan.

Tanpa mahu berfikir panjang, Dayang hanya mengangguk lemah.

“Awak percaya?” soal Tuah bagi mendapatkan kepastian.

“Ya, saya percaya. Erm kenapa tuan tanya saya soalan macam ni?” Dayang pula yang bertanya.

Tuah tersenyum lega. Itulah yang dia harapkan. Mengharap Dayang bertanya ‘kenapa’.

“Sebab saya dah jatuh cinta pandang pertama dengan seorang gadis.” Tuah mendekatkan jarak mereka. Dayang mula kaget.

“Gadis tu sekarang… berada… saya tak tahu dia berada di mana sekarang…” Tuah tidak jadi meluahkan isi hatinya. Ah! Ini bukan masa yang tepat untuk meluahkan cintanya pada Dayang. Masih terlalu awal. Hati Dayang perlu direbutnya. Bukan membuat si gadis makin menjauh darinya.

Kening Dayang bercantum tidak mengerti. Majikannya ini mampu jatuh cinta pada seorang wanita yang dia sendiri tidak tahu di mana wanita itu berada sekarang? Pelik sungguh lelaki ini.

“Kalau tuan tak tahu dia berada kat mana sekarang, macam mana tuan boleh jatuh cinta pandang pertama pada dia? Erm… saya tak faham.”

Kata-kata Dayang Tuah sambut dengan senyuman. Dia mengajak gadis itu meneruskan langkah mereka lagi.

Sambil berjalan, Tuah cuba memberi sedikit klu untuk Dayang.

“Gadis tu wujud. Dia wujud dalam mimpi saya. Hadir dalam mimpi saya sebanyak dua kali. Kerana mimpi tulah saya dah jatuh cinta pandang pertama padanya. Aneh kan?” Dayang angguk kepala. Tersangatlah aneh.

“Kalau dia hanya wujud dalam mimpi tuan, macam mana tuan nak bersatu dengan dia?” Terpancul soalan itu dari bibir Dayang. Gadis itu segera menutup mulutnya. Sudah terlebih pula dia berminat pada cerita cinta tuan mudanya ini.

Tuah menyembunyikan senyumannya. Nampak gayanya Dayang seakan suka juga berbual dengannya. Syukurlah. Sekurang-kurangnya ada banyak benda mereka boleh bualkan.

“Erm… itu saya tak tahu. Jawapan tu hanya Allah saja yang tahu.” Tuah menjawab selamba.

Dayang hanya mampu tersenyum kelat. Tidak sanggup dia membuka mulutnya lagi.

“Sebelum saya terlupa, lusa boleh awak temankan saya pergi pekan tak? Saya perlu beli sesuatu untuk bonda saya. Hari lahir dia dah dekat.” Ujar Tuah tatkala teringat akan hal penting itu.

Ajakan Tuah membuat Dayang sedikit kaku. Hmm… Menemani lelaki itu ke pekan? Berdua sahajakah?

“Erm… kita berdua aje ke tuan?” Mahu tidak mahu terpaksa juga soalan itu ditanyanya.

Tuah pandang wajah Dayang. Lambat-lambat dia mengangguk. Ya, mereka berdua saja. Baru ada privasi. Atau maksud Dayang…

“Oh, okey. Erm… macam ni. Saya akan ajak seseorang ikut sekali. Mak Usu saya. Boleh?” Faham dengan keadaan gadis itu yang mungkin tidak biasa keluar berdua saja dengan lelaki, Tuah terus terfikirkan idea itu. Nampaknya memang tidak silap cintanya tertumpah pada gadis bertudung itu. Cantik orangnya, akhlaknya lagi mulia.

“Kalau macam tu, insyaAllah boleh tuan.” Lega Dayang mendengar jawapan Tuah. Biarlah dia dicop sebagai wanita yang cerewet. Nak keluar pun biar berteman ramai. Itulah hakikat yang sebenar-benarnya harus diambil berat oleh kaum Hawa di luar sana. Jangan terlalu bebas keluar dengan lelaki. Walau siapa pun lelaki itu, baik majikan, kawan mahupun tunang, andai tiada ikatan yang sah, lebih baik berhati-hati.

Ini pun bekerja sebagai setiausaha kepada Tuah sudah cukup mendebarkan hati kecil Dayang. Moga-moga niatnya yang hanya focus untuk mencari rezeki yang halal, tidak menjerumuskan dirinya terjebak dengan apa-apa perkara yang tidak diingini. Tidak sanggup lagi Dayang menanggung rasa malu dan membuat maruah Ibu Orked tercalar.


+++++++

“Cantik orangnya, Tuah. Sejuk mata Mak Usu tengok wajah dia.” Ujar Mak Usu Lijah pada Tuah. Mereka sama-sama memandang ke arah Dayang yang sedang leka memilih selendang di bahagian pakaian wanita.

“Hati ni dah terpikat benar pada dia, Mak Usu. Kalau boleh, Tuah memang nak pinang dia secepat mungkin. Tapi… tapi Tuah tak nak buat dia terpaksa terima Tuah. Tuah nak cinta tu lahir sendiri dari hati dia untuk Tuah, mak usu.” Kata-kata Tuah menerima anggukan lemah dari Mak Usu Lijah. Ya, dia faham maksud anak muda itu. Cinta biarlah lahir dari hati yang ikhlas. Ikhlas mencintai dan ikhlas dicintai.

Tuah membiarkan Mak Usu Lijah di situ memilih mana-mana baju yang tertarik untuk dibeli oleh wanita sebaya dengan bondanya itu. Hari ini Tuah Dzulkarnain yang belanja semua orang. Dia bergerak menuju ke arah Dayang yang sibuk memilih. Perlahan-lahan disapa gadis itu mesra.

“Dah jumpa yang mana berkenan ke?” Sapa Tuah dari belakang.

Dayang tersenyum saja. Kepalanya digelengkan perlahan. 

“Belum. Rambang mata dah ni.” Ujar Dayang sambil tertawa kecil.

“Pilih aje yang mana awak suka. Saya nak kutip pahala hari ni. Mak Usu pun tengah memilih tu.” Muncung Tuah ke arah Mak Usu Lijah. Dayang turut berpaling memandang orang gaji Tuah itu. Dalam kereta tadi sempat mereka berkenal-kenalan. Ramah juga Mak Usu. Buat Dayang tidak rasa kekok berbual dengannya.

“Hadiah untuk bonda tuan dah jumpa ke?” soal Dayang pula.

Tuah gelengkan kepala. “Awak tolonglah carikan apa-apa yang sesuai untuk dia. Saya pun dah rambang mata nak memilih.” Sengaja Tuah berkata seperti itu. Hakikatnya dia memang ingin gadis itu mencarikan hadiah untuk bondanya. Mengikut rancangannya, dia bakal mengajak Dayang ke rumahnya esok. Untuk memperkenalkan Dayang Zulaikha secara rahsia kepada bondanya.

“Erm… bonda tuan suka warna apa?” soal Dayang tanpa mencurigai apa-apa.

Dagu diusap perlahan. Tuah cuba berfikir. “Bonda suka warna yang lembut-lembut aje. Tak suka yang garang sangat.” Jawapan Tuah cukup Dayang faham. Tidak memikirkan mengenai tudungnya, dia sibuk mencari tudung untuk Puan Sri Jamilah pula.

Di pekan ini, hanya di Butik Haslina ini sahajalah yang ada menjual tudung dan pakaian wanita yang cantik-cantik. Kalau di tempat lain memang susah sikit nak cari.

Dayang leka memilih. Tuah pula leka membuntuti Dayang dari belakang.

“Yang ni cantik. Cuba tuan tengok sesuai tak dengan bonda tuan.” Dayang mencapai sehelai tudung auwning yang bercorak sulaman pada bahagian dada. Warnanya warna hijau pucuk pisang. Lembut saja warnanya.

“Tuan? Tuan?” Berkali-kali Dayang cuba memanggil Tuah. Lelaki itu kelihatan bingung memandangnya.

“Tuan…” Muncul saat itu Mak Usu Lijah sambil menepuk bahu Tuah. Terus Tuah tersentak.

“Hah? Apa? Kenapa, mak usu? Dayang?” Tuah mula menggelabah.

Saat itu Mak Usu Lijah sudah mengeluarkan tawanya. Dayang pula tersenyum malu. Boleh pula lelaki itu termenung sambil tersenyum sampai ke telinga. Lucunya.

“Mak Usu rasa Tuan Tuah ni dah terkena penyakit angau. Tak gitu, Dayang?” Canda Mak Usu Lijah mesra.

Tidak tahu Dayang nak menjawab apa dia hanya tersenyum saja.

Tuah garu kepala. Dia cuba berlagak macho. Tudung di tangan Dayang diambilnya laju lalu di bawa ke kaunter. Melopong Dayang dengan tindakan bos besarnya itu.

*bersambung*


Kadangkala kita sukar menjangka apa yang bakal Allah beri pada kita... hadiah yg terbesar buat kita semua adalah anugerah rasa kasih & sayang Allah pada setiap hambaNya....itu yg sangat terindah~~~~~



No comments:

Post a Comment