JOM FOLLOW

Saturday, 5 September 2015

Aku Bukan Novelis [cerpen]




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


,,,Aku Bukan Novelis,,,



90 Like.
140 Comment.
15 Share.

Tersengih seorang diri Suria melihat apa yang terpapar pada skrin laptopnya. Terasa kenyang serta-merta walaupun dia belum lagi makan malam. Kalau ini ‘pemandangan’ yang bakal dia lihat setiap hari, mahu tidur dalam senyuman dia macam ni.

Terasa berbaloi sangat bila dia dah penat-penat tulis dan reka jalan cerita yang lain dari yang lain, para pembaca pula dengan supportivenya menyokongnya. Dia happy dua kali ganda jadinya.

Sudah hampir 2 tahun Suria Wahid menjadi penulis novel. Atau lebih glemer digelar novelis! Dengan menggunakan nama pena Surialicious, dalam dua tahun menjadi novelis separuh masa, Suria berjaya menerbitkan empat buah novel. Bayangkan dua tahun dalam industri penulisan yang boleh tahan banyak persaingan ini, sudah empat novel yang dia berjaya hasilkan. Satu kejayaan yang cukup membanggakan bagi dirinya sendiri.

Untuk tahun 2015, dua lagi manuskrip novel bakal Suria siapkan. Yang pertama bertajuk Suamiku Encik Kacak sudah selamat mendarat di meja editor. Sekarang dalam penilaian. Tapi sungguh Suria menjadi amat teruja apabila semalam baru saja dia mendapat Whatsapp dari Cik Noni, editor kesayangannya. Cik Noni cakap manuskrip Suamiku Encik Kacak sudah pun lulus penilaian. Katanya novel itu bakal diterbitkan pertengahan 2015. Alhamdulillah rezeki!

Novel kedua pula yang saat ini sedang hangat dipaparkan di fan pagenya, Page Surialicious, juga sedang mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari pembaca setianya. Pembaca-pembaca hampir meroyan dengan watak ciptaan Suria yang bernama Syed Fadzli Syed Mokhtar itu. Manuskrip bertajuk Encik Syed, Saya Sayang Awak! tinggal lagi 40 peratus sebelum Suria menemui perkataan tamat.

Tapi kalau melihat dari sokongan dan respon dari pembaca setianya yang happening seperti ini, rasanya makin lajulah Suria akan menyiapkan manuskripnya. Makin cepat siap, makin cepat dia dapat hantar ke meja editor. Maka makin cepatlah pembaca dapat membaca kisah cinta penuh romantik antara Syed Fadzli aka Encik Syed bersama heroinnya Siti Nur Mastura aka Cik Mas Kusayang dalam bentuk novel!

“Kalau hari ni aku dapat 90 likes, 140 comment dan 15 share, aku akan pastikan esok aku dapat 100 likes, 200 comment dan 20 share. Wah makin tamak kau ya, Su! Hahaha...” Bilik tidur dihiasi dengan gelak sakan Suria. Makin terleka pula dia mengadap laptop.

“Ini baru dekat page. Belum lagi aku tengok dekat blog. Sah ramai yang tinggalkan komen. Thank you very much guys. Komen korang bagi semangat dekat aku tau. Thanks!” Tanpa dapat menahan dirinya, Suria mengucup skrin komputer ribanya. Dia tersengih lagi.

Melihat pagenya kosong tanpa status yang gempak-gempak, otak Suria mula bekerja keras untuk merangka ayat yang superb. Lama dia termenung dan akhirnya dia menjerit teruja.

“Hah! Aku tahu nak update apa.”

Jari-jemari mula menari-nari di atas papan kekunci. Sambil menaip, bibir Suria tak lekang mengukir senyuman indah.

Mode : Belum dinner.
But… rasa kenyang sangat bila baca komen-komen korang kat page ni. Ada yang meroyan, ada yang masih meroyan dan ada yang tetap meroyan dengan Encik Syed kita tu. *wink!* Encik Syed cakap sorry sebab dia dah buat korang pakat meroyan. Hahaha…
But siyesly Surialicious sangat happy dapat sokongan penuh cinta dari korang semua. Terima kasih. Thank you. Kamsahmanida. Arigato. Muahhh cikit X_x
Kalau macam nilah sokongan korang, makin bersemangatlah saya nak siapkan kisah cinta Encik Syed dan Cik Mas Kusayang ni. Love u guys. #EncikSyedCikMasKusayang ^^

Post!

Dengan santai Suria menompang dagu sambil matanya ralit memerhatikan skrin laptop. Dibaca lagi sekali status terbarunya itu. Dan dalam masa tidak sampai satu minit, sudah ada 5 like di situ. Suria senyum lagi dan lagi kerana bilangan like makin meningkat dan pembaca setianya mula berbalas komen.

Bahagianya hidup!


+++++

Qaseh Suchi : Amboih nakal noh Encik Syed ni. Rasa nak join Cik Mas sekeh kepala Encik Syed ni. #EncikSyedOSEM

Green Day : Hahaha. Encik Syed poyo! @_@ Kalaulah Cik Mas tahu Encik Syed sayang dia ketat-ketat. Surialicious mohon buat Cik Mas cepat-cepat sedar yang Encik Syed cintakan dia k!

Mrs J : *kenyit mata kat Encik Syed* Sangat daring kot apa yang dia buat kat Cik Mas tu. Mahu putus nyawa Cik Mas kalau hari-hari layan kenakalan Encik Syed. GRR… Love u #enciksyedOSEM

Ini merupakan tiga komen terbaru yang Suria dapat setelah hampir satu jam dia mengepos entri terbaru Encik Syed, Saya Sayang Awak dekat pagenya. Jumlah komen 140. Dekat blog dah ada 30 komen. Seronoknya!

Semua pembaca sepakat cakap Encik Syed nakal, noti-moti dan daring. Haha. Suria tergelak lepas. Mujur rakan sekerjanya tidak mendengar tawanya itu.

Entri kali ni memang agak daring dan ‘nakal’ sikit. Sengaja Suria ciptakan jalan cerita macam tu supaya ada graf pada watak ciptaannya itu. Kalau tak ada scene manja-manja, noti-moti bukan cerita dari Surialiciouslah namanya.

“Amboi-amboi-amboi. Cik novelis duk sengih sakan ni awat, hah? Baru dapat payment royalty ka?” Suara haski milik Eton mematikan fokus Suria pada skrin komputernya. Si Eton yang sudah duduk di hadapannya dipandang dengan senyuman.

Well royalty tu insyaAllah dapat akhir bulan ni. Aku sengih tadi sebab ni aku duk baca komen-komen dari readers aku. Dorang memang osem, Ton!”

Eton angguk saja. Kepalanya terjengah ke skrin untuk melihat komen-komen pembaca Suria.

“Laku noh hang juai novel. Kalu lagu nilah, aku pun nak jadi novelis. Cepat sikit aku jadi kaya.”

Suria tergelak. “Aku jadi penulis bukan semata-mata sebab duitlah, Ton. Semua ni sebab minat.”

Jawapan dari Suria buat Eton mencebik.

“Eleh hang ni. Yalah tu sebab minat. Tapi kurang-kurang poket hang selalu penuh. Akaun bank hang pun tak susut-susut.”

Senyuman Suria lenyap. Tak berapa senang hati dia menerima riak wajah Eton. Macam nak sindir aku aje si Eton ni.

“Eh dahlah. Aku nak pi sambung buat kerja. Hang jangan duk curi tulang sangat Su oi. Tak berkat kerja hang haru hang nak menghadap Allah nanti.”

Erk. Suria tersentak dengan kata-kata Eton. Wajah serius Eton menuturkan itu semua berjaya menghadirkan rasa kurang senang dalam hati kecil Suria.

Langkah Eton makin menjauh darinya. Kata-kata terakhir Eton tadi entah kenapa menari-nari di benaknya.

“Astaghfirullahaladzhim. Hisy Eton ni. Saja buat aku takut. Jealouslah tu. Ugh!” Bagi menyedapkan hati yang tengah tak sedap, Suria kembali fokus pada pagenya.

Halaman utama dibuka. Sambil menunggu waktu makan tengah hari yang tinggal lagi sepuluh minit, Suria menghabiskan masanya menggodek-godek FB.

Scroll punya scroll, Suria terpandang pada satu gambar yang dikongsi oleh salah seorang rakannya. Kata-kata yang terpapar pada gambar itu benar-benar menyentak hati kecilnya.

“Semua penulis akan meninggal. Hanya karyanya sahaja yang akan abadi sepanjang masa. Maka tulislah sesuatu yang akan membahagiakan dirimu di akhirat kelak.” – Saidina Ali bin Abi Talib.

Satu perasaan halus menusuk masuk ke dalam jiwa Suria. Dia terdiam buat beberapa detik. Berkali-kali kata-kata itu dibaca. Diulang-ulang sehingga dalam masa tidak sampai lima minit dia dapat merakam kata-kata sahabat Rasulullah SAW itu dalam otaknya.

Maka tulislah sesuatu yang akan membahagiakan dirimu di akhirat kelak.
Maka tulislah sesuatu yang akan membahagiakan dirimu di akhirat kelak.
Maka tulislah sesuatu yang akan membahagiakan dirimu di akhirat kelak.

Apa yang aku tulis selama ni, mampu ke dapat bagi kebahagiaan dekat aku di akhirat nanti?

Novel-novel yang aku tulis sebelum ni, dapat ke jadi saksi terbaik untuk bela aku depan Allah nanti?

Novel aku? Banyak yang mengghairahkan pembaca.

Novel aku? Banyak yang wataknya tidak menjaga batas pergaulan.

Novel aku? Banyak yang aku fokuskan pada scene bilik tidur, ciuman penuh ghairah, daring, notty dan…

“Ya Allah….”

Tangan Suria pantas menekan laman blognya sendiri.

Surialicious.blogspot.com.

Entri-entri yang terdapat dalam blog dibaca semula satu persatu. Dipilih secara rawak entri yang dapat sambutan hangat.

Saat melihat entri yang mendapat view count yang paling tinggi adalah pada entri yang menampilkan scene bilik tidur, Suria terngandah buat seketika.

Berat hatinya untuk memeriksa entri yang lain. Kerana dia yakin amat yakin bahawa semua entrinya lebih mengfokuskan ‘hal itu’.

Blog ditutup. PC ditutup sama.

Suria cuba untuk tidak memikirkan apa yang sedang bermain di fikirannya saat ini. Namun dia gagal untuk membuang semua itu. Perkara ini dalam sekelip mata menghantuinya.

‘Novel kau penuh dengan noda, Suria! Kau tulis ikut nafsu! Kau langsung tak fikir baik buruk apa yang kau tulis! Kau hanya kejar glamour! Kau nak novel kau laku kat pasaran sampai kau sanggup tulis scene yang mengghairahkan pembaca! Kau bukan penulis yang baik, Suria! Kau dah cemarkan maruah kau sebagai seorang penulis beragama Islam! Apa kau nak jawab depan Allah nanti atas apa yang dah kau tulis? Kau yakin apa yang kau tulis ni dapat bagi jaminan dekat akhirat nanti? Kau ingat kau akan terlepas macam tu aje bila kau tulis cerita lucah macam tu? Jawab Suria. Jawab!!!’

Suria tergamam. Pegun dirinya di situ bagaikan saat ini hanya ada dia dan dosa-dosanya saja.

Eton yang baru muncul di situ melihat wajah pucat Suria cuba memanggil-manggil nama sahabatnya itu. Namun sedari tadi Suria seakan-akan tidak mendengar langsung panggilannya.

“Tengah menjiwai watak ke? Hai takkan novelis macam ni teruk bila nak tulis cerita.” Eton membebel seorang diri. Tidak mahu mengganggu fokus Suria, dia bergerak meninggalkan Suria di situ seorang diri.

‘Tak jadilah aku nak jadi novelis. Teruk betui effect dia. Gerun aku!’ Eton mengomel sendiri. Dia bergerak ke pantri sambil sesekali paling ke belakang memandang wajah Suria yang masih bingung lagi keliru.


+++++


Hampir seminggu sudah berlalu. Selama itu jugalah Suria memencilkan diri dan mengghaibkan diri dari alam muka buku. Kalau ikutkan hati mahu saja dia deactive Facebooknya. Tapi bila mengenangkan banyak urusan kerja dan peribadi yang perlu dia uruskan menggunakan laman social itu, Suria hanya mampu jauhkan diri dari FB. Dia kuatkan diri dan pujuk nafsu sendiri untuk tidak melayari FB dan blog untuk beberapa hari.

Sejujurnya apa yang terjadi pada Suria ini tidak lain adalah kerana kata-kata yang dibacanya di FB seminggu yang lalu. Kata-kata penuh hikmah dari Saidina Ali r.a itu amat menusuk kalbunya. Otaknya terasa mahu tembus memikirkan semua apa yang telah dia lakukan.

Dicangkul hingga ke dasar dosa-dosanya. Bergenang air mata Suria tatkala tersedar kelalaian dan keghairahannya menghasilkan karya tanpa sedikit pun berfikir mengenai nasibnya di akhirat kelak.

Walau sebesar zarah kebaikan atau keburukan yang seseorang itu lakukan, pasti Allah akan membalasnya dengan setimpal. Walau sebesar zarah kesalahan yang dilakukan oleh seorang hamba, tidak mungkin akan terlepas dari pengetahuan Tuhan.

“Hmmm…” Satu keluhan maha berat terluah dari bibir Suria. Terbias wajah tidak bermayanya di hadapan cermin kaca meja solek.

Suria terduduk lemah ke kerusi sambil matanya terus merenung dirinya sendiri.

‘Apa agaknya nasib aku dekat akhirat nanti. Apa aku nak jawab nanti bila Allah tanya kenapa aku tulis semua tu. Boleh ke aku cakap semua scene ghairah tu aku tulis sebab aku nak bagi pengajaran dekat pembaca? Dengan akal fikiran yang maha hebat Allah kurniakan pada seorang manusia, takkanlah aku tak mampu nak fikir perkara yang lebih baik untuk dijadikan pengajaran oleh orang lain? Kenapa mesti aku pilih unsur tidak sepatutnya tu dalam menyampaikan pengajaran? Aku ni tak ada rasa malu langsung tulis semua tu. Aku bukan pernah mengalami semua tu pun. Aku tulis adegan-adegan berat macam tu yang dah buat pembaca aku terleka berimaginasi. Ya Allah… ya Allah… kenapa aku teruk sangat. Mana iman kau, Suria?!’

Air mata gugur lagi. Lekuk pipinya sudah lencun dengan mutiara jernih itu.

Kedua-dua tangan meramas kepala yang saat ini sedang kusut. Saat perasaannya sedang bercampur-gaul itu, muncul pula suara hatinya yang lain. Dari sisi kejahatan.

‘Semuanya atas niat, Suria. Pembaca bukan terlalu bodoh untuk hanyut dengan semua tu. Come onlah. Takkan kau nak sia-siakan bakat kau. Kau nak stop menulis? Kau nak lepaskan impian kau untuk jadi novelis terbaik Negara? Perjalana kau masih jauh, Suria. Masih jauh!’

Kepala tergeleng-geleng perlahan.

“Aku ada bakat. Aku takkan sia-siakan bakat aku. Aku takkan berhenti!” Bagaikan termakan dengan pujukan nafsu jahat itu, Suria kembali tegakkan badan.

Air mata diseka rakus. Dia bingkas bangun dari kerusi dan menapak ke meja studinya. Komputer riba dihidupkan. Hampir seminggu tidak melayari internet, akhirnya hari ini Suria kembali membuka laman muka bukunya. Berderet notify di kotak bumi di FB peribadinya dan di page Surialicious.

Terdapat 10 kiriman pelawat dari fan pagenya. Satu persatu Suria baca.

Han Ri Na
-Akak Surialicious where are u??? I miss u and your stori. Kenapa takde update #EncikSyedOsem ni. Kerinduan dong <3

Mrs J
-Cik novelis kesayangan akak. Plis upload #EncikSyedOsem. Kangen ni.

Windu Zie
-Rindunya kat Encik Syed >_< Mohon cik writer cepat-cepat update blog eh ^^

Tak semena ada senyuman yang muncul di bibir Suria. Sisa air mata dilap dengan hujung lengan baju.

“Aku tak boleh mengalah. Aku takkan mengalah. Aku…”

Saat matanya terpandang kiriman yang seterusnya, air mata Suria hampir-hampir mahu menitik kembali. Jiwanya sesak lagi.

Prince Carl.
Your stori was soooooo hotttt! Buat saya panas luar + dalam je ;)
I imagine Encik Syed tu me and Cik Mas tu my ex ;)
Coz kalau boleh I memang nak ‘layan’ my ex macam Encik Syed ‘layan’ Cik Mas. But my ex tu very the kampong girl. Its okay. I can imagine anything that u write in my mind ;)
Kipidap miss Licious!

Delete!

Itu tindakan drastik Suria setelah membaca kiriman dari lelaki bernama Prince Carl itu. Meremang bulu romanya membaca ayat terakhir dari followernya itu. Ayat double meaning yang tak susah untuk Suria faham.

Ya Tuhan. Sampai begitu sekali kisah-kisah yang dikarangnya memberi kesan pada hati pembaca. Bagaimana pula agaknya penulisannya memberi kesan pada remaja-remaja yang rata-rata daripada mereka sangat menyokong kerjayanya selama ini.

Buat sekian kalinya Suria terkaku di hadapan komputer. Hati dan fikirannya kembali berkecamuk.

Selama dua tahun dia menjadi seorang penulis novel, entah apa agaknya sumbangannya terhadap pembaca-pembacanya. Sumbangan dari segi pengajaran cerita yang mereka dapat dari novel yang Suria tulis.

Sejujurnya Suria pernah menulis kisah yang tidak terlalu berat. Tiada unsur-unsur yang tidak sepatutnya. Ceritanya bersih. Tetapi apabila cerita itu diletak dalam blog, amat Suria sedih melihat reaksi dan komen dari pembaca. Tidak semeriah cerita-ceritanya yang hot dan daring.

Kerana itulah Suria lupakan menulis cerita ‘bersih’ tu dan dia kembali menjadi seorang Surialicious!

“Hmm…”

Sedang melayan jiwa yang sedang gundah itu, Suria terbaca satu status yang baru diupdate oleh seorang rakannya beberapa minit yang lalu.

Cinta Qaseh.
Kalau benar kita takutkan Allah, kita pasti akan berhati-hati menjalani kehidupan kita. Cukup berhati-hati untuk tidak melakukan dosa. Cukup berhati-hati untuk tidak mendapat kemurkaan Allah. Inilah yang dinamakan TAQWA. Taqwa itu adalah perasaan takut kita pada Allah. Tidak mengapa andai kita pernah melakukan dosa. Cukup kita kembali bertaubat kepada Tuhan Yang Maha Esa. Tidak mengapa andai kita pernah hanyut dalam kemaksiatan. Cukup kita ingat bahawa kita ada Allah yang bersifat Ar-Rahman.

‘Ya Allah... cukupkah ketaqwaan aku selama ini kepadaMu? Cukupkah keikhlasan aku selama ini menjadi hambaMu? Cukupkah…’ Hati kecil Suria bermonolog sepi.

Mampukah dia membuat satu keputusan yang paling tepat untuk diri dan masa depan dunia akhiratnya? Sungguh Suria perlukan sesuatu saat ini. Sesuatu yang bernama…. petunjuk.


++++


Cik Noni
Betul ke Su nak tarik balik ni? Akak tanya buat kali yang terakhir. Plis jangan kecewakan akak.

Suria
Betul kak. Su yakin. Keputusan Su muktamad! :)

Cik Noni
Tapi akak dah lima kali baca manuskrip Su tu. Bukan ada scene yang melampau giler pun. Akak sendiri yang edit kot. :(

Suria
:) Izinkan Su puaskan hati sendiri kak. Su berani mintak manuskrip ni semula pun sebab Su belum tandatangan apa-apa perjanjian. Kalau Su dah sign, berat jugak Su nak buat semua ni.

Cik Noni
Hmmm…. First time Su macam ni. Dah dua tahun kita kenal dan berurusan. Akak rasa Su macam dah lain. Bukan ke Su dah beritahu semua readers yang manuskrip Suamiku Encik Kacak dah lulus penilaian. Dorang mesti berharap.

Suria
Takpe kak. Itu Su boleh uruskan. InsyaAllah. Akak ni saja kan nak pujuk Su lagi. Hehe. Dah-dah. Keputusan Su nekad. Maaf sebab dah susahkan akak.

Cik Noni
:( :( :( Nampaknya Surialicious ni degil jugak orangnya ya. Yalah. Akak dah tak reti nak pujuk lagi. Kalau itu keputusan Su. Tapi nanti kalau Su dah siap edit, dah puas hati dengan manuskrip tu, hantar balik eh kat akak. Sayang akak nak lepaskan cerita tu.

Suria
InsyaAllah kak. Tapi Encik Bos tak marah ke nanti? Hehe… dah lulus tapi tarik balik. Lepas tu ada hati nak hantar lagi sekali.

Cik Noni
Alah small the matter je. Encik Bos tahu bakat dan kepopularan Su macam mana.

Suria
Hahaha. Tak berapa nak popular dah kak. Jadi popular ni penat.

Cik Noni
:) Apa-apa pun keputusan Su, akak sentiasa sokong Su. Su ada bakat. Kalau pun Su dah give-up dalam bidang novelis ni, Su masih ada peluang untuk jadi penulis buku ilmiah @ majalah. U r very talented, dik! Gifted!

Suria
:D :) Terima kasih kak sebab sudi faham saya. Su janji Su takkan sia-sia bakat yang Allah bagi ni. Cuma sekarang Su rasa sudah sampai masanya Su gunakan anugerah Allah ni ke jalan yang lebih tepat.

Cik Noni
*hugssssss*

Suria
<3

Suria tarik nafas panjang. Telefon pintar diletak perlahan atas meja studi.

Sebaris senyuman tercoret di hujung bibir. Suria tenang kini. Inilah keputusan yang paling tepat yang pernah dia lakukan dalam hidupnya. Keputusan yang InsyaAllah tidak akan dia kesali. Sebuah keputusan yang dia ambil setelah dia melakukan solat istikharah dan solat sunat hajat.

Dua minggu Suria berfikir. Dua minggu juga dia cuba mengubah dirinya menjadi seorang Suria yang baru.

Bermula dari akaun FB peribadinya, laman fan pagenya dan blognya. Apa yang tidak sepatutnya dipertontonkan, semuanya Suria sudah padam. Setiap entri di blog semuanya telah dia saring semula. Yang mana ada adegan terlampau berahi, semuanya Suria buang dalam tong sampah. Tanpa ragu-ragu dia melakukan semua itu.

Walau sejuta kali rasa sayang kerana terdapatnya beratus komen, beribu likes… demi perjuangan dan penghijrahannya, Suria sanggup redah semuanya. Bukan penyesalan yang dia dapat setelah membuat semua itu. Namun satu perasaan yang bernama ketenangan hinggap ke tangkai hatinya.

Bertambah tenang setelah jalannya dipermudahkan oleh Allah untuk melakukan sesuatu sebelum semuanya terlambat. Yang berlalu biarkan berlalu. Moga Allah mengampunkan dosanya. Kini saat ada peluang di hadapan mata, Suria tidak akan melengahkan walau sedetik peluang yang dia ada.

Beberapa hari yang lalu, Suria nekad untuk memberitahu Cik Noni sesuatu. Dia nekad untuk membatalkan manuskrip Suamiku Encik Kacak yang telah lulus penilaiannya di bawah Syarikat Seni Kreatif. Kerana Suria sangat sedar bahawa manuskrip Suamiku Encik Kacak terlalu bahaya untuk bacaan umum. Kebodohannya, kealpaannya, kerakusannya menulis kisah itu benar-benar membuat dia malu pada dirinya.

Mujur juga dia masih belum menandatangani apa-apa perjanjian. Kalau tidak mahu kena saman dia agaknya oleh syarikat penerbitan.

Tapi bila fikir balik. Semua ni bukan sebab mujur. Semua ni bukan sebab kebetulan. Ini semua perancangan dari Tuhan. Terlalu sempurna rancangan Allah. Terletak cantik perjalanan takdir yang Allah aturkan. Allah…. Sungguh Suria amat bersyukur.

Laman muka buku dibuka. Satu status diupdate.

Suria Wahid
Jangan pernah sesekali kita merasa kesal di atas setiap apa saja yang berlaku dalam hidup ini. Baik buruk yang kita lalui, itu semua merupakan takdir yang ditulis oleh Allah untuk kita. Dan takdir ini datang dalam satu pakej yang lengkap. Ada suka + duka + manis + pahit + ujian + kenangan. Semua ni sebenarnya satu hadiah dari Allah untuk kita jadikan ia sebagai satu pengajaran. Kadang kita berjaya bukan sebab kita tak pernah kalah. Tapi kerana pernah kalahlah yang menjadikan kita berusaha untuk berjaya. Setiap orang tak lepas dari berbuat dosa dan kesalahan. Namun sebaik-baik pendosa adalah dia yang segera bertaubat dan kembali kepada Tuhannya.

Selesai meng-update status, komputer riba dibuka. Wattpad dibuka dan Suria menulis sesuatu di situ.

Tajuk : Aku Bukan Novelis

“Semua penulis akan meninggal. Hanya karyanya sahaja yang akan abadi sepanjang masa. Maka tulislah sesuatu yang akan membahagiakan dirimu di akhirat kelak.” – Saidina Ali bin Abi Talib.

Ini manuskrip terbaru dari Suria. Bukan manuskrip novel. Namun satu manuskrip untuk sebuah buku ilmiah. Dia ingin memulakan langkah barunya dengan melakukan sesuatu yang baru. Untuk berubah kita perlu lari dari perkara yang kita suka buat.

Sesungguhnya Suria sudah bersedia untuk menggunakan bakat yang dianugerahkan oleh Allah kepadanya ini melalui jalan yang tepat, benar dan diredhai. InsyaAllah.

Tiada lagi istilah takut kehilangan jumlah like, share dan komen yang beribu-ribu. Yang ada cuma… moga Allah redha dengan apa yang dia tulis.

Biidznillah. Dengan izin Allah. Moga semuanya berjalan dengan lancar.

_TAMAT_

#komen pliss ^_^


6 comments: