JOM FOLLOW

Monday 8 September 2014

Terlewatkah Cinta Kita? [BAB 4]




DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.


BAB 4


“Tunggu dulu!” Jeritan Farid memenuhi ruang tamu.

Semua tetamu terkejut dan kaget dengan jeritan dan kedatangan mengejut Farid.

Farid memandang ke arah ibu bapanya. Encik Hasan dan Puan Maimon berdiri mendapatkan anak mereka.

“Farid, apa yang kamu buat ni?” soal Encik Hasan cemas.

“Farid tak nak teruskan pertunangan ni, ayah. Farid dah ada pilihan Farid sendiri. Farid cintakan dia!” Tersentak Encik Hasan dan Puan Maimon. Mereka mengheret Farid untuk keluar dari ruang itu. Namun Farid tetap berdegil. Dia melangkah mendapatkan Ibu Orked yang sedang duduk di atas kerusi roda.

“Maafkan saya, mak cik. Saya terpaksa kecewakan mak cik dan anak mak cik. Saya… saya tak nak pura-pura menerima seseorang yang saya tak cinta. Saya dah ada pilihan saya sendiri.” Ibu Orked pandang wajah Farid dengan pandangan kurang percaya. Tetamu yang hadir juga berbisik sesama mereka bagai tidak percaya dengan apa yang berlaku.

Dayang yang mendengar dengan jelas kata-kata yang lahir dari bibir Farid lambat-lambat keluar dari biliknya. Hancur hatinya saat itu.

Kain langsir diselak lemah. Wajah Farid terpampang di matanya.

“Awak… saya minta maaf.” Kali ini Farid mendekati Dayang pula.

Dayang cuba untuk tidak terlalu bersedih dengan kenyataan ini. Tapi mengapa di saat dia mahu menerima pertunangan ini, Farid pula datang untuk memutuskan? Tiada jodoh antara mereka?

“Farid! Apa yang kamu buat ni? Ya Allah…” Encik Hasan memarahi Farid.

Farid cuba menjelaskan semuanya pada ayah dan ibunya.

Ibu Orked memandang Dayang. Melihat mata anak angkatnya mula berkaca menahan rasa, matanya lebih dulu menitiskan butir-butir jernih. Ya Allah, aku dah kecewakan Dayang. Dayang, maafkan ibu… Tangan Dayang dicapai olehnya.

Dayang cuba tersenyum tabah. Digenggam erat tangan ibunya. Dia menggeleng lemah meminta ibunya tidak perlu risau akan dirinya.

Tanpa kata, Dayang meluru keluar dari ruang tamu. Farid memandang Dayang dengan perasaan yang cukup bersalah. Dia tahu dia sudah memalukan keluarga ini. Terutama Dayang. Namun apakan daya hatinya tidak mampu menerima seseorang yang dia tidak cinta.

Di pintu, Dayang bertembung dengan seorang yang seakan pernah dilihatnya sebelum ini. Buat seketika mereka saling membalas pandangan. Namun, kerana hatinya terlalu sakit dengan apa yang berlaku, Dayang terus berlari pergi.

Tuah menoleh ke belakang memandang langkah Dayang yang sudah mengheret basikal tuanya menuju ke jalan. Pertama kali dia melihat wajah gadis misteri itu dekat di depan matanya. Sayangnya bukan senyuman yang berjaya dia perolehi namun sebuah tangisan yang berjaya membuat hati Tuah turut merasa sakit.


+++++++

“Anakanda Tuah…” Puan Sri Jamilah menyapa perlahan anak bujangnya yang sedang duduk termenung di bawah gazebo kayu.

Tuah berpaling ke arah suara bondanya. Dia tersenyum lalu menghulurkan tangan untuk Puan Sri Jamilah sambut.

“Bonda….” Tuah meminta bondanya duduk di sebelahnya.

Puan Sri Jamilah hanya menurut. Mereka sama-sama terdiam tanpa kata. Setelah berjeda lama, barulah Puan Sri Jamilah bersuara.

“Biar bonda pinangkan Dayang untuk Tuah.” Ujar Puan Sri Jamilah serius.

Tuah berpaling memandang wajah bondanya. Lambat-lambat dia menggeleng.

“Tapi kenapa, sayang? Sekarang Dayang sudah tidak dimiliki oleh mana-mana lelaki. Dia bebas. Dan Tuah juga bebas untuk bersamanya.”

Sungguh Puan Sri Jamilah cukup berkenan dengan gadis yang sudah berjaya menambat hati anakandanya itu. Dayang Zulaikha namanya. Tak sangka benar tekaan Tuah. Rupa-rupanya gadis itu berada berhampiran dengan mereka sahaja. Jodoh pertemuan sememangnya rahsia Allah.

“Tuah tahu, bonda. Tuah tahu dia bebas sekarang. Dan Tuah juga tahu hatinya sedang bersedih sekarang. Tuah tak nak jiwanya bertambah rungsing dengan pinanan Tuah secara mengejut nanti. Tuah nak dekati dia, bonda. Tuah nak buat dia jatuh cinta dengan Tuah.”

Puan Sri Jamilah terdiam seketika. Dia cuba untuk faham maksud sebenar anak lelakinya itu. Dan akhirnya dia mulai faham.

“Betul itu yang Tuah mahukan?” soal Puan Sri Jamilah bagi mendapatkan kepastian.

Lambat-lambat Tuah mengangguk. Tangan bondanya digamit kemas.

“Bonda doakan Tuah, ya? Supaya Dayang dapat jatuh cinta dengan Tuah. Dan supaya cinta Tuah padanya tak terlewat lagi.”

Puan Sri Jamilah jadi sebak. Pantas dia mendakap tubuh anak bujangnya itu.

“Bonda mendoakan yang terbaik untuk anakanda Tuah.” Tuah tersenyum berat. Moga-moga apa yang dirancangnya ini mendapat restu dari Ilahi.


+++++++

Dayang duduk termenung di birai jendela kecil biliknya. Dada langit yang dihiasi dengan bintang-bintang bersinar terang menjadi tatapan matanya.

Dia cuba tersenyum dengan apa yang telah terjadi. Sudah puas dia menangis. Sudah puas dia bertanya pada diri sendiri apa hikmah di sebalik semua yang berlaku.

Apa yang berlaku, benar-benar dalam sekelip mata sahaja. Semalam Ibu Orked memberitahu ada lamaran untuk masuk meminangnya. Pagi ini, di saat dia sudah redha dengan aturan dari ibu angkatnya itu, tiba-tiba Farid datang ingin memutuskan pertunangan mereka. Semudah itu lelaki itu memalukan dirinya.

Hanya Tuhan saja yang tahu perasaan Dayang saat itu. Maruahnya terasa dipijak-pijak pula.

Saat jiwanya dilanda rasa marah dan sedih, macam-macam perkara bermain di mindanya. Namun, setelah dia kembali bertenang, setelah otaknya mula mencari hikmah di sebalik yang terjadi, rasa sedih dalam hati Dayang mula berkurang.

Inilah yang dinamakan tiada jodoh. Allah Maha Mengetahui. Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Dayang akur dengan ketentuan ini.

Terluka sekarang lebih baik daripada terluka di kemudian hari. Biarlah luka ini tercalit sedikit daripada terpaksa berdarah lebih parah di kemudian hari.

Dayang redha dengan apa yang sudah terjadi. Dan dia mula nampak hikmah di sebalik apa yang terjadi.

Hikmahnya, dia masih diberi peluang untuk bertemu dan mencari jodoh yang dicintai olehnya. Tanpa paksaan sesiapa, jodoh itu dipilih oleh hatinya sendiri. InsyaAllah.

“Dayang… Dayang… Ke sini kejap nak…” Suara Ibu Orked membangunkan Dayang dari lamunannya.

Dia segera menyahut panggilan ibunya. “Ya, bu. Kejap, bu…” Jendela segera ditutup dan diselak kemas. Cepat-cepat Dayang melangkah ke bilik ibunya yang terletak di sebelah biliknya sahaja. Apa yang bermain di fikirannya tadi, dihapuskan terus dari ingatan.

“Ya, bu. Ibu haus ke?” soal Dayang sebaik saja melabuhkan duduk di birai katil ibunya. Dia tersenyum mesra.

Ibu Orked menggeleng lemah. Dipagut tangan Dayang lalu digenggam tangan itu erat.

“Ibu minta maaf, nak. Ibu minta maaf…” Berulang-ulang Ibu Orked melafazkan kata maaf itu.

Dayang jadi hiba pula. “Ibu, apa yang ibu merepek ni?” Dia cuba untuk pura-pura tidak mengerti. Walhal, dia cukup yakin kata maaf itu diucap kerana kejadian pagi tadi.

“Kalau bukan sebab ibu yang aturkan pertunangan ni, mesti Dayang takkan sesedih ini. Ibu langsung tak bincang dengan Dayang dulu. Ibu hanya fikirkan kebahagiaan Dayang. Ibu yakin Farid dapat menjadi suami yang baik pada Dayang. Tapi… tak sangka dia…”

Ayat Ibu Orked terhenti di situ. Matanya mula berkaca dan suaranya mula bergetar.

Makin kemas gamitan tangan Dayang. Bahu ibunya diusap lembut.

“Ibu, semua ni Allah yang aturkan untuk Dayang. Dayang terima, bu. Ya, Dayang memang sedih dengan apa yang terjadi. Tapi sumpah demi Allah, Dayang tak pernah salahkan ibu dalam hal ni. Sebab Dayang yakin, semua ni jadi sebab Allah yang aturkan. Ibu jangan cakap macam ni lagi ya.”

Dayang peluk pula tubuh Ibu Orked. Dia cuba menenangkan wanita tua itu yang pasti sedang sarat dengan rasa bersalahnya.

“Tapi, nak. Ibu tetap rasa bersalah…” Pelukan mereka terungkai. Dayang seka air mata ibunya dengan hujung jari.

“Dayang yakin, bu. Pasti akan ada seseorang yang lebih baik untuk Dayang di luar sana. Cuma Allah belum temukan kami. Dayang harapkan doa ibu. Doakan dia cepat-cepat muncul dalam hidup Dayang ya, bu.” Sebak Dayang saat itu. Namun, dia cuba untuk bertahan tabah.

Ibu Orked sudah kehilangan kata. Akhirnya dia terpaksa akur untuk mengiyakan kata-kata anaknya itu dengan anggukan. Doanya pasti akan sentiasa mengiringi gadis bernama Dayang Zulaikha ini.

Dan bagi Dayang pula, dia hanya mengharapkan lelaki yang bakal muncul dalam hidupnya nanti dapat menerima dirinya apa adanya. Dayang Zulaikha yang sekarang dan Dayang Zulaikha yang dulu.


+++++

Sehari bercuti, Dayang kembali masuk kerja di kilang. Dia berasa cukup lega. Sekurang-kurangnya tekanannya sedikit surut apabila rakan-rakan sekerjanya tidak banyak bertanya mengenai pertunangan tidak jadinya itu. Mungkin hal ini kerana tak ramai yang tahu. Mujurlah.

Yang tahu pun hanyalah Mak cik Non dan Mak cik Ita. Mereka bertanya apa yang sudah terjadi. Dayang hanya mampu menjawab tiada jodoh antara dia dan Farid. Itu sahaja yang mampu dia jawab. Kerana kuasa jodoh bukan di tangannya.

“Dayang, kau nak tahu tak mak cik ada datang ke majlis kau semalam? Kau mesti tak perasan mak cik.” Ujar Mak cik Ita memulakan bicaranya.

Dayang yang sibuk memasukkan buah mangga dalam kotak segera berpaling pada Mak cik Ita. Dahinya berkerut.

“Mak cik datang? Tapi saya…” Seingatnya, tidak pula dia menjemput Mak cik Ita ke majlisnya. Bukan tak nak jemput tapi semuanya berlaku sekejap sangat. Apa-apa persiapan pun mana sempat dia buat.

“Cuba kamu teka mak cik datang dengan siapa ke rumah kamu. Teka lah…” Mak cik Ita bermain teka-teki pula. Kerja buatnya jadi tertangguh.

Dayang cuba berfikir. Namun sungguh dia tidak mempunyai sebarang petunjuk.

“Mak cik pergi ke rumah kamu dengan tuan kita.” Ujar Mak cik Ita bersungguh.

Saat itu mulut Dayang terus melopong. Tuan kita? Maksudnya?

“Maksud mak cik, Tuan Tuah?” Mak cik Ita laju mengangguk. Dayang mula kepelikan.

Andai Mak cik Ita tidak dijemputnya, masakan bos besarnya pula yang dijemputnya. Hisy, kenapa pula tuan mudanya itu datang ke rumahnya ya?

“Oh…” Dayang baru teringat satu benda.

“Kenapa Dayang?” soal Mak cik Ita meluru.

Dayang cuba merakam kejadian semalam. Rasanya dia ada bertembung dengan seorang lelaki semalam. Wajah lelaki itu seakan dikenalinya namun dia buat bodoh saja kerana tatkala itu hatinya sedang berdukacita.

“Rasanya Dayang dah ingat. Semalam Dayang ada….”

“Dayang Zulaikha….”

Tidak sempat Dayang meneruskan kata, tiba-tiba ada suara yang memanggil namanya. Segera dia berpaling ke arah suara itu.

Kelihatan Ajim, supervisor merangkap pembantu setia Tuan Tuah sedang menapak ke arah mereka. Dayang dan Mak cik Ita saling berpandangan.

“Cik Dayang, Tuan Tuah nak jumpa cik sekarang juga di ofis.” Ujar Ajim sedikit serius.

Cukup faham Dayang dengan sikap serius Ajim namun dia kurang mengerti pula andai bos besarnya ingin bertemu dengannya. Ini adalah kali pertama namanya dipanggil. Apa yang dah aku buat? Bisik Dayang dalam hati sedikit takut. Takut andai dia ada buat kesalahan.

“Cik Dayang, sila…” Ajim menunjuk arah. Dayang tersenyum bingung. Dia meminta diri pada Mak cik Ita. Terus dia melangkah membuntuti Ajim dari belakang menuju ke pejabat Tuan Tuah yang julung-julung kali dimasukinya.

Mak cik Ita yang melihat situasi itu hanya mampu menggaru kepala. Keanehannya makin bertimpa-timpa.


+++++

Tok. Tok. Tok.

“Masuk…” Pintu yang sudah sedia terbuka Dayang lalui dengan perasaan yang masih kebingungan.

“Assalamualaikum tuan…” Ujarnya setelah menghampiri meja Tuah.

Tuah yang sedang pura-pura menyibukkan dirinya memeriksa fail di hadapannya, sebenarnya sedang menahan debar. Kali ini dia bakal bertentang mata lebih lama dengan gadis yang telah mencuri hatinya itu. Tuah mengumpul kekuatan.

“Waalaikumusalam. Sila duduk, Cik Dayang.” Kata Tuah sambil angkat muka.

Dayang yang tersenyum ditatap tanpa berkelip. Mata mereka bertembung seketika.

Dayang segera melarikan pandangannya. Dia tertunduk malu. Jadi benarlah tekaannya tadi. Lelaki yang bertembung dengannya di hadapan pintu rumahnya semalam adalah Tuan Tuah! Tapi mengapa lelaki itu berada di sana? Peliknya.

“Ehem-ehem…” Tuah berdeham cemas. Dia cuba berlagak tenang.

“Err… Cik Dayang Zulaikha kan?” soalnya buat-buat selamba. Badan disandar ke kerusi. Saat itu matanya tak lepas dari memandang wajah Dayang.

“Ya saya tuan.” Balas Dayang penuh hormat.

“Kalau bercakap boleh tak pandang depan? Kenapa tunduk-tunduk macam tu.” Kata-kata Tuah membuat Dayang terus mengangkat muka. Berdebar jantungnya mendengar ucapan serius dari bos besarnya itu.

Tuah batuk-batuk kecil. Adakah dia sudah tersalah cakap? Keras sangat ke? Berubah air muka Dayang mendengar kata-katanya.

“Erm… saya sebenarnya ada benda nak bincangkan dengan awak. Mulai dari hari ni, awak tak perlu lagi kerja di bilik pemprosesan tu.” Dayang terperanjat besar. Apa maksud lelaki itu? Adakah dia sudah dibuang kerja? Apa silapnya?

“Tapi, tuan. Saya…”

“Awak ditukar ke bahagian ofis. Jadi pembantu saya. Setiausaha saya.”

Tuah menanti reaksi dari Dayang. Moga-moga gadis itu tak banyak songeh dengan arahan terbaru darinya ini.

Hanya itu yang terlintas di benaknya demi mencari jalan dia dan gadis itu berada lebih dekat. Dapat mengenali dan mendekati gadis pilihannya itu dalam diam. Ah biarlah cara ini kelihatan agak kebudak-budakan. Yang penting, hati Dayang perlu direbutnya!

“Err… jadi setiausaha? Tapi… bukan ke Tuan Tuah tak pernah ada setiausaha sebelum ni?” soal Dayang dalam keadaan yang serba salah. Nak tanya salah, tak tanya lagi salah. Biar betul tuan mudanya ini ingin mengambil seorang setiausaha. Setahu Dayang, ramai pekerja yang cakap Tuan Tuah tak suka ada pembantu peribadi seperti seorang setiausaha. Adakah lelaki itu kini sudah berubah fikiran. Apa pula kelayakan yang ada pada dirinya untuk menjadi seorang setiausaha. Bekerja di pejabat? Ah… Dayang benar-benar tak faham.

“Saya bos. Saya cukup tahu apa yang saya perlukan. Saya harap awak tak menolak. Lagipun gaji sebagai setiausaha agak lumayan.” Itu yang terkeluar dari bibir Tuah. Harap-harap Dayang sudi menerima pekerjaan yang sengaja direka-reka olehnya ini.

Makin tebal dahi Dayang berkerut. Ragu-ragu pula dia dengan tawaran mengejut ini.

“Tapi saya tak biasa buat kerja-kerja pejabat, tuan. Saya hanya pandai kerja berat-berat. Saya rasa saya tak sesuai jadi setiausaha Tuan Tuah. Saya… saya…”

“Belum cuba belum tahu.” Tuah mencelah laju. Tak sanggup dia mendengar si gadis itu menolak permintaannya.

“Erm…” Dayang kehilangan kata. Tapi kenapa dia? Kenapa dalam ramai pekerja lain di kilang ini yang lebih berpelajaran tinggi, dia juga yang terpilih. Adakah ini dinamakan rezeki terpijak? Jadi setiausaha? Tak pernah langsung terlintas di fikirannya.

“Jadi macam mana? Setuju?” soal Tuah agak memaksa. Dayang berjeda lama.

“Tapi saya tetap rasa saya tak layak, tuan.” Jawapan Dayang sedikit melegakan Tuah. Sekurang-kurangnya gadis itu tidak menolak, bukan?

“Tak layak tak semestinya tak boleh cuba kan? Cuba dulu selama sebulan. Kalau tak boleh jugak, saya akan lepaskan awak.” Mendalam maksud Tuah itu. Dayang pandang muka Tuah dengan tanda tanya. Lepaskan aku? Hati kecil Dayang berteka-teki.

Tuah cuba tersenyum mesra bagi memberi Dayang merasa aman bersamanya. Dia berdiri.

Melihat bosnya berdiri, Dayang turut berdiri sama. Mereka saling berbalas pandangan.

“Selamat datang ke pejabat kecil saya. Meja awak kat sana. Tugas awak senang aje. Ikut saya pergi tinjau kolam ikan dan ladang buah. Perkara lain saya akan inform kemudian. So, Cik Dayang Zulaikha. Selamat menjadi setiausaha kepada saya…” Buat sekian kalinya Tuah mengukir senyuman.

Dalam keterpaksaan dalam masih dalam kebingungan, Dayang terpaksa juga membalas senyuman itu dengan satu senyuman yang menandakan ‘ya dia setuju dengan kerja ini.’

*bersambung*


Awak tahu apa yang membuatkan Rasulullah sedih dan Allah murka ?


Awak berakal tapi tak solat . Awak cantik tapi tak tutup aurat.



Nauzubillah  



2 comments:

  1. Yahooo! Hati senang bersama mu sayang Tuan Tuah yang handsome. Lalalala. Kihkihkihkih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe... suka nye dia..
      So what next? ce teka ^^

      Delete