Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Suasana
di SMO tengah hari ini agak lengang tanpa kunjungan pelanggan. Yang ada hanya
beberapa orang pelanggan yang datang untuk membeli bahan bacaan. SMO – Syarikat
Muda Osman, merupakan sebuah kedai buku yang kini mula dikenali oleh ramai
peminat buku.
Kedai
buku ini sangat terkenal di Kuala Terengganu, di mana di sini tiada kedai buku
Popular atau MPH. Yang ada hanya beberapa kedai buku kecil dan salah satunya
adalah SMO.
Aku
Hadi. Muhammad Hadi bin Abdullah. Jejaka bujang berusia 28 tahun yang baru saja
mendapat kerja tetap di sini. Tamat saja SPM aku tidak menyambung pelajaran
sebaliknya lebih suka mencari kerja-kerja di luar. Dengan keputusan SPM yang
sememangnya teruk, maka lebih baik aku terus mencari kerja untuk menyara
keluargaku. Aku pernah bekerja sebagai pelayan restoran, tukang cuci, budak
penghantar surat, mekanik, dan pernah juga bekerja di supermarket.
Di
usia 28 tahun ini, aku nekad untuk mencari kerja tetap yang boleh menampung
kehidupanku sekeluarga dengan lebih meyakinkan. Berkat bantuan dari seorang
kawan baik, aku diterima bekerja di sini. Kini sudah hampir setahun aku bekerja
di kedai buku. Alhamdulillah aku amat senang bekerja di sini. Di kelilingi oleh
kawan-kawan sekerja yang baik dan saling menghormati.
“Selamat
datang ke SMO.” Aku menyapa mesra seorang gadis kecil molek yang menapak masuk
ke ruang SMO. Gadis itu tersenyum padaku lalu menundukkan pandangannya. Dia
terus melangkah ke rak novel.
Aku
senyum saja sambil garu kepala. Kerja buatku aku teruskan. Buku-buku yang baru
sampai disusun mengikut tema.
“Sakit
perut. Mama, adik sakit perut. Mama…”
Cuping
telinga capang ku mula menangkap suara kanak-kanak perempuan merengek sakit
perut. Kepala kujengah ke hadapan. Selang satu rak di hadapanku, seorang budak
perempuan berdiri di situ sambil menekan-nekan perutnya.
Memandangkan
pekerja lain sedang sibuk dengan kerja mereka, dan aku sahaja yang paling dekat
dengan budak perempuan itu, aku mula melangkah ke arahnya. Namun tidak sempat
kaki ini bergerak panjang, gadis kecil molek yang aku sapa sebentar tadi
terlebih dahulu menuju ke arah budak itu. Aku jadi diam pegun memerhatikan dia.
“Adik,
mama adik mana?” soal perempuan bertudung litup itu. Solehahnya… sempat pula
hati ku memuji.
“Mama
suruh adik tunggu dia dekat sini. Adik sakit perut. Adik nak pergi tandas.”
Budak perempuan bertudung warna oren itu mula merengek dan menangis. Sudah.
Perlu ke aku masuk campur?
“Erm
mari kakak temankan adik pergi tandas.” Gadis bertudung itu mula angkat kepala
bagai mencari sesuatu. Melihat keadaan yang terdesak itu aku tahu aku kena
masuk campur.
“Cik
boleh guna tandas staf. Untuk emergency tak apa.” Aku bukan memandai. Tapi ini
memang ada dalam polisi syarikat.
Gadis
itu tersenyum lalu mengangguk. Pantas dia memimpin tangan budak perempuan itu.
Aku pula pantas bergerak menunjukkan pada mereka arah tandas.
“Eh
siapa tu?” Sedang aku menunggu gadis bertudung dan budak perempuan itu keluar
dari tandas yang berada di belakang bangunan, aku menunggu mereka di kaunter.
Dan soalan itu muncul pula dari Fakri, kawan sekerja merangkap kawan satu
sekolah waktu tingkatan lima dulu.
“Entah.
Budak kecik tu nak ‘membuang’. Perempuan tu pulak sudi tolong.” Aku jawab
bersahaja.
Tak
pasal-pasal Fakri jadi busybody. “Solo lagi ke ek perempuan tu. Solehah aje aku
nampak.”
Kali
ini aku jungkit bahu. Sejujurnya dalam hati aku pun memuji gadis itu. Cukup
menutup aurat pakaiannya. Akhlak dengan budak-budak pun MasyaAllah, penyayang.
Perempuan macam nilah sesuai dibuat isteri.
“Tapi
biasanya perempuan solehah macam ni dah bersuami.” Fakri bersuara lagi.
Aku
pandang dia lalu pandang pula ke arah pintu. Dua gadis itu belum keluar.
“Mungkin
dia belum berpunya.” Entah kenapa aku menyedapkan hati.
Fakri
tepuk bahu aku agak kuat. Terus aku jeling dia.
“Amboi
kau ni, Hadi. Ada hati ke nak kahwin muda? Tak menyesal? Tak nak enjoy dulu?”
Aku
sengih lalu geleng lalu angguk. Fakri buat muka terkejut.
“Aku
nak enjoy tapi dengan yang ‘halal’. Maksud aku isteri aku yang sah. Kahwin muda
orang kata banyak manisnya. Syaitan pun nangis kalau kita ‘halalkan apa yang
haram’, bro!” Kali ini bahu Fakri pula yang menjadi mangsa hempukanku.
Fakri
mendengus. “Tapi kau jangan lupa. Kahwin muda juga banyak dugaannya. Dan banyak
kes penceraian berlaku dalam kalangan pasangan muda-mudi. Eh, kau berkenan ke
dekat perempuan tadi tu? Nak aku mintak nombor dia?” Fakri yang sememangnya
terlebih berani memikat si gadis mula menghulurkan bantuan.
Aku?
Aku hanya mampu tersenyum segan. Dalam hati kata nak tapi bibir hanya mampu
terkunci rapat. Sumpah aku segan nak jadi jejaka desperate!
“Erm
terima kasih ya.” Muncul suara gadis tadi di hadapan kami berdua. Aku dan Fakri
mula mati kutu.
“Err… ya sama-sama. Dik, dah lega ke?” Sengaja aku
buat-buat ramah pada budak perempuan itu. Sejujurnya nak tengok si gadis
bertudung litup itu aku tersangatlah segan.
“Mama!”
Budak perempuan itu tiba-tiba saja meluru ke arah pintu utama. Aku, Fakri dan
gadis bertudung itu mula memandang ke arah yang sama.
Oleh
kerana suasana kedai buku agak sunyi tanpa ramai pelanggan, dapat aku dengar
dengan jelas bicara budak perempuan yang sudah lega ‘membuang’ itu dengan
mamanya. Dicerita perihal kakak baik hati yang menolongnya.
“Terima
kasih ya, dik. Akak pergi farmasi dekat sebelah kedai ni tadi. Tinggalkan Husna
dekat sini pilih buku. Tak sangka dia boleh sakit perut. Tadi elok aje.” Mama
kepada budak perempuan itu bercakap mesra dengan gadis bertudung litup.
Gadis
itu lebih banyak senyum daripada bercakap. Keadaan itu buat aku terleka pula.
Astaghfirullah. Tak jaga pandangannya aku ni.
“Salam
kakak. Cakap terima kasih dekat kakak lagi sekali.” Arahan dari mamanya budak
perempuan itu ikut patuh. Gadis bertudung litup senyum lagi. Bagi aku senyumannya
sangat indah. Alahai… kalau ikutkan nafsu gelojoh mahu saja aku suruh si Fakri
minta nombor telefon. Tapi itu bukan
cara aku. Aku lebih rela berdoa pada Allah andai si gadis itu memang untuk aku,
pertemukanlah kami buat kali yang kedua. Dan andai kami benar-benar ada jodoh,
permudahkan urusan kami untuk bersatu di dalam redhaNya. Macam pasrah aje kan.
Hmm…
Saat
hati mula mengucap ‘aamiin’ atas doa itu, telinga ini tiba-tiba menangkap suara
seorang lelaki baru masuk ke SMO. Dia menegur si gadis bertudung litup?
“Sayang
dah beli buku tu? Jumpa ke?”
Terasa
pecah berderai seperti kaca hatiku saat ini.
Gadis
bertudung litup itu melintas di hadapanku sambil berpimpin tangan dengan
seorang lelaki berkopiah putih yang aku pasti merupakan suaminya!
“Buku
tu sayang tak sempat cari. Tadi ada sorang budak perempuan nikan, bang….”
Pantas
saja aku berpaling membelakangi mereka berdua. Tidak lagi aku mahu mendengar
perbualan mesra antara suami isteri itu. Tapak tangan mula kulekap kemas ke
dada. Ya Allah, sakitnya…
“Sabarlah
Hadi. Setiap orang ada jodoh masing-masing. Hmm jangan patah semangat, bro!”
Fakri muncul seraya menepuk-nepuk belakang aku.
Aku
cuba mengukir senyuman. Namun rasa kecewa itu pantas benar bermukim di jiwa.
Beberapa
saat juga aku berjeda. Nafas ditarik lalu dihembus panjang. Saat akal dan hati
mula bekerjasama mengatakan ini semua adalah ujian dan percaturan dari Ilahi,
akhirnya aku mampu senyum kembali. Demi Allah hati aku terasa sakit seketika
tadi. Tapi mujurlah ia cuma sementara. Tidak sempat bernanah atau menjadi parut
kekal.
Orang
cakap ada dua sebab kenapa Allah pertemukan kita dengan seseorang. Pertama
untuk uji hati kita. Kedua dia memang benar-benar jodoh kita.
Kalau
suka tak semestinya cinta. Kalau cinta tak semestinya ada jodoh. Kalau ada jodoh takkan ke mana
jua. Jodoh tu rahsia Allah. Dia akan temukan kita dengan insan yang salah pada
mulanya. Dan insyaAllah akan menemukan kita dengan insan yang sesuai di
pengakhirannya. Kerana Dia sayang kita. Janganlah sesekali kita menjauh
dariNya.
Kehidupan
ini terlalu banyak yang perlu difikirkan. Yang terpenting bukan siapa yang
dapat jodoh cepat. Tetapi siapa yang paling bertaqwa padaNya. Jodoh – yang
pasti jodoh kita dengan kematian pasti akan tiba. Jodoh – jodoh dengan manusia
juga tidak semestinya akan kekal selama-lamanya. Jodoh – benar-benar sebuah
rahsia Allah SWT.
Tuhan
berikanlah aku cinta. CintaMu yang paling aku dambakan. Kerana aku yakin, saat
aku mendapatkan cintaMu, cinta makhluk lain pasti akan menyusul kemudian. Kasih
sayang, perhatian, kejujuran, kesetiaan, semua itu adalah cinta.
Kisah
cinta paling pendek di dunia adalah apabila seseorang itu mendapat cinta dari
Tuhan dan akhirnya kebahagiaan menjadi miliknya buat selama-lamanya.
Tuhan
berikan aku cinta-Mu.
Yang
tulus mencintaiMu;
Muhammad
Hadi Abdullah.
*TAMAT*
No comments:
Post a Comment