JOM FOLLOW

Saturday, 6 September 2014

Terlewatkah Cinta Kita? [BAB 3]




DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.


BAB 3

Tubuh dihenyak lemah ke katil. Badannya sudah terasa penat benar melayan ujian yang terjadi hari ini. Tapi syukurlah semuanya sudah berjaya diselesaikan. Yang tinggal hanyalah mencari punca kejadian itu berlaku.

Tuah tidak berani untuk membuat sebarang kesimpulan. Walaupun dia ada beberapa nama yang sering kali ingin menghancurkan periuk nasinya, namun masih lagi Tuah tidak berani buat andaian. Takut-takut jadi fitnah pula.

Dulu pernah sekali ladang mangganya dibakar. Hampir setengah ekar juga ladang mangga kebanggannya itu hangus dijilat api. Hanya Allah saja yang tahu betapa kecewa dan sedihnya Tuah saat itu. Ketika itu arwah ayahandanya masih ada. Mujurlah arwah ada untuk membantu.

Kini, Tuah tahu dia harus menyelesaikan masalah ini sendiri. Dia sudah matang dalam selok belok bidang ini. InsyaAllah semuanya akan baik-baik saja.

Badan sudah penat, mata sudah layu. Tuah mula lena dibuai mimpi. Sibuk memikirkan hal kolam ikan, tidak terfikir lagi oleh Tuah mengenai gadis misteri yang sudah mencuri hatinya itu.


++++++

Hari sudah cerah. Tuah memulakan harinya seperti biasa. Pagi itu terasa nyaman sekali suasana di sekitar kampung. Tenang dan damai.

Seperti biasa, dengan menaiki motosikal kapcainya, Tuah menuju ke ladang terlebih dahulu. Selepas itu dia merancang untuk melihat keadaan di kolam ikannya.

Melalui sebuah jalan tak berturap, Tuah menunggang motosikalnya berhati-hati. Sampai di selekoh pertama menuju ke ladangnya, Tuah bertembung dengan seorang gadis yang menghentikan basikalnya di tepi jalan.

Tuah memperlahankan enjin motosikal. Diberhentikan motosikal betul-betul di hadapan gadis bertudung itu.

“Assalamualaikum, cik. Kenapa dengan basikal tu?” soal Tuah seraya turun dari motosikal. Nitanya hanya ingin membantu.

Gadis itu angkat muka memandang Tuah. Mata mereka saling bertentangan.

“Waalaikumussalam. Tayar basikal saya pancitlah, encik.” Kata gadis itu dengan sopan.

Saat itu Tuah telah kaku. Matanya tak berkelip memandang wajah gadis di hadapannya itu. Dia cuba mengimbau kembali imej-imej yang pernah terakam di mindanya. Dan akhirnya dia menemui imej yang sepadan dengan wajah gadis ini.

Ini bukankah gadis yang….

“Awak?” Tuah tersenyum. Ya Allah akhirnya dia bertemu juga dengan gadis itu.

“Awak gadis tu. Awak… awak gadis tu kan? Saya memang yakin awak wujud! Ya Allah…” Melihat keterujaan Tuah, membuat gadis itu mula rasa takut. Tongkat basikal diangkatnya kembali. Dia mula ingin mengheret basikalnya jauh dari lelaki yang tidak dikenalinya itu.

“Awak! Awak tunggu dulu. Saya Tuah. A-apa nama awak?” Tuah tidak ingin melepaskan peluang untuk mengetahui nama gadis itu. Akhirnya mereka bertemu juga.

Perlahan-lahan gadis itu berpaling memandang Tuah. Dia tersenyum. Tanpa menjawab soalan Tuah, dalam sekelip mata gadis itu makin menjauh dan menjauh dari Tuah. Dan akhirnya, sekilas pandangan, gadis itu hilang dari pandangan.
Tuah tersentak.

“Awak tunggu!”

Terbangun menegak Tuah dari tidurnya. Pandang ke kiri dan ke kanan, rupa-rupanya dia masih berada di dalam kamarnya.

“Astaghfirullahal’adzhim. Ya Allah…” Mengucap panjang dia saat itu. Jantungnya berdegup laju.

Tuah cuba mengingat kembali mimpinya. Mimpi indah bercampur misteri.

Sekali lagi dia termimpikan gadis itu. Kali ini dia sempat berbicara dengan gadis itu. Mendengar suaranya. Melihat wajahnya lebih dekat.

Subhanallah. Memang cantik orangnya. Tapi sayangnya Tuah tidak sempat mengetahui apakah nama gadis itu. Gadis itu lesap di pandangan matanya.

“Ya Allah, apa sebenarnya yang Engkau nak tunjuk pada aku. Siapa gadis tu sebenarnya? Diakah jodoh untuk aku?” Tidak jadi Tuah meneruskan tidurnya. Melihat jam menginjak ke pukul empat pagi, Tuah kuatkan diri untuk bangun.

Dia patut meminta petunjuk dari Allah. Dari Allah datang semua mimpi ini. Hanya Dia juga yang mampu merungkaikan jawapannya.


++++++

“Dayang…” Dayang yang baru selesai mengaji surah Yasiin berpaling sekilas ke arah ibunya. Dia tersenyum.

“Ya, bu.” Cepat-cepat dia menyimpan kembali kitab suci yang dipegangnya ke atas almari. Selepas itu ditanggalkan pula telekung sembahyang yang dipakainya.
Dayang segera mendekati Ibu Orked.

“Sampai bila Dayang nak hidup dengan ibu?” Sedikit terpana Dayang dengan soalan Ibu Orked. Tangan kasar wanita tua itu digamitnya mesra.

“Hingga ke akhir hayat Dayang, bu” Jawab Dayang jujur.

Ibu Orked tersenyum dalam kepiluan. “Dayang tak teringin nak mendirikan sebuah keluarga? Hmm?”

Dayang cuba memahami maksud ibunya itu. Tiada jawapan darinya.

“Dayang tak teringin nak memiliki seorang suami yang sayang Dayang dan Dayang sayang dia? Dayang tak teringin untuk memiliki anak-anak yang menjadi penyejuk mata Dayang?” Kata-kata Ibu Orked buat hati Dayang tiba-tiba jadi sebak.

“Siapa mahu memperisterikan perempuan kotor macam Dayang, ibu? Hanya Allah dan ibu aje yang sayang Dayang. Cukuplah, bu. Dayang dah bersyukur sangat.” Jawapan Dayang ditidakkan oleh Ibu Orked.

“Dayang tak boleh rendahkan diri macam tu. Sebaik-baik manusia adalah manusia yang bertaubat setelah membuat kesilapan. Ibu percaya, Dayang betul-betul dah bertaubat. Ibu nampak semua tu, nak. Dayang layak untuk mana-mana lelaki yang ikhlas mencintai Dayang.”

Tapi siapa, bu? Hanya hati kecil Dayang yang bersuara.

“Besok ada rombongan nak datang merisik Dayang.” 

Terkesima Dayang mendengar berita yang tidak disangka-sangka itu. Ada lelaki ingin masuk meminangnya? Siapa pula. Tak pernah pula ibu membuka cerita ini sebelum ini.

“Tapi, bu…” Dayang mula cemas.

“Takpe. Biar rombongan tu datang merisik. Boleh kenal-kenal dengan lelaki tu nanti. Baik orangnya, nak. Ibu yakin dia dapat jaga Dayang dengan baik.” Sudah tidak terkata lagi Dayang detik itu. Melihat kesungguhan Ibu Orked meyakinkannya buat dia merasa tidak mampu menolak lagi.

Tapi mampukah dia menerima lelaki itu seikhlas hatinya? Dan adakah lelaki itu dapat menerima dirinya yang dulu seikhlas hatinya?

“Tapi, bu. Masa lalu Dayang….”

Ibu Orked menggeleng. Dia lalu menguntum senyuman yang agak berat.

“Sebagai manusia kita perlu menutup kebaikan yang kita lakukan, sebegitu jugalah kita perlu menutup keburukan yang kita buat. Masa lalu Dayang insyaAllah sudah mendapat keampunan dariNya. Jadi mengapa kita nak bangkitkan isu itu lagi, sayang? Hmm? Biarlah masa lalu Dayang yang sedikit tersilap itu menjadi rahsia antara kita. Tak perlu siapa-siapa tahu. Cukuplah Allah yang tahu.”

Bergetar bibir Dayang saat itu. Berat untuknya menerima kata-kata dari Ibu Orked. Semudah itukah dia mampu menjadikan masa lalunya sebagai satu rahsia? Andai satu hari rahsia itu terbongkar. Di saat kebahagiannya berada di kemuncak, adakah ia akan hancur berkecai andai rahsia itu tersingkap?

Dayang dihambat dengan rasa gelisah.


++++++

“Tuah yakin, bonda. Tuah yakin perempuan tu pakai baju kilang kita. Mungkin ini petunjuk dari Allah untuk Tuah cari dia.” Tuah bersuara cuba meyakinkan Puan Sri Jamilah dan Mak Usu Lijah.

Seharian suntuk dia berfikir, dia cuba mengingati mimpinya dengan lebih jelas. Dan akhirnya dia menemui petunjuk itu. Satu-satunya petunjuk yang dia ada.

Gadis dalam mimpinya itu memakai baju kilang miliknya. Baju kemeja kosong berwarna hijau. Berlengan pendek. Gadis itu menyarungkan baju kerja itu dengan baju kurung di badannya.

Jika gadis itu memakai baju kilangnya, itu bermakna gadis itu bekerja di kilangnya! Gadis yang dicari-cari olehnya selama ini mungkin salah seorang daripada pekerjanya juga!

“Jadi maksud Tuah gadis tu kerja kat kilang tu?” Pertanyaan Puan Sri Jamilah diangguk laju oleh Tuah. Dia tersenyum teruja.

“Jadi, Tuah akan cari dia kat kilang tu, bonda, mak usu. Tuah yakin dia ada kat sana.”

“Tuah nak cari macam mana? Pekerja Tuah bukan sikit. Dua ratus orang semuanya. Tuah nak cari satu-satu ke?” Mak Usu Lijah bertanya bingung.

Tuah tersenyum saja. Dia berdiri membelakangi kedua-dua wanita itu. Tangannya memeluk tubuh tegapnya.

“Tuah tahu macam mana nak cari dia.” Ujar Tuah penuh yakin.


++++++++

Satu persatu fail pekerja dibeleknya. Berhati-hati dan penuh teliti dia menilik fail itu. Tuah tidak ingin terlepas pandang pada mana-mana pekerjanya.

Senang kerja, pekerja lelaki terlebih dahulu Tuah reject. Yang tinggal hanya pekerja perempuan. Jumlah keseluruhan pekerja wanita di kilang, ladang dan kolam ternakan ada kira-kira 95 orang sahaja. Yang lain semuanya pekerja lelaki.

Pencariannya diteruskan dengan penuh bersemangat. Tuah yakin, cepat atau lambat gadis misteri itu pasti akan dapat ditemuinya.

Sungguh dia tidak menyangka, gadis itu rupa-rupanya pekerjanya juga. Anehnya rahsia Allah.

Mungkin sebab itu dia termimpikan si gadis itu. Semuanya kerana mereka berdua pernah bertemu sebelum ini.

Ya Allah, siapa agaknya gadis tu. Temukan aku dengan dia, ya Allah. Aku rasa aku dah jatuh cinta. Hati Tuah berbisik bahagia.

Bahagianya terasa hati ini apabila dilambung ombak cinta. Indahnya rasa yang dicipta oleh Ilahi ini.

“Tapi kalau dia dah berpunya macam mana?” Bisik Tuah sendirian.

Disandarkan badan ke kerusi. Terhenti seketika pencariannya tadi. Persoalan yang tiba-tiba terlintas di benaknya itu berjaya membuat kegembiraan Tuah mati.

Andai benar gadis misteri itu sudah pun menjadi milik orang lain, adakah itu bermakna cintanya sudah terlewat?

Adakah itu bermakna dia harus akur bahawa cintanya ditolak sebelum sempat dia melafazkannya?

“Ah! Aku tak boleh fikir bukan-bukan. Aku kena cepat-cepat cari gadis tu. Sampai jumpa!” Tekad terpasang kemas di jiwa.

Sebarang kemungkinan yang berlaku, Tuah hanya mampu berdoa moga-moga dia mampu menerima reality itu dengan hati yang cukup redha.

Andai cintanya sudah terlewat, mungkin itu tandanya tiada jodoh antara dia dan gadis yang telah mencuri hatinya itu. Mampu jatuh cinta walaupun tak pernah bertentang mata.


++++++

Tangannya dikepal kemas penuh resah. Berpeluh-peluh juga tangannya saat itu. Hatinya pula berdebar-debar tak menentu. Baru sekejap tadi rombongan lelaki tiba. Dayang resah dalam penantian. Benarkah keputusan yang dilakukan olehnya ini? Benarkah dia ikhlas menerima kehadiran lelaki yang tidak pernah ditemuinya itu dalam hidupnya?

Semalaman suntuk Dayang tidak dapat melelapkan mata memikirkan hal ini. Semuanya berlaku sekelip mata. Ibu Orked seakan-akan memaksanya untuk bersetuju dengan peminangan ini. Dayang pula rela dalam terpaksa.

Manusia mana yang tidak ingin hidup bahagia. Wanita mana yang tidak mahu dicintai dan disayangi oleh seorang lelaki bernama suami. Dayang juga memasang impian itu. Hidup bahagia dalam sebuah keluarga yang harmoni.

Namun, hatinya bimbang mengenai satu perkara. Andai bakal tunangnya itu mengetahui tentang masa lalunya adakah pertunangan ini akan terbatal?

Haruskah dia berterus terang dengan semua? Andai itu berlaku, seakan dia sudah membuka aib sendiri. Masa lalu biarkan berlalu. Tapi…

“Assalamualaikum semua. Boleh kita mulakan majlis ni?” Tertangkap di cuping telinga Dayang suara seorang lelaki dewasa sedang berbicara.

Dia terus bergerak menghampiri pintu bilik. Hatinya makin berdebar kuat. Hilang terus persoalan di mindanya tadi.

“Baiklah. Kita mulakan majlis dengan membaca ummul kitab al-Fatihah…”

Dayang memejamkan matanya. Nafas dihela panjang.

Mungkin ini adalah yang terbaik untuknya. Ya Allah, andai dia tercipta untuk aku, relakan aku menjadi miliknya….


+++++++

“Dayang Zulaikha! Dayang Zulaikha!” Tuah meluru masuk ke bilik pemprosesan. Bagai kucing kehilangan anak, seperti itu jugalah Tuah. Resah gelisah dia tercarikan seseorang.

“Dayang Zulaikha ada? Mana dia?” soal Tuah pada seorang pekerja wanita di situ.

“Dayang? Dayang tak datang kerja hari ni tuan.” Jawab wanita itu. Dia berpaling ke arah Mak cik Ita yang kebetulan ada di situ.

“Mak cik Ita, Dayang tak datangkan hari ni?” soal wanita itu.
Mak cik Ita mengangguk. Tuah terus meluru mendapatkan Mak cik Ita yang sedang memasukkan buah mangga ke dalam kotak.

Terkejut saat itu Mak cik Ita dengan kedatangan majikannya ke situ. Dia tersenyum hormat.

“Dia pergi mana?” tanya Tuah ingin tahu.

Hampir satu jam lebih mencari, akhirnya dia menjumpai fail pekerjanya yang memiliki gambar yang sama seperti gambar gadis misteri yang dicarinya.

Nama gadis itu Dayang Zulaikha. Cantik namanya, seindah wajahnya. Tuah yakin itulah gadis yang dicari-cari olehnya! Terus dia berlari ke bilik pemprosesan ini.

Rupa-rupanya gadis itu berada begitu hampir dengannya. Namun, takdir tetap tidak mengizinkan mereka untuk bertemu.

“Kenapa Tuan Tuah cari Dayang?” soal Mak cik Ita ingin tahu. Tak pernah-pernah sebelum ini nama Dayang disebut-sebut.

“Mana dia, mak cik? Saya perlu jumpa dengan dia sekarang jugak!” Sedikit menekan suara Tuah. Mak cik Ita terus gugup ketakutan.

“Err… Dayang ambil cuti hari ni, tuan. Dia… dia bertunang hari ni.”

Saat itu hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan yang melanda hati Tuah. Dia terkejut, terpampan dan terkesima mendengar berita itu.

Adakah benar cintanya sudah terlewat?

“Tunang? Dengan siapa? Bila?” soal Tuah bertalu-talu. Kecewa sungguh hatinya saat itu. Takkan kisah cintanya berakhir setakat ini saja?

“Pagi nilah. Dengan siapa, saya tak tahu tuan.” Ujar Mak cik Ita masih kepelikan. Buat apa Tuan Tuah cari Dayang ya? Tanyanya pada diri sendiri.

“Bawa saya pergi rumah dia, mak cik. Sekarang!” Tuah berlalu. Dia menapak keluar dari ruang itu.

“Mak cik sekarang!” Jerit Tuah kepada Mak cik Ita apabila wanita tua itu masih pegun di tempatnya.

Terkocoh-kocoh Mak cik Ita mendapatkan majikannya. Pekerja yang lain memandang Mak cik Ita dengan pandangan kepelikan. Mak cik Ita lagilah rasa pelik. Kenapa Tuan Tuah nak jumpa Dayang?


++++++

Sampai-sampai saja Tuah ke rumah Dayang, dia termenung lama di dalam kereta. Mak cik Ita yang berada di tempat duduk belakang hanya diam tak bersuara.

“Tuah, jom sayang.” Puan Sri Jamilah yang turut ikut sama cuba memberi anakandanya semangat. Dia juga kecewa dengan berita ini. Kebetulan dia datang melawat ke kilang tadi. Tuah terus memberitahunya mengenai si gadis misteri yang sudah berjaya ditemuinya itu.

Puan Sri Jamilah merasa terkilan dengan perkhabaran ini. Andai gadis itu sudah ingin bertunang, bagaimana pula dengan nasib Tuah Dzulkarnain, anakanda tercintanya itu? Hanya Allah saja yang tahu apa yang bakal terjadi seterusnya.

“Kalau Tuah tak bersedia, kita boleh balik, sayang.” Tangan Tuah digamit kuat. Puan Sri Jamilah sempat berkalih memandang Mak cik Ita yang memandang mereka anak-beranak dengan pandangan bingung.

“Takpe, bonda. Tuah Cuma nak bertentang mata dengan dia. Tuah… Tuah tetap nak jumpa dia.” Keluhan berat meniti di bibirnya. Dia cuba tersenyum tabah pada bondanya.

Puan Sri Jamilah membalas senyuman itu nipis. Ditepuk-tepuk bahu Tuah lemah.

“Mari, bonda.” Pintu kereta dibuka. Tuah melangkah keluar dari perut kereta dengan perasaan yang sarat dengan kekecewaan.

Mereka bertiga menampak ke halaman rumah kayu millik Dayang. Berat langkah Tuah, berat lagi hatinya.

Meriah suasana rumah itu dengan dikunjungi oleh ramai orang. Hati Tuah makin sakit.

Sampai mereka ke kaki tangga, tiba-tiba ada sebuah kereta yang dipandu masuk ke halaman rumah.

Tuah, Puan Sri Jamilah dan Mak cik Ita saling berpandangan sesama mereka. Lalu pandangan mereka terarah pada seorang lelaki yang baru keluar dari kereta Perdana itu.

Tergopoh-gapah lelaki itu berlari ke kaki tangga. Tanpa salam, dia meluru masuk ke dalam rumah. Tuah hanya mampu menjadi pemerhati. Siapa agaknya lelaki yang lengkap berbaju Melayu ini?

*bersambung*

Sabar itu....ilmu tingkat tinggi,

Belajarnya tiap hari,
Latihannya setiap saat,
Ujiannya mendadak,
sekolahnya seumur hidup.



9 comments:

  1. ya ALLAH.. suspend nye..huhu.kita pulak teruja Tuah nk jmpe Dayang

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mungkinkah Tuah akan bertemu dengan Dayang???
      tQ sis sudi tinggalkan komen ^^

      Delete
  2. Aduh... teruja akak baca..
    apakah dayang terima lamaran tu...????

    ReplyDelete
    Replies
    1. jeng jeng jeng...
      Akak rasa2 dayang terima x?
      tQ kak sudi tinggalkan komen ^^

      Delete
  3. Ya Allah! Suspennya. Sape lelaki tuh? Jadi ke bertunang? Oh tidak! Nak dayang dengan tuah. Hehehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sapekah si jejaka itu?hehe... tunggu next chap..
      Kenapa nak dayang dengan tuah? keh333
      tQ dyana sudi tinggalkan komen ^^

      Delete
  4. KOMEN DARI PEMBACA DI PAGE FARISHA IMANI

    Norziati Mad Dam > Tak jadi tunang kot... ada harapan si Tuah

    Ety Adlene Ab Kadir > Tq... x saba nak tunggu next bab..

    ReplyDelete
  5. Hanya tuan Tuah yang layak. Dilarang potong line Tuah. Amaran untuk jejaka2 dikampung mereka. Kihkihkihkih. Sama sama ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha dilarang potong line?heh...jejaka2 kat kg tu pandang dayang pun x..huhu.sian dayang

      Delete