JOM FOLLOW

Monday, 1 June 2015

Mencari Si Pelengkap Hati [BAB 25, 26 & 27]




DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.



BAB 25


So macam mana first day Nuha dekat kolej? Tak sempat abang nak berbual panjang tadi. Maklumlah kena bebel dengan Puan Izzah.” Cikgu Ihsan tergelak kecil. Diteguk perlahan air kopi yang aku bancuhkan untuk dia. Bukan aku yang mengada-ngada nak buat minuman tu. Tapi Aunty Izzah yang beria-ia meminta aku buatkan Cikgu Ihsan air kopi ni. Dan bila aku hidangkan kopi tu untuk dia, senyum lebar lelaki tu.

“Alhamdulillah semuanya okey-okey aje,” jawabku acuh tak acuh. Mata ni dah berat sangat. Kalau boleh aku nak berlari naik ke bilik dan tidur! Syoknya tidur bila badan betul-betul letih.

“Erm, dapat kawan baru tak? Apa nama dia?” tanya Cikgu Ihsan bagai tak faham keadaan aku yang tengah mengantuk gila ni. Entah bila mamat ni nak balik kondo dia.

Ya Allah, kereknya aku cakap macam tu. Kalau dia dengar, konfem kecik hati dia. Dah bajet ini rumah aku yang punya.

“Ada sorang. Nama dia Fauziah. Panggil Gee. Orangnya peramah sangat. Suka saya kawan dengan dia.” Aku jawab dengan senyuman nipis. Cikgu Ihsan yang pasang telinga angguk lalu tersenyum.

Baru saja mulut dia nak bertanya soalan lain, tak mampu nak cover lagi, mulut aku pula yang menganga luas, menguap. Pantas aku tekup mulut dengan tapak tangan. Tunduk saja aku pandang lantai bila dia bersuara dengan nada lemah.

“Nuha dah mengantuk ya. Sorrylah abang dah ajak Nuha borak pulak. Erm, tak apalah kalau macam tu. Nuha pergilah tidur. Abang pun dah nak balik ni.” Cikgu Ihsan bangun dari sofa. Dia mencari mamanya.

“Mama, Ihsan dah nak balik ni.”

Hmm… aku keluh panjang. Macam merajuk aje Cikgu Ihsan tu. Dengar suara sedih aje. Dia nak borak dengan aku lagi ke? Aku dah mengantuk gila ni.

“Mama, Ihsan dah  nak balik ni.” Cikgu Ihsan bersuara lagi. Aku paling ke belakang menjatuhkan pandangan ke arah ruang dapur. Di situ Aunty Izzah berjalan beriringan dengan anak bujangnya.

“Yalah bawak kereta tu elok-elok. Esok jangan datang lambat. Kuliah dia start awal pagi esok,” pesan Aunty Izzah seraya menyambut huluran tangan Cikgu Ihsan.

Cikgu Ihsan angguk dengan patuh. Dapat aku lihat matanya sesekali merenungiku. Tanpa mendekatiku lagi, dia hanya ucap selamat tinggal dari jauh.

“Abang balik dulu, Nuha. Selamat malam. Ma, balik dulu. Assalamu’alaikum…” Langkahnya terus bermula.

Beberapa minit berlalu, deruman enjin kereta Cikgu Ihsan sudah tidak kedengaran lagi. Aunty Izzah melangkah ke pintu utama lalu mengunci pintu itu kemas. Aku yang sedari tadi kaku di ruang tamu mula menapak ke arahnya. Ucap selamat malam dululah dekat auntie. Hati berbisik.

“Auntie, Nuha masuk tidur dulu ya,” ujarku padanya.

Aunty Izzah berpaling sambil senyum. Dia mengangguk.

“Ya, sayang. Pergilah… Nuha mesti dah mengantuk kan. Esok nak auntie kejutkan pukul berapa?” Pertanyaan Aunty Izzah benar-benar mengingatkan aku pada arwah ibu. Ibu juga suka menanyakan aku soalan seperti itu.

“Hmm… Nuha kunci jam sendiri, auntie,” jawabku tanpa mahu mengecilkan hatinya. Aunty Izzah angguk lagi. Mungkin dia faham dengan keadaan aku yang dah besar panjang ni. Aku bukan budak-budak lagi.

“Yalah. Kalau macam tu Nuha pergilah naik tidur. Jangan lupa ambil wuduk dan baca doa tidur. Selamat malam sayang.” Aunty Izzah usap bahu aku. Merasa tak sopan langkahku pergi sebegitu saja, aku capai tangannya kemas. Kukucup tangan itu penuh hormat.

Aunty Izzah senyum manis. Dia usap kepalaku penuh rasa kasih.

“Jomlah kita naik sama-sama.” Pelawaan Aunty Izzah aku sambut dengan gembira. Tanganku tak semena digamitnya lalu kami beriringan mendaki anak tangga. Saat itu aura keibuan Aunty Izzah meresap masuk hingga ke jantung hatiku yang paling dalam. Sungguh, aku kini mula menyayanginya… sayang dia seikhlas hatiku. Lillahi ta’ala.


*******


Hari kedua bertandang. Ya Allah, memang aku tak tipu. Aku rasa seronok sangat belajar dekat sini. Satu pengalaman baru bagi aku yang tak pernah keluar jauh dari kampung.

Di sini bagaikan impian yang selama ini aku pendamkan mula dapat aku luahkan semahunya. Tanpa sempadan. Aku bebas. Bebas untuk hidup dengan cara aku sendiri. Bebas dari penghinaan Mak su Kinah dan penderaan Pak su Azam!

Ya, aku bebas!

“Nuha, Nuha…” Terasa pinggangku disiku seseorang. Siapa lagi kalau bukan si Gee. Aku yang sibuk menelaah buku hanya menyahut pendek panggilannya.

“Hmm…”

“Awak belum cerita lagi dekat orang siapa cikgu awak tu. Macam mana cikgu awak boleh jadi driver awak pulak. Awak memang rapat dengan cikgu awak tu eh. Ada apa-apa ke?” Polos saja Gee bertanya.

Aku garu kepala. Alahai malasnya nak bersoal jawab soalan peribadi dengan Gee. Kadang-kadang aku rasa Gee ni macam kepochi sangat.

“Erm… tak adalah rapat sangat. Dia sebenarnya cikgu Form 6 saya. Err… Gee awak nak ikut saya pergi library tak? Jom kita pergi lepas kelas nanti.” Aku cuba alih topik. Mata ini sesekali mengerling ke arah Prof Sidek yang sibuk membuat pembentangan di hadapan.

Library? Hmm…okeylah. Boleh aje. Tapi sebelum tu kita ke kafe dulu. Makan-makan dulu. Okey?” Gee buat muka cute. Aku senyum tanda setuju.

Fuh… Selamat! Nasib baik aku dah tukar topik. Kalau tak mesti Gee nak tahu lebih. Mujurlah dia tak tanya lagi. Tapi tak tahulah kalau dia tanya lagi lepas ni. Harap-harap tak. Malas nak buka cerita pasal diri Cikgu Ihsan. Karang takut melarat sampai ke bahagian Cikgu Ihsan mencintai aku. Hisy, tak boleh bayang kalau Gee tahu pasal benda tu.

Tapi bila fikir balik…

Cikgu Ihsan…

Dia tu baik sangat melayan aku. Keprihatinan dia buat aku makin terhutang budi dengan dia. Dia betul-betul jaga aku seperti seorang penjaga. Jaga aku macam aku ni adik dia. Kadang-kadang over-protective.

Dan aku pulak kadang-kadang kejam juga pada dia. Acuh tak acuh aje layan dia. Setiap kali dia ajak berborak, aku lebih senang jawab sepatah. Kejamkah aku?

Satu perkara lagi yang aku perasan. Semenjak dua menjak ni, Cikgu Ihsan dah jarang cakap soal cinta dan kasih dengan aku. Bagaikan dia benar-benar sedang mempatrikan syarat yang aku kemukakan padanya.

Dia takkan cintakan aku lagi? Mudahnya dia lupakan cinta tu. Jujurkah dia sayangkan aku? Benarkah dia mahu membahagiakan aku?

Hisy! Apasal aku fikir pasal dia ni. Biarkan dia tak cintakan aku. Tak adalah aku sakit kepala nak fikirkan cara mengelak dari dia. Aku tak sanggup nak balas kebaikan yang dia hulurkan pada aku selama ini dengan pura-pura cintakan dia. Biar aku bayar hutang budi dia tu dengan wang dan kebaikan yang setimpal. Bukan langsaikan hutang tu dengan CINTA dan PERKAHWINAN!


 >>>>>MSPH<<<<<<



BAB 26

Petang itu, Cikgu Ihsan datang jemput aku lebih awal dari semalam. Keluar saja aku dari pintu utama fakulti, dari jauh sudah aku ternampak kelibatnya sedang berdiri menyandarkan badan ke kereta. Dia melambaikan tangan ke arahku bagai meminta aku mendekatinya.

Serba salah juga aku saat itu. Kebetulan Gee ada sekali dengan aku. Nak tak nak aku terpaksa juga kenalkan Cikgu Ihsan pada Gee. Gee pulak dah bisik-bisik ke telinga tanya siapa yang segak bergaya tu. Teruja dia dengan kehadiran Cikgu Ihsan.

“Cikgu, kenalkan ni Gee. Gee ni Cikgu Ihsan.” Aku bersuara menyuakan mereka berdua. Cikgu Ihsan tunduk sedikit pada Gee. Gee tersengih-sengih malu.

“Hai, cikgu. Saya Gee…” ujar Gee penuh kebudak-budakan. Mahu saja aku gelak. Tapi aku tahan saja.

Cikgu Ihsan dah garu kepala. Namun dia tetap tersenyum.

“Hai, Gee. Jadi awak nilah Gee kawan baru Nuha ya.” Ramah Cikgu Ihsan menyapa.

Gee angguk dan pandang aku. “Awak cerita pasal orang dekat cikgu awak? Hisy, malulah orang Nuha!” Gee pintal-pintal hujung tudungnya. Betul-betul dah macam gaya zaman P. Ramlee. Malu-malu kucing pulak dia.

“Jadi cikgu nilah cikgu Nuha ya. Cikgu mengajar Nuha masa Form 6, kan?” Gee juga sama. Ramah dan mesra berbual dengan Cikgu Ihsan. Gee memang peramah pun orangnya. Kalau dia tak peramah, tak adalah persahabatan kami terjalin. Dia yang tegur aku dulu semalam.

“Ha’ah. Cikgu Form 6. Eh, Nuha pun ada cerita pasal cikgu pada awak ke?” Cikgu Ihsan melayan perbualannya dengan Gee.

Aku dah mula naik rimas dan cemas. Mintak-mintak tak berlanjutan lebih jauh perbualan mereka. Yalah banyak benda aku masih rahsiakan dari Gee. Tak naklah dia tahu apa yang tak sepatutnya. Contohnya macam aku sekarang tinggal di rumah Cikgu Ihsan.

“Gee, saya balik dulu eh.” Aku halang Cikgu Ihsan dan Gee daripada terus berborak. Isyarat mata aku tujukan pada Cikgu Ihsan. Entah dia faham ke tak aku nak ajak dia pergi dari sini.

“Ha’ahlah, Gee. Kita orang kena pergi dulu. Lepas ni nak singgah pasaraya pulak. Banyak barang dapur nak beli ni.” Cikgu Ihsan tinggalkan Gee setelah dia senyum pada gadis itu.

Aku melopong padanya. Dengan selamba dia dah masuk dulu dalam kereta. Terus aku diserbu soalan bertalu-talu dari Gee. Ya Allah, apa aku nak jawab ni.

“Nuha! Awak dengan cikgu nak pergi shopping sama-sama? Kau orang jiran ke? Eh eh rapatnya kau orang ni. Mesti ada apa-apa ni. Ceritalah dekat orang!” Kemas Gee memaut lenganku. Makin kusut kepala otak aku.

“Hah? Erm… kita orang… kita orang sebenarnya…” Ya Allah, takkan nak menipu pulak. Tapi kalau aku tak tipu, takkan aku nak cakap aku tinggal di rumah Cikgu Ihsan. Apa pulak Gee anggap nanti. Aku belum bersedia kongsi kisah peribadi aku dengan dia!

“Nuha, jom. Nanti karang lambat pulak sampai rumah.” Cikgu Ihsan turunkan cermin kereta lalu panggil aku.

Aku tahu perkara ini masih belum jelas bagi Gee. Tapi anggaplah untuk hari ini aku berjaya lari darinya sambil fikirkan jawapan untuk diberikan padanya esok!

“Gee saya balik dulu ya. Jumpa awak esok. Assalamu’alaikum,” ucapku tergesa-gesa. Pintu kereta dibuka lalu pantas tubuh kuhenyakkan ke kerusi penumpang. Dengan berat aku senyum dan lambaikan tangan pada Gee yang masih kelihatan tercengang-cengang. Pasti banyak soalan yang kena aku jawab esok. Hmm! Semua ni Cikgu Ihsan punya pasal!


*****

Dalam kereta, aku tak bercakap banyak dengan Cikgu Ihsan. Sememangnya sejak dari dulu lagi komunikasi antara kami memang ‘kureng’. Sekali dia tanya, sepatah aku jawab. Tak mesra langsung.

Aku diam sebenarnya bersebab. Perasaan geramku padanya masih terbuku. Tidakkah cikgu tahu yang aku ini belum berkawan terlalu rapat dengan Gee. Kerana mulut dia, hampir saja terbongkar rahsia besar aku. Rahsia yang aku ini tinggal menumpang di rumahnya. Kalau Gee tahu entah jawapan seperti apa perlu aku beri. Memang tak pernah aku fikirkan benda ni semua.

Pandangan aku jatuhkan ke luar tingkap. Menikmati pemandangan pencakar langit yang tinggi bagai mencecah awan.

“Nuha…” Suara Cikgu Ihsan akhirnya kedengaran.

Aku diam.

“Nuha okey?” soalnya sepatah. Terasa pemanduannya sangat perlahan. Kalau macam ni bila nak sampai rumah. Hisy…

“Nuha macam tak okey aje.” Dia buat telahan sendiri. Aku tetap pegun.

“Abang ada buat salah ke?” soalnya dengan suara mendatar.

Aku tetap diam dan tak pandang dia. Hati aku masih sakit dengan apa yang terjadi. Ya, walaupun tak sepenuhnya salah dia tapi sebab mulut dia terlalu ramah sangat berbual dengan Gee, sampaikan Gee mula tanya macam-macam. Makin tak aman hidup aku! Ugh!

“Hmm… Nuha marah abang?” Mungkin terdengar rengusanku, Cikgu Ihsan meneka.

“Apa salah abang? Abang datang ambil Nuha lambat ke hari ni? Rasanya abang dah datang lima minit awal,” ucapnya polos.

Aku ketap bibir. Beg sandang semakin kemas aku peluk. Tak mahu aku hamburkan kemarahan padanya. Aku lebih rela buat perangai merajuk macam ni dari marah-marah. Lagipun aku tak suka marah. Selalu kena marah ada.

Sedang ralit aku layan perasaan bengangku, kereta tiba-tiba berhenti bergerak. Cikgu Ihsan tanggalkan tali pinggang keledarnya. Dari ekor mataku aku lihat dia mengiring cuba mencari wajahku.

“Nuha…” Dia panggil aku dengan suara lembutnya.

“Abang tak tahu kenapa Nuha jadi macam ni. Kalau abang ada buat salah, abang mintak maaf, okey. Kita dah sampai ni. Kalau Nuha tak nak ikut abang beli barang dapur, Nuha duduk aje dalam kereta ni. Abang akan cepat-cepat beli barang dan hantar Nuha balik.” Suara Cikgu Ihsan menyapa lembut ke telingaku.

Hisy, takkan aku nak tinggal dalam kereta pulak. Tak kuasalah. Entah lama mana pulak cikgu nak beli barang nanti. Buatnya barang tu banyak.

“Saya ikut.” Aku akhirnya bersuara apabila Cikgu Ihsan nak buka pintu kereta. Dia berpaling ke arahku. Aku dan dia saling berpandangan seketika.

“Nuha marah abang?” Soalannya masih sama seperti tadi. Mungkin dia nak sangat tahu kenapa aku moody macam ni.

Bibir kuketapkan perlahan. Kepala perlahan-lahan aku gelengkan.

“Kalau tak kenapa muka masam macam asam keping ni. Tak manis dah macam selalu,” usiknya entah nak memujuk atau menyakat aku.

Decitan halus aku luahan. Malaslah nak layan…

“Okey. Tak nak jawab soalan abang tak apa. Abang bagi Nuha masa untuk tenangkan fikiran tu. Bila Nuha dah ready, Nuha cerita dekat abang kenapa Nuha macam ni. Boleh?” Lembut pujukannya. Hampir-hampir buat aku terpujuk.

Tapi aku tetap buat muka keras. Masih protes. Tapi kalau aku diamkan diri dan tak berterus-terang sekarang, mungkin akan lebih mudah Cikgu Ihsan terlepas cakap mengenai hal kami berdua pada Gee andai mereka bertembung lagi nanti.

Perlu ke aku bagi amaran pada Cikgu Ihsan supaya tak bercerita pada Gee atau sesiapa tentang hubungan kami berdua?

Perlu atau tak?


*********

“Abang minta maaf.” Tiba-tiba Cikgu Ihsan berhenti menolak troli dan dia bersuara melafazkan kata maaf itu. Aku berdiri di sebelahnya tanpa pandang dia. Sengaja aku liarkan mata ke tempat lain.

“Abang tak sangka abang dah terlepas cakap. Abang ingatkan Nuha tak kisah abang cakap macam tu pada Gee.” Aku tetap diam. Dan Cikgu Ihsan tetap memujukku.

Al-kisahnya, aku berterus-terang juga padanya. Kini segalanya sudah jelas. Aku cakap apa yang terbuku di hati. Dan amaran turut aku titipkan sekali. Cikgu Ihsan kelihatannya menerima semua itu dengan hati terbuka. Tapi dia diam lama selepas aku cakap semua tu pada dia. Masuk dalam Mart ni baru dia bercakap balik dengan aku. Baru dia minta maaf…

“InsyaAllah lepas ni abang takkan cakap pasal kita depan kawan-kawan Nuha lagi. Abang tak nak Nuha marah-marah macam ni lagi, okey? Serabut otak abang tengok muka masam Nuha tadi.”

Aku telan kata-katanya itu cukup payah. Serabut otak dia? Dia tak suka aku buat muka ke? Mungkin sebab tu tak penat dia memujuk tadi.

“Err… banyak ke barang yang auntie suruh beli?” Malas nak panjangkan isu itu, aku soal dia sebaris. Tak perlu nak panjangkan isu ini. Yang penting sekarang Cikgu Ihsan dah faham kenapa aku bad mood dan dia juga sudah faham dengan amaran aku. Kes ditutup!

Tapi… payah jugak. Esok mesti Gee jadi penyiasat! Hmm!

“Banyak jugak. Mama ada WhatsApp abang tadi list barang dapur. Ni…” Cikgu Ihsan tayangkan telefon pintarnya pada aku. Aku perhati sekilas pandang aje. Tengok senarai macam panjang. Untuk stok sebulan ke apa.

“Nak beli apa dulu ni,” tanyaku padanya. Lebih baik beli cepat-cepat. Cepatlah dapat aku balik rumah. Rimas hati ni berjalan berdua-duaan dengan Cikgu Ihsan. Seumur hidup aku, tak pernah walau sekali aku ke pasaraya dengan lelaki! Ini kali pertama. Serius!

“Kita beli beraslah dulu. Jom dekat sana tu.” Cikgu Ihsan tolak troli ke depan. Aku ikut dia dari belakang sambil sesekali pandang sekeliling tengok-tengok barang nak dibeli.

Mampu tengok sajalah. Aku ni manalah ada duit lebih. Duit yang ada dalam dompet pun duit yang Aunty Izzah berikan pada aku semalam. Memang segan aku nak terima. Tapi sebab fikirkan kehidupan aku di U, aku terpaksa terima duit tu. Dengan perjanjian tak bertulis bahawa aku akan bayar balik bila aku dah kerja nanti. InsyaAllah.

Aku dan Cikgu Ihsan membeli belah tanpa banyak cakap. Sesekali saja kami berkomunikasi. Sampai di bahagian barangan perempuan, Cikgu Ihsan berhentikan troli. Aku garu kepala dalam diam. Kenapa dia berhenti dekat bahagian ni.

“Err… nah.” Tiba-tiba dia hulurkan telefonnya pada aku. Aku menyambutnya kaku.

“Baca WhatsApp yang mama hantar tadi. Dia suruh abang ingatkan Nuha beli benda tu.”
Hah? Aku blur. Benda tu apa benda.

 “Nuha pilihlah yang mana patut. Abang ke sana kejap.” Cikgu Ihsan melangkah pergi dengan membawa troli bersamanya.

Teks WhatsApp dari Auntie Izzah aku baca. Terasa pijar muka ni menahan malu.

Ihsan tolong ingatkan Nuha pasal pad dia tau. Mama ada cuba call dia tapi handphone dia off.  Dia ada cakap dekat mama nak beli benda tu semalam. Takut dia lupa pulak. Tolong ingatkan ya.

Aku terus pandang sekeliling mencari kelibat Cikgu Ihsan. Bila aku pandang depan, dia kelihatannya sedang sibuk memilih sesuatu di bahagian lelaki.

Aku gigit hujung bibir. Nasib baik dia bijak bagi aku baca sendiri teks ni. Kalau dia tanya depan-depan tak ke aku malu setahun.


>>>>MSPH<<<<< 



BAB 27

“Dekat sini rupanya Nuha.” Aku yang sedang enak menikmati aiskrim sedikit terkejut dengan sapaan suara garau itu. Cikgu Ihsan dah berdiri tegak di belakang aku. Dia tersenyum.

“Hai makan aiskrim sorang-sorang aje. Untuk abang tak ada ke?” tanyanya sambil buat muka  monyok. Bajet comel ke?

“Nak ke?” soalku.

“Mestilah nak,”

“Kejap saya pergi beli. Nak perisa apa?”

“Macam yang Nuha Huda makan tu.”

Aku terus senyum kelat. Amboi siap sebut nama penuh aku pulak dia. Mengada eh.

“Okey. Tunggu kejap. Saya pergi beli.”

Tak sampai dua minit, aku kembali ke situ sambil memegang satu kon aiskrim perisa Vanila.

“Nah aiskrim.” Aiskrim kuhulurkan pada Cikgu Ihsan yang sedang menunggu ku di atas sebuah bangku panjang yang terletak di sebelah Mart.

“Erm… nah. Handset cikgu.” Aku hulurkan lagi sekali sesuatu padanya. Telefon dia yang aku terpegang lama tadi. Lepas bayar barang dekat kaunter tadi, aku tetap simpan telefon dia. Terlupa nak bagi sekali. Kalut punya pasal.

“Cikgu…” Aku bersuara.

“Ya, Nuha. Kenapa?” Mulalah wajah Cikgu Ihsan macam menggelabah. Selalu macam tu. Setiap kali aku panggil dia, dia mesti anggap aku macam ditimpa sesuatu. Suka jadi guardian angel aku.

“Saya belum solat Asar. Boleh tak kalau saya pergi solat dulu?” Aku minta izin. Aiskrim sudah selamat masuk dalam perut.

Cikgu Ihsan pantas tilik jam di pergelangan tangan kanannya. Aiskrimnya juga sekelip mata sudah habis dimakannya. Siap kunyah lagi. Eee, sejuknya…

“Ya Allah, dah pukul enam lebih ni. Mujur Nuha ingatkan. Abang pun belum solat lagi. Dah jom kita solat dulu. Nuha pergi dulu. Abang nak masukkan barang ni dalam kereta. Surau rasanya ada dekat area belakang.” Cikgu Ihsan mula kalut tolak troli. Aku hanya mengangguk faham. Langkahku juga bermula.

Aku nak melangkah, dia pun  nak melangkah tapi tiba-tiba saja ada suara wanita memanggil nama Cikgu Ihsan. Langkah kami berdua terus mati di tempat kami berdiri. Sepakat aku dan Cikgu Ihsan memandang ke arah si pemilik suara itu.

“Ihsan? Ihsan Zuhri, kan?” Ada seorang perempuan bertudung labuh sedang tersenyum pada Cikgu Ihsan.

Buat sesaat pandangan mata aku dan Cikgu Ihsan bertemu. Setelah itu, Cikgu Ihsan mengalihkan pandangannya ke arah wanita bertudung labuh itu.

“Sumayyah…” Nama itu meniti di bibirnya. Dia senyum kelat.

“Nasib baik tak salah orang. Kalau tak buat malu aje tadi.” Sumayyah selamba saja tertawa pada Cikgu Ihsan.

Tapi Cikgu Ihsan tetap sama. Senyum kelat.

“Ni siapa? Your wife?” Kaget aku dengan soalan itu. Senyum sumbing aku hadiahkan pada Sumayyah yang entah siapa ni.

“Eh bukanlah. Adik angkat saya. Nuha, ni Kak Sumayyah. Kawan abang…” Susah pula aku tengok Cikgu Ihsan nak menuturkan semua tu. Moodnya seperti mati apabila Sumayyah muncul. Kenapa ya?

“Oh Nuha. Selamat berkenalan Nuha. Panggil aje akak Kak Sumayyah.” Aku dan Sumayyah berjabat tangan. Err… maksud aku Kak Sumayyah.

“Erm, awak datang dengan suami awak ke?” soal Cikgu Ihsan seakan sudah lama mengenali Kak Sumayyah.

“Ha’ah. Dia pergi ambil kereta. Kau orang dah nak balik ke? Banyak beli barang ni.” Kak Sumayyah macam nak berbual lama dengan Cikgu Ihsan. Tapi Cikgu Ihsan macam tak sudi. Kalau tak, tak adalah dia minta diri.

“Kita orang dah nak balik pun. Tapi nak pergi solat Asar kejap. So, Sumayyah kita orang gerak dulu. Kirim salam pada husband awak.” Cikgu Ihsan senyum nipis. Kak Sumayyah juga senyum tak seceria tadi. Entah apa yang berlaku antara mereka. Mereka kawan ke? Kenapa nampak macam kekok.

“Okeylah. Saya pun dah nak balik ni. Gembira dapat jumpa awak, Ihsan, Nuha…” Kak Sumayyah hulurkan tangan. Aku sambut lalu kucup tangannya tanda hormat. Mesti Kak Sumayyah ni sebaya dengan Cikgu Ihsan.

Akhirnya perempuan itu melangkah pergi. Cikgu Ihsan pula arahkan aku pergi solat. Dia langsung tak senyum lagi. Kenapa mood dia berubah lepas jumpa Kak Sumayyah? Perlu ke aku busybody bertanya. Rasanya macam tak…

Tapi… siapa Sumayyah ni?


******

“Cikgu tak singgah?” Entah kenapalah mulut ni ringan sangat nak bertanya. Setelah selamat barangan dapur dipunggah masuk ke ruang dapur, aku dan Cikgu Ihsan berdiri di depan pintu utama. Nek Som dan Aunty Izzah tengah sibuk dekat dapur memeriksa barangan yang kami beli tadi. Jadi, akulah yang kena hantar Cikgu Ihsan pulang.

“Erm, tak kut. Abang nak rest dekat kondo aje,” jawab Cikgu Ihsan dengan nada yang agak hambar. Entah kenapa dengan dia. Macam dah tak ceria dah. Senyum pun tak.

“Okeylah. Abang balik dulu. Assalamu’alaikum…” Cikgu Ihsan mula angkat kaki. Langsung dia tak pandang ke belakang lagi. Macam orang kena pukau, tangannya patuh membuka pintu kereta, tali pinggang keledar ditarik dan enjin kereta dihidupkan. Tak sampai seminit, keretanya mula hilang dari pandangan mataku.

Aku tergamam di situ. Rasa lain macam aje bila Cikgu Ihsan tak cakap banyak dengan aku. Mood dia berubah selepas pertemuannya dengan Kak Sumayyah tadi. Kenapa ya? Apa yang sebenarnya dah berlaku antara mereka berdua sebelum ni?

Perlu ke aku menyibuk nak ambil tahu? Tapi untuk apa aku tahu? Nak semakkan kepala otak yang sememangnya dah semak? Karang dari semak dah jadi belukar terus. Erk…

Soal Gee pun masih belum selesai, nak fikir pasal Cikgu Ihsan pulak? Hmm, baik tak payah.
Malas nak fikir panjang, aku masuk menuju ke ruang dapur. Nak beritahu Aunty Izzah dan Nek Som yang aku nak naik mandi kejap. Lepas tu kena turun balik. Tolong auntie dengan Nek Som masak. Hari ni dengar cerita Uncle Is balik dari outstation. Mesti Aunty Izzah akan masak sedap-sedap. Tapi sayang… Cikgu Ihsan tak ada sekali. Hmm…


BERSAMBUNG>>>>>


#siapakah Summayyah itu???




No comments:

Post a Comment