DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.
BAB 4
“Tunggu dulu!” Jeritan
Farid memenuhi ruang tamu.
Semua tetamu terkejut
dan kaget dengan jeritan dan kedatangan mengejut Farid.
Farid memandang ke arah
ibu bapanya. Encik Hasan dan Puan Maimon berdiri mendapatkan anak mereka.
“Farid, apa yang kamu
buat ni?” soal Encik Hasan cemas.
“Farid tak nak teruskan
pertunangan ni, ayah. Farid dah ada pilihan Farid sendiri. Farid cintakan dia!”
Tersentak Encik Hasan dan Puan Maimon. Mereka mengheret Farid untuk keluar dari
ruang itu. Namun Farid tetap berdegil. Dia melangkah mendapatkan Ibu Orked yang
sedang duduk di atas kerusi roda.
“Maafkan saya, mak cik.
Saya terpaksa kecewakan mak cik dan anak mak cik. Saya… saya tak nak pura-pura
menerima seseorang yang saya tak cinta. Saya dah ada pilihan saya sendiri.” Ibu
Orked pandang wajah Farid dengan pandangan kurang percaya. Tetamu yang hadir
juga berbisik sesama mereka bagai tidak percaya dengan apa yang berlaku.
Dayang yang mendengar
dengan jelas kata-kata yang lahir dari bibir Farid lambat-lambat keluar dari
biliknya. Hancur hatinya saat itu.
Kain langsir diselak
lemah. Wajah Farid terpampang di matanya.
“Awak… saya minta
maaf.” Kali ini Farid mendekati Dayang pula.
Dayang cuba untuk tidak
terlalu bersedih dengan kenyataan ini. Tapi mengapa di saat dia mahu menerima
pertunangan ini, Farid pula datang untuk memutuskan? Tiada jodoh antara mereka?
“Farid! Apa yang kamu
buat ni? Ya Allah…” Encik Hasan memarahi Farid.
Farid cuba menjelaskan
semuanya pada ayah dan ibunya.
Ibu Orked memandang
Dayang. Melihat mata anak angkatnya mula berkaca menahan rasa, matanya lebih
dulu menitiskan butir-butir jernih. Ya Allah, aku dah kecewakan Dayang. Dayang,
maafkan ibu… Tangan Dayang dicapai olehnya.
Dayang cuba tersenyum
tabah. Digenggam erat tangan ibunya. Dia menggeleng lemah meminta ibunya tidak
perlu risau akan dirinya.
Tanpa kata, Dayang
meluru keluar dari ruang tamu. Farid memandang Dayang dengan perasaan yang
cukup bersalah. Dia tahu dia sudah memalukan keluarga ini. Terutama Dayang.
Namun apakan daya hatinya tidak mampu menerima seseorang yang dia tidak cinta.
Di pintu, Dayang
bertembung dengan seorang yang seakan pernah dilihatnya sebelum ini. Buat
seketika mereka saling membalas pandangan. Namun, kerana hatinya terlalu sakit
dengan apa yang berlaku, Dayang terus berlari pergi.
Tuah menoleh ke
belakang memandang langkah Dayang yang sudah mengheret basikal tuanya menuju ke
jalan. Pertama kali dia melihat wajah gadis misteri itu dekat di depan matanya.
Sayangnya bukan senyuman yang berjaya dia perolehi namun sebuah tangisan yang
berjaya membuat hati Tuah turut merasa sakit.
+++++++
“Anakanda Tuah…” Puan
Sri Jamilah menyapa perlahan anak bujangnya yang sedang duduk termenung di
bawah gazebo kayu.
Tuah berpaling ke arah
suara bondanya. Dia tersenyum lalu menghulurkan tangan untuk Puan Sri Jamilah
sambut.
“Bonda….” Tuah meminta
bondanya duduk di sebelahnya.
Puan Sri Jamilah hanya
menurut. Mereka sama-sama terdiam tanpa kata. Setelah berjeda lama, barulah
Puan Sri Jamilah bersuara.
“Biar bonda pinangkan
Dayang untuk Tuah.” Ujar Puan Sri Jamilah serius.
Tuah berpaling
memandang wajah bondanya. Lambat-lambat dia menggeleng.
“Tapi kenapa, sayang?
Sekarang Dayang sudah tidak dimiliki oleh mana-mana lelaki. Dia bebas. Dan Tuah
juga bebas untuk bersamanya.”
Sungguh Puan Sri Jamilah
cukup berkenan dengan gadis yang sudah berjaya menambat hati anakandanya itu.
Dayang Zulaikha namanya. Tak sangka benar tekaan Tuah. Rupa-rupanya gadis itu
berada berhampiran dengan mereka sahaja. Jodoh pertemuan sememangnya rahsia
Allah.
“Tuah tahu, bonda. Tuah
tahu dia bebas sekarang. Dan Tuah juga tahu hatinya sedang bersedih sekarang.
Tuah tak nak jiwanya bertambah rungsing dengan pinanan Tuah secara mengejut
nanti. Tuah nak dekati dia, bonda. Tuah nak buat dia jatuh cinta dengan Tuah.”
Puan Sri Jamilah
terdiam seketika. Dia cuba untuk faham maksud sebenar anak lelakinya itu. Dan
akhirnya dia mulai faham.
“Betul itu yang Tuah
mahukan?” soal Puan Sri Jamilah bagi mendapatkan kepastian.
Lambat-lambat Tuah
mengangguk. Tangan bondanya digamit kemas.
“Bonda doakan Tuah, ya?
Supaya Dayang dapat jatuh cinta dengan Tuah. Dan supaya cinta Tuah padanya tak
terlewat lagi.”
Puan Sri Jamilah jadi
sebak. Pantas dia mendakap tubuh anak bujangnya itu.
“Bonda mendoakan yang
terbaik untuk anakanda Tuah.” Tuah tersenyum berat. Moga-moga apa yang
dirancangnya ini mendapat restu dari Ilahi.
+++++++
Dayang duduk termenung
di birai jendela kecil biliknya. Dada langit yang dihiasi dengan bintang-bintang
bersinar terang menjadi tatapan matanya.
Dia cuba tersenyum
dengan apa yang telah terjadi. Sudah puas dia menangis. Sudah puas dia bertanya
pada diri sendiri apa hikmah di sebalik semua yang berlaku.
Apa yang berlaku,
benar-benar dalam sekelip mata sahaja. Semalam Ibu Orked memberitahu ada
lamaran untuk masuk meminangnya. Pagi ini, di saat dia sudah redha dengan
aturan dari ibu angkatnya itu, tiba-tiba Farid datang ingin memutuskan
pertunangan mereka. Semudah itu lelaki itu memalukan dirinya.
Hanya Tuhan saja yang
tahu perasaan Dayang saat itu. Maruahnya terasa dipijak-pijak pula.
Saat jiwanya dilanda
rasa marah dan sedih, macam-macam perkara bermain di mindanya. Namun, setelah
dia kembali bertenang, setelah otaknya mula mencari hikmah di sebalik yang
terjadi, rasa sedih dalam hati Dayang mula berkurang.
Inilah yang dinamakan
tiada jodoh. Allah Maha Mengetahui. Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk
hambaNya. Dayang akur dengan ketentuan ini.
Terluka sekarang lebih
baik daripada terluka di kemudian hari. Biarlah luka ini tercalit sedikit
daripada terpaksa berdarah lebih parah di kemudian hari.
Dayang redha dengan apa
yang sudah terjadi. Dan dia mula nampak hikmah di sebalik apa yang terjadi.
Hikmahnya, dia masih
diberi peluang untuk bertemu dan mencari jodoh yang dicintai olehnya. Tanpa
paksaan sesiapa, jodoh itu dipilih oleh hatinya sendiri. InsyaAllah.
“Dayang… Dayang… Ke
sini kejap nak…” Suara Ibu Orked membangunkan Dayang dari lamunannya.
Dia segera menyahut
panggilan ibunya. “Ya, bu. Kejap, bu…” Jendela segera ditutup dan diselak
kemas. Cepat-cepat Dayang melangkah ke bilik ibunya yang terletak di sebelah
biliknya sahaja. Apa yang bermain di fikirannya tadi, dihapuskan terus dari
ingatan.
“Ya, bu. Ibu haus ke?”
soal Dayang sebaik saja melabuhkan duduk di birai katil ibunya. Dia tersenyum
mesra.
Ibu Orked menggeleng lemah.
Dipagut tangan Dayang lalu digenggam tangan itu erat.
“Ibu minta maaf, nak.
Ibu minta maaf…” Berulang-ulang Ibu Orked melafazkan kata maaf itu.
Dayang jadi hiba pula.
“Ibu, apa yang ibu merepek ni?” Dia cuba untuk pura-pura tidak mengerti.
Walhal, dia cukup yakin kata maaf itu diucap kerana kejadian pagi tadi.
“Kalau bukan sebab ibu
yang aturkan pertunangan ni, mesti Dayang takkan sesedih ini. Ibu langsung tak
bincang dengan Dayang dulu. Ibu hanya fikirkan kebahagiaan Dayang. Ibu yakin
Farid dapat menjadi suami yang baik pada Dayang. Tapi… tak sangka dia…”
Ayat Ibu Orked terhenti
di situ. Matanya mula berkaca dan suaranya mula bergetar.
Makin kemas gamitan
tangan Dayang. Bahu ibunya diusap lembut.
“Ibu, semua ni Allah
yang aturkan untuk Dayang. Dayang terima, bu. Ya, Dayang memang sedih dengan
apa yang terjadi. Tapi sumpah demi Allah, Dayang tak pernah salahkan ibu dalam
hal ni. Sebab Dayang yakin, semua ni jadi sebab Allah yang aturkan. Ibu jangan
cakap macam ni lagi ya.”
Dayang peluk pula tubuh
Ibu Orked. Dia cuba menenangkan wanita tua itu yang pasti sedang sarat dengan
rasa bersalahnya.
“Tapi, nak. Ibu tetap
rasa bersalah…” Pelukan mereka terungkai. Dayang seka air mata ibunya dengan
hujung jari.
“Dayang yakin, bu.
Pasti akan ada seseorang yang lebih baik untuk Dayang di luar sana. Cuma Allah
belum temukan kami. Dayang harapkan doa ibu. Doakan dia cepat-cepat muncul
dalam hidup Dayang ya, bu.” Sebak Dayang saat itu. Namun, dia cuba untuk
bertahan tabah.
Ibu Orked sudah
kehilangan kata. Akhirnya dia terpaksa akur untuk mengiyakan kata-kata anaknya
itu dengan anggukan. Doanya pasti akan sentiasa mengiringi gadis bernama Dayang
Zulaikha ini.
Dan bagi Dayang pula,
dia hanya mengharapkan lelaki yang bakal muncul dalam hidupnya nanti dapat
menerima dirinya apa adanya. Dayang Zulaikha yang sekarang dan Dayang Zulaikha
yang dulu.
+++++
Sehari bercuti, Dayang
kembali masuk kerja di kilang. Dia berasa cukup lega. Sekurang-kurangnya
tekanannya sedikit surut apabila rakan-rakan sekerjanya tidak banyak bertanya
mengenai pertunangan tidak jadinya itu. Mungkin hal ini kerana tak ramai yang
tahu. Mujurlah.
Yang tahu pun hanyalah
Mak cik Non dan Mak cik Ita. Mereka bertanya apa yang sudah terjadi. Dayang
hanya mampu menjawab tiada jodoh antara dia dan Farid. Itu sahaja yang mampu
dia jawab. Kerana kuasa jodoh bukan di tangannya.
“Dayang, kau nak tahu
tak mak cik ada datang ke majlis kau semalam? Kau mesti tak perasan mak cik.”
Ujar Mak cik Ita memulakan bicaranya.
Dayang yang sibuk memasukkan
buah mangga dalam kotak segera berpaling pada Mak cik Ita. Dahinya berkerut.
“Mak cik datang? Tapi
saya…” Seingatnya, tidak pula dia menjemput Mak cik Ita ke majlisnya. Bukan tak
nak jemput tapi semuanya berlaku sekejap sangat. Apa-apa persiapan pun mana
sempat dia buat.
“Cuba kamu teka mak cik
datang dengan siapa ke rumah kamu. Teka lah…” Mak cik Ita bermain teka-teki
pula. Kerja buatnya jadi tertangguh.
Dayang cuba berfikir.
Namun sungguh dia tidak mempunyai sebarang petunjuk.
“Mak cik pergi ke rumah
kamu dengan tuan kita.” Ujar Mak cik Ita bersungguh.
Saat itu mulut Dayang
terus melopong. Tuan kita? Maksudnya?
“Maksud mak cik, Tuan
Tuah?” Mak cik Ita laju mengangguk. Dayang mula kepelikan.
Andai Mak cik Ita tidak
dijemputnya, masakan bos besarnya pula yang dijemputnya. Hisy, kenapa pula tuan
mudanya itu datang ke rumahnya ya?
“Oh…” Dayang baru
teringat satu benda.
“Kenapa Dayang?” soal
Mak cik Ita meluru.
Dayang cuba merakam
kejadian semalam. Rasanya dia ada bertembung dengan seorang lelaki semalam.
Wajah lelaki itu seakan dikenalinya namun dia buat bodoh saja kerana tatkala
itu hatinya sedang berdukacita.
“Rasanya Dayang dah
ingat. Semalam Dayang ada….”
“Dayang Zulaikha….”
Tidak sempat Dayang
meneruskan kata, tiba-tiba ada suara yang memanggil namanya. Segera dia berpaling
ke arah suara itu.
Kelihatan Ajim,
supervisor merangkap pembantu setia Tuan Tuah sedang menapak ke arah mereka.
Dayang dan Mak cik Ita saling berpandangan.
“Cik Dayang, Tuan Tuah
nak jumpa cik sekarang juga di ofis.” Ujar Ajim sedikit serius.
Cukup faham Dayang
dengan sikap serius Ajim namun dia kurang mengerti pula andai bos besarnya
ingin bertemu dengannya. Ini adalah kali pertama namanya dipanggil. Apa yang
dah aku buat? Bisik Dayang dalam hati sedikit takut. Takut andai dia ada buat
kesalahan.
“Cik Dayang, sila…”
Ajim menunjuk arah. Dayang tersenyum bingung. Dia meminta diri pada Mak cik
Ita. Terus dia melangkah membuntuti Ajim dari belakang menuju ke pejabat Tuan
Tuah yang julung-julung kali dimasukinya.
Mak cik Ita yang
melihat situasi itu hanya mampu menggaru kepala. Keanehannya makin
bertimpa-timpa.
+++++
Tok. Tok. Tok.
“Masuk…” Pintu yang
sudah sedia terbuka Dayang lalui dengan perasaan yang masih kebingungan.
“Assalamualaikum tuan…”
Ujarnya setelah menghampiri meja Tuah.
Tuah yang sedang
pura-pura menyibukkan dirinya memeriksa fail di hadapannya, sebenarnya sedang
menahan debar. Kali ini dia bakal bertentang mata lebih lama dengan gadis yang
telah mencuri hatinya itu. Tuah mengumpul kekuatan.
“Waalaikumusalam. Sila
duduk, Cik Dayang.” Kata Tuah sambil angkat muka.
Dayang yang tersenyum
ditatap tanpa berkelip. Mata mereka bertembung seketika.
Dayang segera melarikan
pandangannya. Dia tertunduk malu. Jadi benarlah tekaannya tadi. Lelaki yang
bertembung dengannya di hadapan pintu rumahnya semalam adalah Tuan Tuah! Tapi
mengapa lelaki itu berada di sana? Peliknya.
“Ehem-ehem…” Tuah
berdeham cemas. Dia cuba berlagak tenang.
“Err… Cik Dayang
Zulaikha kan?” soalnya buat-buat selamba. Badan disandar ke kerusi. Saat itu
matanya tak lepas dari memandang wajah Dayang.
“Ya saya tuan.” Balas
Dayang penuh hormat.
“Kalau bercakap boleh
tak pandang depan? Kenapa tunduk-tunduk macam tu.” Kata-kata Tuah membuat
Dayang terus mengangkat muka. Berdebar jantungnya mendengar ucapan serius dari
bos besarnya itu.
Tuah batuk-batuk kecil.
Adakah dia sudah tersalah cakap? Keras sangat ke? Berubah air muka Dayang
mendengar kata-katanya.
“Erm… saya sebenarnya
ada benda nak bincangkan dengan awak. Mulai dari hari ni, awak tak perlu lagi
kerja di bilik pemprosesan tu.” Dayang terperanjat besar. Apa maksud lelaki
itu? Adakah dia sudah dibuang kerja? Apa silapnya?
“Tapi, tuan. Saya…”
“Awak ditukar ke
bahagian ofis. Jadi pembantu saya. Setiausaha saya.”
Tuah menanti reaksi
dari Dayang. Moga-moga gadis itu tak banyak songeh dengan arahan terbaru
darinya ini.
Hanya itu yang terlintas
di benaknya demi mencari jalan dia dan gadis itu berada lebih dekat. Dapat
mengenali dan mendekati gadis pilihannya itu dalam diam. Ah biarlah cara ini
kelihatan agak kebudak-budakan. Yang penting, hati Dayang perlu direbutnya!
“Err… jadi setiausaha?
Tapi… bukan ke Tuan Tuah tak pernah ada setiausaha sebelum ni?” soal Dayang
dalam keadaan yang serba salah. Nak tanya salah, tak tanya lagi salah. Biar
betul tuan mudanya ini ingin mengambil seorang setiausaha. Setahu Dayang, ramai
pekerja yang cakap Tuan Tuah tak suka ada pembantu peribadi seperti seorang
setiausaha. Adakah lelaki itu kini sudah berubah fikiran. Apa pula kelayakan
yang ada pada dirinya untuk menjadi seorang setiausaha. Bekerja di pejabat? Ah…
Dayang benar-benar tak faham.
“Saya bos. Saya cukup
tahu apa yang saya perlukan. Saya harap awak tak menolak. Lagipun gaji sebagai
setiausaha agak lumayan.” Itu yang terkeluar dari bibir Tuah. Harap-harap
Dayang sudi menerima pekerjaan yang sengaja direka-reka olehnya ini.
Makin tebal dahi Dayang
berkerut. Ragu-ragu pula dia dengan tawaran mengejut ini.
“Tapi saya tak biasa
buat kerja-kerja pejabat, tuan. Saya hanya pandai kerja berat-berat. Saya rasa
saya tak sesuai jadi setiausaha Tuan Tuah. Saya… saya…”
“Belum cuba belum
tahu.” Tuah mencelah laju. Tak sanggup dia mendengar si gadis itu menolak
permintaannya.
“Erm…” Dayang
kehilangan kata. Tapi kenapa dia? Kenapa dalam ramai pekerja lain di kilang ini
yang lebih berpelajaran tinggi, dia juga yang terpilih. Adakah ini dinamakan
rezeki terpijak? Jadi setiausaha? Tak pernah langsung terlintas di fikirannya.
“Jadi macam mana?
Setuju?” soal Tuah agak memaksa. Dayang berjeda lama.
“Tapi saya tetap rasa
saya tak layak, tuan.” Jawapan Dayang sedikit melegakan Tuah.
Sekurang-kurangnya gadis itu tidak menolak, bukan?
“Tak layak tak
semestinya tak boleh cuba kan? Cuba dulu selama sebulan. Kalau tak boleh jugak,
saya akan lepaskan awak.” Mendalam maksud Tuah itu. Dayang pandang muka Tuah
dengan tanda tanya. Lepaskan aku? Hati kecil Dayang berteka-teki.
Tuah cuba tersenyum
mesra bagi memberi Dayang merasa aman bersamanya. Dia berdiri.
Melihat bosnya berdiri,
Dayang turut berdiri sama. Mereka saling berbalas pandangan.
“Selamat datang ke
pejabat kecil saya. Meja awak kat sana. Tugas awak senang aje. Ikut saya pergi
tinjau kolam ikan dan ladang buah. Perkara lain saya akan inform kemudian. So,
Cik Dayang Zulaikha. Selamat menjadi setiausaha kepada saya…” Buat sekian
kalinya Tuah mengukir senyuman.
Dalam keterpaksaan dalam
masih dalam kebingungan, Dayang terpaksa juga membalas senyuman itu dengan satu
senyuman yang menandakan ‘ya dia setuju dengan kerja ini.’
Awak tahu apa
yang membuatkan Rasulullah sedih dan Allah murka ?
Awak berakal tapi tak solat . Awak cantik tapi tak
tutup aurat.
Yahooo! Hati senang bersama mu sayang Tuan Tuah yang handsome. Lalalala. Kihkihkihkih.
ReplyDeletehehe... suka nye dia..
DeleteSo what next? ce teka ^^