Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
BAB 1
Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :
“Sesiapa
yang berselawat ke atasku satu selawat, nescaya Allah akan membalasnya dengan
sepuluh selawat, mengangkat kedudukannya sepuluh darjat, menambahkan baginya
sepuluh kebaikan dan menggugurkan daripadanya sepuluh keburukan.”
Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :
“Barang
siapa yang mengucapkan Allaahumma shalli ‘alaa Muhammad (Ya Allah ya Tuhanku!
Sampaikanlah selawat ke atas Muhammad) dan kurniakanlah dia kedudukan yang
hampir kepadaMu di hari kiamat, maka ia pasti akan mendapat syafaatku.”
Buku bertajuk Keunggulan Amalan dan
Ibadah Sepanjang Masa yang aku ambil dari rak buku kututup perlahan. Aku duduk
bersandar pada dinding sambil bibirku terkumat-kamit melafazkan kalimah selawat
yang cukup tinggi nilainya itu. Allaahumma
shalli a’laa Muhammad wa’ala ali Muhammad.
Aku tidak mahu melepaskan peluang yang
sudah terbentang di depan mata. Sementara nyawa masih dikandung badan, aku
ingin berselawat sebanyak yang aku mampu. Kerana aku tahu dan aku cukup yakin,
Allah dan RasulNya tidak pernah memungkiri janji. Moga-moga di akhirat nanti
kita semua mendapat syafaat baginda Rasul.
Kujatuhkan pandangan pada bayi kecil
yang sedang nyenyak tidur berhampiran denganku. Terus kuusap lembut pipi
mulusnya dan kuhadiahkan kucupan hangat pada dahinya. Muhammad Adam Al-Amin,
permata hatiku yang paling aku cintai.
Tidak mampu memberi banyak keselesaan
pada Amin, aku hanya mampu membaluti tubuh kecilnya dengan sehelai kain batik
lepas yang sudah pudar warnanya. Si kecil ini tidak seharusnya melalui semua
kesusahan ini bersamaku. Aku cukup rasa bersalah pada Amin kerana tidak mampu
memberinya kesenangan dan keperluan yang secukupnya. Air mata mula berat
menampungi pelupuk mata. Apabila perasaan makin sebak, air mata itu menitis
juga membasahi pipi.
Dua bulan sudah berlalu semenjak aku
diceraikan dengan talak satu oleh suami yang paling aku sayangi. Sungguh aku
tidak menyangka begini pengakhiran kisah cintaku dengan Farhan. Pengakhiran
kisah rumahtangga kami yang sudah bertahan selama hampir lima tahun. Akhirnya
ia musnah kerana satu sebab. Kemunculan orang ketiga memusnahkan rumahtanggaku
sekaligus menghancurkan kebahagiaan yang selama ini aku kecapi.
Aku tahu ini adalah ujian dariNya. Tapi
aku hanyalah seorang insan biasa yang punya hati dan perasaan. Aku cukup
kecewa, sedih dan marah dengan apa yang sudah berlaku. Kerana seorang
perempuan, aku telah diceraikan. Peristiwa pada malam itu tidak mungkin aku
dapat lupakan sampai bila-bila. Ketika itu aku sedang sarat mengandungkan Amin.
“Kenapa abang sanggup curang dengan Leen?
Apa salah Leen pada abang? Apa selama ni abang tak bahagia ke hidup dengan Leen?
Cakap abang. Cakap!” Nafasku terasa tersekat kerana terlalu kecewa dengan apa
yang sedang berlaku. Ujian kali ini benar-benar buat jiwaku hancur.
Dengan mata kepala kusendiri, aku
melihat kecurangan Farhan dengan perempuan lain. Perempuan itu aku kenal. Cukup
kenal. Syafina, setiausaha kepada Farhan. Sungguh aku tidak menyangka hubungan
rakan sekerja mereka akhirnya membawa mereka ke ranjang untuk melakukan hal
yang terkutuk itu. Astaghfirullahal`azim. Tidakkah mereka takut dengan azab
Allah.
“Aku terlalu sayangkan dia. Dengan kau,
aku dah tak boleh rasa apa-apa lagi. Aku memang tak bahagia hidup dengan kau, Leen.
Aku dah tak cintakan kau.” Dengan
selamba Farhan meluahkan isi hatinya. Wajah tenangnya buat hati aku makin
hancur.
Aku ketap bibir sambil menahan perasaan
kecewaku. Sanggup Farhan menuturkan itu semua di saat aku sedang sarat
mengandungkan anaknya. Farhan memang kejam!
“Lima tahun kita hidup bersama abang. Leen
cuba sedaya upaya Leen untuk menjadi isteri yang terbaik untuk abang. Kenapa…
kenapa abang sanggup buat semua ni pada Leen. Kenapa?!” Dada Farhan kutampar
kuat. Aku terduduk lemah ke lantai menangisi nasib hidupku. Bukan hanya
kecurangan Farhan yang buat aku jadi terlalu sedih. Tapi, keinginan lelaki itu
untuk menceraikan aku hampir buat duniaku menjadi gelap. Ugutan Syafina buat
Farhan sanggup menceraikan aku. Syafina tidak sudi untuk bermadu. Memilih antara
aku dan Syafina. Farhan akhirnya memilih bakal isteri barunya itu. Dan aku….
aku bakal diceraikan dengan talak satu.
“Aku dah jelaskan apa yang sepatutnya
aku jelaskan. Berapa tahun sekalipun kita hidup bersama, andai kita dah tak ada
jodoh, kita tetap akan berpisah. Aku sayangkan Aina. Aku tak nak berpisah
dengan dia. Mulai dari saat ini, aku ceraikan kau dengan talak satu.” Semudah
itu, tanpa sebarang tekanan, lafaz talak itu meluncur keluar dari bibir Farhan
Hakimi. Lelaki itu terus pergi meninggalkan aku keseorangan di situ.
Aku terkedu dengan apa yang telah
berlaku. Sekelip mata, aku kini menjadi janda. Anak yang bakal lahir dari
rahimku mungkin tidak akan mendapat kasih sayang dari seorang ayah lagi. Kerana
perasaan cintanya terlalu mendalam pada Syafina, Farhan sanggup menceraikan
aku. Anaknya yang sedang aku kandungkan langsung tidak diendahkannya lagi.
Memikirkan hal itu, kucekalkan untuk
menerima kenyataan bahawa Farhan memang sudah tidak mencintai aku lagi. Anak
yang bakal aku lahirkan ini tidak mungkin akan aku izinkan Farhan untuk
menyentuhnya lagi! Seorang ayah tidak akan sesekali meninggalkan anaknya!
“Assalamualaikum…” Lamunan panjangku
terus terhenti di saat cuping telingaku menangkap suara orang memberi salam.
Air mata yang membasahi pipi segera
kuseka dengan tangan. Aku tersenyum ke arah seorang mak cik yang sudah siap
bertelekung sembahyang. Salamnya aku jawab perlahan.
“Mak cik…” Aku menegurnya. Tangan
kuhulurkan untuk bersalaman dengannya. Serba salah aku memandang wajah tua
perempuan itu. Aku tahu, aku sudah kurang ajar dengannya kerana telah pergi
macam tu aje. Pasti wanita tua itu berkecil hati dengan tindakanku.
“Kenapa kamu tak pasang lampu. Kesian
anak kamu tidur dalam gelap macam tu. Kena gigit nyamuk pulak nanti karang.” Mak
cik itu terus memetik suis lampu pada
dinding. Seluruh ruangan solat bahagian perempuan terang disimbahi cahaya lampu
kalimantan. Bukan niatku untuk tidak memasang lampu. Tapi aku tidak berani
mengguna harta masjid semata-mata demi keselesaan aku dan anak kecilku.
Mak cik Piah duduk berselimpuh di
sebelahku. Tanganku tak semena digamitnya. Aku hanya mampu tundukkan muka. Mata
kembali berkaca.
“Kenapa kamu pergi macam tu aje, Leen?
Tak suka ke tinggal dengan mak cik?” Soalan itu buat hati aku makin rasa
bersalah. Kepala kugelengkan lemah.
“Maafkan Leen mak cik. Leen… Leen cuma
tak nak menyusahkan mak cik lagi. Leen dah banyak susahkan mak cik.” Aku
bersuara sambil menahan getar suaraku.
Mak cik Piah. Seorang perempuan tua yang sangat baik hati. Setelah
aku bercerai dengan Farhan, aku hilang arah. Aku keluar dari rumah Farhan tanpa
tahu ke mana arah tujuku. Aku tidak punya keluarga. Aku tidak punya saudara
mara. Apatah lagi kawan. Aku sebatang kara. Selama ini hanya Farhan tempat aku
menumpang kasih. Kini, kami sudah tiada hubungan apa-apa lagi. Aku kembali
sendirian.
Di saat aku tiada tempat untuk tuju,
hanya di masjid ini saja yang menjadi tempat aku berteduh. Aku duduk di masjid,
tidur di sini, mandi di sini. Sungguh aku tidak tahu ke mana lagi harus aku
bawa diri ini.
Akhirnya, pada suatu hari aku ditegur
oleh seorang mak cik tua. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Mak cik Piah. Mak
cik Piah bertanya kenapa aku tinggal di situ dalam tempoh masa yang lama. Tanpa
mahu merahsiakan kebenarannya, aku menceritakan apa yang sudah terjadi. Mak cik
Piah bersimpati terhadapku. Dia juga bersimpati dengan bayi yang bakal aku
lahirkan nanti. Mak cik Piah mengajak aku tinggal di rumahnya. Dia juga hidup
sebatang kara. Suaminya sudah lama meninggal. Allah tidak mengurniakan rezeki
anak untuknya.
Pada mulanya aku menolak pelawaan Mak
cik Piah namun perempuan tua itu memaksa aku dan menyuruh aku memikirkan
keselamatan diri dan bayiku. Akhirnya aku mengalah. Demi bayi yang bakal aku
lahirkan, aku terpaksa menerima ajakan Mak cik Piah. Mungkin hanya untuk
sementara waktu.
Aku di bawa ke rumahnya yang terletak di
Kampung Baru. Rumahnya kecil saja tapi segala kelengkapan serba-serbi cukup. Di
sana, aku hidup dengan cukup selesa.Mak cik Piah melayan aku seperti seorang
anak.Walaupun kami baru saling mengenali, ikatan kasih sayang antara kami
berdua bertaut dengan cukup
erat.
Beberapa minggu kemudian, aku selamat
melahirkan bayi kecilku. Di sebalik nama Amin itu ada cerita yang tersembunyi.
“Kita nak bagi anak ni nama apa, Leen?
Comel betul anak kamu ni. Dapat juga mak cik merasa ada cucu. Tak apakan kalau
mak cik anggap anak kamu macam cucu mak cik?” Setelah selamat melahirkan, aku
terus dibawa pulang ke rumah. Mak cik Piah menjaga aku dalam pantang dengan
layanan yang cukup baik.
“Tak apa, mak cik. Leen cukup gembira
kerana mak cik sanggup menganggap Leen seperti anak mak cik. Kalau mak cik dah
anggap Leen macam anak, anak Leen ni adalah cucu mak cik juga.” Aku tersenyum
pada Mak cik Piah. Perempuan tua itu kelihatan cukup gembira. Diangkat tubuh
kecil bayiku lalu didakap dalam dakapannya. Dikucup-kucup dahi dan pipi anak
aku yang masih tidak bernama itu. Seminggu dah berlalu. Mengikut sunnah Nabi,
elok memberi nama pada hari ketujuh kelahiran bayi. Mungkin Mak cik Piah ada
cadangan nama yang terbaik untuk anak kecilku.
“Mak cik ada cadangan nama tak untuk
baby comel ni? Leen tak sempat nak cari nama yang sesuailah mak cik.” Mak cik
Piah kelihatan berfikir sejenak. Mungkin dia sedang memikirkan satu nama yang
terbaik. Akhirnya…
“Nama arwah suami mak cik, Amin. Apa
kata kalau Leen bagi nama Amin pada anak Leen ni. Kalau Leen tak suka tak apa.
Mak cik bagi cadangan aje.”
Amin. Cantik nama tu. Bermakna yang
amanah. Seperti baginda Nabi yang digelar Al-Amin oleh penduduk Makkah kerana
sifat amanah yang dimiliki oleh Rasulullah SAW.
“Leen pulak suka nama Adam. Jadi apa
kata kalau kita gabungkan dua nama tu. Muhammad Adam Al-Amin. Okey tak mak
cik?” Kuelus lembut pipi montel Amin. Tak semena-mena bayi comel itu tiba-tiba
tersenyum. Seakan-akan dia juga turut bersetuju dengan cadangan nama itu.
Mak cik Piah akhirnya turut bersetuju.
Jadi kata sepakat sudah diambil. Nama anak lelakiku adalah Muhammad Adam
Al-Amin bin Farhan Hakimi. Mengingatkan Farhan buat hati aku kembali hancur.
Farhan gagal menjalankan tanggungjawabnya untuk memberi nafkah kepada aku
setelah bercerai. Aku tidak kisah andai dia tidak memberi aku apa-apa, namun
aku sangat terkilan apabila Farhan sedikit pun tidak menghiraukan
tanggungjawabnya pada Amin!
Dia hilang tanpa sebarang berita.
Sikitpun aku tak hairan. Aku juga malas nak mengambil tahu mengenai dirinya
lagi. Dia telah membuang aku dan anak kandungnya dari hidupnya. Dan aku akan
membuang dia dari hatiku buat selamanya!
“Leen….” Panggilan Mak cik Piah
mengejutkan aku. Ya Allah, jauhnya aku mengelamun. Aku kembali ke alam nyata.
Kutatap muka Mak cik Piah tanpa kata.
“Mak cik tahu kamu rasa bersalah sebab
dah menyusahkan mak cik. Tapi mak cik tak pernah anggap kamu menyusahkan mak
cik. Mak cik gembira dapat tolong jaga kamu dan anak kamu. Jangan pergi Leen.
Kalau Leen pergi, mak cik akan keseorangan lagi.” Mak cik Piah mengesat air
matanya. Akulah penyebab orang tua itu menangis.
Selamat tempoh berpantang, aku rasa
sudah tiba masanya aku pergi daripada terus menyusahkan Mak cik Piah. Orang tua
itu bersusah payah mencari rezeki sebagai pembantu rumah, aku pula duduk di
rumah bersenang lenang tanpa buat apa-apa kerja. Aku bukan seorang yang kejam
seperti tu. Aku tak nak menyusahkan mak cik piah lagi. Kerana itu semalam aku
nekad untuk keluar dari rumahnya dan pergi mencari arah hidupku sendiri. Tapi,
selama berjam-jam aku berjalan, aku buntu. Aku tetap tidak tahu untuk menuju ke
mana. Akhirnya aku kembali ke masjid ini.
“Maafkan Leen, mak cik. Leen cuma tak
nak jadi beban untuk mak cik. Leen nak cari kerja. Leen nak sara hidup Leen dan
Amin. Leen juga nak balas budi mak cik. Leen…”
Mak cik Piah pandang aku. Kemas
tangannya menggenggam tanganku seakan-akan tidak mahu melepaskan aku pergi.
“Mak cik tak kisah semua tu. Mak cik tak
izinkan Leen pergi. Mak cik sayangkan Leen, sayangkan Amin. Kalau Leen nak
kerja, Leen kerjalah. Tapi jangan berpisah dengan mak cik. Tinggal dengan mak
cik. Leen kerja, biar mak cik jaga Amin. Boleh Leen?” Aku terpana mendengar
cadangan Mak cik Piah. Bolehkah aku lakukan perkara itu. Aku kerja dan Mak cik
Piah menjaga anakku? Tidakkah itu menambahkan beban Mak cik Piah? Mak cik Piah
sudah terlalu tua untuk menjaga cucu.
“Tapi…”
“Tak ada tapi-tapi lagi. Mak cik dah
tua. Tempat mak cik kat rumah jaga cucu. Leen gantilah tempat mak cik kat rumah
Tuan Adam tu. Leen jadi pembantu rumah. Mak cik dah cakap perkara ni dengan
Puan Shimah. Dia cakap dia setuju. Yang penting orang yang ganti mak cik tu
boleh buat kerja rumah. Leen sanggup kan kerja sebagai pembantu rumah?”
Aku diam lama. Kenapa pula aku tidak
sanggup. Andai itu salah satu cara aku dapat membalas kebaikan Mak cik Piah aku
sanggup lakukannya. Bukan aku tidak
pernah pun buat kerja rumah selama ini. Dari awal aku kahwin dengan Farhan
dulu, surirumah tangga sepenuh masa adalah jawatanku. Setiap hari, kerja aku
duduk di rumah mengemas rumah dan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang
isteri. Itulah aku.
“Baiklah. Leen setuju. Leen buat semua
ni sebab Leen nak balas jasa mak cik pada Leen dan Amin. Terima kasih mak
cik.Terima kasih sebab ‘kutip’ Leen dulu.” Aku menangis di bahu Mak cik Piah.
Mak cik Piah mengusap-usap bahuku lembut. Andai itu kemahuan Mak cik Piah, akan
aku tunaikan. Aku akan kerja dengan sungguh-sungguh. Dan akan aku balas jasa
Mak cik Piah padaku dan Amin dengan wang ringgit dan keringatku sendiri.
*********
Vila tiga tingkat yang terletak di Bukit
Antarabangsa menjadi destinasi aku pada pagi Jumaat yang mulia itu. Aku ke sana
dengan satu tujuan. Memulakan tugasku sebagai seorang pembantu rumah menggantikan
Mak cik Piah. Aku harap aku mampu lakukan yang terbaik untuk kerja ini. Selepas
berkahwin, aku sudah tidak bekerja. Jadi, agak lama juga aku tidak mempunyai
majikan. Aku harap majikanku yang bernama Puan Shimah itu seorang majikan yang
baik.
“Assalamualaikum…” Aku memberi salam
sekali. Pintu utama yang luas terbuka itu memudahkan aku memandang keadaan
dalam rumah. Luas ruang tamunya. Bercirikan kehijauan. Kiri kanan sebelum
melangkah ke pintu masuk utama terdapatnya kolam ikan koi yang berwarna-warni
ikannya. Air terjun pula terbina pada
dinding sebelah pintu utama. Menenangkan.
“Assalamualaikum…” Sekali lagi aku
memberi salam. Kata Mak cik Piah, kedatanganku bakal disambut oleh Kak Som,
rakan sekerja Mak cik Piah. Sekarang, Kak Som akan menjadi rakan sekerjaku
pula. Menurut dari cerita Mak cik Piah tentang Kak Som, aku cukup yakin Kak Som
itu seorang yang sangat ramah dan mesra orangnya.
“Assalamualaikum tuan…” Mataku memandang
tepat pada wajah lelaki bert-shirt putih, berseluar slack hitam dan penuh
berjambang mukanya itu. Kami saling bertentang mata. Aku tersenyum padanya.
Mungkin inilah anak sulung Tuan Adam.
Tanpa membalas senyumanku apalagi
menjawab salamku tadi, lelaki berjambang itu terus berlalu naik ke tingkat
atas. Aku dibiarkan berdiri di luar rumah tanpa dipelawa masuk.
Aku mampu menerima layanan kurang
mesranya itu dengan bersikap berbaik sangka. Mungkin dia masih sedih dengan
kehilangan isterinya. Mak cik Piah awal-awal sudah menceritakan mengenai kisah
hidup anak sulung Tuan Adam dan Puan Shimah itu.
Adam Syamil bin Adam. Berusia 38 tahun.
Berstatus duda. Isterinya sudah meninggal dunia hampir tiga tahun yang lalu
kerana terbabit dalam kemalangan. Anak mereka juga terkorban sama. Masih trauma
dan merasa bersalah dengan apa yang terjadi, Syamil menjadi seperti itu.
Berubah menjadi seorang yang dingin,
tidak ambil tahu hal sekeliling dan
banyak termenung. Kata Mak cik Piah, sejak kematian anak dan isterinya, Syamil
tidak lagi tersenyum.
Rupa-rupanya bukan aku saja yang
berdepan dengan ujian berat. Masih ada orang yang lebih sedih takdir hidupnya
dari aku. Sekurang-kurangnya aku masih ada Amin di sisiku. Alhamdulillah
syukur.
“Eh, ini Leen ke?” Tiba-tiba satu suara
serak-serak basah menyapaku. Aku terus mengukir senyuman lalu menghulurkan
tangan untuk bersalaman.
“Ya, kak. Akak ni mesti Kak Som kan?”
Kak Som angguk kepala. Terus diajak aku masuk ke dalam vila mewah itu. Aku di
bawa ke bahagian dapur. Sempat juga aku memandang ke sekeliling rumah. Sunyi
aje rumah ini. Dapat aku rasakan aura kesedihan masih menyelubungi rumah agam
ini.
“Hah, duduk Leen. Akak buatkan air.” Kak Som bergerak lincah
dengan menyediakan aku air minuman. Perlahan-lahan kulabuhkan duduk ke kerusi
sambil menanti Kak Som duduk sekali denganku.
“Minum Leen. Air kopi aje.” Aku
tersenyum nipis. Air itu kusisip sedikit.
“Maaflah tadi akak tengah sidai kain. Leen
dah lama ke sampai? Mak cik Piah ada telefon akak tadi. Dia cakap Leen dah on
the way. Tak sangka cepat sampai kat sini ya.” Ramah betul Kak Som. Baru kenal aku
dah layan aku dengan baik. Alhamdulillah. Tidaklah aku kekok berada di sini.
“Leen pun baru sampai Kak Som. Leen dah
bagi salam tadi. Bertembung dengan Tuan Syamil. Tapi dia terus naik tanpa cakap
apa-apa.” Aku tersenyum kelat. Nampaknya hari-harilah aku terpaksa menghadap
muka lelaki dingin tu. Aku harap aku mampu melakukan tugasku dengan sebaik
mungkin tanpa ingin mencampuri urusan peribadi lelaki itu.
Kak Som tiba-tiba mencuit lenganku. Dia
tertoleh ke belakang dan ke depan pintu dapur takut-takut ada orang lain
mendengar. Aku hanya diam memperhatikan gelagat Kak Som. Kepoh juga Kak Som ni
ya.
“Leen dah tahukan kenapa Syamil jadi
macam tu?”Bisik Kak Som agak perlahan. Mungkin dia tidak mahu majikannya terasa
hati apabila mendengar dia berkata seperti ini.
Aku anggukkan kepala. “Dah.Mak cik Piah dah ceritakan semua.”
Jawabku perlahan.
Kak Som mengangguk-angguk. Mungkin dia
lega kerana aku sudah tahu mengenai perihal diri Syamil itu.
“Okeylah kalau macam tu. Okey macam ni.
Puan Shimah dengan Tuan Adam balik kampung ziarah saudara mereka kat sana. Esok
baru dorang balik sini. Jadi tak dapatlah Leen kenal-kenal dengan dorang.
Minggu depan baru boleh jumpa. Sabtu dengan Ahad Leen cuti tau.” Aku
terangguk-angguk faham.Mujurlah ada cuti. Ada cuti kerana Kak Som merupakan
orang gaji tetap yang tinggal di rumah ini. Mak cik Piah pula hanyalah tukang
masak di rumah ini dulu. Datang pun hanya untuk masak dan kemas sikit-sikit.
Sekarang tugas memasak Kak Som yang ambil dan aku ambil tugas dia mengemas
seisi rumah.
Moga-moga aku dapat menyesuaikan diri di
rumah ini. Niatku hanya satu. Aku nak kerja.Cari rezeki yang halal untuk
membesarkan anakku dan membalas jasa Mak cik Piah. Itu saja.
#bersambung....
mcm jodoh leen je syamil tu
ReplyDeleteAkak belum baca eh cite ni kat blog lama? hehe.. leen dgn syamil berjodohkah?
DeleteBest...lagi...
ReplyDeleteMekasih...alhamdulillah.. (:
DeleteOK insyaAllah sambung lagi. Jangan riso..
Berjodoh lah tu...best
ReplyDeleteHaih yakin ni..hahaha...
DeleteTQ hani
Assalamu'alaikum. Cerita baru~ <3 best
ReplyDeleteWaalaikumussalam cik dhia...
DeleteBukan cite baru..cite lama tapi letak dlm blog baru.huhu..
TQ sahabat <3
Best , best and Awesome :DD
ReplyDeleteAlhamdulillah.. TQ miss sunshine
DeleteMoga2 Dia redha (:
dulu xsilp dah pernh bca dlm blog akak. tapi kali ni baca semula dengan sebak. huhu cerita dah sedih tambah pula dgn lagu kupu-kupu cinta. berganda2 sedih tu.
ReplyDeleteps: next bab kak ^^
(AinaaAzlan)
YUP betul tu ainaa. Memang dh pernah akk letak dlm blog lama. Tapi blog lama kan hilang.huhu.tu yg letak dlm blog baru... mekasih sbb sudi bc lagi sekali...
Delete*kupu2 cinta tu sbb akk suka lagu tu..dan cam sesuai kisah leen dan syamil.hehehe
TQ ainaa..